SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

20 Oktober 2007

KAJI DASAR KELUAR CARUMAN

Petikan dari Utusan Malaysia
20/10/2007

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili sejumlah 543,000 pencarum menggesa kerajaan mengkaji secara menyeluruh dasar pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, nasib 43,000 orang kakitangan perkhidmatan awam yang mencarum dalam KWSP turut berdepan masalah yang sama jika kerajaan mengambil jalan mudah mengenai dasar pengeluaran caruman.
Beliau berpendapat, hala tuju penubuhan KWSP dikhuatiri menyimpang daripada matlamat asal kerana wujudnya pelbagai kaedah pengeluaran awal wang caruman sebelum persaraan.
“Kerajaan sudah mula memberi kelonggaran untuk membuat pelbagai pengeluaran termasuk membayar ansuran rumah setiap bulan, bakinya kelak tidak seberapa,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya pernah menasihatkan ahli-ahli CUEPACS supaya tidak membuat pengeluaran sewenang-wenangnya walaupun terdapat ‘tarikan’ untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC, Mohamed Shafie B. P. Mammal berpendapat, kaedah pengeluaran wang sedia ada kecuali untuk pembelian dan bayaran ansuran rumah perlu diperketatkan bagi mengelakkan para pencarum ‘papa kedana’ selepas bersara.
Menurut beliau yang mewakili hampir 500,000 ahlinya yang mencarum dengan KWSP, skim pelaburan unit amanah pula hanya boleh diteruskan jika ia dilaksanakan dengan bijak dan mendatangkan pulangan menguntungkan kepada pencarum.
“Pengeluaran caruman tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia merupakan simpanan hari tua dan sebarang tindakan tanpa perancangan rapi menyebabkan hidup para pencarum semakin terhimpit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mohamed Shafie mengulas konflik dihadapi oleh pencarum KWSP yang bakal dihimpit kemiskinan apabila purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000 berdasarkan caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006.
Ini bermakna, seseorang pencarum yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun sehingga meletakkan mereka dalam kategori golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.
KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dengan 47,500 orang akan mencapai umur bersara pada tahun ini.
Mengulas cara menambah nilai tabungan pencarum, Mohamed Shafie memberitahu, kadar peratusan caruman pekerja dan pencarum sedia ada tidak lagi munasabah untuk dilaksanakan.
Menurut beliau, ia perlu disemak semula bagi mengembangkan tabungan dan membolehkan pencarum menampung kos hidup yang semakin meningkat selepas bersara.
Beliau berpendapat, kadar caruman ideal bagi pekerja perlu dinaikkan daripada 11 peratus kepada 14 peratus manakala kadar caruman majikan ditambah daripada 12 peratus kepada 15 peratus.
Katanya, peningkatan tersebut mampu menambah jumlah simpanan pencarum berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka hidup selesa.
‘‘Apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pesara berpendapatan rendah terpaksa bekerja semula secara sambilan untuk menampung kos hidup dan melangsaikan baki hutang seperti pinjaman perumahan, kos perubatan dan membiayai pendidikan anak.
‘‘Kita sudah 50 tahun merdeka, sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula dasar pengurusan dana KWSP bagi memastikan rakyat hidup sejahtera untuk 50 tahun akan datang,’’ ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, kajian itu turut meliputi pembayaran dividen sebanyak lima peratus kepada pelabur-pelabur yang disifatkan terlalu rendah.
‘‘Sampai bila KWSP hendak bertahan dengan dividen lima peratus setiap tahun sedangkan caruman terkumpul berbilion-bilion ringgit,’’ tambahnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Datuk Dr. Ismail Mohd. Salleh meminta kerajaan mengkaji semula cadangan supaya wang caruman tidak dikeluarkan sekali gus tetapi secara beransur-ansur seperti pengeluaran pencen.
Katanya, pengeluaran itu boleh dilakukan secara bulanan bertujuan menampung perbelanjaan pencarum untuk tempoh tertentu misalnya sehingga 20 tahun.
Dengan cara itu, ia membolehkan pencarum merancang perbelanjaan setiap bulan dan membantu mereka berjimat cermat.
‘‘Cadangan itu pernah mendapat bantahan keras pelbagai pihak termasuk pencarum ketika dikemukakan tiga tahun lalu tetapi kesesuaiannya wajar dikaji semula jika ia menguntungkan untuk jangka panjang,’’ tambahnya.

17 Oktober 2007

2 JUTA HILANG KER -- KEBANJIRAN PEKERJA ASING SEKAT PELUANG WANITA MALAYSIA

Petikan dari Utusan Malaysia
17/10/2007
KUALA LUMPUR 16 Okt. – Keghairahan majikan Malaysia mengambil pekerja asing bekerja dalam sektor perkhidmatan telah menyebabkan peluang lebih dua juta wanita di negara ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan tersekat.
Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang amat merugikan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan bertindak segera mengatasi gejala itu agar sumber tenaga wanita di negara ini tidak dibazirkan begitu sahaja.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, fenomena itu berlaku kerana majikan swasta di negara ini secara senyap dan sistematik cuba menggantikan pekerja tempatan terutama wanita dengan warga asing semata-mata untuk membayar gaji yang lebih murah.
Katanya, perbuatan majikan tersebut secara langsung telah menafikan hak wanita Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan.
“Mereka tidak mahu mengambil wanita Malaysia bekerja sebaliknya mengutamakan orang asing,” kata Siva Subramaniam kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya: “Kehadiran warga asing benar-benar memberi kesan negatif dan ia menyekat jumlah penyertaan wanita di negara kita dalam sektor pekerjaan.
“Tanpa pekerja asing, saya menganggarkan sekurang-kurangnya dua juta penduduk wanita di Malaysia boleh diberikan peluang untuk bekerja.”
Beliau yang merupakan bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kemasukan sehingga 1,600 pekerja asing sehari ke Malaysia ekoran peraturan Imigresen dan dasar pengambilan pekerja yang disifatkan sebagai amat longgar.
Menurut Siva Subramaniam, antara sektor yang boleh dipelopori oleh wanita di negara ini tetapi sekarang dikuasai oleh pekerja asing ialah sektor perkhidmatan.
“Cuba kita lihat di stesen minyak dan pusat beli-belah, hampir semua jawatan dikuasai warga asing. Sebenarnya ramai wanita tempatan boleh bekerja di kedua-dua tempat itu.
“Siapa kata wanita tidak mahu bekerja di pusat beli-belah? Kami mendapat aduan bahawa terdapat segelintir majikan tidak mahu mengambil wanita tempatan bekerja,” katanya.
Demikian juga dalam sektor kawalan keselamatan. Beliau berkata, bekas anggota polis dan tentera tidak lagi menjadi pilihan syarikat-syarikat pengawal keselamatan untuk diambil berkhidmat. Sebaliknya, kata Siva Subramaniam, syarikat-syarikat kawalan keselamatan lebih mengutamakan pekerja asing.
“Bukan saya kata setiap pekerja asing akan bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi sekarang kita lihat rakyat Nepal sudah mula menguasai pekerjaan itu,” ujarnya.
Beliau memberitahu, Suhakam mendapati pekerja asing cenderung bekerja di Malaysia kerana mereka mudah mendapat pekerjaan berbanding jika mereka berhijrah ke negara-negara lain.
Katanya: “Saya merasakan adalah tidak wajar kalau dikatakan rakyat kita terlalu memilih pekerjaan. Kalau diberi peluang dan gaji yang munasabah, saya percaya rakyat Malaysia akan bekerja.
“Saya percaya sekiranya majikan tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing, kemasukan golongan itu ke negara ini dapat dikurangkan.”

15 Oktober 2007

JANGAN DEDAH -- CUEPACS

Petikan dari Utusan Malaysia
15/10/2007
KUALA LUMPUR 14 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju yang tindakan tatatertib terhadap kakitangan awam didedahkan kepada umum.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, tindakan itu boleh diambil di peringkat dalaman melalui pendekatan yang lebih profesional dalam menjaga imej perkhidmatan awam.
“Kakitangan awam yang didapati cuai dalam menjalankan tugas atau melakukan sebarang kesalahan perlu dihadap ke meja mesyuarat bulanan untuk mendapatkan penjelasan dan laporan akan masalah mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika salah laku kakitangan awam didedahkan kepada umum, ia memang baik untuk menunjukkan kecuaian dan kesalahan kerja mereka tetapi ia turut menjejaskan imej dan moral kakitangan awam di mata masyarakat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Mohd. Hassan baru-baru ini berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan awam yang terbabit dalam penyelewengan, termasuk mendedahkan nama mereka kepada umum.
Sidek membuat kenyataan itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara bulan lepas yang mendedahkan penyelewengan dana awam di beberapa kementerian.
– Bernama

06 Oktober 2007

CUEPACS SUMBANG TABUNG GEMPA BUMI DI SUMATERA INDONESIA

Petikan dari Utusan Malaysia
6/10/2007

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Usaha membantu mangsa gempa bumi di Sumatera, Indonesia terus mendapat perhatian apabila jumlah kutipan Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank meningkat kepada RM375,315.27 sehingga pukul 5 petang ini sejak dilancarkan pada 14 September lalu.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak termasuk sumbangan bernilai RM5 atau RM10 bagi setiap khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dimulakan pada 20 September lalu.
Pelanggan Maybank dan orang ramai yang berhasrat untuk menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 514011-000-551.
Sumbangan itu boleh dibuat di mana-mana kaunter cawangan Maybank, mesin deposit tunai, mesin deposit cek atau melalui pindahan dana kepada pihak ketiga di mesin teler automatik (ATM) Maybank di seluruh negara.
Bagi memudahkan orang ramai yang mahu membantu, sumbangan juga boleh dibuat secara talian melalui laman web maybank2u.com.
Untuk maklumat lanjut mengenai tabung itu, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Maybank di talian 03-2074 8654 atau 03-20747785.
Bagi menyampaikan sumbangan menerusi SMS pula, orang ramai hanya perlu menaip GEMPA 5 untuk menderma RM5 atau GEMPA 10 untuk menderma RM10 dan dihantar ke 33833.
Keterangan lanjut mengenai perkhidmatan SMS itu boleh diperoleh menerusi laman web Utusan Online iaitu www.utusan. com. my.
Penerangan juga boleh diperoleh dengan melayari laman web www.tutor. com. my, www.kareer.com. my, www. manggatv.com dan www. manggaonline. com. my.
Sumbangan juga boleh disalurkan terus kepada wakil Utusan Malaysia di seluruh negara atau tabung yang diwujudkan oleh persatuan seperti Puteri UMNO, Putera UMNO, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan rangkaian Hotel Seri Malaysia.
Tabung itu dilancarkan bagi membantu mangsa ekoran gempa bumi berukuran 8.4 pada skala Richter yang melanda Bengkulu, selatan Sumatera pada 12 September lalu dan mengorbankan sekurang-kurang 23 nyawa serta 88 lagi cedera.