SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI***

29 April 2008

CUEPACS HARAP PENGUMUMAN POSITIF DARIPADA KERAJAAN 10 MEI INI


28 April, 2008 21:45 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap satu pengumuman positif akan dibuat pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 10 Mei ini, khususnya berhubung segala tuntutannya sebelum ini.Presidennya Omar Osman berkata perhimpunan itu pada mulanya dijadualkan pada 29 Mei, tetapi semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru ini, Perdana Menteri mencadangkan supaya tarikhnya diawalkan."Kami jangka kerajaan akan membuat pengumuman berhubung tuntutan kami itu semasa perhimpunan ini selaras dengan motto 'Sektor Awam Cemerlang, Negara Gemilang'," katanya kepada Bernama di sini hari ini.Cuepacs sebelum ini menuntut kenaikan elaun perumahan, panambahbaikan dalam Peperiksaan Tahap Kecekapan, pengembalian elaun kritikal kepada kumpulan sokongan II dan lanjutan umur persaraan wajib.-- BERNAMA

28 April 2008

CUEPACS OPTIMIS KERAJAAN LULUSKAN CADANGAN LANJUTAN UMUR BERSARA KAKITANGAN AWAM


KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama)
-- Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) optimis bahawa kerajaan akan meluluskan cadangan melanjutkan umur persaraan kakitangan sektor awam daripada 56 tahun kepada antara 58 dan 60 tahun.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata kesatuan itu juga tidak pernah menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan umur persaraan kepada 60 tahun bahkan menyatakan kerajaan sedang menimbangkan perkara itu."Kita (Cuepacs) berterima kasih dan menyambut positif keputusan kerajaan untuk menimbangkan cadangan umur persaraan itu."Isu tersalah tafsir tidak timbul di sini kerana ketika mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, Cuepacs hanya mencadangkan umur 60 tahun tetapi terpulang kepada kerajaan untuk menentukan had umur berkenaan kerana pelbagai faktor seperti kesihatan harus diambil kira," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.Omar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah semalam bahawa Cuepacs telah menyalahtafsirkan kenyataannya tentang cadangan untuk melanjutkan umur persaraan kakitangan sektor awam itu.Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan masih menimbangkan secara positif sama ada akan meningkatkan umur persaraan kakitangan awam seperti yang dicadangkan Cuepacs.Abdullah berkata Cuepacs telah membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan kerana beliau hanya menyatakan bahawa beliau ingin melihat perkara itu sebagai satu cadangan yang positif.Omar juga berharap had umur persaraan itu dapat diumumkan bulan depan seperti yang dinyatakan Perdana Menteri.Pada satu pertemuan antara Cuepacs dengan Perdana Menteri Khamis lepas, Omar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menerima lima tuntutan kesatuan itu.Lima tuntutan itu ialah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 56 kepada 60 tahun, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.Satu lagi tuntutan iaitu pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagaimanapun ditolak kerajaan kerana keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang.-- BERNAMA

TELITI IDEA LANJUT PERSARAAN

Sedutan dari Akhbar Utusan Malaysia

SEBAGAI penjawat awam, saya berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri kerana telah sudi melihat secara positif lima tuntutan Kongres Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Ia meliputi soal kenaikan elaun perumahan, pencen mengikut tempoh perkhidmatan, elaun kritikal kumpulan sokongan, kaji semula PTK dan umur bersara wajib dari 56 ke 60 tahun.
Walaupun tuntutan honorarium sebanyak RM2,000 ditolak oleh kerajaan, namun penjawat awam perlu bersyukur kerana kerajaan masih sudi melayan tuntutan mereka.
Saya harap kerajaan dapat menimbang semula cadangan melanjutkan umur bersara kerana kesannya amat besar.
Rata-rata kakitangan awam apabila mencapai umur 50-an mereka sudah masuk mood pencen, sekiranya ada kursus, seminar atau apa sahaja arahan baru bagi orang muda-muda, kami sudah nak pencen, itulah antara senario golongan prapencen.
Bayangkan seorang pekerja rendah awam (buruh, tukang kebun) terpaksa galas mesin rumput, potong pokok bunga, siram pokok, sapu sampah dan angkat tong sampah pada usia 60 tahun yang juga kebanyakan sudah menghidapi kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan berbagai-bagai penyakit lagi.
Pemandu ambulans yang berusia 60 tahun bekerja syif malam terpaksa bergegas ke tempat kemalangan pukul 3 pagi dengan mata rabunnya, tidur tak cukup, fikirkan adakah ia sesuai?
Seorang anggota polis pada usia 60 tahun, terpaksa melakukan tugas rondaan ber- jalan kaki (Bit) dengan lutut yang semakin lemah, mengiring orang tahanan (OKT) yang jauh lebih muda dan gagah.
Bagaimana polis hendak mengejar penjenayah pada usia 60 tahun, kebanyakan termengah-mengah. Pembantu am pejabat (budak pejabat) terpaksa naik turun tangga, berjalan dari pejabat ke pejabat, menunggang motosikal dari Putrajaya ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada usia 60 tahun, bayangkan adakah wajar?
Peluang golongan muda untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam semakin sukar, kalau dapat masuk pun pada usia lanjut sebab ibu dan bapa mereka belum bersara.
Saya berpendapat, tidak wajar dan tidak menguntungkan kerajaan menanggung kakitangan yang kurang produktif.
Adalah lebih baik melatih kakitangan muda yang bersemangat, bermotivasi dan mudah dibentuk.
Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dahulunya diperjuangkan oleh CUEPACS tiba-tiba nak disemak.
Pada hemat saya PTK telah membawa kesan positif kepada kakitangan awam, di mana selama ini kakitangan lama (senior) yang sudah sah jawatan tidak pernah buka buku perintah am, pekeliling kemajuan perkhidmatan awam, arahan keselamatan terpaksa baca semula kerana nak duduki pe- periksaan PTK.
Sebelum PTK dilaksanakan kakitangan awam memang kurang prihatin dengan arahan-arahan kerajaan tetapi dengan adanya PTK mahu tak mahu kena belajar juga.
Lobi melobi juga kurang berlaku sejak perlaksanaan PTK.
Bukankah ini baik dan positif kepada kakitangan awam.
Ada penjawat awam semasa SSB tak pernah dicalonkan untuk menegak melintang, tetapi lulus PTK aras IV dan dapat anjakan gaji di bawah SSM.
Diharapkan kerajaan mengkaji secara mendalam sebelum meluluskan umur persaraan dari 56 ke 60 tahun begitu juga de- ngan PTK yang memang terbukti lebih te- lus dalam pemberian anjakan gaji dan ke- naikan pangkat.

BASHARUDDIN HASHIM
Pendang,
Kedah

27 April 2008

AKTIVITI HARI PEKERJA (CUEPACS)

1 Mei 2008 (Khamis)
jam 9.00 pagi
Bertempat di Dewan Jubli Intan, Johor Bharu. Semua Pemimpin Tertinggi, Ahli Kongres dan ahli gabungan kesatuan akan berhimpun disana. Perasmian oleh YB S.Subramaniam Menteri Sumber Manusia.


3 Mei 2008 (Sabtu)
Perhimpunan Perpaduan Hari Pekerja 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil, KL. Perasmian oleh YAB Perdana Menteri


10 Mei 2008 (Sabtu)
Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di PICC, Putrajaya. Perasmian oleh YAB Perdana Menteri. Ada berita baik dari Kerajaan.
Oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim
(Timbalan Setiausaha Agung III)
(CUEPACS)

MAKNA HARI PEKERJA

Oleh G. Manimaran(Wartawan Utusan)

Cuti umum sempena Hari Pekerja yang disambut oleh pekerja-pekerja tempatan pada hari ini merupakan kali yang ke-29 dalam sejarah negara ini apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja Malaysia pada tahun 1972.
Pengumuman itu dibuat dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.
Dalam penjelasannya, Allahyarham menyatakan bahawa keputusan itu telah dibuat dengan harapan pergerakan buruh akan menganggap 1 Mei sebagai satu hari dedikasi sesuai dengan cita-cita kebangsaan dan berharap gerakan pekerja akan didorong oleh tujuan dan rasa terikat kepada cita-cita kebangsaan tersebut.
``Pengumuman itu disusuli dengan tepukan gemuruh para hadirin seminar kerana ia merupakan kejayaan yang berharga kepada pekerja,'' kata bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Jamaluddin Mohd. Isa dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut pengalaman beliau ketika saat-saat kejayaan memperoleh cuti umum itu, Jamaluddin, salah seorang anggota biro berkenaan, menjelaskan: ``Pengumuman itu signifikan kerana Malaysia secara tidak langsung mengiktiraf Hari Pekerja yang diluluskan oleh Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).''
Jamaluddin, kini Setiausaha Kerja Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Malaysia Barat, menambah: ``Saya rasa sungguh bertuah kerana berpeluang memainkan peranan dalam merealisasikan tuntutan meskipun ia sebenarnya telah diperjuangkan oleh Cuepacs dan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia).''
Langkah itu sekali gus meninggikan martabat dan kedudukan negara di peringkat antarabangsa, ujarnya.
Mengimbas kembali peristiwa bersejarah hampir tiga dekad yang lalu, bekas Pengarah Pendidikan MTUC, S. Radhakrishnan pula berkata, pendekatan yang diambil oleh kerajaan ketika itu telah menyumbang kepada situasi perundingan bukan konfrontasi.
``Sejak itu hubungan antara kerajaan dan kesatuan sekerja bertambah baik, suasana yang sangat positif di mana wujud keadaan boleh menyatakan pendirian tidak setuju dalam erti kata yang boleh dipersetujui, bukan konfrontasi,'' kata beliau yang juga bekas Presiden Majlis Tindakan Sosial Pendidik Malaysia, yang dipinjamkan sebagai Pengarah Pendidikan MTUC selama dua tahun mulai 1974 oleh kerajaan.
Hasil hubungan baik itu, kata beliau, kerajaan juga telah meluluskan cadangan MTUC untuk menubuhkan Bank Buruh pada tahun 1975.
``Projek ini membolehkan MTUC menerokai bidang-bidang baru,'' jelasnya. Bekas guru itu yang kini merupakan perunding firma guaman di Kuala Lumpur menambah, 1 Mei sebenarnya dianjurkan untuk melihat paras pencapaian semasa dan langkah-langkah yang perlu dilakukan demi memperbaiki kedudukan masa akan datang.
``Selain itu, 1 Mei bertujuan memberi pengiktirafan ke atas perjuangan lalu dalam pembangunan negara dan sumbangan para pekerja,'' katanya.
Sebenarnya kesatuan-kesatuan pekerja negara ini menyambut Hari Pekerja sebelum kerajaan mengisytiharkan cuti umum.
Usaha itu disusuli dengan tindakan V. David (ketika itu anggota Dewan Perwakilan dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Kilang dan Am) membawa usul menuntut cuti seumpama itu pada 24 Februari 1960.
Dalam buku yang dikeluarkan sempena Hari Pekerja 1973, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Malaysia menyifatkan tahun 1972 sebagai sinar harapan bagi kelas pekerja kerana perubahan pada pendirian kerajaan.
Sambutan Hari Pekerja tidak disambut pada hari yang sama oleh setiap negara yang mengiktiraf Konvensyen ILO yang berkaitan. Pada tahun 1884, Persekutuan Kesatuan Buruh dan Pekerja Berkesatuan meluluskan resolusi yang menggariskan kerja lapan jam sehari yang sah mulai 1 Mei 1886. Resolusi itu juga menggesa diadakan mogok umum untuk mencapai matlamat memandangkan pendekatan perundangan menemui kegagalan. Kira-kira 250,000 pekerja berhimpun pada gerakan Hari Mei. Bagaimanapun rekod juga menunjukkan Hari Pekerja telah mula disambut pada September 1882 di Amerika Syarikat.
``Oleh itu, tidak semua negara menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei. Pada peringkat permulaan, negara-negara fahaman komunis menyambut hari keistimewaan ini pada 1 Mei, manakala yang bukan komunis pada hari-hari yang lain,'' kata Setiausaha Kerja Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Getah Malaysia, A.J. Patrick.
Austria, Argentina, Belgium, Jerman, Norway (Hari Mei, 1 Mei), Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, Thailand, Perancis, Hong Kong, Vietnam, Korea Selatan dan Itali menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei, Kanada dan Amerika Syarikat (2 September), Jepun mengenalinya sebagai Hari Terima Kasih Pekerja (23 November), New Zealand (28 Oktober), Britain (6 Mei).
Bekas pemimpin MTUC itu menambah: ``Hari Pekerja pada peringkat awal disambut sebagai hari patriot untuk perjuangan kebajikan pekerja-pekerja.
``Tetapi, hari ini ia dilihat sebagai satu hari yang berlainan.''
Di peringkat awal kesatuan-kesatuan mengadakan mengikut kemampuan masing-masing, termasuk menganjurkan rapat-rapat umum dengan dihadiri antara 3,000 hingga 4,000 orang.
``Kini kemudahan bertambah baik, banyak kemudahan pengangkutan diadakan. Sambutan anjuran kerajaan pula menyediakan anugerah dan hadiah pengiktirafan kesatuan dan pekerja terbaik.
``Cara sambutan berbeza. Kesatuan sekerja seharusnya lebih ke depan dalam menganjurkan sambutan Hari Pekerja,'' kata Jamaluddin dengan merujuk cara sambutan peringkat Cuepacs pada masa sekarang.
Tambah beliau, ``pekerja-pekerja tidak merasai makna sebenar sambutan. Kesatuan tidak harus tenggelam dalam suasana sedemikian.'' Pengalaman lalu menunjukkan ucapan-ucapan pemimpin kesatuan lebih bersifat `mengapi-apikan' semangat para pekerja. Kini ia berubah sama sekali.

PENILAIAN PEGAWAI ATASAN LEBIH SESUAI

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia

ABD. LATIP JANTANJalan U Thant

SAYA ingin mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri yang peka dan melihat secara positif cadangan CUEPACS untuk menukar kaedah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) daripada bentuk peperiksaan kepada kaedah penilaian yang lain yang lebih sesuai.
PTK yang dikendalikan sekarang oleh jabatan kerajaan tidak menguji tugas sebenar yang dijalankan oleh pegawai berkenaan. Sukatan-sukatan peperiksaan PTK adalah terlalu umum dan tidak menguji kompetensi teknikal pegawai.
Seseorang anggota yang lulus PTK tidak menjamin anggota itu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik dalam menjalankan tugas jawatannya.
Pegawai yang lulus PTK mungkin kerana mereka menghafal subjek-subjek dalam sukatan peperiksaan sedangkan dari segi realitinya pegawai berkenaan tidak cemerlang dan berkemahiran dalam menjalankan tugasnya.
PTK berbentuk peperiksaan hanya menguntungkan kepada kakitangan muda yang baru dalam perkhidmatan awam. Kakitangan yang lama dan hampir bersara daripada perkhidmatan awam mendapati sukar untuk lulus.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota berkenaan dan membuatkan mereka kurang motivasi untuk meningkatkan kualiti kerja.
Sebenarnya, kaedah penilaian yang paling sesuai dalam mengukur kompetensi anggota ialah melalui penilaian yang dibuat oleh pegawai atasan.
Mereka lebih mengetahui siapa yang benar-benar telah menunjukkan mutu kerja yang cemerlang dan mempunyai kemahiran dalam menjalankan tugas bukannya penilaian melalui peperiksaan.
Penilaian lain yang boleh difikirkan ialah penilaian melalui Continuous Professional Development (CPD).
Dalam penilaian ini anggota perlu menunjuk kepada pengurusan atasan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperoleh oleh anggota melalui kursus atau seminar yang telah dihadiri, mesyuarat, pembacaan, kelayakan kepakaran lain yang diperoleh, kegiatan luar dengan masyarakat, penulisan dan penglibatan anggota dalam kegiatan jawatankuasa di jabatan.
Pihak pengurusan akan menilai hasil kegiatan anggota berkenaan dan memperakukan anggota tersebut diberi imbuhan yang setimpal atau layak untuk pertimbangan kenaikan pangkat.
Penilaian kaedah CPD dapat memastikan anggota perkhidmatan awam sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kerjanya sesuai dengan kemajuan teknologi masa kini dan dalam era dunia globalisasi ke arah mewujudkan anggota yang berpengetahuan (K-Workers).

GAJI BUKAN PENYEBAB HARGA BARANG NAIK

Petikan dai akhbar Utusan Malaysia

KANGAR 20 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak andaian pihak tertentu kononnya kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam menjadi punca utama kenaikan harga barang keperluan.
Bagaimanapun Presidennya, Omar Osman mengakui terdapat sesetengah peniaga yang cuba mengambil kesempatan atas kenaikan gaji dan elaun itu untuk menaikkan harga barang keperluan di pasaran.
Katanya, kenaikan harga barang juga disebabkan oleh faktor lain dan bukan semata-mata kerana gaji kakitangan awam dinaikkan.
''Kita ada membincangkan masalah kenaikan harga ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan Khamis lalu dan masalah yang bakal dihadapi oleh mereka yang bukan daripada sektor kerajaan termasuk golongan petani dan nelayan.
''Kita sedar sejak kebelakangan ini apabila gaji sektor awam naik, peniaga akan mengambil kesempatan. Sebab itu kesatuan bersetuju agar tiada pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagi mengelak kenaikan harga oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Bohor Temak di sini selepas menghadiri Persidangan CUEPACS Peringkat Negeri Perlis.
Khamis lalu, Omar memaklumkan persetujuan kerajaan terhadap tuntutan kongres berkenaan selepas pemimpin kanannya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri.
Tuntutan tersebut ialah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.
Bagaimanapun, tuntutan pemberian honorarium RM2,000 ditolak oleh kerajaan dan dipersetujui oleh CUEPACS yang mengambil kira keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang.

25 April 2008

CUEPACS serah kerajaan tentukan usia persaraan

KUALA LUMPUR 20 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan bagi menentukan usia persaraan wajib kakitangan awam.
Presidennya, Omar Osman berkata, cadangan awal pihaknya adalah untuk meningkatkan usia persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun.
"Namun dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tempoh hari, beliau telah memberikan gambaran bahawa persaraan pada usia 60 tahun adalah terlalu tua.
"Kami pun pada dasarnya menerima pandangan beliau itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, kini terpulang kepada Perdana Menteri dan kerajaan menentukan usia yang difikirkan sesuai iaitu antara 57 tahun hingga 60 tahun.
Mengulas mengenai kekeliruan kenyataan pihak CUEPACS berhubung isu peningkatan umur persaraan, beliau berkata, ia hanya kesilapan pemahaman.
"CUEPACS memberitahu, Perdana Menteri bersetuju agar umur persaraan dipertingkatkan, ini menyebabkan ramai yang terfikir bahawa kerajaan bersetuju ia ditingkatkan ke 60 tahun seperti yang dipohon pihak kami pada asalnya.
"Namun hakikatnya, kerajaan hanya bersetuju untuk mempertimbangkan peningkatan usia persaraan itu tanpa menyatakan secara tepat usia yang ditetapkan," katanya.
Ditanya peningkatan usia persaraan itu hanya akan membebankan pekerja sektor awam yang mungkin ingin bersara awal, beliau berkata, kerajaan akan memberikan opsyen bersara awal kepada semua kakitangan awam.
"Produktiviti pekerja yang terlalu tua juga tidak akan terjejas dan ia akan dipantau jabatan masing-masing," katanya.
Katanya, jika terlalu banyak masalah, mereka akan diminta menghadiri kaunseling untuk beberapa kali dan jika terus gagal akan dinasihatkan untuk bersara awal.