SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 Mei 2008

AKTA UMUR PERSARAAN DILULUS

Sedutan dari Akhbar Berita Harian
Oleh Anwar Hussin, Faiza Zainuddin, Sazarina Shahrim dan Norliza Wasilan
30 Mei 2008

Lanjutan usia pencen dianggap peluang kakitangan awam tabur bakti, jasa kepada negaraKUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan pindaan kepada Akta Pencen 1980 yang diberi nama Akta Pencen (Pindaan) 2008 bagi membolehkan umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun, berkuat kuasa 1 Julai ini. Akta itu membabitkan pegawai dan kakitangan yang bekerja sepenuh masa, namun mereka diberi pilihan untuk bersara pada umur persaraan wajib, 55 atau 56 tahun seperti pilihan mereka sebelum 1 Julai ini.
Turut diluluskan Rang Undang-undang Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008. Rang Undang-undang itu membabitkan perbelanjaan tambahan kepada kerajaan tetapi jumlahnya belum lagi ditentukan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kajian yang dibuat pada 2001 mendapati lanjutan umur persaraan itu tidak akan memberi kesan kepada masalah pengangguran.
"Perlanjutan ini tiada tujuan politik. Kalau ada tujuan politik kita dah lakukan sebelum pilihan raya. Lagipun ia hanya membabitkan 31,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam sedangkan jawatan kosong yang ada 200,000. Peluang pekerjaan tidak terjejas," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu. Beliau berkata, kerajaan juga akan menimbangkan untuk melanjutkan umur persaraan sehingga 60 tahun secara berperingkat. Katanya, umur persaraan itu tidak menimbulkan masalah kerana ramai kakitangan yang boleh bertugas sehingga berusia 60 tahun. "Ada anggota polis yang dipanggil semula untuk bekerja kerana mereka mempunyai kepakaran yang tidak ada pada pegawai yang sedia ada.
"Pada sesi akan datang saya akan mengatur taklimat khas bersama pegawai pencen dengan Ahli Parlimen," katanya. Beliau juga mahu lanjutan umur persaraan ini dianggap sebagai peluang keemasan untuk mereka menabur jasa kepada rakyat dan negara. Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum menangguhkan mesyuarat berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan dewan dan boleh dipertingkatkan.

AKTA PENCEN 2008 DILULUS

Sedutan dari akhbar Utusan Malaysia
30 Mei 2008

KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Akta Pencen (Pindaan) 2008 dengan menaikkan umur persaraan daripada 56 kepada 58 tahun berkuatkuasa 1 Julai ini.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, akta berkenaan dibuat khusus bagi kakitangan dan pegawai yang bekerja sepenuh masa dalam sektor awam.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang terlibat juga diberi pilihan untuk bersara pada usia 55 atau 56 tahun.
"Kajian terperinci dasar telah dibuat berdasarkan pengalaman dan maklum balas yang dibuat sejak 2001 dan tidak ada kesan negatif pengangguran.
"Sekarang ini ada 200,000 kekosongan (jawatan dalam sektor awam) jadi peluang pekerjaan yang ada tidak terjejas," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat hari ini.
Johari memberitahu, pelaksanaan undang-undang itu tidak ada kena mengena dengan kepentingan politik dan ia berteraskan kepada keperluan negara yang memerlukan pakar dalam bidang tertentu.
''Kita (kerajaan) juga bakal melanjutkan umur persaraan sehingga 60 tahun secara berperingkat. Semua kakitangan awam termasuk polis yang sudah bersara dan masih mahu bekerja, boleh berbuat demikian," jelasnya.
Katanya, rang undang-undang berkenaan melibatkan perbelanjaan wang tambahan, bagaimanapun jumlahnya masih belum dapat ditentukan lagi.
Dalam perkembangan lain, Dewan Rakyat juga meluluskan Rang Undang-Undang Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008 hari ini.

28 Mei 2008

PENCEN: KERAJAAN BAYAR RM718.8J

Dari Akhbar Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM718.8 juta setahun bagi membayar pencen pesara yang akan dihitung berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, meskipun peruntukan itu agak besar tetapi ia wajar untuk manfaat lebih 300,000 pesara yang pastinya akan meningkatkan kualiti hidup mereka.
''Ia (peruntukan RM718.8 juta) akan dibelanjakan dengan sebaik-baiknya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Dana PNB-SIF, di sini hari ini.
Menurut beliau, perbelanjaan tambahan itu akan mula dihitung pada 1 Januari 2009.
Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan yang bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu mengumumkan dasar baru pemberian pencen selain melanjutkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan menambah baik kaedah pelaksanaan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Dasar baru pemberian pencen yang melibatkan sejumlah 310,000 pesara berkuat kuasa 1 Januari 2009, manakala pelanjutan umur berkuat kuasa 1 Julai ini.
Sebelum ini pencen kakitangan dan pegawai awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan yakin bajet defisit pada tahun ini kekal pada 3.1 peratus meskipun menghadapi tekanan kerana terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi pembayaran pencen itu.
''Cabaran kepada kerajaan adalah hebat berdasarkan persekitaran semasa, pada masa sekarang, tidak ada perubahan pada unjuran bajet negara,'' kata beliau.

USIA PERSARAAN PENJAWAT AWAM BUKAN AUTOMATIK

Oleh Abdul Razak Raaff
Dari Akhbar Berita Harian

JPA jangka 830,000 kakitangan pilih berkhidmat hingga 58 tahun PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakan seramai 830,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam atau 70 peratus, memilih untuk terus berkhidmat sehingga mencapai usia 58 tahun iaitu umur persaraan wajib yang baru ditetapkan kerajaan. Sumber JPA berkata, 30 peratus atau 370,000 kakitangan awam pula tidak memilih untuk berbuat demikian, sebaliknya memohon persaraan pilihan apabila mencapai had usia 40 tahun. Katanya, dasar baru itu tidak dilaksanakan secara automatik sebaliknya tertakluk kepada opsyen yang akan dibuat setiap individu yang sedang berkhidmat, selain dilaksanakan sebagai syarat perkhidmatan kepada anggota yang sedang dilantik mulai 1 Julai ini.
Beliau berkata, setiap tahun dianggarkan kira-kira 15,000 anggota sektor awam pelbagai jawatan yang sedang berkhidmat di jabatan dan agensi kerajaan akan bersara. "Secara purata, antara 1,000 hingga 1,200 kakitangan awam yang akan bersara setiap bulan sama ada bersara wajib atau membuat pilihan untuk bersara awal," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam. Pada majlis perhimpunan sempena Hari Pekerja Sektor Awam 2008, di sini baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan insentif baru termasuk melanjutkan had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun, mulai 1 Julai ini.
Insentif lain ialah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia dan bayaran pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun masing-masing bermula 1 Januari 2009, manakala ibu atau bapa kakitangan awam meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia. Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kakitangan awam yang mencapai usia 56 tahun sebelum 1 Julai ini, hendaklah bersara wajib apabila tiba masanya kerana tidak tertakluk dengan dasar baru berkenaan. Sebaliknya, katanya, mereka yang sepatutnya bersara wajib selepas mencapai usia 56 tahun pada Julai ini, akan diberi pilihan untuk berkhidmat sehingga bersara wajib apabila mencapai usia 58 tahun pada 1 Julai 2010. "Pada tarikh dasar baru persaraan wajib dikuatkuasa semua kakitangan awam yang belum mencapai usia 58 tahun boleh terus berkhidmat, jika memilih untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata, bayaran faedah persaraan kepada kakitangan awam yang bersara pada atau selepas 1 Julai ini dan sudah menerima Kad Pesara dan Surat Kelulusan Faedah Persaraan, akan ditangguh sehingga Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA menerima maklum balas mengenai pilihan umur persaraan wajib mereka. Katanya, tawaran pelantikan secara kontrak selepas persaraan kepada anggota yang tidak memilih untuk bersara wajib pada 58 tahun adalah tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa yang melantik.

LANJUTAN USIA PERKHIDMATAN PERLU SYARAT TAMBAHAN

PESARA 2006
Kuala Lumpur

Keratan dari Akhbar Utusan Malaysia

TAHNIAH kepada pemimpin CUEPACS yang telah berjaya mendesak untuk lanjut usia persaraan dan sekali gus mereka juga mungkin akan melanjutkan perkhidmatan. Sebagai bekas kakitangan kerajaan dan menjadi orang biasa selepas bersara, saya berpendapat lanjutan umur persaraan merupakan satu pembaziran guna tenaga, kos dan masa.
Apakah desakan atau cadangan ini datang dari kakitangan bawahan, yang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk diperguna dalam membuat apa-apa 'keputusan' pentadbiran?.
Selama lebih 30 tahun saya berkhidmat dalam pelbagai jabatan, kecemerlangan sebenar tidak dapat diperolehi walaupun adanya anugerah khidmat cemerlang. Apatah lagi setelah bersara dan memerlukan perkhidmatan dari sesebuah jabatan. Ada sahaja dalih kakitangan kerajaan yang kita berurusan untuk melambatkan urusan. Semasa saya berkhidmat, kerenah-kerenah orang bawahan tidak terkawal kerana pelbagai 'silap mata' digunakan.
Setiap tahun puluhan ribu lepasan sekolah, kolej dan IPT keluar dari pusat pengajian dan mereka ini berebut-berebut di pasaran pekerjaan sedangkan penawaran terhad terutama sektor awam. Dengan lanjutan usia persaraan ke 58 tahun, maka sekali gus mereka terpaksa menunggu dua tahun untuk mengisi mana-mana jawatan yang sepatutnya kosong.
Faktor kesihatan adalah yang paling perlu diambil kira dalam melanjutkan usia persaraan. Kita tidak mahu dengar dan lihat, apabila kita berurusan, seseorang kakitangan membuat kerja dengan 'lemah lembut,' kerana tidak sihat, selalu pergi klinik/hospital, tidak hadir kerja kerana dapat cuti sakit. Hilang dari meja untuk berehat kerana penyakit lelah, sakit lutut tak boleh berdiri lama atau sebagainya.
Paling malang sekali, ada pula nanti membuat alasan hantar cucu/suami/isteri ke klinik. Ini disebabkan dalam tempoh umur begini suami atau isteri perlu rawatan. Akibatnya kerja ditinggalkan terbengkalai dan seterusnya pelanggan yang menjadi mangsa.
Oleh itu dalam melanjutkan umur persaraan ini, saya ingin memberi pendapat supaya diadakan tempoh percubaan sebagaimana tempoh percubaan pelantikan pertama.
Pada umur 55 dan 56 kekerapan seseorang itu mengambil rawatan dan bilangan cuti sakit yang diperolehi hendaklah diambil kira. Jumlah tertentu hendaklah ditetapkan kecuali kecederaan akibat kemalangan atau bersalin dalam dua tahun itu. Jika melebihi daripada hadnya, tidak perlu dilanjut tempuh perkhidmatan.
Seterusnya dalam tempoh usia 57 dan 58 juga had mengambil rawatan dan cuti sakit diambil kira. Kita tak mahu urusan kerja ditinggalkan yang mana mendatangkan kesusahan kepada pelanggan. Anggaplah kerja ini sebagai amanah dan bukan dua tahun berbulan madu dalam menghabiskan sisa-sisa usia atau mengambil dan mempergunakan peluang merebut sesuatu oleh mereka yang ada kuasa.

23 Mei 2008

KENAKAN SYARAT LANJUTAN USIA PERSARAAN 58 TAHUN

Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
- MOHAMED HATTA ABKem Terendak, Melaka.
23 Mei 2008


RAMAI kakitangan awam menyambut gembira pengumuman Perdana Menteri melanjutkan usia persaraan daripada 56 kepada 58 tahun. Keputusan itu tentu sekali menggembirakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah membuat pelbagai tuntutan meskipun pada waktu yang cukup gawat bagi kerajaan memenuhinya.
Kita percaya bahawa memang ada rasionalnya dalam perkara-perkara tuntutan CUEPACS. Tetapi isu kenaikan usia persaraan sudah cukup untuk diperkatakan di ruang yang kecil ini.
Pertama, berkaitan dengan isu kesihatan kakitangan awam. Kita semua tahu bahawa mereka yang telah mencecah usia 40-an mulai menghadapi risiko yang besar terhadap penyakit-penyakit seperti darah tinggi, gout, penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Risiko terhadap penyakit-penyakit itu dan penyakit lain sudah pasti semakin tinggi pada usia sekitar 50-an.
Mungkin kita boleh memberi laluan kepada kakitangan untuk terus bekerja pada usia sehingga 58 tahun berasaskan jangka hayat secara umum. Persoalannya, apakah semua kakitangan awam layak diberi lanjutan tempoh persaraan secara automatik tanpa mengambil kira keupayaan dan kesihatannya?
Ini harus difikirkan kerana sekiranya seseorang itu tidak mampu melakukan tugas seperti biasa, tentulah hal itu akan menjejaskan kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Kedua, kita ucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang telah berjaya menunjukkan prestasi kerja yang baik dan atas ganjaran yang diberikan oleh kerajaan.
Namun harus diingat bahawa terdapat juga sebahagian kecil kakitangan yang tidak menyumbang kepada prestasi kerja yang baik dan menumpang tuah daripada titik peluh mereka yang bekerja keras menyumbang kepada pembangunan, produktiviti dan perkhidmatan yang baik.
Wajarkah mereka yang tidak cekap dan bekerja sambil lewa untuk menikmati gaji bulanan ini menerima ganjaran kenaikan gaji sehingga maksimum 40 peratus sedangkan sikap dan motivasi kerja tidak berubah?
Apakah implikasinya kepada kerajaan yang terpaksa melanjutkan dua tahun lagi tempoh kerja untuk mereka sedangkan kerajaan sendiri mengalami kesukaran untuk memberi pencen awal kepada kakitangan yang bermasalah?
Saya ingin sarankan supaya kerajaan atau Jabatan Perkhidmatan Awam menyemak kembali perkara ini dalam konteks sumbangan positif yang boleh diperolehi oleh pihak kerajaan apabila memberi lanjutan tempoh bekerja selama dua tahun lagi.
Bagi mereka yang proaktif, mampu memberi idea yang baik, membawa perubahan berterusan dalam kerjaya dan kerjanya, menyumbangkan kepakaran dalam bidang atau kerja yang diceburi dan berkemampuan meneruskan produktiviti dan prestasi kerja yang baik, apa salahnya disambungkan perkhidmatan mereka. Bahkan itu merupakan suatu tindakan yang wajar dilakukan.
Tetapi bagi mereka yang kian merosot prestasi kerja, malas, suka curi tulang, tiada motivasi, tidak produktif dan boleh memberi imej yang buruk kepada perkhidmatan awam, haruskah ganjaran dua tahun lanjutan tempoh perkhidmatan itu diberi secara automatik?
Tidakkah ini juga melanjutkan beban kepada pihak majikan. Persoalan seperti ini kita ajukan, bukan bermakna kita tidak bersetuju dengan CUEPACS mahupun dengan keputusan kerajaan. Namun demi mempertahankan sikap murah hati kerajaan itu agar mendapat pulangan yang tidak merugikan, pelaksanaannya mungkin boleh diubah suai di mana perlu.
Dalam hal ini, saya memikirkan bahawa sangat baik jika kerajaan menetapkan suatu peraturan atau kaedah yang bersesuaian dan rasional sebelum seseorang itu diberikan lanjutan tempoh persaraan sehingga 58 tahun.
Contohnya, seseorang yang sudah mencapai usia 55 tahun diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan dia sihat dan boleh menjalankan kerja seperti biasa. Kakitangan itu juga wajar mempunyai laporan penilaian prestasi kerja yang baik atau cemerlang.
Demikian juga bagi kakitangan yang hendak diluluskan lanjutan tempoh persaraan harus mendapat sokongan dan pengesahan daripada ketua jabatannya terlebih dahulu berkaitan sikap serta kemampuan fizikal, emosi dan mentalnya.
Dengan cara ini, kerajaan akan mendapat jaminan tenaga kerja kakitangan awam yang berterusan produktif, cekap dan amanah.
Sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa tidak semua buah dalam satu bakul itu baik semuanya. Berpada-padalah kita menunaikan permintaan sesetengah pihak yang terlalu ghairah. Ada masanya kita perlu realistik dan melihat hakikat yang sebenarnya.

22 Mei 2008

10,000 BERMASALAH MASIH BERKHIDMAT

Petikan dari Akhbar Berita Harian
22 Mei 2008

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 kakitangan awam yang dikategorikan sebagai pekerja bermasalah masih bertugas di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata walaupun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan kakitangan awam, 1.2 juta orang, sikap dan masalah mereka boleh memberi kesan kepada prestasi perkhidmatan awam. “Mereka antaranya menghadapi masalah kesihatan, gangguan mental dan tidak berdisiplin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bagaimanapun, Omar berkata, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Awam 9/2007 yang baru, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), boleh bertindak tegas ke atas pekerja terbabit termasuk dibersarakan awal. “Kita berharap mereka yang dikategorikan tidak disiplin boleh mengubah sikap dan menjalankan tugas sebaik mungkin. “Kalau tidak mereka bakal berdepan tindakan kerajaan yang boleh dibersarakan awal daripada perkhidmatan,” katanya.
Omar juga berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan JPA bagi membincangkan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang baru untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu (Gred 17 hingga 40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga 54). Katanya, perjumpaan sama sudah diadakan minggu lalu untuk kategori kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua (Gred 1 hingga 16) dan ujian PTK untuk kumpulan itu dihapuskan, tetapi proses kenaikan pangkat dinilai mengikut prestasi kerja dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan. “Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh memenuhi tuntutan kakitangan awam, kita juga hendaklah memenuhi harapan Perdana Menteri dan menjadi jentera pentadbiran kerajaan yang cekap dan berdisiplin,” katanya.

20 Mei 2008

PENGIKTIRAFAN SKIM TUKANG

Pengiktirafan Skim Tukang K1, K2, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Ketukangan) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (Ketukangan) sebagai Perkhidmatan Kritikal. Sila rujuk pekeliling JPA
http://www.jpa.gov.my/docs/se/2008/se142008.pdf

19 Mei 2008

TINGKATKAN KEBERKESANAN SEKTOR AWAM: GHANI

Oleh Patricia Gari
Dari Akhbar Borneo Sarawak


Lanjut umur persaraan wajib membolehkan kakitangan berpengalaman mengajar kakitangan baru
KUCHING: Gabungan kakitangan berpengalaman dengan yang baru akan memantap dan meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian sektor awam di negara ini, kata Pengerusi Cuepacs Sarawak William Ghani Bina.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib kakitangan awam daripada 56 kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008, semalam.
“Secara profesionalnya, pada usia 55 dan 56 tahun seseorang itu berada di kemuncak profesionalismenya dan jika mereka diberi peluang berkhidmat untuk tiga tahun lagi, kumpulan ini mampu memimpin serta memberi tunjuk ajar kepada kakitangan baru.
“Gabungan darah muda dan lama juga akan membentuk sumber tenaga manusia yang berkualiti, baik dan berkesan.
“Ini secara tidak langsung akan membantu sektor swasta memainkan peranan berkesan sebagai jentera pembangunan negara,” ujarnya.
Kemantapan sistem penyampaian, katanya juga boleh dikongsi dengan pekerja baru.
Tidak dinafikan graduan yang baru bertugas berilmu tetapi mereka masih cetek pengalaman.
Menurut William, pada usia 55 hingga 58 tahun kakitangan awam mahupun swasta lebih matang dan mampu memfokus sepenuhnya kepada bidang tugas mereka kerana sudah memiliki kehidupan lebih stabil berbanding kakitangan yang baru bekerja.
“Saya percaya peringkat umur ini, kehidupan seseorang itu lebih stabil dan kukuh, anak-anak sudah besar dan ada yang sudah bekerja, dengan itu tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada tugas,” tambah beliau.
William, yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) berkata, keputusan itu adalah tindakan bijak kerajaan bagi meningkatkan lagi kemantapan sistem penyampaian kerana dalam kerajaan hanya ada 1.2 juta kakitangan sedangkan sektor swasta menghampiri 10 juta orang.
“Bagaimanapun, Kejayaan pihak swasta dan kemasukan pelabur asing di negara ini amat bergantung kepada kebolehan dan keberkesanan sistem pentadbiran sektor kerajaan yang diterajui kumpulan pekerja berpengalaman dan profesional,” ujarnya.
Beliau berkata tanpa sistem pentadbiran sektor awam dan swasta yang mantap, Malaysia hanya akan dilabel sebagai pembekal tenaga buruh murahan dan ini menjejaskan kedu-dukan negara di mata dunia.
“Saya percaya dengan memiliki tenaga buruh yang mahal tetapi terbukti berkualiti akan menarik lebih banyak pelabur asing melabur di negara ini kerana mereka yakin usaha mereka pasti membawa pulangan menguntungkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, graduan tidak perlu panik kerana nescaya kerajaan telah dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memerlukan tenaga mahir serta lepasan universiti.
“Graduan harus panik kerana sebelum membuat keputusan ini kerajaan telah mengkaji dengan mendalam kesannya dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

FEDERAL HOUSING LOANS IN THREE DAYS, SAYS JOHARI

By Irene C
From Borneo Newspaper
16 May 2008


KUCHING: Federal civil servants will have their housing loan applications processed within three working days beginning next month, said Housing Minister Dato Sri Abang Johari Tun Openg.
THANK YOU: Saifullah (left) presents a souvenir to Aziz (third left) while Johari (second left) looks on.
He said this would be made possible with the opening of the Federal Housing Office here this June.
“Previously, federal civil servants have to wait one to three years to get their housing loan applications processed as the applications are sent to Kuala Lumpur. With the opening of the office here, the processing will be much faster,” said Johari.
Aside from that, people without stable income like fishermen and farmers are now eligible to apply for loans amounting from RM25,000 to RM100,000.
He said financial aid of RM50 million was approved to help those without pay-slips to apply for the loan through Bank Simpanan Negara and Islamic Bank.
“As long as they have an income and a bank account, they can apply for the loan. The loan can also be used to purchase Rumah Mesra Rakyat (RMR), with only RM100 monthly payment until the age of 65 years,” he said.
Johari said this when launching the Defence Ministry Malaysia Civil Service Union (Kesatria) Sarawak Branch’s 2008 state-level Labour Day Celebration held at Bangunan Sultan Iskandar here yesterday.
A blood donation drive was also held in conjunction with celebration to help replenish blood supply at the Blood Bank in Sarawak General Hospital.
Also present were Kesatria Sarawak Branch chairman Saifullah Yahya and Congress of Unions of Employees in the Public and Civil (Cuepacs) deputy president Aziz Muda.





NASIB KAKITANGAN PILIH SKIM KWSP TERABAI?

Petikan dari Akbar Utusan Malaysia
19 Mei 2008

SAYA terpanggil untuk memberikan komen atas pengumuman kerajaan terhadap kakitangan awam baru-baru ini khususnya mereka yang memilih skim pencen. Sejak dahulu hingga kini perjuangan CUEPACS lebih tertumpu kepada kakitangan awam yang memilih skim pencen. Kami amat menghormati usaha CUEPACS ini dan mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan awam yang memilih skim pencen atas manfaat yang kerajaan berikan kepada mereka.
Namun di sebalik usaha CUEPACS ini dan keprihatinan pihak kerajaan terhadap kakitangan awam, golongan pemilih skim KWSP yang terdiri hanya lima peratus sahaja dari mereka amat terabai dan dianaktirikan.

Rasanya berpuluh surat telah dipaparkan di dada akhbar dan isu ini telah diketengahkan kepada CUEPACS tetapi sayangnya golongan pemilih skim KWSP langsung tidak pernah diberikan perhatian oleh kerajaan mahupun diperjuangkan oleh CUEPACS. Sedangkan dengan jumlah yang kecil (5%) sepatutnya usaha untuk memberikan kebajikan kepada golongan ini adalah lebih mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kami yang telah memilih skim ini akur atas keputusan yang telah dibuat disebabkan maklumat oleh majikan ketika itu adalah kabur dan tidak berpeluang untuk menukar kepada skim pencen.

Atas sebab itu kami merayu pihak kerajaan dan CUEPACS agar memberikan pertimbangan yang khusus kepada golongan pemilih skim KWSP iaitu:

l Menambah caruman majikan (kerajaan) kepada 17 peratus (sekarang 12 peratus).

l Menentukan dan menjamin jumlah dividen yang wajar untuk pencarum KWSP iaitu melebihi tujuh peratus setahun.

l Pemilih skim KWSP wajar dihargai atas sumbangan dengan perkhidmatan kerajaan dengan menerima ganjaran (graduiti) berdasarkan tempoh perkhidmatan.

l Pengeluaran khas untuk mengerjakan fardu haji pada usia muda (35 tahun ke atas) - syaratnya wang ini dibayar oleh KWSP terus kepada Tabung Haji.

l Kemudahan rawatan dan perubatan percuma di hospital kerajaan selepas bersara. (Apa yang dikesalkan ialah selepas ber- sara, pemilih skim KWSP tidak langsung dihargai sumbangannya).

Cadangan ini adalah amat wajar dipertimbangkan seterusnya diluluskan kerana pencarum KWSP dari kalangan kakitangan kerajaan tidak lagi mempunyai pendapatan selepas bersara, kos sara hidup yang semakin tinggi pada ketika usia tua, kadar inflasi yang menjejaskan simpanan, duit tabungan yang terpaksa dibelanjakan untuk perubatan dan kos-kos lain yang tidak dijangkakan. Segala kajian terhadap skim pencen selepas dari ini dan seterusnya tidak menguntungkan pemilih skim KWSP kerana mereka tidak terlibat apabila tamat perkhidmatan dengan kerajaan.

Pemilih KWSP yang terdiri dari hanya lima peratus dari keseluruhan kakitangan awam berharap agar kerajaan dan CUEPACS tidak terlepas pandang akan nasib mereka yang sehingga kini tiada pembelaan. Kepada CUEPACS yang sedang memperjuangkan kebajikan kakitangan awam, pandanglah juga pemilih skim KWSP yang selama ini diabaikan. Bantulah kami yang juga anggota perkhidmatan awam sama seperti pemilih skim pencen.

WAKIL PEMILIH SKIM KWSP

Kuala Nerang, Kedah.

16 Mei 2008

DASAR BARU PERSARAAN DAN PENCEN

Maklumat ini diambil dari laman web JPA Bahagian Pencen Sila Klik http://www.jpapencen.gov.my/dasar_baru.html

Cebisan Ucapan Y.A.B Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad BadawiPerdana Menteri Malaysia Di Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 200810 Mei 2008 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

1.Antara kandungan ucapan Y.A.B Perdana Menteri mengenai dasar baru persaraan dan pencen : “... kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuatkuasa mulai 1 Julai 2008..."; ”Mengenai pencen terbitan, pada masa ini salah satu syarat pencen terbitan yang dibayar kepada ahli keluarga gemulah ialah kadarnya akan disusut 70% selepas 12 ½ tahun dari tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan anggota sektor awam. Berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil semasa kematian gemulah, syarat ini agak membebankan dari segi kewangan. Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan ini mulai 1 Januari 2009. Ini bermakna pencen terbitan ini akan dibayar 100% kepada ahli keluarga gemulah. ”... kerajaan bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima pencen berkuatkuasa 1 Januari 2009. Sebelum ini, pencen pegawai perkhidmatan awam dihitung dengan mengambilkira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun. Dasar baru ini juga meliputi persaraan dan kematian dalam perkhidmatan sebelum tarikh kuatkuasa. Walau bagaimanapun kadar pencen yang dihitung semula akan dibayar mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan.”; dan ”Buat ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan mulai 1 Januari 2009.”

2. Sebelum ini kerajaan telah bersetuju memansuhkan syarat pemastautinan di Malaysia bagi pemberian pencen terbitan melebihi 12 ½ tahun dan penyelarasan pencen berkuatkuasa mulai Januari 2008

HURAIAN I.
Umur persaraan wajib anggota sektor awam dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun :
Tidak dilaksanakan secara automatik sebaliknya tertakluk kepada opsyen yang akan dibuat oleh setiap individu yang sedang berkhidmat. Dilaksanakan sebagai syarat perkhidmatan kepada anggota yang sedang dilantik mulai 1 Julai 2008.
Opsyen turut diberikan kepada mereka yang telah memilih kekal bersara wajib apabila mencapai umur lima puluh lima (55) tahun mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2001.
Opsyen juga akan diberi kepada mereka yang telah memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Seseorang pegawai yang sepatutnya bersara wajib kerana mencapai umur 56 tahun pada 1 Julai 2008 (iaitu tarikh kelahirannya ialah 1 Julai 1952) akan diberi opsyen untuk berkhidmat sehingga beliau bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun (iaitu pada 1.7.2010). Ini adalah kerana pada 1 Julai 2008 (iaitu tarikh kuat kuasa dasar baru persaraan wajib apabila mencapai umur 58 tahun), semua pegawai yang belum mencapai umur 58 tahun pada tarikh itu (termasuk pegawai yang mencapai umur 56 tahun pada tarikh itu) boleh terus berkhidmat sehingga persaraan apabila mencapai umur 58 tahun sekiranya beliau memilih untuk berbuat demikian. Sebaliknya, seseorang pegawai yang mencapai umur 56 pada 30 Jun 2008 atau sebelumnya (iaitu yang telah dilahirkan pada 30.6.1952 atau sebelumnya) TIDAK diberi opsyen berkenaan dan hendaklah bersara wajib apabila mencapai umur 56 tahun kerana beliau tidak sempat diliputi oleh dasar baru yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2008.
Anggota yang akan bersara pada atau selepas 1 Julai 2008 dan telah menerima Kad Pesara dan Surat Kelulusan Faedah Persaraan sebelum ini, bayaran faedah persaraan akan ditangguh sehingga Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam menerima maklumbalas mengenai opsyen pilihan umur persaraan wajib yang akan dibuat oleh anggota berkenaan.
Tawaran pelantikan secara kontrak selepas persaraan kepada anggota yang tidak memilih untuk bersara wajib pada umur lima puluh lapan (58) tahun adalah tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa melantik


II. Menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Formula pengiraan pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun merangkumi juga mereka yang telah bersara sebelum 1 Julai 2008 dan kadar baru hanya akan dibayar pada 1 Januari 2009 tanpa tunggakan.
Dasar baru ini tidak memberi kesan kepada mereka yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira tiga ratus (300) bulan atau kurang.
Contoh 1 : Pegawai mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira selama 365 bulan dengan gaji akhir sebanyak RM2000.00
Pencen pada 31.12.2008
Pencen mulai 1.1.2009
300 bulan/600 x RM2000.00
= RM1000.00 sebulan
360 bulan/600 x RM2000.00
= RM1200.00 sebulan
(*) Pegawai yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira selama 300 bulan atau lebih akan menerima tambahan 20% daripada pencen yang dihitung mengikut dasar lama.
Contoh 2 : Pegawai mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira selama 322 bulan dan gaji akhir yang diterima ialah RM2000.00
Pencen pada 31.12.2008
Pencen mulai 1.1.2009
300 bulan /600 x RM2000.00
= RM1000.00 sebulan
322 bulan/600 x RM2000.00
= RM1073.33 sebulan

III.
Pencen terbitan akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga gemulah mulai tarikh tersebut.
Contoh 3 : Pegawai A mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira selama 290 bulan. Gaji terkahir bersamaan pada 1 Julai 2007 ialah RM2000.00. Kini setelah 17 tahun beliau meninggal dunia, berapakah kadar baru pencen terbitan yang akan diterima oleh balu pada 1 Januari 2009?
Pencen Terbitan sebelum susut
Pencen Terbitan Selepas 12 ½ tahun (susut menjadi 70%)
Pencen Terbitan mulai 1 Januari 2009
290 bulan / 600 x RM2000.00 = RM966.66 sebulan
290 bulan / 600 x RM2000.00 x 70% = RM676.66 sebulan
290 bulan / 600 x RM2000.00 x 100% = RM966.66 sebulan
Contoh 4 : Pegawai B mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukira selama 375 bulan. Gaji terkahir bersamaan pada 1 Julai 2007 ialah RM2000.00. Kini setelah 17 tahun beliau meninggal dunia, berapakah kadar baru pencen terbitan yang akan diterima oleh balu pada 1 Januari 2009?(*) Kesan dasar baru menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan pembayaran pencen 100% seumur hidup
Pencen Terbitan sebelum susut
Pencen Terbitan Selepas 12 ½ tahun (susut menjadi 70%)
Pencen Terbitan mulai 1 Januari 2009
300 bulan / 600 x RM2000.00 = RM1000.00 sebulan
300 bulan / 600 x RM2000.00 x 70% = RM700.00 sebulan
360 bulan / 600 x RM2000.00 x 100% = RM1200.00 sebulan

IV.
Ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali gus atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan mulai 1 Januari 2009.
Ex-Gratia akan dibayar hanya kepada ibu atau bapa kepada pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan awam tanpa meninggalkan ahli keluarga tanggungan.
Formula pengiraan ex-gratia sedang diperhalusi olej Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia bersama dengan Seksyen Pasaran Kewangan dan Aktuari, Perbendaharaan Malaysia.

15 Mei 2008

LANGKAH LANJUT UMUR BERSARA JIMATKAN WANG KERAJAAN

Petikan dari Akhbar Berita Harian
Minda Pengarang:

MULAI 1 Julai ini, had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun, manakala pencen akan dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2009. Sudah pasti ada yang suka dan tidak suka dengan pengumuman ini. Ada yang mendakwa tindakan itu akan menutup peluang tenaga muda untuk naik pangkat dan ada pula yang menganggap, ia akan meningkatkan lagi masalah pengangguran. Sudah pasti kerajaan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kadar jangka hayat di kalangan rakyat kita serta kos operasi kerajaan sebelum memenuhi tuntutan Cuepacs itu yang sudah dikemukakan sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini, umur persaraan wajib ialah 55 tahun dan dilanjutkan kepada 56 tahun pada Mei 2001. Pada tahun pertama pelaksanaannya ketika itu, kerajaan dianggar dapat menjimatkan pencen berjumlah RM173 juta. Dengan melanjutkan usia persaraan wajib kepada dua tahun lagi, difahamkan kerajaan mampu menjimatkan RM5.3 bilion setahun untuk bayaran gratuiti dan pencen. Jumlah itu tidak termasuk berbilion ringgit lagi yang perlu disediakan setiap tahun bagi membiayai kos gaji kakitangan yang sudah bersara, tetapi diambil bekerja semula secara kontrak. Sebenarnya, kerajaan lebih untung apabila melanjutkan umur bersara wajib kerana boleh menggunakan kemahiran dan pengalaman kakitangan terbabit lebih lama berbanding terpaksa membayar hampir dua kali ganda iaitu, gaji baru dan pencen setiap bulan jika pesara diambil bekerja semula secara kontrak.
Jika diteliti secara rasional, dengan menaikkan usia persaraan akan mampu menjimatkan lebih banyak wang negara. Negara maju juga sudah membuktikan bahawa pelaksanaan umur persaraan sehingga lebih 60 tahun tidak menyebabkan berlakunya pengangguran, malah meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam. Masalah pengangguran di negara ini bukan berpunca kerana faktor umur persaraan, tetapi disebabkan sikap terlalu memilih pekerjaan dan lebih mengharapkan kerja 'makan gaji'. Pengalaman datang dengan umur dan perkara itu tidak boleh dinafikan. Malah, langkah melanjutkan usia persaraan juga tidak mungkin menyekat peluang golongan muda naik pangkat. Isu ini tidak timbul kerana 75 peratus rakyat Malaysia adalah belia dan warga tua tidak ramai. Dalam membuat keputusan, pasti kita perlu merujuk kepada mereka yang berpengalaman. Lagipun jika dilihat kepada kelompok masyarakat zaman sekarang, mereka masih kuat dan mampu bekerja walaupun umur sudah mencecah 65 tahun. Justeru, sewajarnya pengalaman kakitangan sebegini terus digunakan untuk kepentingan sektor awam.
Namun, pelaksanaan itu hanya boleh digunakan untuk kakitangan yang benar-benar mampu menyumbang dan tidak menimbulkan masalah dalam perkhidmatan. Malah, melanjutkan usia persaraan secara tidak langsung membantu kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana yang akan bersara. Mereka ini, terutama yang mempunyai tanggungan besar dan masih bersekolah akan berdepan masalah kewangan selepas menamatkan perkhidmatan, termasuk masalah kenaikan harga barang keperluan ketika ini. Apabila tiba masa bersara wajib pada usia 56 tahun, mereka perlu mencari kerja lain bagi sumber pendapatan berikutan pencen diterima tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga. Bagaimanapun, apa yang lebih penting mereka yang diberi peluang terus bekerja ini tidak sekadar menjadi penumpang, sebaliknya berkhidmat dengan lebih baik dan gigih

WAKTU MINUM PENJAWAT DIATUR

Petikan dari Akhbar Berita Harian

PUTRAJAYA: Waktu rehat bagi kakitangan awam cuma dari jam 12.45 tengah hari hingga 2 petang, kecuali Jumaat mulai 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Beliau menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menetapkan waktu keluar minum pagi atau petang, sebaliknya amalan itu bergantung kepada budi bicara ketua jabatan masing-masing. Sehubungan itu, beliau mahu ketua jabatan mengatur waktu minum pagi dan petang di bilik pantri di pejabat bagi mengelak pegawai dan kakitangan awam keluar ke kafeteria atau medan selera.
“Saya minta ketua jabatan mengatur waktu minum pagi dan petang dengan lebih berkesan kerana setiap pejabat ada pantri masing-masing. “Ini perlu dilakukan supaya tidak mengganggu tugas, selain dapat mengekalkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau diminta mengulas perbuatan sebilangan kakitangan awam yang sering keluar untuk minum pagi dan petang di kafeteria atau medan selera sehingga menimbul prasangka buruk masyarakat terhadap perkhidmatan awam.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapannya sempena majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), meminta 1.2 juta kakitangan awam terus meningkatkan kecekapan dan bertindak pantas dalam membuat keputusan supaya perkhidmatan awam dihormati. Presiden Cuepacs, Omar Osman, pula mengesyorkan kakitangan awam mengambil masa kurang setengah jam untuk sarapan pagi atau minum petang supaya dapat memberi tumpuan memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan. Omar juga menyarankan kakitangan awam menggunakan bilik pantri sepenuhnya bagi mengelak mereka kerap keluar dari pejabat untuk minum pagi dan petang. “Kita minta ketua jabatan supaya kerap berbincang dengan kakitangan untuk mengingatkan mereka mengenai usaha kerajaan memartabatkan perkhidmatan awam dan memberi layanan kelas pertama kepada pelanggan.
“Sebagai kakitangan awam, kita perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat,” katanya

14 Mei 2008

CONTOHI KOREA HADAPI KRISIS MAKANAN

Petikan dari Utusan Malaysia
14 Mei 2008


JIKA tidak kerana krisis beras dunia yang kini merebak ke negara kita pula, pasti kebanyakan penduduk negara ini langsung tidak pedulikan sektor berkenaan walaupun setiap hari kita makan nasi.
Kebanyakan kita juga mungkin langsung tidak pernah melihat pokok padi atau buah padi itu sendiri sebelum dikisar menjadi beras.
Mungkin kita lebih ghairah untuk mengetahui tentang bagaimana rupa pokok epal, anggur atau strawberry.
Mengapakah itu berlaku? Sedangkan nasi adalah makanan ruji penduduk negara ini dan merupakan barang keselamatan yang sepatutnya diberi perhatian yang lebih.
Ia adalah kerana kita menganggap sesuatu yang setiap hari kita lakukan dan mudah diperolehi adalah terlalu remeh untuk difikirkan.
Kita lebih sibuk memikirkan tentang sektor perindustrian dan perkhidmatan yang dapat menjana pendapatan berkali ganda lebih besar berbanding sektor pertanian.
Pada pandangan kebanyakan kita, apabila ada wang kita akan dapat membeli apa sahaja dan mustahil kita tidak dapat membeli beras!
Tanggapan sedemikian menyebabkan sektor berkenaan dibiar berjuang untuk terus hidup dan relevan dalam kepesatan pembangunan negara.
Walaupun terdapat bantuan kerajaan tetapi ia tidak memberangsangkan sehingga dapat menarik lebih banyak pihak me- nyertai bidang berkenaan.
Sedangkan negara Amerika Syarikat yang terpaksa mengadakan kempen besar-besaran untuk menggalakkan rakyat memakan nasi, telah menanam padi sejak 300 tahun lalu dan terus meningkatkan teknologi dalam bidang itu sehingga menjadi negara keempat pengeksport uta- ma beras dunia.
Lantaran situasi itu di negara ini kebanyakan petani terpaksa menerima hakikat selepas ditolak kos dan kudrat yang dicurahkan mereka hanya memperolehi pahala telah melaksanakan fardu kifayah iaitu memastikan penduduk negara ini tidak kelaparan nasi.
Golongan muda langsung tidak berminat untuk melibatkan diri dalam bidang berkenaan kerana tidak mempunyai reputasi yang tinggi dalam masyarakat dan tidak menjanjikan pendapatan yang sewajarnya.
Tapi apa yang berlaku kini, apabila be- kalan beras itu sendiri tidak mencukupi. Duit yang banyak sekalipun belum tentu dapat membelinya.
Samalah juga dengan penjagaan kesihatan kebanyakan kita cukup kedekut un- tuk berbelanja bagi aktiviti yang menyihatkan badan, tetapi apabila jatuh sakit barulah kita menyesal - segala wang yang disimpan selama ini tidak lagi bermakna.
Kini ramai yang panik dan sehingga timbul cadangan supaya dikurangkan pengambilan nasi bagi mengatasi masalah itu kerana nasi yang diambil berlebihan memudaratkan kesihatan.
Dalam hal ini kita perlu belajar dari negara jiran kita Thailand yang merupakan pengeksport utama beras dunia. Thailand cukup serius dalam hal berkenaan kerana bukan sahaja penduduknya memakan nasi, bahkan ia memberi pendapatan yang lumayan, apatah lagi dalam suasana sekarang bila harga beras naik mendadak.
Jadi tidak hairanlah negara berkenaan mempunyai kementerian yang khusus mengendalikan hal ehwal beras dan mungkin sudah tiba masanya Malaysia juga mengikut jejak berkenaan mewujudkan 'kementerian beras'.
MundurIni adalah kerana penanaman padi ber- kait rapat dengan alam semula jadi atau dalam kata lain ia adalah di luar kawasan kita.
Kita boleh tingkatkan pengeluaran atau mengurangkan pengeluaran kereta mengikut keadaan pasaran, tetapi tidak dalam bidang pertanian.
Jika berlaku bencana alam seperti banjir, sawah padi akan musnah secara langsung pengeluaran padi pasti berkurangan - bermakna bekalan beras merosot.
Begitu juga ketika negara memerlukan bekalan tambahan beras, ia tidak akan dapat ditingkatkan pengeluarannya dalam masa yang singkat. Masalah itu hanya dapat diselesaikan dengan mengimport lebih banyak bahan makanan itu.
Jadi ia memerlukan perancangan rapi dan memerlukan stok yang mencukupi bagi menghadapi ketidaktentuan itu.
Sebenarnya memang memalukan walaupun negara kita sudah merdeka 50 tahun, pertanian kita masih lagi mundur terutama di dalam bidang penanaman padi.
Jika kita lihat di Sarawak iaitu negeri yang terbesar di negara ini penanaman padi masih menggunakan kaedah pertanian tradisional termasuk teknik me- nanam padi dan menuai hasil.
Sedangkan jika tanah yang luas di ne- geri berkenaan dimanfaat dari dahulu lagi dengan penanaman padi secara moden, pastinya kini kita tidak perlu merayu negara jiran untuk memastikan perut rakyat sendiri tidak kelaparan.
Meminta rakyat mengubah cara hidup dengan mengurangkan pengambilan nasi bukan satu keputusan yang bijak dan disenangi oleh rakyat kerana ia hanya menunjukkan berapa dangkalnya pemikiran kita serta gagal membuat perancangan jangka panjang bagi memastikan masalah sedemikian tidak berlaku.
Kita patut melihat negara Korea, kerana menyedari penduduknya menggunakan beras sebagai makanan harian negara berkenaan sentiasa memastikan penanaman padi diberi keutamaan walaupun ketika perindustrian pesat membangun.
Sawah padinya tetap melaut luas dan tidak ada seinci tanah yang dibiarkan ko- song, pastinya ditanam dengan padi atau aktiviti pertanian lain.
Di Malaysia keadaan berbeza, tanah terbiar berjuta-juta hektar dan sebahagian besarnya melibatkan sawah padi dan sawah padi yang ada pun ditambak dan dijadikan kawasan perumahan.
Jadi ambil iktibar daripada krisis beras yang melanda dunia dan negara kini supaya masalah yang sama tidak akan berulang.

TAHNIAH KDRM DAN KESATUAN PEGAWAI KASTAM DARI CUEPACS

KDRM antara tujuh terbaik dunia

Sedutan Akhbar Utusan Malaysia
Oleh Suffian abu bakar

MUAR 13 Mei - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengharumkan nama negara apabila diiktiraf menjadi antara tujuh jabatan kastam terbaik di dunia dan diundang menyertai pameran dan pembentangan kertas kerja pada program Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) di Brussels, Belgium, Jun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid berkata, KDRM terpilih kerana didapati menepati 17 standard yang ditetapkan oleh pertubuhan itu untuk dijadikan model fasilitator kepada jabatan-jabatan kastam lain di seluruh dunia.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan jabatan tersebut sentiasa berusaha gigih menilai tambah aktiviti dan perkhidmatan mereka supaya ia dapat memenuhi keperluan kerajaan dan rakyat.
"Pengiktirafan itu menjadikan KDRM terus bersemangat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan rakyat Malaysia.
"KDRM adalah di antara tujuh jabatan kastam yang terbaik dan kita yakin prestasi ini akan dapat dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) kali ke-27 Sekolah Kebangsaan Belemang, dekat sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, jabatan itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada Bank Dunia yang meletakkan KDRM di tangga ke-23 terbaik daripada 172 jabatan kastam di seluruh dunia.
Di peringkat Asia Pasifik pula, katanya, KDRM adalah yang keenam terbaik daripada 32 jabatan kastam, manakala di kalangan negara-negara membangun, KDRM dipilih sebagai negara pertama yang terbaik dari segi pembangunan organisasi dan perkhidmatan.
Menurutnya, kejayaan KDRM membentangkan kertas kerjanya yang terbaik pada Persidangan 12 negara Asia Pasifik baru-baru ini juga meningkatkan penilaian dan tahap pengkelasan jabatan itu untuk tahun 2008.
"Selain itu, KDRM juga dipilih untuk mengetuai tiga tugas penting di peringkat WCO iaitu sebagai Suruhanjaya Polisi, Audit dan Pengurusan Integriti menjadikan jabatan ini berpeluang untuk terus diiktiraf di kedudukan yang terbaik bagi tahun 2008," jelasnya.
Sementara itu, kata Abdul Rahman, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan cukai jabatan antara RM27 billion hingga RM28 billion untuk tahun ini, sekali gus mengatasi kutipan sebanyak RM25 billion sepanjang tahun lalu.
Katanya, kutipan cukai tersebut yang membabitkan kutipan duti, eksais dan perkhidmatan mampu dicapai kerana sehingga hari ini, sebanyak RM9.45 billion telah dikutip.
"Jumlah itu dijangka meningkat kepada RM11 billion pada penghujung bulan ini," jelasnya.

SAMBUTAN HARI PEKERJA TAHUN 2008 DI KUCHING SARAWAK

Sambutan Hari Pekerja Negeri Sarawak akan diadakan pada 15 Mei 2008 bertempat di tingkat 17 , Bangunan Sultan Iskandar, Kuching. Majlis tersebut dianjurkan oleh KESATRIA Negeri Sarawak. Jawatankuasa tertinggi CUEPACS dari Ibupejabat yang akan hadir terdiri dari Sdr. Azih Muda (Timbalan Presiden I), Sdr. Ahmad Shah Mohd Zin AMN, PJK (Setiausaha Agung), Sdr, Ku Azmi Ku Ibrahim (Timbahan Setiausaha Agung III) dan Sdr. Jaafar Mansor (Timbalan Setiausaha Kewangan ). Sambutan Hari Pekerja ini akan dirasmikan oleh YB Dato' Sri Abang Hj. Abdul Rahman Zohari bin Abang Hj, Openg PNBS JBS. Acara akan bermula pada 8.00 pagi.

EX-GRATIA PENJAWAT TANPA WARIS IKUT KHIDMAT

Petikan dari Akhbar Berita Harian

PUTRAJAYA: Kaedah bayaran pemberian sekali atau ex-gratia kepada ibu bapa kakitangan awam yang meninggal dunia tanpa mempunyai waris akan mengambil kira tempoh perkhidmatan mereka yang layak menerimanya, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam. Beliau berkata, pemberian insentif seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu semalam, adalah satu kaedah baru yang dipersetujui kerajaan berbanding pencen terbitan yang diberi sebelum ini. "Jumlah berapa banyak bayaran ex-gratia ini masih belum ditentukan kerana pastinya ada formula khusus seperti bergantung kepada berapa lama kakitangan awam berkhidmat.
"Ini adalah satu pemberian kerajaan kepada keluarga demi kebajikan mereka," katanya selepas majlis perhimpunan Hari Pekerja 2008 Sektor Awam, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam. Insentif lain ialah had usia persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun, manakala tiada peperiksaan bertulis Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terhadap kakitangan awam kumpulan sokongan gred 1 hingga 16. Selain itu, pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia mulai 1 Januari 2009 dan bayaran pencen dibuat mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kakitangan awam masih mempunyai pilihan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan, walaupun usia persaraan sudah dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun. "Mereka perlu bersetuju sama ada mahu meneruskan perkhidmatan sehingga mencapai usia 58 tahun. "Mengikut Akta Pencen, mereka mempunyai pilihan untuk menentukan mahu terus berkhidmat sehingga mencapai had usia persaraan selepas berusia 40 tahun," katanya. Mengenai bayaran pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun, Ismail berkata, ia meliputi semua lapisan kakitangan awam dan akan memberi manfaat kepada semua pesara.
"Semua (anggota sektor awam) akan dapat faedahnya dan baik kepada mereka kerana mendapat bayaran tambahan selepas dikira semula tempoh lima tahun berkhidmat, tetapi tiada bayaran tunggakan akan dibuat seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri," katanya.

INSENTIF MESTI DIBALAS DENGAN PERKHIDMATAN BERKESAN

Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia

PENJAWAT awam dan pesara pasti gembira apabila kelmarin kerajaan mengumumkan beberapa insentif yang memberi manfaat kepada mereka.
Dengan pengumuman itu juga maka segala cakap-cakap kononnya kerajaan tidak prihatin tentang kakitangan awam terhapus.
Ternyata kedudukan pekerja-pekerja di sektor awam sentiasa menjadi keutamaan, cuma soalnya bilakah masa yang sesuai untuk tuntutan-tuntutan mereka dipenuhi.
Pelaksanaan dua dasar pemberian pencen misalnya memberi kelegaan kepada kakitangan awam kerana pencen mereka kini dihitung berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun.
Begitu juga dengan lanjutan usia persaraan daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan langkah menambah baik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang tidak boleh dinafikan adalah demi kebaikan penjawat awam.
Ternyata kerajaan bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai insentif kepada kakitangan awam kecuali tidak dapat memenuhi permintaan supaya mereka dibayar honorarium RM2,000.
Oleh itu, sudah tiba masanya bagi semua kakitangan awam tanpa mengira apakah gred dan pangkat mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
Hakikatnya, ini bukan kali pertama kerajaan mengumumkan insentif untuk kakitangan awam, sejak dulu lagi mereka telah dilimpahi dengan pelbagai kemudahan dan keistimewaan.
Pengumuman yang terbaru itu hanya melengkapkan pakej kemudahan yang sedia ada. Cuma pakej itu akan menjadi bertambah menarik jika kakitangan awam menunjukkan kecekapan yang tinggi sama seperti usaha mereka membuat tuntutan demi tuntutan.
Untuk menjadikan perkhidmatan awam di Malaysia sebagai antara yang terbaik di dunia tidak cukup sekadar menunggu pihak kerajaan mengumumkan insentif demi insentif.
Setiap kakitangan mesti berusaha mencari jalan supaya perkhidmatan yang ditawarkan mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.
Perkhidmatan awam di negara ini masih dibelenggu oleh persepsi malas dan lembap, oleh itu usaha untuk mengubah tanggapan tersebut mesti disegerakan.
Layanan tidak mesra pelanggan di kaunter-kaunter hadapan misalnya masih hebat diperkatakan selain masalah curi tulang di kalangan kakitangan awam tidak dapat disembunyikan dengan mudah.
Sebab itu, setiap kakitangan awam mesti menanamkan azam supaya hanya perkhidmatan yang cekap dan berkesan sahaja yang akan ditawarkan kepada pelanggan.
Masa untuk curi tulang, malas menjawab panggilan telefon dan berat melemparkan senyuman mesti dipadam sama sekali dari diari perkhidmatan kakitangan awam.
Kita tidak mahu kakitangan awam di negara ini dikatakan terlalu mengejar imbuhan sedangkan mutu perkhidmatan mereka masih di takuk lama dan dipersoalkan oleh para pelanggan

13 Mei 2008

UMUR BERSARA KINI 58


Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia


Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan tetamu yang hadir pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.– Bernama


PUTRAJAYA 10 Mei – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan kakitangan awam daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kadar jangka hayat di kalangan rakyat Malaysia.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Pekerja Sektor Awam 2008 di sini hari ini, beliau menegaskan, berdasarkan kajian kerajaan ia tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan siswazah-siswazah baru.
‘‘Ini penting agar para penjawat awam generasi muda tidak merasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya mereka semakin tipis, malah sebaliknya ia kian bertambah baik,” kata beliau.
Perhimpunan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertemakan Sektor Awam Cemerlang, Negara Terbilang itu dihadiri 4,000 kakitangan awam dari seluruh negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Menurut Perdana Menteri, pengumuman tentang pelanjutan umur persaraan itu adalah antara beberapa keputusan yang dibuat kerajaan terhadap tuntutan CUEPACS.
‘‘Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan CUEPACS termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan tetap, ia masih dalam penelitian kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam ketika ditemui selepas majlis itu berkata, pelanjutan umur persaraan yang diumumkan kerajaan hari ini tidak diwajibkan kepada kakitangan awam.
Sebaliknya, kata beliau, mereka diberi pilihan untuk menyambung perkhidmatan sehingga 58 tahun bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
‘‘Contohnya anggota keselamatan seperti polis, jika ingin menyambut perkhidmatan dua tahun lagi, mereka perlu memastikan diri benar-benar berupaya untuk meneruskan tugas.
‘‘Apa pun, JPA menyambut baik pengumuman kerajaan hari ini dan berharap ia akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan,” katanya
.

12 Mei 2008

SAYA TIDAK BUAT KEPUTUSAN UNTUK JADI POPULAR

Petikan Dari Akhbar Utusan


PUTRAJAYA 10 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan membuat sesuatu keputusan yang tidak realistik semata-mata untuk menjadi popular di kalangan penjawat awam negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, cara itu bukan hanya akan menyusahkan dirinya dan negara, tetapi juga sektor awam secara keseluruhan di kemudian hari.
''Saya bukan seronok (lihat) orang (penjawat awam) susah dan jika boleh tolong, saya akan tolong tetapi jika tidak boleh, apa boleh buat.
''Bukan sengaja nak jadi kedekut tetapi penjawat awam perlu faham, kalau hari ini tidak boleh, mungkin esok boleh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 yang dihadiri seramai 4,000 penjawat awam seluruh negara di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.
Dalam amanatnya hampir sejam itu, Abdullah mengingatkan kakitangan kerajaan supaya terus menjadikan sektor awam sebagai pemangkin kepada kemajuan sektor swasta di negara ini.
Tegasnya, ingatan tersebut perlu kerana penerusan dasar dan polisi pembangunan negara bergantung kepada sejauh manakah keberkesanan sektor awam melaksanakannya.
''Usaha penjawat awam mencapai kecemerlangan bukan hanya dinikmati kalangan mereka sahaja tetapi juga sektor swasta.
''Kakitangan awam perlu mempunyai perasaan bangga kerana boleh melaksanakan apa yang dirancangkan oleh kerajaan, rakyat dan pelanggan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kakitangan awam perlu meningkatkan keupayaan dan memperkasakan diri dengan ilmu yang berkaitan dari semasa ke semasa.
''Ini supaya kita dapat tahu apa perubahan yang berlaku dan pendekatan terkini yang digunakan dalam menjadikan sektor awam lebih cemerlang dan gemilang," katanya.

BAIKI TAHAP PERKHIDMATAN TANDA TERIMA KASIH, KATA PRESIDEN CUEPACS

10 Mei, 2008 16:21 PM
Petikan dari Bernama



PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Anggota sektor awam diminta memperbaiki tahap perkhidmatan mereka sebagai penghargaan kepada kesediaan kerajaan memenuhi beberapa tuntutan mereka seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata beliau berpuas hati dengan insentif yang diumumkan itu dan menyifatkannya sebagai lonjakan terbaik sektor awam setakat ini.

"Peningkatan umur persaraan, bayaran pencen ikut tempoh perkhidmatan, perubahan gaji, ini perjuangan Cuepacs sejak 15 tahun lalu, dan ketiga-tiganya dipenuhi dalam tempoh dua tahun ini (2007 dan 2008)."Cuma kita harap semua anggota sektor awam mulai hari ini mereka perlu menunjukkan peningkatan terhadap tahap dan sikap mereka bekerja, lebih berdisiplin dan produktif bagi meningkatkan sistem penyampaian kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Pada perhimpunan itu, Abdullah mengumumkan umur persaraan wajib dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun, pemansuhan ujian bertulis Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bagi kakitangan Gred 1 hingga 16, pembayaran pencen terbitan 100 peratus, pengiraan pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini, dan pemberian ex-gratia kepada ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa waris.Mengenai umur persaraan, Omar berkata walaupun Cuepacs meminta ia dilanjutkan kepada 60 tahun, beliau berpuas hati dengan keputusan kerajaan meingkatkannya kepada 58 tahun dengan mengambil kira faktor kesihatan dan produktiviti pada usia tersebut, serta kemungkinan ia menjejaskan peluang pekerjaan di masa akan datang."Mungkin di masa akan datang kita boleh melihat semula sama ada usia ini sesuai untuk ditingkatkan lagi tapi buat masa ini keputusan ini adalah satu keputusan yang relevan," katanya.

Mengenai PTK, Omar berkata beliau menyambut baik pemansuhan ujian bertulis bagi Gred 1 hingga 16, dan bagi Gred 17 ke atas, Cuepacs telahpun menghantar kertas kerja mengenai kaedah penilaian terbaik dan ia akan ditentukan dari semasa ke semasa.Mengenai kadar pencen pula, Omar berkata kesemua pesara kerajaan serta bakal pesara kerajaan bakal menerima jumlah pencen yang lebih besar mulai Januari tahun depan.

"Ia melibatkan jumlah wang yang begitu tinggi, dan semua pesara akan mendapat manfaatnya walaupun tanpa bayaran tunggakan," katanya yang memahami perbelanjaan lebih besar terpaksa ditanggung kerajaan sekiranya kadar itu dibayar termasuk tunggakan.Mengenai elaun perumahan, Omar berkata beliau diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa perkara itu akan dilihat dalam Bajet 2009 nanti, manakala elaun kritikal pula akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Cuepacs sebelum ini mengemukakan enam tuntutan iaitu pemberian honorarium sebanyak RM2,000, lanjutan umur persaraan dari 56 tahun kepada 60 tahun, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta imbuhan tetap perumahan dan elaun kritikal.Cuepacs bagaimanapun bersetuju dengan keputusan kerajaan yang menolak pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam setelah mengadakan pertemuan dengan Abdullah 17 April lalu.

Omar turut berharap agar hubungan antara majikan dan pekerja di sektor awam diperbaiki, terutama hubungan antara majikan dan ketua-ketua kesatuan dalaman."Ada di sesetengah agensi atau jabatan, kadang-kadang dia anggap kita (kesatuan pekerja) cuba mencampuri urusan pentadbiran. Kita tak boleh anggap macam tu sebab kalau Cuepacs boleh ada perundingan dengan PM, kenapa di peringkat agensi atau jabatan tak boleh buat," katanya.Beliau berkata ketika ini Cuepacs sedang mengumpul laporan daripada kesatuan dalaman di mana ketua jabatan tidak menghormati pemimpin kesatuan, dan perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Negara.-- BERNAMA

UJIAN PTK TIDAK DIMANSUHKAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 10 Mei - Kerajaan tidak akan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebaliknya bersedia menambah baik kaedah pelaksanaannya dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, antara penambahbaikan yang akan dibuat tahun ini ialah kaedah ujian bertulis bagi pegawai gred 1 hingga 16 tidak akan digunakan untuk PTK.
Katanya, Lembaga Penilaian Kompetensi Kementerian, Negeri dan Agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti.
''Bagi pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
''Sebenarnya sejak 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaan PTK ini. Antaranya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pemansuhan PTK adalah antara tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
PTK yang diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dikatakan tidak menguji tugas sebenar yang dijalankan oleh pegawai kerajaan.
Sukatan-sukatan peperiksaan PTK dikatakan terlalu umum dan tidak menguji kompetensi teknikal pegawai.
Dikatakan seseorang anggota yang lulus PTK tidak menjamin anggota itu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik dalam menjalankan tugas jawatannya.
Pegawai yang lulus PTK mungkin kerana mereka menghafal subjek-subjek dalam sukatan peperiksaan sedangkan dari segi realitinya pegawai berkenaan tidak cemerlang dan tidak berkemahiran dalam menjalankan tugasnya.
Dikatakan PTK berbentuk peperiksaan hanya menguntungkan kakitangan muda yang baru dalam perkhidmatan awam. Kakitangan yang lama dan hampir bersara daripada perkhidmatan awam mendapati sukar untuk lulus.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota berkenaan dan membuatkan mereka kurang motivasi untuk meningkatkan kualiti kerja.
Justeru, ada pihak berpendapat kaedah penilaian yang paling sesuai dalam mengukur kompetensi anggota ialah melalui penilaian yang dibuat oleh pegawai atasan.

CUEPACS AKUR KEPUTUSAN TIDAK BERI SAGU HATI

Oleh THOMAS CHONG
Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 10 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak memberikan bayaran sagu hati RM2,000 kepada kakitangan sektor awam atas perkhidmatan mereka tahun lalu.
Presidennya, Omar Osman berkata, beliau menerima penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai bayaran itu dan tidak akan membuat tuntutan lanjut mengenainya.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan akan membuat tuntutan seumpama itu bagi tempoh perkhidmatan tahun ini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat kongres akan datang.
''Dalam pertemuan dahulu, kita akur dengan penjelasan kerajaan dan kita bersetuju agar tidak menerima bayaran sagu hati bagi tahun 2007. Bayaran sagu hati (2007) itu kita tutup cerita, kita mungkin ada isu lain. Itu bayaran sagu hati untuk 2007, bayaran untuk 2008 lain,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di sini hari ini.
Mengenai pelanjutan umur bersara wajib untuk kakitangan sektor awam daripada 56 kepada 58 tahun, Omar berkata, pengumuman Perdana Menteri itu menepati sasaran yang dikehendaki CUEPACS.
''Walaupun CUEPACS memohon 60 tahun, tetapi sasaran kita memang 58 tahun dan memorandum asal kita memang letak 58 tahun. Daripada enam perkara tuntutan CUEPACS, 90 peratus daripada lima tuntutan kita diterima kerajaan. Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri,'' katanya.
Omar berkata, umur persaraan wajib pada 58 tahun dilihatnya sebagai wajar selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk faktor kesihatan dan produktiviti kakitangan awam.
''Kita juga mengambil kira siswazah universiti dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memerlukan pekerjaan,'' katanya.
Sementara itu, Omar berkata, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada ahli- ahli CUEPACS mengenai hubungan tegang antara majikan dengan pekerja yang dilapor- kan di sesetengah agensi kerajaan.
''Sejumlah 80 peratus hubungan majikan dengan pekerja adalah baik tetapi di sesetengah agensi, hubungannya tidak baik yang mana ada majikan yang tidak menghormati kesatuan. Saya akan kenal pasti jabatan kerajaan tersebut dan saya akan membawa perkara ini kepada Ketua Setiausaha Negara,'' katanya.

'HADIAH BESAR' KERAJAAN SETUJU NAIK USIA BERSARA 58 TAHUN, FORMULA PENCEN LEBIH BAIK


Oleh ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH
petikan dari Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 10 Mei – Para penjawat awam dan pesara hari ini menerima ‘hadiah besar’ yang menggembirakan apabila kerajaan mengumumkan beberapa insentif yang memberi manfaat kepada mereka.
Antaranya kerajaan bersetuju melaksanakan dua dasar pemberian pencen iaitu menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan.
Selain itu umur persaraan kakitangan awam juga dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun dan menambah baik peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dari segi kaedah pelaksanaannya.
Dasar baru pemberian pencen yang melibatkan sejumlah 310,000 pesara berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009 manakala pelanjutan umur berkuat kuasa 1 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara.
Kata beliau, sebelum ini pencen kakitangan dan pegawai awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.
Menurutnya, kerajaan juga bersetuju menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan yang dibayar kepada ahli keluarga gemulah dan mereka kini akan dibayar pada kadar 100 peratus.
Salah satu syarat pencen terbitan ialah kadarnya akan menyusut kepada 70 peratus selepas 12 setengah tahun dari tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan anggota sektor awam.
‘‘Bagi kadar pencen yang dihitung semula, ia akan hanya diberi mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan.
“Untuk pencen terbitan pula, berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil semasa kematian gemulah, syarat ini agak membebankan dari segi kewangan, oleh itu kerajaan bersetuju menghapuskan syarat penyusutannya mulai 1 Januari 2009.
‘‘Kedua-dua dasar baru mengenai pencen ini akan menelan belanja tambahan sebanyak RM718 juta setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Abdullah turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.
Isu mengenai pencen adalah antara enam tuntutan yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 17 April lalu.
Bagaimanapun, tuntutan CUEPACS supaya kakitangan awam diberikan honorarium RM2,000 tidak dapat diterima kerajaan.
Ini kerana dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu dengan kenaikan harga barang-barang keperluan lain, pemberian honorarium itu dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan.

09 Mei 2008

CUEPACS TAK SETUJU TAMBAH CUTI BERSALIN

Petikan dar Akhbar Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan pemimpin lima negeri Pakatan Rakyat untuk menambah cuti bersalin bagi pekerja wanita sektor awam dan suami mereka. Presidennya, Omar Osman, berkata ahlinya tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Selangor yang mahu membuka pejabat tujuh hari seminggu bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan jabatan kerajaan negeri itu pada bila-bila masa. Beliau berkata, tambahan cuti bersalin sehingga 90 hari dan cuti tidak lebih 10 hari kepada suami boleh menimbulkan banyak implikasi, termasuk beban tugas kepada rakan sekerja dan daya produktiviti mereka.
“Sekiranya cadangan ini menjadi kenyataan, semuanya mahu bersalin pada masa depan dan ini dikhuatiri menimbulkan masalah. “Tambahan pula, bilangan kakitangan wanita sedia ada pada masa kini dalam pelbagai bidang ramai... jika ramai yang bersalin, beban tugas siapa yang mahu buat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan lima negeri diperintah Pakatan Rakyat yang bersetuju mempertimbangkan cadangan menambah cuti bersalin bagi pekerja wanita sektor awam, selain menambah cuti kepada suami supaya dapat membantu menguruskan rumah tangga.

PDRM TAMBAH 3000 PEGAWAI AWAM

Petikan dari Akhbar Berita Harian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah sehingga 3,000 pegawai awam dalam pasukan itu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar. Beliau berkata, penambahan itu bertujuan mengisi perjawatan pegawai awam dalam PDRM yang berkembang selain menggantikan kakitangan bersara. Katanya, pengambilan itu sejajar tumpuan PDRM bagi memastikan anggota beruniform melaksanakan tugas kepolisan, terutama mencegah jenayah, berbanding melakukan tugas pentadbiran di pejabat berikutan kekurangan kakitangan awam.
"Ketika ini PDRM mempunyai kira-kira 10,000 kakitangan awam di seluruh negara dan kita mahu menambah bilangan mereka antara 2,000 hingga 3,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang. "Pengambilan ini membabitkan pegawai awam berjawatan eksekutif hingga kakitangan bawahan. "Proses ini dibuat berperingkat selepas keperluan mengenainya dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak beberapa tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Khas Pegawai-Pegawai Awam Sempena Sambutan 201 Tahun PDRM di Ibu Pejabat Bukit Aman di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Cuepacs, Omar Osman dan Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu), Abdul Rahim Jantan. Ismail berkata, tindakan supaya anggota polis menumpukan tugas hakiki kepolisan dapat mengelak masalah yang timbul kalangan pegawai polis berpangkat rendah yang ditugaskan di bawah penyelia kalangan pegawai awam. "Berdasarkan hasil kajian dibuat ke atas kepuasan kerja pegawai awam di Bukit Aman menunjukkan ada perasaan ragu terhadap status pegawai awam dalam PDRM. "Keraguan wujud terutama dalam keadaan pegawai rendah polis ditugaskan di bawah penyeliaan pegawai awam.
"Pucuk pimpinan PDRM menyedari perkara ini dan usaha berperingkat dibuat menghantar pegawai rendah polis untuk melaksanakan tugas kepolisan, dan bukannya tugas pentadbiran di pejabat," katanya. Beliau berkata, PDRM menghargai peranan pegawai awam yang membantu tugas pentadbiran kepolisan, sekali gus menjayakan misi dan visi PDRM. "PDRM sendiri sedang mengambil langkah meningkatkan kemampuan pekerja seperti memastikan mereka lebih celik tadbir serta menggunakan teknologi maklumat (IT). "Kita juga memperkasakan modal insan dan bekerjasama rapat dengan Cuepacs," katanya.

02 Mei 2008

SALAM SEJAHTERA,SALAM PERJUANGAN DAN SALAM HARI PEKERJA

Dalam merealisasikan hasrat kaum pekerja sektor awam khususnya kumpulan sokongan. Kongres telah telah membuat keputusan pada 2 April 2008 di Trolak untuk memboikot Hari Pekerja pada 3 Mei 2008 dan 29 Mei 2008. Alangkah terkejut juga semua Pegawai Tertinggi selepas mendapat maklum balas dari Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 14 April 2008, 16 April 2008 Menteri Sumber Manusia, 17 April 2008 Perdana Menteri dan 18 April 2008 taklimat PTK. Petangnya Kongres Khas telah menarik balik untuk memboikot kedua hari pekerja tersebut.

Selepas 6 tuntutan di bincang dengan YAB Perdana Menteri satu sahaja di tolak, 5 lagi di terima secara positif. Kita menunggu secara berdebar-debar pengumumannya yang dijangka pada 10 Mei 2008 oleh YAB Perdana Menteri. Pegawai Tertinggi CUEPACS pun agak berlapang dada dengan permintaan gabungan ahli dan selesai semuanya. Tetapi apakah itu yang kita mahukan setiap kali tuntutan terpaksa kita menyatakan dalam media secara meluas.



Gambar Sekitar Sambutan Hari Pekerja di Dewan Jubli Intan Johor Bahru Johor.










CUEPACS TO GET REPLY ON MAY 10

From The Star Newspaper


JOHOR BARU: Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi is likely to announce the Government’s response to Cuepacs’ demands during the civil service Labour Day celebration slated for May 10 at the Putrajaya International Convention Centre.
Human Resource Minister Datuk Dr. S Subramaniam said this at a press conference after attending the Labour Day celebration organised by the Customs Officers Union, an affiliate of Cuepacs, here yesterday.
However, he could not say which of the demands the Government had agreed to fulfil.
Cuepacs, the umbrella union for civil servants, wants among others, pensions to be based on the actual years of service, retirement age extended from 56 to 60, the Efficiency Level Test (PTK) abolished, critical allowances for civil servants in Support Group II reinstated and an increase in housing allowance.
On another matter, Dr Subramaniam said the ministry would conduct safety audits on all public sector workplaces to ensure a safe environment for workers.
He said he had ordered the ministry’s Health and Safety Department to conduct the audit to make sure employers were meeting the necessary safety requirements.
“Every field in the sector has different safety requirements,” he said.
He also said he and other ministry officers would visit several estates nationwide to ensure employers looked after the welfare of their foreign workers.
“The visits, starting in Johor, are aimed at spreading awareness on ensuring that foreign workers’ welfare are taken care of.
“Employers at the estates must buck up and provide the necessary facilities for workers,” he said, adding that he would meet with Malayan Agricultural Producers Association in two weeks to discuss foreign workers’ welfare.

PM DIJANGKA UMUM BERITA BAIK

Sedutan dari Akhbar Berita Harian

Oleh Srihanasham Noordin



JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan berita baik mengenai keputusan kerajaan berhubung lima tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada 10 Mei ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pengumuman dibuat sempena sambutan Hari Pekerja anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.
Katanya, kementerian berharap apa yang dituntut Cuepacs termasuk mengenai pencen dan had umur kakitangan perkhidmatan awam dipertingkatkan sehingga 60 tahun mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan. "Kakitangan awam perlu tunggu ada berita baik. Kita berharap apa yang mereka minta, jika tidak dapat dipenuhi semua, sebahagian mungkin dapat," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2008 anjuran Cuepacs di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam. Hadir sama, Presiden Cuepacs, Omar Osman serta kira-kira 2,000 kakitangan awam dari seluruh negara.

TUNTUTAN CUEPACS DIKETAHUI 10 MEI



Sedutan dari Utusan Malaysia
Oleh Haniza Hassan

DR. S. Subramaniam bersalaman dengan anggota sektor awam sempena Sambutan Hari Pekerja Peringkat kebangsaan di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 1 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan keputusan mengenai enam tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 10 Mei ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan itu akan diumumkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
"Semua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri nanti. Kalau tak dapat semua, saya harap sebahagian permintaan tersebut akan dipenuhi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja anjuran CUEPACS, di sini hari ini.
Pada 17 April lalu, CUEPACS membuat enam tuntutan iaitu berkaitan kadar pencen, lanjutan umur persaraan dari 56 tahun kepada 60 tahun, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), pemberian semula elaun kritikal, penambahan elaun perumahan dan pemberian honorarium RM2,000 kepada kakitangan awam.
Sementara itu, Presiden CUEPACS, Omar Osman yang turut hadir pada sambutan tersebut berkata, pihaknya akan menerima setiap keputusan kerajaan mengenai segala tuntutan tersebut.
"Ikut budi bicara kerajaan, kami percaya kerajaan akan menimbang perkara ini sebaik mungkin. Tetapi secara dasarnya, kerajaan telah menerima baik lima tuntutan yang diminta," katanya.
SukarOmar berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai tuntutan pemberian honorarium RM2,000 tersebut agak sukar untuk dipenuhi kerana ia melibatkan jumlah peruntukan yang banyak.
Ditanya mengenai cadangan kerajaan Selangor untuk menarik balik cadangan mengenakan levi pekerja asing sebanyak RM10, Subramaniam berkata, segala keputusan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk membuat pungutan levi berkenaan.
"Kalau mereka bercadang untuk menarik balik perkara itu, baguslah," jelasnya.