SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

29 Jun 2008

CUEPACS TUNTUT COLA RM500

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR 28 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) menuntut kerajaan menaikkan kadar elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kawasan.
Presiden cuepacs, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan semua kakitangan awam ketika ini terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.
''Saya sedih melihat hidup kakitangan kita yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik semua barang naik dan ini memberi kesan kepada kehidupan ahli-ahli kita.
''Walaupun kerajaan telah menaikkan gaji 10 bulan lalu ia tidak cukup kerana kenaikan minyak kali ini terlalu tinggi. CUEPACS meminta kerajaan menerima tuntutan ini (Cola RM500) bagi meringankan beban anggota sektor awam,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kongres CUEPACS di Ibu Pejabat CUEPACS di sini hari ini.
Tuntutan Cola RM500 untuk semua kakitangan merupakan salah satu daripada enam perkara yang diputuskan di dalam mesyuarat tersebut.
Omar memberitahu, pada masa ini semua kakitangan kerajaan menikmati imbuhan Cola antara RM100 hingga RM300 iaitu bergantung kepada lokasi bekerja.
Katanya, dalam mesyuarat itu, CUEPACS juga sebulat suara menolak pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti cadangan Kabinet sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun cadangan itu dianggap baik tetapi pada hakikatnya ia tidak banyak membantu kakitangan kerajaan untuk mengurus perbelanjaan mereka.
''Katakanlah seorang kakitangan menerima gaji sebanyak RM1,100 sebulan dan selepas ditolak itu dan ini, yang tinggal hanya RM500 atau RM450,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, CUEPACS bersetuju jika kerajaan memberi gaji dua minggu sekali.
''Jika sistem ini kami setuju kerana pada akhirnya iaitu secara keseluruhannya jumlah bulan yang dibayar adalah sebanyak 13 bulan dan bukan 12 bulan,'' tambahnya.
Ujarnya, selain itu CUEPACS membantah sebarang usaha untuk memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.
''Cadangan ini belum dilaksanakan tetapi Ketua Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah meminta perkara ini dibahaskan oleh CUEPACS.
''Kami telah membentangkan pada ahli kongres hari ini dan keputusannya kami membantah cadangan tersebut kerana ia memberi kesan kepada jumlah simpanan ahli,'' katanya lagi.
Dalam mesyuarat itu juga katanya, CUEPACS mahu Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu.
''CUEPACS memberi amaran yang kita akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai amalan salah majlis perbandaran itu,
''Kita memberi masa selama dua minggu untuk Yang Dipertua MPM khususnya supaya menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu kerana ia bertentangan peraturan,'' tambahnya.

28 Jun 2008

CUEPACS CADANG COLA DISELARAS KEPADA RM500 DI SEMUA NEGERI

Petikan dari Bernama
27/06/2008


KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan agar kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (COLA) pekerja awam kepada RM500 sebulan di seluruh negara.Presidennya Omar Osman berkata ini bagi mengurangkan beban pekerja dalam menghadapi kenaikan kos harga barangan dan minyak yang semakin melambung.Pemberian COLA kepada pekerja perkhidmatan awam pertama kali dilaksanakan pada tahun 2006 sebagai langkah mengurangkan beban pekerja di bandar besar yang menghadapi kenaikan kos sara hidup.Pada masa ini, pekerja sektor awam di Kuala Lumpur diberikan elaun sebanyak RM300 manakala di kawasan lain diberikan antara RM100 dan RM200 sebulan.Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Cuepacs di ibu pejabatnya di sini, Omar berkata apabila keadaan ekonomi semakin pulih dengan harga barangan dan minyak menjadi stabil, kerajaan boleh mengurangkan jumlah elaun itu.Selain itu, Omar berkata Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan kerana ia tidak dapat meringankan beban pekerja dan membantu pengaliran tunai terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah."Kita sambut baik cadangan dan berterima kasih kepada kerajaan untuk bantu pekerja berpendapatan rendah, tetapi apabila mendapat maklum balas, jika mereka dapat gaji RM1,000 atau RM2,000 lebih sebulan ditolak pelbagai, maka gaji bersih jika diberi dua kali yang tinggal hanya RM450 ke RM650 sahaja," katanya.Beliau berkata bagaimanapun, Cuepacs bersetuju jika gaji diberi dua minggu sekali kerana ia akan menguntungkan pekerja."Kalau gaji dua minggu sekali bermakna ada 52 minggu iaitu 13 bulan dan pekerja akan untung, tetapi kerajaan cadangkan gaji dua kali sebulan bermakna hanya ada 12 bulan sahaja," kata Omar.Cuepacs turut meminta agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk mengurangkan kadar caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 peratus kepada tujuh peratus memandangkan langkah itu tidak menjamin pulangan jangka panjang dan tidak dapat menyelesaikan masalah sara hidup."Jika 11 peratus, jumlah yang dipotong kira-kira RM350 jika tujuh peratus menjadi RM200 maka lebihan RM150 boleh menampung gaji tetapi kita tidak setuju kerana ia tidak selari," katanya.Beliau berkata kerajaan belum mengumumkan cadangan itu kerana menunggu maklum balas daripada Cuepacs.-- BERNAMA

27 Jun 2008

SISTEM PENYAMPAIAN PERLU DIBAIKI

Keberkesanan sistem penyampaian adalah cabaran sebenar dalam melaksanakan pelbagai janji, program dan projek yang dirancang dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, komitmen kerajaan untuk memantapkan sektor perkhidmatan awam menjadi lebih moden, berkesan, mesra pelanggan dan bebas birokrasi itu sememangnya dialu-alukan. Beliau berkata, jangkaan pencapaian seperti digariskan Perdana Menteri itu bukan saja realistik, malah mampu menjana mutu perkhidmatan awam yang lebih unggul. “Perubahan itu perlulah dituruti dengan anjakan terutama dalam aspek pemodenan atau penyediaan kemudahan dan infrastruktur lebih seimbang serta perubahan sikap kakitangan awam yang benar-benar mahu berubah,” katanya.

25 Jun 2008

CUEPACS: DON'T ABUSE SMALL BUSINESS PERMIT

23 June, 2008

Kuala Lumpur: Cuepacs on Sunday reminded civil servants not to abuse the small business permit, which will be issued by the Government to low-income earners, including government staff, to help them cope with economic burden following the fuel price hike.
Cuepacs President Omar Osman, who welcomed the move, said it showed the Government cared for the welfare of its staff, particularly those in the low-income group.
Cuepacs estimated that there were 650,000 civil servants earning a monthly income of RM2,500 and below.
"I hope the civil servants who apply for the permit will use the facility for themselves and not to rent it to others.
"They should also ensure that any business activities they venture in, will not disrupt their office work," Omar said here.
He also called on the Government to similarly open the application for taxi permit to civil servants.
Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi announced Sunday that the Government would issue small business permit to low-income earners to help them cope with economic burden following the fuel price increase. - Bernama

REDUCE CAR, HOUSING LOAN INTERST RATES

Cuepacs urges govt to lighten financial burden of public sector workers

KUALA LUMPUR: Cuepacs will be submitting a number of proposals, including asking the government to reduce the interest rates on housing and car loans to help lighten the financial burden of public sector employees.

Its president Omar Osman said Cuepacs would not focus too much on the issue of pay rise but on the allowances and other benefits enjoyed by civil servants instead.
“Other than asking for a review of the Cost of Living Allowance (Cola), we are urging that the four per cent interest on housing loans be reduced to one per cent or abolished altogether and the six per cent interest on vehicle loans reduced to three per cent.”
Omar was speaking to reporters after closing an occupational health and safety workshop organised by the Peninsular Malaysia Road Transport Officers Union here yesterday.
Cuepacs is also asking the government to raise the taxable monthly income from RM2,500 to RM3,500.
Omar said based on the current situation, Cuepacs felt that the government should temporarily freeze the transfer of civil servants to save costs.
He said the request for honorarium for civil servants and review of their travelling and accommodation allowances would be discussed at a meeting with the Malaysian Trades Union Congress on June 28.
On another development, he said from the feedback received, Cuepacs members generally disagreed to the proposed twice monthly payment of salary .
However, he added, Cuepacs would only make a stand on this after the meeting with MTUC.
In view of the current situation, Omar also urged the department heads or directors in the public sector to allow their staff to do part-time work as soon as possible on the condition that the work could start at 6pm and end by midnight.
— Bernama

JANGAN SALAH GUNA PERMIT PERNIAGAAN YANG DIBERIKAN KERAJAAN - KATA CUEPACS

Petikan dari Bernama
22/6/2008

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menyambut baik pengumuman kerajaan tentang pemberian permit perniagaan kecil kepada kakitangan awam, mahu mereka menghargai kemudahan tersebut dan tidak menyalahgunakannya.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata kepada Bernama, pemberian peluang itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk kaki tangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.Terdapat kira-kira 650,000 kakitangan awam yang berada dalam kategori pendapatan bulanan RM2,500 ke bawah.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil kepada rakyat berpandapatan rendah yang ingin menambah pendapatan mereka.Ia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban ekonomi rakyat berikutan kenaikan harga minyak, kata perdana menteri.Perniagaan kecil itu merangkumi seperti penjaja pasar tani, pasar malam dan di kawasan perumahan.Omar juga mencadangkan agar kerajaan membuka pemohonan permit teksi kepada individu termasuk anggota sektor awam."Langkah ini amat baik kerana ia dapat membantu meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat."Tetapi saya harap kakitangan awam akan memohon dan menggunakan permit ini untuk kepentingan sendiri, bukannya disewakan kepada orang lain," katanya.Beliau menasihati kaki tangan awam bahawa di samping menjalankan aktiviti sampingan untuk menjana pendapatan, produktiviti dan prestasi terhadap kerja rasmi mereka perlu dipertahankan."Ini satu peluang yang baik, tetapi mereka mesti juga tahu had masing-masing. Jangan sekali sehingga menjejaskan tugasan dan tanggungjawab pada tugas rasmi mereka," katanya.-- BERNAMA

MAJORITI TOLAK GAJI 2 KALI SEBULAN

Petikan dari Berita Harian
25/6/2008

Kabinet belum capai keputusan dalam usaha ringankan beban penjawat awamKUALA TERENGGANU: Kerajaan masih mengumpul maklum balas daripada kakitangan awam serta kesatuan sekerja mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan walaupun sebahagian besar mereka yang ditemui menolak cadangan itu. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata beliau tidak dapat menyatakan peratusan yang menerima atau menolak cadangan itu, tetapi majoriti yang ditemui, termasuk kesatuan sekerja tidak bersetuju gaji dibayar dua kali sebulan.
Katanya, mesyuarat Kabinet, Rabu lalu membincangkan cadangan itu tetapi belum membuat sebarang keputusan. "Perkara ini (pembayaran gaji dua bulan) turut disentuh pada mesyuarat pemimpin parti komponen semalam (kelmarin) dan setakat ini kerajaan belum membuat keputusan muktamad. "Kerajaan bercadang memberi gaji dua bulan bagi mengurangkan beban pekerja tetapi maklum balas diterima menyatakan langkah itu akan menyusahkan kakitangan awam menjelaskan pinjaman kepada bank," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan MIC Terengganu, di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mengumumkan cadangan kerajaan membayar gaji dua kali sebulan bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dengan lebih berkesan berikutan kenaikan harga minyak dan barang makanan. Mengikut kaedah pembayaran yang dijadual bermula Ogos ini, separuh gaji pertama akan dibayar pada pertengahan bulan, manakala gaji kedua pada akhir bulan. Segala potongan, termasuk cukai pendapatan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibuat pada akhir bulan. Pada majlis itu Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC menyampaikan sumbangan kepada 16 pelajar anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Di PUTRAJAYA, Cuepacs akan menyerahkan keputusan pendirian ahlinya mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan kakitangan awam serta menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kerajaan awal bulan depan.
Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya juga akan mengemukakan cadangan lain, iaitu elaun kerja waktu malam dan elaun perbatuan selepas diputuskan dalam mesyuarat majlis kongres Sabtu depan. Bagaimanapun, katanya, kesatuan belum menghubungi pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menentukan tarikh untuk bertemu dan menyerahkan keputusan dibuat 120 kesatuan yang bergabung dalam kongres itu. "Buat masa ini, kita sedang mengumpul semua maklumat daripada ahli kesatuan mengenai cadangan pembayaran gaji dua kali sebulan, kenaikan elaun Cola, kerja malam dan tuntutan perbatuan. "Kita ada mendengar ahli kesatuan bersetuju (bayaran gaji dua kali sebulan) tetapi ada ramai yang bantah dan ia bukan menggambarkan pendirian Cuepacs," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Omar berkata, mesyuarat majlis kongres di Ibu Pejabat Cuepacs, di Kuala Lumpur itu juga akan membincangkan mengenai kesan peningkatan harga barangan keperluan harian akibat kenaikan harga petrol dan diesel kepada penjawat awam.

24 Jun 2008

JANGAN SALAH GUNA PERMIT PERNIAGAAN - CUEPACS

Petikan dari Utusan Malaysia
23/6/2008

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menyambut baik pengumuman kerajaan tentang pemberian permit perniagaan kecil kepada kakitangan awam, mahu mereka menghargai kemudahan tersebut dan tidak menyalahgunakannya.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata kepada Bernama, pemberian peluang itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Terdapat kira-kira 650,000 kakitangan awam yang berada dalam kategori pendapatan bulanan RM2,500 ke bawah.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan, kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil kepada rakyat berpandapatan rendah yang ingin menambah pendapatan mereka.
Ia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban ekonomi rakyat berikutan kenaikan harga minyak, kata Perdana Menteri.
Perniagaan kecil itu merangkumi seperti penjaja pasar tani, pasar malam dan di kawasan perumahan.
Omar juga mencadangkan, agar kerajaan membuka pemohonan permit teksi kepada individu termasuk anggota sektor awam.
"Langkah ini amat baik kerana ia dapat membantu meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat.
Kepentingan"Tetapi saya harap kakitangan awam akan memohon dan menggunakan permit ini untuk kepentingan sendiri, bukannya disewakan kepada orang lain," katanya.
Beliau menasihati kakitangan awam bahawa di samping menjalankan aktiviti sampingan untuk menjana pendapatan, produktiviti dan prestasi terhadap kerja rasmi mereka perlu dipertahankan.
Sementara itu, CUEPACS menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak menaikkan gaji pegawai tinggi syarikat milik kerajaan (GLC) hari ini.
Omar berkata, langkah bijak kerajaan itu bertepatan dengan keadaan semasa negara yang mengkehendaki semua pihak berjimat cermat.
Menurutnya, kerajaan juga prihatin dengan keadaan ekonomi negara dan tidak akan berbuat sebarang tindakan yang boleh mengundang rasa tidak puas hati segelintir pihak.
''Kita gembira apabila Perdana Menteri mendengar rintihan hati rakyat terutama melibatkan kenaikan gaji peringkat atasan kerana ia perlu dilakukan bersama dengan kenaikan gaji pekerja peringkat bawahan.
''Secara dasarnya memang tidak adil sekiranya pihak pengurusan tertinggi GLC sahaja menerima sedangkan pekerja bawahan dinafikan hak seperti itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, Abdullah mengumumkan kerajaan menolak cadangan kenaikan gaji pegawai tinggi GLC yang menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.
Menurut Perdana Menteri, walaupun cadangan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan, ia bagaimanapun tidak mendapat kelulusan.
Omar memberitahu, kenaikan gaji di kalangan pegawai GLC sebanyak 100 peratus tidak wajar dilakukan pada masa sekarang dan ia boleh dipertimbangkan kemudian
.

23 Jun 2008

BOMBA TURUT SOKONG KAJIAN SEMULA KADAR COLA

Petikan dari Berita Harian
23/6/2008

SINTOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM,) turut menyokong cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kerajaan mengkaji semula kadar pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) kepada kaki tangan awam. Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hamzah Abu Bakar, berkata cadangan itu perlu dilihat secara positif memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat ekoran kenaikan harga minyak, barangan dan perkhidmatan. “Kita mengalu-alukan cadangan ini walaupun kakitangan JBPM sudah menikmati beberapa jenis elaun khas termasuk elaun skuba, kesihatan dan kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Bomba peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Jumaat lalu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun COLA termasuk elaun bertugas malam bagi anggota pasukan keselamatan. Kini kakitangan awam menikmati kadar COLA antara RM100 dengan RM300 sebulan mengikut kawasan bandar dan luar bandar. Mengenai pembelian dua buah helikopter untuk kegunaan jabatan berkenaan seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, Hamzah berkata jenis dan kapasiti pesawat itu belum ditetapkan.
“Jabatan sudah membuat tender terbuka untuk pembelian dua buah helikopter berkenaan, namun akan diputuskan di peringkat kementerian,” katanya. Kerajaan sudah mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membeli dua buah lagi helikopter untuk jabatan berkenaan bagi mempertingkat keupayaan anggota bomba dalam tugas pengawasan udara serta bagi operasi mencari dan menyelamat. JBPM kini memiliki enam buah helikopter iaitu dua jenis Agusta buatan Itali dan empat Mi-17 buatan Rusia. - Bernama

COLA: TUNTUTAN CUEPACS DI BAWA KE KABINET

Petikan dari Utusan Malaysia
23/06/2008


SEREMBAN 21 Jun - Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam akan membawa tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung kajian semula Kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menurutnya, pandangan berkaitan isu itu akan diambil kira dan kerajaan memahami mengapa tuntutan tersebut dibuat oleh Cuepacs kerana ia mempunyai kaitan dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
''Mereka (Cuepacs) telah memberi pandangan dan kita kena bincang serta membawa perkara itu dalam mesyuarat Kabinet.
''Saya akan membuat kenyataan selepas mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan dan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri di Seremban Centre Point di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Thomas George dan Ketua Pengarah Tenaga Kerja kementerian, Datuk Ismail Abdul Rahim.
Baru-baru ini, Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, kadar Cola yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja pada masa ini, tidak lagi relevan kerana pekerja sektor awam yang tinggal di kawasan luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol seperti mana di kawasan bandar.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, ketika ini, sebanyak 3,658 perantis dan 600 majikan telah menyertai Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah kementerian.
Menurut beliau, sistem SLDN bertujuan menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia dan pekerja di negara ini.
Katanya, impak daripada sistem itu juga membawa kesan positif kepada majikan ketika mereka berhadapan konflik mencari pekerja mahir dan berpengalaman pada setiap kali membuat temuduga ke atas pemohon.
''Setiap pekerja yang menyertai SLDN, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak RM300 sebulan selama tempoh latihan yang ditetapkan majikan iaitu enam bulan sehingga setahun.
''Majikan yang turut serta dalam program ini pula akan dapat bantuan kerajaan yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM200 kepada mereka," katanya.
Beliau seterusnya berkata, kementerian berharap untuk melihat lebih banyak majikan menyertai SLDN serta membuka peluang latihan sambil bekerja sebelum menempatkan perantis sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan kelak.
''Peluang ini bukan sahaja terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka yang berkelulusan rendah, tetapi juga kepada golongan siswazah agar mereka memperoleh kerjaya yang meyakinkan selepas latihan," jelasnya.
Dalam program SLDN ini, sebanyak 70 peratus daripada tempoh latihan merupakan praktikal di syarikat dan tempat kerja, manakala 30 peratus lagi adalah pembelajaran teori yang dijalankan di pusat-pusat latihan.
Sementara itu, beliau juga berharap Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) dapat memperuntukan sejumlah pekerjaan dalam sektor perladangan membabitkan bidang pengurusan, pemantauan, mekanik, pemandu traktor dan klinik kepada rakyat tempatan.
''Ketika ini, seramai 400,000 tenaga buruh asing bekerja dalam sektor perladangan daripada 2.2 juta pekerja asing yang berdaftar. Jika mereka rajin bekerja, pendapatan yang diperoleh sebulan ialah RM1,500 hingga RM1,700," ujar beliau.
Pada masa yang sama juga, Subramaniam meminta ketua kampung dan penghulu di peringkat akar umbi menjelaskan kepada rakyat terhadap kelebihan bekerja di ladang, termasuk penyediaan kemudahan rumah, pendidikan, perubatan dan bayaran gaji yang tinggi.
Pada karnival itu juga, hampir 2,000 pengunjung mendapatkan khidmat pekerjaan di 39 gerai yang menawarkan 3,386 pekerjaan termasuk 300 untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

22 Jun 2008

TUNTUTAN CUEPACS SUPAYA KAJI SEMULA COLA AKAN DIBAWA KE KABINET

Petikan dari Utusan Malaysia
21/6/2008

SEREMBAN 21 Jun — Permintaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar pemberian Elaun Kos Sara Hidup (COLA) untuk kakitangan awam akan dibawa ke Kabinet, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.
“Bagaimanapun kita kena bincang dahulu dengan pihak atasan termasuk Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.
“Saya faham situasi dan keadaan di mana Cuepacs telah membuat permohonan ini. Saya mengambil kira pandangan mereka dan saya faham keadaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Semalam Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan agar mengkaji semula kadar COLA bagi meringankan beban kakitangan awam ekoran kenaikan harga minyak.
Omar berkata, kenaikan harga petrol dan diesel sekaligus menyebabkan harga barangan keperluan naik secara mendadak sehingga menyebabkan kakitangan awam berpendapatan rendah tersepit. - BERNAMA

GAJI DUA KALI SEBULAN MUNGKIN TIDAK DILAKSANA

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh NOR AZIAH JAAFAR

KUALA TERENGGANU 20 Jun - Pembayaran gaji pegawai dan kakitangan kerajaan sebanyak dua kali sebulan mungkin tidak akan dilaksanakan kerana mendapat tentangan daripada banyak pihak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima, lebih banyak pihak yang menentang daripada menyokong pelaksanaan sistem pembayaran sedemikian.
Katanya, tentangan itu termasuk daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta pemimpin parti-parti politik sendiri yang menganggap ia menyusahkan.
Bagaimanapun jelasnya, keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan ditentukan pada mesyuarat Kabinet akan datang.
''Bagi kita, kalau rakyat peka, kerajaan tidak akan laksanakan. Ramai yang beritahu perkara ini akan menyusahkan mereka.
''Mesyuarat Kabinet akan datang kita akan bincang dan kita akan buat keputusan muktamad nanti," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Negeri Terengganu 2008 di sini hari ini.
Menurutnya, pada mesyuarat Kabinet semalam dan mesyuarat Barisan Nasional (BN) malam tadi, kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula syor tersebut jika golongan pekerja berpendapat ia menyusahkan mereka.
Malah jelasnya, CUEPACS sendiri telah berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan beberapa hari lepas menyatakan pandangan mereka yang menentang pelaksanaan sistem itu.
Menurutnya, kerajaan tidak membuat kajian terperinci mengenai perkara tersebut, sebaliknya keputusan yang akan dibuat nanti hanya berdasarkan pandangan pelbagai pihak yang telah diterima berhubung syor tersebut.
Beliau memberitahu, ketika syor itu dibuat kerajaan berpendapat ia merupakan satu cara untuk memastikan kakitangan awam dapat mengurus kewangan mereka agar mencukupi sehingga hujung bulan.
Katanya, kalau awal bulan beri separuh, tengah bulan masih ada separuh, ia cara untuk menguruskan perbelanjaan sesuai dengan pendapatan.
"Tetapi sebaliknya kita diberitahu ada pekerja yang kena buat bayaran tertentu seperti pinjaman rumah dan kereta pada awal bulan dan jika mereka tidak dapat gaji (penuh) maka bayaran itu tidak boleh dibuat dan kena susun semula tempoh bayaran.
''Ia mengambil masa dan melibatkan agensi lain seperti bank, jadi terpulang kepada mereka bagaimana hendak jaga perbelanjaan mereka dari awal hingga hujung bulan," ujarnya.
Mengenai langkah kementerian mengurangkan perbelanjaan dengan mengadakan majlis di hotel-hotel yang lebih murah, beliau berkata, ia adalah sejajar dengan prinsip kerajaan sekarang.
Kerajaan, ujarnya, mahu semua peringkat mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan iaitu dari peringkat menteri sehingga bawahan.

19 Jun 2008

CUEPACS, MTUC BANTAH

Petikan dari Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah rancangan kenaikan gaji bagi pegawai tinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) kerana merasakan ia tidak adil.
Secara umum, kedua-dua wakil kesatuan sekerja terbesar negara itu beranggapan, kenaikan gaji peringkat atasan perlu dilakukan bersama dengan kenaikan gaji pekerja peringkat bawahan.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, adalah tidak adil jika hanya pengurusan tertinggi GLC menerima sebarang bentuk kenaikan sedangkan pekerja bawahan dinafikan hak seperti itu.
"Dalam keadaan sekarang, kalau hendak memberikan kenaikan sehingga 100 peratus, itu sudah agak melampau," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Omar menambah, peningkatan sehingga 100 peratus akan hanya mewujudkan jurang gaji yang keterlaluan antara pihak pengurusan dengan pihak pekerja.
Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, adalah tidak munasabah sama sekali gaji pemimpin tertinggi GLC dinaikkan dalam keadaan rakyat mengalami kesukaran berikutan peningkatan harga minyak dan bahan makanan.
"Saya difahamkan kesatuan TNB hanya ditawarkan kenaikan gaji di bawah empat peratus, adakah ini adil," katanya.

18 Jun 2008

SIARAN AKHBAR: PERATURAN BAGI MELAKUKAN PEKERJAAN LUAR OLEH PEGAWAI AWAM

Petikan dari Laman JPA
18/6/2008

Peraturan Bagi Melakukan Pekerjaan Luar oleh Pegawai Awam
Mutakhir ini pelbagai pihak telah mengemukakan pandangan supaya pegawai-pegawai perkhidmatan awam khususnya dari kumpulan sokongan diberi kebenaran melakukan pekerjaan luar atau kerja sambilan untuk menambah pendapatan bulanan mereka bagi meringankan beban perbelanjaan isi rumah berikutan kenaikan harga barangan keperluan dan perbelanjaan harian yang lain.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin menjelaskan bahawa peraturan berkaitan pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang ingin melakukan pekerjaan luar sememangnya telah lama wujud dan masih berkuat kuasa.
Berdasarkan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002, pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang ingin melakukan pekerjaan luar hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada ketua jabatan masing-masing.
Dalam menimbangkan permohonan anggota pegawai awam, Ketua Jabatan perlulah mengambil kira tata kelakuan pegawai awam berkenaan seperti ditetapkan di bawah peraturan-peraturan di atas. Ketua Jabatan juga hendaklah memastikan syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya iaitu:
pekerjaan luar itu tidak dilakukan dalam waktu bekerja pegawai atau semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya;
pekerjaan luar itu tidak akan menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam; dan
tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam.
Pengenaan syarat-syarat tersebut ialah untuk memastikan pekerjaan luar yang dilakukan oleh pegawai-pegawai perkhidmatan awam tidak akan menjejaskan kepentingan penyampaian perkhidmatan awam dan produktiviti pegawai.

KERAJAAN SEDIA KAJI PEMBAYARAN GAJI DUA KALI SEBULAN

Petikan dari Bernama
18/6/2008
IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kerajaan sedia mengkaji semula pembayaran gaji dua kali sebulan bagi kakitangan kerajaan jika pelaksanaannya tidak dipersetujui oleh kakitangan awam."Saya percaya kerajaan boleh kaji semula. Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan oleh kerajaan jika para pekerja (kakitangan awam) rasa pembayaran itu membawa lebih banyak kesusahan," katanya selepas merasmikan Pesta Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PMSB) di sini hari ini.Beliau berkata demikian semasa mengulas bantahan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terhadap pembayaran gaji dua kali sebulan yang dianggap bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak.Presidennya Omar Osman sebaliknya mengusulkan kemungkinan kerajaan melaksanakan ansuran gaji secara 30/70.Turut meminta kerajaan membuat kajian semula ialah Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU).Cuepacs akan mengadakan kongres khas pada 28 Jun bagi membuat keputusan sama ada menyokong atau menolak langkah kerajaan itu.Dr Subramaniam berkata langkah yang diambil kerajaan itu bertujuan membantu kakitangan awam menyusun semula cara berbelanja bagi menghadapi kesan kenaikan kos sara hidup.Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya sedang berusaha menggalakkan lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan tabung PMSB bagi melatih semula pekerja mereka."Pada masa ini hanya 67 peratus majikan PKS menggunakan tabung PMSB untuk melatih pekerja...kita telah menjalankan kempen bagi menggalak lebih banyak majikan melatih pekerja supaya meningkatkan taraf kemahiran sejajar dengan keperluan semasa," katanya.Beliau berkata majikan perlu memberi peluang kepada pekerja untuk mendapatkan latihan semula dalam pelbagai bidang dan meningkatkan taraf termasuk mengikuti kursus yang menawarkan kelulusan diploma dan ijazah.-- BERNAMA

17 Jun 2008

GAJI DUA KALI SEBULAN GALAKAN KAKITANGAN AWAM BERHUTANG

Petikan dari Berita Harian
17/6/2008
KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan sistem pembayaran gaji pada pertengahan dan akhir bulan bermula Ogos ini dilihat mempunyai kelebihan dan kontranya. Namun saya berpendapat ia lebih banyak kontra dan menimbulkan kekeliruan di kalangan kakitangan awam yang kesannya akan diterima golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan. Kesan kenaikan harga barang dan minyak di negara kita khususnya, lebih dirasai golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Perlu diingat bahawa golongan ini sedang dalam proses menyesuaikan diri dan mengatur semula corak perbelanjaan mereka gara-gara kenaikan harga minyak. Justeru, apabila kerajaan mengumumkan satu lagi perubahan dasar yang juga berkaitan dengan pendapatan mereka, ia menyebabkan satu lagi suasana panik dan tidak tenteram di kalangan mereka.
Polisi baru berkaitan pengagihan gaji kakitangan awam itu tidak dinafikan memberi kesan positif kepada rakyat bagi menggerakkan aliran kewangan di kalangan rakyat. Namun, rata-rata daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana menggunakan separuh hingga tiga suku daripada pendapatan mereka untuk membayar bil, sewa rumah, bayaran kereta, perbelanjaan isi rumah, perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya. Justeru, dasar baru itu akan menyebabkan mereka langsung tidak mempunyai baki untuk hal kecemasan atau untuk perbelanjaan peribadi hatta perbelanjaan untuk ke tempat kerja sekalipun. Hal ini akan menyebabkan rakyat cemas dan lebih sukar mengatur perbelanjaan mereka dan pastinya ia sedikit sebanyak bakal menjejaskan mutu perkhidmatan mereka sebagai kakitangan awam. Cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk melaksanakan sistem pembayaran 30:70 pada pertengahan dan akhir bulan juga tidak praktikal kerana masalah yang sama seperti di atas tetap wujud.
Presidennya, Omar Osman, berkata pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan. Namun jika dilihat kepada situasi yang disebutkan di atas, kakitangan awam sebenarnya bakal sentiasa kehabisan wang kerana perbelanjaan asas saja hampir menyamai keseluruhan gaji mereka. Saya lebih bersetuju dengan kenyataan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah. Malah saya berasa agak terkilan apabila Cuepacs menyatakan langkah kerajaan ini dapat menangani perbelanjaan boros di kalangan rakyat. Kenyataan ini nyata tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kerana golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada hakikatnya sedang bergelut dengan masalah untuk berbelanja keperluan asas semata-mata dan langsung tidak 'berkesempatan' untuk berboros. Kenaikan harga minyak dan barang menyebabkan mereka ini tersepit bagi mengatur perbelanjaan keperluan asas dan mana mungkin mereka ini berkesempatan untuk boros.
Sehubungan itu, kerajaan dirayu agar kembali mengkaji semula mekanisme baru itu yang bakal dilaksanakan pada Ogos ini.

NOORAZMIR ZAKARIA,
Bandar Sri Permaisuri,
Kuala Lumpur.

SUHAKAM MINTA KAJI SEMULA PEMBAYARAN GAJI DUA KALI SEBULAN

Petikan dari Bernama
17/6/2008

KUANTAN: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta kerajaan mengkaji semula keputusan pembayaran gaji dua kali sebulan yang disifatkan tidak dapat membantu kakitangan awam mengurus kewangan dengan berkesan. Pesuruhjayanya, Datuk N Siva Subramaniam, berkata Suhakam menerima banyak aduan daripada kakitangan awam yang tidak setuju dengan langkah kerajaan itu. “Antara alasan yang diberikan mereka sukar mengurus perbelanjaan terutama dalam aspek pembayaran hutang bulanan seperti hutang rumah, kereta dan kad kredit.
“Selama ini mereka dapat memperincikan bayaran hutang dengan mudah dengan bayaran gaji sekali sebulan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Suhakam Bersama Rakyat di sini hari ini. Kerajaan menyatakan langkah berkenaan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini bagi membantu kakitangan awam mengurus perbelanjaan dan aliran tunai di rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api. Siva berkata, Suhakam berpendapat Malaysia sukar mengikut jejak beberapa negara maju yang membayar gaji dua kali sebulan kerana pembayaran pinjaman di negara berkenaan juga dikira dalam tempoh 14 hari, bukan sebulan. Beliau bagaimanapun berkata, Suhakam menyerahkan kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membincangkan langkah tersebut bersama kerajaan. - Bernama

KOS HIDUP TINGGI JEJAS PRODUKTIVITI

Petikan dari Berita Harian
17/6/2008


KUALA LUMPUR: Cuepacs menerima lebih 500 panggilan daripada penjawat awam yang mengadu terpaksa mencatu perbelanjaan bulanan mereka kesan peningkatan mendadak harga barang makanan antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan harga petrol dan diesel. Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mengumumkan tiada lagi kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini tetapi kenyataan itu tidak mampu mengembalikan keresahan dan tekanan rakyat. Katanya, kesan kenaikan harga barang dipercayai akan mempengaruhi keputusan peperiksaan umum kerana ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak mereka daripada kelas tuisyen.
“Yuran tuisyen yang diperuntukkan antara RM200 hingga RM400 sebulan sebelum ini terpaksa dikorbankan bagi menampung perbelanjaan harian untuk membeli bahan makanan asas dan mengisi minyak kenderaan. “Kebanyakan mereka terlalu tertekan dengan masalah kenaikan harga barang dan aduan yang diterima menunjukkan masing-masing seperti sudah hilang punca, sekali gus menyebabkan pekerja hilang tumpuan di pejabat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Beliau diminta mengulas keputusan kabinet semalam bahawa harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kenyataan Perdana Menteri mengenai pengekalan harga minyak sehingga tahun ini bagaikan keputusan tidak pasti. “Semua orang tahu mengenai krisis harga minyak dunia dan ramai menjangkakan harga minyak terus meningkat, macam mana nak selaraskan dengan perbelanjaan kerajaan yang semakin naik. “Kalau betul boleh selaraskan, semua rakyat akan gembira tetapi sekiranya kenyataan itu hanya untuk mengurangkan keresahan rakyat, tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

16 Jun 2008

CUEPACS MAHU KERAJAAN TURUNKAN FAEDAH PINJAMAN BANTU KAKITANGAN AWAM

Petikan dari Bernama
16/6/2008

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan beberapa cadangan termasuk meminta kerajaan menurunkan faedah bagi pinjaman perumahan dan kenderaan dalam usaha mengurangkan beban kakitangan awam.Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs juga akan menumpukan perhatian terhadap soal elaun serta faedah lain yang dinikmati kakitangan awam selama ini."Selain memohon kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) dikaji semula, Cuepacs juga berharap faedah bagi pinjaman perumahan sebanyak empat peratus dikurangkan kepada satu peratus atau dimansuhkan sama sekali dan faedah sebanyak enam peratus bagi pinjaman kenderaan diturunkan kepada tiga peratus sahaja," katanya.Omar berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di Institut Jabatan Pengairan dan Saliran di sini.Selain itu, Cuepacs juga memohon kerajaan menaikkan jumlah pendapatan yang dikenakan cukai daripada RM2,500 kepada RM3,500.Berdasarkan situasi semasa, Omar berkata Cuepacs berpendapat kerajaan patut menangguhkan sebarang pertukaran di kalangan kakitangan awam bagi menjimatkan kos."Selain itu, tuntutan honorarium untuk kakitangan kerajaan akan turut dibincangkan dalam mesyuarat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 28 Jun ini, serta kajian semula kadar pemberian elaun perbatuan dan lojing," katanya.Dalam perkembangan lain, Omar berkata beliau telah dihubungi anggota Cuepacs yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan pembayaran gaji sebanyak dua kali sebulan.Bagaimanapun, Cuepacs hanya akan membuat pendirian berhubung perkara itu selepas bermesyuarat dengan MTUC.-- BERNAMA

MAJORITI TAK SETUJU BAYARAN GAJI DUA KALI

Petikan dari Berita Harian
16/6/2008

KUALA LUMPUR: Kebanyakan kakitangan kerajaan di seluruh negara tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membayar gaji mereka dua kali sebulan kerana ia menyukarkan mereka untuk menguruskan kewangan, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman. Bagaimanapun, katanya, pendirian rasmi Cuepacs sama ada mahu menerima atau menolak langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini akan diputuskan pada Kongres Cuepacs, 28 Jun ini. Katanya, selain tidak membantu meringankan beban kakitangan awam berikutan peningkatan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, jumlah gaji dibayar tetap sama dan ia tentu menyukarkan kakitangan yang mempunyai bebanan hutang perlu dibayar pada masa ditetapkan.
“Misalnya, kakitangan yang bergaji RM1,200 sebulan jika dibahagi dua, mereka akan dapat RM600 setiap kali bayaran. Nilai RM600 pada masa ini sangat kecil dan menyukarkan kakitangan awam untuk menguruskan perbelanjaan bulanan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri bengkel keselamatan dan kesihatan pekerjaan Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung di sini, semalam. Omar berkata, Cuepacs juga akan mengemukakan beberapa cadangan lain, termasuk meminta kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan dan kenderaan dalam usaha mengurangkan beban kakitangan awam. Katanya, Cuepacs juga akan menumpukan perhatian terhadap soal elaun serta faedah lain yang dinikmati kakitangan awam selama ini.
“Selain memohon kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) dikaji semula, Cuepacs mahu faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus dikurangkan kepada satu peratus atau dimansuhkan sama sekali dan faedah enam peratus bagi pinjaman kenderaan diturunkan kepada tiga peratus,” katanya.

CUEPACS CADANG KERAJAAN BERI ELAUN KERJA MALAM

Petikan Dari Utusan Malaysia
16/6/2008

KUANTAN 15 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mempertimbangkan elaun khas untuk kakitangan yang bekerja pada waktu malam selain mengkaji semula kadar Elaun Kos Sara Hidup (COLA).
Presiden CUEPACS, Omar Osman (gambar) berkata, kakitangan awam yang bertugas pada waktu malam wajar mendapat elaun atau insentif khas sebagai dorongan kepada mereka memandangkan waktu bekerja yang berbeza daripada orang lain.
Dengan alasan bekerja pada waktu malam lebih memerlukan tumpuan yang tinggi sehingga menyebabkan ada antara pekerja mengalami tekanan, tegasnya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan perkara tersebut bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Malah beliau berkata, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan kakitangan bomba dan penyelamat, penguat kuasa, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi membincangkan perkara tersebut dua minggu lalu.
"Kita sedar pekerja agensi-agensi seperti ini ada yang bekerja antara pukul 1 pagi hingga 7 pagi, bukan sahaja perlu bekerja dalam tempoh itu, mereka turut terdedah kepada risiko keselamatan.
"Golongan ini juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kerana bekerja pada masa yang sepatutnya dimanfaatkan untuk tidur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-15 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perubatan dan Kesihatan Pahang, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Omar berkata, sebagai golongan yang bekerja untuk memastikan keselamatan orang awam, mereka seharusnya menerima keistimewaan daripada kerajaan.
Menyentuh isu kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini yang kemudian disusuli kenaikan harga barang keperluan yang tidak menentu, beliau berkata, kongres akan meminta kerajaan menyelaras semula COLA.
Katanya, jumlah yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja itu tidak lagi relevan pada masa kini kerana pekerja awam yang tinggal di luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol seperti penduduk di bandar.
Kata beliau, pihaknya mencadangkan kerajaan menyelaraskan semula COLA kepada satu jumlah yang sama tanpa mengira lokasi bekerja.
Jelas Omar, beliau akan mengemukakan dua isu tersebut pada mesyuarat kongres pada 28 Jun ini bagi meminta persetujuan ahli.
''Turut akan dibincangkan dalam mesyuarat itu, keputusan kongres sama ada untuk menerima atau menolak cadangan kerajaan memberikan dua kali gaji sebulan," ujar beliau.

CUEPACS MINTA KERAJAAN KAJI SEMULA KADAR COLA

Petikan dar Bernama
16/6/2008
KUANTAN 15 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mengkaji semula kadar Elaun Kos Sara Hidup (Cola) berikutan kenaikan harga minyak dan barangan baru-baru ini.
Presidennya, Omar Osman berkata, kadar Cola yang ditentukan berdasarkan lokasi bekerja pada masa ini tidak lagi relevan kerana pekerja sektor awam yang tinggal di kawasan luar bandar juga perlu membayar harga yang sama bagi membeli petrol seperti mana di kawasan bandar.
“Contohnya di Kuala Lumpur, Cola yang ditetapkan ialah RM300, sementara di daerah-daerah ialah RM150 dan jumlah ini tidak lagi relevan memandangkan harga bahan api yang meningkat hampir 40 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-15 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perubatan dan Kesihatan Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini. - Bernama

CUEPACS BELA PEKERJA

Petikan dari Utusan Malaysia
16/6/2008

SEDEKAD yang lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengambil keputusan untuk menangguhkan sebarang tuntutan kepada kerajaan berikutan krisis kegawatan ekonomi. Presidennya, Abdul Aziz Mohd. Sultan menyatakan, CUEPACS tidak akan mendesak kerajaan meluluskan sesuatu tuntutan tetapi kajian terperinci ke atas beberapa tuntutan seperti imbuhan tetap perumahan, pembayaran pencen dan sebagainya akan terus dijalankan. Sedekad telah berlalu dan kini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan kerajaan akan dibayar dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini. Langkah itu diputuskan pada mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Cadangan yang pernah dikemukakan CUEPACS suatu masa dahulu ini diharap dapat membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api. Presiden CUEPACS, Omar Osman menyatakan, langkah tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kewangan yang ditanggung kakitangan awam dan jika terbukti ia memberi kebaikan, maka diharap langkah ini dapat dikekalkan.
Pembayaran gaji dua kali sebulan itu merupakan pendekatan kerajaan untuk mengurangkan tekanan kewangan para pekerja, tetapi cara perbelanjaan itu masih terletak di bawah individu itu. Walaupun masih dibebani krisis kenaikan bahan api dan harga barang keperluan, kita seharusnya bersyukur kerana berbanding negara lain yang turut mengalami krisis yang sama, keadaan kita jauh lebih baik dengan pembelaan yang sewajarnya dari pihak kerajaan.

14 Jun 2008

CUEPACS , MTUC MAHU PENDAPATAN SEKURANG-KURANGNYA RM3,500 LAYAK DIKIRA KUALA LUMPUR

Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Nahar Tajri
14/6/2008

Dua kesatuan sekerja yang mewakili kakitangan awam dan swasta meminta kerajaan menaikkan kadar gaji minimum yang dikenakan cukai pendapatan kepada RM3,500 hingga RM5,000 sebulan bagi meringankan beban kakitangan sektor itu selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan Rabu lalu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata langkah itu lebih baik daripada mengurangkannya kerana kadar sedia ada RM2,500 dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
"Berdasarkan kepada keadaan sekarang gaji RM2,500 sudah dianggap kecil dan tidak layak dikenakan cukai pendapatan. Mereka yang berpendapatan sebanyak itu sekarang sudah tidak sama dengan keadaan beberapa tahun dulu selepas berlaku kenaikan harga minyak dan barang keperluan yang menyebabkan kos sara hidup meningkat mendadak. "Kami mencadangkan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM3,500 untuk dikenakan cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji bagi mengurangkan cukai pendapatan dan menyifatkannya sebagai kesediaan kerajaan untuk membuka ruang bagi membolehkan perkara itu dibincangkan.
"Ia satu perkembangan baik dan kita akan berbincang dulu pada peringkat kesatuan sebelum membuat tindakan selanjutnya," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kadar gaji minimum dikenakan cukai pendapatan patut dinaikkan kepada RM5,000 sebulan berdasarkan kepada kos sara hidup yang tinggi. "Jika dibandingkan dengan keadaan semasa dan kos sara hidup tinggi gaji antara RM2,500 hingga RM4,500 sudah tidak dianggap lumayan dan ia boleh dikira rendah bagi pekerja swasta di negara ini. "Oleh itu, kami cadangkan kadar minimum gaji sebulan dikenakan cukai pendapatan dinaikkan kepada RM5,000 kerana ia lebih bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan kerajaan akan menimbang kemungkinan mengurangkan cukai pendapatan individu dalam Bajet 2009 bagi membantu meringankan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dan makanan. Selain itu, Bajet 2009 juga akan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, termasuk kemungkinan memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres di lebuh raya utama dengan menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) sebagai terminal atau perhentian.

GAJI DUA KALI SEBULAN KURANGKAN BEBAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
14/6/2008

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembayaran gaji dua kali sebulan kepada pegawai dan kakitangan awam mulai Ogos ini, mampu meringankan beban kewangan mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Presidennya, Omar Osman berkata, ia adalah langkah baik yang akan membantu pekerja sektor awam menguruskan kewangan mereka secara bijak.
"Ia akan dapat mengurangkan mereka yang bergaji sederhana yang terpaksa ikat perut setiap bulan kerana kehabisan gaji di tengah bulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang mengumumkan langkah tersebut bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

13 Jun 2008

KOS HIDUP TINGGI JEJAS PRODUKTIVITI

Petikan dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008


KUALA LUMPUR: Cuepacs menerima lebih 500 panggilan daripada penjawat awam yang mengadu terpaksa mencatu perbelanjaan bulanan mereka kesan peningkatan mendadak harga barang makanan antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mengumumkan tiada lagi kenaikan harga minyak sepanjang tahun ini tetapi kenyataan itu tidak mampu mengembalikan keresahan dan tekanan rakyat.

Katanya, kesan kenaikan harga barang dipercayai akan mempengaruhi keputusan peperiksaan umum kerana ada ibu bapa terpaksa memberhentikan anak mereka daripada kelas tuisyen.



“Yuran tuisyen yang diperuntukkan antara RM200 hingga RM400 sebulan sebelum ini terpaksa dikorbankan bagi menampung perbelanjaan harian untuk membeli bahan makanan asas dan mengisi minyak kenderaan.

“Kebanyakan mereka terlalu tertekan dengan masalah kenaikan harga barang dan aduan yang diterima menunjukkan masing-masing seperti sudah hilang punca, sekali gus menyebabkan pekerja hilang tumpuan di pejabat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan kabinet semalam bahawa harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata kenyataan Perdana Menteri mengenai pengekalan harga minyak sehingga tahun ini bagaikan keputusan tidak pasti.

“Semua orang tahu mengenai krisis harga minyak dunia dan ramai menjangkakan harga minyak terus meningkat, macam mana nak selaraskan dengan perbelanjaan kerajaan yang semakin naik.

“Kalau betul boleh selaraskan, semua rakyat akan gembira tetapi sekiranya kenyataan itu hanya untuk mengurangkan keresahan rakyat, tidak perlu berbuat demikian,” katanya.

ANSURAN DUA KALI SEBULAN TIDAK BANTU KURANGKAN BEBAN RAKYAT: CUEPACS

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan bagi kakitangan awam bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak. "Cuepacs mencadangkan satu mekanisme lain, yang terbaik dan berkesan, bagi membantu mereka," kata Presidennya, Omar Osman yang menyambut baik usaha kerajaan mahu membantu meringankan beban kewangan rakyat. “Jika diberi ansuran dua kali sebulan, mereka yang berpendapatan RM5,000 atau RM6,000 tidak rasa kesannya tapi mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah yang meliputi 650,000 pekerja akan rasa bebanannya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata bayaran gaji secara ansuran jika dilaksanakan secara 50/50 dilihat boleh menambah masalah kerana rakyat akan berbelanja dengan lebih boros jika tidak diuruskan dengan betul. Omar sebaliknya mengusulkan kemungkinan kerajaan boleh melaksanakan ansuran gaji secara 30/70. Omar berkata Cuepacs tidak pernah dipanggil memberi pandangan terhadap isu berkenaan. - Bernama

KAKITANGAN AWAM WAJAR PILIH CARA PEMBAYARAN GAJI

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
13/6/2008

PEMBAYARAN gaji dua kali sebulan kepada kakitangan sektor awam yang dicadangkan bermula Ogos ini, adalah usaha terbaru kerajaan bagi mengurangkan bebanan rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak sebanyak 40 peratus, minggu lalu. Kaedah gaji dua kali sebulan memang sudah lama diamalkan pihak swasta bagi memastikan kakitangannya tidak berhadapan dengan beban kewangan ketika bertugas, manakala kehidupan lebih terurus tanpa menjejaskan produktiviti harian syarikat. Usaha kerajaan itu dilihat mempunyai tujuan sama, iaitu supaya kakitangan awam tidak tertekan berikutan kemelut ekonomi yang menyebabkan harga barang keperluan dan perkhidmatan meningkat. Bagaimanapun, kita berharap kajian teliti dibuat dengan mengambil kira pandangan kakitangan awam sendiri supaya ia tidak mengundang masalah baru selepas itu. Kita bimbang langkah itu menimbulkan masalah lain bukan saja kepada agensi kerajaan, malah turut memberi kesan negatif kepada kakitangan awam, terutama golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak bijak mengurus kewangan sendiri. Bagi golongan berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, mereka hanya mampu menerima sekitar RM600 hingga RM700 untuk dua minggu pertama. Bagi mereka yang tidak bijak menguruskan kewangan sendiri, wang sejumlah itu tidak akan cukup mereka gunakan untuk kelangsungan kehidupan, terutama pada pertengahan bulan. Berbeza dengan syarikat swasta yang sudah melaksanakan langkah itu, kakitangannya diberi pilihan sama ada untuk menerima gaji setiap dua minggu atau sebulan sekali. Mereka yang berasakan mampu menguruskan kewangan, biasanya mengambil skim setengah bulan, manakala yang bimbang kerana sifat boros boleh mengambil gaji sebulan sekali. Kumpulan kakitangan bergaji tinggi mungkin tidak berhadapan dengan masalah sekiranya skim berkenaan dilaksanakan. Yang kita khuatir ialah keupayaan majoriti kakitangan berpendapatan rendah dan sederhana yang sejak sekian lama menerima gaji pada akhir minggu setiap bulan, gagal mengurus kewangan mereka bila sistem gaji dua kali sebulan diperkenalkan. Kita juga berharap cadangan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya pembahagian mengikut kadar 30:70 diambil kira bagi memastikan mereka yang kurang berhemah berbelanja, masih mempunyai baki yang agak banyak pada akhir bulan. Selain itu, kerajaan harus memberi peluang kepada kakitangan untuk memilih sama ada mahu menerima gaji sekali atau dua kali sebulan. Kerajaan mempunyai waktu untuk memastikan pelaksanaan pembayaran gaji dua bulan sekali ini tidak menimbulkan rungutan kakitangan awam. Bagaimanapun, soal gaji sekali atau dua kali sebulan tidak menimbulkan masalah jika kakitangan awam sentiasa berhemah dalam mengurus kewangan mereka. Kita berharap bukan saja kakitangan awam, malah rakyat keseluruhannya menyusun semula corak perbelanjaan mereka dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang sekarang. Apa yang penting bukan isu gaji dibayar satu atau dua kali sebulan, tetapi bagaimana merancang kewangan yang terbatas untuk mengimbangi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kita tidak mahu kemudahan gaji dua kali sebulan menyebabkan pekerja mengeluh kerana tidak dapat melunaskan hutang dan pinjaman yang biasanya dibuat pada akhir bulan. Sikap berjimat-cermat serta tidak membazir sama ada wang, makanan, waktu atau tenaga adalah amalan yang harus diamalkan sepanjang masa, bukan ketika menghadapi masalah saja.

CUEPACS SYOR BAYAR GAJI 30:70

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak
13/6/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu pembayaran gaji kakitangan awam secara dua ansuran yang akan dilaksanakan mulai Ogos depan, diubah mengikut mekanisme 30:70 bagi mengelakkan pekerja kehabisan wang pada setiap awal bulan. Presidennya, Omar Osman, berkata menerusi mekanisme itu 30 peratus daripada gaji kakitangan awam dibayar pada pertengahan bulan, manakala baki 70 peratus lagi pada akhir bulan. Katanya, pembayaran gaji mengikut mekanisme itu boleh mengelakkan kakitangan awam mengalami sindrom kehabisan wang pada setiap awal bulan.
"Kalau pembayaran dilakukan mengikut mekanisme 50:50, kakitangan gred rendah yang menerima gaji sekitar RM1,000 akan mengalami kesukaran kerana sebahagian besar gaji pada hujung bulan dibelanjakan untuk membayar bil dan potongan wajib seperti cukai pendapatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau membuat cadangan itu ketika mengulas keputusan kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam secara dua ansuran, iaitu separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan manakala separuh kedua pada hujung bulan atau 50:50. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula akan dilakukan pada hujung bulan.
Keputusan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin, bertujuan membantu pengurusan perbelanjaan serta aliran tunai kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak, baru-baru ini. Sambil menyambut baik pengumuman itu, Omar berkata, kakitangan awam yang tidak setuju dengan kaedah pembayaran gaji berkenaan, boleh menyimpan gaji pertengahan bulan dan menggunakannya pada hujung bulan. Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersetuju dengan mekanisme itu kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada cara hidup kakitangan gred rendah. Setiausahanya, A Munian dalam satu kenyataan media berharap kerajaan menimbang semula pelaksanaannya kerana kakitangan gred rendah sudah biasa dengan sistem bayaran hujung bulan dan menganggapnya sebagai paling sesuai.

12 Jun 2008

JPA DIMINTA BUAT KEPUTUSAN BERHUBUNG KAKITANGAN SOKONGAN BUAT KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Bernama
12/6/2008

KUALA LUMPUR, 10 Jun 10 (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diminta supaya membuat keputusan segera bagi membenarkan pekerja kumpulan sokongan melakukan kerja sambilan selepas waktu pejabat.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata ia sebagai penyelesaian tetap atau jangka panjang dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang."Kita sedang mengkaji perkara ini dan akan mengeluarkan butiran terperinci mengenainya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesyuarat dan bengkel kemiskinan Asia Timur ketujuh di sini, Selasa.Beliau diminta mengulas cadangan Cuepacs supaya kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.Presidennya Omar Osman berkata langkah itu bertujuan bagi memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.Sementara itu dalam ucapannya, Amirsham berkata kadar kemsikinan di negara ini menurun kepada 7.5 peratus pada 2000 berbanding 52.4 peratus pada 1970 dan 17.1 peratus pada 1990."Pada 2007 pula, kadar kemiskinan berkurangan kepada 3.6 peratus. Bagi kemiskinan tegar, ia berkurangan kepada 0.7 peratus pada tahun yang sama," katanya.-- BERNAMA

GAJI DUA KALI SEBULAN KURANGKAN BEBAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
12/6/2008

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembayaran gaji dua kali sebulan kepada pegawai dan kakitangan awam mulai Ogos ini, mampu meringankan beban kewangan mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan yang tepat pada masanya.
Presidennya, Omar Osman berkata, ia adalah langkah baik yang akan membantu pekerja sektor awam menguruskan kewangan mereka secara bijak.
"Ia akan dapat mengurangkan mereka yang bergaji sederhana yang terpaksa ikat perut setiap bulan kerana kehabisan gaji di tengah bulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang mengumumkan langkah tersebut bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.

11 Jun 2008

BERI GALAKAN BEKERJA SAMBILAN

Petikan Dari Utusan Malaysia
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
11/6/2008

KUALA LUMPUR 10 Jun - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat memberi kelonggaran kepada kakitangan awam untuk bekerja sambilan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah, seharusnya diberi peluang daripada dulu lagi untuk bekerja sambilan bagi menampung kenaikan harga barang.
Katanya, kakitangan awam boleh bekerja selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu tidak kira dalam sektor swasta atau awam.
''Mereka boleh bekerja sebagai operator telefon, pengawal keselamatan dan penyambut tetamu, sekurang-kurangnya dalam jangka masa tiga hingga empat jam.
''Apa yang penting pada masa ini adalah masyarakat sendiri perlu merebut peluang tersebut bagi meningkatkan pendapatan untuk jangka masa panjang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perundingan dan bengkel serantau mengenai pengawasan kemiskinan dan kesan, sempena Analisis Kemiskinan dan Inisiatif Data (PADI) peringkat Asia ke-7 di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pakar Ekonomi Dunia, Shahid Khandker dan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob.
Sabtu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Amirsham berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar kini, kerajaan banyak menyediakan program membasmi pendapatan rendah bagi membantu golongan tersebut keluar daripada kelompok kemiskinan.
Jelas beliau, sejak program-program yang dilaksanakan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB), kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) semakin meningkat apabila berlaku penurunan sebanyak 6.7 peratus pada tahun 1971-1990.
Menurutnya, ia memperlihatkan penurunan setiap tahun apabila kadar kemiskinan semakin menurun kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 daripada 5.7 peratus pada tahun 2004.
''Oleh itu, kini kerajaan lebih yakin sekiranya masyarakat terus bekerja keras supaya negara dapat membasmi kadar kemiskinan sebanyak 2.8 peratus pada tahun 2010," katanya.
Sementara itu, Amirsham memberitahu, bengkel yang diadakan itu bertujuan membasmi kemiskinan dengan mewujudkan program dan polisi untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, sejak bengkel seumpama itu dijalankan di beberapa buah negara, ia memberikan kesan yang memberangsangkan kepada rakyat dan KDNK negara.
''Empat faktor utama yang akan dibincangkan adalah bagaimana memberikan peluang pekerjaan yang lebih, meningkatkan pendapatan, pertumbuhan KDNK dan perancangan ekonomi untuk jangka panjang,'' ujarnya.
Beliau berharap dengan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini dan akan datang dapat membantu rakyat miskin menanggung kos sara hidup kini.

10 Jun 2008

TIGA JAWATANKUASA DITUBUHKAN TANGANI MASALAH INFLASI

Petikan dari Bernama
10/6/2008

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Majlis Menangani Inflasi yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini bersetuju untuk mewujudkan tiga jawatankuasa bagi menangani masalah inflasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Beliau berkata jawatankuasa itu ialah jawatankuasa berkaitan dengan peningkatan kecekapan dalam menggunakan sumber-sumber tenaga.Ia akan turut dianggotai oleh individu lain yang ada kepakaran dalam syarikat atau agensi atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis tersebut di pejabatnya di sini.Selain itu, katanya jawatankuasa bagi menambah baik perkhidmatan bas di negara ini akan diwujudkan dengan mereka yang terlibat dalam industri itu menganggotainya.Abdullah berkata majlis itu turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa media yang diketuai oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini dilantik sebagai timbalannya.Perdana Menteri berkata jawatankuasa media itu berperanan menyebarkan maklumat keputusan yang dibuat oleh majlis itu.Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata majlis itu terdiri daripada 28 anggota termasuk tujuh menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Mohd Annuar serta wakil Persekutuan Majikan Malaysia, Cuepacs, MTUC dan Fomca.Katanya mesyuarat hari ini berjalan dengan baik dengan pelbagai pandangan diberikan dan mesyuarat majlis itu akan diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tiap dua minggu.Ditanya sama ada kenaikan harga minyak akan dibuat sebulan sekali atau setahun sekali, Abdullah berkata: "Kerajaan sedang mengkaji perkara itu. Minyak naik cepat. Dulu (harga petrol pasaran tempatan) RM3 seliter. Sekarang RM3.45 seliter."Abdullah merujuk kepada harga petrol di pasaran tempatan sebanyak RM3 seliter ketika kerajaan mengumumkan pada Rabu lepas kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter harga di pam dengan 30 sen disubsidi oleh kerajaan.-- BERNAMA

PRICES INCREASE TO HAVE BIG IMPACT ON PEOPLE

From The Borneo Post
5/6/2008
KUCHING: The new price of petrol and diesel that was announced by Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yesterday will have a big impact on the people.
While some irresponsible eateries will increase the price of food and drinks, other traders will also increase the price of essential items. Trade enforcement officers and other relevant agencies will be working extra hard to see to it that no one increase prices according to their fancy.
President of Sarawak Teachers Union (STU) William Ghani Bina said even before the latest increase, prices of goods in Sabah and Sarawak were already very high.
“With the increase in fuel price, the government should take appropriate actions to lessen the burden of the people,” said Ghani, who is also the state Cuepacs chairman (Congress of Union of employees in the public service).
He said that STU, on its part, would help to monitor the prices of goods and give feedback to the relevant authorities.
He said even though the price of petrol was beyond the control of any government in the world, the government had to decide what action to take for the interest of the people.
Ghani, who is also chairman of Sabah-Sarawak Joint Committee Teachers Union pointed out that the government should look at alternative ways to lessen the burden of the rural people, who would be the hardest hit by the latest (price) increase.
He also suggested that the government devised special subsidy scheme for government officers, who had little choice but to drive quite a distance every single day to work.
Assistant Minister in the Chief Minister’s Department Datuk Daud Abdul Rahman, meanwhile said the people should accept the reality that the government had no choice, but to increase the petrol prices due to the spiralling price of the commodity in the global market.
Daud, who is also Assistant Minister of Industrial Development and Tupong assemblyman, said the price of petrol in Malaysia was still low, compared to some countries.
“For the lower income group of people, I believe the government has some mechanism to lessen their burden,” he said.
Sadong Jaya MP Nancy Shukri, also said the price hike of petrol and diesel would have big impact on the rural people, and that the government had to look for solution to help them.
She however said the increase was beyond the control of the (Malaysian) government or any government in the world for that matter, due to the global trend.

HAPUSKAN CUKAI PERKHIDMATAN, KERAJAAN DI RESTORAN

Oleh AU YEONG HOW
Petikan dari Akhbar Utusan Malaysia
10/6/2008

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kerajaan disaran menghapuskan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas kedai makan dan restoran.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Mustafar Maarof berkata, kedua-dua cukai itu membebankan rakyat.
Ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata, dalam keadaan harga minyak yang melambung sekarang, rakyat menanggung kos sara hidup yang tinggi dan pengenaan cukai tersebut menambahkan lagi beban mereka.
“Kedua-dua cukai perkhidmatan dan kerajaan itu jika dicampur berjumlah 10 peratus dan ia menyebabkan harga makanan di restoran mahal sehingga memberi kesan terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.
Mustafar memberikan contoh, makanan yang berharga RM45 di restoran akan dikenakan cukai sebanyak RM4.50 iaitu 10 peratus menyebabkan pengguna terpaksa membayar RM49.50.
Tegasnya: “Kadar cukai itu agak membebankan.”
Beliau mempersoalkan adakah cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan yang dibayar oleh pengguna itu sampai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dengan kesatuan sekerja bagi membincangkan penyelesaian terbaik dalam menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman pula mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan pengenaan cukai perkhidmatan dan cukai kerajaan ke atas kedai makan dan restoran memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.
“Kerajaan boleh menimbangkan semula pelaksanaan cukai tersebut apabila ekonomi negara kembali pulih,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, kerajaan telah meningkatkan perolehan jualan tahunan restoran di luar hotel yang dikenakan cukai perkhidmatan.
Dalam usaha untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga bahan api, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan perolehan jualan tahunan restoran itu ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta
.

09 Jun 2008

K-TANGAN AWAM DIGESA BIJAK URUS BELANJA HARIAN

Petikan dari New Sabah Times
9th June, 2008


KOTA KINABALU: Kakitangan sektor awam di negeri ini digesa supaya bijak dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka ekoran kenaikan harga petrol dan diesel di negara ini
Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pe-kerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Cawangan Sa-bah, Pengiran Anak Pengiran Mubin, berkata pihaknya sedar bahawa dengan kenaikan harga petrol dan diesel itu anggota perkhidmatan awam terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk perbelanjaan harian mereka.
“Ini terutamanya kos membeli minyak kenderaan untuk mereka berulang alik daripada kediaman ke tempat kerja … malah ramai kakitangan awam yang tinggal jauh daripada tempat mereka bekerja dan ini sudah tentu akan menghadapi bebanan tambahan,”kataya di sini, kelmarin.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meng-umumkan pakej penstrukturan semula subsidi membabitkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70 sen, manakala harga diesel dinaikkan RM1 seliter daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter.
Beliau berkata, ramai kakitangan sektor awam tinggal melebihi 30 kilometer daripada tempat kerja me-reka … kalau sebelum ini kos minyak kenderaan mereka antara RM300 hingga RM400 sebulan kini kos itu sudah meningkat antara RM500 hingga RM600 sebulan.
Bagimanapun, beliau berharap kakitangan awam di negeri ini menerima hakikat kenaikan harga petrol dan diesel itu seperti yang dijelaskan kerajaan ekoran kesan daripada ke-naikan harga minyak di pasaran dunia.
“Cuepacs Sabah beerharap jangan pula disebabkan kenaikan harga bahan api itu ada kakitangan awam di negeri ini melupakan tanggungjawab mereka dengan tidak hadir bertugas … tanggungjawab perlu dilaksanakan seperti biasa,” katanya.
Pengiran Anak juga berkata, jika perlu untuk menjimatkan kos membeli minyak yang tinggi, kakitangan awam boleh menggunakan kaedah berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja.
Beliau juga berkata, Cuepacs Sabah juga sedang mencari jalan terbaik untuk mengurangkan bebaban kakitangan sektor awam di negeri ini dan akan memberi cadangan kepada kerajaan untuk membentuk sektor awam terutamanya berkaitan dengan elaun yang perlu diberikan kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau juga berharap kakitangan awam di negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan tindakan pihak-pihak tertentu terutamanya menyertai perhimpunan ha-ram bagi membantah kenaikan harga minyak itu.
“Kita ada saluran untuk mencari penyelesaian terbaik dan kerajaan tentunya akan mendengar apa yang kita suarakan itu jika ianya untuk kebaikan dan bukannya melalui perhimpunan haram yang hanya mendatangkan masalah terutamanya dari segi keselamatan,” tambahnya.

JPA DIMINTA KAJI BALIK BENAR KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Berita Harian
9 Jun 2008

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji cadangan membenarkan kakitangan awam bekerja sambilan selepas waktu pejabat bagi menambah pendapatan berikutan kenaikan harga api dan barangan baru-baru ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, berkata kajian itu antara lain bagi mengenal pasti kesan terhadap kualiti kerja kakitangan awam khususnya ketika kerajaan berusaha meningkatkan mutu penyampaian sektor awam. "Perkara ini memerlukan kajian kerana ia membabitkan prestasi dan kualiti kerja. Ia dikhuatiri menjejaskan sistem penyampaian sektor awam. Pada masa yang sama, kerajaan memahami tujuan Cuepacs mengemukakan cadangan itu, kerana ia dapat meringankan beban sara hidup kakitangan awam berikutan kenaikan harga minyak dan barang keperluan," katanya semalam.
Beliau mengulas cadangan Cuepacs meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat. Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji rendah menambah pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Katanya, kumpulan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan bersih RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk elaun sara hidup (Cola), elaun perumahan dan elaun khidmat awam.
Antara kerja sambilan boleh dilakukan ialah sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks beli-belah. Difahamkan, JPA menetapkan peraturan kerja sambilan hanya boleh dilakukan di luar waktu pejabat selepas mendapat persetujuan ketua jabatan dan tidak menjejaskan prestasi mereka.

KAKITANGAN AWAM DILARANG KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia
9 Jun 2008

KUALA LUMPUR 8 Jun – Kementerian Sumber Manusia tidak bersetuju dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk membolehkan kakitangan kumpulan sokongan bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Timbalan Menterinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kakitangan awam tidak boleh melakukan kerja sambilan kerana ia telah terikat dengan perjanjian dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dikhuatiri boleh mengganggu produktiviti mereka.
‘‘Jika kakitangan awam berterusan hendak melakukan kerja sambilan, mereka hendaklah berbincang dengan pihak JPA sendiri,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penyampaian Anugerah Hari Ibu anjuran sebuah akhbar harian dan Secret Garden di Hotel Nikko di sini hari ini.
Semalam, CUEPACS mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam kumpulan sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Menurut kongres itu, kakitangan awam bagi kumpulan P1 T1 kini berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Noraini menjelaskan, seseorang kakitangan awam tidak boleh melakukan pekerjaan sambilan walaupun ia tidak mengganggu produktiviti mereka.
Malah, katanya, kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu bagi tujuan mengurangkan beban yang mereka tanggung.
‘‘Kenaikan gaji itu diberi bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih tanpa perlu melakukan kerja sambilan,” ujarnya.

BENARKAN KAKITANGAN AWAM KERJA SAMBILAN

Petikan Dari Akbar Utusan Malaysia
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT


KUALA LUMPUR 7 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan memberi kelonggaran kepada kira-kira 850,000 kakitangan awam sokongan untuk bekerja sambilan selepas waktu pejabat.
Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada kakitangan awam terutama dalam kumpulan gaji P1 T1 untuk memperoleh pendapatan lebih bagi menampung kos sara hidup yang meningkat ekoran kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
“Kumpulan tersebut terdiri daripada mereka yang berpendapatan bulanan bersih antara RM647 hingga RM1,600 tidak termasuk tambahan elaun sara hidup (COLA), perumahan dan perkhidmatan awam.
“Mereka mungkin boleh dibenarkan bekerja sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan, pekerja kilang, atendan pam minyak dan pencuci di kompleks membeli-belah,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sesetengah daripada kakitangan awam dalam kumpulan tersebut telah melakukan pelbagai kerja sampingan sejak 25 tahun lalu bagi menampung kos kehidupan mereka.
Omar memberitahu, purata pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja sampingan itu ialah kira-kira RM600 sebulan dan ia dilakukan dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.
Mereka juga mungkin bekerja pada cuti hujung minggu.
“Sebelum ini CUEPACS tidak menggalakkan mereka membuat kerja sambilan terutama selepas menerima kenaikan gaji pada Julai 2007 kerana bimbang ia akan menjejaskan produktiviti kerja mereka dalam sektor kerajaan.
“Bagaimanapun, keadaan sekarang sudah berubah. Semua kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk beras yang menyebabkan mereka perlu berbelanja dengan lebih teliti,’’ ujarnya.
Omar berkata, sekiranya hanya harga minyak naik, mereka boleh merancang perjalanan seharian tetapi apabila ia turut melibatkan harga barangan keperluan lain, mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“CUEPACS menerima lebih 500 aduan berhubung kesan kenaikan harga minyak dan kita sokong sekiranya kakitangan awam itu bekerja sambilan termasuk membawa teksi, menjadi pekerja kilang dan berniaga di pasar malam,’’ kata beliau.
Ditanya mengenai empat langkah yang bakal diumumkan oleh kerajaan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan harga minyak, Omar memberitahu, ia adalah satu cara yang berkesan dan amat dialu-alukan.
Katanya, penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta, iaitu salah satu daripada langkah itu, bertepatan dengan masa ketika rakyat berdepan dengan krisis ekonomi dan makanan.
“Peranan Majlis Kawalan Harga Negara di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga perlu dipertingkatkan lagi supaya rakyat memahami fungsi yang dimainkan badan tersebut,’’ ujar Omar.

06 Jun 2008

REAKSI PEMIMPIN PERSATUAN

Sedutan dari Akhbar Berita Harian
6/6/2008

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan semalam mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dengan ada yang menyifatkan ia agak tinggi walaupun kerajaan terpaksa mengambil langkah itu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang tidak dijangka sama sekali akan diambil kerajaan memandangkan tanggungan rakyat yang semakin meningkat dengan kenaikan barang sebelum ini. “Pada saya kenaikan ini membebankan kerana sebelum ini kita terpaksa menstruktur semula perbelanjaan ke tahap paling minimum dan dengan kenaikan petrol kini kita terpaksa memikirkan inisiatif lain untuk menghadapinya,” katanya.
Pengerusi, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat, berkata kenaikan ini terlalu tinggi dan akan menjejaskan aktiviti nelayan yang terpaksa menanggung kerugian kerana peningkatan kos operasi. “Saya bimbang ia akan menyebabkan nelayan tidak mampu ke laut kerana kosnya yang terlalu tinggi. Kita juga berharap kerajaan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan masyarakat nelayan mendapat pembelaan sewajarnya. Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu, berkata ia adalah keputusan yang terpaksa diambil kerajaan bagi menghadapi masalah global ini dan diharapkan subsidi yang ditarik balik dapat disalurkan bagi membangunkan sektor penting dan memerlukan lebih peruntukan seperti pertanian.
“Pengguna perlu memahami bebanan yang ditanggung kerajaan kerana kenaikan harga minyak adalah masalah global dan kita perlu menghadapinya bersama-sama. Pengguna perlu berusaha mengubah gaya hidup bagi mengurangkan kesan kenaikan harga petrol,” katanya. Pemangku Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Wahid Bidin, menyambut baik pengumuman itu kerana subsidi yang ditarik balik membolehkan kerajaan memperuntukkan wang itu bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kebaikan rakyat terutama rakyat miskin.

05 Jun 2008

NGO BERI REAKSI BERBEZA

Oleh NORILA DAUD
Sedutan dari Akhbar Utusan Malaysia
5/6/2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi reaksi berbeza berhubung pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menyifatkan kerajaan masih prihatin untuk membantu rakyat berpendapatan rendah walaupun harga petrol dinaikkan sebanyak 40 peratus mulai tengah malam ini.
Beliau berkata, kerajaan masih memberi subsidi kepada rakyat walaupun dijangka pada tahun 2013, negara tidak lagi menjadi pengeluar minyak.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan membuat langkah seperti memberikan RM150 setahun kepada pemilik motosikal berkapasiti enjin 250cc dan RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick-up dan jip berkapasiti sehingga RM2,500.
"Kerajaan juga berjanji wang subsidi yang berlebihan itu akan diperuntukkan untuk kemudahan pengangkutan awam, pendidikan dan sektor awam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenaikan harga petrol sebanyak RM0.78 seliter kepada RM2.70, berbanding RM1.92 sebelum ini yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya petang ini.
Menurut beliau, kenaikan harga petrol ini adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan.
Malah, katanya, negara India juga hari ini turut mengumumkan kenaikan petrol sebanyak 10 peratus di mana sebelum ini, negara berkenaan telah menaikkan harga bahan api itu beberapa kali.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan kenaikan harga petrol dan diesel itu yang akan memberi kesan buruk kepada kakitangan sektor awam yang berpendapatan rendah.
"Kakitangan sektor awam baru hendak menikmati keseimbangan pendapatan dengan kenaikan harga barang-barang keperluan dan hari ini dikejutkan dengan kenaikan harga petrol dan diesel.
"Kenaikan harga bahan bakar ini hanya akan mendorong mereka membuat kerja sampingan dan tindakan itu hanya akan menjejaskan prestasi dan produktiviti mereka di tempat kerja,'' jelasnya.
Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel ini sudah pasti akan membebankan mereka berikutan kos kehidupan yang akan melambung tinggi.
Bagaimanapun, menurutnya, CUEPACS akan mengadakan mesyuarat khas pada pertengahan Julai ini bagi membincangkan isu kenaikan minyak dan impak selepas setahun kenaikan gaji.
Sementara itu, tambah beliau, satu rumusan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum 1 Ogos ini.
Beliau seterusnya menyatakan kesal terhadap tindakan kerajaan yang menaikkan harga bahan bakar itu secara mengejut tanpa mengadakan perbincangan dengan pihaknya atau pertubuhan berkaitan rasional kenaikan itu.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga minyak tidak dapat dikawal dan pengguna perlu lebih bijak berbelanja dan mengikut kemampuan.
"Kenaikan ini memang tak boleh dielakkan. Apa yang penting, rakyat perlu lebih berjimat dan berusaha mencari pendapatan lebih.
"Apa yang kita takut sekarang, lazimnya bila harga minyak naik, bahan-bahan makanan pun akan naik.
"Kita harap kerajaan ada mekanisme baru untuk mengelak harga makanan naik sebab seperti kelaziman pasti akan ada orang yang akan menangguk di air keruh,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

02 Jun 2008

DALAM KEGAWATAN EKONOMI ADA PENJAWAT AWAM YANG DAPAT KENAIKAN ELAUN. FIKIRKANLAH BERSAMA

By: Wan Mokhtar
on June 27, 2008 at 5:08 pm

Salam sejahtera,
Saudara/i sahabat KEPAK sekelian. Saya tertarik dengan satu Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 10/2008.
Dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang ini semua Kementerian/Jabatan dinasihat supaya berbelanja berhemah dan pihak Perbendaharaan akan mengeluarkan Waran Tarik Balik Perbelanjaan Mengurus sebanyak 10%. Para Menteri dan EXCO juga bersetuju memotong elaun mereka sebanyak 10%.
Dalam masa yang sama ada pula yang naik elaun. Agaknya golongan yang naik elaun ini adalah dari golongan yang “pecah Kepala” memikirkan cara untuk memulihkan ekonomi negara. Jadi itulah sebabnya dalam keadaan ekonomi sebegini diluluskan kenaikan elaun bagi mereka.
Bagi kita semua ini terutama Kumpulan Sokongan kalau nak tambah pendapatan bolehlah buka gerai “Pisang Goreng” depan halaman rumah atau jadi tauke VCD dekat pasar malam. Nak buka gerai depan rumah bagi penghuni di Putrajaya nampaknya Sorry lah kerana pihak Perbadanan Putrajaya tak boleh kompromi nanti kena saman. Kenalah cari jalan yang lain nak tambah pendapatan.
Kita PPT ini apa nak buat bagi tambah pendapatan. Kalau kawan-kawan ada cadangan boleh sama-sama kita kongsikan dalam blog kita ni. Mungkin tambah Cola kot? Yang tinggal Rumah Kerajaan bayarlah penuh Cola tu kerana ia tiada kaitan dengan Kuarters? Cola adalah bantuan sara hidup. Apakah yang tinggal di Kuarters sara hidupnya lebih baik? Boleh beli minyak dengan harga lama?
Marilah bersama kongsi pandangan dan bersama-sama kita renungkan.
Wassalam.