SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

26 Disember 2008

PELANTIKAN OTHMAN DISOKONG

Utusan Malaysia
24/12/2008


KUALA LUMPUR 24 Dis. - Kesatuan Pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyambut baik pelantikan Othman Omar sebagai Pengurus Besar perbadanan itu yang berkuat kuasa 1 Februari depan.
Presidennya, Ab. Rahman Abdan berkata, pada dasarnya pihak kesatuan amat berpuas hati di atas pelantikan Othman untuk menerajui PKNS memandangkan PKNS memerlukan seorang pemimpin Melayu untuk menjadi ketua.
"Kita bukan bersifat perkauman tetapi memang timbul kekhuatiran nasib yang bakal menimpa orang Melayu sekiranya seorang pemimpin bukan Melayu yang memerintah.
"PKNS mengutamakan agenda Melayu kerana kita tidak mahu orang Melayu terpinggir di negeri Selangor ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor dikritik hebat kerana melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS yang tindakan itu disifatkan sebagai membelakangkan orang Melayu.
Bagaimanapun, semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan Othman sebagai Pengurus Besar.
Ab. Rahman menjelaskan, gesaan melantik orang Melayu sebagai pemimpin PKNS berasas kerana pihaknya tidak mahu setiap projek di bawah PKNS dimonopoli oleh kaum lain dan tersasar dengan matlamat utama PKNS.
"Cuba kita lihat bandar raya Shah Alam hari ini, hampir 70 peratus dimiliki oleh orang Melayu. Ini yang kita mahukan.
"Kita bimbang jika PKNS diterajui oleh bukan Melayu, sudah pasti bukan Melayu akan mengusai Shah Alam seterusnya meminggirkan orang Melayu," jelasnya.

24 Disember 2008

CUEPACS SYOR PERATURAN HALANG SWASTA IJN

Berita Harian
24/11/2008

KUALA LUMPUR: Cuepacs mencadangkan kerajaan mewujudkan peruntukan undang-undang menyekat Institut Jantung Negara (IJN) daripada diswastakan dan dikekalkan sebagai institusi awam dikuasai sepenuhnya kerajaan di bawah Kementerian Kewangan. Presidennya, Omar Osman, berkata undang-undang menjamin kedudukan IJN tetap terpelihara daripada usaha mana-mana pihak dan badan korporat yang berminat mengambil alih kepentingan institusi itu sebagai aset perniagaan mereka. Beliau berkata, pengumuman kerajaan menangguhkan pengambilalihan IJN oleh konglomerat Sime Darby dianggap keputusan bijak dan dapat meredakan rasa bimbang rakyat, tetapi ia tidak bermakna sudah muktamad mengenai masa depan institusi itu.
“Cuepacs menyokong penangguhan pengambilalihan IJN, tetapi berharap kerajaan lebih prihatin dengan menggubal undang-undang tidak membenarkan IJN diswastakan. “Yang lebih membimbangkan kita mungkin ramai yang sakit jantung mati di rumah kerana tidak mampu membayar kos rawatan terlalu tinggi di hospital swasta, apa lagi jika IJN juga diswastakan,” katanya di sini, semalam.

23 Disember 2008

BAYAR TUNAI GANTI BAKI CUTI

Berita Harian
22/12/2008



KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, kira-kira 50,000 kakitangan kerajaan yang bekerja secara kontrak layak menerima bayaran tunai sebagai ganti baki cuti apabila tempoh perjanjian kontrak masing-masing tamat. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata berdasarkan kaedah yang diamal pakai sebelum ini, kakitangan kontrak dalam sektor awam akan kehilangan cuti terkumpul dan dikira lupus apabila kontrak masing-masing tamat. “Syarat baru ini akan menjadi sebahagian daripada semua perjanjian perkhidmatan kontrak yang bakal ditawarkan mulai awal tahun depan.
“Bagi memenuhi kriteria kelayakan ini, kakitangan awam lantikan kontrak itu harus sudah berkhidmat tidak kurang daripada setahun,” katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, tegas beliau, mereka yang dipecat oleh kerajaan kerana tidak mematuhi arahan pihak atasan atau melanggar peruntukan Akta Rahsia Rasmi tidak layak mendapat keistimewaan terbabit. Selain itu, mereka yang melakukan kesalahan jenayah, mengingkari kontrak perkhidmatan, dipecat oleh jawatankuasa disiplin atau meletak jawatan secara sukarela, juga tidak layak mendapat bayaran terbabit.
Kata Ismail, mereka yang ditamatkan perkhidmatan kerana masalah kesihatan masih dianggap layak jika sudah berkhidmat sekurang-kurangnya setahun daripada tempoh kontrak. Berdasarkan peraturan baru itu, kakitangan awam kini boleh mengumpulkan sehingga lapan hari bagi setiap tempoh kontrak atau sehingga 75 hari bagi tempoh pelbagai kontrak di bawah agensi kerajaan yang berlainan. Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kakitangan awam yang dilantik secara kontrak tidak ditawarkan keistimewaan tertentu seperti dinikmati kakitangan awam berstatus tetap dan berpencen. Presidennya, Omar Osman, ketika dihubungi semalam, berkata tindakan itu tidak adil kerana menafikan kakitangan kontrak terbabit keistimewaan yang dinikmati kakitangan awam lain seperti pinjaman perumahan dan pinjaman membeli kereta.
“Cuepacs juga berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan penyerapan kira-kira 50,000 kakitangan awam yang masih berstatus pekerja kontrak sebagai kakitangan tetap. “Ada antara mereka ini sudah berkhidmat antara 10 tahun hingga 15 tahun dan amat berpengalaman serta menjadi aset kepada jabatan masing-masing,” katanya sambil mengesyorkan pelantikan baru selepas 2010 adalah jawatan tetap dan berpencen serta layak menikmati segala keistimewaan yang diterima kakitangan awam lain. Bagaimanapun, Ismail menjelaskan bahawa dasar pelantikan semasa kerajaan tidak menjanjikan seseorang pegawai lantikan kontrak dilantik secara automatik ke dalam perkhidmatan awam, seperti mana dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2008.

22 Disember 2008

KERAJAAN PINDA PTK, CUEPACS TETAPKAN 10 JANUARI UNTUK KEPUTUSAN

Bernama
By: Ramjit
20/12/2008


KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meminda pelaksanaan dan konteks program Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), yang menjejas kenaikan pangkat dan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.Pindaan itu, dianggap memberi manfaat kepada kakitangan awam, dikeluarkan kepada Cuepacs minggu lepas -- badan induk kesatuan kakitangan awam -- dan akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2009.Presiden Cuepacs Omar Osman, bagaimanapun berpendapat badan itu memerlukan masa untuk mengkaji versi PTK yang dipinda itu dan akan menghimpunkan 120 kesatuan gabungan pada kongres khas pada 10 Jan, di Sungai Petani, Kedah bagi membincangkan fasal-fasal yang tidak memberi manfaat."Dengan pindaan ini, semua pekeliling PTK yang lepas dikeluarkan oleh JPA dianggap batal dan tidak sah. Hingga kini, JPA telah melakukan tiga pindaan terhadap PTK, satu pada 2005 dan dua pada 2006," katanya kepada pemberita selepas taklimat khas kepada badan-badan gabungan Cuepacs di sini, Sabtu.Beliau berkata, di lihat pada luarannya, versi pindaan pekeliling pelaksanaan PTK setebal 27 muka itu telah mengambil kira aduan Cuepacs mengenai sistem penilaian kakitangan kerajaan.Awal bulan ini, Cuepacs memberi kata dua kepada kerajaan agar meminda atau menghapuskan sistem penilaian itu sama sekali atau menghadapi pemulauan PTK.Omar bagaimanapun berkata ketika kerajaan berusaha mewujudkan suasana kerja yang selesa untuk kakitangan awam, kakitangan pula hendaklah menjalankan tugas dengan cara terbaik."Mulai tahun depan, Cuepacs akan melaksanakan kempen penjenamaan semula bagi mengubah imej perkhidmatan awam," katanya.Mengenai isu lain, Omar berkata sementara Cuepacs menyambut baik langkah kerajaan menangguhkan pengswastaan Insitut Jantung Negara (IJN), adalah lebih baik rancangan itu dibatalkan langsung."Pertama sekali, kami tidak bersetuju sebarang langkah mengswastakan IJN. Ia tidak bukan perlu ditangguhkan tetapi dibatalkan terus."Kami juga meminta kerajaan menjalankan kajian dulu sebelum mengumumkan sebarang rancangan untuk mengswastakan mana-mana badan milik kerajaan," ujar Omar.-- BERNAMA
Kami menyediakan langganan

CUEPACS KAJI PINDAAN TAMBAH BAIK PTK

Utusan Malaysia
20/12/2008

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Setiap jabatan kerajaan diberi kuasa menetapkan corak peperiksaan dan penilaian ke atas kakitangan mengikut panduan pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dipinda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dilaksanakan mulai 1 Januari depan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, dengan pindaan itu, kakitangan tidak perlu menduduki peperiksaan yang tidak bersesuaian dengan pekerjaan, pengalaman dan usia, sebaliknya mengikut keperluan di jabatan masing-masing.
Katanya, pindaan terbaru ke atas pelaksanaan PTK itu didapati lebih komprehensif dan menggunakan mekanisme yang lebih mudah.
Menurutnya, CUEPACS menerima butiran pindaan ke atas PTK setebal 27 muka surat dengan 34 tajuk itu pada Selasa lalu untuk diteliti dan dibincangkan dalam kalangan 120 kesatuan di bawah naungannya.
"Pindaan dan penambahbaikan PTK itu bagaimanapun akan dibincang dan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kongres Khas di Sungai Petani, Kedah, pada 10 Januari depan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan taklimat khas Majlis Kongres CUEPACS di sini hari ini.
Sehubungan itu, Omar berkata, mekanisme pelaksanaan PTK akan dibuat melalui beberapa peringkat termasuk Lembaga Penilaian Kompetensi Perkhidmatan Awam, Lembaga Penilaian Konpetensi Kementerian, Panel Peperiksaan, Panel Penilaian Kursus dan Panel Penilaian Bagi Pegawai Berkelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ke Bawah.
Menyentuh pelaksanaan pindaan PTK itu pada tarikh tersebut sedangkan CUEPACS hanya akan membincangkannya pada 10 Januari, Omar berkata, ia masih boleh diubah suai sekiranya terdapat kategori pekerja yang tidak berpuas hati dengan mekanisme pelaksanaan PTK tersebut.

KAEDAH BARU PTK DIKUAT KUASA JANUARI

Berita Harian
20/12/2008


KUALA LUMPUR: Konsep, bentuk dan kaedah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sektor awam sudah dipinda dan akan dikuatkuasakan 1 Januari tahun depan bagi kepentingan kerjaya 1.2 juta kakitangan awam seluruh negara. Berikutan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan Surat Pekeliling Bilangan 19 Tahun 2008 Pengubahsuaian PTK dengan memuatkan Panduan Pelaksanaan PTK Yang Diubah Suai turut diedarkan kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), minggu lalu. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata melalui surat pekeliling terbaru itu, JPA turut memaklumkan semua tiga pekeliling berkaitan PTK dikeluarkan pada 2005 dan 2006 terbatal.
Katanya, pengubahsuaian PTK itu antara lain akan memberi kuasa penuh kepada setiap jabatan kerajaan menentukan pelaksanaan kaedah penilaian bersesuaian bagi kakitangan mereka. Beliau berkata, PTK sebelum ini berkonsepkan peperiksaan atau ujian bertulis semata-mata sehingga menimbulkan banyak bantahan di kalangan kakitangan awam, malah dikatakan ada kakitangan di negeri lain terpaksa ke Putrajaya hanya untuk menduduki satu kertas peperiksaan. Selain itu, katanya, soalan penilaian juga akan lebih fokus dengan membabitkan elemen kompetensi berkaitan bidang perkhidmatan kakitangan awam terbabit, sekali gus disifatkan lebih adil kerana bukan aspek menyeluruh seperti sebelum ini yang sering menjadi rungutan dan dikatakan antara faktor menjejaskan pencapaian mereka dalam PTK.
“Ini kerana ada kakitangan awam peringkat kolar putih yang bekerja di pejabat serta kolar biru yang membabitkan anggota berpakaian seragam seperti kastam dan bomba. Lebih ramai anggota kolar biru tidak mencapai aras empat (keputusan peperiksaan PTK) kerana tugas mereka lebih menjurus kepada fizikal. “Bukan mereka tidak membaca atau tidak pandai tetapi tidak ada masa (untuk membaca). Justeru dengan pindaan ini, Cuepacs berharap dapat meringan atau meredakan keadaan tertekan apabila mengambil PTK. Malah, aspek pengalaman akan turut diambil kira dalam PTK yang diubah suai itu,” katanya pada sidang akhbar selepas program taklimat khas Majlis Kongres Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 pemimpin kesatuan. Omar berkata, pemberian kuasa penuh kepada setiap jabatan kerajaan tidak akan menjejaskan standard dan kualiti PTK kerana penilaian tetap tertakluk kepada garis panduan dalam surat pekeliling dikeluarkan JPA, selain pemantauan pusat penilaian kompetensi masing-masing. Sambil menyifatkan pengubahsuaian itu sebagai komprehensif dan mengambil kira maklum balas Cuepacs berhubung isu PTK selama ini, beliau berkata, 120 kesatuan di bawah kongres terbabit akan membincangkan pengubahsuaian berkenaan pada peringkat kepemimpinan masing-masing.
Katanya, mereka diberi tempoh menyemak sehingga 10 Januari depan sebelum membentangkan keputusan menerima pengubahsuaian itu atau mahu penambahbaikan lagi terhadap PTK pada mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di Sungai Petani, Kedah, 10 Januari depan.

21 Disember 2008

KERAJAAN TELITI BEKU AMBIL PEKERJA ASING

Berita Harian
21/12/2008

Langkah bantu rakyat tempatan menganggur dapat pekerjaan jika dilaksana KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang menimbang membekukan sementara pengambilan pekerja asing, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim, semalam. Beliau memberitahu Bernama, tindakan itu adalah satu daripada pilihan yang sedang diteliti kementerian bagi membantu rakyat tempatan yang diketepikan peluang mendapat pekerjaan. Sehingga bulan lalu, 28,000 rakyat Malaysia yang menganggur berdaftar dengan Jabatan Tenaga Rakyat dan setakat ini 6,000 daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan.
Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing di Malaysia bersamaan 20 peratus dari jumlah tenaga kerja di negara ini. Baru-baru ini, ada laporan menyebut 2,000 hingga 3,000 penganggur berdaftar setiap bulan dengan kementerian itu. Keadaan itu dijangka meningkat berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia tahun depan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 550,000 pekerja sektor swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menjadi payung bagi 1.2 juta kakitangan awam, mengalu-alukan langkah pembekuan itu dan menyifatkannya sebagai 'langkah logik bagi melindungi pekerja tempatan'. Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, berkata pada masa ini terdapat lebihan pekerja asing di negara ini dan kini tiba masanya bagi mengurangkan jumlah mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Beliau mencadangkan supaya pekerja imigran yang menamatkan kontrak supaya dihantar pulang supaya tempat mereka dapat diisi rakyat tempatan. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata walaupun kakitangan awam tidak terjejas dengan kebanjiran pekerja asing, ia adalah trend yang membimbangkan kerana ia bukan saja menafikan peluang kerja rakyat tempatan tetapi kehadiran mereka menimbulkan masalah sosial.
"Kami dapati, kejadian jenayah meningkat di dalam negara dan sebahagian daripadanya boleh dikaitkan dengan orang asing dan rakyat Malaysia yang menjadi penganggur," katanya. Ismail berkata, Singapura memberikan petanda bahawa ia mungkin memberhentikan kira-kira 500,000 pekerja dan sebahagian mungkin terdiri daripada rakyat Malaysia. Sebagai langkah proaktif, Jabatan Tenaga Rakyat membuka pendaftaran kepada pekerja ini dan mereka dinasihatkan mendaftar dengan pejabat Tenaga Rakyat. Mereka juga mempunyai pilihan untuk mendaftar secara online melalui portal JobMalaysia yang dikendali jabatan itu. Majikan yang mempunyai kerja kosong juga digalak menggunakan portal itu untuk mengiklankan peluang kerja. Ismail berkata, kementerian sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran dan mengambil langkah proaktif bagi membantu rakyat Malaysia yang menganggur.

20 Disember 2008

KURSUS KEPIMPINAN DAN PENYELIAAN BERKESAN

arhmn
Media Cuepacs
20/12/2008






Kemaman Terengganu 18 Disember 2008: Seramai lebih kurang 30 orang terdiri dari Wakil Kongres CUEPACS, MBK Pengurusan dan Profesional, MBK Am & Sokongan dan MBK Sains dan Teknologi telah mengikuti dengan jayanya Kursus kepimpinan & Penyeliaan Berkesan. Kursus ini telah diadakan pada 15 - 18 Disember 2008 di INTIM Kemaman, Terengganu. Kandungan kursus terdiri daripada Kepimpinan, Prinsip-prinsip organisasi, Bengkel Penyediaan Kertas Kerja, Penyeliaan Dalam Perkhidmatan, Penyediaan Gaji dan Motivasi. Disamping itu juga diadakan sesi dialog bersama JPA yang di ketuai oleh Dato' Yap Kin Sian Pengarah Bahagian Saraan JPA. Pada 16 Disember 2008 jam 2.30ptg. pihak JPA menganjurkan lawatan ke Logi Memproses Gas di Petronas Wilayah Pantai Timur, Kerteh, Terengganu. Sebelum lawatan ke logi memproses gas sesi dialog diadakan diantara CUEPACS dengan kesatuan kakitangan Petronas KAPENAS. Penutup dan penyampaian sijil telah dilaksanakan oleh Tuan Haji Nordin Buyau Timbalan Pengarah Bahagian Saraan JPA.







RAKYAT LEGA CADANGAN AMBIL ALIH IJN DITANGGUH

Berita Harian
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
20/12/2008


BANGUNAN Institut Jantung Negara.
Pusat rawatan perlu pertahan objektif penubuhan PENGUMUMAN Sime Darby Bhd untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti dalam IJN Holdings Sdn Bhd Rabu lalu, syarikat pengendali Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (HKL), mengundang persoalan dan keresahan terutama mengenai kebajikan rakyat berpendapatan rendah. Sime Darby menyatakan pengambilalihan itu bertujuan mengukuhkan bahagian perkhidmatan kesihatan konglomerat milik kerajaan itu.
Berikutan itu, pengumuman penangguhan pengambilalihan kepentingan IJN oleh syarikat perladangan itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, melegakan banyak pihak. Mengikut pemahaman umum, pengambilalihan berkenaan dijangka menyebabkan kenaikan kos rawatan dan perkhidmatan yang meningkat seperti ditawarkan hospital swasta di negara ini. Walaupun ada berpendapat apa yang ditawarkan hospital swasta lebih baik daripada kerajaan, namun, bagi yang kurang berkemampuan, wang menjadi ukuran.
Maka dengan itu, golongan berpendapatan rendah ini mengharapkan IJN bagi mendapatkan rawatan terbaik, termasuk pembedahan subsidi yang diberikan kerajaan. Melihat kepada track record IJN, ia bukan hanya cemerlang memberikan rawatan berkaitan penyakit kardiovaskular di negara ini malah mencatat kejayaan dengan membuat beberapa rekod baru di peringkat antarabangsa. Ditubuhkan pada 1992 dan diurus IJN Holdings, iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan pesakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak. IJN juga menjadi pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular. Sejak ditubuhkan, institut itu menerima lebih sejuta pesakit dengan 131,000 pesakit dirawat di wad dan dalam tempoh 16 tahun, 35,000 pembedahan dijalankan dan daripada jumlah itu, 24,000 membabitkan kes pembedahan jantung terbuka.
IJN juga mencatat kejayaan pada peringkat antarabangsa dalam melakukan pembedahan endoskopi yang pertama di rantau Asia dan Australasia bagi merawat fibrilasi atrium. Kejayaan IJN disusuli apabila ia menjadi satu-satunya pusat rawatan jantung di Asia Pasifik yang terpilih untuk pelancaran secara langsung prosedur kardiologi intervensi pada Persidangan Euro Pcr05 yang berprestij di Paris, Perancis dan menjadi institut pertama di dunia melakukan pembedahan jantung insisi poket yang menggunakan pembaikan atau penggantian injap mitra port jantung. Melihatkan kejayaan IJN, sudah tentu ramai yang mengintai peluang untuk memilikinya sebagaimana dihasratkan Sime Darby yang kini memiliki Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC). Kebimbangan dan kekhuatiran rakyat berkenaan pengambilalihan berakhir kelmarin dan ramai yang memuji kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan. Ada suara nakal menyatakan keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari depan bagi meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). Namun, ia disangkal Najib kerana pertimbangan kerajaan mengenai penangguhan pengambilalihan itu mengambil kira kesulitan dan rintihan rakyat. Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan penangguhan keputusan berhubung cadangan pengambilalihan IJN Holdings itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan, sebaliknya untuk kepentingan rakyat. "Ia ditangguhkan sehingga kajian mendalam itu dijalankan, mungkin memakan masa beberapa bulan tetapi faktor masa itu bukanlah sesuatu yang penting. "Apa yang lebih penting ialah keputusan yang akan dibuat nanti akan benar-benar menguntungkan rakyat dan dapat membangunkan IJN sebagai pusat jantung yang bertaraf dunia," katanya Mengimbau persetujuan kerajaan terhadap pengambilalihan Sime Darby itu, ia dengan syarat tanggungjawab sosial IJN tidak dipinggirkan atau dikurangkan sama sekali. Malah, kerajaan memberi jaminan akan terus memberi sumbangan untuk pembedahan di IJN, walaupun selepas pengambilalihan oleh konglomerat itu. Selain itu, pada mata kerajaan tiada salahnya mengenai penswastaan IJN kerana sebarang kemungkinan akan berlaku 10 tahun akan datang terutama jika jumlah pesakit jantung semakin meningkat dan institusi itu tidak lagi boleh berperanan sebagai biro pengaduan pesakit miskin. Suara menentang pengambilalihan itu diluahkan pelbagai pihak persatuan perubatan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berpendapat status pusat perubatan itu dikekalkan bagi memastikan objektif asal penubuhannya bagi mewujudkan pusat perubatan kerajaan dengan kemudahan serta pakar kelas pertama bertujuan merawat semua golongan rakyat, tidak tersasar. Mereka yang nyata gembira dengan keputusan terbaru kerajaan itu mahu kerajaan bukan hanya menangguhkan tetapi membatalkan terus hasrat menswastakan IJN. Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan seeloknya membatalkan terus hasrat menswastakan IJN demi kepentingan rakyat. “Usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan rawatan IJN bukan terletak kepada penswastaan semata-mata. Ada cara lain lebih baik serta memberi manfaat kepada penerima rawatan di institut berkenaan terutama golongan miskin,” katanya. Perkara itu diakui Presiden Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia (Pcdom), Dr Molly Cheah yang percaya tindakan menswastakan IJN hanya mengundang keresahan di kalangan rakyat untuk mendapatkan rawatan terbaik pada kos yang tidak membebankan. “Persoalannya mengapa Sime Darby Berhad tiba-tiba berminat kepada sektor kesihatan sedangkan kepakaran syarikat berkenaan bukannya dalam sektor ini. Ini menimbulkan kekeliruan sama ada tindakan Sime Darby ini sebenarnya didorong daripada industri pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat khususnya di rantau ini,” katanya yang lega apabila penswastaan itu ditangguhkan. Presiden Cuepacs, Omar Osman menyatakan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat kerana menangguhkan penswastaan berkenaan. “Ini membuktikan kerajaan meneliti semula objektif penubuhan institut ini, memberi rawatan berkualiti tinggi dengan kos tidak membebankan kepada golongan rakyat tidak berkemampuan,” katanya. Berikutan keputusan kerajaan menangguhkan keputusan itu, Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Fauzi, Jani berkata kerajaan mengambil keputusan bijak kerana IJN adalah institusi tunggal yang menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit kardiovaskular dan seumpamanya. Justeru, katanya kerajaan mengambil kira wujud monopoli dan apabila diswastakan ia akan menyebabkan syarikat yang mahu mengambilalih IJN akan memikirkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial. “Itu sebab kerajaan menyatakan menangguhkan cadangan pengambilalihan bukannya membatalkan terus hasrat menswastakan institusi berkenaan,” katanya. Beliau berkata, keputusan awal untuk menswastakan IJN adalah kerana memikirkan bebanan yang ditanggung akibat permintaan terhadap IJN yang semakin bertambah setiap tahun. Katanya, kerajaan percaya penswastaan itu penting apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan sebagaimana berlaku dalam penswastaan hospital. “Kira-kira 15 tahun lalu, kerajaan mula membuka polisi membenarkan hospital diswastakan dan penubuhan hospital swasta bagi mengurangkan kos kerajaan. Namun, bukan semua hospital di swastakan kerana masih mengambil kira golongan rakyat berpendapatan rendah. “Maka, kini di Malaysia ada dua perkhidmatan kesihatan iaitu satu dimiliki kerajaan dan satu lagi swasta. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan besar dan berkemampuan, sudah tentu mahukan perkhidmatan eksklusif dan cepat yang menuntut mereka memilih hospital swasta. “Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka masih terus menikmati perkhidmatan kesihatan percuma atau bayaran serendah RM1, menerusi klinik kesihatan komuniti dan hospital kerajaan,” katanya. Pendapat yang sama turut dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penswastaan itu bukan satu idea yang baik memandangkan institut itu “adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini. “Setakat ini tiada aduan mengenai IJN. Mereka sudah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin. Semua orang mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri,” katanya. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin mengalu-alukan keputusan terbaru kerajaan menangguhkan pengambilalihan IJN dan mahu kerajaan mendapatkan maklum balas serta pandangan orang ramai dan NGO sebelum membuat sebarang keputusan. “Kami bimbang apabila syarikat swasta ambil alih, kebajikan golongan miskin akan diketepikan dan mereka mungkin tidak mendapat rawatan perubatan pada kadar rendah. Kami prihatin kerana pada akhirnya dalam apa juga keadaan, perkara pokok adalah membuat untung kerana mereka perlu menjawab kepada pemegang saham, mereka tidak boleh mencatat kerugian. “IJN adalah mutiara bagi pesakit jantung di negara ini... ia senang didekati pesakit jantung yang miskin,” katanya. Mengenai desakan dalaman terutama kakitangan IJN yang mahukan penswastaan diteruskan, bagi membolehkan mereka mendapat gaji lebih tinggi dan pakar perubatannya akan meninggalkan hospital berkenaan jika permintaan supaya gaji mereka dinaikkan tidak dipenuhi adalah taktik sengaja direka pihak berkepentingan yang sebenarnya mahu pengambilalihan menjadi kenyataan. IJN dalam kenyataannya kelmarin menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mahu pandangan negatif dilemparkan terhadap kakitangan. “Ia perlu diperbetulkan supaya pakar perubatan atau kakitangan IJN tidak dipandang serong masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, apatah lagi ia mampu menjatuhkan reputasi cemerlang mereka, di samping menggugat keyakinan rakyat,” katanya.

18 Disember 2008

CUEPACS MAHU KERAJAAN TIMBANG ISU CUTI BERSALIN

Bernama
17/5/2008


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menimbangkan cadangan untuk menambah cuti bersalin kepada 84 hari daripada 60 hari pada masa ini.Presidennya Omar Osman berkata cadangan itu mula dimajukan untuk perbincangan pada 2007 dan mendapat persetujuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi ditangguhkan berikutan sebab yang tidak diketahui."Kami kurang pasti kenapa di KIV (dalam perhatian) jadi sebab itu kami bangkitkan isu ini sekali lagi, kami meminta kerajaan untuk melihat semula secara serius perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar tiga hari Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di sini, Isnin.Omar berkata isu cuti bersalin akan dibangkitkan sekali lagi dalam pertemuan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) awal tahun depan.Katanya ini adalah penting kerana kakitangan wanita, terutama dalam kumpulan sokongan, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi mengurus hal keluarga dan anak-anak mereka.Katanya jika cadangan itu diluluskan, ia dapat menggantikan cuti tahunan yang dikurangkan kepada ibu-ibu yang bekerja bagi pengambilan baru mulai tahun depan.Jumlah tenaga kerja wanita terdiri daripada 45 peratus bagi 1.2 juta kakitangan awam.Omar berkata CUEPACS juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya menyediakan insentif khas kepada anggota pasukan beruniform seperti polis, jururawat dan anggota penguatkuasa jabatan-jabatan kerajaan yang bekerja bagi giliran tengah malam memandangkan mereka berdepan dengan risiko pekerjaan berbanding dengan rakan sejawatan mereka yang bekerja pada waktu biasa."Kami berharap JPA akan meneliti perkara ini. Apakah bentuk insentifnya sama ada dalam bentuk tunai atau masa, kesemua terpulang kepada bidang kuasa kerajaan," katanya.Omar berkata CUEPACS akan mengumpul data mengenai pekerja kontrak yang mungkin diberhentikan dan akan mengemukakannya kepada JPA untuk diperakukan kerja.Katanya agensi kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pekerja kontrak mereka untuk diserapkan di dalam perkhidmatan tetap jika ada kekosongan."Kenapa tidak diserapkan mereka di dalam perkhidmatan memandangkan calonnya telah ada daripada terpaksa melalui pelbagai proses untuk mengambil orang baru," katanya.-- BERNAMA

16 Disember 2008

CUEPACS WANTS GOVT TO RESONSIDER MATERNITY LEAVE ISSUE

NST
16/12/2008


KUALA LUMPUR, MON:
The Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services (Cuepacs) wants the government to reconsider the proposal of expanding maternity leave to 84 days from the current 60 days.
Cuepacs president Omar Osman said the proposal was first mooted in 2007 and had received a nod from the Women, Family and Community Development Ministry but was later put on hold due to unknown reasons.“We are unsure why it has been shelved; this is why we are raising this issue again this time, we are urging the government to seriously relook into this matter,” he told reporters after opening a three-day seminar here today.Omar said the maternity leave issue would be brought up again at a meeting with the Public Service Department (PSD) early next year.He said this was necessary because female workers, especially those in the support group, had to resort to taking leave without pay in order to tend to their children and other family matters.
He said Cuepacs would also propose to the government to provide special incentives for “frontline personnel” such as policemen, nurses and firemen who faced higher occupational hazards compared others.

15 Disember 2008

CUEPACS MINTA KERAJAAN BERHATI-HATI DENGAN CADANGAN AMBIL SEMULA BEKAS PENAGIH

Bernama
15/12/2008


KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini meminta kerajaan supaya berhati-hati dalam membenarkan bekas penagih dadah kembali berkhidmat dengan sektor awam.Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin memberitahu Bernama bahawa pihaknya khuatir dengan langkah itu walaupun bersimpati dengan bekas penagih yang ingin kembali ke pangkuan masyarakat.Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil bekas penagih untuk bekerja dalam sektor awam.Ahmad Shah berkata perangkaan menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil sahaja bekas penagih yang sudah insaf berbanding ramai yang kembali semula ke tabiat lama mereka."Ini adalah bahaya kerana sebaik sahaja bekas penagih kembali ke tabiat lama, mereka boleh mempengaruhi kakitangan lain untuk terjebak dalam gejala itu," katanya.Beliau menegaskan bahawa kerajaan harus berwaspada dan tidak terburu-buru mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja dalam sektor awam."Lebih-lebih lagi jika bekas penagih itu dilantik ke jawatan penting dan ia boleh menjejaskan urusan keselamatan dan pentadbiran jentera kerajaan," katanya.Ahmad Shah berkata jika kerajaan bercadang mengambil kerja bekas penagih maka golongan itu harus ditempatkan dengan agensi yang berkaitan dengan soal membendung gejala dadah.Misalnya, katanya, mereka boleh ditempatkan dengan jabatan antidadah sebagai pegawai kaunseling."Bagaimanapun, adalah menjadi risiko untuk menempatkan mereka dalam perkhidmatan aliran perdana dalam sektor awam," katanya.-- BERNAMA

CUEPACS TERUS DESAK NAIK IMBUHAN RUMAH

Berita Harian
Oleh Azman Mahmood
bhnews@bharian.com.my
15/12/2008


Permintaan selaras kemudahan dinikmati kumpulan pengurusan, profesional: Omar KUALA LUMPUR: Cuepacs akan terus berjuang bagi mendapatkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) untuk kira-kira 900,000 kakitangan kumpulan sokongan satu dan dua selain penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) sebanyak RM300. Presidennya, Omar Osman, berkata kerajaan wajar menaikkan ITP sejajar kenaikan elaun itu yang sudah dinikmati kumpulan pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam sejak awal tahun ini. Katanya, Cuepacs hanya meminta kenaikan yang agak kecil iaitu sebanyak RM50 menjadikan ITP kepada RM230 berbanding RM180 sekarang.
"Kita amat menaruh harapan kepada kerajaan supaya memberi pertimbangan adil dalam menaikkan ITP kepada kumpulan sokongan sebagaimana kenaikan yang dinikmati kumpulan pengurusan dan profesional sejak awal tahun ini. "Elaun Cola pula ketika ini dibayar mengikut tempat tinggal iaitu bandar besar, bandar dan luar bandar dengan kadar elaun masing-masing RM300, RM200 dan RM100. Cuma kita minta kerajaan selaraskan elaun itu menjadikan semuanya sama iaitu RM300," katanya kepada Berita Harian. Permintaan untuk kenaikan ITP dan elaun Cola itu adalah antara dua tuntutan Cuepacs yang belum lagi dipenuhi kerajaan sejak ia dibincang dengan Perdana Menteri, April lalu.
Bagaimanapun, kerajaan sudah memenuhi beberapa permintaan Cuepacs seperti kenaikan gaji, lanjutan umur bersara wajib kepada 58 tahun, pengubahsuaian sistem Penilaian Tahap Kecekapan dan terbaru pemberian bonus sebulan gaji atau maksimum RM1,000 yang dibayar dua kali iaitu pada Oktober lalu dan bulan ini. Osman berkata, pihaknya akan terus berunding dengan kerajaan mengenai ITP dan Cola, sesuai dengan peningkatan kos sara hidup sekarang. Beliau berkata, berdasarkan beberapa keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak setahun lalu, bermula pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam sehinggalah kepada kelulusan pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 baru-baru ini, Cuepacs percaya kerajaan sedia memberi pertimbangan yang adil.

BEKU SEMENTARA PENGAMBILAN PEKERJA ASING SEDANG DIKAJI

Utusan Malaysia
15/12/2008 4:59pm


KUALA LUMPUR 15 Dis. — Kementerian Sumber Manusia sedang menimbang untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat, Datuk Ismail Abdul Rahim hari ini.
Beliau memberitahu Bernama tindakan itu adalah satu dari pilihan yang sedang diteliti oleh kementerian bagi membantu rakyat tempatan yang diketepikan peluang mendapat pekerjaan.
Sehingga bulan lepas, sejumlah 28,000 rakyat Malaysia yang menganggur telah berdaftar dengan Jabatan Tenaga Rakyat dan setakat ini jabatan itu dapat memberikan peluang pekerjaan kepada 6,000 orang daripada mereka.
Pada masa ini, terdapat 2.1 juta pekerja asing di Malaysia yang bersamaan dengan 20 peratus dari jumlah tenaga kerja di negara ini.
Baru-baru ini, ada laporan menyebut 2,000 hingga 3,000 penganggur berdaftar setiap bulan dengan kementerian itu.
Keadaan itu dijangka meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang berikutan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia tahun depan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili 550,000 pekerja sektor swasta dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menjadi payung bagi 1.2 juta kakitangan awam, mengalu-alukan langkah pembekuan itu dan menyifatkannya sebagai “langkah logik bagi melindungi pekerja tempatan”. Naib Presiden MTUC, A.Balasubramaniam berkata pada masa ini terdapat lebihan pekerja asing di negara ini dan kini tiba masanya bagi mengurangkan jumlah mereka untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
Beliau mencadangkan supaya pekerja imigran yang telah menamatkan kontrak mereka supaya dihantar pulang ke negara masing-masing supaya tempat mereka dapat diisi rakyat tempatan.
Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin berkata walaupun kakitangan awam tidak terjejas dengan kebanjiran pekerja asing, tetapi ia merupakan trend yang membimbangkan kerana ia bukan sahaja menafikan peluang kerja rakyat tempatan tetapi kehadiran mereka menimbulkan masalah sosial. - Bernama

CUEPACS:TELITI REKOD BEKAS PENAGIH DADAH

Utusan Malaysia
Oleh NORILA DAUD
14/12/1008


KUALA LUMPUR 14 Dis . - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mewujudkan mekanisme dan syarat-syarat ketat termasuk meneliti dahulu rekod bekas penagih dadah sebelum membenarkan mereka kembali berkhidmat dengan sektor awam.
Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya bukan tidak bersimpati dengan bekas penagih dadah khusus yang mempunyai keluarga tetapi golongan itu perlu diawasi dan dipantau sepanjang masa.
Menurut beliau, sekiranya kerajaan bercadang untuk mengambil bekas penagih dadah bekerja di sektor awam, syarat-syarat pengambilan perlulah ketat dan tidak memadai hanya dengan memasuki pusat pemulihan selama dua tahun.
''Kerajaan perlu melihat rekod pemulihan dan kekerapan mereka memasuki pusat pemulihan, waktu penagihan dan mengkaji sama ada penagihan itu berlaku atas kehendak sendiri atau terperangkap serta tahap penagihan mereka.
''Walaupun bekas penagih dadah telah pulih, kerap juga berlaku mereka akan berhubung semula dengan rakan- rakan lama dan potensi mereka untuk kembali menagih adalah tinggi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja dalam sektor awam.
Omar berkata, pemantauan dan kaunseling sekurang-kurangnya sekali sebulan termasuk ujian air kencing perlu dilakukan terhadap pekerja tersebut.
Bekas penagih dadah juga katanya, tidak boleh dibiarkan bekerja bersendirian dan di tempat sunyi kerana keadaan itu memungkinkan mereka kembali menagih.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-Bekas Penagih Dadah (Pengasih), Mohd. Yunus Pathi meminta kerajaan memberi peluang kepada bekas penagih dadah bekerja di sektor awam memandangkan mereka yang terlibat mempunyai kemahiran tertentu.
Menurutnya, pekerjaan yang paling sesuai buat kumpulan itu ialah Pembimbing Rakan Sebaya kerana mereka mengetahui dan memahami keadaan penagih.
''Saya berharap JPA dapat mewujudkan skim gaji sebanyak RM1,200 sebulan untuk Pembimbing Rakan Sebaya yang turut bertugas sebagai pembantu kaunselor, membuka bengkel dan kaunter khidmat di pusat-pusat pemulihan. Mereka juga boleh bertindak sebagai kumpulan sokongan dan berperanan seperti pegawai di Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)'' jelasnya.
Kerja-kerja itu katanya, tidak memerlukan kelulusan akademik malah lebih kepada kemahiran untuk membimbing penagih dadah di pusat pemulihan.
Dalam pada itu katanya, kerajaan hanya perlu memberi peluang kepada mereka yang benar-benar menunjukkan perubahan positif dan bukan yang berpotensi untuk mengulangi tabiat menagih.
Pengerusi Eksekutif Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula berpendapat, sesetengah bekas penagih dadah di sektor swasta berjaya menyumbang kepada keuntungan syarikat dan tidak kurang juga yang kembali menagih.
Sehubungan itu, beliau berharap pegawai AADK dan pusat pemulihan sentiasa membuat susulan dan memantau pergerakan golongan tersebut.
''Pusat pemulihan juga perlu menyediakan program-program kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran supaya apabila keluar, mereka mempunyai pekerjaan,'' katanya.
Shamsuddin menambah, bekas penagih dadah perlu diberi semangat baru supaya mereka boleh mengisi pekerjaan yang selama ini diisi oleh pekerja asing.

13 Disember 2008

HAD MAKSIMUM GANTI CUTI REHAT DITAMBAH 30 HARI

Berita Harian
12/12/2008

PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, kakitangan awam boleh mengumpulkan cuti Gantian Cuti Rehat (GCR) atau 'golden handshake' sehingga 150 hari, pertambahan sebanyak 30 hari berbanding 120 hari sekarang. Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata Pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam pada perjumpaan antara Cuepacs dan Ismail, di sini hari ini.
“Kami anggap ia satu keputusan yang baik walaupun dalam masa yang sama kerajaan menetapkan mulai Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru akan dikurangkan lima hari,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu. GCR adalah cuti tahunan yang dikumpulkan bagi digantikan dengan wang apabila seseorang kakitangan awam itu bersara dan ketika ini kakitangan awam boleh mengumpulkan maksimum 15 hari cuti tahunan mereka dalam setahun untuk dimasukkan dalam skim itu. Mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan cuti tahunan bagi kakitangan awam yang baru daripada 30 hari kepada 25 hari mulai tahun depan, Omar berkata selepas perjumpaan dengan Ismail hari ini, Cuepacs menerima rasional langkah itu sebagai cara bagi meningkatkan produktiviti sektor awam, sejajar dengan peranan sektor awam sebagai nadi utama pembangunan negara.
Tambahan pula, katanya, terdapat banyak cuti umum sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang dinikmati sepanjang tahun. Omar berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli gabungan bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat. Semalam, Cuepacs melalui Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin dilaporkan menganggap tindakan kerajaan mengurangkan cuti tahunan itu sebagai ’tidak adil’ dan akan merugikan kakitangan awam baru dalam jangka masa panjang. - Bernama

CUTI SAKIT: MAJIKAN BOLEH KESAN PEKERJA TIPU

Utusan Malaysia
12/12/2008

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Kementerian Sumber Manusia mengesyorkan supaya semua majikan sama ada di sektor awam atau swasta menggunakan pendekatan proaktif dalam usaha menangani sikap pekerja yang tidak jujur tentang cuti sakit.
Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, walaupun masalah ini tidak begitu meruncing, namun ia boleh menjejaskan tahap produktiviti negara sekiranya tidak dibendung.
Beliau berkata, dalam hal ini, majikan biasanya dapat mengesan mana-mana kakitangannya yang tidak jujur menerusi dokumen cuti sakit yang mencurigakan.
''Perbuatan kakitangan yang tidak jujur biasanya boleh dikesan, bagaimanapun majikan juga perlu profesional dalam menangani kes begini.
''Untuk menanganinya, saya syorkan supaya mereka guna pendekatan proaktif seperti memberi nasihat atau khidmat kaunseling kepada kakitangan terbabit atau terus merujuk kepada pusat perubatan yang terlibat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Kelly Services melaporkan sebanyak 27 peratus daripada tiga perempat pekerja Malaysia yang mengambil cuti sakit pada tahun lalu didapati tidak jujur dalam tindakan mereka itu.
Pengurus Besar Kelly Services (M) Sdn. Bhd., Melissa Norman berkata, pekerja-pekerja itu sebenarnya tidak sakit tetapi memperoleh cuti sakit.
Menurutnya, hampir 48 peratus lagi pekerja menyatakan bahawa mereka yang benar-benar sakit dan diberi cuti sakit pula berasa seolah-olah 'dipersalahkan' oleh majikan kerana bercuti.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman berkata, kegiatan licik kakitangan yang tidak jujur lazimnya boleh dikesan melalui kadar kekerapan cuti sakit yang diambil termasuk jumlah hari yang tidak munasabah.
''Contohnya, pekerja terbabit mendakwa menerima cuti sakit sehingga lima hari tetapi apabila diselidik, cuti yang diterima tidak setimpal dengan sakit yang dialami, itu tidak logik.
''Ini kerana lazimnya doktor atau pakar perubatan tidak akan memberikan cuti sakit melebihi dua hari kepada mana-mana pesakit yang mengalami gangguan kesihatan yang tidak serius,'' katanya.

CUTI TERKUMPUL KAKITANGAN AWAM

Utusan Malaysia
Oleh HASHNAN ABDULLAH
12/12/2008

PUTRAJAYA 12 Dis. - Bermula tahun depan, kakitangan awam boleh mengumpulkan cuti Gantian Cuti Rehat (GCR) atau 'golden handshake' sehingga 150 hari, pertambahan sebanyak 30 hari berbanding 120 hari sekarang.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pekeliling mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dalam perjumpaan antara CUEPACS dan Ismail hari ini.
"Kami anggap ia satu keputusan yang baik walaupun dalam masa yang sama kerajaan menetapkan mulai Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru akan dikurangkan lima hari," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu di sini hari ini.
GCR merupakan cuti tahunan yang dikumpulkan bagi digantikan dengan wang apabila seseorang kakitangan awam itu bersara.
Ketika ini, kakitangan awam boleh mengumpulkan maksimum 15 hari cuti tahunan mereka dalam setahun untuk dimasukkan dalam skim itu.
Mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan cuti tahunan bagi kakitangan awam yang baru daripada 30 hari kepada 25 hari mulai tahun depan, Omar berkata, selepas perjumpaan dengan Ismail hari ini, CUEPACS menerima rasional langkah itu.
Katanya, ia bagi meningkatkan produktiviti sektor awam, sejajar dengan peranan sektor itu sebagai nadi utama pembangunan negara.
Tambahan pula, jelasnya, terdapat banyak cuti umum sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri yang dinikmati sepanjang tahun.
Omar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli gabungan bagi menjelaskan perkara itu dalam masa terdekat.
Semalam, CUEPACS menganggap tindakan kerajaan mengurangkan cuti tahunan sebanyak lima hari itu sebagai 'tidak adil' dan akan merugikan kakitangan awam baru dalam jangka masa panjang.
Seperti dipetik oleh Bernama, Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan cuti itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.
Beliau memberi contoh, kemasukan kakitangan baru ke dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat selama 30 tahun akan kerugian 150 hari yang bersamaan dengan lima bulan.
Sehubungan itu, katanya, CUEPACS akan memohon kerajaan membayar pampasan kepada kakitangan terbabit.
Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam semalam, pengurangan cuti lima hari itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2009.
Bagaimanapun, langkah terbaru itu tidak melibatkan polis, tentera, penguat kuasa maritim dan pegawai pelajaran.
Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.
Mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberi opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu.

CUTI 'GOLDEN HANDSHAKE' TAMBAH KEPADA 150 HARI

Utusan Malaysia
12/12/2008 4:11pm

PUTRAJAYA 12 Dis. – Had maksimum cuti “golden handshake” yang boleh dikumpulkan kakitangan awam ditambah daripada 120 hari kepada 150 hari mulai tahun depan, kata Presiden CUEPACS, Omar Osman hari ini. - Bernama

12 Disember 2008

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGONG LUAR BIASA DAN TAKLIMAT ISU SEMASA DI KESATUAN KAKITANGAN SOKONGAN UNIVERSITI TEKNIKAL MELAKA (KKUTEM)

arhmn
Media CUEPACS
12/12/2008


Melaka: Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Luar Biasa dan taklimat isu semasa telah diadakan di Dewan Kafeteria Universiti Teknikal Malaysia. Majlis dimulakan oleh Presiden KKUTeM En. Jamal Nasir dengan mengalu-alukan kedatangan Presiden CUEPACS.Belia berbesar hati atas kedatangan Presiden CUEPACS majlis tersebut. Selepasitu Presiden CUEPACS Tuan Hj. Omar Osman memberi taklimat mengenai isu-isu semasa mengenai PTK yang tiada elemen peperiksaan dan digantikan dengan elemen-elemen seperti perbincangan dan temuduga, pertambahan cuti golden hand shake sebanyak 30 hari menjadikan jumlah 150 hari.Skim KWSP, imbuhan tetap perumahan, opsyen cuti rehat dan lain-lain lagi. Presiden CUEPACS mengingatkan kakitangan perkhidmatan awam sentiasa menjaga displin dan meningkatkan kualiti kerja. Skimkebajikan yang ada di kerajaan amatlah terbaik.

PERTEMUAN AHLI JAWATANKUASA KERJA TERTINGGI CUEPACS DENGAN Y.BHG TAN SRI KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM

arhmn
Media CUEPACS
12/12/2008



Putrajaya: Majlis Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS telah mengadakan pertemuaan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam di Jabatan Perkidmatan Awam Putra Jaya. Perbincang kali ini adalah meliputi perkara seperti berikut: 1. Penilaian tahap kecekapan yang mana tiada elemen peperiksaan. 2. Bayaran bantuan sara hidup (COLA) 3. Elaun Kerja Malam 4. Pengurangan carum KWSP 5. Perjawatan staf kontrak 6. Kajian semula elaun perbatuan 7. Menaik taraf jawatan-jawatan jumud 8. Pengurangan kadar cuti rehat tahunan 9. Usul menjemput Presiden CUEPACS menghadiri mesyuarat MBK 10. Elaun Basikal. Dalam pertemuan itu dimaklumkan kakitangan awam dapat pertambahan 30 cuti gantian wang tunai yang menjadikan jumlah kesluruhan 150 hari. Cuti Rehat di turunkan kepada 25 hari untuk kakitangan yang mulai berkhidmat 1 jan 2009. Bagi kakitangan awam yang berkhidmat sebelum 1 jan 2009 di beri membuat pilihan (opsyen).






CUTI DIKURANG 5 HARI

Bernama
12/12/2008


KUALA LUMPUR 11 Dis. – Mulai 1 Januari 2009, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru kecuali polis, tentera, penguat kuasa maritim dan pegawai pelajaran akan dikurangkan lima hari, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.
* Mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu.
* Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Disember.
* Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang.
Reaksi CUEPACS
* Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, mereka akan mengadakan perjumpaan dengan Ismail esok untuk membincangkan perkara itu selain isu lain yang relevan.
* Kesatuan itu mahu tahu rasional kepada pengurangan cuti itu.
* Adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.
* Sebagai contoh, kemasukan baru ke dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat selama 30 tahun, akan kerugian 150 hari yang bersamaan dengan lima bulan.
* CUEPACS akan memohon kakitangan terbabit diberikan pampasan.
– Bernama

CUEPACS KESAL PERSARAAN AWAL PENGARAH PENGUAT KUASA IMIGRESEN

Bernama
11/12/2008 8:14pm

KUALA LUMPUR 11 Dis. — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini melahirkan rasa kesal terhadap persaraan awal Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed.
Ishak, yang berusia 55 tahun pada 4 Januari ini telah memilih persaraan awal “atas dasar prinsip” dan dikatakan ditukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 1 Disember lepas.
Presiden Cuepacs, Omar Osman memberitahu Bernama bahawa kesatuan itu akan membangkitkan perkara itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok.
Katanya adalah menjadi malang bahawa pegawai berdedikasi dan cekap bersara awal kerana Ishak “menjalankan tugas dengan baik” dalam membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini.
Sejak memegang jawatan itu sejak empat tahun lepas, Ishak bertanggungjawab memperkenalkan sistem penggunaan biometrik bagi mengesan kesahihan kad pengenalan diri, pasport dan dokumen perjalanan pendatang asing di negara ini. - Bernama

11 Disember 2008

CUTI UNTUK KAKITANGAN AWAM BARU DIKURANGKAN

Bernama
By:
Ramjit-->
11/12/2008

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Mulai 1 Jan, kelayakan cuti tahunan bagi kakitangan awam baru, kecuali polis, tentera, penguatkuasa maritim dan pegawai pelajaran, akan dikurangkan lima hari.Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.Bagaimanapun, mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam."Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Dis."Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang," katanya kepada Bernama hari Khamis.Sementara itu, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan Ismail hari Jumaat untuk membincangkan perkara itu selain isu lain yang relevan.Setiausaha agungnya Ahmad Shah Mohd Zin berkata kesatuan itu mahu tahu rasional kepada pengurangan itu.Katanya adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.-- BERNAMA

10 Disember 2008

PENUBUHAN TIGA SURUHANJAYA DAPAT SOKONGAN

Bernama
By:
Ramjit-->




KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Rakyat Malaysia daripada setiap lapisan umumnya menyokong penuh inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan suruhanjaya, masing-masing bagi pencegahan rasuah, pelantikan kehakiman dan aduan khas.Kesatuan pekerja, pelabur, pesara, penuntut, pertubuhan kebajikan dan rakyat biasa, kesemuanya menyambut baik langkah Perdana Menteri itu."Ketiga-tiga suruhanjaya ini mencatat sejarah legasi Pak Lah kepada negara ini," Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) G. Rajasekaran kepada Bernama hari ini.Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah akan dibentangkan pada 10 Dis ini. Rang Undang-undang bagi dua lagi suruhanjaya akan dibentangkan sebelum Perdana Menteri mengundurkan diri pada Mac depan.Rajasekaran berkata suruhanjaya akan mengambil masa untuk menghapuskan pandangan negatif rakyat Malaysia dan warga asing terhadap perkhidmatan awam, kehakiman dan agensi penguatkuasa.P. K. Leong, daripada Petaling Investors Club, berkata langkah itu sudah agak terlewat kerana kedua-dua pelabur tempatan dan asing amat khuatir dengan gejala rasuah dalam pentadbiran.Seorang pesara kerajaan, A. Ragunathan yang menyambut baik tindakan kerajaan berkata langkah itu seharusnya sudah lama dilakukan dan menyifatkan ia lebih baik daripada langsung tidak diadakan.Ragunathan, yang juga bekas president Cuepacs, dan penyokong kuat pencegahan rasuah terutamanya dalam perkhidmatan awam, berkata bagi ketiga-tiga suruhanjaya berkenaan menjadi berkesan, ia seharusnya dianggotai oleh mereka yang berintegriti tinggi dan melaksanakan tugas secara neutral.Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU), Datuk Zainal Rampak berpendapat penubuhan suruhanjaya berkenaan sejajar dengan rancangan kerajaan untuk mengadakan sistem sehenti bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan sistem penyampaian.Presiden Gabungan Persatuan Penguna-penggunan Malaysia (FOMCA) Datuk Marimuthu Nadason berkata seluruh rakyat Malaysia seharusnya menyambut baik inisiatif yang dilakukan Perdana Menteri.Marimuthu, yang juga anggota jawatankuasa Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berkata: "Kita tidak dapat mengubah tanggapan orang ramai kerana kini mereka mempunyai pandangan negatif terutamanya apabila berurusan dengan sektor kerajaan.Contohnya, proses untuk meluluskan tender yang memakan masa sebulan kadangkala berlanjutan sehingga 14 bulan. Kelewatan ini menyebabkan orang ramai berasa sangsi.

BERNAMA

07 Disember 2008

PERATURAN TALI PINGGANG BELAKANG TAK SESUAI DILAKSANA

Berita Harian
7/12/2008


SEBAGAI pengguna jalan raya, saya menyokong penuh syor Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar ditangguhkan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang belakang. Saya lebih setuju sekiranya dasar itu tidak dikuatkuasakan kerana ia langsung tidak praktikal. Antara alasannya adalah: l Menyusahkan mereka yang mempunyai bilangan anak melebihi tiga orang. Tidak adil meninggalkan seorang anak di rumah manakala tiga lagi dapat bersama dalam kenderaan.
l Menyusahkan rakyat negara ini yang bukan semua mampu membeli kereta besar. Dasar yang cuba dilaksanakan ini seolah-olah mengajak semua orang membeli kereta lebih besar sesuai dengan keperluan keluarga sedangkan sebenarnya tidak setara dengan pendapatan. Kerajaan meminta rakyat berjimat bukan beli kereta baru. l Tidak perlu meniru dasar di negara lain seperti Singapura dan sebagainya yang mengamalkan dasar ini. Rakyat di negara berkenaan tidak digalakkan mempunyai ramai anak manakala kemampuan mereka lebih besar berbanding rakyat negara kita. Kita hanya perlu melaksanakan dasar mengikut kesesuaian keadaan di negara kita dan tidak perlu meniru dasar negara lain yang sesuai bagi mereka tetapi menyeksakan rakyat sendiri.
l Jika mengatakan penumpang belakang adalah punca berlaku kemalangan, itu tidak benar. Bukan mereka yang memegang stering, menekan pedal minyak atau menekan brek. Sebenarnya pemandu perlu diberi kesedaran dan perhatian lebih agar pemanduan menjadi lebih berhemah. Apabila penumpang belakang lengkap memakai tali pinggang dan pemandu tetap memandu laju tiada perbezaan. Kemalangan tetap berlaku. l Tanya ibu bapa, apakah yang dilakukan oleh anak kecil (berusia satu hingga lima tahun) lakukan ketika berada dalam kenderaan. Mereka tidak pernah duduk diam sepanjang perjalanan jauh dengan hanya memakai tali pinggang keledar. Amat sukar untuk mengawal mereka. Bagaimana jika anak tidur di belakang. Perlukah mereka tidur secara duduk dengan tali pinggang terpasang selama berjam-jam lamanya? Amat berisiko. Atau bagaimana jika mereka berbaring? Adakah kita akan disaman kerana anak kita tidur dan tidak memakai tali pinggang belakang? l Penumpang yang tidak memakai tali pinggang belakang akan disaman. Penumpang di belakang adalah kanak-kanak berusia setahun hingga lima tahun. Tidak logik mengeluarkan saman kepada budak kecil yang baru mengenali dunia. Jangan beri imej buruk kepada mereka. Mengajar hendaklah sesuatu yang menggembirakan bukan menakutkan.
Saranan saya, pemandu perlu diberi keutamaan agar mengubah gaya pemanduan dan jangan pula penumpang yang diberi tekanan. Berbuat kebaikan amat digalakkan tetapi biarlah kebaikan itu dapat menggembirakan semua orang.

PENGGUNA JALAN RAYA,
Putrajaya.

SYOR INSENTIF BAS MINI BELI DIESEL, ALAT GANTI

Berita Harian
Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
7/12/2008

Khidmat perlu capai hasrat kurang beban awam KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mencadangkan supaya kerajaan memberikan insentif kepada pengusaha bas mini bagi memastikan langkah membenarkan perkhidmatan bas itu beroperasi semula berjaya mencapai objektifnya mengurangkan beban masyarakat. Mereka berpendapat insentif dinikmati semua jenis pengangkutan awam ketika ini, perlu diperluaskan kepada pengusaha bas mini bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan untuk tempoh jangka masa panjang terutama di luar bandar yang ketika ini kurang menerima kemudahan pengangkutan awam
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pemberian insentif perlu kerana pengusaha bas mini sudah tentu tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat. "Apabila ada insentif seperti subsidi bahan api 100 peratus dan membeli alat ganti kenderaan, sekurang-kurangnya pengusaha bas mini terutama yang memberikan khidmat di luar bandar tidak mengalami kerugian berikutan ada bantuan disalurkan kepada mereka," katanya di sini, semalam. Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar mengumumkan membenarkan perkhidmatan bas mini beroperasi semula yang akan dikenali dengan nama Bas Mini Desa, bagi menampung masalah kekurangan pengangkutan awam terutama di kawasan luar bandar, sekali gus meringankan beban pengguna di kawasan itu.
Perkhidmatan bas mini diperkenalkan di negara ini oleh Kementerian Pengangkutan pada 23 September 1975 tetapi perkhidmatannya di Kuala Lumpur ditamatkan sejak 1 Julai 1998 berikutan menimbulkan banyak masalah kepada penumpang. Bagi Presiden Cuepacs, Omar Osman pula, pihaknya berharap aspek fizikal diberi keutamaan selain mengutamakan laluan ke pejabat agensi kerajaan, dalam meluluskan permohonan pengusaha. Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali meminta kerajaan membekukan terlebih dulu pemberian permit baru termasuk bagi menjalankan perkhidmatan bas mini. "Kena tunggu penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam dulu. Kalau diberi permit sekarang, ia akan menimbulkan suasana kecoh kerana ada kemungkinan besar pengusaha bas mini akan melanggar peraturan seperti sebelum ini dengan memasuki laluan syarikat lain," katanya.

CUEPACS BATAL BOIKOT PTK

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudinfaiza@bharian.com.my
7/12/2008

Keputusan selepas kerajaan setuju tambah baik sistem peperiksaan KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membatalkan keputusan untuk memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) buat sementara waktu. Presidennya, Omar Osman, berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju menambah baik sistem peperiksaan berkenaan supaya lebih komprehensif dan tidak membebankan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam.
Beliau berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, bulan lalu, dan bersetuju dengan cadangan untuk menambah baik PTK yang sudah enam tahun tidak dikaji semula. "Cuepacs akan bermesyuarat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan depan, bagi melihat maklum balas mereka terhadap penambahbaikan yang kami cadangkan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. "Pada masa ini, tidak jadilah boikot itu, tambahan pula kerajaan sudah memenuhi tuntutan kami dengan membenarkan kakitangan awam di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyertai skim pencen bermula tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini Cuepacs berhubung cadangan memboikot PTK jika kerajaan tidak memansuhkannya mulai tahun depan kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota sektor awam. Cadangan yang diputuskan Majlis Kongres Cuepacs mewakili 120 gabungan kesatuan, bulan lalu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk kerajaan yang bertegas dengan pendirian tidak akan tunduk kepada desakan Cuepacs itu. Sementara itu, mengulas mengenai sikap peniaga masih berdegil tidak menurunkan harga barang sejajar dengan langkah kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak enam kali, Omar mahu pengguna menggunakan kuasa beli mereka bagi menggelak harga barang keperluan asas terus melambung. "Saya memang berharap peniaga beri kerjasama menurunkan harga barang, tetapi kalau masih berdegil juga, kita sebagai pengguna jangan beli barang yang harganya mahal.
"Kesedaran ini mesti ada, mesti bersatu bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan ke atas diri kita," katanya.

04 Disember 2008

SYOR TANGGUH TALI PINGGANG BELAKANG

Berita Harian
4/11/2998



KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Cuepacs meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang berikutan penguatkuasaan dasar itu akan menyusahkan golongan berpendapatan rendah. Setiausaha Agung Fomca, Muhammad Shaani Abdullah, berkata pelaksanaan dasar itu sehingga menyebabkan muatan kereta penumpang perlu dihadkan kepada lima orang, bukan saja tidak adil malah membebankan kebanyakan rakyat negara ini. Beliau berkata, kerajaan seharusnya melakukan kajian menyeluruh termasuk membabitkan aspek sosial rakyat sebelum apa-apa dasar berkaitan kepentingan mereka dilaksanakan.
“Rakyat negara ini terpaksa bersesak dalam satu kenderaan bukanlah disebabkan mereka suka dengan keadaan itu tetapi disebabkan kemampuan terhad untuk membeli kenderaan lebih besar di samping tahap pengangkutan awam negara ini yang masih tidak memuaskan, menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain,” katanya. Semalam Berita Harian melaporkan kerajaan akan mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang kepada maksimum lima orang termasuk pemandu mulai 1 Januari depan berikutan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh dilaporkan berkata, penguatkuasaan dasar satu kereta untuk lima orang itu dibuat dengan alasan hanya tiga tali pinggang keledar dipasang bagi penumpang belakang sesebuah kereta. Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman ketika dihubungi berkata, langkah kerajaan mahu mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang akan menyebabkan golongan pendapatan rendah hidup lebih tertekan. “Kerajaan seharusnya memberi taklimat kepada persatuan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyatakan kewajaran polisi berkenaan sebelum melaksanakannya supaya kami dapat menjelaskan kepada ahli alasan polisi itu perlu dilaksanakan,” katanya.

TAKLIMAT ISU SEMASA PRESIDEN CUEPACS DI JUPEM JOHOR BAHRU

arhmn
Media CUEPACS
4/12/2008



Johor Bahru: Taklimat isu semasa telah diadakan di Pejabat JUPEMTingkat 7 Blok A Wisma Persekutuan Johor Bahru. Majlis dimulakan olehPengarah JUPEM dengan mengalu-alukan kedatangan Presiden CUEPACS.Belia berbesar hati atas kedatangan Presiden CUEPACS JUPEM. Selepasitu Presiden CUEPACS Tuan Hj. Omar Osman memberi taklimat mengenaiisu-isu semasa mengenai PTK, Skim KWSP, imbuhan tetap perumahan danlain-lain lagi. Presiden CUEPACS mengingatkan kakitangan perkhidmatanawam sentiasa menjaga displin dan meningkatkan kualiti kerja. Skimkebajikan yang ada di kerajaan amatlah terbaik.









03 Disember 2008

TAKLIMAT ISU SEMASA DI MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

arhmn
Media CUEPACS
3/12/2008


Johor Bahru: Kesatuan Anulae Majlis Bandaraya Johor Bahru mengadakan Taklimat Isu Semasa CUEPACS. Majlis dimulakan dengan ucapan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru. Kemudian ucapan Presiden Cuepacs Tuan Hj. Omar Osman. Isu yang di terangkan mengenai PTK, Opsyem KWSP, Skim-skim Gred gaji dan lain-lain lagi. Kehadiran peserta memenuhi Dewan. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru berasa bangga dapat bertemu dengan Presiden CUEPACS. Beliau memberi komitmen yang baik kepada kesatuan Anulae. Turut hadir mengiringi YM Ku Azmi Ku Ibrahim Timbalan Setiausaha Agung III dengan Pengerusi CUEPACS Johor En. Shahman.

Ativiti bergambar:





CUEPACS CADANG TINDAKAN DISIPLIN TERHADAP KAKITANGAN KERAJAAN UGUT ORANG AWAM

Bernama
:
Ramjit-->
2/12/2008


KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Cuepacs mencadangkan kepada ketua jabatan supaya mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan kerajaan yang berkelakuan kasar dan mengugut orang awam semasa menjalankan tugas."Sebagai kakitangan awam kita hendaklah memberikan khidmat kepada orang awam dengan ikhlas dan berkesan," kata setiausaha agung payung pertubuhan kakitangan awam itu, Ahmad Shah Mohd Zain kepada Bernama hari ini.Katanya Cuepacs akan menyokong tindakan tegas seperti itu demi kepentingan perkhidmatan tersebut yang menjadi tulang belakang sistem pentadbiran kerajaan.Beliau mengulas teguran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada kakitangan awam yang mengugut orang awam yang membuat aduan terhadap mereka.Semalam, Abdullah berkata ada "kontraktor yang mengadu kerana kelewatan dalam mengkaji kos projek yang ditawarkan kepada mereka berikutan dengan harga bahan binaan meningkat atau bayaran lewat.""Dan apabila aduan ini disalurkan kepada orang berkenaan, kakitangan awam terbabit membuat ugutan terhadap pengadu"Abdullah menambah bahawa pegawai ini akan mengatakan bahawa beliau rapat dengan orang besar dan pengadu perlu diajar."Ini benar-benar sikap angkuh dan bertentangan dengan etika dalam memberikan khidmat kepada orang awam," kata Perdana Menteri.Ahmad Shah bersetuju dengan Abdullah bahawa kakitangan awam janganlah angkuh dan mestilah mematuhi kod etika ketika memberikan khidmat kepada orang awam."Masalah sikap" di kalangan sesetengah kakitangan awam hendaklah dibanteras sehingga ke akar umbi kerana ia boleh menjejaskan dan merebak ke seluruh perkhidmatan awam.Beliau menekankan bahawa Cuepacs pada semua taklimatnya kepada kakitangan awam, sentiasa menekankan bahawa mereka hendaklah menyediakan perkhidmatan yang cemerlang pada setiap masa.Mengenai Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK), Ahmad Shah berkata pendirian Cuepacs membantah elemen peperiksaan itu dalam penilaian, dan bukan PTK itu sendiri."Kita tidak membantah prinsip penilaian kecekapan itu, tetapi apa yang kita mahu ialah bahagian peperiksan tersebut hendaklah dikaji semula."Beliau menjelaskan kenapa Cuepacs dengan tiba-tiba mengubah keputusannya tidak memulaukan PTK.Sebelum ini, Cuepacs mengumumkan ia akan memulaukan PTK, tetapi selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ia menukar keputusannya.-- BERNAMA