SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Februari 2010

KETIDAKSEIMBANGAN BOLEH PINCANG PERKHIDMATAN AWAM

Berita Harian
Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my
28/2/2010

APABILA Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain menyatakan kebimbangannya mengenai dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, yang jauh lebih tinggi daripada nisbah wanita di negara kita, ramai yang marah. Beliau berkata, hampir tiga perempat jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dipenuhi oleh wanita. Pegawai PTD selalunya mempunyai peluang yang baik untuk menjawat jawatan penting di dalam kerajaan, oleh itu, dasar kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan penting kerajaan akan mudah tercapai. Kini lebih ramai ketua pengarah dan ketua setiausaha wanita dalam perkhidmatan awam. Mungkinkah kenyataan Ahmad Shah adalah luahan kebimbangan kaum lelaki atas asakan wanita ke dalam kelab eksklusif mereka?
Kenyataan seperti ini selalunya mendatangkan masalah – selalunya ia dikategorikan sebagai seksis dan kolot. Saya rasa sudah tentu pegawai kesatuan sekerja itu mendapat reaksi yang lebih daripada itu hasil kenyataannya. Baru-baru ini, beliau dilaporkan menjelaskan kenyataannya dengan berkata dia tidak ada masalah dengan wanita dalam perkhidmatan awam, cuma untuk jangka masa panjang, dominasi wanita tidak baik untuk negara. Katanya, cara wanita bekerja serta sifat semula jadi wanita, termasuk perlukan cuti bersalin, adalah antara sebab. Saya tidak tahu sama ada kenyataan itu membantunya, atau menambah masalah. Saya tidak tahu sama ada dia seorang yang berani ataupun tidak tahu menahu kesannya apabila berkata demikian. Namun kenyataan sudah keluar, rasanya elok kita bincangkan.
Dia juga mencadangkan satu dasar untuk mendapatkan lebih banyak lelaki dalam perkhidmatan awam yang bukan saja berlandaskan kejayaan akademik, yang mana perempuan lebih menyerlah. Boleh juga kita tanya beliau kenapa tiada masalah apabila lelaki dominan dalam perkhidmatan awam? Kenapa kita tidak perlu bimbang perangai pegawai atasan lelaki seperti gemar bermain golf akan mempengaruhi perkhidmatan awam? Lebih ramai wanita memohon untuk menyertai perkhidmatan awam boleh dikaitkan dengan lebih ramai wanita di institusi pengajian tinggi, di mana hampir dua pertiga pelajar di institusi pengajian tinggi awam adalah wanita. Maka adakah kita perlu juga menyelesaikan 'masalah' ini? Adakah anak lelaki kita kurang minat bersekolah atau sekolah tidak memenuhi cita rasa mereka? Salah satu kejayaan negara kita ialah bagaimana kita mampu menaikkan martabat kaum wanita bukan saja di dalam masyarakat, malah juga di tempat kerja. Wanita kini mempunyai peluang pekerjaan yang sama, serta gaji dan kedudukan sama rata.
Saya pernah diberitahu oleh seorang jurutera Jabatan Kerja Raya mengenai kemasukan jurutera wanita mampu memperbaiki perkhidmatan mereka. Beliau menceritakan bagaimana tandas wanita, contohnya sebelum itu kurang memenuhi keperluan wanita kerana jurutera lelaki tidak faham kehendak dan keperluan wanita, contohnya berbanding lelaki, mereka perlu lebih masa di bilik air. Pencapaian besar wanita juga oleh kerana sikap praktikal masyarakat kita. Kini kurang didengar orang tidak mementingkan pelajaran anak perempuan mereka atau pun menyatakan dengan terbuka tempat wanita adalah di dapur. Semua yang mampu akan menentukan anak perempuan mereka mampu belajar setinggi upayanya. Kita tahu di sekolah kini lebih ramai guru wanita daripada lelaki. Ini mungkin memberi kesan kerana anak kita juga perlukan kepemimpinan lelaki di sekolah dan bukannya kerana guru lelaki lebih baik daripada guru wanita. Antara kesan, sebagai contoh, tiada guru lelaki membimbing pasukan bola sepak. Tetapi ada penyelesaiannya. Ada sekolah menggaji jurulatih luar atau ada bapa menawarkan perkhidmatan melatih pasukan. Jelas kita mampu mencari penyelesaian jika dikatakan ramai wanita ambil cuti bersalin akan menjejaskan perkhidmatan. Masalah itu bolehlah diatasi kerana bukan sekarang baru wanita mengandung dan melahirkan anak. Kita kini ada Gabenor Bank Negara, ketua penguat kuasa industri sekuriti, ketua polis negeri dan hakim-hakim yang menjadi bukti jelas kemajuan yang dicapai di negara kita pada masa yang singkat. Ini adalah sesuatu yang perlu dirai dan bukan untuk dibimbangkan. Juga kebanyakan wanita yang bekerja sudah menjadi macam 'superwoman' yang boleh menjadi ketua di tempat kerja, menjadi ibu dan isteri di rumah. Tetapi kita mesti jujur di dalam polemik kita. Memanglah kita patut menolak kenyataan yang mengatakan wanita boleh merendahkan mutu perkhidmatan ataupun pegawai atasan wanita kurang upaya daripada lelaki, ini semuanya tidak boleh diterima. Namun, kita perlu terima hakikat apa-apa yang tidak ada keseimbangan adalah tidak baik dan perlu diimbangi. Dalam hal ini, Cuepacs juga perlu, sebagai contoh, menimbulkan ketidakseimbangan pecahan kaum dalam perkhidmatan awam. Kurang sangat orang bukan Melayu yang berkhidmat dan ini sudah tentunya menjejas keupayaan perkhidmatan awam jika hanya segelintir saja daripada bukan Melayu, manakala mereka hampir 40 peratus rakyat negara kita. Mungkin ego lelaki terguris apabila wanita memimpin di tempat kerja dan mesti juga ada yang berasa seperti melawan lumrah dunia atau agama untuk dipimpin wanita. Rasanya kita perlu ingat di dalam polemik wanita ramai dalam perkhidmatan awam, bukan orang lelaki diketepikan. Mereka yang layak sama ada lelaki atau wanita akan terpilih. Ada yang berkata, banyak tidak mahu wanita memimpin kerana mereka selalunya lebih tegas. Ada juga berkata, wanita susah dirasuah, walaupun ini tidak semestinya betul. Tetapi jika betul adakah tidak rugi bagi kita. Namun kita mesti lihat kenyataan Ahmad Shah secara objektif. Walaupun banyak tidak setuju kita mesti boleh berbincang dan cuba untuk memahami kenapa dia mengeluarkan kenyataan itu. Jangan kita terlalu cepat mengutuknya kerana itu adalah satu tindakan yang teramat mudah. Saya berharap apabila dia menyatakan masalah dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, dia tidak merujuk kepada keupayaan atau kebolehan wanita. Saya percaya beliau mahukan keseimbangan kerana jika ada ketidakseimbangan sesuatu mesin tidak boleh berfungsi baik. Begitu juga jika perkhidmatan awam yang kurang bukan Melayu, kurang orang muda, kurang pengalaman dan lain-lain.

NGO MELAYU BERGABUNG

Berita Harian
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
27/2/2020





KUALA LUMPUR: Sejumlah 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bergabung dan menubuhkan Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak-hak Melayu serta agama Islam di negara ini. NGO yang menyertai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Pada majlis pelancaran semalam, mereka mengingatkan masyarakat bukan Islam di negara ini supaya tidak mencampuri urusan agama Islam.
Peringatan sama turut dilaungkan kepada masyarakat Islam liberal yang kurang pengetahuan mengenai kesucian agama Islam, supaya tidak mempersendakan Islam demi kepentingan peribadi mahupun politik. Presiden Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata ia penting bagi memastikan agama Islam yang menjadi tonggak kepada negara ini tidak diganggu gugat mana-mana pihak. “Penubuhan MPM ini adalah untuk mempertahankan hak orang Melayu dan juga kesucian agama Islam, perjuangan ini tidak menggugat ataupun menyentuh hak pihak-pihak lain.
“Mereka yang bukan Islam jangan campur tangan dalam hal berkaitan kesucian agama Islam termasuk soal hukum,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran MPM di sini, semalam.

SIAPA BOHONG, PM ATAU CUEPACS


Harakah Daily
Zolkharnain Abidin
27/2/2010




Berita dengan sendirinya mempunyai dua kemungkinan iaitu benar dan bohong. Apabila ada dua berita, boleh jadi kedua-duanya benar dan boleh jadi juga kedua-duanya bohong. Kalau satu sahaja yang benar, tentu satu lagi adalah bohong.

Cuma masalahnya, bolehkah berita yang datang dari sumber yang sama, salah satu adalah benar dan satu lagi bohong?

Boleh jadi juga, media melaporkan dengan benar tetapi orang yang mengeluarkan kenyataan adalah berbohong. Kalau orang itu bohong, bohonglah media. Begitu juga sebaliknya.

Bharian.com melaporkan ekonomi Malaysia pulih dengan pertumbuhan luar jangkaan sehingga 4.5 peratus pada Okt – Dis 2009. Penguncupan ekonomi juga hanya 1.7 peratus sahaja berbanding jangkaan sebanyak 3.0 peratus tahun lalu.

Najib berkata, Malaysia sudah pulih daripada kesan krisis ekonomi global. Tahun 2010, negara ini akan menikmati pertumbuhan kukuh.

Katanya, jangkaan awal pertumbuhan ekonomi adalah 4.0 peratus tetapi status terkini, pertumbuhan ekonomi adalah antara 5.0 hingga 6.0 peratus.

Adakah kenyataan Najib ini benar?

Cuepacs menggalakkan kakitangan kerajaan kumpulan sokongan II ‘menjadi pemandu teksi’ untuk menambah pendapatan. Tidak perlu buat kerja lebih masa kerana kerajaan tidak membayar bagi kerja lebih masa. Puncanya ialah jabatan kerajaan tidak mempunyai ‘bajet’.

Najib kata pertumbuhan ekonomi pada tahun ini semakin baik. Cuepacs kata jabatan kerajaan tidak punya bajet untuk bayar kerja lebih masa, kerajaan tidak berduit untuk itu.

Perkataan siapakah yang menggambarkan kedudukan sebenar ekonomi negara? Najib atau Cuepacs? Najib kata ekonomi baik, Cuepacs kata ekonomi buruk.

Siapa benar, siapa bohong?

Bolehkah kedua-duanya benar atau kedua-duanya bohong dalam isu ini? Disiplin ilmu mantik tidak membenarkan dua sifat yang bercanggah ada pada satu benda pada masa yang sama.

Ok, mari kita nilai siapa benar siapa bohong?

Pada tahun lepas, anak saya yang bersekolah asrama penuh dibenarkan pulang bermalam tiga minggu dan kadang-kadang empat minggu sekali. Pada tahun ini mereka diwajibkan pulang bermalam dua minggu sekali.

Seorang lagi anak saya yang bersekolah di sebuah negeri Pantai Timur, diwajibkan pulang bermalam walau pun cuti perayaan tahun baru Cina hanya empat hari sahaja. Dua hari dia atas bas dan dua hari di rumah.

Tahun lepas, ekonomi negara memang meruncing tetapi dibenarkan balik tiga minggu sekali. Tahun ini Najib kata ekonomi semakin baik tetapi diwajibkan balik dua minggu sekali. Ada sekolah yang mengarahkan pelajarnya pulang bermalam tiap-tiap minggu.

Kalau begini jadinya, saya simpulkan begini.

Bharian.com tidak berbohong. Cuepacs tidak berbohong. Habis, siapa yang berbohong…? Paling sedih, rakyat menjadi mangsa bohong seorang PM.

27 Februari 2010

SUPPORT STAFF DENIED OVERTIME PAY, SO WORK TO RULE CLAIMS CUEPACS

The Star
By ZULKIFLI ABD RAHMAN
newsdesk@thestar.com.my
27/2/2010



KUALA LUMPUR: Cuepacs is calling on civil servants in the Support Group II to “work to rule from 8am to 5pm” following the refusal of department heads to pay them overtime.
As the umbrella organisation of civil service unions, Cuepacs has expressed its dismay that these civil servants from the support staff category, who include drivers, medical assistants and office assistants, have not been given their overtime pay since December last year.
Its president Omar Osman said Cuepacs had received evidence that about 60% of these 450,000 support staff had not been paid their dues although they were asked to work overtime on Saturdays and Sundays.
“These workers were told that they would be given days off instead of overtime. They were told that overtime could not be paid due to budget constraints.
“They were also given warnings that they would face disciplinary action if they refused to comply,” he told reporters after a Cuepacs meeting yesterday.
Thus, Omar said Cuepacs had given them the green light to work to rule from 8am to 5pm and then do part-time jobs if necessary.
He said the support staff should not be denied their financial dues, especially when the Government had stated that Malaysia has recovered from the economic crisis.
Omar said he was told by Chief Secretary to the Government that the Public Service Depart­ment had not issued a directive ordering department heads to stop paying overtime to workers.
On another matter, Omar said Cuepacs wants civil servants facing disciplinary action to be heard by their respective department’s disciplinary board first.
“Now, there is none of this. Civil servants are usually sacked after being given a show-cause letter.
“We want a fully functional board to hold hearings first so that the employee can give his side of the story,” he added.
On another issue, Omar said Cuepacs would hold a meeting soon to discuss a remark made by its secretary-general Ahmad Shah Mohd Zin, reported on Monday, about the rising dominance of female staff in the public sector.
“Cuepacs respects the role of women in the civil service. The role of both sexes is very important,” Omar said.

BUKAN PANDANGAN CUEPACS

Berita Harian
Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
25/2/2010


Isu wanita kuasai sektor awam tak pernah dibincang kesatuan


KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman, semalam menjelaskan isu kebimbangan wanita menguasai sektor awam seperti disuarakan Setiausaha Agung kesatuan itu, Ahmad Shah Mohd Zin bukan pandangan kesatuan itu. Beliau berkata, isu itu juga tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kongres Cuepacs dan tidak menolak kemungkinan Ahmad Shah tersalah membuat kenyataan akibat kekeliruan.
Omar berkata, Cuepacs tidak pernah menidakkan sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam, malah bersikap terbuka dan seimbang dalam memperjuangkan hak serta kebajikan
penjawat awam. "Lebih tepat lagi, kami percaya gandingan bersama kakitangan dan pegawai kerajaan sama ada lelaki atau wanita adalah yang terbaik untuk menghasilkan sistem penyampaian lebih berkesan," katanya ketika dihubungi, semalam. Omar memberi penjelasan mengenai kenyataan Ahmad Shah, kelmarin yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat.
Ahmad Shah juga berkata, trend menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Beliau mengambil contoh hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi wanita, manakala 70 peratus daripada lebih 350,000 guru juga adalah wanita. Omar berkata, jika wanita dikatakan lebih ramai mengisi jawatan dalam kerajaan berdasarkan pemilihan yang dibuat secara merit, ia seharusnya memberi kesedaran kepada lelaki untuk bersaing dengan sihat. Beliau mengakui ada bidang tertentu sesuai untuk lelaki, manakala perguruan dan kejururawatan dilihat lebih sesuai untuk wanita.
"Kita tidak boleh menafikan sumbangan wanita untuk pembangunan pendidikan, ekonomi dan kekeluargaan. Sebab itu negara menetapkan sasaran 30 peratus wanita untuk mengisi jawatan penting sebagai pembuat dasar," katanya.

SETIAUSAHA AGUNG CUEPACS SEGERA MOHON MAAF

Utusan Malaysia
26/2/2010


SEBAGAI penjawat awam bergelar wanita, saya merasa tersinggung dengan kenyataan Setiausaha Agung CUEPACS berhubung kebimbangan beliau mengenai nisbah penjawat awam wanita yang semakin meningkat berbanding penjawat awam lelaki. Contoh paling ketara dalam bidang perguruan yang mana ia mencatat 30:70.
Suka saya bangkitkan di sini bahawa beliau perlu melihat kepada beberapa aspek sebelum mengutarakan pandangan menyakitkan hati itu.
Pada masa ini nisbah wanita di Malaysia adalah mengatasi nisbah lelaki dan ia tidak mustahil menyumbang kepada peningkatan penjawat awam dalam perkhidmatan awam di Malaysia.
Dan masa kini bilangan pelajar wanita di universiti juga mengatasi pelajar lelaki. Mengapa keadaan ini berlaku? Dan kesannya ramai wanita menjawat jawatan penting terutamanya di sektor awam.
Pada masa kini lelaki lebih menguasai bidang teknikal dan vokasional. Kecenderungan mereka di bidang ini menyumbang kepada pertambahan gender berlawanan di sektor awam. Malahan pada masa sekarang jawatan-jawatan yang ditawarkan dalam sektor awam kebanyakannya memerlukan kakitangan wanita.
Kenyataan wanita tidak realistik dalam membuat keputusan memang satu kenyataan tidak bijak. Apakah selama ini CUEPACS yang diterajui oleh kaum lelaki begitu bijak dan realistik dalam membuat keputusan?
Nampaknya CUEPACS lebih mementingkan gender dalam menguruskan keperluan pekerja di Malaysia. Dan CUEPACS seolah-olah merendahkan martabat dan maruah kaum wanita dalam melaksanakan tugas.
Memetik kenyataan Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng dalam Utusan Malaysia bertarikh 23 Februari 2010, beliau menjelaskan bahawa prestasi guru wanita adalah sangat baik dalam mendidik para pelajar.
Walaupun nisbah guru wanita tinggi berbanding guru lelaki tetapi ia tidak menjejaskan bidang perguruan!
Apakah selama ini kita melihat bidang perguruan lumpuh hanya kerana wanita mendominasikan bidang ini? Memang benar kata-kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mendakwa Setiausaha Agung CUEPACS ini sebagai cetek ilmu.
Kenyataan wanita tidak realistik dalam membuat keputusan memang melambangkan kecetekan ilmu beliau.
Lihat sahaja sekolah yang cemerlang. Ramai kalangan sekolah berkenaan ditadbir oleh kaum wanita.
Apakah kebimbangan saudara Ahmad Shah Mohd. Zin bersifat ada udang di sebalik batu? Apakah agenda beliau bila mengutarakan kenyataan seperti itu?
Seharusnya beliau dan warga CUEPACS tidak memandang isu ini dengan serius. Apakah beliau mempunyai bukti bahawa wanita telah menguasai sektor awam? Apakah beliau mempunyai bukti bahawa wanita tidak realistik dalam membuat keputusan?
Saya percaya ini bukan objektif CUEPACS ditubuhkan. Dan saya percaya semua penjawat awam wanita merasa terhina dengan kenyataan seperti ini.
Dan saya menuntut Setiausaha Agung CUEPACS segera memohon maaf kepada semua penjawat awam wanita kerana kenyataan beliau seolah-olah menafikan hak kaum wanita dalam memberikan sumbangan kepada negara.
Patutlah CUEPACS begitu cerdik pandai dalam menguruskan isu pekerja kerana pemimpin-pemimpinnya adalah golongan lelaki.

ROSSA
Sarawak

BUAT KERJA SAMPINGAN JIKA KERJA LEBIH MASA TIDAK DIBAYAR

Bernama
25/02/2010 4:42pm

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan pekerja Kumpulan Sokongan II membuat kerja sampingan bagi menjana pendapatan tambahan sekiranya jabatan tidak mempunyai peruntukan bagi membayar kerja lebih masa yang dilakukan.
Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS ada menerima aduan dari pekerja kumpulan sokongan itu bahawa mereka tidak dibayar bagi kerja lebih masa yang dilakukan atas alasan jabatan tidak mempunyai peruntukan atau “bajet”.
"Jadi buatlah kerja anda seperti biasa dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, lepas itu tidak perlulah buat OT (kerja lebih masa), pergilah tukar baju, jadi pemandu teksi ke,” katanya ketika ditemui pemberita pada bengkel tatatertib sektor awam dan mesyuarat khas Majlis Kongres CUEPACS di sini hari ini.
Omar berkata, pihak jabatan sepatutnya membayar kerja lebih masa yang dilakukan, walaupun tidak sepenuhnya agar tidak menjejaskan produktiviti.
"Janganlah tidak membayar langsung. Contohnya, jika pekerja buat kerja lebih masa 100 jam, sekiranya jabatan tidak boleh membayar 100 jam, bayarlah bagi 70 jam kerja lebih masa. Lagi 30 jam dijadikan sebagai cuti gantian,” katanya. – Bernama

WANITA HANYA ISI KEKOSONGAN JAWATAN

Utusan Malaysia
24/2/2010




KUALA LUMPUR 24 Feb. - Penyertaan wanita yang semakin meningkat di sektor awam bukannya untuk bersaing dengan lelaki tetapi hanya bagi mengisi kekosongan jawatan yang berlaku.
Sehubungan itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita menyifatkan adalah merugikan kepada pembangunan negara jika jawatan itu dibiarkan kosong hanya kerana lelaki tidak berminat atau layak mengisinya.
Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Datin Fauziah Ramli berkata, wanita tertarik bekerja di sektor awam walaupun tidak menjanjikan pendapatan lumayan kerana masa depan lebih terjamin.
''Wanita sebenarnya begitu memikirkan kebajikan keluarga dan jika bekerja di sektor awam mereka tidak perlu bimbang takut dibuang kerja dan akan mendapat pencen untuk hari tua,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin melahirkan rasa bimbang terhadap penguasaan kaum wanita di sektor awam.
Ketua 1 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), Muharyani Othman pula berkata, wanita juga lebih selesa bekerja di sektor awam kerana bidang pekerjaannya lebih mudah dan kurang tekanan.
''Waktu kerja di sektor awam adalah teratur dan setelah selesai boleh pulang ke rumah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,'' katanya.
Jelas beliau, lelaki tidak berminat bekerja di sektor awam kerana mudah berasa bosan disebabkan banyak menghabiskan masa di pejabat.
Presiden Pertubuhan Organisasi Wanita Kebangsaan (NCWO), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin berkata, wanita di negara ini mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, maka mereka memang layak memikul tanggungjawab yang besar di dalam sektor awam.
''Jangan dinilai pretasi mereka berpandukan seorang dua yang lemah disebabkan bimbang dengan penguasaan wanita di sektor awam,'' katanya.
Sementara itu Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dari Pusat Pemikiran Sejarah Impak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, wanita suka bekerja di sektor awam kerana masa bekerja yang teratur.
''Setiap wanita tahu bahawa dia masih ada kerja yang perlu dibereskan di rumah dan kerana itu sektor awam adalah pilihan terbaik,'' katanya.
Malah jelasnya, corak kerja di sektor awam juga berkaitan pengurusan dan tugas itu sebenarnya tidak begitu berbeza dengan tugas di rumah yang juga menguruskan keluarga.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah berkata, penyertaan ramai wanita dalam perkhidmatan awam kerana inginkan jaminan masa depan dan kualiti masa yang ditawarkan sektor tersebut.
''Ini untuk memudahkan mereka mengagihkan tugas di pejabat dan di rumah supaya dapat berjalan dengan lancar," katanya.
Penulis dan pendakwah, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula berkata, tidak ada salahnya wanita di Malaysia berkhidmat di sektor awam asalkan mereka jujur dan amanah ketika melaksanakan tugas.
Katanya, paling penting seorang wanita itu harus menjaga adab dan tata susila supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap diri mereka.

26 Februari 2010

AMBIL IKTIBAR KESEPAKATAN KOMUNITI CINA

Berita Harian
26/2/2010

APAKAH iktibar daripada kewujudan dan peranan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zhong), Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) serta Dewan Perhimpunan Cina Selangor kepada orang Melayu? Kesepakatan komuniti Cina seperti Gabungan Pertubuhan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Malaysia Seven Major Clans Association, Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Universiti Taiwan Malaysia serta Nanyang University Alumni Association of Malaya perlu dicontohi dan menyedarkan orang Melayu. Justeru, apakah yang mungkin berlaku di Kelab Sultan Sulaiman dekat Kampung Baru di ibu negara esok dan kaitan dengan semangat penyatuan komuniti Cina yang perlu ada pada orang Melayu? Pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari esok, kira-kira 500 wakil dari 100 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dari seluruh negara akan berhimpun di kelab itu untuk menggarap kesepakatan dan penyatuan. Antara wakil yang hadir dari Perkasa, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Cuepacs, Persatuan Pesara Polis Islam Malaysia, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Yadim, Persatuan Melayu Negeri-Negeri, Gabungan Melayu Perak dan Persatuan Silat Cekak. Mungkin tidak banyak penyelesaian boleh dicapai dalam pertemuan empat jam itu. Namun lebih penting, ia menjadi asas penyatuan dan kesepakatan NGO Melayu untuk melakar masa depan bangsa mereka. Mereka berkumpul mencari kesepakatan menggariskan watikah perisytiharan menubuhkan gagasan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang difikirkan sangat perlu dalam menyuarakan atas kepentingan Melayu melalui idea, kritik, kertas kerja dan cadangan. Sifat dan tindakan majlis itu berasaskan intelektual. Jauh sekali MPM akan menjadi pendesak dan menganjur atau menyertai demonstrasi jalanan. Badan itu juga bukan kumpulan pendesak sebaliknya lebih kepada keperluan menjadi pelengkap kepada perjuangan dan kepentingan Melayu. MPM juga harus bebas daripada persepsi sangsi, radikal dan perkauman jika tidak dicap sedemikian. Pastinya, majlis itu akan mengawal diri daripada dilabel sebagai kelompok ‘kaki bangkang dan kaki tentang’.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata: “Melayu perlu mengumpulkan kekuatan untuk mempertingkatkan kedudukan mereka yang sebenar dalam semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan dan politik. Pada masa sama, mencari jalan supaya gagasan 1Malaysia dapat dijadikan aspirasi pembinaan negara. Peranan Melayu amat besar dalam memastikan usaha ini. Dengan mewujudkan kesatuan yang tinggi, akan menjadikannya satu kenyataan dan dapat dinikmati. “Saya percaya ia boleh dilakukan dengan kesungguhan dan pemikiran baru di kalangan generasi muda Melayu selepas memiliki ilmu dan menimba pengalaman mengenai sejarah pembinaan negara berlandaskan Rukun Negara dan lunas undang-undang. MPM juga wajar bertindak sebagai juara yang sentiasa bersama-sama di barisan depan menghadapi serta menangani tekanan terhadap orang Melayu dalam isu berkaitan agama Islam, Kesultanan Melayu, bahasa Melayu, keselamatan negara, ketenteraman awam serta isu lain berkaitan. Ringkasnya, MPM akan berjuang dalam menghadapi cabaran dan mempertahankan segala kepentingan institusi, dasar dan hak orang Melayu,” katanya. Ia juga bukan sebuah pertubuhan politik sehingga menyaingi, memintas dan mendahului parti Melayu khususnya Umno. Kehadiran MPM juga untuk membantu memastikan orang Melayu sentiasa ada dalam arus perdana dan sebagai bangsa teras yang memayungi semua kaum di negara ini. Kuasa politik Melayu yang berada pada kedudukan ‘mudah diancam’ dan dalam keadaan tertentu terpaksa berhempas pulas mempertahankan diri atau duduk di persimpangan dilema. Lantas, wujudnya MPM akan menjadi wadah sementara atau bersifat kekal.
Sebagai wadah yang menggabungkan intelektual Melayu, MPM wajar memainkan peranan menangani isu berkaitan Melayu dan pelan tindakan menanganinya serta ada keberanian bersemuka dengan pihak yang mencetuskan isu. Setiausaha Perhubungan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, penubuhan MPM adalah langkah mewujudkan platform mempertahankan kesinambungan perjuangan Melayu. “Majlis itu menjadi medan pemimpin Melayu merumuskan kesepakatan tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya. Nostalgia Kelab Sultan Sulaiman dengan Melayu tidak mungkin lupus dari catatan sejarah negara. Di situlah tempatnya perhimpunan 47 NGO Melayu daripada seluruh negara pada 1946 yang akhirnya melahirkan inisiatif menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pada masa itu dan kini sebagai Umno yang terus memperjuangkan kepentingan bangsa. Jika pada 1946 di kelab bersejarah itu lahirnya Umno yang menjadi teras perjuangan Melayu dalam mencapai matlamat dan mempertahankan kepentingannya maka pada 2010 di premis sama akan lahir teras baru (kalaupun bukan kedua) yang memantapkan lagi Melayu alaf ini.

SISTEM PENDIDIKAN PUNCA ISU SILANG GENDER

Berita Harian
26/2/2010





SILANG gender semakin hangat diperkatakan ketika isu menara gading dipenuhi pelajar perempuan, belum selesai. Baru-baru ini, Cuepacs menyuarakan kebimbangan sektor awam yang semakin dimonopoli penjawat awam wanita mengganggu kelancaran khidmat penyampaian maklumat selain memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Susulan isu ini tidak nafikan akan diwujud kuota bagi mengimbangkan nisbah lelaki dan perempuan sama ada untuk merebut tiket ke pusat pengajian tinggi atau menempatkan diri dalam sektor awam terutama kerjaya profesional. Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma-Jim) sebagai gerakan mahasiswa kontemporari yakin akan timbul pelbagai persoalan. Apakah kemajuan yang dicapai wanita menjadi kesalahan, atau adakah usaha mereka yang positif sehingga berada di hadapan menjadi sesuatu yang ganjil? Sedangkan suatu ketika dulu martabat wanita sangat rendah sehingga muncul syiar Islam yang mengangkat kaum ibu ini ke darjat lebih tinggi untuk diberi hak dan keadilan.
Jelas tiada salahnya mereka tetapi muncul kebimbangan apabila sebahagian besar pemudi memenuhi institusi pengajian tinggi (IPT), manakala pemuda ramai di pusat serenti, penjara dan aktif dalam pelbagai gejala termasuk jenayah jalanan. Ketidakseimbangan yang terhasil dibimbangi kritikal kerana jurangnya kian jauh. Contoh, nisbah lelaki dan perempuan dalam sistem akademik di IPT ataupun kerjaya profesional secara purata adalah 30:70. Secara relatif dan logik, apabila corak aliran sebegini bermula di IPT maka bidang profesional juga mengalami masalah serupa kerana mahasiswa inilah yang melangkah ke sektor pekerjaan selepas tamat pengajian.
Karisma-Jim berpendapat, sistem pendidikan yang mencatur gaya hidup pembelajaran masyarakat. Sistem pendidikan berorientasi peperiksaan dan hafalan jelas memberi kelebihan kepada pelajar wanita. Ini bukan tuduhan atau kecaman tetapi perlu dikaji secara ilmiah kerana kelebihan psikologi dan kekuatan gender masing-masing. Pakar motivasi silang jantina dan kekeluargaan, Ahmad Shafiai Uda Jaafar, tidak menafikan secara fitrah wanita mempunyai tahap tumbesaran dan kematangan lebih pantas berbanding lelaki. Malah perkembangan biologi wanita juga lebih cepat matang berbanding lelaki. Kekuatan emosi dan kelebihan dalam memberikan fokus menjadikan mereka lebih selesa dengan sukatan pelajaran di sekolah mahupun universiti yang berorientasi peperiksaan. Fitrah wanita majoritinya lebih fokus, kebolehan menghafal dan ada kekuatan dalam subjek teori.
Ini berbeza dengan lelaki kerana dari segi biologi dan emosi jarang berdepan dengan buku atau pendekatan teori kerana majoritinya secara fitrah lebih berminat dengan aktiviti praktikal yang boleh membabitkan kekuatan fizikal atau mencabar untuk membuktikan sifat mereka. Mungkin pendekatan sekolah teknik, vokasional, politeknik, universiti teknikal serta lain-lain yang bercorak aplikasi dan hands-on adalah langkah yang boleh dikenal pasti kerajaan dalam membantu menghadapi situasi sekarang. Kajian secara serius perlu dilakukan dengan digembleng kepakaran setiap organisasi atau individu untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berhubung isu silang jantina ini. Karisma-Jim sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk berkongsi idea dan input bagi mencadangkan penyelesaian. AL AMIN

MOHAMED SULTAN,
Karisma-Jim.

KETUA JABATAN, AGENSI WANITA KENA KIKIS SIKAP TAK PROFESIONAL

Berita Harian
26/2/2010







KEBIMBANGAN Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, dengan penguasaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam perlu dibincang dengan akal budi yang jernih. Skop hujah beliau bersandarkan senario wanita hampir tiga perempat mengisi jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik, bukan membabitkan perjawatan lain seperti kumpulan sokongan termasuk perguruan yang didominasi wanita.

Pemimpin dan pertubuhan wanita pula usah cepat melatah kerana hanya membenarkan tanggapan tipikal umum bahawa wanita mudah emosi. Ada suara tegas menyatakan isu ini cabaran kepada lelaki untuk berusaha lebih gigih dalam akademik bagi melayakkan diri dalam perkhidmatan awam.

Pada masa sama wanita yang mengisi jawatan itu perlu menganggap isu ini cabaran kepada mereka. Joseph Conrad berkata: "Menjadi wanita adalah tugas sukar terutama apabila perlu berhubungan dengan lelaki."



Mereka perlu menghilangkan rasa kurang yakin dalam berketrampilan dan berkomunikasi terutama apabila berdepan dengan pegawai lelaki yang mungkin lebih kanan, serius atau tegas.

Pegawai wanita mesti mengikis sikap tidak profesional ketika 'kitaran fitrah'. Usah emosi tidak bertempat dan berkerut ketika bertugas.

Paling ketara, mereka mesti memastikan komitmen terhadap keluarga bukan penghalang pengurusan jabatan, pejabat, bahagian atau unit yang diketuai hingga terlalu kerap mengambil cuti kecemasan dan pulang awal.

Mereka ialah kumpulan pengurusan dan profesional yang perlu banyak berkorban masa, bukan kakitangan sokongan yang pulang tepat pada masa pejabat tamat.

Itu sebabnya mereka sukar bertemu jodoh akibat kekangan masa. Adakah kita tidak melihat implikasi lebih berat terhadap pola demografi penduduk negara apabila berlaku pertambahan wanita berkerjaya tinggi tetapi belum berkahwin?

Isu ini perlu ditimbang tara secara adil. Kesaksamaan gender di Barat tidak patut dipraktikkan bulat-bulat sebaliknya diperbetul menjadi keadilan gender. Tidak adil jika kesaksamaan yang diperjuangkan mewujudkan ketidakseimbangan gender dalam jawatan kumpulan pengurusan dan profesional. Paling penting bukan semua perkara yang lelaki buat, mampu dilaksanakan wanita. Ini hakikat bukan diskriminasi gender. Usah lawan fitrah-Nya.

Dalam apa perkara pun, sifat berlebihan atau keterlaluan tidak baik bagi jangka panjang. Apapun, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang sepatutnya saling melengkapi

ARIF ATAN,
Tanah Merah, Kelantan.

25 Februari 2010

PAS TAK BIMBANG WANITA KUASAI SEKTOR AWAM

Berita Harian
Oleh Norliza Wasilan

norlizawasilan@bharian.com.my
25/2/2010




KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan kerana sebarang pelantikan atau pengambilan dilakukan berdasarkan merit. Beliau berkata, dalam Islam, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan kecuali dalam beberapa perkara membabitkan peranan dalam mengetuai keluarga. "Saya tak bimbang... mula-mula Pas masuk pilihan raya (dulu) sudah beri kepada Khadijah Sidik jadi wakil Parlimen, (dan) dalam Islam, tak ada lelaki dan perempuan lebih, (tetapi) dalam perkara tertentu ada diberi kepada lelaki untuk mengetuai isteri, itu sajalah.
"Selain itu, terletak kepada meritlah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam. Selasa lalu, akhbar melaporkan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Di KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, tidak akan berganjak daripada pendiriannya berhubung isu peningkatan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam, dan enggan melayan jika ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak untuk mendesaknya meletakkan jawatan. Katanya, beliau bebas untuk menyuarakan pandangan secara ikhlas kerana senario membimbangkan itu adalah realiti, malah mendakwa isu berkenaan pernah dibangkit dan dibincangkan dalam Cuepacs. Beliau menegaskan, pandangan itu tercetus bukan kerana dengki atau antiwanita mahu pun melabelkan kaum itu sebagai tidak bagus, tetapi berdasarkan kebimbangan terhadap implikasi jangka panjang selain untuk menuntut kesamarataan dan keseimbangan bagi golongan lelaki dalam perkhidmatan awam. “Saya tetap mempertahankan pandangan bahawa isu berkenaan perlu ditangani. Wanita tetap ada kelemahan tersendiri dan lelaki ada kelebihan tersendiri.
“Kita yakin dominasi wanita dalam jawatan pembuat keputusan ada kesan terhadap sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang. Sebagai contoh, seorang wanita yang ‘datang bulan’, emosinya lain dan mempengaruhinya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

PEMBUAT DASAR WANITA BOLEH CETUS IMPLIKASI

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
24/2/2010




Cuepacs risau kepincangan sistem penyampaian awam KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam semakin meningkat sekarang. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Contohnya, kata beliau kepada Bernama, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita. Ahmad Shah berkata, perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita. Ketika dihubungi Berita Harian pula, Ahmad Shah mendakwa nisbah kakitangan awam wanita meningkat dengan ketara sejak awal 2000, malah sudah mencecah 70 peratus dalam bidang tertentu seperti perguruan dan peningkatan itu turut berlaku dalam kumpulan sokongan.
Beliau berkata, antara faktor utama menyumbang kepada senario itu ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi. "Fenomena ini menggusarkan kerana ia boleh mengakibatkan kepincangan sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang. Ini berikutan fitrah wanita yang mempunyai kekangan tersendiri, seperti mengambil cuti panjang selama berbulan-bulan selepas bersalin. "Apabila wanita terbabit memegang kuasa pada peringkat pembuat keputusan, maka banyak keputusan penting akan tertangguh sehingga menyebabkan pelaksnaaan pelbagai urusan tergendala," katanya. Ahmad Shah menegaskan, isu berkenaan dibangkitkan bukan atas faktor diskriminasi gender, malah Cuepacs tidak mempertikaikan keupayaan atau kebolehan wanita, tetapi bersandarkan kebimbangan kesan fenomena sedemikian untuk jangka panjang.
Katanya, Cuepacs menerima aduan daripada orang ramai yang mengakui lebih selesa berurusan dengan penjawat lelaki kerana mereka lebih kreatif dan fleksibel, iaitu tidak terlalu terikat dengan kerenah birokrasi, sekali gus memudahkan penyelesaian suatu urusan atau masalah dengan lebih pantas. "Dalam keadaan lain pula, sikap semula jadi wanita yang penyayang ada kala menjadi halangan kepada mereka untuk menyelesaikan masalah tertentu, khususnya pengetua wanita dalam menangani isu disiplin pelajar lelaki kerana tidak wujud perasaan `gerun' kepada mereka," katanya. Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau menyarankan sistem pengambilan penjawat awam diperbetulkan secara serius, iaitu tidak terikat kepada sistem komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik kerana ia hanya memihak kepada calon wanita yang memang tidak dinafikan tekun belajar. "Merit kelulusan akademik tidak semestinya menentukan bahawa perkhidmatan mereka akan lebih baik berbanding penjawat lelaki. "Sebaliknya, `sentuhan langsung' dengan panel penilai mesti diwujudkan dari peringkat saringan pertama lagi di mana pelbagai kriteria penting harus dititikberatkan seperti tahap kecerdasan minda, keupayaan menyelesaikan masalah, kebijaksaan membuat pertimbangan, tahap ketahanan mental dan keluasan pengetahuan am setiap calon," katanya.

GENDER TAK PENGARUHI PRODUKTIVITI

Berita harian
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
25/2/2010





Kuota wanita pembuat dasar belum dicapai tepis kegusaran CuepacsMEMANG tidak dinafikan wanita kini sudah menguasai banyak bidang bukan saja dalam perkhidmatan awam, perguruan selain institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Trend ini sudah nampak sejak lebih sedekad lalu dan peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor berlaku dari semasa ke semasa. Ia juga sudah menjadi fenomena global. Di sesetengah jabatan di Putrajaya misalnya, kakitangannya di kalangan wanita melebihi 70 peratus. Bagaimanapun, Cuepacs berpendapat antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah wanita dalam sektor awam ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi.
Mungkin apa yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, itu cuma ingin meluahkan kebimbangan kerana keadaan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara. Namun, ada juga yang menyifatkan Ahmad Shah sebagai mendiskriminasi wanita dan mempertikaikan kewibawaan golongan hawa. Begitu pun, sesetengah pendapat mengatakan wanita kerap mendatangkan masalah seperti selalu cuti sakit atau cuti beranak dan dalam pantang untuk tempoh lama hingga boleh menjejaskan sistem penyampaian awam atau operasi sesebuah syarikat. Apapun, isu gender masih menjadi tembok penghalang. Kerajaan bersetuju menetapkan 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Bagaimanapun sehingga ini, kuota 30 peratus wanita dalam pembuat dasar masih jauh untuk dicapai.
Malaysia cuma ada dua menteri wanita dan lapan timbalan menteri wanita, manakala di dalam Parlimen jumlah wakil rakyat wanita juga jauh lebih rendah berbanding Ahli Parlimen lelaki. Oleh itu, Dasar Wanita Negara Kedua, iaitu kesinambungan Dasar Wanita Negara pertama 1989 dengan jelas mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang terhadap peranan wanita. Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar itu memperjuangkan matlamat kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari. Ketua Pusat Penghayatan Sejarah Impek Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Datuk Prof Dr Ramlah Adam, dalam reaksinya berhubungan isu itu menjelaskan kenyataan Cuepacs bersifat remeh dan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika negara berdepan banyak lagi masalah perpecahan dalam politik, ekonomi dan sosial.
Sikap kebiasaan masyarakat terhadap nilai budaya yang melihat perempuan hanya layak duduk di rumah dan menghayun buaian masih terbawa-bawa sehingga apabila wanita mula mempamerkan kecemerlangan dalam sesuatu jawatan, maka rasa tidak selamat menyelubungi diri. Ramlah berpendapat sepatutnya semua pihak tanpa mengira gender bangkit dengan mencergaskan anjakan paradigma ke arah memajukan diri, bukannya mengeluarkan kenyataan remeh. "Jangan terus letakkan wanita berada pada kelas kedua. Isu seumpama ini sepatutnya sudah tamat. Soal penting adalah untuk membangunkan negara, melahirkan pekerja berkualiti dan ada daya kepemimpinan. "Teori maskulin yang menganggap lelaki hebat sering berakar umbi. Apa yang jelas wanita menunjukkan kecekapan dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Wanita lebih komited dan sedia berkorban. "Penguasaan wanita memang tidak dapat dielakkan. Dalam bidang pendidikan saja kita dapat lihat dengan jelas ramai pelajar perempuan memasuki universiti. Malah ada di sesetengah institusi pengajian tinggi, 80 peratus wanita dan mereka lebih cemerlang daripada lelaki," katanya. Pengarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Universiti Malaya, Dr Makmor Tumin pula melihat tidak adil menjatuhkan hukuman kepada wanita kurang produktiviti kerana banyak cuti bersalin, sebaliknya ia terletak pada individu sendiri. Masalah penurunan kualiti dan produktiviti adalah sikap dan masalah penjawat awam sendiri yang tidak ada kena mengena dengan isu gender. "Ramai juga penjawat awam lelaki yang tidak ada kualiti. Oleh itu, Cuepacs tidak sepatutnya membuat kesimpulan dan isu sebegitu adalah hujah lapuk," katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid, menganggap kenyataan Cuepacs itu adalah pandangan yang tidak berasas, rambang dan berat sebelah. Kenyataan berkenaan juga sudah jelas membayangkan tanggapan yang tidak benar dan perlu diperincikan serta menunjukkan kebimbangan lelaki sendiri terhadap kredibiliti dan keupayaan wanita yang semakin menonjol dalam pelbagai bidang. "Saya tidak tahu yang dibimbangi lelaki ini, sedangkan di Malaysia kuota 30 peratus wanita terbabit dalam pembuat dasar belum pun berjaya dicapai. Mengapa mereka sudah memberi pandangan negatif terhadap keupayaan wanita. "Pada saya, ketika ini hanya guru wanita saja yang dilihat tinggi dalam jawatan perkhidmatan awam, berbanding lelaki sedangkan dalam kebanyakan sektor wanita juga masih berada pada paras bawah 30 peratus," katanya. Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan pula melihat kesediaan wanita yang benar-benar komited seratus peratus dan memenuhi kriteria bagi melonjakkan jawatannya masih belum mencapai tahap disasarkan. "Memang jumlah penjawat awam sekarang ramai wanita berbanding lelaki, tetapi yang benar-benar menonjol tidak begitu banyak dan mungkin kerana itu peratusan mengisi jawatan tinggi tidak menampakkan peningkatan ketara," katanya.

PEMILIHAN JAWATAN KANAN KERAJAAN BERDASAR MERIT

Berita Harian
Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
25/2/2010




JPA jamin tak berlaku diskriminasi sehingga wanita terpinggirKUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan pemilihan untuk mengisi jawatan kanan dalam perkhidmatan awam dibuat berdasarkan merit dari segi kelulusan dan berkebolehan melaksanakan tugas, bukan dipengaruhi faktor gender. Malah, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam juga memberi jaminan tidak akan berlaku diskriminasi dalam perkhidmatan awam sehingga kakitangan wanita terpinggir atau tidak dipertimbangkan untuk memimpin sesebuah jabatan atau agensi.
"Saya hairan apabila membaca kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs itu. Sebelum ini isu seperti ini tidak pernah ditimbulkan kesatuan, kenapa pula sekarang ia dikemukakan? "Malah, tidak ada aduan yang diterima berkaitan tugas yang dijalankan wanita berjawatan tinggi dalam sektor awam. "Jika cuti panjang bersalin dijadikan sebab untuk wanita gagal melaksanakan tugas dengan berkesan, itu tanggapan salah kerana pegawai lelaki juga mengambil cuti sakit untuk tempoh lama," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, yang mendakwa semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dalam sek-tor awam dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Beliau juga berpendapat antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah wanita dalam sektor awam ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi. Ismail berkata, berbanding negara membangun lain, layanan yang diberikan kepada wanita di Malaysia adalah lebih elok dan lebih maju dari segi gender. "Contohnya di Amerika Syarikat, wanita tidak diberi peluang menerajui bank
pusat, tetapi di negara ini, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Ketua Pegawai Eksekutif beberapa syarikat multinasional diketuai wanita," katanya. Beliau juga mahu semua pihak menolak tanggapan negatif bahawa wanita boleh menyebabkan sistem penyampaian awam tergendala kerana keadaan itu tidak pernah berlaku. Katanya, pengurusan yang sistematik pada peringkat jabatan atau agensi tanpa mengira sama ada ia diketuai lelaki atau wanita dapat membantu melancarkan tugas yang diamanahkan. Mengenai penggunaan sistem komputer untuk pengambilan penjawat awam, Ismail berkata, kaedah yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu mengambil kira merit calon, kecuali jawatan khusus mengikut jantina. "Memang kita boleh kenal pasti calon menerusi nombor MyKad, bagaimanapun asas pemilihan tetap berdasarkan merit. "Kita akan teruskan pemilihan menggunakan sistem komputer itu. Bagi saya, kemajuan negara lebih utama berbanding isu gender yang diketengahkan ini," katanya.

TIADA HALANGAN WANITA PEGANG JAWATAN TINGGI: NIK AZIZ

Bernama
25/2/2010




KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang halangan dan masalah dengan lebih ramai wanita memegang jawatan tinggi di dalam sektor awam berbanding lelaki. Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata perkara yang paling penting adalah mutu perkhidmatan dan kualiti kakitangan awam itu yang perlu diambil kira, bukannya gender. "Di dalam Islam lelaki dan wanita sama sahaja. Tiada siapa yang lebih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, kelmarin bahawa trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Nik Abdul Aziz berkata, menurut Islam, lelaki hanya mendahului wanita sebagai pemimpin dalam rumahtangga. "Bagi saya ianya tidak menimbulkan sebarang masalah jika ramai wanita memegang jawatan tertinggi di dalam sektor awam," katanya. - Bernama

24 Februari 2010

BUKAN ISU GENDER

Berita Harian
Oleh Misiah Taib, Saufi Hamzah dan Junita Rasid
bhnews@bharian.com.my
24/2/2010







KERATAN muka depan Berita Harian semalam.



PM sangkal kebimbangan Cuepacs terhadap penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam; Pengambilan ikut kelayakan, meritSIBU: Datuk Seri Najib Razak semalam menjelaskan penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya dilihat dari segi gender atau jantina kerana pengambilan pegawai kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan. Perdana Menteri berkata, soal gender tidak penting, sebaliknya yang lebih penting ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam dalam melaksanakan serta memenuhi jangkaan kerajaan serta rakyat.
Kalau kita tengok dari segi kemasukan ke universiti, purata pelajar wanita adalah dalam lingkungan 65 peratus. Tentu sekali wanita lebih ramai memohon sebagai penjawat awam atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). "Ini kerana untuk memohon menjadi PTD, kita memerlukan sekurang-kurangnya ijazah pertama. Dengan ini tak hairanlah mereka akan menjadi bilangan terbesar dari segi kemasukan, walaupun keseluruhannya mungkin tidak. "Tapi dalam jangka waktu tidak lama lagi, jika trend ini berterusan, wanita akan menjadi kumpulan terbesar dalam perkhidmatan awam," katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Sarawak, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, menyuarakan kebimbangannya kerana trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu didakwa mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara. Ahmad berkata, tiga perempat daripada jawatan baru dalam PTD diisi oleh wanita, sambil mendakwa ia bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita. Di PAGOH, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan dasar 30 peratus itu cuma panduan yang diamalkan kerajaan ketika ini. Sambil mengakui semakin ramai wanita memegang jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, beliau berkata:
"Kita harus berpandangan terbuka dan tidak anggap ia sebagai satu liabiliti. Ia mungkin satu aset dan jika ada kekurangan, kita kena cari jalan untuk menguruskannya," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi robotik bersama pelajar sekolah menengah kebangsaan dalam kawasan Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar. Muhyiddin berkata, di Kementerian Pelajaran yang diketuainya turut mengalami senario sama apabila lebih ramai wanita menyertai profesion terbabit berbanding lelaki kerana golongan hawa lebih berminat dan komited. Beliau berharap tiada pihak membuat tuduhan dan sangkaan tidak tepat mengenai perkara itu kerana wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. "Tak usah bimbang dengan senario itu, tetapi yang penting cara mengurus keadaan itu dengan sebaik mungkin. Ini sebenarnya adalah senario global," katanya
.

PENGUASAAN WANITA DALAM PERKHIDMATAN AWAM BERASASKAN MERIT: MUHYIDDIN

Bernama
24/2/2010

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penguasaan wanita di dalam perkhidmatan awam ketika ini tidak harus dipertikaikan kerana ia adalah berdasarkan kepada keupayaan dan merit. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita hanyalah suatu "garis panduan." "Walau apa pun yang berlaku di dalam perjawatan, keputusannya adalah berdasarkan kepada merit. Jikalau wanita itu berkeupayaan dan berdasarkan pada merit, maka dia layak untuk berada di situ. Kita tidak boleh mempertikaikannya," katanya di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi Robotec oleh pelajar-pelajar sekolah di Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar di Pagoh, hari ini. Muhyiddin mengakui bahawa keadaan itu turut berlaku di dalam Kementerian Pelajaran di mana bilangan guru wanita pada ketika ini adalah lebih ramai berbanding bilangan guru-guru lelaki. Menurut beliau, fenomena di mana bilangan wanita memegang jawatan tinggi lebih ramai daripada lelaki bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di seluruh dunia.
"Ia adalah suatu fenomena global," katanya. Muhyiddin berkata, apa yang paling penting adalah bagaimana hendak mengurus perkara itu, sambil menyifatkan wanita adalah aset dan kelebihan kepada negara. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata arah aliran masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Contohnya, beliau berkata, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita. Ahmad Shah berhujah bahawa perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita. - Bernama

TIADA DISKRIMINASI JANTINA DALAM SEKTOR AWAM

Berita Harian
24/2/2010




KANGAR: Kementerian Sumber Manusia menafikan kerajaan mengamalkan diskriminasi jantina sehingga menyebabkan sektor perkhidmatan awam kini mula dikuasai wanita, kata Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam. Sebaliknya, beliau berkata pemilihan wanita untuk mengisi sebarang jawatan dalam kerajaan adalah berdasarkan kelayakan serta potensi dimiliki, terutama soal penilaian akademik. Subramaniam berkata, realiti kini menunjukkan wanita jauh lebih cemerlang dan berpotensi berbanding lelaki, sehingga menyebabkan mereka mempunyai kelebihan untuk dipilih mengisi sebarang jawatan dalam sektor awam.
Malah, katanya, rekod sendiri menunjukkan lebih ramai wanita mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) berbanding lelaki dan kebanyakan mereka juga mencatat keputusan yang cemerlang, baik dalam akademik atau ko-kurikulum. "Justeru, isu diskriminasi tidak timbul kerana kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih terutama memberikan kelebihan kepada mana-mana jantina untuk mengisi sebarang jawatan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan mesin jahit kepada peserta Kelas Jahitan MIC Perlis, di sini, hari ini. Semalam, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd Zin, menyuarakan kebimbangan mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Beliau dilaporkan berkata, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kini diisi oleh wanita yang jelas bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita. Sementara itu, Subramanian berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencarai jalan bagi mengatasi masalah terbabit terutama berhubung kurangnya daya saing pelajar lelaki. "Kita bukan mahu mengehad atau menafikan hak serta peluang wanita untuk mendapat pekerjaan atau pelantikan ke jawatan tinggi, tetapi untuk meningkatkan keupayaan lelaki untuk sama-sama bersaing secara sihat bagi merebut peluang yang ada. "Kita yakin, jika keupayaan mereka dapat dipertingkatkan dari awal iaitu di peringkat sekolah atau IPT, penerimaan terhadap lelaki dalam sektor awam juga dapat ditingkatkan," katanya.

KEMAMPUAN PERKHIDMATAN AWAM LEBIH PENTING DARIPADA JANTINA: NAJIB

Bernama
24/2/2010





SIBU: Datuk Seri Najib Razak, berkata kemampuan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dan memenuhi jangkaan kerajaan dan rakyat lebih penting daripada kebimbangan sesetengah pihak mengenai penguasaan penjawat wanita yang semakin meningkat sekarang. Perdana Menteri berkata, beliau tidak hairan wanita akan menjadi bilangan yang terbesar, daripada segi pengambilan baru ke perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), dalam jangka waktu terdekat, jika arah aliran lebih ramai wanita masuk universiti berterusan. "Soal jantina tidak penting, yang penting sekali ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam," katanya pada sidang media pada akhir lawatan dua hari ke Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, semalam bahawa arah aliran masa kini yang menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan kanan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. Ahmad Shah berkata, perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita. Najib berkata, tentu sekali pemohon wanita lebih ramai kerana puratanya bilangan mereka yang memasuki universiti adalah dalam lingkungan 65 peratus daripada bilangan pelajar selain perlu mempunyai ijazah pertama sekurang-kurangnya untuk menyertai perkhidmatan PTD.
Mengenai cadangan kerajaan pusat untuk membantu membawa kembali jenazah 22 orang askar berasal dari Sarawak yang dikebumikan di Semenanjung untuk disemadikan di negeri ini, beliau berkata, pihak berkenaan sedang menunggu persetujuan daripada keluarga masing-masing. Ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 km dari sini hari ini, beliau berkata, askar-askar berkenaan, yang juga renjer dan peninjau, terkorban ketika mempertahankan negara daripada ancaman komunis dulu. “Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, bersetuju untuk menyedia satu tapak manakala kerajaan sedang mencari peraturan untuk menyemadikan jenazah tersebut,” katanya. Sebelum itu, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua Sibu. - Bernama

SEKTOR AWAM MESTI UTAMA REHAT KAKITANGAN

Berita Harian
24/2/2010





PRESIDEN Cuepacs, Omar Osman dipetik Berita Harian pada 16 Februari lalu sebagai menyatakan bahawa kira-kira 50,000 kakitangan awam bekerja lebih masa di 40 jabatan kerajaan. Juga di laporkan, pekerja ini tidak dibayar elaun lebih masa tetapi diganti dengan cuti rehat. Omar juga mendakwa menerima aduan bahawa pekerja yang enggan melakukan kerja lebih masa diugut ketua jabatan masing-masing, akan dikenakan tatatertib kerana ingkar arahan. Persoalan yang tidak diutarakan di sini ialah mengapa kerja lebih masa diperlukan. Jika kerja itu adalah tugasan luar pejabat seperti tugas penguatkuasaan, maka kerja lebih masa memang diperlukan memandangkan keperluan untuk melaksanakan tanggungjawab itu di luar waktu pejabat atau di luar kawasan.
Tetapi jika tugas lebih masa itu dilakukan di pejabat, maka persoalannya adakah ia perlu dilakukan. Dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), banyak kerja dipermudahkan. Justeru, ada kerja yang dapat disiapkan dalam tempoh singkat. Malah tugas tambahan di luar waktu pejabat tidak diperlukan lagi. Banyak jabatan kerajaan apabila menyediakan sesuatu tugasan menggunakan pendekatan sama dengan mengadakan perbincangan demi perbincangan, mesyuarat, menyediakan kertas dan sebagainya yang menyebabkan pegawai pulang lewat malam. Yang menyedihkan pegawai berkenaan terpaksa pula datang ke pejabat seperti biasa keesokan harinya. Kerana keletihan dan tiada masa untuk berfikir, menyebabkan pegawai terpaksa pulang lewat kerana perlu menyiapkan kerja. Pulang lewat tidak semestinya mereka berfikiran kreatif. Malah sebagai manusia biasa, adalah tidak produktif jika sebahagian utama masa digunakan untuk bekerja tanpa rehat.
Manusia memerlukan rehat cukup. Kerja lebih masa apabila diperlukan saja atau apabila jabatan ingin menyelesaikan sesuatu tugas dengan segera. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa jabatan yang setiap hari meminta pegawainya bekerja sehingga lewat malam adalah jabatan yang tidak produktif. Dalam usaha menyiapkan tugasan secara profesional, jabatan kerajaan perlu mencari idea kreatif dan inovatif supaya masa kerja dapat dipendekkan tetapi menghasilkan produk yang luar biasa. Biarkan pegawai pulang mengikut masa ditetapkan jika tugas mereka selesai. Sekurang-kurangnya mereka akan datang pejabat keesokan harinya dengan lebih bersemangat. Sudah tiba masanya jabatan kerajaan melaksanakan tranformasi menyeluruh dengan memanfaatkan ICT dan kreativiti supaya pelaksanaan tugas menjadi mudah. Jabatan kerajaan juga perlu mencipta teknik baru dalam melaksanakan tugas supaya inovasi dapat terhasil. Bekerja sehingga lewat malam bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan tetapi bekerja dalam jangka masa yang pendek tetapi menghasilkan produk luar biasa, perlu dijadikan budaya.

AHMAD INOVASI,
Kuala Lumpur.

TAMBAH CUTI BERSALIN TAK RUGI FIRMA

Berita Harian
Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
inasalwa@bharian.com.my
24/2/2010





Pindaan Akta Pekerjaan 1955 bolehkan ibu beri penyusuan secara eksklusif KUALA LUMPUR: Menambah bilangan cuti bersalin pekerja swasta dari 60 hari kepada 90 hari dilihat tidak menjejaskan mutu dan prestasi kerja kakitangan wanita sebaliknya ia berupaya meningkatkan produktiviti selain menjadi satu motivasi kepada mereka. Sudah tiba masanya, kerajaan bertindak meminda Akta Pekerjaan 1955 yang diguna pakai sekarang, untuk membolehkan wanita terbabit memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bayi termasuk memberi penyusuan eksklusif, selain memastikan kesihatan ibu benar-benar pulih sebelum memulakan tugas. Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) Faridah Khalid, berkata pihaknya meminta kerajaan menimbang cadangan itu kerana tempoh cuti 60 hari yang diberikan sekarang masih belum mencukupi bukan saja untuk ibu tetapi juga kepada bayi berkenaan.
"Banyak perkara yang perlu difikirkan oleh ibu terbabit selain memberikan tumpuan kepada bayi dengan memberi penyusuan eksklusif untuk tempoh tiga bulan, mereka juga perlu memikirkan soal mendapatkan orang gaji untuk menguruskan bayi berkenaan. "Jadi, sekiranya mereka diberi cuti bersalin sehingga 90 hari, kehidupan mereka akan menjadi lebih teratur serta memberi ruang secukupnya kepada bayi sekali gus selepas tempoh itu berakhir mereka boleh kembali memulakan kerja dengan tenang dan lebih bersemangat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Semalam, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mahu kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin pekerja swasta dari 60 hari ke 90 hari seiring dengan negara anggota Asean yang lain.
Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata kebanyakan negara Asean menerima pindaan Konvensyen 183 Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Perlindungan Bersalin yang bukan saja menetapkan tempoh cuti bersalin lebih panjang tetapi juga peruntukan untuk penyusuan ibu dan penjagaan anak. Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Abim, Fadhlina Sidek, berkata penambahan tempoh cuti bersalin tidak akan menjejaskan mutu kerja dan ini sudah dibuktikan oleh beberapa negara Asean yang memberikan tempoh cuti bersalin lebih lama kepada kakitangannya. "Ibu baru bersalin perlukan rehat secukupnya selepas melalui satu fasa yang agak memenatkan dan mungkin tempoh cuti lebih lama ini juga akan memudahkan mereka menyusukan bayi untuk tempoh yang lebih lama berbanding sekarang hanya dua bulan," katanya. Ahli Majlis Penasihat Wanita Negara, Dr Rokiah Talib berkata, pihaknya melihat cadangan itu suatu yang positif kepada kaum wanita tetapi pada masa sama apa yang membimbangkan adalah keberkesanan proses pelaksanaannya.
"Polisi ini memang bagus tetapi adakah ia akan sama seperti yang dirancangkan. Itu yang kita bimbangkan sekarang ini. Bagi kita, cadangan ini amat bertepatan dengan keperluan semasa di mana ramai wanita berkerjaya dan pada masa yang sama menjadi seorang ibu. "Justeru, dia perlu menguruskan masa antara keluarga dan kerjaya sebaik mungkin. Disebabkan masalah ini ramai di kalangan wanita ini terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan rumah tangga dan mungkin sekiranya mereka terus bekerja tanpa rehat yang cukup produktiviti mereka sebagai pekerja akan menurun," katanya. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, pihaknya pernah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan beberapa tahun lalu berhubung tempoh cuti bersalin 60 hari kepada 90 hari. "Sehingga kini kita masih belum menerima sebarang maklum balas. Bagaimanapun, kita tidak berputus asa dan berharap tahun ini akan memberikan sesuatu yang positif kepada kakitangan awam.

PENGUASAAN WANITA TIDAK MEMBIMBANGKAN

Utusan Malaysia
23/2/2010

SIBU 23 Feb. - Penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam bukan sesuatu yang membimbangkan kerana yang lebih penting adalah memenuhi jangkaan kerajaan dalam memberi khidmat terbaik untuk rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kemasukan pelajar baru ke universiti juga menunjukkan jumlah wanita lebih ramai dan oleh itu tidak menghairankan jika mereka mendominasi perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam jangka waktu terdekat.
''Soal jantina tidak penting, yang penting sekali kemampuan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dan memenuhi jangkaan serta keperluan rakyat," katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan dua hari ke Sarawak hari ini.
Sebelum itu, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina 2010 bersama masyarakat Tionghua Sibu di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Najib diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu mengulas cadangan kerajaan Pusat untuk membantu memindahkan kubur 22 anggota tentera berasal dari Sarawak yang disemadikan di Semenanjung, Najib berkata, ia sedang menunggu persetujuan keluarga terlibat.
''Saya tidak tahu apa peraturannya, sama ada kita perlu mendapat arahan mahkamah dan keluarga yang berkenaan, bagaimanapun kita akan buat selepas ini," jelas Perdana Menteri.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan satu tapak manakala peraturan persemadian sedang dicari.
Ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 kilometer dari sini, beliau berkata, kerajaan Pusat sedia membawa pulang jenazah mereka yang merupakan tentera Iban yang berani menentang komunis.

STU, KESATUAN TERBESAR CUEPACS DI PERCAYAI KRISIS DALAMAM

The Malaysian Insider
24/2/2010
KUALA LUMPUR, Feb 24 — Kesatuan Guru Sarawak (STU), salah satu komponen terbesar dalam Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengambil langkah untuk keluar badan induk kesatuan sektor awam dipercayai ekoran pergeseran dalaman berkaitan dengan soal pemilihan.
Jawatankuasa kerja STU mengambil keputusan untuk keluar Cuepacs bulan lalu susulan usul diluluskan pada persidangan perwakilannya akhir tahun lalu.
Cuepacs dijadual membincangkan keputusan STU dalam mesyuarat khas kongres di sini esok. Keputusan STU keluar merupakan salah satu agenda mesyuarat esok.
STU dilihat sebagai kesatuan besar dalam Cuepacs kerana ia layak menghantar seramai 50 perwakilan ataupun menawarkan 50 undi pada persidangan persidangan kongres itu.
Undi sokongan boleh menentukan kemenangan seseorang calon dalam pemilihan Cuepacs.
Ia salah satu daripada kira-kira 20 kesatuan yang mempunyai 50 perwakilan semasa persidangan tiga tahun sekali Cuepacs.
The Malaysian Insider difahamkan keputusan mengejut STU itu berkaitan dengan rasa tidak puas hati dengan usaha kompromi yang dicapai ketika pemilihan yang diadakan pada Dis 2007.
Cuepacs akan mengadakan pemilihan akhir tahun ini.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Presiden STU William Ghani Bina menafikan pihaknya memutuskan untuk keluar kerana masalah dalaman dengan pucuk kepimpinan Cuepacs.
“Tiada, tiada sebarang masalah... cuma kami mahu memberi tumpuan ke atas usaha pembangunan kesatuan kami dulu,” kata beliau ketika diajukan soalan berulang kali sama ada STU keluar kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Cuepacs semasa.
“Kami masih menganggap Cuepacs badan induk yang baik. Tiada masalah, kami mahu keluar dengan baik dan jika semua berjalan dengan baik, kami mungkin akan kembali kepada Cuepacs... sebab itu kami mahu keluar dengan baik,” kata beliau yang juga Naib Presiden Cuepacs.
Dalam pada itu Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima surat makluman daripada STU untuk keluar minggu lalu.
“Kami akan membincnagkan isu STU esok dan kami akan lihat bagaimana untuk memujuk STU supaya kekal dalam Cuepacs.
“Saya sebagai setiausaha agung akan cuba memujuk mereka supaya mengubah pendirian sebab kami mahu kesatuan dalam pergerakan kesatuan sekerja,” katanya sambil menambah STU merupakan antara kesatan gabungan terbesar Cuepacs.
Lagi pun kata beliau, STU sudah berada dalam Cuepacs lebih satu dekad.
Beliau mengakui ini kali pertama sebuah kesatuan gabungan yang besar macam STU memutuskan untuk keluar Cuepacs.
“Ia tidak berlaku sepanjang satu tempoh yang lama. Jadi kami agak terkejut, tengok dulu apa keputusan mesyuarat khas kongres esok,” katanya.

Guan Eng raps Cuepacs sec-gen for gender bias

The Edge
24/2/2010


GEORGE TOWN: Penang Chief Minister Lim Guan Eng has criticised Cuepacs secretary-general Ahmad Shah Mohd Zin for expressing reservations over the increasing number of women taking up senior positions in the civil service.Lim, who is also the DAP secretary-general, hit out at Ahmad Shah for his statement, which Lim said undermined the capabilities of women who have contributed positively to the civil service."His statement is unacceptable as it is demeaning to women. It is the commitment of the Pakatan Rakyat [PR] to give equal and ample opportunities to women in the civil service," Lim said, expressing the coalition's stand."The Penang state government does not only provide lip service on this but has given ample opportunities for women in Penang to hold senior positions and lead in the civil service."We are the first in the peninsula to appoint a woman to head a local council. Our appointment of architect Patahiyah Ismail to helm the [Penang Island Municipal] Council [MPPP] is based on her capabilities, not based on her race, religion, gender or background," Lim said in a statement.Other women who hold senior positions in the state under the PR government include Rohani Hassan, who serves as the Seberang Perai Selatan district officer, Shamiah Bilal, who is the legal adviser for the MPPP, Dr Judy Shoba Naidu, who heads the urban services department of the council, Maimunah Mohd Sharif, who is the general manager of the World Heritage office and Ooi Geok Ling, who is the managing director of Penang Global Tourism."All of them were appointed by the Pakatan Rakyat government. Considering that women make up more than 65% of the intake in universities, it should not come as a surprise that more women will helm positions in the civil service compared with men."If we use gender discrimination as the basis to not give women senior posts in the civil service, it would not only be a waste of talent but also would greatly cost the nation," he added.Lim reiterated the Penang state government's stand for women to be given equal opportunities to prove their worth and realise their potential. "If they are not given the rightful opportunities [elsewhere] commensurate with their qualifications and abilities, they would be most welcome to come and join us in Penang," he said.

TERIMA HAKIKAT WANITA JUGA HEBAT DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Utusan Malaysia
24/2/2010

SUNGAI PETANI 24 Feb. - Pergerakan Puteri UMNO meminta rakyat negara ini menerima dengan hati terbuka terhadap keupayaan golongan wanita menjalankan tugas dengan baik setanding lelaki dalam sektor perkhidmatan awam.
Naib Ketuanya, Shahanim Mohd. Yusof berkata, peningkatan golongan wanita dalam sektor berkenaan tidak harus dilihat sebagai satu ancaman kerana mereka juga bertanggungjawab membangunkan negara pada masa akan datang.
"Tanggungjawab membangunkan negara tidak harus diletakkan pada sebelah pihak sahaja, sama ada lelaki atau wanita.
"Oleh kerana trend sekarang menunjukkan jumlah wanita mengatasi lelaki dalam perkhidmatan awam, malah mereka juga berjaya membuktikan bahawa mampu menjalankan tugas dengan cemerlang.
"Justeru, tiada sebab kita mempunyai prasangka buruk dan berharap rakyat dapat terima kenyataan ini serta memperakui bahawa wanita pun boleh mencorak kepada agenda pembangunan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Menurut Shahanim, rakyat Malaysia juga harus berbangga kerana mempunyai bilangan penjawat awam wanita ramai.
Ini kerana katanya, keadaan tersebut jauh berbeza daripada negara barat dan negara Islam lain yang mana wanita kurang diberikan peluang.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan pihak-pihak yang terlibat supaya mengadakan program tertentu termasuk motivasi untuk membantu golongan lelaki mencapai kelayakan.
"Mereka boleh memikirkan cara bagaimana membantu menambah penuntut lelaki dalam institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
"Apabila mereka berjaya, mungkin penyertaan gender dalam perkhidmatan awam pada masa datang dapat diseimbangkan," katanya.

LELAKI KENA TERIMA CABARAN KAUM WANITA

Utusan Malaysia
24/2/2010





"TANGAN yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia." Kata-kata hikmah tersebut menggambarkan kehebatan kaum wanita sama ada di rumah dan juga dunia luar.

Kini tangan-tangan yang lemah lembut itu semakin digeruni dan terbaru penguasaan mereka dalam perkhidmatan awam pula menjadi isu.

Bagi memanaskan keadaan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin kelmarin mempertikaikan penguasaan golongan wanita dalam sektor awam yang semakin meningkat.

Sudah tentu pendapat beliau itu ditentang sekeras-kerasnya oleh kaum wanita. Ini kerana isu siapa lebih baik antara wanita dan lelaki merupakan isu yang tidak pernah selesai dibicarakan.

Para pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat ia bukan suatu yang luar biasa memandangkan trend lebih ramai golongan wanita masuk ke universiti sedang berlaku.

Perkara penguasaan wanita itu tersebut tidak harus diperbesarkan kerana pemilihan pegawai dalam sebarang jawatan adalah berdasarkan meritokrasi.

Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia merupakan fenomena global dan seharusnya ia tidak menjadi masalah asalkan mereka berkeupayaan, berkebolehan serta berkelayakan.

Sememangnya kajian menunjukkan yang kaum wanita di seluruh dunia kini semakin menguasai kerjaya-kerjaya penting termasuk menjadi pemimpin nombor satu sesebuah negara yang dahulunya hanya dikuasai oleh golongan lelaki.

Bagaimanapun, kaum lelaki patut cemburu dengan fenomena tersebut kerana kaum wanita kini lebih rajin dan berjaya dalam pendidikan hingga menguasai bilangan di universiti.

Isu kaum wanita terpaksa mengambil cuti panjang selepas bersalin tidak patut timbul. Masalah itu seharusnya ditangani dengan bijaksana oleh mana-mana ketua jabatan seperti mewujudkan sistem penggantian sementara atau memangku jawatan.

Seseorang yang bijaksana tidak seharusnya diketepikan hanya kerana mereka terpaksa mengandung. Mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, agama dan negara.

Kaum lelaki pula seharusnya tidak berasa bimbang dengan penguasaan wanita di tempat kerja kerana trend kaum ibu menjadi sumber pendapatan utama dalam sesebuah keluarga kini sudah semakin lumrah.

Apa salahnya jika kaum wanita sibuk dalam karier mereka untuk membangunkan sesebuah syarikat atau negara, kaum lelaki pula mungkin boleh mula beralih fokus dengan berjinak-jinak dengan ilmu pengurusan keluarga, jika terpaksa.

Pun begitu, elok diperingatkan kepada kaum wanita berkerjaya, jika mereka sudah berada di atas, jangan meninggi diri kerana Adam dan Hawa dilahirkan untuk saling lengkap melengkapi.

Wanita perlu ingat ungkapan kata-kata ini bahawa mereka dilahirkan daripada seorang lelaki. Tetapi mereka bukannya diambil daripada bahagian kepala (untuk berada lebih tinggi daripadanya) dan bukan juga daripada bahagian kaki (untuk dipijak).

Tetapi mereka dilahirkan daripada bahagian sisinya (untuk berkongsi keadilan), di bawah lengannya (untuk dilindungi) dan berhampiran jantungnya (kerana hendak disayangi).

PELANTIKAN SEIRING PERKEMBANGSAN KERJAYA

Berita Harian
24/2/2010




KUALA LUMPUR: Beberapa ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan berpendapat pemilihan kakitangan dan pegawai awam berasaskan meritokrasi adalah wajar untuk memastikan hanya yang terbaik menyertai perkhidmatan kerajaan. Sambil menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs mengenai wanita dalam sektor awam sebagai tidak kena tempat dan pandangan individu berfikiran sempit, mereka berharap isu itu juga menjadi pendorong untuk lelaki. Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata pelantikan wanita sebagai pembuat dasar adalah seiring perkembangan kerjayanya, bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan.
“Oleh itu, saya tidak setuju langsung dengan kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs itu. “Pemilihan wanita untuk mengisi jawatan tertentu seharusnya dilihat secara positif, terutama jika merit menjadi asas utama, selain kemahiran dalam menjalankan tugas,” katanya. Aminah berkata, jika berkahwin, mengandung dan dalam pantang untuk tempoh lama dijadikan alasan sebagai punca yang boleh menjejaskan sistem penyampaian awam, ia adalah pandangan yang sempit.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid pula berpendapat pemilihan seseorang penjawat awam untuk mengisi jawatan penting perlu bergantung kepada kebolehan dan kelayakan, bukannya gender. “Jika wanita yang layak tentu dia akan dipilih, begitu juga lelaki,” katanya. Beliau berkata, sewajarnya penggunaan sistem komputer untuk memilih penjawat awam diteruskan kerana ia tidak akan memihak kepada mana-mana pihak. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berpendapat kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs itu sebagai komen individu yang berfikiran sempit.
“Saya sebagai individu tidak menyokong langsung pandangan atau kebimbangan seperti ini kerana wanita lebih telus, berdedikasi dan sanggup menempuh cabaran,” katanya. Abdul Aziz berkata, dalam dunia kini, bukan kekuatan fizikal yang diambil kira, sebaliknya kuasa pemikiran. Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan, berkata situasi ketika ini di mana wanita lebih ramai di institusi pengajian tinggi dan perkhidmatan awam tidak menimbulkan masalah kerana sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar belum tercapai.

23 Februari 2010

KECEKAPAN WANITA LAKSANA TUGAS JADI KRITERIA UTAMA

Utusan Malaysia
23/2/2010

PUTRAJAYA 23 Feb. - Rata-rata kakitangan kerajaan berpendapat peningkatan jumlah golongan wanita dalam sektor awam bukan menjadi satu masalah yang perlu dibimbangi.
Sebaliknya bagi mereka, kecekapan dan keupayaan menjalankan tugas adalah kriteria utama yang perlu dititik beratkan pada seseorang pekerja tanpa mengira lelaki atau perempuan.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati perkara tersebut merupakan faktor penting untuk menilai tahap prestasi seseorang pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Seorang kakitangan awam, Muhaizatul Akmar, 29, berkata, hasil kerja yang diberikan oleh seseorang kakitangan awam perlu berkualiti selain dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
''Ini kerana lelaki dan perempuan, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan dan ia suatu perkara yang tidak boleh dipertikaikan.
''Apa yang penting kita perlu fokus dan komited kepada tugas yang telah diberikan dan menjalankannya dengan penuh tanggungjawab," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semalam yang melahirkan kebimbangan terhadap penguasaan golongan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat.
Beliau dipetik sebagai berkata, trend sekarang menunjukkan lebih ramai wanita dilantik memegang jawatan membuat keputusan dan bakal mempunyai implikasi jangka panjang untuk kemajuan dan pertumbuhan negara.
Muzammil Ishak, 25, turut mengakui tentang 'kebanjiran' kakitangan wanita dalam sektor awam terutamanya di peringkat jawatan tinggi.
Katanya, keadaan itu adalah disebabkan keupayaan dan kebolehan kaum hawa untuk melepasi sistem merit bagi jawatan tersebut berbanding kaum lelaki.
''Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan kepada jumlah kakitangan awam.
''Justeru, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlaku nisbah perbezaan yang serius antara lelaki dan wanita pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Dzulkifli Junid, 33, pula berkata, jumlah kakitangan awam di kalangan wanita lebih ramai terutama bagi jawatan profesional disebabkan pencapaian akademik mereka.
Katanya, keadaan tersebut sedikit sebanyak memberikan kesan kepada persekitaran perkhidmatan awam khususnya kerana wanita yang mendominasi kepimpinan peringkat tertinggi dan bukannya lelaki.
''Tetapi kita tidak boleh menyalahkan wanita kerana jumlah mereka juga yang paling banyak menguasai penempatan di institusi pengajian tinggi di seluruh negara berbanding lelaki," katanya.
Norhayati Ahmad, 35, pula berkata, keadaan sektor awam sekarang ternyata berbeza apabila kaum wanita sudah berupaya melakukan pelbagai tugas yang dahulunya dikuasai oleh kaum lelaki sahaja.
''Tempat saya bekerja sekarang pun dipenuhi wanita dan kami menjalankan tugas pentadbiran.
''Kami sebagai kakitangan awam wanita juga akan melakukan tugas di luar pejabat apabila diperlukan disebabkan tiada pekerja lelaki," katanya.

PENGUASAAN WANITA SENARIO GLOBAL-TPM

Utusan Malaysia
23/2/2010



MUAR 23 Feb. - Senario penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam tidak sepatutnya dianggap sebagai satu liabiliti kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya menurut beliau, keadaan itu boleh menjadi satu aset kepada negara sekiranya diurus sebaik mungkin.
Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak bimbang dengan keadaan tersebut yang disifatkannya sebagai senario global.
"Kita harus berpandangan terbuka dan tidak menganggap ia sebagai satu liabiliti. Ia mungkin satu aset dan kalau ada kekurangan, kita kena cari jalan untuk menguruskannya.
"Apa pun yang berlaku dalam perkhidmatan awam, ia dibuat atas dasar merit yang ada. Kita tak boleh mempertikaikan kerana pengambilan dan kenaikan pangkat berdasarkan merit dan kelayakan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi robotik oleh pelajar sekolah menengah Parlimen Pagoh di Dewan Seri Pekembar dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan golongan wanita dalam sektor awam.
Ahmad Shah menyifatkan keadaan itu sebagai bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada golongan wanita.
Beliau melahirkan kebimbangan bahawa trend itu akan memberi implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar 30 peratus itu adalah sebagai panduan kepada kerajaan.
Misalnya kata Muhyiddin, di Kementerian Pelajaran yang diketuainya turut mengalami senario sama apabila lebih ramai golongan wanita menyertai profesion tersebut berbanding lelaki.
Beliau turut mengakui 'kebangkitan' golongan wanita yang kini semakin ramai memegang jawatan penting sama ada di sektor kerajaan atau swasta, namun ia tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.
Timbalan Perdana Menteri berharap tiada pihak membuat tuduhan dan sangkaan tidak tepat mengenai perkara itu kerana golongan wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

CUEPACS: REVIEW GRATUITY POLICY FOR SACKED CIVIL SERVANTS

The Star
23/2/2010

A: Cuepacs wants the Government to review its policy of non-payment of gratuity for sacked civil servants.
It also wants the policy on partial payment of gratuity for those who opted for early retirement to be reversed.
Its president Omar Osman said the two policies must be reviewed as they were unfair to civil servants.
He said civil servants who were sacked for disciplinary problems should be paid the gratuity as their offences were not criminal in nature.
Under the current policy, sacked civil servants, irrespective of the reasons for their sacking, are not paid any gratuity nor pension.
“Those who are sacked because of disciplinary problem should get their gratuity but civil servants who are dismissed for taking bribes and corruption should be denied such payment,” he told The Star.
However, Omar said Cuepacs would not request that pension be paid to those who were sacked, adding in 2008, about 400 people civil servants were sacked for committing various offences.
He said full gratuity should also be paid to those who opted to retire early.
Omar said the recently announced policy of partial payment had caused much unhappiness.
He said the Government should either reverse the policy or pay 50% of the gratuity in one lump sum.
He said Cuepacs’ request on the matter was forwarded to Chief Secretary to the Government Tan Sri Mohd Sidek Hassan yesterday.
On Feb 1, the Public Service De­­partment issued a circular stating that civil servants who retire early will be paid only 20% of their gratuity or RM10,000, whichever is higher.
The remaining amount would be paid on a date to be determined by the Government, not later than the mandatory retirement of the civil servant but the retiree will, however, receive full payment in lieu of annual paid leave and monthly pension on opting out.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Utusan Malaysia
23/2/2010




Sebelum ini banyak pihak yang mewakili golongan wanita mahukan sektor awam dan para majikan swasta meningkatkan pengambilan pekerja wanita termasuk bagi jawatan pada peringkat yang membolehkan mereka membuat keputusan. Kerajaan sendiri mahu meningkatkan penglibatan wanita kepada tahap 30 peratus bagi jawatan seumpama itu.
Kini Cuepacs meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat terutama yang menjawat jawatan sebagai pembuat keputusan.
Ia memberi contoh hampir tiga perempat daripada jawatan baru perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik disandang oleh wanita.
Setahu Awang, bilangan guru wanita juga jauh lebih ramai daripada guru lelaki.
Bagi Awang sama ada pekerja lelaki atau wanita ia bukanlah masalah besar asalkan pekerja terbabit mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Namun keseimbangan gender dalam apa juga bidang perlu diambil kira dan jangan sampai satu masa kelak, masalah timbul apabila peratusan pekerja lelaki amat rendah berbanding dengan pekerja wanita terutama bagi jawatan-jawatan yang melibatkan penentuan keputusan.
Awang – Hormat pekerja gigih.

CUEPACS TAK PERLU BIMBANG PELUANG WANITA -ROSNAH

Utusan Malaysia
22/2/2010




PUTRAJAYA 22 Feb. - Pertambahan penjawat awam wanita dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan kebolehan serta keupayaan wanita itu sendiri.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, justeru tidak timbul soal kebimbangan terhadap penguasaan wanita dalam sektor tersebut kerana ia tidak memberi kesan jangka panjang kepada kemajuan dan pembangunan negara.
''Puteri UMNO kesal kerana penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semestinya berasaskan merit dan kelebihan yang dimiliki dilihat mempunyai implikasi jangka panjang dalam pembangunan negara.
''Ini kerana dalam banyak bidang pun wanita ternyata mempunyai kebolehan serta kelulusan akademik yang lebih baik daripada lelaki tetapi mereka tidak mendapat tempat di peringkat pembuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Rosnah berkata, kebimbangan tersebut tidak berasas dan bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan oleh kerajaan sekali gus menafikan keupayaan dan kebolehan wanita itu sendiri.
''Ternyata kebimbangan itu tidak berasas sama sekali dan menunjukkan kecetekan fikiran pemimpin pertubuhan itu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur pandangan tidak adil terhadap wanita," katanya.
Rosnah menambah, CUEPACS sepatutnya mengkaji faktor kekurangan kaum lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutama dari sudut jumlah penuntut wanita di institut pengajian tinggi yang sentiasa melebihi lelaki.
''Kenyataan bahawa dasar kerajaan sekarang hanya memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita juga dinilai secara tidak tepat.
''Penetapan itu hanya melibatkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran yang sehingga kini belum tercapai dan tidak terpakai kepada taraf selainnya termasuk sebagai Pegawai Tinggi Diplomat (PTD) yang baru," katanya.
Sehubungan itu, Rosnah berkata, Pergerakan Puteri UMNO mahu Setiausaha Agung CUEPACS memikirkan semula kenyataan beliau yang ternyata tidak mengambil kira sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara semata-mata tidak boleh menerima hakikat jumlah wanita berkebolehan wanita melebihi lelaki.
''Dalam apa bidang sekali pun, penglibatan wanita adalah berasaskan merit dan ia sepatutnya seimbang dengan penyertaan kaum lelaki," katanya.