SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

31 Mac 2010

GAJI MINIMUM MESTI BERSASAKAN PRODUKTIVITI, KATA AMIRSHAM

Bernama
31/3/2010




KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Gaji minimum pekerja wajar berasaskan produktiviti bagi memastikan industri tidak hilang kelebihan saingan.Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata kerajaan perlu bertindak secara bijak sebelum memutuskan gaji minimum bagi memastikan pertumbuhan industri tidak terjejas."Kerajaan perlu bertindak dengan bijak. Adakah mereka akan menetapkan gaji minimum tanpa mengira produktiviti? Saya percaya kerajaan tidak akan melakukannya, mereka mungkin membunuh industri," katanya pada taklimat media di sini Rabu.Amirsham mengulas gesaan beberapa pihak, termasuk CUEPACS, yang menggesa kerajaan menetapkan gaji minumum, dan menjelaskan mengapa gaji minimum tidak dimasukkan dalam Model Ekonomi Baru (MEB)."Jika gaji minimum diputuskan tanpa sumbangan produktiviti, ia boleh menyebabkan bencana bagi ramai majikan, dan anda mungkin hilang saingan," katanya.Menerusi MEB, NEAC mencadangkan penubuhan Dana Transformasi untuk meningkatkan produktiviti pekerja. Dana itu boleh digunakan untuk membantu syarikat meningkatkan produktiviti pekerja. Dana itu boleh digunakan untuk membantu syarikat meningkatkan kemahiran pekerja yang seterusnya boleh menyumbang kepada peningkatan gaji."Walaupun cadangan itu mungkin tidak selari dengan kerajaan, namun dalam kes ini, kami berkata demikian kerana jika ada gaji minimum, ia perlu berasaskan produktiviti," katanya.Mengulas mengenai penyertaan Bumiputera, Amirsham berkata MEB akan meningkatkan lagi kapasiti usahawan dan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum sepanjang pelaksanaannya.Beliau berkata MPEN akan mengkaji pendekatan terbaik yang boleh menyokong bidang ekonomi utama yang disasarkan dalam MEB."Dalam MEB, tidak ada kuota pemilikan, namun apa yang kami mahu lihat ialah kapasiti perniagaan Bumiputera disokong supaya mereka boleh menjalankan perniagaan yang lebih baik."Sebagai contoh, pembiayaan dan akses Internet adalah antara bidang yang perlu ditingkatkan supaya mereka dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih baik dan operasi yang lebih cepat," kata Amirsham.-- BERNAMA

BUKA LEBIH BANYAK PELUANG ICT

Bernama
31/03/2010

KUALA LUMPUR 31 Mac - Model Ekonomi Baru (MEB) akan membawa lebih banyak peluang bagi industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan memperbaiki kelemahan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) berkata objektif pendapatan tinggi di bawah MEB mestilah dihasilkan daripada aktiviti-aktiviti nilai tinggi dan ini hanya akan dapat dicapai menerusi peningkatan produktiviti, tahap perkhidmatan dan inovasi.
Kesemua ini memerlukan penggerak utama seperti ICT. "Kami melihat tolakan peningkatan untuk penggunaan ICT dalam semua urusniaga, kerajaan dan rakyat yang akan membawa aktiviti-aktiviti nilai tinggi," menurut PIKOM dalam satu kenyataan mengenai MEB yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Pikom berkata usaha-usaha mesti dilakukan untuk merapatkan jurang digital dan mendekatkan penggunaan ICT di kalangan golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik dalam masyarakat.
MEB akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mapan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan hendaklah menimbangkan untuk memperkenalkan dasar gaji minimum.
"Ini untuk memastikan gaji yang adil dan berpatutan dibayar kepada pelbagai sektor ekonomi dengan potensi pertumbuhan sejajar dengan aspirasi MEB bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dengan rakyat menikmati kualiti kehidupan yang baik," katanya.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula skim dalam perkhidmatan awam supaya matlamat untuk membangunkan tenaga kerja berkualiti akan terlaksana.
"Tenaga mahir keluar daripada sektor awam disebabkan gaji. Skim perkhidmatan dalam sektor awam yang mempunyai kemahiran... bergaji rendah. Itu sebab mereka pergi ke luar negara, swasta atau agensi yang menawarkan pendapatan lebih baik," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata gaji, insentif dan kadar elaun adalah antara perkara yang perlu dikaji semula untuk mengekalkan khidmat penjawat awam dalam perkhidmatan masing-masing di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk A. Chandrakumanan berkata langkah untuk meningkatkan kemahiran pekerja tempatan dana pada masa sama mengurangkan pengambilan pekerja asinga adalah baik.
"Jika kita berjaya mengurangkan pengambilan pekerja asing, ia akan dapat mengurangkan pengangguran," katanya.
Beliau berkata PPP menyambut baik pendekatan MEB yang tidak menjadikan kaum sebagai kriteria utama pelaksanaan dan tiada siapa akan terpinggir. - BERNAMA

29 Mac 2010

'SYARAT BERSARA PILIHAN TAK ADIL'

Berita Harian
Oleh Shaarani
1Ismailshaarani@bharian.com.my
2010/03/28






Cuepacs mahu bincang semula peraturan dengan JPA pada 5 April: OmarKUALA LUMPUR: Cuepacs akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 5 April ini bagi membincangkan semula syarat baru bersara pilihan yang kini diperketatkan dan disifatkannya tidak adil kepada kakitangan awam.
Presidennya, Omar Osman, berkata hasil maklum balas diterima pihaknya selepas pekeliling mengenai syarat baru itu diedar bulan lalu, menunjukkan lebih 90 peratus kakitangan perkhidmatan awam, termasuk kalangan Pengurusan dan Profesional tidak bersetuju dengan syarat itu. “Setiap kakitangan perkhidmatan awam yang memohon bersara pilihan mempunyai sebab tersendiri dan gratuiti yang sepatutnya mereka peroleh dan diganti dengan sagu hati sebanyak 20 peratus ganjaran atau RM10,000 atau mana lebih tinggi itu sememangnya tidak dapat diterima.“Setiap kakitangan perkhidmatan awam memohon bersara pilihan dan menerima ganjaran penuh seperti sebelum ini mempunyai perancangan mereka sendiri seperti menggunakannya untuk melunaskan hutang, menampung kos perubatan dan kesihatan dan sebagainya. “Bagaimanapun, ini mungkin akan terjejas disebabkan pelaksanaan syarat baru itu,” katanya ketika dihubungi semalam.Akhbar semalam melaporkan JPA mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran sekali gus seperti sebelum ini. Omar berkata, Cuepacs akan memohon JPA mencari mekanisma lebih adil dan memberikan situasi menang-menang kerana syarat baru yang diperkenalkan itu tidak dipersetujui majoriti kakitangan awam.“Saya juga sudah berjumpa dengan Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini bagi menyuarakan kebimbangan selepas syarat baru bersara pilihan diperkenalkan selepas mendapat maklum balas negatif pelaksanaannya daripada banyak pihak. “Apa yang diharapkan melalui perbincangan itu nanti satu mekanisme baru atau syarat baru yang mula berkuat kuasa sejak Februari lalu dikaji dan diteliti semula kerana pasti ada mekanisme lain yang boleh digunakan dalam menangani perkara itu,” katanya.Omar berkata, Cuepacs juga menjangkakan syarat baru yang diperkenalkan itu juga akan memberikan kesan kepada kenaikan pangkat di kalangan pegawai lebih rendah kerana pergerakan jawatan yang perlahan disebabkan syarat ketat permohonan untuk bersara pilihan.

SYARAT BARU BERSARA PILIHAN

Berita harian
28/3/2010
Datuk Yeow Chin Kiong

JPA perketat permohonan berikutan kedudukan kewangan semasa, elak kekurangan pegawai terlatihPUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran, sekali gus seperti sebelum ini. Katanya, baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.Namun, Yeow berkata, kelonggaran kakitangan menerima ganjaran penuh ketika bersara pilihan hanya diberikan bagi kes khusus, iaitu membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan kakitangan memerlukan wang untuk mengelakkan daripada tindakan bankrap yang semuanya memerlukan bukti bertulis.Beliau berkata, kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.Yeow berkata, JPA perlu meminimumkan jumlah kakitangan bersara pilihan demi kepentingan jentera pentadbiran berikutan inisiatif GTP yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan jabatan kehilangan tenaga kerja berpengalaman. "Waktu ini adalah era perkhidmatan awam yang penuh cabaran dan kerajaan sedang melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skim perkhidmatan awam untuk menangani keadaan semasa," katanya kepada Berita Harian.Beliau berkata, kerajaan membayar RM1.1 bilion setahun ganjaran kepada kakitangan yang bersara pilihan dan pencen wajib, tetapi dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini apabila kumpulan pertama yang usia bersara wajib dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun bersara mulai 1 Julai ini.Yeow juga menjelaskan bersara pilihan adalah keistimewaan yang dipertimbangkan bagi kakitangan sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan dan keadaan kewangan negara.Beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Februari tahun ini hingga Khamis lalu, JPA menerima 426 permohonan bersara pilihan dan 200 daripadanya diluluskan dengan bayaran ganjaran 20 peratus yang membabitkan penangguhan bayaran sebanyak RM11.5 juta.Sebanyak 121 permohonan lagi diluluskan dengan pembayaran ganjaran penuh, manakala 105 menarik balik permohonan yang membabitkan penangguhan bayaran ganjaran RM9.3 juta. Pada masa ini, ada 1,253,026 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera dalam perkhidmatan awam. Tahun lalu, 3,553 kakitangan awam bersara pilihan, 2,991 pada 2008, 3,331 pada 2007, 3,306 pada 2006 dan 3,033 pada 2005. Selain itu, kira-kira 15,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun.Sementara itu, dalam surat edaran JPA bertarikh 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata baki ganjaran 80 peratus akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui umur persaraan wajib kakitangan terbabit.Bagaimanapun, wang untuk gantian cuti rehat dan pencen bulanan akan dibayar mengikut undang-undang

GILIRAN ASKAR PULA NAIK GAJI

Berita Harian
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/03/28

Kementerian Pertahanan kemuka rayuan kepada Perdana Menteri

PORT DICKSON: Semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang menikmati kenaikan gaji selepas Kementerian Pertahanan membuat rayuan pelarasan gaji baru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenaikan gaji pegawai dan anggota polis yang berkuat kuasa 1 Januari lalu menjadi penanda aras untuk ATM memohon kenaikan sama. “Kenaikan gaji yang dinikmati polis akan memudahkan kita memohon perkara sama dalam masa terdekat. “Kita akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri untuk pelarasan gaji baru, malah sebelum ini ketika Perdana Menteri jadi Menteri Pertahanan pun, permohonan untuk kenaikan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya. Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kerjaya, Pendidikan dan Inovasi Mindef (Kementerian Pertahanan) di Dataran Teluk Kemang, di sini semalam, beliau berkata, tidak menjadi masalah bagi pihaknya jika pelarasan gaji baru itu mengambil masa lama untuk dilaksanakan. Ini kerana, katanya, pegawai dan anggota tentera tetap berpeluang untuk mendapat tunggakan apabila pengumuman mengenainya dibuat. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai nahas pesawat Pilatus PC-7 MK II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di sebuah kawasan hutan simpan di Sintok, Khamis lalu. “Lembaga Siasatan Khas sedang mencari punca nahas dan sudah mengambil keterangan saksi kejadian. Kita juga akan bawa bangkai pesawat ke bengkel TUDM untuk siasatan dari aspek teknikal termasuk jika ia mengalami gangguan sebelum terhempas. “Jika berdasarkan rekod, kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kesilapan manusia, namun saya tidak mahu membuat kesimpulan awal dan biarlah siasatan selesai sebelum kita tahu puncanya,” katanya. Beliau berkata, TUDM tidak akan menghentikan operasi pesawat jenis itu buat masa ini kerana tahap kebolehpercayaan tinggi pesawat terbabit dalam menjalani latihan.

26 Mac 2010

PENGIKTIRAFAN TERHADAP POLIS

Utusan Malaysia
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR dan TAN MING WAI
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak menyempurnakan upacara pelancaran Pelan Integriti PDRM sambil diperhatikan oleh Hishammuddin Tun Hussein dan Musa Hassan sewaktu sambutan ulang tahun Hari Polis ke-203 di Pulapol, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 25 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian elaun bulanan sebanyak RM200 kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas-tugas am di seluruh negara, berkuatkuasa serta merta.
Imbuhan sempena ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 yang disambut hari ini itu melibatkan peruntukan sebanyak RM84 juta setahun kepada lebih 33,000 anggota lain-lain pangkat.
Anggota tugas-tugas am adalah mereka yang menjalankan pelbagai jenis tugas di ibu pejabat polis daerah, balai dan pondok polis di seluruh negara.
Antara tugasan mereka ialah berurusan dengan orang ramai di kaunter pertanyaan, menjaga lokap, mengadakan sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bertugas dan mengawasi sesuatu acara di kawasan mereka.
Perdana Menteri pada masa yang sama turut mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meminda Pekeliling Perkhidmatan 2009 sekali gus membolehkan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan atau time-based terhadap seramai 52,000 anggota PDRM pangkat konstabel, lans koperal dan koperal.
“Berikutan pindaan ini, mereka yang berpangkat konstabel akan dinaikkan pangkat sebagai lans koperal selepas tiga tahun berkhidmat, manakala kenaikan pangkat lans koperal ke koperal selepas lima tahun.
“Selain itu, balai-balai polis yang cemerlang dan terbaik akan diberi penghargaan khas berdasarkan pencapaian dan prestasi baik yang ditunjukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kedua-dua timbalan beliau, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, timbalannya, Tan Sri Ismail Omar serta pegawai-pegawai atasan PDRM.
Pengumuman Perdana Menteri ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan untuk semua anggota PDRM berpangkat konstabel hingga koperal yang turut melaksanakan tugas mereka mengawal keselamatan negara.
Hishammuddin pada 20 Mac lalu memberitahu, Perdana Menteri akan mengumumkan penyelarasan gaji anggota lain-lain pangkat sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis kali ini.
Sebelum ini, pada awal Februari lalu, kerajaan mengumumkan skim gaji dan elaun baru anggota polis berpangkat sarjan ke atas.
Sementara itu, menurut Najib, kerajaan memberi jaminan akan terus menyokong PDRM dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan misi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.
“Apabila usaha menurunkan kadar jenayah menjadi misi nasional, ia adalah agenda kerajaan termasuk polis, menteri dan saya selaku Perdana Menteri turut bertanggungjawab memastikan ia berjaya.
“Jika usaha ini gagal, saya akan turut menanggung bebannya. Namun, janganlah jadikan kegagalan itu sebagai satu pilihan kerana sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia perlu berjuang untuk menjayakan usaha ini,” tegas Perdana Menteri.
Beliau pada masa yang sama turut melahirkan rasa bangga apabila PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 13 peratus di seluruh negara sepanjang Januari dan Februari ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Malah, kata Najib, kerajaan yakin PDRM akan membantu menurunkan kadar jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu keseluruhan sebanyak 5 peratus dan kadar jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010.
Menurut Perdana Menteri, cabaran yang dihadapi oleh PDRM kini semakin besar kerana perubahan persekitaran dan jangkaan rakyat selain arus permodenan.
Namun, bagi beliau, jika setiap anggota dan pegawai PDRM mengamalkan tiga nilai utama iaitu kesetiaan berdasarkan Perlembagaan, integriti serta keberkesanan dan keberhasilan, cabaran itu akan mudah dicapai, khususnya dalam mengurangkan jenayah dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan ini.

21 Mac 2010

KAJI SEMULA JAWATAN PEMBANTU MAKMAL SAINS DI SABAH

Bernama
21/3/2010

SANDAKAN, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah diminta mengkaji semula jawatan pembantu makmal sains yang dilihat tidak dinaik taraf untuk memenuhi keperluan dan status sekolah di negeri ini.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman berkata langkah itu penting berikutan jawatan pembantu makmal sains yang sedia ada dilihat tidak setaraf dengan sekolah-sekolah di negeri ini yang kebanyakannya telah dinaikkan taraf kepada sekolah cemerlang atau sekolah bestari.

Katanya daripada 500 pembantu makmal sains di seluruh negeri ini, hanya tiga orang sahaja memegang gred C22 dan selebihnya masih gred C17."Ini dilihat jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung dengan lebih 30 orang menyandang gred C26," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Kesatuan Pembantu Makmal Sains (KPMS) Negeri Sabah di sini Jumaat.Omar berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri bagi mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya.Beliau berkata masalah lain yang dihadapi oleh pembantu makmal sains di negeri ini adalah mereka yang masih dalam status sementara atau kontrak biarpun telah berkhidmat lebih 20 tahun.Katanya adalah wajar jika golongan itu diserap kepada jawatan tetap berdasarkan prestasi mereka yang cemerlang selama ini.-- BERNAMA

20 Mac 2010

JPA SEDIA SYARAT PENGECUALIAN POTONGAN PAMPASAN PESARA

Berita Harian
2010/03/19





JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat Bakal Pesara Hampa pada 3 Mac lalu bertajuk ‘Pesara Bantah Potong Pampasan’.Persaraan pilihan ialah keistimewaan yang boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.
‘Pampasan’ yang dimaksudkan Bakal Pesara Hampa ialah ganjaran yang hanya dibayar 20 peratus atau RM10,000 mengikut mana yang lebih ketika bersara. Baki dibayar pada tarikh ditetapkan kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib mengikut syarat perlantikan atau opsyen umur persaraan wajib. Peraturan ini hanya bagi persaraan pilihan yang berkuat kuasa selepas 1 Februari lalu. Namun, surat edaran JPA ‘Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Persaraan Pilihan’ pada 25 Januari lalu jelas menyatakan ada kelonggaran atas sebab seperti:Rawatan perubatan diperlukan anggota atau keluarga. (Berasaskan surat akuan bertulis oleh penjawat perubatan kerajaan);Perbelanjaan pendidikan bagi anggota atau keluarga. (Berasaskan surat tawaran pengajian dan surat penerimaan pengajian dari institusi pendidikan); dan Memerlukan kewangan bagi mengelak tindakan kebankrapan. (Berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).Jika bakal pesara ada sebab selain di atas, pengecualian boleh dimohon daripada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA dengan mengemukakan bukti bertulis untuk pertimbangan JPA.Berkenaan potongan pinjaman perumahan, ia tertakluk kepada arahan Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia. Rayuan untuk mengurangkan potongan boleh diajukan kepada bahagian terbabit.

Untuk maklumat rujuk
http://www.jpapencen.gov.my

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, JPA.

19 Mac 2010

KETUA JABATAN UGUT KAKITANGAN AKTIF CUEPACS

Utusan Malaysia
Oleh: ANGELINA SINYANG
19/3/2010



IPOH 18 Mac – Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman mendedahkan ada ketua jabatan kerajaan mengugut kakitangan mereka yang aktif dalam kesatuan sekerja supaya meletakkan jawatan jika mahu terus menikmati faedah di tempat kerja.

Beliau memberitahu, bentuk ugutan itu termasuk memberi tekanan kepada pegawai terbabit dengan penilaian prestasi kerja yang tidak baik sehingga menghalang mereka daripada dinaikkan pangkat.

Lebih teruk, katanya, apabila terdapat pemimpin Cuepacs terpaksa meletakkan jawatan kerana ditekan secara halus oleh ketua masing-masing.

Menurutnya, tekanan itu datang dalam bentuk tidak menjemput mereka menyertai mana-mana aktiviti yang dijalankan oleh jabatan dan pegawai itu tidak dilayan apabila membuat sebarang permohonan berkaitan tugasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-38 Kesatuan Pekerja Rendah Awam Cawangan Ipoh di Dewan Jabatan Kerja Raya Mekanikal, Jalan Lahat di sini hari ini.

Omar berkata, terdapat juga ketua jabatan yang bertindak melampau dengan menganggap pemimpin Cuepacs sebagai pengacau apabila mereka aktif memperjuangkan hak pekerja bawahan.

‘‘Kita minta semua ketua jabatan kerajaan menghormati pemimpin kesatuan sekerja kerana mereka bukannya pengacau. sebaliknya mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk melahirkan pekerja cemerlang’,” katanya.

Menurut Omar, pihaknya tidak teragak-agak menghantar laporan mengenai perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan jika masalah tersebut menjadi semakin serius.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, Ceupacs mahu kerajaan memansuhkan terus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang diamalkan sekarang dalam menentukan kenaikan pangkat kakitangan awam khususnya yang melibatkan pekerja rendah awam.

‘‘Prosedur mewajibkan kakitangan kerajaan khususnya pekerja rendah awam lulus PTK terlebih dahulu sebelum dinaikkan pangkat dilihat tidak lagi sesuai diamalkan kerana ia tidak adil.

‘‘Ini kerana ada pekerja yang baru dua tahun bekerja dinaikkan pangkat jika lulus PTK manakala mereka yang bekerja lebih 20 tahun kekal di jawatan lama semata-mata kerana gagal ujian tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendesak pekerja rendah awam yang belum menyertai Cuepacs supaya mendaftar segera agar mereka boleh bersama-sama memperjuangkan hak sebagai pekerja.

Katanya, terdapat 800,000 pekerja rendah awam layak menyertai Cuepacs tetapi hanya 45 peratus mendaftar dalam kesatuan itu setakat ini.

Mengenai isu semakan gaji pekerja perkhidmatan awam, Omar berkata, keputusan berhubung tuntutan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 Mei depan iaitu sempena sambutan Hari Pekerja.

KAJI PUNCA PENJAWAT AWAM RASUAH

Berita Harian
2010/03/18




KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam menggesa kerajaan menjalankan satu kajian bagi mencari punca penjawat awam, terutama mereka yang berada dalam kumpulan sokongan, terbabit dalam rasuah. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata, pemerhatian Cuepacs sejak beberapa tahun lalu mendapati skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi mungkin menjadi antara faktor penjawat awam terbabit rasuah.
Beliau berkata, mungkin banyak lagi faktor lain menyebabkan berlaku rasuah dalam perkhidmatan awam dan penting bagi kerajaan mencari punca sebenar gejala ini dan mengambil langkah mengatasinya dengan segera. "Cuepacs tidak pernah menyokong amalan rasuah dan sentiasa menasihatkan penjawat awam supaya melaporkan kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya mereka ditawar dengan rasuah," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaafar, bahawa penjawat awam adalah kumpulan tertinggi yang terbabit dengan rasuah pada tahun lalu. Daripada 191 penjawat awam yang disyaki terbabit, 160 daripadanya adalah daripada kumpulan sokongan. Ahmad Shah berkata, pemerhatian mendapati skala gaji penjawat awam, terutama dalam kumpulan "petugas penguatkuasaan" dalam negara amat rendah berbanding negara lain. Beliau memberi contoh, seorang konstabel di Taiwan dibayar gaji RM14,000 sebulan, berbanding RM800 hingga RM1,200 di Malaysia. – Bernama

17 Mac 2010

AMALKAN LAPAN TONGGAK PERDANA BAGI TRANFORMASI NEGARA

Bernama
17/3/2010
Oleh Normalazwa Jamaludin & Elimi Rizal





PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela.Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana yang melibatkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap di dalam pentadbirannya.Empat tiang utama itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) manakala empat nilai asas pelengkap ialah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti.Lapan tonggak itu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ialah sebagai panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya, semasa Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa lalu.Beliau memilih persidangan itu sebagai platform menjelas dan menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor awam untuk melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan.Gagasan 1Malaysia adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat itu adalah perpaduan nasional."Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia sejak dulu lagi. Sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong."Terbukti tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya," kata Perdana Menteri.Tranformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudahcara.Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10, merupakan dua insiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek.Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap itu saling melengkapi antara satu sama lain dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan "velocity of money" atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara.Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat.Aspek integriti turut ditekankan oleh Najib kerana padanya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi malah turut melibatkan kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani.Amanat lebih sejam oleh Perdana Menteri itu disambut baik oleh para penjawat awam dan para pegawai kanan kerajaan yang sudah tentunya beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik.Malah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata semua penjawat awam perlu berganding bahu demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat.Katanya, Perdana Menteri telah meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata lapan tonggak yang digariskan oleh Perdana Menteri boleh dicapai dengan kerjasama daripada penjawat awam dan anggota pentadbiran yang bekerja sebagai satu pasukan.Beliau berkata tiada perbezaan objektif di antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerana matlamat akhirnya ialah untuk membantu rakyat."Langkah untuk merealisasikan aspirasi negara itu sedang berjalan, tetapi seperti kata Perdana Menteri sebelum ini, sekarang bukan lagi pada gear satu, tetapi gear tiga dan empat kerana cabaran yang mendatang itu begitu besar."Jika berdasarkan kepada daya saing negara, kita tidak berada pada tahap tinggi yang sepatutnya kita berada," katanya.Beliau berkata penekanan yang dibuat oleh Najib itu bukan sahaja kepada penjawat awam malah turut membabitkan pihak swasta."Beliau menekankan sektor korporat juga perlu menyinsing tangan untuk sama-sama bergerak. Tidak ada perbezaan di antara sektor awam dan sektor swasta kerana semua mesti bergerak selari."Tahun 2020 hanya 10 tahun sahaja lagi dan jika ini tidak dilakukan, matlamat ini tidak akan dapat dicapai," katanya.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menyifatkan lapan tonggak perdana itu sebagai amanat yang komprehensif dan memberi visi yang jelas kepada anggota perkhidmatan awam dalam menetapkan hala tuju negara pada masa depan.Langkah itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat, selain memacu negara menjadi sebuah negara maju, katanya.Omar berpendapat perubahan di dalam perkhidmatan awam perlu membabitkan pelbagai peringkat termasuk hubungan yang rapat daripada peringkat atasan hingga ke bawahan bagi mewujudkan perkongsian pintar.Kesimpulannya, sektor awam diakui sebagai nadi dan jentera sesebuah kerajaan untuk membuat pacuan ke arah pentadbiran yang dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri.Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib itu turut bergantung kepada sektor itu.Persoalannya sekarang ialah, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas? Jentera kerajaan mesti mampu mengikut rentak Perdana Menteri, jika tidak aspirasi beliau akan tergendala.Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan, maka di sini akan berlaku sesuatu yang merugikan semua pihak.Oleh itu, jentera kerajaan mesti menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan pembangunan inovasi dan pembaharuan yang berterusan.Transformasi ini, seperti yang dikatakan oleh Mohd Sidek, boleh merubah landskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan.Ia akan terus membantu visi Perdana Menteri yang jelas dalam mewujudkan sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun walau berada di pelosok mana di dalam negara akan merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan.Ini adalah masanya bagi penjawat awam untuk merealisasikan matlamat negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.Dengan semangat yang lebih komited, mereka tentu boleh membantu mempertingkatkan mutu pentadbiran, memperkukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian yang melambangkan keprihatinan yang tinggi di dalam negara.-- BERNAMA

16 Mac 2010

SEGERA LAKSANA PENCEN SWASTA

Utusan Malaysia
Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my
15/3/2010




KUALA LUMPUR 15 Mac - Beberapa kesatuan sekerja berharap kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaan skim pencen kakitangan swasta, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, ia perlu terutamanya untuk membantu pekerja berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan kewangan selepas bersara.
"Kita memang mementingkan kajian yang menyeluruh, terperinci dan jelas. Namun, pelaksanaan skim ini juga perlu disegerakan demi kepentingan pekerja yang memerlukan.
"Selain mendapatkan pandangan wakil pekerja dan majikan, kerajaan juga perlu memastikan skim itu sekurang-kurangnya menetapkan kadar pencen melebihi paras pendapatan kumpulan miskin dan miskin tegar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang menjangkakan dapat membentangkan skim pencen pekerja swasta, warga emas dan mereka yang bekerja sendiri ke Dewan Rakyat seawal-awalnya pada Jun 2011.
Sementara itu, Syed Shahir turut membangkitkan kembali saranan MTUC supaya usia persaraan pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berikutan peningkatan jangka hayat rakyat negara ini.
"Pekerja swasta kini perlu hidup antara 17 hingga 21 tahun selepas tamat tempoh perkhidmatan dengan bergantung kepada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kajian membuktikan wang tersebut bertahan sekitar tiga tahun sahaja. Adalah lebih baik usia persaraan pekerja dilanjutkan atau mereka dibantu dalam terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing," ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman juga bersetuju supaya skim berkenaan disegerakan memandangkan cadangan mengenainya telah lama dikemukakan.
"Kerajaan perlu berusaha menyegerakan skim ini di samping memastikan ia berjalan lancar terutamanya bagi melindungi pekerja dengan gaji rendah yang hanya bergantung kepada simpanan KWSP selepas bersara.
"CUEPACS juga menyokong penuh skim pencen serta kelebihan perubatan yang sama rata diwujudkan untuk kakitangan kerajaan dan sektor swasta supaya keperluan semua pekerja terbela selepas mereka bersara," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Norila Mohd. Daud berharap, pekerja swasta tidak dianaktirikan dalam menikmati pencen dan hidup yang setimpal selepas persaraan mereka kelak.
"Saya mengalu-alukan cadangan skim pencen ini, tetapi pekerja sektor swasta bukan sekadar mahu ada satu skim pencen, mereka juga perlu diberi kelebihan yang sama seperti dinikmati kakitangan kerajaan.
"Seperti kelebihan perubatan. Kakitangan swasta yang sudah bersara sepatutnya diberi keistimewaan serupa, sama ada secara percuma atau pada harga yang dibayar kakitangan kerajaan," katanya.
Menurutnya lagi, sudah sampai masanya kerajaan menyelaraskan skim perlindungan untuk pekerja di negara ini dan usaha tersebut bakal menunjukkan tahap kesediaan Malaysia menjadi sebuah negara maju.
"Jangan dibiarkan wujud dua standard dalam komuniti pesara, satu mempunyai pencen dan kelebihan perubatan sementara satu lagi perlu mencari sumber kewangan sendiri selepas bersara," tegasnya.

PENJAWAT AWAM PERLU MANTERA KEPANTASAN

Berita Harian
2010/03/14


Usaha gigih mesti dilakukan capai lapan tonggak perdana digariskan Najib


PERKHIDMATAN awam yang dianggotai kira-kira 1.2 juta kakitangan tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi kerajaan.
Peranan penjawat awam amat signifikan dalam melaksanakan agenda negara dan mereka perlu melihat dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar bagi memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela. Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dengan memperkenalkan lapan tonggak perdana yang membabitkan empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap di dalam pentadbirannya. Empat tiang utama itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), manakala empat nilai asas pelengkap ialah Membudayakan Kreativiti dan Inovasi; Mementingkan Kepantasan Bertindak dan Membuat Keputusan; Nilai Untuk Wang dan Nilai Integriti. Lapan tonggak itu yang diilhamkan Perdana Menteri ialah sebagai panduan kepada penjawat awam menggalas amanah dan tanggungjawab bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi. Lebih signifikan lagi, cetusan idea Perdana Menteri itu diperkenalkan kepada 4,000 penjawat awam ketika hampir setahun pentadbirannya ketika Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, Selasa lalu. Beliau memilih persidangan itu sebagai platform menjelas dan menekankan peranan yang perlu dimainkan sektor awam untuk melaksanakan gagasan dan hasrat kerajaan. Gagasan 1Malaysia adalah satu falsafah induk yang bersifat merentas dasar serta pelaksanaan kerana matlamat itu adalah perpaduan nasional. “Inilah matlamat yang menjadi cita-cita dan aspirasi semua warga Malaysia sejak dulu lagi. Sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk tanpa dipacu perpaduan nasional, apa pun cita-cita kebangsaan yang lain seperti usaha mencapai taraf hidup yang lebih baik untuk setiap warga akan hanya tinggal angan-angan kosong. “Terbukti tanpa perpaduan nasional, tidak mungkin wujud kestabilan politik yang menjadi teras kepada segala-galanya,” kata Perdana Menteri. Tranformasi kerajaan pula bertujuan menjadikan kerajaan lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin kepada denyut nadi rakyat, seperti yang sering disebut Perdana Menteri bahawa era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan perlu bersifat sebagai pemudah cara. Tiang utama ketiga dan keempat, iaitu MEB dan RMK-10 adalah dua inisiatif ekonomi bagi memeta hala tuju jangka panjang, sederhana dan jangka pendek. Empat tiang utama dan empat nilai asas pelengkap itu saling melengkapi antara satu sama lain dan bagi membudayakan kreativiti dan inovasi, penjawat awam mesti berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman. Peranan pantas bertindak dan membuat keputusan itu pula amat penting kerana tindakan sedemikian akan meningkatkan ‘velocity of money’ atau halaju kitaran wang dalam sistem ekonomi negara. Begitu juga dengan nilai untuk wang supaya mengelakkan pembaziran dalam usaha memastikan setiap ringgit dan sen yang dibelanjakan mendapat pulangan nilai paling maksimum kepada kerajaan dan rakyat. Aspek integriti turut ditekankan Najib kerana padanya, transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan saja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, malah turut membabitkan kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Amanat lebih sejam oleh Perdana Menteri itu disambut baik penjawat awam dan pegawai kanan kerajaan yang sudah tentunya beriltizam untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Malah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata semua penjawat awam perlu berganding bahu demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat. Katanya, Perdana Menteri sudah meletakkan kepercayaan penuh kepada anggota perkhidmatan awam untuk bersama-sama memenuhi janji dan memberikan sepenuh komitmen dalam memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh, berkata lapan tonggak yang digariskan Perdana Menteri boleh dicapai dengan kerjasama daripada penjawat awam dan anggota pentadbiran yang bekerja sebagai satu pasukan. Beliau berkata, tiada perbezaan objektif antara penjawat awam dan anggota pentadbiran kerana matlamat akhirnya ialah untuk membantu rakyat. “Langkah untuk merealisasikan aspirasi negara itu sedang berjalan, tetapi seperti kata Perdana Menteri sebelum ini, sekarang bukan lagi pada gear satu, tetapi gear tiga dan empat kerana cabaran yang mendatang itu begitu besar. “Jika berdasarkan kepada daya saing negara, kita tidak berada pada tahap tinggi yang sepatutnya kita berada,” katanya. Beliau berkata, penekanan yang dibuat Najib itu bukan saja kepada penjawat awam, malah turut membabitkan pihak swasta. “Beliau menekankan sektor korporat juga perlu menyinsing tangan untuk sama-sama bergerak. Tidak ada perbezaan antara sektor awam dan swasta kerana semua mesti bergerak selari. “Tahun 2020 hanya 10 tahun saja lagi dan jika ini tidak dilakukan, matlamat ini tidak akan dapat dicapai,” katanya. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman menyifatkan lapan tonggak perdana itu sebagai amanat yang komprehensif dan memberi visi yang jelas kepada anggota perkhidmatan awam dalam menetapkan hala tuju negara pada masa depan. Langkah itu selaras dengan agenda transformasi kerajaan, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam di mata rakyat, selain memacu negara menjadi sebuah negara maju, katanya. Omar berpendapat perubahan di dalam perkhidmatan awam perlu membabitkan pelbagai peringkat, termasuk hubungan yang rapat daripada peringkat atasan hingga ke bawahan bagi mewujudkan perkongsian pintar. Kesimpulannya, sektor awam diakui sebagai nadi dan jentera sesebuah kerajaan untuk membuat pacuan ke arah pentadbiran yang dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri. Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib itu turut bergantung kepada sektor itu. Persoalannya sekarang ialah, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas? Jentera kerajaan mesti mampu mengikut rentak Perdana Menteri, jika tidak aspirasi beliau akan tergendala. Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan, maka di sini akan berlaku sesuatu yang merugikan semua pihak. Oleh itu, jentera kerajaan mesti menyerapkan mantera kepantasan bertindak menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan pembangunan inovasi dan pembaharuan yang berterusan. Transformasi ini, seperti yang dikatakan Mohd Sidek, boleh merubah landskap sosioekonomi negara dengan pantas dan berkesan. Ia akan terus membantu visi Perdana Menteri yang jelas dalam mewujudkan sebuah negara maju yang mengutamakan rakyat, agar tiada siapa pun walau berada di pelosok mana di dalam negara akan berasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada manfaat arus kemajuan. Ini adalah masanya bagi penjawat awam untuk merealisasikan matlamat negara seperti yang dihasratkan Perdana Menteri. Dengan semangat yang lebih komited, mereka tentu boleh membantu mempertingkatkan mutu pentadbiran, memperkukuhkan pengurusan serta melaksanakan khidmat penyampaian yang melambangkan keprihatinan yang tinggi di dalam negara. – Bernama

13 Mac 2010

PENJAWAT AWAM PERLU LEBIH RESPONSIF TERHADAP AWSPIRASI KERAJAAN- MAHYIDDIN

Bernama
12/3/2010



PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penjawat awam menjadi lebih responsif terhadap aspirasi kerajaan dan lebih prihatin terhadap denyut nadi rakyat melalui Program Transformasi Kerajaan.Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri berkata dalam usaha membawa negara ke arah kecemerlangan, penjawat awam tidak boleh berada di takuk lama."Jika kepantasan perlu dalam menjalankan tugas harian, maka sikap penjawat awam juga harus berubah dan mereka seharusnya bersikap positif dan bersama berganding bahu bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis malam mesra Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.Muhyiddin berkata penjawat awam juga seharusnya lebih bersifat kreatif dan inovatif serta proaktif dalam menjalankan tugas harian mereka."Ditambah pula dengan kepantasan seperti yang diseru oleh Perdana Menteri kita, menjadikan kita lebih berdaya saing di peringkat global," katanya.Beliau berkata kesemua itu akan memberi kesan dan impak positif kepada pentadbiran kerajaan dan perkara itulah yang dimahukan oleh rakyat.Muhyiddin berkata rakyat negara ini juga amat bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan progresif yang didukung oleh penjawat awam yang bertanggungjawab dan berdedikasi dalam menjalankan tugas masing-masing."Berdasarkan peranan JPM, slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", tidak akan menjadi kenyataan jika tidak mendapat sokongan anda semua."Pemimpin kita (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengambil berat setiap pandangan anda semua, baik dalam kapasiti anda sebagai penjawat awam mahu pun (sebagai) rakyat Malaysia."Kita mahu menjadi kerajaan yang prihatin dengan kehendak rakyat di samping bergerak ke hadapan mencapai kejayaan kukuh pada masa hadapan," katanya.Dalam pada itu, Muhyiddin berkata sebagai jabatan utama kepada kerajaan, setiap warga JPM bukan sahaja memberikan perkhidmatan sokongan pentadbiran, kewangan, pengurusan sumber manusia, keselamatan dan lain-lain kepada kakitangan JPM.Malah, katanya, mereka juga bertanggungjawab menjadi pusat agensi utama bagi memantau pelaksanaan dasar, strategi, program dan projek pembangunan selaras dengan matlamat kerajaan.Selain itu, katanya, mereka juga perlu memastikan kualiti perkhidmatan awam cekap, responsif dan berintegriti dalam membentuk pentadbiran supaya bersifat objektif, jelas dan berhala tuju sejajar dengan saranan Perdana Menteri menerusi empat tiang utama iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.-- BERNAMA

12 Mac 2010

9,698 PEGAWAI KESIHATAN NAIK PANGKAT

Bernama
12/3/2010

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Seramai 9,698 pegawai kesihatan menikmati kenaikan pangkat daripada Gred 44 hingga Gred 54 ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas mengenai landasan kerjaya komprehensif bagi tiga perkhidmatan Kementerian Kesihatan.Mereka terdiri daripada 8,521 Pegawai Perubatan Klinikal/Pentadbiran, 650 Pegawai Pergigian dan 527 Pegawai Farmasi.Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa sebagai permulaan, 2,554 Pegawai Perubatan Gred UD44 dinakkan pangkat ke Gred UD48 sehingga Gred UD54 berkuatkuasa 9 Mac lepas.Bagi kategori Pegawai Perubatan (Pakar), 12 dinaikkan pangkat ke UD48, 68 ke UD52, dan 321 ke UD54 manakala untuk Pegawai Perubatan (Bukan Pakar) Gred UD44, seramai 1,751 akan dinaikkan pangkat ke UD48, 312 ke UD52 dan 90 ke UD54.Mohd Sidek berkata urusan kenaikan pangkat bagi semua Pegawai Perubatan di Gred UD44 ke gred berkenaan yang layak akan dilaksanakan sebelum 31 Mac ini.Beliau berkata menerusi laluan kerjaya baru ini, kenaikan pangkat Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi sehingga Gred 54 di Kementerian Kesihatan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan tidak lagi berasaskan kekosongan jawatan."Urusan kenaikan pangkat bagi Pegawai Perubatan di Gred UD48 dan UD52 serta semua Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut landasan kerjaya yang diperkenalkan ini," kata Mohd Sidek.Pegawai perubatan yang berkenaan boleh menyemak landasan kerjaya yang diumumkan dengan melayari laman web kementerian iaitu www.moh.gov.my.Mohd Sidek berkata keputusan kerajaan itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan pegawai perubatan terbabit dalam meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan negara serta meningkatkan motivasi bagi membolehkan mereka terus memberikan perkhidmatan berkualiti, selain mengekalkan minat untuk berkhidmat di sektor awam bagi tempoh lebih lama.Semasa mengumumkan landasan kerjaya itu, Najib berkata ia bertujuan memberi ruang peningkatan kerjaya yang lebih menarik dalam tempoh yang lebih pendek.Misalnya, seorang Pegawai Perubatan (Pakar) boleh dinaikkan ke Gred 54 dalam masa sembilan tahun berbanding 11 tahun sekarang, dan 12 tahun untuk Pegawai Perubatan (Klinikal/Pentadbiran) berbanding 17 tahun sekarang.-- BERNAMA

MINDA PENGARANG: BUDAYA PENGIKTIRAFAN MAMPU JAGI PEMANGKIN TINGKAT PRESTASI KERJA

Berita Harian
2010/03/12


PENGIKTIRAFAN boleh menjadi motivasi dalam memburu kejayaan, kepuasan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Apabila kerajaan memutuskan untuk memansuhkan bayaran wad kepada kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April ini maka itu juga satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada mereka berkenaan. Apatah lagi, keistimewaan sama turut dinikmati anggota keluarga dan ibu bapa mereka. Pengiktirafan ini pasti melegakan. Ia sekali gus meringankan beban kewangan kedua-dua kelompok berkenaan. Memandangkan rawatan adalah elemen lazim yang dilalui sama ada ketika dalam perkhidmatan atau apabila menjadi pesara, kesanggupan kerajaan menyerap kos bayaran wad ternyata menyelamatkan sebahagian kos perubatan mereka. Ketika kos perubatan dan rawatan semakin meningkat, Pekeliling Bilangan 4 Tahun 2010 itu ibarat satu ‘bonus’ daripada kerajaan untuk keseluruhan jentera perkhidmatan awam. Cuma Cuepacs ketika memberi reaksi kepada pekeliling itu meminta kerajaan memberi pertimbangan wajar supaya kemudahan sama juga diberi kepada bapa pesara yang lazimnya di bawah jagaan mereka. Namun, pengiktirafan adalah ungkapan unik, penuh simbolik dan ada ketika sukar dimengerti. Ia kadang kala tidak diimpikan, tetapi pada sudut dan ketika lain sangat didambakan. Pengiktirafan memberi kesan sangat besar untuk seseorang meningkatkan komitmen dan prestasi kerja. Pengiktirafan walau dinyatakan melalui sebatang pen atau sehelai sijil yang diserahkan melalui majlis ringkas sudah mencukupi menjadi ledakan motivasi. Pengiktirafan yang dizahirkan dengan menjamu makan malam di sebuah hotel kecil pun akan menjadi kenangan manis dan cerita hebat sepanjang hayat. Ia turut meningkatkan kesetiaan, menebalkan rasa tanggungjawab untuk mempertahankan entiti atau institusi. Pengiktirafan akan meningkatkan sokongan dan keyakinan bahawa majikan melihat sumbangan seseorang kepada organisasi. Itulah erti dan kesan pengiktirafan - biar pun kecil, tetapi sangat bermakna dan dikenang. Justeru, memberi pengiktirafan elok dijadikan budaya dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta kerana kesannya bukan saja dirasai yang empunya diri, malah organisasi tempat dia berkhidmat.
Iktibar daripada perkembangan ini juga wajar diberi perhatian majikan sektor swasta. Aspek kebajikan dan faedah sampingan lain ketika seseorang masih bekerja atau apabila menjadi pesara, perlu diberi pertimbangan supaya sesetengah kerja yang kini dimonopoli pekerja asing, akhirnya diterajui semula oleh tenaga kerja tempatan. Komitmen majikan bagi soal rawatan dan perubatan pekerja swasta adalah antara yang perlu diberi perhatian ketika Kementerian Sumber Manusia bercadang meminda Akta Pekerja 1955. Apabila ada jaminan memperoleh kemudahan perubatan dan rawatan selain faedah sampingan yang difikirkan wajar maka tenaga tempatan akan berminat semula menceburi sektor perladangan, pembinaan, kawalan keselamatan dan perkilangan.

11 Mac 2010

CUEPACS ANTARA SAMBUT BAIK

Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my
11/3/2010




KUALA LUMPUR 10 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan langkah memansuhkan bayaran wad hospital kerajaan merupakan penghargaan tertinggi yang diberikan kepada pesara dan penjawat awam.
Presidennya, Omar Osman berkata, pemansuhan itu diharap mampu meringankan beban yang dihadapi pesara ekoran jumlah wang pencen yang kecil.
''Bukan semua pesara memperolehi wang pencen yang tinggi. Oleh itu, dengan adanya pemansuhan ini, wang yang sepatutnya diperuntukkan untuk kos perubatan dapat digunakan untuk tujuan lain.
''Selain itu, apabila penjawat awam tidak lagi terbeban dengan kos perubatan yang tinggi, mereka dapat memberikan sepenuh tumpuan semasa bekerja seterusnya meningkatkan lagi kualiti kerja mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam mengumumkan kira-kira 560,000 orang pesara dan 1.1 juta pegawai perkhidmatan awam bakal menikmati pemansuhan bayaran wad untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April ini.
Menurutnya, pemansuhan itu juga melibatkan ahli keluarga dan ibu bapa kedua-dua kumpulan tersebut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, pemansuhan bayaran wad hospital untuk pesara kerajaan merupakan tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat.
''Saya kagum dengan keputusan yang dibuat kerajaan demi menjaga kepentingan penjawat awam yang telah bersara ini. Melalui pemansuhan ini, sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan kos perubatan yang perlu ditanggung oleh pesara dan keluarga.
''Apabila berusia, penyakit mula datang tetapi wang pencen yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung setiap kos perubatan. ini akan membantu pesara," katanya.
Beliau menambah, keprihatinan kerajaan itu perlu dibalas oleh pesara dengan memberikan sumbangan dan kepakaran mereka melalui program yang dapat membantu pembangunan generasi akan datang di samping menjana ekonomi negara.

CAJ WAD DIMANSUH

Berita Harian
2010/03/11


Kakitangan, pesara awam dikecuali bayaran di hospital kerajaan mulai 1 April

KUALA LUMPUR: Kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan, tidak akan dikenakan bayaran wad, berkuat kuasa 1 April ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan bayaran itu turut terpakai untuk anggota keluarga dan ibu bapa mereka.
"Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi Gred 45 hingga 54 ialah Kelas 1 bilik seorang, Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga) dan Gred 1-20 (Kelas 2).
Kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa sah juga berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan, manakala kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.
Ketika ini, perkhidmatan awam mempunyai 1.2 juta kakitangan dan pesara seramai 450,000 orang.
Ismail berkata, jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa sah meminta untuk dimasukkan ke wad yang lebih tinggi daripada kelayakan yang ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar dikenakan ke atas orang awam.
"Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan. Ismail berkata, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, ketika dihubungi merayu supaya ibu bapa golongan pesara turut diberi pengecualian kerana ia tidak membabitkan kos tinggi untuk ditanggung kerajaan.

MINDA PENGARANG: LALUAN KERJAYA PERLU DIPERMUDAH UNTUK KAKITANGAN BERWIBAWA

Berita Harian
2010/03/11




MEMAJUKAN kerjaya kini menjadi antara elemen yang diberi tumpuan dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Pengumuman mengenai kajian dan pelan penambahbaikan laluan kerjaya membabitkan peluang kenaikan pangkat di kalangan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan serta pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perguruan pastinya amat menggembirakan golongan ini. Tindakan Perdana Menteri itu memberi realiti dan erti baru bahawa kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam mempunyai masa depan cerah termasuk dari segi imbuhan mahupun kenaikan pangkat. Persepsi terhadap perkhidmatan awam ketika ini antara lain, tidak mencabar, penuh birokrasi dan sukar mengembangkan kerjaya selain perlu ada ‘mentor’ atau menjadi kroni untuk naik. Laluan kerjaya perlu dipermudahkan supaya keseluruhan jentera perkhidmatan awam ditunjangi pegawai berwibawa. Ini bermakna mereka yang layak akan mendapat imbuhan setimpal dengan khidmat serta bakti yang dicurahkan kepada rakyat. Mungkin hasil pelaksanaan di Kementerian Kesihatan serta IPTA dan perguruan itu kelak akan dijadikan model laluan kerjaya bagi seluruh perkhidmatan awam.Seperkara lagi yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri ialah sistem ‘pool’ dalam sektor awam. Beliau tidak mahu sistem itu dilihat sebagai ‘tempat’ atau ‘alat’ untuk menghukum penjawat awam oleh pihak pentadbiran. ‘Pool’ bukan tempat memudarkan masa depan seorang pegawai yang berkaliber kerana ‘kesalahan remeh dan kabur.’ Ketika Cuepacs mempertikaikan kewujudan sistem itu, tindakan perlu dilakukan supaya persepsi umum terhadap sistem berkenaan diperbetulkan segera. Persepsi ketika ini, sistem ‘pool’ umpama ‘peti sejuk’ untuk kalangan pegawai ‘bermasalah dan tidak sehaluan’ dengan pegawai atasan yang lazimnya berpunca daripada masalah ‘kecil dan remeh’. Contoh, pegawai yang menunjukkan daya kreatif, inovatif, berupaya melakukan penjimatan kos dan material atau menunjukkan kewibawaan memimpin mungkin antara yang akan dimasukkan ke dalam ‘pool’. Lantas Najib mengarahkan kajian terperinci dilakukan supaya elemen keadilan asasi iaitu hak untuk didengar dan dinilai secara berkecuali perlu dijadikan sebahagian prosedur. Sesungguhnya, perlu ada sistem terbuka dan berkecuali dalam proses menghukum penjawat awam. Selain menggariskan kriteria dan prosedur, ketentuan dalam proses menghukum itu bukan dimonopoli sekumpulan pegawai tetapi berdasarkan elemen bebas serta berkecuali. Amat malang jika pegawai yang hebat disisih hanya kerana percanggahan kecil dengan ketuanya sedangkan mereka bukan saja wajar menikmati imbuhan malah diletakkan di barisan depan. Jika seseorang itu memiliki kelebihan dari segi kreativiti, integriti, kepemimpinan dan komitmen maka semua elemen itu juga perlu dimasukkan dalam penilaian prestasi untuk menyokong laluan ke arah peningkatan kerjaya iaitu kenaikan pangkat dan gaji bukan dijadikan sebab dia dimasukkan dalam ‘pool’.

MORE TO BENEFIT FROM FREE ADMISSION AT GOVT HOSPITALS

The Star
11/3/2010




PETALING JAYA: Parents of serving civil servants will, for the first time, be entitled to free ward admissions at government hospitals.
Ward charges will also be waived for government retirees, civil servants and qualified immediate family members.
Public Service Department (PSD) director-general Tan Sri Ismail Adam said the directive would take effect from April 1, and that some 450,000 government retirees would benefit from the new perk.
“The Government has decided to abolish ward charges imposed on officers and retirees of the civil service, their family members and parents when seeking treatment at government hospitals,” he said in his latest circular.
However, Ismail said the abolition of ward charges would not affect the current ward qualification, which was based on grade levels or the last grade held.
He said those who wanted to be admitted to a higher-class ward than their entitlement would have to pay the public rate and deposit for that particular ward.
Current rules state that officers and those who had retired from public service, their parents and family members were required to pay ward fees according to the fixed rate.
Cuepacs president Omar Osman thanked the Government for waiving the ward charges.
“It is comforting to those still in service to know that they will be taken care of by the Government after retirement,” he said yesterday.
Omar also welcomed the move to include parents among the free ward beneficiaries, but said it should include parents of retirees as well.

SISWA DOT COM: KERJAYA PROFESIONAL

Berita Harian
2010/03/11



Jangan salah wanita kerana kejayaan merekaSEMAKIN panas isu silang jantina (gender) dibincangkan. Belum selesai isu menara gading dipenuhi pelajar perempuan ditambah dengan kecemerlangan akademik yang ditempah majoriti nama-namanya adalah daripada kaum hawa, sejak mula daripada peringkat sekolah rendah , menengah, mahupun di institut pengajian tinggi awam mahupun swasta. Baru-baru ini Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula menyuarakan kebimbangan kepada sektor awam yang mana semakin dimonopoli penjawat awam wanita yang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran servis penyampaian maklumat serta memberikan kesan kepada masyarakat dan negara.
Kesinambungan daripada isu ini, tidak siapa mampu nafikan akan diwujudkan sistem kuota bagi mengimbangkan nisbah antara lelaki dan perempuan sama ada untuk merebut tiket ke pusat pengajian tinggi mahupun untuk menempatkan diri dalam sektor awam terutama kerjaya profesional. Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM) sebagai gerakan mahasiswa kontemporari yakin bahawa akan timbul pelbagai persoalan, apakah kemajuan yang dialami kaum wanita menjadi suatu kesalahan atau adakah usaha mereka yang positif sehingga mereka terkehadapan menjadi sesuatu yang ganjil? Sedangkan suatu ketika dulu martabat wanita adalah sangat rendah sehingga munculnya Islam yang mengangkat martabat kaum ibu ini ke satu darjat yang tinggi untuk diberikan hak dan keadilan. Jelas tiada salah mereka tetapi kebimbangan yang terhasil daripada kemajuan mereka ini adalah persoalan status populasi yang bergelar lelaki. Menjadi kebimbangan apabila sebahagian besar pemudi memenuhi ruang institut pengajian tinggi (IPT), sebahagian besar pemuda mula memenuhi pusat serenti, penjara dan aktif dalam kegiatan samseng jalanan. Ketidakseimbangan yang terhasil dibimbangi kritikal kerana jurang yang sangat jauh kerana nisbah lelaki dan perempuan dalam sistem akademik di IPT ataupun kerjaya profesional secara puratanya adalah 30:70. Jika dilihat secara relatif dan logik akal, sekiranya corak aliran sebegini berlaku bermula daripada IPT maka dalam bidang profesional juga akan mengalami masalah dan trend yang sama kerana pelajar yang berada di IPT inilah yang akan melangkah ke alam pekerjaan selepas mereka bergraduasi. AUTeM berpendapat bahawa yang menjadikan situasi sebegini salah satunya adalah berbalik kepada sistem pendidikan di negara kita sendiri kerana sistem inilah yang mencatur gaya hidup pembelajaran masyarakat . Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan dan berorientasikan hafalan jelas memberikan kelebihan kepada pelajar wanita. Ini bukan tuduhan ataupun kecaman kepada mana-mana pihak, tetapi perlu dikaji secara ilmiah kerana kelebihan psikologi dan kekuatan gender masing-masing. Ini turut diakui pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah. AUTeM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam memberikan sumbang saran bagi mencadangkan penyelesaian. Walau apapun yang diperkatakan, pihak kerajaan mahupun swasta ataupun orang perseorangan perlu mengambil inisiatif dan tanggungjawab dalam menjaga kemandirian populasi profesional lelaki tanpa mengabaikan hak wanita. AL AMIN MOHAMED SULTAN Presiden Persatuan Alumni UTeMMelaka

10 Mac 2010

PELAN TAMBAHBAIK LALUAN KERJAYA BANTU KEKALKAN DOKTOR DI SEKTOR AWAM

Bernama
10/3/2010



KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Rabu berpendapat pelan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang diumumkan semalam akan membantu mengekalkan khidmat para doktor di sektor awam.Presidennya Dr David Quek berkata ini merupakan satu langkah penting untuk mengekalkan kuantiti doktor yang semakin berkurangan di sektor awam."Ianya sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai doktor yang bekerja di hospital dan klinik kerajaan kekal dalam perkhidmatan itu daripada keluar dan bekerja dengan pihak swasta," katanya dalam satu kenyataan, di sini Rabu.Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelan penambahbaikan laluan kerjaya pegawai perubatan, pergigian dan farmasi di Kementerian Kesihatan.Inisiatif tersebut melibatkan perbelanjaan tambahan sejumlah RM200 juta setahun dan membolehkan para pegawai perubatan meningkatkan kerjaya hingga ke Gred 54 dalam tempoh dua hingga lima tahun.Dr Quek berkata MMA sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, peluang latihan, gaji dan elaun selain faedah sampingan kepada doktor di sektor awam."Oleh itu kami sangat gembira kebanyakan permintaan kami kini ditunaikan dan ramai doktor akan mendapat manfaat daripadanya," katanya.Beliau berkata, faedah-faedah yang ditawarkan ini diharap dapat menggalakkan para doktor memberi komitmen terbaik dalam perkhidmatan mereka khususnya dalam k mengurangkan tempoh menunggu dan seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan untuk semua.Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia Dr Lee Soon Boon juga bersetuju bahawa pelan itu akan membantu menghentikan perpindahan doktor-doktor gigi dari sektor awam ke sektor swasta.Menyifatkannya sebagai langkah wajar memandangkan tugas berat seorang doktor, Dr Lee berkata pada masa ini terdapat 3,606 doktor pergigian bertauliah di negara ini dan 53 peratus daripadanya berkhidmat dengan kerajaan.Justeru, pelan yang diumumkan itu diharap dapat membantu para doktor terutamanya doktor gigi untuk memberi perkhidmatan terbaik di sektor awam dan terus mengekalkan khidmat mereka di sana.Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Datuk Nancy Ho pula berpendapat pelan penambahbaikan ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar serius dalam mengetengahkan konsep 1Malaysia."Kami menghargai pengiktirafan kerajaan kepada pegawai farmasi. Ini juga menunjukkan kerajaan mengambil berat kepada masyarakat dan golongan profesional," katanya.Beliau juga yakin pelan tindakan itu akan mendorong pegawai farmasi di seluruh negara untuk memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada orang ramai.Sementara itu Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata pihaknya menyokong penuh pemberian peluang kenaikan pangkat yang lebih baik kepada sektor perubatan dan pendidikan.Bagaimanapun, katanya kerajaan juga harus menimbangkan peluang yang sama dalam bidang-bidang lain di sektor awam terutamanya pekerja dalam kumpulan gred yang lebih rendah dan yang berkhidmat di pedalaman."Golongan yang bekerja di pedalaman juga harus diberi perhatian kerana mereka masih kekurangan dan ketinggalan daripada aspek kemudahan dan sebagainya. Mereka juga adalah golongan yang bekerja lebih dekat dengan masyarakat," katanya.Mengulas mengenai pemansuhan bayaran wad kepada pegawai awam dan pesara perkhidmatan awam yang diumumkan hari ini, Omar berkata perkara ini telahpun dicadangkan sejak dahulu kepada kerajaan."Jadi keputusan memansuhkan bayaran wad ini dilihat akan beri kemudahan kepada mereka yang kekurangan terutamanya pesara, tambahan pula dengan wang pencen yang tidak seberapa," katanya.Langkah ini akan membolehkan semua yang terlibat mendapatkan peluang penjagaan kesihatan yang lebih baik, katanya.-- BERNAMA

CUEPACS SARAN SISTEM PTK DIKAJI

Bernama
10/3/2010




PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dikaji semula termasuk daripada segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja.Sebaliknya, Presiden Cuepacs Omar Osman berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.Ini kerana, beliau berkata sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda."Cuepacs menyarankan agar sistem PTK ini dikaji semula selaras dengan hasrat pentadbiran kerajaan yang mahukan penjawat awam melalui beberapa transformasi dan perubahan pada perkhidmatan mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.Beliau berkata sebelum ini, ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat."Jadi, kita sarankan agar kenaikan pangkat ini bukan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan PTK semata-mata."Faktor lain seperti pengalaman, pengetahuan, kemahiran serta dapat membantu meningkatkan prestasi atau produktiviti organisasi masing-masing juga perlu diambil kira. Kita mahu ada kesimbangan dalam perkhidmatan awam antara kakitangan lama dan muda," katanya.Beliau berkata Cuepacs akan mengadakan kongres bulan depan bagi membincangkan cadangan penambahbaikan itu sebelum ianya diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Katanya walaupun peperiksaan PTK telah melalui proses penambahbaikan sebelum ini, ia perlu dikemas kini lagi selaras dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahukan penjawat awam mempunyai budaya kreatif dan inovatif, bertindak pantas dalam membuat keputusan serta berpengetahuan luas dalam bidang masing-masing.-- BERNAMA

09 Mac 2010

SKIM PERKHIDMATAN PENSYARAH IPTA, INSTITUT PERGURUAN AKAN DIKAJI: NAJIB

Berita Harian
9/3/2010




PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan institut perguruan bagi membolehkan mereka naik pangkat hingga ke peringkat turus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini. Beliau berkata demikian pada majlis amanat perdana Perkhidmatan Awam ke-11 (Mappa) di Putrajaya, sebentar tadi.

06 Mac 2010

INGATAN UNTUK LELAKI MALAYSIA

Utusan Malaysia
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my
5/3/2010





BIMBANGKAH kaum lelaki apabila menyaksikan sektor perkhidmatan kerajaan sekarang dikuasai oleh wanita?
Itu persoalan yang timbul apabila Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mendedahkan bahawa sektor itu telah dikuasai oleh golongan wanita.
Reaksi yang diterima daripada kenyataan itu adalah pelbagai, ada yang melenting dan ada yang memandang sinis.
Soalnya, mengapa soal gender masih terus dibangkitkan ketika golongan wanita di negara ini telah banyak mencipta kejayaan.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Lamien Sawiyo menyatakan pendirian yang sama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bahawa tiada diskriminasi gender berlaku dalam pengambilan kakitangan awam.
SPA yang mengendalikan 250 skim perjawatan setiap tahun menerima hampir sejuta permohonan daripada mereka yang mahu menyertai sektor awam.
Sudah pasti, suruhanjaya itu menerima maklumat tentang pelbagai latar belakang pemohon dan tapisan ketat pasti dilakukan kerana cuma 50,000 kekosongan sahaja yang ada setiap tahun.
''Jadi...kita ikut merit, kalau bagus dan melepasi syarat yang ditetapkan, kita ambil. ''Tiada sebarang kuota sama ada lelaki atau perempuan melainkan jawatan itu memerlukan kakitangan wanita," katanya.
Justeru, dominasi kaum wanita dalam sektor kerajaan bukan menjadi suatu perkara yang membimbangkan sehingga timbul polemik tentang persoalan gender.
Dalam dunia moden hari ini, tiada lagi ruang untuk kita katakan bahawa dunia adalah untuk lelaki sahaja.
Proses pemodenan yang antara lain menyentuh soal kebebasan dan keadilan juga memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita untuk turut sama terlibat dalam apa juga bidang.
Cuma, penglibatan wanita mungkin tidak perlu sampai ke tahap menyeberang ke orbit wilayah hukum dan bidang kuasa lain sehingga akhirnya akan menyebabkan kepincangan sosial.
Dalam zaman moden dan dengan bilangan ramai serta penguasaan wanita dalam segala sektor, ada kemungkinan kekuasaan atau tugas-tugas penting yang selama ini didominasi oleh lelaki akan diambil alih oleh wanita.
Jika lelaki tidak mampu menunjukkan keupayaan dan daya intelektual yang tinggi, suatu hari nanti ruang itu akan diambil alih oleh wanita. Inilah yang berlaku sekarang.
Sektor awam seolah-olah tiada pilihan kerana jika tidak berbuat begitu, pembangunan negara dan umat Islam akan terbantut.
Perkara itu pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Siri Wacana Perdana bertajuk Peranan Wanita dan Belia Dalam Pembangunan Negara pada hujung tahun lalu.
Beliau membayangkan lelaki bakal kehilangan kuasa apabila wanita meningkat maju dalam pelbagai bidang.
''Perubahan kuasa dan autoriti akan berlaku antara dua gender ini, iaitu apabila anda (lelaki) membenarkan orang lain (wanita) melakukan tugas anda.
''Jadi, anda akan bergantung kepada wanita terutama apabila mereka mampu melakukan sesuatu dengan lebih baik. Sekarang, kita lihat golongan lelaki tidak lagi mempunyai kebebasan dan dalam masa yang sama, mereka tidak ada kelayakan," katanya.
Katanya, peningkatan golongan lelaki bersikap terlalu bergantung kepada wanita tidak boleh dibiarkan terus berlaku.
''Akan terjadi keadaan di mana wanita (isteri) boleh berkata kepada lelaki, kamu boleh keluar dari rumah," katanya.
Malah ada segelintir orang berfikir, apa guna mereka membuat sesuatu pekerjaan yang orang lain boleh melakukan untuk mereka.
Justeru, inilah yang terjadi apabila negara terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing kerana rakyat tempatan 'malu dan segan' untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.
Ketika itu, rakyat bukan sahaja akan hilang kebebasan, malah lambat laun akan 'kehilangan' negara sendiri.
Mahu tidak mahu wanita perlu dilibatkan sama dalam pembangunan negara.
Dengan jumlah populasi sebanyak 27 juta, Malaysia akan menghadapi masalah produktiviti jika tiada penglibatan tenaga kerja wanita.
Tidak hairanlah ketika Malaysia hanya mempunyai 13 juta penduduk, Dr. Mahathir yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan negara membuat kejutan apabila mengumumkan negara perlu mencapai 70 juta penduduk.
Meskipun, kini jumlah penduduk negara sudah meningkat sehingga 27 juta, kata Dr. Mahathir, beliau tetap menganggap Malaysia adalah sebuah negara yang kecil.
Justeru, katanya, negara perlu memanfaatkan seluruh rakyat termasuk wanita untuk membangunkannya.
Ini kerana, jika wanita diketepikan, maka jumlah guna tenaga akan terbahagi dua.
Sebagai pemimpin yang berfikiran jauh, Dr. Mahathir cukup cekap membuat jangkaan masa depan berdasarkan statistik. Dan statistik itulah yang menjadi 'bola kristal' untuk meramal masa depan.
''Apabila kita mempunyai 13 juta rakyat dan jika kita asingkan tenaga kerja wanita, jumlahnya hanya 6.5 juta.
''Ketika itu, hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah penduduk boleh bekerja. Jadi, apa akan terjadi jika 40 peratus daripada 6.5 juta rakyat sahaja yang boleh bekerja, sebab itu kita bawa masuk wanita," katanya mengimbas dasar pentadbirannya dahulu.
Pentingnya wanita dilibatkan sama dalam pelbagai sektor pekerjaan adalah kerana kemampuan dan keupayaan mereka.
Meskipun masyarakat masih didominasi kaum lelaki, namun sumbangan wanita tidak boleh dipandang ringan.
Hakikatnya, gabungan tenaga kerja lelaki dan wanita mampu memperluaskan pasaran produk tempatan dan kuasa beli di peringkat domestik.
Dengan itu, ekonomi negara dapat dijana lebih cepat ketika kelembapan ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya.
Apa yang kita lihat hari ini adalah wanita bukan sahaja berjaya menampilkan keupayaan dalam pelbagai bidang, malah mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik.

05 Mac 2010

PESARA BANTAH POTONG PAMPASAN

Berita Harian
5/3/2010


SAYA tertarik dengan laporan akhbar ini pada 2 Februari lalu yang memetik kenyataan Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan menyemak pencen penjawat awam serendah RM300 dan menyemak gaji yang mencapai gred maksimum. Apa yang ingin saya perkatakan ialah mengenai permohonan bersara pilihan. Arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Rujukan: JPA/PEN (s)228/25/5-11(22) bertarikh 25 Januari lalu, menyatakan penjawat awam yang memohon bersara pilihan selepas mencapai perkhidmatan lebih 30 tahun sama ada genap umur 54, 55, 56 ke atas hanya dibayar 20 peratus daripada ganjaran. Selebihnya dibayar apabila mencapai umur mengikut opsyen 58 tahun dan dengan menerima syarat pampasan itu pula akan ditolak kepada pinjaman perumahan. Syarat 20 peratus boleh juga diterima tapi janganlah ditolak pinjaman perumahan.
Saya berpendapat perkara ini tidak masuk akal sedangkan pinjaman perumahan diluluskan kerajaan mengikut tempoh dipersetujui dan diinsuranskan. Diharap kerajaan terutama JPA tidak mencadangkan arahan yang memberi tekanan kepada penjawat awam yang sedang merancang masa depan. Mungkin ramai penjawat awam sependapat dengan saya. Jika Omar membaca Berita Harian, pandang-pandanglah ruangan surat pembaca kerana pampasan yang diterima itu untuk kita memulakan penghidupan baru sebagai rakyat biasa seperti menunaikan haji, memulakan perniagaan bagi yang berminat, perusahaan kampung seperti memelihara, bertani dan membuat pelaburan dengan menyimpan dalam Amanah Saham Bumiputera untuk hari tua. Diharap Presiden Cuepacs dapat menyemak arahan JPA seperti di atas supaya bakal pesara menerima sekali gus pampasan dan tidak perlu pampasan itu ditolak pinjaman perumahan dan jangan slogan Perdana Menteri, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi laungan semata-mata.
Biar penjawat awam yang mahu bersara pada umur 54, 55, 56 dapat mengecapi kesenangan dan yang mahu berkhidmat hingga 58 tahun, teruskan. Jangan arahan lama JPA/PEN/228/25/1/JID.4 BIL 6 Tahun 2008 itu dipinda. Biar ia diguna pakai bagi mereka yang mahu bersara pilihan. Biar mereka rasa kesenangan ketika bersara dan menjalani kehidupan tenteram, bak kata pepatah tidaklah kita mati berputih mata kerana tidak dapat melihat hasil sumbangan tenaga kepada negara.

BAKAL PESARA HAMPA,
EBL, Muar.

03 Mac 2010

KESATUAN SEKERJA: PEKERJA DIPECAT BOLEH PEGANG JAWATAN

Bernama
02/03/2010 7:07pm





KUALA LUMPUR 2 Mac – Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini memutuskan pekerja yang telah dipecat boleh memegang jawatan pegawai dalam kesatuan sekerja.
Dalam kes yang dikemukakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bagi mencabar surat daripada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU) mengenai kedudukan seorang daripada setiausaha agungnya, J. Solomon, Hakim Datuk Alizatul Khair Osman membenarkan permohonan NUBE bagi diisytiharkan anggotanya yang telah dipecat, dibuang atau diberhentikan kerja kekal dianggap sebagai anggota kesatuan.
Alizatul juga membenarkan rayuan kedua kesatuan itu dan 10 anggotanya bagi diisytiharkan Akta Kesatuan Sekerja 1959, dibaca bersama-sama dengan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, tidak menghalang anggotanya yang telah dipecat, dibuang atau diberhentikan kerja daripada memegang jawatan sebagai anggota kesatuan.
Alizatul, yang memerintahkan kos ditanggung para plaintif, berkata, mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap rayuan ketiga kerana para plaintif telah menarik balik permohonan itu.
Dalam rayuan ketiga, kesatuan itu memohon diisytiharkan bahawa Solomon, yang dilantik setiausaha agung pada 7 Ogos, 2005, dan dilantik semua ke jawatan yang sama pada 26 Julai, 2008, telah dilantik secara sah dan mengikut undang-undang.
Berikutan keputusan hari ini, Solomon akan kekal sebagai Setiausaha Agung NUBE hingga 2011.
NUBE memfailkan saman pemula pada 20 Ogos, 2008 selepas menerima surat daripada DGTU. – Bernama

02 Mac 2010

CABARAN LELAKI

Metro
2/3/2010




AGAK memeranjatkan apabila tiba-tiba isu penguasaan wanita dalam sektor awam didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Ini kerana isu dominasi kaum wanita dalam sektor pekerjaan di negara kita bukan suatu fenomena baru. Ia berlaku dan berterusan sekian lama, malah saban tahun jumlah wanita yang memperoleh peluang pekerjaan boleh lebih tinggi daripada kaum lelaki baik di sektor awam mahupun dalam swasta.
Dalam sektor awam sendiri misalnya mengikut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 19 Februari 2010 menunjukkan kaum wanita menguasai 63% daripada jumlah penjawat awam yang meliputi pelbagai kumpulan perkhidmatan. Sebagai seorang lelaki dan juga penjawat awam, penulis tidak sedikitpun berasa tergugat atau bimbang dengan senario itu. Ini kerana selama ini pun kita sedia maklum kehebatan kaum wanita di negara kita dalam pelbagai bidang. Kejayaan demi kejayaan mereka raih dengan cemerlang dan gemilang.
Jika kita kaji secara mendalam, ternyata kaum wanita lebih cerdik daripada kaum lelaki. Buktinya boleh dilihat apabila setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan baik UPSR, PMR, SPM mahupun STPM semuanya dikuasai pelajar perempuan. Mereka sering muncul sebagai pelajar yang memperoleh paling banyak ‘A’ dalam mata pelajaran diambil berbanding pelajar lelaki.
Situasi ini berterusan pula di peringkat pengajian tinggi dan akibatnya hampir 70% hingga 80% jumlah pelajar di setiap kampus terdiri daripada pelajar perempuan dan sekali lagi mereka juga muncul pelajar terbaik di setiap konvokesyen IPT masing-masing.
Ini menunjukkan kaum wanita mudah mengatasi kaum lelaki dari segi pencapaian akademik maka tidak hairanlah apabila mereka juga terus mendominasi sektor pekerjaan kelak bila tamat pengajian. Seperti kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pelantikan ke sektor awam berdasarkan merit dan bukannya berdasarkan jantina maka sudah semestinya graduan wanita yang cemerlang akan mendapat peluang lebih baik terpilih ke sesuatu jenis pekerjaan.
Majikan swasta juga dewasa ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah memilih dan memberi kepercayaan kepada kaum wanita menyandang sesuatu jawatan dalam organisasi mereka.
Oleh demikian, walaupun kebimbangan Cuepacs tetap ada asasnya, namun baik pihak Cuepacs mahupun kaum lelaki itu sendiri sewajarnya melihat keadaan ini dari sudut dan perspektif yang lebih positif dan terbuka.
Anggaplah ia satu cabaran kepada kaum lelaki terutama remaja dan belia yang bakal memasuki alam pekerjaan. Mereka perlu cemerlang dalam akademik jika mahu bersaing dengan kaum wanita.
Namun, apa yang berlaku sekarang cukup menyedihkan kebanyakan lelaki muda terbabit dalam gejala kurang sihat seperti merempit dan dadah. Akibatnya jumlah kaum lelaki di penjara dan pusat serenti boleh dikatakan melebihi bilangan kaum lelaki yang ada di IPT di seluruh negara.
Jika keadaan ini berterusan maka agak mustahil untuk kaum lelaki bersaing dengan kaum wanita. Kaum lelaki perlu cepat sedar dan melakukan anjakan paradigma jika mahu terus kekal bersaing dengan kaum wanita. Persaingan ini pula perlulah dilihat sebagai suatu persaingan sihat demi masa depan negara yang gemilang.
Walau apapun kita wajar merakamkan ucapan terima kasih kepada Cuepacs kerana membangkitkan isu ini kerana sekurang-kurangnya pendedahan ini boleh menyedarkan kaum lelaki. Penulis mengharapkan kaum lelaki khususnya golongan muda akan sedar seterusnya berusaha keras untuk sama-sama berganding bahu dengan kaum wanita bagi memajukan negara.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
.

KEKOSONGAN BESAR JAWATAN JULAI

Utusan Malaysia
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my
2/3/2010

PUTRAJAYA 1 Mac – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menganggarkan kekosongan jawatan yang begitu besar akan berlaku dalam sektor kerajaan menjelang Julai ini.
Setiausahanya, Datuk Lamien Sawiyo berkata, keadaan itu berlaku ekoran ramai pegawai dan kakitangan yang sebelum ini dilanjutkan perkhidmatan mereka sehingga umur 58 tahun akan bersara pada tahun ini.
“Ini membabitkan pelbagai peringkat jawatan yang dianggarkan mengalami kekosongan yang signifikan dan ia memberikan kesan besar.
“Pada masa ini, kita sedang mengumpulkan maklumat daripada setiap agensi mengenai kekosongan yang akan berlaku nanti,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi kepada pasukan SPA FC yang layak menyertai Liga FAM 2010 di Ibu Pejabat SPA di sini hari ini.
Dasar melanjutkan usia persaraan daripada umur 56 tahun kepada 58 tahun dikuatkuasakan oleh kerajaan pada 1 Julai 2008.
Dijangka lebih 4,800 pegawai dan kakitangan awam yang sepatutnya bersara wajib pada 2008 akan menamatkan perkhidmatan antara Julai hingga Disember ini.
Menurut Lamien, pada masa ini SPA sedang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan mengenai kekosongan jawatan baru.
Katanya, suruhanjaya tersebut menganggarkan jumlah jawatan baru yang perlu diisi adalah kira-kira 50,000 sebagaimana dilakukan pada 2008 dan tahun lalu.
Dalam pada itu, katanya, jawatan kritikal dalam bidang perubatan seperti doktor yang diperlukan sebanyak 5,000 setiap tahun masih terus berlaku kekosongan.
Sementara itu, Lamien turut menyangkal kebimbangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa golongan wanita dikatakan menguasai sektor awam
Katanya, SPA yang bertanggungjawab melaksanakan pengambilan kakitangan baru membabitkan 250 skim perjawatan tidak melihat kepada aspek gender.
Contohnya, kata beliau, pengambilan terbaru jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) menyaksikan daripada 490 orang yang dilantik, 250 adalah lelaki manakala selebihnya wanita.
“Kita ikut merit, kalau bagus dan melepasi syarat kita akan ambil tanpa mengira jantina selain tiada kuota tertentu dalam membuat pengambilan kakitangan baru.
“Cuma, dalam keadaan tertentu melibatkan bidang tugas seperti jawatan pegawai penjara wanita, tentu kita akan ambil wanita tetapi kita tidak amalkan dasar diskriminasi terhadap wanita,” katanya.

01 Mac 2010

MAKLUM BALAS AKHBAR: MAKLUMAT DATA PENGISIAN PENJAWAT AWAM

JPA
24/2/2010


Merujuk kepada artikel yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia, 24 Februari 2010 bertajuk “Tiada isu, pelantikan wanita ikut merit - Ismail“ di mukasurat 7, dimaklumkan terdapat kesilapan maklumat mengenai data pengisian penjawat awam mengikut jantina dan kumpulan perkhidmatan. Data sebenar adalah seperti berikut:

Pengisian Mengikut Jantina dan Kumpulan Perkhidmatan




Status data sehingga 19 Februari 2010





Status jawatan termasuk jawatan tetap, sementara, khas untuk penyandang, simpanan latihan, kumpulan, tambahsentara, sambilan 29000,khidmat singkat 29000,sandaran 29000,kontrak 29000,jawatan berasaskan caruman,penyandang tetap tanpa waran, dan jawatan jumud.
Sumber Data: EIS, Pangkalan Data HRMIS, 19 Februari 2010

PENGISIAN JAWATAN: SPA TIDAK AMAL DISKRIMINASI

Bernama
01/03/2010 7:47pm

PUTRAJAYA 1 Mac – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak mengamalkan diskriminasi gender dalam pengisian setiap jawatan dalam sektor perkhidmatan awam, kata Setiausahanya, Datuk Lamien Lawiyo, hari ini.
Menurutnya, SPA tidak pernah membezakan gender pemohon kerana kelayakan dan kriteria pengambilan berpandukan kepada jenis jawatan yang dipohon.
Katanya, pengambilan penjawat awam tertakluk kepada kesesuaian dan kelayakan berbeza mengikut kehendak dan keperluan kementerian dan agensi kerajaan.
"Mereka dilantik mengikut kehendak bidang pekerjaan. Misalnya, Jabatan Penjara meminta penjawat wanita untuk Penjara Wanita dan kami menimbang kehendak jabatan dan kementerian yang memohon,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi kepada pasukan bola sepak SPA FC yang bertanding pada Liga FAM musim ini.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zin, baru-baru ini, bahawa dominasi penjawat wanita dalam sektor awam kian membimbangkan kerana ia akan memberi impak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, hampir tiga suku daripada jawatan baru dalam kategori Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) telah diisi oleh kaum wanita, sekali gus bertentangan dengan dasar kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan `pembuat keputusan” untuk golongan terbabit.
Sementara itu, Lamien memberitahu daripada 490 jawatan PTD yang diperuntukkan, 250 daripadanya diberikan kepada calon lelaki, manakala selebihnya diisi oleh calon wanita.
"SPA juga masih menanti maklum balas daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan berhubung anggaran kekosongan jawatan untuk tahun ini,” katanya. – Bernama