SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Februari 2011

TIADA WAKIL GAKUM GUBAL SSU

Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
28/2/2011



Kesatuan kecewa, kesal 55,000 ahli seperti dianaktirikan: Omar Osman

BATU PAHAT: Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM) kecewa apabila tiada wakil gabungan itu dibabitkan dalam penggubalan Sistem Saraan Universiti (SSU) walaupun ia membabitkan masa depan kira-kira 55,000 ahlinya di 20 IPTA.

Presiden GAKUM, Datuk Omar Osman, berkata Sistem Saraan Universiti sedang giat digubal dengan beberapa mesyuarat sudah diadakan membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Pendaftar IPTA dan kakitangan akademik. Omar yang juga Presiden CUEPACS berkata, gabungan itu terpaksa menubuhkan jawatankuasa bertindak khas bagi mendapatkan input dan cadangan ahli gabungan terhadap sistem berkenaan sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan nasib ahli GAKUM terbela. “Kita amat kecewa dan kesal kerana dianaktirikan dan mendapat layanan berat sebelah daripada KPT kerana menggubal SSU tanpa kehadiran wakil GAKUM, sedangkan pihak lain termasuk kakitangan akademik turut mempunyai wakil mereka.

“Seolah-olah 55,000 kakitangan pentadbiran dan sokongan di 20 IPTA seluruh negara tidak diperlukan sehingga pandangan dan pendapat mereka mengenai masa depan mereka sendiri tidak mahu diambil kira sedangkan ramai kami yang mempunyai kelayakan diploma dan ijazah.

“Siapa pula yang mahu memperjuangkan dan membela nasib ahli GAKUM, sedangkan mereka tidak dibabitkan sama dalam penggubalan sistem itu. Adakah adil nanti apabila sistem itu sudah digubal, ahli GAKUM dipaksa menerimanya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Skim Perkhidmatan Sokongan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Ahli GAKUM terdiri dari kakitangan pentadbiran dan sokongan Gred 1 hingga 42 membabitkan Penolong Jurutera, Penolong Pegawai Kewangan, Penolong Akauntan, Penolong Veterinar, Pembantu Am dan Pembantu Makmal.
Dalam pada itu, mengulas penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Omar mencadangkan bantuan guaman dan khidmat nasihat yayasan itu diperluaskan kepada warga tempatan berpendapatan di bawah RM35,000 setahun atau RM3,000 sebulan.

Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK ditetapkan dan dihadkan kepada semua warga negara tempatan berpendapatan di bawah RM25,000 setahun atau RM2,000 sebulan.

Omar berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun masih tidak mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk membayar khidmat guaman.

“Dengan yuran guaman yang tinggi ketika ini, sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat mereka bergaji RM3,000 sebulan juga masih tidak mampu menampung kos guaman dan amat memerlukan bantuan guaman,” katanya.

YBGK dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Februari lalu hasil inisiatif kerajaan bersama Majlis Peguam dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

CUEPACS MAHU BANTUAN GUAMAN DIPERLUAS

Utusan Malaysia
28/2/2011



BATU PAHAT 27 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menimbangkan supaya bantuan guaman dan khidmat nasihat oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperluaskan kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM35,000 setahun.

Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK hanya dihadkan kepada semua warganegara yang berpendapatan di bawah RM25,000 setahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun juga dikenal pasti tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar khidmat guaman.

"Dengan yuran guaman dan sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat golongan itu juga masih tidak mampu dan amat memerlukan bantuan guaman daripada YBGK.

"Keadaan tentu semakin sukar jika golongan ini mempunyai ramai tanggungan dan tinggal di bandar besar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Skim Saraan Universiti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Beliau juga Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (Gakum) mengulas mengenai YBGK yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

YBGK akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah dengan dikenakan caj bayaran minimum.

Perdana Menteri semasa melancarkan yayasan itu memberitahu, lebih kurang 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam kerana tidak mampu untuk membayar yuran yang tinggi.

Omar berkata, seiring gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, lebih ramai pihak wajar mendapat bantuan itu supaya mereka mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

"Kita faham, buat permulaan mungkin YBGK hanya untuk yang berpendapatan RM25,000 setahun dan ini satu usaha yang wajar dipuji. Bagaimanapun, kita harap ia dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.

Dalam pada itu, Omar berkata, langkah melakukan pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' sebagai antara tiga inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah juga wajar diperluaskan kepada kakitangan badan berkanun.

Menurutnya, kerusi panas yang diduduki kakitangan badan berkanun juga mesti dipantau dengan teliti bagi mengelak berlaku rasuah.

"Pada masa sama, jangan dilupakan 'kerusi sejuk' iaitu kakitangan yang sudah terlalu lama tidak dinaikkan pangkat.

"Mungkin tidak berlaku rasuah tetapi produktiviti mereka mungkin menurun kerana rasa tidak dihargai," katanya.

YBGK BERI KEADILAN UNTUK SEMUA - NGO

Utusan Malaysia
27/2/2011


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat langkah kerajaan melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dapat memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat pembelaan terbaik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, ia merupakan langkah bijak kerajaan dalam memastikan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun mendapat khidmat bantuan peguam yang disediakan.

Jelasnya, kebanyakan rakyat yang dihadapkan ke mahkamah gagal untuk membela diri disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Penubuhan yayasan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat bagi mendapatkan keadilan sekali gus mengelakkan golongan bawahan daripada ditindas dan dianiayai.

"Sebagai contoh, banyak kes penipuan membabitkan pihak atasan yang lebih berkuasa menindas orang bawahan yang tidak mampu membela diri apalagi mahu mendapatkan keadilan.

"Justeru, penubuhan yayasan ini dapat menjamin keselamatan dan keadilan bagi mereka yang memerlukan khidmat guaman," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pelancaran YBGK oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

Dalam pada itu Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Shaani Abdullah berkata, penubuhan YBGK dapat memberi kemudahan kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat guaman untuk membela diri.

Jelasnya, ada kes melibatkan mereka yang tidak berkemampuan mengambil risiko mengaku bersalah semata-mata tidak mempunyai wang untuk menanggung kos guaman yang tinggi.

"Jadi, yayasan ini mampu menyediakan proses pembelaan bagi mereka yang tidak berkemampuan di mahkamah tanpa tekanan kos guaman.

"Suhakam turut menyarankan supaya kerajaan meneliti dengan baik setiap permohonan bagi mengelak penipuan mengenai pendapatan isi rumah yang ditetapkan," katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan turut mengalu-alukan penubuhan YBGK yang dilihat mampu menjamin kebajikan rakyat apabila dihadapkan ke mahkamah.

Menurutnya, golongan berpendapatan rendah kini boleh membela diri mereka tanpa memikirkan soal bayaran guaman.

27 Februari 2011

PENGHUNI KUARTERS JALAN COCHRANE DIMINTA PINDAH

Bernama
27/2/2011


KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Penghuni kuarters kerajaan di Jalan Cochrane di sini yang wujud sejak sebelum Perang Dunia Kedua diminta berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan kuarters baru.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad berkata penghuni di Plot A dan B diberi tempoh sehingga 31 Mac manakala penghuni di Plot C diberi tempoh sehingga Jun untuk berpindah.

"Pihak Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd akan memotong bekalan elektrik dan air sekiranya mereka ingkar kepada arahan dan kerajaan tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan yang dihadapi mereka kelak," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Penyelarasan Penghuni Kuarters Jalan Cochrane di sini pada Sabtu.

Katanya pihak BPH telah membuka bilik gerakan tersebut sejak 15 Feb lepas untuk menyediakan kemudahan pengangkutan bagi urusan perpindahan penghuni kuarters.

Hasnol berkata bilik gerakan itu juga akan menyenarai nama penduduk dan memudahkan setiap keluarga membuat perancangan untuk menetapkan tarikh dan masa yang paling sesuai untuk berpindah.

Penghuni diberi pilihan sama ada untuk berpindah ke kuarters di Putrajaya, Petaling Jaya, Jalan Duta dan Jalan U-Thant serta berapa kawasan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Mereka juga boleh memohon rumah sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibah di Jalan Puchong.

"Sehingga hari ini, sebanyak 114 penghuni telah diberi penempatan di kuarters kerajaan di Putrajaya dan daripada jumlah itu 54 telah pun mengambil kunci rumah masing-masing.

"Selain itu 31 penghuni telah diberi penempatan di kuarters kerajaan di sekitar Kuala Lumpur manakala 159 penghuni telah memohon rumah PPR dengan DBKL.

"Setakat ini, sebanyak 62 rumah kuarters telah pun dikosongkan manakala 22 penghuni telah hilang kelayakan akibat ketua keluarga yang layak menduduki kuarters kerajaan telah pun bersara sebelum notis perpindahan dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.

Terdapat kira-kira 538 unit kediaman di kuarters kerajaan di Jalan Cochrane.

Bagaimanapun, kerajaan akan memberi kelonggaran dengan mempertimbangkan untuk memberi penempatan kepada penghuni sekiranya ketua keluarga yang layak menduduki kuarters kerajaan meninggal dunia, kata Hasnol.

Beliau berkata tapak kuarters kerajaan Jalan Cochrane akan dibangunkan semula untuk pembinaan kuarters kerajaan jenis apartmen antara 15 dan 20 tingkat.

Katanya projek itu melibatkan kos RM220 juta dan akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Katanya pembinaan kuarters baru di Jalan Conchrane itu perlu dilakukan untuk menampung lebih ramai kakitangan awam di sekitar ibu negara pada ketika ini selain daripada penduduk asal dari kalangan penjawat awam di kawasan tersebut.

Apabila siap kelak, kuarters baru itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan juga stesen sistem transit aliran massa (MRT) yang dicadangkan akan dibina di kawasan tersebut, katanya.

-- BERNAMA

CUEPACS MINTA SEMAK GAJI 5 BIDANG

Berita Harian
2011/02/26



KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula skim gaji penjawat awam beruniform iaitu bomba, Jabatan Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pendapatan mereka setaraf anggota polis dan tentera.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata skim gaji bagi lima bidang penjawat awam beruniform itu tidak sesuai dengan bidang tugas dan tanggungjawab dipikul. > “Jika kita lihat lima bidang penjawat awam itu, tugas mereka perlukan ketahanan fizikal dan mental di mana mereka perlu berhadapan dengan berjaga sehingga lewat malam, berkawal di sempadan negara dan semua ini berkaitan dengan risiko serta tanggungjawab mereka.

“Saya berharap kerajaan semak dan menilai semula skim gaji mereka dan menyelesaikannya dalam tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina dan pertemuan pertamanya bersama Exco Kanan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) di sini, semalam.

Selain itu, Omar turut mengingatkan orang ramai bahawa Koperasi CUEPACS Berhad adalah satu badan yang berbeza dengan CUEPACS dan mereka tiada hak menyentuh isu berkaitan kongres itu.

Ini berikutan aduan diterima CUEPACS berhubung koperasi itu.
“Saya ada menerima beberapa aduan orang ramai dan saya ingatkan kepada semua, koperasi itu di bawah satu badan lain dan tiada kena mengena dengan CUEPACS,” katanya

26 Februari 2011

KURSUS KENEGARAAN DIMANSUH

Berita Harian
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/02/26



Penjawat awam lulus TK1, aras IV layak dipertimbang anjakan gaji

KUALA LUMPUR: Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu. Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini. Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.

25 Februari 2011

INOVATIF PATUT JADI SYARAT GURU NAIK PANGKAT

Berita Harian
2011/02/24




MENARIK sekali pandangan Dr Kamal Jit Singh yang disiarkan akhbar ini pada 19 Februari lalu mengenai pemikiran inovatif.

Sekolah memang tempat paling sesuai melahirkan insan yang berfikiran kreatif dan inovatif. Guru perlu terlebih dulu memiliki pemikiran inovatif untuk menjadi perangsang kepada pelajar yang inovatif. Bukan sekadar guru yang mengutamakan kelulusan dan memberi maklumat kepada pelajar untuk dihafal dalam peperiksaan.

Ramai guru berkeupayaan untuk melakukan inovatif. Setiap tahun, pada Hari Guru juga ada anugerah Guru Inovatif.

Lebih ramai guru boleh melakukan inovatif jika diberi insentif.
Oleh itu, dalam usaha kita mencari alternatif Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk penjawat awam termasuk guru, unsur guru inovatif wajar dijadikan kriteria penting untuk kenaikan pangkat, pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Guru Cemerlang.
Guru inovatif mempunyai pengalaman dan idea untuk merenung masalah dalam profesion, mencari jalan penyelesaian, menyusun strategi, mengubah suai strategi, melaksanakan program, membuat penilaian, menunjukkan demonstrasi, serta dokumentasi.

Setidak-tidaknya guru boleh membuat kajian tindakan dalam P&P. Hasil kreatif dan inovatif mereka boleh menjadi rujukan guru lain.

Sekolah perlu mempunyai jawatankuasa penilai untuk ketelusan pemilihan. Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan profesion perguruan.

Program inovasi itu mungkin dijalankan oleh seorang guru atau dalam kumpulan.
Kemahiran bekerja dalam kumpulan juga adalah satu usaha inovatif yang bukan mudah dibina dalam kalangan guru di sekolah.

GURU BIASA,

24 Februari 2011

MINDA PENGARANG: SISTEM PENGGILIRAN TUGAS MAMPU BERSIHKAN PERSEPSI NEGATIF RAKYAT

Berita Harian
22/2/2011




PEGAWAI dan kakitangan awam yang memegang jawatan ‘panas’ sukar untuk mengelak daripada persepsi negatif, terutama mereka yang terbabit dalam agensi penguatkuasaan. Kehadiran mereka juga sering dipandang serong masyarakat. Melihat latar belakang dan persekitaran tugasan yang terdedah kepada perlakuan rasuah, persepsi itu bagaikan stigma yang sukar dipisahkan.

Justeru, ada kebenarannya dengan kenyataan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, kelmarin supaya pegawai dan kakitangan penyandang jawatan itu diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai antara usaha kerajaan memerangi rasuah. Bagi orang ramai, tindakan proaktif sebegini diyakini boleh mengurangkan rasuah kerana usaha membanterasnya ke akar umbi memerlukan strategi, komitmen serta masa, selain pengorbanan kakitangan itu sendiri. < Kita tahu segelintir penyandang jawatan ‘panas’ seperti di Jabatan Imigresen dan Kastam yang masing-masing sepatutnya menjadi penapis kemasukan warga serta produk asing ke negara ini, sebaliknya terbabit gejala mengambil ‘duit kopi’ atau menerima ‘habuan bawah meja’ untuk menghalalkan cara atau mengetepikan undang-undang. Orang ramai juga mempunyai persepsi negatif terhadap pasukan polis ketika majoriti anggotanya benar-benar bertindak untuk menguatkuasakan undang-undang. Justeru, sistem penggiliran tugasan, sama ada berpindah jabatan dan tempat kerja, diharap mampu melonjakkan semula nama baik pasukan penguat kuasa. Sebelum ini, kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia, yang setakat ini sudah mengemukakan 125 cadangan bagi memulihkan imej dan kredibiliti pasukan itu dari sudut kaca mata awam. Dengan mewajibkan sistem penggiliran tugasan yang akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat, kita yakin sebahagian lagi persepsi negatif terhadap penyandang jawatan ‘panas’ dapat dikikis dan orang awam kembali menaruh keyakinan terhadap kredibiliti mereka.

Jawatan panas turut membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain pegawai peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan. NKRA Rasuah juga wajar melihat potensi rasuah di jabatan yang ada kaitan dengan lesen, permit, subsidi, kelulusan, perbekalan dan operasi supaya tanggapan jentera perkhidmatan awam terdedah gejala rasuah dapat dikikis ke tahap paling minimum. Kita tahu gejala rasuah antara ancaman terbesar sesebuah negara dan bangsa.

Rasuah dalam apa juga bentuk, boleh mempengaruhi banyak keputusan atau tindakan pada semua peringkat sehingga meruntuhkan sistem dan integriti kerajaan. Membanteras gejala rasuah dipertingkatkan selaras usaha melaksanakan transformasi sektor awam dan swasta, selain parti politik komponen Barisan Nasional (BN) supaya ketiga-tiganya mampu melaksanakan tadbir urus secara berkesan serta telus mencapai piawaian urus tadbir kelas dunia. NKRA Rasuah juga perlu peka terhadap mana-mana jabatan atau agensi perkhidmatan awam dan potensi berlaku gejala rasuah di dalamnya.

Ketika fokus umum dialih kepada tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan, langkah memperkukuh imej serta kredibiliti harus dilakukan dari sudut menangani penyelewengan kuasa dan dana dalam entiti itu. Usaha memerangi rasuah jangan dilihat bermotifkan politik atau dipolitikkan. Selain bukti inisiatif dan komitmen kerajaan, tindakan itu selaras aspirasi rakyat yang menuntut semua urus tadbir dilakukan secara profesional, telus dan ada pertanggungjawaban.

PENJAWAT AWAM DISARAN SIMPAN DAN TULIS DIARI

Bernama
24/2/2011


KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim menyarankan setiap penjawat awam di kementerian itu menyimpan dan menulis diari mengenai pengalaman masing-masing sehingga dapat menghasilkan sebuah buku untuk tatapan rakan-rakan.

Bagaimanapun, katanya penghasilan sesebuah buku mungkin tidak akan tercapai sekiranya tidak disusuli dengan minat.

"Masalahnya ialah minat... jika minat kita untuk menulis tidak cukup, tidak tebal maka penghasilannya mungkin tidak jadi tetapi sekiranya minat itu diasah dari mula-mula kita bertugas dan berkhidmat, saya percaya kementerian inilah salah satu kementerian yang boleh melahirkan penulis biografi kemudiannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan persaraan empat pegawai kanan KPKK di sini Rabu.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha KPPK (Kebudayaan) Datuk Mohammed Mohd Daud, bekas Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil, bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Selamat Sukimi dan bekas Penasihat Media kepada Menteri Datuk Abdul Rahman Hamid.

Rais turut berharap keempat-empat pegawai kanan KPKK yang telah berkhidmat lebih 32 tahun itu mengambil peluang menulis pengalaman masing-masing untuk dijadikan bahan bacaan generasi seterusnya.

"Lantaran masa penjajahan Inggeris dulu mereka gemar menulis tentang perjuangan dan pandangan mereka tentang tanah air dan orang Melayu serta kehidupan di Malaya atau di Semenanjung Tanah Melayu.

"Jadi apa salahnya saya fikir pegawai-pegawai kita juga pada masa ini rajin menulis dan menghasilkan penulisan untuk ditatap oleh rakan dan rakyat berhubung dengan pengalaman dan latar belakang mereka," katanya.

-- BERNAMA

23 Februari 2011

BEKAS SETIAUSAHA AGUNG NUBE DIPENJARA 10 TAHUN

Utusan Malaysia
23/02/2011 3:45pm

KUALA LUMPUR 23 Feb. - K. Shanmugan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah dana persatuan tersebut itu pada 16 tahun lalu.

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut. - Utusan

HOT STAFF DITUKAR KE BAHAGIAN LAIN

Berita Harian
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my
2011/02/22



Langkah untuk atasi rasuah agensi penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kakitangan agensi penguatkuasaan bermasalah atau disifatkan sebagai ‘hot staff’ termasuk mereka yang pernah terbabit rasuah dan mempunyai rekod tatatertib buruk akan ditukar ke bahagian lain sebelum akhir tahun ini. Mereka akan ditempatkan di bahagian lain yang kurang sensitif bagi memastikan keberkesanan tugas sesuatu agensi, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku rasuah. Kakitangan berkenaan akan dikenal pasti oleh Unit Pematuhan lima agensi terbabit termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen bagi memastikan masalah sama tidak berulang, selain menjadi teladan kakitangan lain.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata selain mengenal pasti kakitangan bermasalah, agensi itu juga akan mengenal pasti jawatan panas (hot job) dan kawasan panas (hot spot) di agensi masing-masing bagi pertukaran kakitangan mengikut jawatan dan tempat bertugas.

“Unit Pematuhan setiap agensi akan diseragamkan supaya memudahkan urusan pertukaran kakitangan, komunikasi antara agensi dan pemantauan pelaksanaan tugas oleh kakitangan, termasuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Dengan ini, setiap agensi dapat memeriksa tugas kakitangan penguatkuasa secara lebih terperinci seperti mengenal pasti kesalahan dilakukan serta menjalankan ujian integriti dan tidak hanya bergantung kepada aduan,” katanya.
Berita Harian semalam melaporkan, semua pegawai dan kakitangan awam menjawat jawatan ‘panas’ terutama agensi penguatkuasaan akan diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai salah satu usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, sistem itu dimulakan oleh JKDM tahun lalu di bawah inisiatif makmal NKRA rasuah dan dibentangkan pada pertemuan dengan semua agensi penguatkuasaan, sebelum diputuskan untuk diguna pakai memerangi gejala rasuah di kalangan kakitangan awam

21 Februari 2011

NUTP BANTAH CADANGAN SWATA SEKOLAH KERAJAAN

Bernama
21/02/2011 2:13pm

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) hari ini berkata kesatuan itu membantah sebarang langkah untuk menswastakan sekolah kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, dasar baru kerajaan berhubung kerjasama Menteri Pelajaran, di Limbang minggu lepas bahawa kerajaan menimbangkan untuk menswastakan sekolah tertentu atau membenarkan pihak swasta untuk menguruskan pembaikan dan penyelenggaraan. - Bernama

20 Februari 2011

KERAJAAN PUSAT BELANJA RM3.8 BILION SETAHUN UNTUK KAKITANGAN AWAM DI KELANTAN

Bernama
20/2/2011


KOTA BAHARU, 20 Feb (Bernama) -- Kerajaan persekutuan membelanjakan RM3.8 bilion setahun untuk perbelanjaan mengurus 74,800 kakitangan awam di Kelantan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahya Mamat.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu atau kira-kira RM300 juta sebulan adalah untuk memastikan kakitangan awam di Kelantan mampu memberi perkhidmatan cemerlang seterusnya membantu meningkatkan pembangunan di negeri ini.

"Peruntukan yang disalurkan itu lebih banyak, berganda-ganda daripada hasil perolehan negeri setiap tahun iaitu RM300 sehingga RM400 juta setahun," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Taklimat Keselamatan dan Isu-Isu Semasa di sini Ahad.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Penceramah pada majlis yang dihadiri kira-kira 117 agensi di Kelantan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Urus Setia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman SAC Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Selain peruntukan mengurus kakitangan awam, Yahya berkata kerajaan turut meluluskan sebanyak RM2.4 bilion dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh untuk melaksanakan 346 projek di negeri ini.

-- BERNAMA

KAKITANGAN KERAJAAN DUDUK 'KERUSI PANAS' DITUKAR

Utusan Malaysia
20/2/2011



PORT DICKSON 20 Feb. - Pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' adalah antara tiga inisiatif akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah, pada tahun ini.

Selain jawatan di kerusi panas, kakitangan yang kerap dikaitkan dengan rasuah juga akan terlibat dalam inisiatif tersebut.

Pengarah NKRA Rasuah, Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan, Datuk Hisham Nordin berkata, kerusi panas dimaksudkan ialah mereka yang bertugas di tempat kritikal serta berkait rapat dengan imej negara seperti pintu masuk negara, agensi penguatkuasaan dan pejabat tanah.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan penilaian risiko pada tahun lalu yang mengenal pasti tempat atau jawatan yang memberi ruang luas untuk individu melakukan kesalahan rasuah.

"Sebagai contoh, kakitangan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang terdedah kepada perbuatan membawa masuk pendatang tanpa izin dan senjata atau kakitangan jabatan yang berurusan secara terus dengan orang ramai atau di peringkat lebih kecil seperti pejabat tanah.

"Terdapat juga staf itu sendiri bertaraf 'panas' yang mana ke mana saja dia pergi, tempat itu akan menjadi 'panas' dengan perbuatan rasuah," katanya pada sidang akhbar selepas sesi makmal mini NKRA Memerangi Rasuah 2011 di sini hari ini.

Makmal mini selama tiga hari bermula sejak Khamis lalu melibatkan 35 peserta daripada kementerian dan agensi kerajaan serta perunding asing.

Antara lain, makmal mini itu bertujuan menyemak dan mendapatkan maklum balas daripada kumpulan fokus mengenai kesan pelaksanaan inisiatif NKRA tahun lalu dan merancang strategi dan penambahbaikan pelaksanaan inisiatif bagi tahun ini.

Hisham memberitahu, pertukaran yang hendak dilaksanakan itu tidak mudah kerana ia akan melibatkan kos kepada kerajaan tetapi tempat yang mempunyai risiko tinggi perlu dikendalikan dengan betul.

Katanya, hasrat yang hendak dicapai dalam usaha itu ialah untuk menentukan mereka yang duduk lama di jawatan tertentu tidak mempunyai peluang melakukan kesalahan rasuah.

"Jika kakitangan itu sendiri sememangnya berkesan dalam menjalankan tugas sekali pun, ia tidak akan memberi imej baik kepada kerajaan dalam kerangka yang lebih besar," ujarnya.

Beliau memberitahu, dua inisiatif lain yang hendak dijayakan pada tahun ini ialah reformasi perkhidmatan awam dan melaksanakan pakatan integriti secara menyeluruh.

Secara peribadi, katanya, beliau juga mahu menyelesaikan inisiatif berkaitan sumbangan dana kepada parti-parti politik.

"Kami berharap semua inisiatif ini akan diterima dan dekat di hati rakyat kerana pendekatan NKRA bukan sahaja soal pelaksanaan tetapi apa yang paling penting ialah kesan dari pelaksanaan itu," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, kejayaan besar pihaknya ialah pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan (MyPROCUREMENT), Pangkalan Data Pesalah Rasuah, penubuhan unit pematuhan di agensi penguatkuasaan dan penubuhan Mahkamah Khas Rasuah.

19 Februari 2011

SEMANGAT MUSYAWARAH DI KALANGAN PENJAWAT AWAM MAMPU CIPTA LEBIH BANYAK KEJAYAAN - FORUM PERDANA

Bernama
18/2/2011



KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Penjawat awam perlu mengamalkan semangat musyawarah dengan rakan sejawatan seperti yang dianjurkan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam usaha mencipta lebih banyak kejayaan bagi organisasi dan kerjaya mereka.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang Badlishah Alauddin berkata mereka perlu mencontohi sikap Rasulullah yang menganggap sesuatu kejayaan itu adalah atas usaha bersama.

"Semangat musyawarah atau perbincangan perlu diterapkan di kalangan sesama penjawat awam yang lain untuk mencipta lebih banyak kejayaan," katanya pada Forum Perdana sempena sambutan Maulidurasul anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di Masjid Muhammadi, Angkasapuri di sini.

Forum bertajuk "Kepimpinan Rasulullah: Aplikasi dan Penghayatannya" disertai panel terdiri Badlishah, anggota Majlis Fatwa Negeri Sembilan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan Dr Mohd Redhuan Tee Abdullah sebagai moderator.

Forum itu, yang dihadiri para kakitangan daripada seluruh jabatan dan agensi KPKK, antara lain mengingatkan umat Islam supaya mengaplikasikan sunnah Nabi Muhammad S.A.W dalam pelbagai aspek kehidupan sebelum mengejar cita-cita untuk menjadi pemimpin dalam bidang yang diceburi.

Badlishah berkata Rasulullah perlu dicontohi kerana baginda berjaya menjadi pemimpin ummah yang disegani dan pada masa yang sama tidak mengabaikan peranannya sebagai pemimpin dalam keluarga.

"Antara faktor kejayaan baginda adalah kerana kebijaksanaannya dalam menguruskan pelbagai perkara. Baginda tidak sekali-kali menganggap sesuatu kejayaan itu berpunca daripadanya, sebaliknya menganggap ia sebagai kejayaan bersama," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan penjawat awam agar tidak cepat berasa bangga dengan kejayaan yang dicapai.

Pada akhir forum itu, kontinjen KPKK menerima hadiah setelah menjuarai pertandingan Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada Selasa lepas.

-- BERNAMA

18 Februari 2011

PENJAWAT AWAM JANGAN LENGAHKAN KERJA - LAJIM

Utusan Malaysia
18/2/2011




KUALA PENYU 17 Feb. - Penjawat awam digesa membuat sesuatu keputusan atau kelulusan dengan kadar segera dan tidak melengah-lengahkan kerja dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penjawat awam khususnya ketua jabatan perlu memastikan proses kerja yang diguna pakai sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa.

Menurut beliau, hanya dengan cara itu ia dapat meyakinkan masyarakat dan memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.

Sehubungan itu katanya, penjawat awam bukan sahaja perlu komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, tetapi pada masa yang sama perlu memiliki daya saing dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

"Sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi, penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pengetahuan bagi memastikan segala perkhidmatan yang diberikan mampu memuaskan setiap pelanggan iaitu orang ramai," katanya di sini hari ini.

Lajim berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan daerah Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato' Shah Bandar Makang di sini.

Mengulas lanjut, Lajim berkata, setiap ringgit yang dibelanjakan oleh penjawat awam seharusnya dibelanjakan dengan berhemah dan boleh memberi impak positif kepada kepentingan rakyat.

Jelasnya, hanya tindakan berhemah tersebut membolehkan kerajaan berjimat dan menggunakannya untuk melaksanakan lebih banyak projek di negeri ini.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memandang berat soal integriti dalam kalangan penjawat awam.

"Kesungguhan serta kebolehan penjawat awam di semua peringkat dalam menentukan segala dasar dan program dilaksanakan dengan sempurna merupakan kunci kepada kejayaan negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang menghargai sokongan dan serta kerjasama yang diberikan oleh penjawat awam amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan bagi memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan rakyat supaya menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

"Mereka yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain. Pihak berkenaan harus sedar peranan sektor awam kerana mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar dan pembangunan negara," katanya.

CADANGAN GAJI MINIMUM PENJAWAT AWAM DISAMBIT BAIK

Bernama
17/2/2011



KOTA KINABALU, 17 Feb (Bernama) -- Cadangan Cuepacs supaya kerajaan menetapkan gaji minimum antara RM850 dan RM920 bagi penjawat awam mendapat sambutan positif.

Dalam satu tinjauan rambang di sini Khamis, beberapa penjawat awam berkata langkah itu dapat membantu khususnya pekerja yang sudah berkeluarga.

Dayrrl Dominic, 31, warder penjara di pusat pemulihan juvana, Sekolah Henry Gurney di Keningau, berkata walaupun gaji pokok beliau kini melebihi RM1,000 sebulan, paras itu hanya dicapai selepas 11 tahun bekerja dengan Jabatan Penjara Malaysia.

Semasa beliau mula bekerja dahulu, gaji pokok beliau hanyalah RM489 dan ditambah elaun, ia berjumlah RM600.

Beliau menyokong cadangan Cuepacs baru-baru ini supaya kerajaan menetapkan gaji minimum bagi penjawat awam untuk menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

"Memang ini berita gembira jika diluluskan, terutama kepada mereka yang baru memasuki perkhidmatan awam. Sebelum ini ada teman-teman yang terpaksa mencari kerja sampingan seperti bertani atau mengusahakan ladang, untuk cari duit lebih," kata Dayrrl.

Ros Barinau, 29, seorang jururawat di hospital kerajaan, turut menyokong cadangan itu kerana ianya akan dapat dinikmati oleh setiap peringkat penjawat awam.

"Bagus jugalah kalau mereka naikkan gaji minimum, (gaji) kami pun mungkin naik," katanya.

Ros, yang sudah berkhidmat selama lima tahun, berkata walaupun beliau tidak mempunyai masalah daripada segi gaji pokok kerana ianya memang melebihi paras minimum yang disyorkan oleh Cuepacs, beliau dan beberapa rakan sekerjanya pada mulanya menghadapi masalah apabila ditugaskan di kawasan pedalaman kerana elaun khas yang diberikan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sebenar.

"Semasa saya di pedalaman Beluran dulu, kami terima elaun hidup susah RM100 lebih. Tapi kalau sewa kenderaan untuk sekali perjalanan ulang-alik pergi ke pekan terdekat untuk beli barang keperluan, sudahpun menelan belanja RM200, mana cukup," katanya.

Ros berharap dasar gaji minimum ini dapat dilaksanakan pada masa terdekat untuk memastikan beban penjawat awam terutamanya yang ditugaskan di kawasan pedalaman, dapat dikurangkan.

Julita Benjamin, petugas di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, berharap kerajaan negeri turut menimbang perkara itu bagi pekerja-pekerja awam di bawah kerajaan negeri.

Beliau berkata adalah wajar gaji yang diberikan setimpal dengan tugas yang dijalankan.

"Terdapat kes pekerja bawahan membuat kerja pegawai tetapi mereka ini tidak menikmati ganjaran sewajarnya," kata Julita.

HOSPITAL AWAM ATAU SWASTA? PILIHAN DI TANGAN ANDA

Bernama
Oleh Zulkiple Ibrahim
17/2/2011




KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama)-- Kemudahan penjagaan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik berikutan perbelanjaan besar yang diperuntuk kerajaan, tetapi masih ramai yang lebih gemar mendapatkan khidmat rawatan masalah kesihatan mereka di hospital swasta.

Persoalannya kenapa?

Menurut pengamal perubatan Dr Y. Foong, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat yang memilih rawatan di pusat penjagaan kesihatan swasta.

"Mungkin ada orang yang tidak suka dengan waktu menunggu yang agak lama di hospital awam. Kerana beberapa sebab tertentu, masa untuk menerima rawatan mungkin agak lama dan sudah tentu ada yang tidak gemar dengan situasi sebegini.

"Ada juga yang mungkin tidak berapa puas hati dengan rawatan yang diberikan.

"Kadang kala juga mereka mahu mendengar pendapat kedua tentang masalah yang mereka hadapi," kata Dr Foong.

APA KATA PESAKIT?

Peniaga Abdul Rahman Bakar, yang lebih suka mendapatkan rawatan di hospital swasta berkata:

"Di hospital swasta, saya dapat rawatan yang cepat dan saya juga boleh pilih pakar yang saya mahu untuk rawatan. Saya juga boleh pilih pakar untuk konsultasi masalah kesihatan saya," kata beliau.

Pakar teknologi maklumat Steven Lim bersetuju dengan pendapat Abdul Rahman.

Katanya rawatan di hospital swasta dapat diberikan dengan cepat sementara konsultasi dan temujanji diadakan di waktu yang sesuai bagi pesakit.

"Keluarga dan rakan dapat melawat tanpa ada banyak halangan," katanya.

INSURANS PENJAGAAN KESIHATAN SWASTA

Kini ramai yang suka pergi ke hospital swasta kerana majikan mereka menyediakan insurans penjagaan kesihatan sebagai satu daripada kemudahan di tempat kerja.

Terdapat pelbagai perlindungan insurans kesihatan, daripada pelan keluarga hinggalah kepada pakej perlindungan pakar.

"Perkara pertama seseorang yang mendapat perlindungan insurans perlu lakukan ialah menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui perlindungan perubatan yang diberikan bagi sesuatu khidmat rawatan itu.

"Mereka juga perlu mengetahui samada perlindungan tersebut meliputi konsultasi serta ujian bagi pesakit luar," kata aktivis sosial dan pengguna Fatimah Mansur, sambil mengingatkan kebanyakan polisi insurans kesihatan tidak meliputi masalah kesihatan yang sedia ada serta juga penyakit kronik.

Juga penyakit jangka panjang yang tidak boleh sembuh.

"Adalah baik bagi anda menghubungi syarikat insurans untuk mengetahui rawatan serta perlindungan kesihatan yang diberikan," kata Fatimah.

KOS TINGGI

"Mahal lah," kata peruncit K. K. Wong yang mahu dikenali sebagai Kay, bila ditanya sama ada beliau memilih hospital swasta atau pusat kesihatan awam.

Menurut Kay, kerajaan membelanjakan berbilion Ringgit untuk menyediakan serta meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan awam di negara ini.

"Kerajaan membelanjakan wang yang banyak dari segi penjagaan kesihatan untuk orang ramai. Sudah tentu jika anda mencari kemewahan seperti bilik yang dilengkapi televisyen, ia tidak didapati di hospital kerajaan.

"Tetapi hospital sepatutnya bagi mereka yang sakit untuk mendapatkan rawatan, jika anda nak tengok televisyen lebih baik duduk di rumah sahaja," kata beliau.

Kata Kay, orang ramai perlu sabar dengan masa menunggu dan rawatan di hospital awam.

"Terpaksa menunggu untuk konsultasi serta mendapatkan ubat dan juga masa untuk masuk wad adalah perkara biasa. Apatah lagi bayaran yang dikenakan amat murah (berbanding hospital swasta)", tambah Kay.

PERMATA DALAM SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN

Seorang doktor yang sudah bersara, M. Anthony, berkata bekerja di hospital kerajaan merupakan sesuatu yang beliau banggakan.

"Semasa zaman kolonial serta tahun-tahun selepas Merdeka, kemudahan serta infrastruktur kesihatan awam memang tidak mencukupi serta ketinggalan. Tetapi kini, semua kelengkapan di hospital kerajaan di negara ini bertaraf dunia," kata Anthony yang merupakan graduan perubatan dari universiti di Ireland pada tahun 1950-an.

Kata Anthony hospital kerajaan adalah permata dalam sistem penjagaan kesihatan di negara ini. Hospital ini memang mudah menerima reputasi yang tidak baik tetapi sebenarnya merupakan model atau contoh bagi kecemerlangan di bidang klinikal.

"Hospital ini masih merupakan institusi yang dituju pesakit bila mereka memerlukan rawatan," kata beliau.

Katanya masalah utama ialah kekurangan petugas di hospital awam.

"Sepatutnya bilangan jururawat, doktor, ahli fisioterapi dan petugas perubatan lain mencukupi, tetapi bilangan pesakit yang mahukan rawatan terlampau ramai. Ini menunjukkan masih ramai yang mahukan perkhidmatan di hospital kerajaan", kata beliau.

Bila jumlah pesakit yang mahukan rawatan di hospital awam menjadi begitu ramai bila dibandingkan dengan petugas yang berkhidmat, sudah tentu beban tugas menjadi lebih berat, tambah beliau.

RAWATAN PERCUMA

Pendidik V. Vasugi mempunyai pandangan sebegini:

"Hospital awam tetap ada bagi kita semua. Ini sebabnya kita perlu menghargai mereka. Mereka memberikan khidmat cemerlang dan ini kita patut bangga", kata beliau.

Kerajaan juga menyediakan rawatan percuma di hospital bagi penjawat awam serta keluarga mereka dan ini antara sebabnya masih ramai yang mahukan perkhidmatan di hospital awam.

"Kerajaan memberikan perkhidmatan rawatan percuma bagi kakitangan awam serta keluarga mereka. Ini jarang berlaku di negara lain," kata Ahmad Kassim, yang bersara daripada perkhidmatan diplomatik Malaysia.

KHIDMAT CEMERLANG

Baru-baru ini juga, penulis menerima rawatan di wad ortopedik di sebuah pusat perubatan awam di sini.

Jururawat, doktor serta atendan di wad itu menjalankan tugas mereka secara profesional dan penuh dedikasi.

Contohnya bila 'loceng bantuan' dibunyikan pesakit, tak sampai beberapa saat jururawat muncul untuk memberikan bantuan yang diperlukan pesakit.

Para pegawai perubatan serta juga pakar menjalankan tugas mereka di wad itu secara bergilir-gilir hampir 24 jam sehari.

Bagi penulis, kecemerlangan serta profesionalisme tetap wujud di hospital awam yang merupakan permata dalam sistem kesihatan di Malaysia.

-- BERNAMA

17 Februari 2011

MTUC INGATKAN MAJIKAN JANGAN SEKAT USAHA KESATUAN LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

Bernama
17/2/2011



PETALING JAYA, 17 Feb (Bernama) -- Para majikan tidak seharusnya menyekat usaha kesatuan-kesatuan sekerja yang sah daripada melaksanakan tunggungjawab mereka demi mengekal dan mengukuhkan keharmonian hubungan industri yang dikecapi negara, kata presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan.

Beliau berkata tiada tunjuk perasaan atau ketegangan secara besar-besaran berlaku dalam negara sejak 2001, kerana rata-rata kepimpinan kesatuan sekerja ketika ini lebih bertanggungjawab yang memilih untuk berunding secara aman dalam menangani setiap isu.

Bagaimanapun menurutnya sejak kebelakangan ini beliau mendapati ada kalangan majikan yang menggunakan taktik yang tidak beretika untuk melemahkan kesatuan sekerja.

"Mereka sering menggunakan taktik menggalakkan penubuhan kesatuan sekerja dalaman yang disertai pekerja-pekerja yang menyokong mereka untuk menjatuhkan atau sabotaj kesatuan sekerja yang sah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ini adalah cara tidak langsung yang sering digunakan bagi mencampuri urusan kesatuan.

"Dalam jangka masa panjang taktik ini akan memakan diri apabila para pekerja terpengaruh dengan janji-janji palsu yang diberikan oleh pihak pengurusan kepada kesatuan sekerja dalaman, yang sehati dengan majikan," katanya.

Khalid berkata salah satu anggota gabungan MTUC, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) kini berhadapan dengan keadaan sama apabila sebuah kesatuan sekerja ditubuhkan dengan sokongan pihak pengurusan.

"Kami difahamkan pegawai-pegawai Nube dihalang daripada menjalankan tugas (di bank) dan keutamaan diberikan kepada kesatuan sekerja dalaman," katanya.

Beliau berkata pendaftar Kesatuan Sekerja perlu menjalankan siasatan dengan segera perkara ini, kerana jika dibiarkan ia akan memusnahkan kesatuan-kesatuan sekerja.

Nube merupakan kesatuan sekerja terbesar dan tertua dalam sektor kewangan di Malaysia dan mewakili kira-kira 40,000 daripada 70,000 pekerja dalam sektor itu.


-- BERNAMA

16 Februari 2011

CUEPACS MAHU SISTEM LEBIH BAIK GANTI PTK

Utusan Malaysia
16/2/2011




KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memastikan sistem penilaian baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) nanti dilaksanakan dengan lebih mudah dan bersekali dengan sistem gaji.

Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Azih Muda berkata, ia bagi mengelakkan sistem baru yang dijangka diumumkan oleh kerajaan nanti menjadi kekangan kepada anggota sektor awam dalam meneruskan kerjaya mereka.

Katanya, CUEPACS turut mencadangkan agar kerajaan menyemak semula gaji jawatankuasa Kabinet yang terbukti lebih berkesan dalam sektor awam serta tidak menimbulkan banyak rungutan.

Menurutnya, sistem baru itu perlulah lebih fokus kepada tugas yang dilakukan oleh penjawat awam dan juga mengambil kira kekananan dan tidak semata-mata menggunakan kaedah merit untuk kenaikan pangkat.

"Sebab itu CUEPACS turut mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem gaji matrik yang ada sekarang diganti dengan sistem gaji selapis yang mampu memenuhi tempoh perkhidmatan seseorang sebelum bersara pada umur 58 tahun.

"Antara satu mata gaji yang sesuai nanti mungkin boleh diadakan sekatan kecekapan yang memerlukan seseorang penjawat awam berusaha meningkatkan kecekapan dan kemahiran mereka untuk tujuan anjakan ke mata gaji lebih tinggi," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi CUEPACS Bahagian Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ahli jawatan kuasa CUEPACS Bahagian Terengganu di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dekat sini kelmarin.

Katanya, CUEPACS tidak mahu lagi melihat kegagalan agensi pelaksana PTK berulang apabila kerajaan melaksanakan sistem baru itu nanti dan untuk itu kerajaan perlu mengambil kira pandangan agensi dan kesatuan sekerja dalam merangka sistem tersebut.

Selain itu Azih berkata, CUEPACS turut menerima cadangan daripada kesatuan sekerja yang mewakili anggota di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) agar hanya satu skim perkhidmatan diwujudkan di PBT.

Katanya, pemantapan skim perkhidmatan boleh dilakukan oleh kerajaan dengan mengambil kira keperluan yang ada di PBT itu sendiri yang berjumlah hampir 200 PBT termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Apabila ada satu skim sahaja akan memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada anggota di PBT dan cadangan ini merupakan satu yang unik kerana belum ada cadangan seumpamanya dikemukakan kepada kerajaan sebelum ini,'' jelasnya.

Sementara itu kerajaan juga diminta menyelesaikan kedudukan pengajar membalak gred G17 di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan menjadikannya gred lebih terbuka untuk bertugas di agensi lain.

Pada masa ini tambahnya hanya terdapat 10 orang pengajar membalak di negara ini iaitu yang bertugas di Pusat Latihan Membalak Terengganu yang terhad dan tidak berpeluang untuk meningkatkan kerjaya mereka.

EMPLOYERS OPPOSE STANDARLISED SALARIES, PREFER SKILL IMPROVEMENTS

The Star
By LOH FOON FONG and RAHIMY ABD RAHIM
16/2/2011



PETALING JAYA: Workers unions and public interest groups welcome the proposal to set up a National Wages Consultative Council to study a single minimum wage for all sectors but employers are still opposing a standard minimum wage for all sectors.

“A single minimum wage will ensure better income distribution for all,” said Malaysian Trades Union Congress (MTUC) president Mohd Khalid Atan.

He said MTUC had asked for a RM900 minimum wage plus RM300 hardship allowance for all sectors during week-long minimum wage laboratory discussions by various stakeholders which ended on Monday.

He was commenting on reports that the Government would set up the council to study the single minimum wage for all sectors before it is incorporated into the proposed National Minimum Wages Act 2011.

Mohd Khalid said the proposal, which is expected to be tabled in Parliament in March, was generally accepted except by the Malaysian Employers Association (MEF).

MEF executive director Shamsuddin Bardan said employers did not want a minimum wage system but wanted the Government to enhance workers’ skills and promote skills certification.

“Employers are willing pay for certain set of skills and subsequently, workers’ wages will improve,” he said, adding that workers would suffer if employers could not pay high wages and fold their business.

“If we want to be a high-income nation, it ought to be based on skills and performance,” he said.

The issue of illegal workers must also be addressed because it pulls down wage levels, he said.

Cuepacs secretary-general Ahmad Shah Mohd suggested that the Government implement minimum wage for civil servants according to the officer’s minimum pension rates.

Fomca secretary-general Muham­mad Sha’ani Abdullah said minimum wage would not eliminate poverty, hence, the Govern­ment needed to subsidise health care, education, housing and public transport.

Goods and Services Tax should also be implemented soon to make companies more transparent rather than hide their income and claim that they could not pay a minimum wage, he said.

Security Services Association of Malaysia president Datuk Shaheen Mirza Habib said a single minimum wage system for all sectors would be better than different minimum wages for various sectors.

“I would not want my security workers to move to another industry just because the industry pays better,” he said.

15 Februari 2011

GAJI MINIMUM: TIADA DISKRIMINASI PEKERJA ASING

Utusan Malaysia
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
15/2/2011



PUTRAJAYA 14 Feb. - Kerajaan tidak akan mendiskriminasi pekerja asing yang bekerja di negara ini jika kadar gaji minimum dikaji semula dalam semua sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam berkata, kerajaan sedang dalam peringkat kajian untuk menetapkan jumlah yang bersesuaian bagi gaji minimun untuk semua sektor tersebut.

Menurutnya, apabila langkah itu dilaksanakan, kerajaan akan turut menetapkan jumlah gaji minimum bagi pekerja asing.

"Kita telah kumpulkan data daripada beberapa agensi kerajaan macam Jabatan Statistik, Kementerian Kewangan, ekonomi dan sebagainya dan sekarang kita mempunyai maklumat yang lengkap dari segi pandangan beberapa sektor dengan butiran yang perlu supaya kerajaan boleh menghasilkan satu keputusan dalam hal ini.

"Dan sebagai dasar, kita memutuskan untuk mengadakan gaji minimum melalui cadangan yang akan merangkumi semua orang termasuk pekerja-pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Makmal Gaji Minimum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Persidangan yang disertai ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut dihadiri ahli-ahli parlimen, wakil kerajaan negeri serta ahli-ahli exco kerajaan negeri yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan menyeluruh mengenai gaji minimum di Malaysia.

Sehubungan itu, Subramaniam berkata, kerajaan akan menubuhkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang berperanan mengkaji isu gaji minimum dalam negara.

"Selepas ini kita akan menghalusi draf akta tersebut supaya ia boleh dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

"Kita akan mengambil kira segala pandangan yang dibuat dalam satu minggu ini untuk tetapkan apakah fungsi, skop dan cara manakah majlis ini menghadapi isu gaji minimum di dalam negara kita," katanya.

Kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 menunjukkan masih terdapat 439,400 daripada 1.3 juta pekerja di negara ini masih menerima gaji di bawah RM700 sebulan.

Jumlah yang sangat rendah diperoleh hampir 33.8 peratus pekerja itu menyebabkan mereka hidup di paras kemiskinan memandangkan garis kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM720.



KAEDAH LAKSANA SKIM GAJI MINIMUM MASIH DITELITI

Berita Harian
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/02/15


Kadar munasabah bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak


PUTRAJAYA: Kerajaan tetap akan melaksanakan skim gaji minimum bersesuaian bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi kadar selain kaedah pelaksanaannya perlu dirundingkan lebih lanjut bersama mereka yang berkepentingan supaya ia dapat diterima semua pihak apabila dikuatkuasakan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata gaji minimum tidak akan dilaksanakan mengikut sektor pekerjaan, sebaliknya satu kadar gaji minimum bagi Semenanjung dan satu lagi untuk Sabah dan Sarawak akan ditetapkan, baik untuk pekerja tempatan atau asing. “Pada sidang Parlimen Jun ini kita akan bentangkan Rang Undang-Undang Majlis Gaji Kebangsaan, yang akan mengemukakan cadangan untuk menggubal intipati Rang Undang-Undang Gaji Minimum.

“Satu Jawatankuasa Teknikal merangkumi pakar ekonomi dan isu berkaitan akan menasihati majlis ini.

“Saya yakin majlis berkenaan dapat memuktamadkan rangka asas untuk gaji minimum dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan menjelang akhir tahun ini untuk diperhalusi oleh kementerian saya sebelum dikemukakan kepada Kabinet dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

“Pada umumnya, kita sudah mencapai kata sepakat mengenai lingkungan kadar gaji minimum yang munasabah tetapi saya tidak dapat mendedahkannya sekarang," katanya pada sidang media pada hari terakhir Makmal Gaji Minimum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Makmal tiga hari anjuran Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Bank Dunia itu menerima pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk orang ramai, wakil pekerja, wakil majikan, pakar akademik, pakar ekonomi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak pekerja.

Selain itu, Dr Subramaniam berkata, agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Statistik, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) turut mengemukakan data yang dapat membantu pelaksanaan gaji minimum itu memandangkan masih ada lagi isu yang dipertikaikan, terutama oleh majikan.

Beliau berkata, walaupun rakyat dan wakil pekerja mengalu-alukan penetapan gaji minimum, majikan masih berkeras dengan pendirian bahawa sebarang kenaikan gaji atau penetapan gaji minimum harus dikaitkan dengan produktiviti seseorang.

Katanya, kementeriannya akan memilih jalan tengah bagi memastikan apa saja yang dilaksanakan berkaitan gaji minimum itu nanti dapat diterima serta memuaskan hati semua pihak manakala kerajaan berhak campur tangan bagi memastikan pekerja mendapat gaji yang munasabah.

Ditanya sama ada pekerja asing seperti pembantu rumah Indonesia turut berhak mendapat gaji minimum, Dr Subramaniam berkata, itu sudah semestinya berlaku apabila negara mempunyai dasar gaji minimum tetapi buat masa sekarang, gaji mereka masih berdasarkan kadar pasaran semasa.

Kajian Bank Dunia mendapati Malaysia hanya merekodkan pertumbuhan gaji tahunan 2.6 peratus sejak 10 tahun lalu berbanding peningkatan berlipat ganda inflasi dan kos sara hidup semasa dalam tempoh yang sama, sekali gus menyebabkan pengurangan kuasa beli bagi pendapatan setiap isi rumah.

Kaji selidik Kadar Pendapatan Kebangsaan 2009 pula menunjukkan 33.8 peratus daripada 1.3 juta pekerja menerima gaji kurang RM700 sebulan, iaitu di bawah paras kemiskinan RM720 sebulan yang ditetapkan.

14 Februari 2011

PEKERJA ASING TERIMA GAJI MINIMUM SEPERTI PEKERJA TEMPATAN

Bernama
14 Feb 2011



Pekerja asing akan menikmati kadar gaji minimum seperti pekerja tempatan sekiranya dasar gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di negara ini dilaksanakan kelak, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan menetapkan bahawa pembayaran gaji adalah berdasarkan kuasa pasaran sehinggalah keputusan muktamad mengenai pelaksanaan gaji minimum itu diputuskan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutupan Makmal Gaji Minimum di sini hari ini, Subramaniam berkata, sebarang permintaan untuk melaksanakan pemberian gaji minimum kepada pekerja asing pada masa ini tidak boleh dipenuhi kerana Malaysia tidak mempunyai struktur gaji minimum untuk pekerja tempatan.

"Apabila tiada kadar gaji minimum untuk pekerja tempatan jadi sebagai kerajaan kita tidak benarkan gaji minimum untuk pekerja asing,” katanya mengulas pertanyaan media Indonesia kerana kerajaan tidak menetapkan kadar gaji minimum untuk pembantu rumah warganegara itu.

Subramaniam berkata, ketika ini pekerja asing menerima upah yang sama dengan pekerja tempatan terutamanya dalam sektor perladangan. - Bernama

11 Februari 2011

PERJUMPAAN CUEPACS DENGAN KETUA PENGARAH BAHAGIAN HAL-EHWAL UNDANG-UNDANG

Media Cuepacs
11/2/2011




Putrajaya: Sembilan Pegawai Teringgi Cuepacs diketuai oleh Presiden Cuepacs YBhg. Dato' Haji Omar Osman mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang YBhg. Dato' Saripuddin bin Kasim. Tujuan perjumpaan ini adalah untuk menerangkan akta 711 Akta perlindungan pemberian Maklumat 2010. Akta ini telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.

Akta ini akan melindungi kepada pemberi maklumat yang sulit. Contohnya jika seseorang telah membuat aduan salahlaku di jabatan ia bertugas. Segala aduan akan dirahsiakan dan pemberi maklumat akan dilindungi mengikut didalam akta 711 ini. Oleh itu YBhg. Dato' Ketua Pengarah ingin mengadakan kerjasama dengan Cuepacs untuk memberi maklumat kepada 1.2juta penjawat awam. YBhg. Dato' Presiden Cuepacs bersetuju dengan mencadangkan pada permulaan ini buat penerangan di Kawasan Lembah klang, tempat di Bahagian Hal- ehwal Undang-undang Putrajaya. Penerangan ketempat lain akan dibuat mengikut Zon. Penerangan Akta 711 ini akan disampaikan oleh pegawai bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.



BTN BUKAN BADAN TENTU GAJI KAKITANGAN AWAM

Berita Harian
Oleh Faiza Zainudin
2011/02/11



Agensi JPM perjelas kenyataan CUEPACS isu agihan

KUALA LUMPUR: Biro Tata Negara (BTN) hanya menjalankan kursus kenegaraan, bukannya badan yang bertanggungjawab menaik atau menurunkan gaji kakitangan awam, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Shagul Hamid Abdullah.

Beliau berkata, agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu melaksanakan kursus kenegaraan, Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Satu selaras dengan surat pekeliling perkhidmatan Bil 1 2003 bertajuk Pelaksanaan Kursus Kenegaraan. “Bagaimanapun, kerajaan memutuskan kursus PTK dimansuhkan berkuat kuasa 1 Januari lalu seperti dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 13 2010 bertajuk ‘Pemansuhan Tahap PTK’ yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 November 2010. “Pemansuhan ini juga membabitkan kursus kenegaraan PTK Satu yang dilaksanakan BTN,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kenyataan CUEPACS yang mendakwa beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hinggga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras empat tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan BTN menghentikan kursus yang menjadi syarat wajib untuk menikmati anjakan itu.

Kelmarin, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng dilaporkan berkata, penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Shagul Hamid berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai pemansuhan kursus itu kepada semua Ketua Setiausaha kementerian pada 10 Januari lalu.
Pada masa sama, katanya, pemansuhan pelaksanaan kursus kenegaraan itu juga dimuatkan dalam laman web BTN. Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

CUEPACS DAKWA GAJI KAKITANGAN AWAM TAK NAIK

Berita Harian
11/2/2011



2011/02/10 KUALA LUMPUR: CUEPACS mendakwa beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras empat, tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan kursusnya yang menjadi syarat wajib untuk menikmati anjakan itu.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan. Sehubungan itu, katanya, CUEPACS mencadangkan supaya kumpulan yang sudah lulus PTK tahun lalu dikecualikan daripada kursus BTN untuk anjakan gaji mereka.

“Sehingga kini CUEPACS menerima lebih 15 aduan daripada penjawat awam termasuk dari Sabah yang masih menunggu untuk mengikuti kursus BTN semata-mata mengharapkan menerima anjakan gaji.

“Kebiasaannya sebaik saja mengikuti kursus BTN, penjawat awam akan ditawarkan anjakan gaji secara automatik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam

BERI KEUTAMAAN NAIK PANGKAT PADA LULUSAN PTK

Utusan Malaysia
9/2/2011



SAYA ingin menyentuh tentang isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan awam yang telah dimansuhkan bermula 2011. PTK diwujudkan sebagai antara justifikasi utama dalam penilaian untuk kenaikan pangkat bagi kakitangan awam.

Walaupun ramai yang gembira dengan pemansuhan PTK tersebut (terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), tetapi hakikatnya ramai juga yang menjadi mangsa akibat perubahan mendadak sesuatu sistem yang tiada kesinambungan.

Untuk makluman, sebaik sahaja disahkan jawatan, saya pun mendaftar untuk menduduki peperiksaan PTK tersebut. Prosesnya bukan mudah, perlu lulus dua jenis peperiksaaan (umum dan khusus). Malangnya, nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal dalam salah satu peperiksaan.

Untuk mengulang, saya perlu menunggu sehingga keputusan peperiksaan asal dikeluarkan. Calon tidak dibenarkan mengulang selagi keputusan peperiksaan asal belum dikeluarkan. Tempoh menunggu ini menjangkau masa hampir satu tahun memandangkan kementerian tempat saya bekerja lambat mengeluarkan keputusan.

Selepas menduduki peperiksaan kali kedua, perlu pula menunggu lagi hampir lapan bulan untuk mengetahui keputusan peperiksaaan kedua (ulangan) tersebut. Kalau dicongak, dari tarikh saya menduduki peperiksaan pertama hingga keputusan peperiksaan kedua diumumkan, tempohnya hampir dua tahun.

Malangnya, setelah jerih dan payah menelaah dan menduduki peperiksaan, akhirnya PTK dimansuhkan begitu sahaja!

Saya lulus kedua-dua PTK umum dan khusus pada tahun 2010 dan tidak sampai setahun kemudian, PTK dimansuhkan. Saya berasa bahawa usaha saya selama dua tahun seperti terbuang begitu sahaja.

Masih terbayang kegembiraan ketika menerima slip keputusan lulus PTK yang kini boleh 'dibakulsampahkan' kerana sudah tiada nilai. Untuk pengetahuan, pada tahun 2009, saya telah dinafikan untuk kenaikan pangkat walaupun mendapat purata markah penilaian prestasi yang tinggi hanya kerana belum lulus PTK pada waktu itu.

Dalam pada itu, ramai juga rakan-rakan seangkatan yang langsung tidak peduli untuk menduduki PTK atas alasan tersendiri (mungkin malas untuk mengulang kaji atau tiada masa belajar).

Sebelum PTK dimansuhkan, saya berada selangkah di hadapan mereka untuk tujuan kenaikan pangkat kerana saya telah lulus PTK sedangkan mereka belum pun mendudukinya. Kini, setelah PTK dimansuhkan pada tahun 2011, keutamaan kenaikan pangkat untuk saya dengan mereka sudah tiada bezanya. Sekarang mereka berkata kepada saya: "Itulah, buat apa susah-susah ambil PTK?" Soalnya, manakah keadilan?

Saya percaya ramai lagi kakitangan awam yang lulus PTK mengalami nasib seperti saya. Saya berharap, setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan perlu ada kesinambungan. Janganlah memulakan sistem baru dengan menghancurkan terus sistem yang lama.

Calon yang telah lulus PTK sebelum sistem tersebut dimansuhkan perlu diberi keutamaan untuk tujuan kenaikan pangkat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan perkara ini sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi memberi keadilan kepada lulusan PTK.

Selepas itu, barulah sistem baru dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak berkenaan. Selain itu, sehingga hari ini tiada pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA yang menjelaskan status atau kedudukan para lulusan PTK yang belum naik pangkat setelah PTK dimansuhkan.

Dalam hal ini, ketika CUEPACS memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan PTK, mereka juga sepatutnya memikirkan alternatif kepada lulusan PTK agar nasib mereka tidak terabai begitu sahaja. Pihak berkenaan, perhatikan dan renungkanlah.

MANA KEADILAN?

Petaling Jaya, Selangor

10 Februari 2011

RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KONSULTASI GAJI KEBANGSAAN DIPERKENAL

Bernama
10/2/2011



PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, pada sesi Parlimen sebelum Jun ini, kata menteri berkenaan Datuk Dr S Subramaniam.

Katanya rang undang-undang itu bertujuan menyelaraskan dan menetapkan gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini dan mewujudkan majlis untuk menentukan kadar gaji minimum berpatutan kepada pekerja mengikut setiap sektor dan kawasannya.

"Akta ini akan memberi kuasa kepada kementerian dan majlis untuk membuat apa yang perlu bagi menetapkan dan menyelaraskan gaji di negara ini," katanya pada sidang media selepas meninjau Makmal Gaji Minimum, di sini hari ini.

Katanya makmal yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga Isnin depan memperincikan peranan dan skop majlis selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan gaji minimum pekerja mengikut arus perkembangan negara.

Selain lapan pakar dari Bank Dunia, ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, Exco kerajaan negeri, wakil persatuan pekerja, wakil majikan, badan bukan kerajaan, ahli akademik universiti tempatan turut dijemput untuk memberi pandangan.

Satu forum untuk orang ramai memberikan pandangan akan diadakan pada Sabtu ini di Tingkat 18, Menara Perkeso, Jalan Tun Razak, bermula pukul 2.30 hingga 4.30 petang.

Mengikut kajian Bank Dunia, trend gaji di negara ini hanya mencapai peningkatan 2.6 peratus setahun dalam 10 tahun kebelakangan ini, meskipun kos hidup rakyat di negara ini terus meningkat.

Subramaniam berkata kajian Kementerian Sumber Manusia 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Katanya kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500-RM550, tekstil RM500-RM600, perabut RM550-RM700, plastik RM550-RM650 dan sarung tangan getah RM500-RM650.

Oleh itu, kata Subramaniam penyelarasan dan penetapan gaji baru perlu dilakukan bagi memastikan rakyat di negara ini tidak ketinggalan dalam hala tuju negara.

Berhubung gaji pokok pengawal keselamatan, Subramaniam berkata kementerian sudah memaklumkan kepada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) supaya melaksanakan skim gaji pokok minimum baru iaitu RM700 bermula 15 Feb ini.

"Kita sudah memaklumkan kepada PPKKM dan berharap persatuan itu akan buat secepat mungkin, kalau mereka tidak buat kita akan menghubungi mereka," katanya.

Kerajaan, katanya tidak lagi membenarkan pengambilan pekerja asing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bilangan sedia ada kurang daripada 5,000 pekerja, kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia yang masuk ke negara ini adalah banyak seperti dahulu.

"Tidak benar bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia adalah seperti dahulu. Kerajaan kedua-dua negara masih mengadakan perbincangan dan harap dapat mencari penyelesaian segera," katanya.

-- BERNAMA

GURU TUA SANGGAH MOKHTAR SABAH

Utusan Malaysia
10/2/2011


SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.

Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu? Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.

Contohnya Cikgu A.

- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.

- Guru Kelas

- Guru Data SDM

- Guru Disiplin

- Pengerusi Teknik Zon

- Guru Bertugas Mingguan

- Setiausaha Kelab Guru

- Penolong Ketua Rumah Sukan

(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)

Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?

Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.

Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.

Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.

Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!

Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!

GURU TUA

Johor Bahru, Johor

09 Februari 2011

PENJAWAT AWAM DIMINTA BUAT TUNTUTAN INSURANS JIKA RUMAH ROSAK AKIBAT BANJIR

Bernama
9/2/2011



KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Penjawat awam di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang yang mengambil pinjaman perumahan daripada perbendaharaan dinasihat mengemukakan tuntutan insurans dari panel insurans masing-masing jika rumah mereka rosak akibat banjir baru-baru ini.

Kenyataan Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia (BPP) berkata tuntutan itu meliputi kerosakan struktur bangunan iaitu dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya; pecah rumah dengan tujuan mencuri semasa banjir dan tangki air pecah.

Ia juga meliputi kecederaan orang awam atau pihak ketiga akibat kemalangan di dalam rumah, perbelanjaan hotel atau rumah sewa dalam tempoh baik pulih dan rumah tidak dapat didiami dan kehilangan pendapatan sewa rumah kerana tiada penyewa dalam tempoh rumah dibaiki atau enam bulan yang mana terdahulu.

Tuntutan boleh dibuat dengan mengisi borang yang ditetapkan bersama dokumen yang perlu dilengkapkan bagi prosedur tuntutan di pejabat panel insurans terbabit iaitu Etiqa Insurans dan Takaful, Takaful Ikhlas, CIMB Aviva dan Takaful Malaysia, kata kenyataan itu.

Penjawat awam yang berkenaan diharap segera mengemukakan tuntutan bagi mempercepatkan proses pembayaran pampasan. Maklumat lanjut boleh didapati daripada laman web http://bpp.treasury.gov.my



-- BERNAMA