SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Mac 2011

CUEPACS KEMUKA ENAM TUNTUTAN BARU KEPADA JPA

Bernama
31/3/2011



IPOH, 30 Mac (Bernama) -- Cuepacs akan mengemukakan enam tuntutan baru kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melibatkan kenaikan gred jawatan berdasarkan tempoh perkhidmatan, pemansuhan gred jawatan 1 hingga 16, cuti tanpa rekod, cuti separuh gaji, cuti bersalin serta pertukaran kerana kenaikan pangkat.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kesemua tuntutan itu akan dibincangkan dalam pertemuan antara anggota Majlis Tertinggi Cuepacs dan Ketua Pengarah JPA pada 4 April ini di Putrajaya.

"Kita juga akan membuat susulan dan mendengar taklimat penggantian sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan cadangan gaji minimum RM920 yang dikemukakan oleh Cuepacs pada 1 Julai 2007," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dailog dengan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan negeri Perak di sini pada Rabu.

Mengenai kenaikan gred jawatan berdasarkan tempoh perkhidmatan, Omar berkata Cuepacs mahu tempoh itu dipendekkan.

Berhubung gred jawatan 1 hingga 16, beliau berkata ia tidak lagi relevan kerana penjawat awam kini berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya Cuepacs berpendapat penjawat awam yang diberikan kenaikan pangkat dalam kumpulan yang sama tidak perlu diarah berpindah ke kawasan yang jauh seperti dari Ipoh ke Johor Baharu kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah seperti keluarga.

Mengenai penggantian PTK pula, beliau berharap segala input yang diberikan oleh Cuepacs sebelum ini untuk penambahbaikan sistem penilaian kompetensi penjawat awam itu tidak ditolak oleh JPA.

Ketika diminta mengulas pemberian bonus oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Omar berkata Cuepacs berpendapat kerajaan perlu mempunyai satu garis panduan kepada agensi berkenaan dan GLC berhubung pemberian bonus kepada kakitangan mereka.

"Kita mendengar lembaga ini dapat tiga bulan, GLC ini dapat empat bulan...sepatutnya seperti GLC ini, kerajaan perlu ada satu garis panduan. Penjawat awam sahaja yang tidak dapat bonus, kita hanya terima bantuan khas, tetapi agensi lain sama ada GLC atau badan kerajaan yang diasingkan, semua ada bonus paling kurang tiga bulan," katanya.

Omar berkata Cuepacs akan membawa perkara itu kepada kerajaan supaya satu mekanisme dapat diwujudkan selain berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus kepada 1.2 penjawat awam pada tahun ini selepas dua tahun tidak menikmatinya.

Katanya Cuepacs belum menghantar tuntutan bonus itu secara rasmi dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

CUEPACS HARGAI PENGUMUMAN KEMUDAHAN PERUBATAN UNTUK PESARA KWSP

Bernama
31/3/2011



KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Pengumuman mengenai kemudahan perubatan untuk pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat dihargai memandangkan ramai pesara terdahulu yang tidak jelas mengenai perbezaan skim pencen dan KWSP, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

"Sejak dulu pesara KWSP yang nak dapatkan khidmat perubatan akan guna nama anak (bagi membolehkan menerima rawatan secara percuma) ataupun tanggung kos rawatan sendiri. Tapi sekarang mereka menikmati keistimewaan yang sama seperti pesara skim pencen.

"Dulu ramai yang memilih skim KWSP kerana mereka bergaji kecil dan berharap akan dapat kemudahan yang sama (seperti pesara skim pencen) walaupun tiada wang masuk setiap bulan," katanya.

Omar berkata jumlah tepat pesara yang menikmati kemudahan rawatan percuma itu masih belum diketahui tetapi membayangkan ramai di kalangan mereka merupakan pekerja di bawah Badan Berkanun.

Beliau turut menyeru agar pesara skim KWSP mendapatkan surat pengesahan dari majikan terakhir memandangkan mereka tidak mempunyai kad pesara.

"Tanpa surat pengesahan ini mereka akan dilayan sebagai orang awam dan perlu membayar kos rawatan sendiri," katanya.



Pada 22 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penjawat awam skim KWSP yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma berkuatkuasa dari tarikh berkenaan.

Pada 1992, melalui Skim Saraan Baru (SSB), kakitangan kerajaan yang dilantik selepas 12 April 1992 ditawarkan skim KWSP sebagai alternatif kepada Skim Pencen.



Pada 2009, kerajaan menawarkan opsyen skim pencen kepada seramai 66,733 anggota sektor awam yang telah memilih skim KWSP bagi memberi peluang kepada mereka untuk menikmati faedah persaraan lebih baik.

-- BERNAMA

TEMPOH SEMINGGU DIBERI KEPADA PENGHUNI KUARTERS JALAN COCHRANE

Berita DBKL
31/3/2011





dsc_4420 dsc_4426

Seramai 183 penghuni Kuarters Jalan Cochrane yang terdiri dari kakitangan kerajaan diberi tempoh seminggu lagi untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam bermula 8 April ini. Yang Berbahagia Datuk Amin Nordin Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL berkata, semua penghuni boleh mula berpindah selepas kerja membaik pulih kuarters itu selesai pada 7 April ini.

“Buat sementara waktu, kita sedang membaik pulih unit yang mengalami beberapa kerosakan kecil sebelum memberi kebenaran kepada penghuni menetap di kuarters Sri Alam,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL 3, 30 Mac 2011. Sementara itu, 56 keluarga yang turut dipindahkan ke PPR Muhibbah itu merupakan pesara kerajaan dan dipindahkan di atas budi bicara kerajaan. “Keluarga pesara yang sudah hilang kelayakan menghuni kuarters kerajaan turut diberi peluang menduduki PPR ini demi menjaga kebajikan pesara-pesara kerajaan”, katanya lagi.

Tambahnya lagi, wang perbelanjaan sebanyak RM 2,000 turut diberikan kepada penduduk yang berpindah selain menyediakan bantuan perkhidmatan lori secara percuma bagi meringankan beban mereka. Turut hadir adalah Pengarah Pengurusan Perumahan DBKL, Encik Sukiman Surahman, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Encik Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Encik Ja’apar Mansor.




Utusan Malaysia
31/3/2011




Penghuni kuarters Jalan Cochrane diberi tempoh seminggu lagi

KUALA LUMPUR 30 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh pemindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini sehingga 7 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, lanjutan seminggu itu adalah bagi membolehkan mereka menerima surat tawaran rumah yang disediakan.

Seramai 183 penghuni akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam manakala 56 lagi ke PPR Kampung Muhibbah.

Penghuni selebihnya daripada 382 jumlah keseluruhan penghuni di Blok A dan B itu akan berpindah ke kuarters kerajaan di Putrajaya dan Jalan Duta.

"Tempoh yang ada sebelum surat tawaran diserahkan akan digunakan oleh DBKL untuk membaik pulih rumah yang ditawarkan supaya penghuni dapat masuk ke rumah yang lebih baik dan selesa.

"Penduduk akan tinggal di perumahan itu sehingga pembangunan di kawasan kuarters kerajaan Jalan Cochrane ini siap dan mereka akan dibenarkan untuk pulang semula ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Menara DBKL, Jalan Raja Abdullah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perumahan DBKL, Sukiman Surahman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, Hasnol berkata, pihak BPH telah membuka bilik gerakan di kuarters itu bagi melancarkan urusan perpindahan penduduk serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan perkhidmatan lori secara percuma.

Tambahnya, wang perbelanjaan perpindahan sebanyak RM2,000 juga turut diberikan kepada penduduk yang berpindah bagi meringankan beban mereka.

30 Mac 2011

PERATURAN LAPUK DAN TIDAK RELEVAN PERLU DIMANSUH- MOHD SIDEK

Bernama
29/3/2011



PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Semua peraturan yang sudah lapuk serta tidak lagi relevan perlu dimansuhkan sekiranya Malaysia ingin berada dalam senarai antara 10 negara paling kompetitif di dunia, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Justeru itu, beliau meminta setiap kementerian menyemak semula semua peraturan yang sudah lapuk sekiranya ia perlu melalui proses penambahbaikan atau dimansuhkan jika tidak lagi sesuai.

"Semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan perlu memastikan proses penambahbaikan ini dilaksanakan dan direalisasikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan PEMUDAH Challenge musim pertama, di sini, pada Selasa.

Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menganjurkan penyertaan 'The PEMUDAH Challenge: One Million Ringgit For 1000 Ideas' bagi memperoleh idea kritikal dari penjawat awam mengenai sebarang peraturan dan perundangan yang telah lapuk boleh diubah kepada idea yang terkini, praktikal dan ditambah nilai.

Musim pertama penyertaan itu berlangsung dari 26 Nov hingga 31 Dis tahun lepas.

Mohd Sidek berkata sebanyak 67 idea bernas telah dikenal pasti daripada 1,105 penyertaan pada musim pertama itu.

Katanya, penyertaan tertinggi diterima daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu 154 diikuti Jabatan Perdana Menteri (150) dan 128 penyertaan daripada Kementerian Pelajaran.

"Sehingga kini 21 idea sudah dilaksanakan. Untuk musim kedua nanti penyertaan akan dibuka kepada semua termasuk orang awam dan tidak lagi terhad kepada penjawat awam sahaja," katanya.

-- BERNAMA

29 Mac 2011

KAJIAN INDEKS PERSEPSI INTERGRITI NASIONAL 2011 BERMULA PERTENGAHAN APRIL INI

Bernama
29/3/2011



KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Satu kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2011 akan dijalankan pertengahan April ini bagi mengukur tahap integriti masyarakat dan maklumbalas mereka terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Presiden Institut Integriti Nasional (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kajian itu melibatkan 20 ribu responden yang dipilih secara rawak daripada tiga kumpulan sasar iaitu anggota keluarga, penjawat awam dan sektor swasta.

Beliau berkata kajian kali ini berbeza kerana turut mengambil kira impak GTP melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilancar pada 2009.

"Petugas Jabatan Perangkaan Negara akan pergi ke kawasan perumahan dan organisasi terpilih bagi menjalankan kajian secara temubual. Kami berharap responden terpilih dapat meluangkan masa dan memberi kerjasama yang baik untuk membantu kami menilai tahap integriti rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di IIM, di sini Isnsin.

Beliau berkata kajian itu dijangka berlangsung selama tiga bulan dan laporannya dibentangkan kepada kerajaan serta masyarakat selepas itu.

Semnetara itu, Mohd Tap berkata IIM akan mengadakan beberapa program khas sempena ulang tahun ketujuh Pelan Integriti Nasional yang akan disambut pada 23 April.

Antara program utama yang akan diadakan ialah Syarahan Perdana Integriti oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena forum 'Agenda Integriti Nasional' pada 5 Mei di IIM.

Selain itu, 'Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti' akan diadakan pada 16 April di Kampung Pendamar, Klang yang dijangka melibatkan 1,000 penduduk setempat untuk berinteraksi secara langsung dengan anggota panel seperti Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Pada 10 hingga 12 April pula akan diadakan Pertandingan Pidato Integriti antara kesemua 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia bagi mempromosi serta membudayakan etika dan integriti di kalangan bakal guru.

Tema pertandingan adalah 'Pendidik Berintegriti Teras Pencapaian 1Malaysia' dan majlis penutup serta penyampaian hadiah akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 28 April pula akan diadakan Seminar Kepimpinan Wanita dan Integriti dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO).



-- BERNAMA

26 Mac 2011

AKTA PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT TANGANI RASUAH PENJAWAT AWAM

Bernama
25/3/2011




KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, inisiatif perundangan utama di bawah bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi rasuah, digubal untuk menangani gejala itu terutama di kalangan penjawat awam.

Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata akta itu menggalakkan pendedahan sebarang kelakuan tidak wajar serta melindungi identiti individu yang membuat pendedahan, atau pemberi maklumat.

"Akta ini juga memperuntukkan imuniti kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah. Undang-undang ini merangkumi bukan sahaja kepada sektor awam, malahan boleh diaplikasikan oleh sektor swasta," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ia berbeza dengan Akta Perlindungan Saksi kerana identiti pemberi maklumat dilindungi dan individu itu tidak perlu hadir ke pejabat agensi penguat kuasa untuk melaporkan kelakuan tidak wajar yang diketahuinya.

Katanya, pemberi maklumat boleh menghubungi pegawai agensi penguat kuasa serta boleh berjumpa di mana-mana tempat yang dirasakan selamat dan selesa.

"Laporan juga boleh dibuat melalui surat atau e-mel, dengan syarat pemberi maklumat memberikan nombor telefon serta alamat untuk dihubungi bagi pengesahan identiti pemberi maklumat, serta mengelakkan laporan atau maklumat palsu," katanya.

Hisham berkata kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada telah melaksanakan perlindungan terhadap pemberi maklumat dan ia dikenali sebagai "Whistleblower Act".

-- BERNAMA

24 Mac 2011

MINDA PENGARANG : GANJARAN BUKTI KERAJAAN IKLAS HARGAI KOMITMEN TINGGI PENJAWAT AWAM

Berita Harian
2011/03/24



PENJAWAT awam adalah nadi kepada pentadbiran sesebuah kerajaan. Kakitangan awam pada setiap peringkat adalah pelaksana kepada pelbagai dasar yang dirangka kerajaan dan kepada mereka terletak keupayaan, keberkesanan dan kecekapan sesebuah sistem pemerintahan. Kejayaan atau kegagalan juga terletak kepada sejauh mana peringkat tertinggi penjawat awam memutuskan sesuatu dasar dan dapat pula dilaksanakan dengan jayanya pada peringkat pertengahan dan bawahan. Penjawat awam membentuk satu kumpulan tenaga kerja yang besar dan di Malaysia saja, ia meliputi kira-kira 1.3 juta kakitangan.

Oleh itu, bagi memastikan penjawat awam sentiasa cekap, pelbagai latihan dan kursus diberikan dari semasa ke semasa. Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan, ganjaran dan insentif tertentu kepada penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin. Antaranya ganjaran persaraan, skim perubatan dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan serta pelbagai elaun dan insentif lain. Ini semua bagi merangsang semangat, keupayaan dan kebijaksanaan penjawat awam dalam membantu kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Justeru, kita melihat pengumuman kerajaan untuk menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari tahun lalu adalah wajar dan tepat pada masa. Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perkara itu diumumkan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin. Kenyataan Perdana Menteri ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam.

Kita percaya ramai penjawat awam gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu. Kita juga percaya ketika penangguhan itu dibuat, ramai juga yang kecewa kerana tidak dapat menikmati wang persaraan mereka sepenuhnya berikutan keputusan itu. Apapun kita yakin keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti kedudukan kewangan negara dan pada masa sama kerajaan turut mengambil kira komitmen penjawat awam yang berjaya membantu memulihkan negara daripada kesan krisis ekonomi dunia. Kita percaya kerajaan akan mengumumkan banyak lagi berita gembira buat penjawat awam bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, begitu juga dengan keluarga mereka yang turut memberi sumbangan secara tidak langsung terhadap kejayaan negara.

Berikutan itu, kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil skim KWSP yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. Apapun, kita amat berharap penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan komitmen mereka untuk membantu kerajaan ketika senang mahupun susah. Kita tidak mahu penjawat awam hanya dilihat pandai ‘meminta-minta’ seperti kenaikan gaji atau bonus dengan mengemukakan pelbagai alasan tetapi gagal menunjukkan pencapaian membanggakan. Kita juga tidak mahu penjawat awam terus kekal dengan cara kerja dan pemikiran lama. Kita mahu penjawat sanggup berubah sejajar Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang mahu meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kita percaya jika mereka menunjukkan prestasi memberangsangkan sudah pasti akan ada ganjarannya. Kita yakin kerajaan sedia mendengar masalah dihadapi penjawat awam dan sentiasa mencari jalan memperbaikinya terutama melaksana kaedah terbaik menilai prestasi mereka.

CUEPACS CADANG SISTEM GAJI SEBARIS

Bernama
24/03/2011
6:08pm


PUTRAJAYA 24 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM), supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan agar kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira penglibatan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan.

Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April.

"Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.

"Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Bernama

KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DIJAGA

Utusan Malalaysia
23/3/2011
Oleh ZULKIFLI JALIL, THOMAS CHONG
dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin serta Mohd. Sidek Hassan (kiri) memegang buku Perkhidmatan Awam selepas melancarkannya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA X11) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS





PUTRAJAYA 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lagi beberapa khabar gembira untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.

Ia dimaklumkan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Kerajaan Bertanggungjawab: Menunai Janji, Melangkau Jangkaan” di hadapan 5,747 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini.

Turut mendengar pengumuman tersebut ialah masing-masing 300 dan 270 penjawat awam yang menghadiri sidang video dengan Perdana Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Sarawak dan Auditorium Intan di Sabah.

Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:

n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.

Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

n Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

n Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.

n Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.

n Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.

n Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

n Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.

n Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

23 Mac 2011

GANJARAN PENUH

Berita Harian
Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim
2011/03/23



Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.

Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan

22 Mac 2011

PERLU BERANI NILAI SEMULA AMALAN-PM

Utusan Malaysia
22/3/2011



NAJIB Tun Razak menyampaikan anugerah inovasi kepada Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal sambil diperhatikan Mohd. Sidek Hassan (dua kiri) pada majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA 22 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, para penjawat awam perlu berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Perdana Menteri mengingatkan bahawa mereka perlu mengakui masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap sistem berkenaan.

Beliau berkata, ini termasuk melihat kembali sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.

''Yang penting, kita perlu berani berubah sebelum perubahan menenggelamkan kita serta kita perlu sentiasa relevan dan peka dengan kehendak pelanggan.

''Kita perlu sentiasa memperbaharui ilmu dan menerajui arus perkembangan agar dapat sentiasa memberikan perkhidmatan yang tepat, cepat dan terbaik," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2010 di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Jepun JPM.

Najib memberitahu, sebagai nadi penggerak dan teras utama jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JPM menzahirkan kejayaan dalam melaksanakan usaha inovasi dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

''Dalam menjayakan gagasan besar negara, semua tindakan pelaksanaan kita hendaklah berpaksikan kepada membuat sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan dan mencari penyelesaian kreatif dalam mencapai matlamat akhir pembangunan negara," katanya.

PESARA KWSP DAPAT PERUBATAN PERCUMA

Bernama
22/03/2011 12:13pm


PUTRAJAYA 22 Mac - Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12, di sini, hari ini.

"Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa,” katanya.

Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri, kata Najib. - Bernama

21 Mac 2011

GALAKAN KAD DEBIT BERBANDING KAD KREDIT

Utusan Malaysia
21/3/2011



SAYA terpanggil untuk menulis di sini setelah membaca rencana bertajuk: Senarai hutang menanti pada usia muda tulisan Hassan Mohd. Noor dalam Utusan Malaysia (ruangan Selak) 21 Mac 2011. Saya berasa tulisan tersebut sangat bersesuaian dengan fenomena masa kini, ramai muflis kerana kad kredit.

Sekarang orang ramai terutamanya penjawat awam seperti saya sering ditawarkan dengan kad kredit oleh pelbagai bank. Ramai yang teruja untuk memiliki kad kredit tetapi bagi saya yang hanya berpendapatan RM47,000 setahun, saya masih mampu menguruskan kewangan saya dengan baik tanpa memerlukan sekeping kad plastik yang mungkin menjadikan saya muflis satu hari kelak.

Namun pengalaman bercuti bersama keluarga di Pulau Pinang pada awal Mac lalu sangat menyakitkan hati saya. Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, saya terus ke kaunter yang menawarkan khidmat menyewakan kenderaan. Tujuannya untuk menyewa sebuah kereta yang akan digunakan sepanjang tiga hari di Pulau Pinang bersama keluarga saya seramai lima orang.

Malang bagi saya yang tidak menggunakan kad kredit ini kerana semua urus niaga hanya menggunakan kad kredit. Saya hanya ada wang tunai dan kad debit. Hanya satu syarikat sahaja boleh menerima wang tunai malangnya semua kenderaan habis ditempah. Hampir satu jam kami mundar-mandir di situ mencari kenderaan untuk ke hotel penginapan kami di Batu Feringghi.

Walaupun akhirnya kami berjaya mendapatkan sebuah kereta (menggunakan syarikat yang beroperasi di luar lapangan terbang) tetapi pengalaman ini sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya.

Mengapa syarikat lebih senang berurusan menggunakan kad kredit (hutang) sedangkan sepatutnya urus niaga secara tunai atau menggunakan kad debit patut diutamakan?

Saya terfikir mungkinkan fenomena seperti ini menyebabkan orang ramai lebih selesa berurusan menggunakan kad kredit berbanding tunai. Namun bagi saya yang berpendapatan kecil ini, memadailah berbelanja apabila ada wang. Saya memang selesa menggunakan wang tunai, bukan sahaja ketika bercuti di dalam negara malah apabila ke luar negara. Saya tidak mahu dibelenggu hutang, cukuplah hutang membeli rumah dan kenderaan.

Saya mencadangkan agar penggunaan kad debit diperluaskan. Ini untuk memudahkan pengguna kerana tidak perlu membawa wang tunai yang banyak di dalam dompet masing-masing apabila ke luar kawasan. Terima kasih.

GRED 22

Kuala Lumpur

20 Mac 2011

GAJI KUMPULAN SOKONGAN IPTA TIDAK SESUAI - CUEPACS

Bernama
20/3/2010



SHAH ALAM, 19 Mac (Bernama) -- Hampir 40 peratus daripada 55,000 kakitangan kumpulan sokongan di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara masih mendapat gaji asas yang tidak sesuai dengan kos sara hidup semasa, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Beliau berkata di bawah Skim Saraan Universiti (SSU), gaji permulaan kakitangan kumpulan sokongan I ialah RM850 sebulan dan RM647 sebulan bagi kumpulan sokongan II.

"Oleh itu Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (GAKUM) sedang menyiapkan memorandum untuk meminta satu gaji minimum baru ditetapkan untuk kumpulan sokongan ini.

"GAKUM akan mengadakan mesyuaratnya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada 17 dan 18 April ini bagi menyiapkan memorandum berkenaan sebelum diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Omar berkata setakat ini 85 peratus daripada memorandum itu telah disiapkan semasa perjumpaan jawatankuasa khas membuat penambahbaikan SSU yang membabitkan semua wakil Gakum seluruh negara, di sini.

Beliau berkata GAKUM memohon sekurang-kurangnya gaji asas minimum kumpulan sokongan 1 dan 11 IPTA ialah pada paras RM1,100 sebulan.

-- BERNAMA

18 Mac 2011

CUEPACS MINTA KERAJAAN SELARAS GAJI DENGAN KENAIKAN HARGA BARANG

Bernama
March 15, 2011





MELAKA, 15 Mac — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.

“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.

“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.

“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.

Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.

“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.

Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.

“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.

Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.

“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.

Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.

“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya. — Bernama

PRESIDEN KESATUAN PEGAWAI KASTAM CEDERA DIHENTAK BATU

Bernama
10/3/2011



JOHOR BAHARU - Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad patah tangan kiri dan cedera di dahi selepas dihentak dengan batu bata oleh dua lelaki di kawasan perumahannya di Kangkar Pulai, di sini, dua hari lalu.

Ibrahim, yang juga Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Cawangan Johor berkata, ketika kejadian kira-kira 12.30 malam, beliau bersendirian dan ingin ke rumah anaknya di Taman Anggerik, di sini.

"Ada dua lelaki mengejar saya ketika saya nak masuk ke dalam kereta. Menyedari saya cuba menghidupkan kenderaan, tiba-tiba datang pula sebuah kereta Proton Waja mengepung saya.

"Salah seorang daripada dua lelaki itu memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu dan cermin hadapan menggunakan batu bata yang diletakkan di dalam sebungkus plastik," katanya ketika ditemui, di Hospital Pakar Puteri, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, beliau sempat beralih ke kerusi penumpang hadapan sebelum kedua-dua lelaki itu terus menghayunkan plastik berisi batu itu yang mengenai dahi, lengan dan beberapa anggota lain badannya.
Beliau berkata, serangan itu berlaku hampir 10 minit sebelum kedua-dua lelaki bersama seorang lagi rakan mereka yang berada dalam kereta Proton Waja melarikan diri apabila kejadian itu disedari beberapa penduduk.

Ibrahim membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Kangkar Pulai, sejam kemudian sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

"Saya percaya perbuatan ini bermotifkan balas dendam. Mungkin tugas saya sebagai pegawai dan Presiden Kesatuan Kastam mengundang kemarahan pihak tertentu," katanya yang menerima tujuh jahitan akibat luka di dahi.

Ibrahim berkata, kejadian menimpa dirinya itu merupakan kali ketiga selepas sebuah kereta Toyota miliknya dibakar pada Jun lalu dan rumahnya dilontar cat merah, dua bulan kemudian.-Bernama

17 Mac 2011

PENJAWAT AWAM, PELAJAR DI LUAR NEGARA BERHAK SEBAGAI PENGUNDI TIDAK HADIR

Utusan Malaysia
17/3/2011



KUALA LUMPUR 16 Mac - Hanya warganegara Malaysia yang menjadi anggota Perkhidmatan Awam yang sedang berkhidmat dan pelajar yang menuntut sepenuh masa di luar negara serta pasangan masing-masing berhak mengundi pada pilihan raya sebagai pengundi tidak hadir, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 119(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, Peraturan 20, (d) dan (e) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan 3(1)(a) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bahawa jika sudah mendaftar sebagai pemilih, mereka berhak mengundi mengikut kaedah pengundian sedia ada dan dibuat mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Kita beri hak kepada setiap warganegara dengan syarat berumur 21 tahun ke atas dan penduduk di kawasan pengundian, maknanya keperluan semangat dalam Perlembagaan memerlukan mereka menggunakan hak ini dalam negara untuk mengundi secara fizikal (hadir).

"Cuma kita beri pengecualian kepada pengundi tidak hadir yang ditafsir Perlembagaan iaitu mereka yang berada di luar negara bukan kerana atas kerelaan, sebaliknya terpaksa bekerja dan hanya berada di sana sementara waktu," katanya ketika menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai hak mengundi warga Malaysia di luar negara.

Menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Mohamed Nazri berkata, sekiranya hak mengundi diberikan kepada mereka yang sedang bercuti semasa hari mengundi, ia akan menimbulkan pelbagai masalah termasuk masalah logistik.

"Kalau rakyat Malaysia yang duduk di luar negara itu sayangkan Malaysia... baliklah. Mereka duduk di sana atas kerelaan hati, bukan kerana pekerjaan atau terpaksa belajar," kata Mohamed Nazri. - BERNAMA

PENJAWAT AWAM DINASIHAT TIDAK GHAIRAH MOHON PINJAMAN

Utusan Malaysia
17/3/2011




MELAKA 16 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kakitangan awam supaya tidak ghairah membuat pinjaman khususnya yang mudah ditawarkan oleh koperasi dan institusi kewangan bagi mengelak terjebak dalam senarai muflis.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, jumlah penjawat awam yang disenarai muflis pada tahun lalu iaitu kira-kira 2,000 orang adalah amat membimbangkan.

''Jadi, sekiranya tidak terdesak, mereka ini dinasihatkan jangan terlalu mudah membuat pinjaman sehingga boleh bankrap.

''Penjawat awam amat mudah ditawarkan pelbagai pinjaman dan senang menjadi penjamin kepada peminjam lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Alternatif Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) anjuran CUEPACS Bahagian Negeri di sini hari ini.

Seramai 120 kakitangan awam di negeri ini menyertai seminar tersebut yang turut dihadiri Pengerusi CUEPACS Bahagian Negeri Melaka, Md. Salleh Majid.

Omar menegaskan, kakitangan awam perlu lebih berhati-hati dan mengambil kira pendapatan mereka sebelum membuat keputusan memohon pinjaman atau menjadi penjamin.

Pada 2009, katanya, seramai 1,089 penjawat awam yang bergaji sederhana diisytihar muflis dan 72 peratus daripadanya ialah lelaki.

''Kita bimbang masalah seperti ini akan mengganggu prestasi pekerjaan mereka," katanya.

Sementara itu, katanya, CUEPACS akan mengumpul data maklumat melakukan penambahbaikan di setiap bahagian negeri sebelum dibawa ke peringkat kongres kebangsaan 2 April ini.

''Kita sedang mengemas kini setiap cadangan untuk dibawakan ke pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Antara yang diperhalusi adalah penyelarasan gaji untuk kakitangan berpendapatan sederhana bagi mengimbangi kenaikan harga pelbagai barangan ketika ini," katanya.

Selain itu kata Omar, aspek lain yang turut dipertimbangkan adalah semakan semula gred dan tangga gaji kakitangan kerajaan agar disesuaikan mengikut pangkat dan kelayakan semasa kakitangan.

15 Mac 2011

TUGAS HAKIKI, KOMPETENSI, DAN KPI ANTARA ELEMEN DALAM SISTEM PENILAIAN BARU -JPA

Bernama
14/3/2011




KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai 1 Julai ini akan menilai semua penjawat awam berdasarkan jenis perkhidmatan dan tugas hakiki masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata di bawah format baru itu, calon juga akan dinilai berdasarkan kompetensi dan elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu berkenaan.

"Sistem penilaian baru ini tidak seperti konsep 'seragam untuk semua' yang digubal serta digunakan oleh semua jabatan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Negeri Sarawak, di sini, Isnin.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam peringkat pengolahan format baru itu dengan mendapatkan input dan maklum balas dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya proses menggubal format baru itu sedang berjalan lancar dan yakin kaedah baru penilaian penjawat awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mulai 1 Julai ini.

"Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan awam, kami perlu mengenali struktur kompleks perkhidmatan awam. Kita perlu semua jenis pendekatan bagi menyesuaikan keunikan perkhidmatan yang sedia ada," katanya.

Perjumpaan itu dihadiri oleh lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan dan badan berkanun peringkat persekutuan dan negeri.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Yahaya Basimin.

Ujian PTK, yang diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Nov 2002, mengundang pelbagai kontroversi dan persoalan kerana dikatakan ramai penjawat awam yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas, mengumumkan pemansuhan PTK dan digantikan dengan sistem penilaian baru yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam.



-- BERNAMA

13 Mac 2011

USAHA CUEPACS SEMAI SIKAP POSITIF DI KALANGAN PENJAWAT AWAN BERHASIL

Bernama
13/3/2011



KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Cuepacs sedang meningkatkan usaha bagi menyemai sikap positif di kalangan 1.2 juta penjawat awam di negara ini untuk menyediakan tahap perkhidmatan yang tinggi dalam memenuhi harapan dan keperluan orang ramai.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata setakat ini usaha itu berhasil seperti yang digambarkan dengan meningkatnya sistem penyampaian terutama dalam jabatan yang berhubung terus dengan orang awam.

Sebagai contoh, beliau berkata pengeluaran pasport antarabangsa yang sebelum ini mengambil masa seminggu kini boleh diperolehi dalam masa dua jam.

Begitu juga, sebelum ini orang ramai terpaksa beratur panjang di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, kini ia dapat dilakukan cuma dalam masa beberapa minit.

"Sebenarnya, untuk membaharui lesen dan pembayaran bil utiliti, ia telah pun dijalankan secara berkomputer dan orang boleh melakukan transaksi pada bila-bila masa dengan selesa di rumah," katanya kepada Bernama di sini.

Lok berkata penjawat awam memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara dan oleh itu mereka perlu mengikuti perkembangan terkini.

Beliau berkata program transformasi kerajaan merupakan satu cabaran kepada penjawat awam kerana mereka perlu menggunapakai kaedah dan kemahiran yang baru untuk menjalankan tugas mereka.

"Bagi pihak kita, kami akan terus menggalakkan penjawat awam memberikan khidmat terbaik tapi berharap ini dapat dipadankan dengan galakan yang sama daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata selain imbuhan kewangan, penjawat awam juga mahu usaha mereka diiktiraf dan dihargai.

Lok juga bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam supaya mereka berasa bangga dalam menjalankan tugas mereka.

Beliau juga meminta kerajaan supaya menyediakan lebih banyak kemudahan latihan untuk penjawat awam meningkatkan diri dan mendapat kedudukan lebih baik dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA

12 Mac 2011

RAJA PERLIS MAHU PENJAWAT AWAM JAYAKAN WAWASAN 2020

Bernama
11/3/2010



KANGAR, 10 Mac (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Khamis bertitah meminta penjawat awam di negeri itu agar komited menjayakan Wawasan 2020.

Titah baginda, walaupun Wawasan 2020 telah lama direncanakan, namun masih ada masyarakat yang kurang memahaminya kerana kurang mendapat pendedahan.

Justeru titah baginda, tugas itu terpikul pada bahu penjawat awam selain memastikan masyarakat turut terlibat dalam menjayakan wawasan nasional tersebut.

"Ketua-ketua jabatan perlu menunjukan teladan yang baik kepada pegawai bawahan dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan," titah baginda pada majlis mengadap sembilan ketua jabatan yang baru bertukar ke Perlis, di Istana Arau di sini.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu penjawat awam di negeri itu bersama-sama hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan Perlis Maju 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kangar, Mohd Zaki Abd Wahab, Pegawai Kewangan Negeri Perlis Romli Dai dan Ketua Polis Perlis Datuk Tajuddin Md Isa adalah antara sembilan pegawai kanan pada majlis itu.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-- BERNAMA

1,086 PENJAWAT AWAM MUFLIS

Berita Harian
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/03/03


Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.
“Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.

09 Mac 2011

SKIM RUMAH PERTAMAKU DISAMBUT BAIK GOLONGAN MUDA

Bernama
9/3/2011


KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Skim Rumah Pertamaku, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, disambut baik semua pihak, khususnya golongan muda yang akan mendapat faedah melalui skim tersebut.

Skim insitif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan memberi kemudahan kepada golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata skim yang diterima pakai kerajaan selepas meneliti cadangan Makmal Pemuda Barisan Nasional itu membuktikan suara golongan muda di negara ini diangkat dan diterima.

"Ini membuktikan kerajaan mendengar suara orang muda, mengiktiraf peranannya dan menangani isu-isunya dengan cara berorientasikan orang muda," katanya dalam kenyataan, di sini Rabu.

Justeru, beliau menyeru golongan muda untuk terus bersuara dan memainkan peranan dengan bijak demi membantu kerajaan menangani isu-isu yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Tamil Wilayah Persekutuan, V Illavarasan berkata semua golongan muda, khususnya masyarakat muda India perlu merebut peluang sebegini dengan sebaiknya.

"Ini merupakan satu rancangan yang bagus, sekarang lebih ramai golongan muda yang dah berkahwin, jadi melalui iniasitif ini kerajaan amat membantu kerana pada awal perkahwinan, mereka mampu memiliki rumah sendiri," katanya ketika dihubungi.

Melalui skim itu, individu berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapatkan pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya golongan muda dinasihati agar sentiasa bertindak mengikut perancangan sebelum membuat sebarang pinjaman daripada institusi kewangan kerana perkara itu melibatkan jangka masa panjang.

"Pinjaman memang mudah dapat, tapi golongan muda harus bertindak mengikut perancangan, mesti lihat adakah ia keperluan kerana ini melibatkan jangka masa panjang...paling lama 30 tahun, fikir baik-baik," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan memantau harga rumah di negara ini, khususnya di kawasan bandar kerana mendapati kebanyakan harga rumah terbabit masih terlalu tinggi dan tidak mampu dimiliki golongan muda berpendapatan kurang RM3,000.

Dalam perkembangan yang lain, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman meminta pihak institusi kewangan yang terlibat dalam skim tersebut menetapkan kadar faedah yang bersesuaian kepada peminjam.

Katanya golongan muda penjawat awam yang berpendapatan rendah, mungkin menghadapi masalah pembayaran sekiranya faedah yang dikenakan terlalu tinggi.

"Kita bimbang faedah tinggi, dengan gaji RM3,000 dan kos sara hidup yang tinggi, mereka tidak mampu membayar pinjaman balik," katanya.

Skim itu diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas itu melibatkan penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam.

Kerajaan melalui Cagamas turut akan menjamin bayaran pendahuluan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut dan permohonan boleh dibuat secara langsung di cawangan perbankan di seluruh negara.



-- BERNAMA

CUEPACS KEMUKA 4 TUNTUTAN BARU

Utusan Malaysia
8/3/2011



SANDAKAN 8 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan empat tuntutan baru tahun ini dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan penjawat awam.

Ia termasuklah membuat semakan semula gred penjawat awam dan pemberian elaun wilayah, menyambung kembali perkhidmatan pekerja kontrak di bawah Kementerian Pelajaran, selain mengkaji semula pemberian insentif kepada kakitangan kesihatan yang dalam status on call (siap siaga).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua tuntutan yang dikemukakan itu dilihat perlu diselaraskan semula dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

‘‘Penjawat awam memerlukan semakan gred baru. Selain itu, kita juga meminta kerajaan mengkaji semula elaun wilayah yang hampir 17 tahun tidak ada penambahbaikan.

‘‘Perkara ini perlu dikaji semula kerana kos hidup di semua tempat, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak semakin meningkat. Jika ia masih di tahap lama, sudah pasti kos sara hidup dengan hasil pendapatan penjawat awam tidak seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ceramah anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) Cawangan Sandakan di Hospital Duchess of Kent di sini.

Hadir sama, Setiausaha CUEPACS Sabah, Lawrence Vun dan Presiden SMSU Sabah, Maiman Muntial.

Menurut Omar, CUEPACS akan meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula elaun ataupun insentif kepada penjawat awam yang dalam status bersiap-siaga.

Katanya, berdasarkan maklum balas oleh kelompok penjawat awam berkenaan, mereka tidak diberi elaun ataupun insentif sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak ketika dalam tempoh on call.

‘‘Mana-mana penjawat awam yang kena stand by, sama ada dipanggil bekerja ataupun tidak, mereka perlu dibayar elaun ataupun setidak-tidaknya mendapat insentif,” jelasnya.

WUJUDKAN PERKONGSIAN PINTAR

Utusan Malaysia
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
8/3/2011



NAMA Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI- MLC) mungkin tidak begitu dikenali berbanding Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Namun, UNI-MLC mempunyai kekuatan lebih 200,000 ahli dari 60 kesatuan kakitangan kolar putih seluruh negara yang mampu memberi impak dalam hubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini.

Didaftarkan secara rasmi pada 2003, UNI-MLC merupakan anggota Kesatuan Global UNI (disebut You and I) yang menggabungkan sekitar 1,000 kesatuan sekerja dari 135 negara dengan keanggotaan kira-kira 20 juta ahli.

Kesatuan Global UNI yang beribu pejabat di Nyon, Switzerland dibentuk pada 1 Januari 2000 bagi menggabungkan kesatuan sekerja dari empat sektor utama iaitu komunikasi antarabangsa (pos dan telekom); media dan hiburan; grafik dan pembungkusan; serta kakitangan perdagangan, insurans dan kewangan (FIAT).

Di Malaysia, tugas UNI-MLC termasuk memberi khidmat nasihat dalam perjanjian bersama (CA), keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, cara kerja bersesuaian dan juga isu melibatkan pekerja asing.

Baru-baru ini, UNI-MLC turut menerima anugerah Breaking Throuh iaitu pengiktirafan tertinggi peringkat global untuk sudut pengelolaan sektor-sektor yang tiada kesatuan sekerja dengan mengatur kerja kesatuan untuk pekerja yang tiada kesatuan sendiri

Dalam temuramah khas bersama Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie BP Mammal sebelum ini, beliau berkongsi harapan untuk era baru hubungan kesatuan, majikan dan kerajaan yang lebih 'aman' kelak.

"Falsafah kami mahu wujudkan perkongsian pintar dan juga mahu bekerjasama dengan kerajaan, universiti, golongan cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat serupa.

"Persoalannya, bagaimana membina era perkongsian pintar ini? Ke arah keharmonian dan kesejahteraan pekerja tanpa mengabaikan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan," katanya.

Antara yang ditegaskannya adalah untuk melihat perubahan minda pemimpin kesatuan sekerja yang perlu mengikut iklim politik, ekonomi dan pertumbuhan peluang pekerjaan di rantau ini.

"Perhubungan industri yang sihat dengan majikan bukan bererti kita berkompromi dengan hak kita. Perubahan ini mungkin akan dibawa golongan muda yang akan mengambil alih dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

"Falsafah mereka mungkin berbeza terutamanya dalam era perkongsian pintar yang tidak hanya melihat kepada isu pendapatan semata-mata," ujarnya.

Namun, Mohamed Shafie berpendapat perubahan ke era baru tidak begitu mudah jika pihak pengurusan sendiri masih was-was dengan tahap keterbukaan terhadap kesatuan sekerja yang masih rendah.

Tambahnya, majikan juga kena mengubah cara pemikiran lama terutamanya persepsi bahawa ahli kesatuan merupakan golongan yang selalu suka menentang.

"Majikan sebenarnya kena jaga pekerja. Dengan cara itu, rasa hormat antara kedua pihak akan bertambah sementara produktiviti dan hasil kerja akan meningkat.

"Galakkan latihan dan latihan semula supaya dapat membentuk sistem dan budaya kerja baru dalam era globalisasi kini," tegasnya.

Jelasnya lagi, banyak isu boleh diselesaikan dengan baik dan mudah jika Bahagian Sumber Manusia syarikat cekap dan prihatin terhadap situasi kakitangan.

"Masalah dapat diselesaikan dengan baik dan mudah jika kesatuan dapat memberi maklum balas dalam suasana kerja yang harmoni, aman dan mementingkan perkongsian pintar semua pihak.

JALAN COCHRANE RESIDENT SNUB PPR OFFER

Malay Mail
by Najiah on Monday, March 7th, 2011
Why Puchong when there are units nearby, ask occupants of govt quarters
Monday, March 7th, 2011 12:30:00



Jalan Cochrane residents

ALL EARS: Bustaman (standing) addressing residents of the Jalan Cochrane government quarters at their gathering yesterday — Pic: Razak Ghazali

KUALA LUMPUR: Long-time residents at the Jalan Cochrane government quarters are upset they have been alloted low-cost (PPR) units more than 20km away in Puchong when they claim there are still about 200 unoccupied units nearby.

The residents, numbering about 200, were told on Saturday to attend a briefing on their new homes in PPR Kampung Muhibbah, Puchong, today and move in by March 15.

Tempers were high during a residents' gathering yesterday morning. Cochrane Government Quarters Relocation Appeal Committee chairman Bustamam Hassan accused the authorities of having gone back on their promises ahead of the quarters' demolition to make way for a government housing project.

"In earlier discussions, City Hall representatives had mentioned there were vacancies in the nearby PPR flats. It was also verbally agreed the Jalan Cochrane residents will be given those flats.

"Imagine our shock when we received the offer for the low-cost units in PPR Kampung Muhibah and to move in by March 15. It is too short a notice."

Bustaman said the residents would reject the offer and not attend today's briefing.

Ahmad Omar

AHMAD: Civil servants not appreciated for contribution

"They have collectively agreed not to move as most of them are not happy with the offer. We hope the authorities would grant us an extension till June until better alternatives can be determined."

Retired civil servant Ahmad Omar, 60, said: "It is an insult for us civil servants to be called squatters. We are supposed to be appreciated for our contribution and lifetime service to the government.

"Instead, we are being treated like garbage. The authorities are supposed to fight for the interest for low-income support staff like us."

Congress of Unions of Employees in the Public and Civil Services (Cuepacs) president Omar Osman said it would meet with City Hall today and negotiate an extension to June 30 if more suitable units could not be found for the residents.

When contacted, City Hall's deputy director-general (services), Datuk Amin Nordin Abdul Aziz, said the residents were offered the Puchong units because there were no vacant ones nearby.

On the claim there are 200 unoccupied homes in PPR Seri Alam near the Cochrane area, he said: "There are no vacant units. They have to understand these 'unoccupied' units are reserved for shortlisted candidates and the list had been prepared a few years ago."

Amin also explained the PPR units were not meant for occupants of government quarters. "However, after consideration, City Hall agreed to provide PPR units for them as the civil servants did not want to move to government quarters in Putrajaya."

The residents first received their evacuation notice from the property management division of the Prime Minister's Department in May last year. Following discussions, the Dec 15 deadline was extended to March 15 this year.

They will be given RM2,000 as compensation, and the Armed Forces Fund Board (LTAT) will provide transport during moving day.

08 Mac 2011

NAJIB MINTA PENJAWAT AWAM JANGAN CARI KEPUASAN MATERIAL SEMATA-MATA

Bernama
8/3/2011


PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Perana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penjawat awam agar tidak melihat kepuasan bekerja dari sudut material semata-mata tetapi sebaliknya menilai sumbangan mereka yang membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.

"Inilah kepuasan yang paling abadi kepada diri kita apabila khidmat bakti kita itu membawa kepada kebaikan. Lebih-lebih lagi atas konsep ibadat dalam Islam yang sangat luas," katanya.

"Bekerja bertungkus lumus dengan penuh dedikasi dan integriti adalah juga ibadat dalam Islam dan sudah pasti apa yang kita lakukan dengan ikhlas itu, InsyaAllah akan dapat ganjaran daripada Allah," katanya pada majlis Persaraan Perbendaharaan 2011 di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau mendapat kepuasan bekerja apabila melihat setiap menteri dan anggota pentadbiran begitu mementingkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

"Walaupun ada yang meminta maaf mengatakan terdapat KPI yang tidak dapat dipenuhi kerana di luar kawalan kementerian namun saya yakin menteri itu tahu usaha dan kerja yang dilakukan itu ada dikaitkan dengan apa yang patut dicapai secara makro bagi sebuah kerajaan," katanya.

Najib berkata KPI yang dicapai sekiranya digabungkan pasti akan menjurus ke arah pencapaian yang diingini bagi negara secara keseluruhannya.

Majlis tersebut adalah bagi meraikan 40 anggota Perbendaharaan yang bersara wajib dari April 2008 hingga 6 Mac lalu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

-- BERNAMA

06 Mac 2011

CAMPUR ADUK POLITIK DENGAN PROFESION BOLEH JEJAS INTERGRITI SEKTOR AWAM-SALLEH

Bernama
5/3/2011



KOTA KINABALU, 4 Mac (Bernama) -- Campur aduk politik dengan kerjaya sektor awam sudah pasti akan menjejaskan standard dan integriti perkhidmatan awam, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.

Katanya ini adalah kerana politik dan politiking sering mengundang pelbagai kompromi dan sentimen.

Bagaimanapun, Salleh berkata penjawat awam perlu memahami peranan ahli politik dalam memenuhi keperluan pengundi di kawasan pilihan raya masing-masing.

Ketika menyampaikan ceramah eksekutif Institut Tadbiran Awan Negara (Intan) di kampus Intan Sabah di sini Jumaat, katanya, ahli politik perlu mengetahui peranan penjawat awam kerana ada sebilangan mereka tidak mahir atau pengalaman dalam bidang tadbir.

Sekiranya ahli politik mengambil tindakan tertentu yang tidak betul maka penjawat awam atau pentadbir harus berani untuk menafikan permintaan mereka secara baik, katanya.

"Di sinilah, kemahiran komunikasi kepimpinan memainkan peranan dalam perkhidmatan awam," katanya pada ceramah yang dihadiri oleh pegawai jabatan dan agensi kerajaan pusat.

Salleh berkata hubungan bersepadu dan mesra antara pentadbiran dan ahli politik adalah penting bagi memastikan kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Katanya ketua jabatan perlu tegas dalam membuat keputusan selaras dengan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama.

"Kadang-kadang sesuatu keputusan itu tidak menyenangkan pihak tertentu tetapi sebagai ketua jabatan, kita perlu menjalankan tanggungjawab kita dengan penuh integriti," katanya.

Beliau juga meminta penjawat awam dan ketua jabatan supaya meningkatkan kemahiran komunikasi bagi memastikan mereka dapat berkhidmat dengan lebih baik dan berkesan untuk rakyat.

-- BERNAMA

04 Mac 2011

CUEPACS CADANG MODUL PENGURUSAN KEWANGAN PERSENDIRIAN BAGI PENJAWAT AWAM

Bernama
4/1/2011



KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bimbang dengan jumlah muflis di kalangan penjawat awam, Cuepacs, kesatuan yang mewakili lebih sejuta pegawai kerajaan di negara ini mahu satu modul "pengurusan kewangan persendirian" diperkenalkan kepada penjawat awam baru.

Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng berkata modul itu boleh dimasukkan ke dalam kursus induksi bagi pengambilan baru.

Adalah penting untuk mendidik para penjawat awam baru dengan kemahiran pengurusan kewangan pada awal kerjaya mereka supaya mereka dapat mengelakkan hutang, katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa 1,086 penjawat awam diisytihar muflis pada 2009, dengan 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki.

Lok berkata jika perkara ini tidak dipantau, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan kerana penjawat awam tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka.

Hutang berkenaan akan membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan, katanya.

Beliau berkata kebanyakan kes muflis berlaku berikutan kedudukan penjawat awam sebagai penjamin bagi pinjaman yang dilakukan rakan atau anggota keluarga mereka.

"Nasihat kami adalah supaya mereka berhati-hati apabila menandatangani perjanjian sebagai penjamin kerana sebaik sahaja peminjam gagal membayar pinjaman, penjamin perlu melunaskan baki pinjaman," kata Lok, yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

"Kami mempunyai banyak kes penjawat awam yang terpaksa membayar pinjaman yang dilakukan oleh orang lain," katanya.

Menurut Lok, penjawat awam perlu mengelakkan diri daripada mengambil pinjaman yang besar sehingga menyusahkan mereka melunaskan bayaran balik.

Beliau turut mengingatkan bahawa penjawat awam menghadapi risiko hilang pekerjaan dan pencen jika mereka diisytiharkan muflis.

-- BERNAMA

02 Mac 2011

ANUGERAH HARI PEKERJA 2011- PELAWAAN KEPADA MAJIKAN DAN PEKERJA UNTUK MENYERTAI PERTANDINGAN ANUGERAH HARI PEKERJA 2011

Media
Cuepacs
2/3/2011



PENJAWAT AWAM PERLU BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN ELAK BANKRAP - CUEPACS

Bernama
3/2/2011



PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

"Apabila seorang penjawat awam diisytihar bankrap, dia akan ditamatkan perkhidmatan dan kesemua faedah termasuk pencen akan ditarik balik.

"Jadi kita nasihatkan kepada penjawat awam agar lihat dulu pendapatan bulanan dan kena berbelanja atas kebijaksanaan. Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga apabila diisytihar bankrap nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Cuepacs di Jabatan Perdana Menteri di sini Rabu oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengisytiharan bankrap itu disebabkan penjawat awam menjadi penjamin kepada pihak lain yang tidak mampu melangsaikan pinjaman.

Justeru, beliau berkata taklimat pada hari ini diharap dapat memberi lebih penerangan dan kesedaran kepada penjawat awam mengenai kebankrapan agar perkara itu dapat dielakkan pada masa hadapan.

Daripada segi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula, Omar berkata ia untuk memaklumkan penjawat awam bahawa terdapat saluran yang selamat untuk mereka memberi maklumat mengenai sebarang ketirisan dalam perkhidmatan awam.

Ia juga, katanya dijangka dapat mengurangkan sindrom 'surat layang' kerana selain melindungi identiti pelapor, pihak yang melapor juga boleh diambil tindakan sekiranya perkara yang dilapor didapati tidak benar.

Beliau berkata taklimat seperti itu juga akan diadakan di seluruh negara secara berperingkat mengikut zon agar kesemua pemimpin dalam Cuepacs dapat menyertainya dan seterusnya perkara memberi penerangan atau mengadakan seminar untuk memberi penjelasan kepada penjawat awam di bawah seliaan mereka pula.

-- BERNAMA