SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Mei 2011

SOKONG PROJEK DI SUNGAI BESI

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
2011/05/30




CUEPACS minta utamakan perumahan kos rendah kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja menyokong usaha kerajaan memajukan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi sebagai pusat komersial termasuk pembinaan perumahan golongan berpendapatan rendah selepas pangkalan itu dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata ketika ini kebanyakan pekerja, khususnya penjawat awam yang menerima gaji RM2,500 hingga RM3,000 belum memiliki rumah pertama mereka. “Mereka mempunyai tanggungan keluarga yang besar selain memberi tumpuan kepada kebajikan dan pendidikan anak yang kadangkala menyukarkan mereka membeli rumah. “CUEPACS melihat cadangan membina perumahan golongan berpendapatan rendah di pangkalan TUDM Sungai Besi tepat pada masanya memandangkan permintaan rumah kos rendah dikalangan penjawat awam semakin tinggi,” katanya semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Pangkalan di Sungai Besi akan dipindahkan, sendayan, manakala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan projek itu akan dibangunkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kos atau tarikh pemindahan pangkalan itu, sebaliknya menjelaskan ia dipindahkan selepas pemaju selesai membina pangkalan di Sendayan.

Azih berkata, pihaknya berharap ketika projek itu dilaksanakan, kerajaan memberi perhatian serius kepada permintaan penjawat awam.
Sementara itu, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A Balasubramaniam, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif kerajaan yang dilihat mampu mengurangkan beban pekerja sektor swasta berpendapatan rendah.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata lokasi pangkalan Sungai Besi di ibu kota amat sesuai dijadikan sebagai kawasan perumahan khususnya kepada mereka berpendapatan rendah.

“Langkah kerajaan ini akan membawa banyak kebaikan kepada rakyat dalam usaha mereka memiliki rumah sendiri,” katanya.

PENJAWAT AWAM PERLU AMAL BUDAYA INOVASI - NAJIB

Bernama
31/5/2011



PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga kriteria yang perlu diamalkan oleh agensi perkhidmatan awam supaya dilihat lebih berinovasi dan memberi impak kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata tiga kriteria berkenaan membabitkan sesuatu tindakan yang boleh membawa impak besar kepada negara, menjimatkan wang serta boleh memendekkan tempoh pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan awam.

"Berdasarkan kepada trend yang saya lihat dalam perkhidmatan awam, saya yakin dan optimis, budaya inovasi boleh diamalkan dan diarusperdanakan. Jika ia menjadi kenyataan, berbaloi kita mengadakan anugerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa malam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata inovasi bukan milik eksklusif para saintis dan teknologis semata-mata sebaliknya ia juga boleh diguna pakai oleh kakitangan awam.

Perdana Menteri berkata sebagai ahli politik dan pentadbir, beliau sendiri mengambil pendekatan inovatif yang sekaligus dapat memberi impak yang besar dan menjimatkan kos.

Dengan memberi contoh tinjauan mesra yang diamalkan oleh beliau sejak dilantik menjadi Perdana Menteri sebagai pendekatan inovatif, Najib berkata ia bukan sahaja memberi kesan yang besar kerana dapat berjumpa seramai mungkin penduduk setempat malah ia menjimatkan kos kerana tidak perlu membelanjakan wang untuk makanan dan menyewa dewan.

Selain itu, Najib berkata perjumpaannya dengan rakan on-line juga merupakan satu lagi pendekatan inovatif yang diamalkannya bagi mendekati rakyat.

"Dunia sudah berubah dan Malaysia juga berubah. Sebagai pemimpin, kita juga perlu berubah atau kita tidak lagi dianggap relevan," katanya.

Najib berkata kakitangan awam juga perlu mengubah pemikiran mereka dan menjadikan budaya inovasi sebagai amalan mereka.

Beliau berkata jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang kompetitif, mereka perlu inovatif.

Sementara itu, kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM)- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkasakan keselamatan dan pertahanan negara memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010.

Anugerah itu membolehkan PDRM-ATM membawa pulang wang tunai RM1 juta, piala iringan dan piala.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, masing-masing menerima anugerah tersebut daripada Najib.

-- BERNAMA

30 Mei 2011

KAKITANGAN JKR SARAWAK MAHU STATUS PENCEN SEPERTI RAKAN SEMENANJUNG

Borneo Post
May 30, 2011,




KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mahu kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka untuk menerima status berpencen sepertimana yang diperolehi penjawat awam JKR di Semenanjung Malaysia.

Perkara tersebut disuarakan oleh Setiausaha Agung Kesatuan JKR Sarawak Abang Tony Shaferi dengan menyifatkan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) yang diberikan tidak cukup memuaskan hati mereka setelah berkhidmat puluhan tahun dengan kerajaan.

“Sungguhpun kebanyakan kami telah berkhidmat selama 30 tahun kepada kerajaan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi bagi mencapai aspirasi kerajaan namun kami hanya diserap ke jawatan JBC di mana kami tidak akan mempunyai pencen ketika bersara kelak.

“Apa yang akan kami dapat ialah wang sekitar RM100,000 (wang KWSP), dengan duit sebanyak itu kita perlu melangsaikan pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan sebagainya.

“Bakinya mungkin dalam RM10,000 sahaja jadi dengan duit sebanyak itu adakah kami mampu menyara hidup pada masa tua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Hari Pekerja JKR Sarawak di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri, malam kelmarin.

Menurut Tony, JKR Sarawak mempunyai kakitangan seramai 1,434 dan kesemua mereka diserapkan ke jawatan JBC dan mahukan pembelaan agar mendapat keistimewaan seperti mana penjawat awam yang lain.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman dalam ucapannya dalam majlis tersebut memberitahu bahawa pihaknya akan memeterai satu memoradum dengan CUEPACS Sarawak agar dapat menyelesaikan permasalahan penjawat awam di negeri ini.

“Perkara ini akan dibawa ke peringkat kerajaan persekutuan dan kami akan membuat satu memorandum dengan CUEPACS Sarawak supaya masalah seperti ini dapat diselesaikan .

“Kami mahu penjawat awam di JKR Sarawak tidak terlepas daripada mendapat keistimewaan seperti yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia dan perkara ini perlu kita ambil perhatian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, berkata beliau akan menyokong setiap usaha yang dilakukan oleh pihak CUEPACS dan Kesatuan JKR Sarawak dalam membela nasib penjawat awam JKR Sarawak.

“Sememangnya kalau diikutkan JKR di peringkat persekutuan dan negeri mempunyai bidang kerja yang sama tetapi yang bezanya ialah di Semenanjung Malaysia ada pencen dan bantuan perubatan tetapi kita di sini belum ada.

“Disebabkan itu saya harap semua pihak akan berbincang sedalam-dalamnya dan saya akan menyokong apa sahaja usaha yang ada,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa satu perbincangan perlu dilakukan bersama pihak kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Kami akan sentiasa memberikan sokongan untuk memperbaiki keadaan dari segi keseimbangan gaji dan lain-lain lagi, tetapi terlebih dahulu kita perlu berbincang dengan kerajaan negeri,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut semalam Presiden Kesatuan JKR Sarawak William Sayeng Mayun.

29 Mei 2011

CUEPACS BIAR BERPADA-PADA

Utusan Malaysia
25/5/2011




SAYA sebagai pesara bersetuju dengan pendapat Wan Zaffizz Wan Muhammad di ruangan ini pada 24 Mei lalu. Memang tidak wajar umur bersara pejawat awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Janganlah pihak CUEPACS hanya meminta kenaikan gaji dan bermacam-macam tuntutan daripada kerajaan. CUEPACS sepatutnya mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan prestasi kakitangan kerajaan.

Dengan adanya kemajuan teknologi sekarang, saya rasa kerja di pejabat lebih mudah dibandingkan dengan 20 tahun lalu.

Berpada-padalah apabila membuat tuntutan. Kami dahulu bekerja lima setengah hari tetapi kini hanya lima hari sahaja. CUEPACS wajib mencari jalan kedua-dua belah pihak iaitu penjawat awam dan kerajaan sama-sama menang.

SITI ZALIHA

Alor Setar, Kedah

TAK SETUJU SYOR CUEPACS BERSARA PADA USIA 60 TAHUN

Berita Harian
2011/05/27



SAYA sebagai kakitangan awam tidak bersetuju dengan saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman agar usia bersara wajib penjawat awam dilanjutkan lagi daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pendapat beliau kadangkala 'menghiburkan hati' penjawat awam yang diwakilinya, tidak kurang yang menjengkelkan dengan idea yang hanya indah dalam bentuk angan-angan tetapi mengarut jika dijadikan kenyataan.

Asalnya usia bersara wajib penjawat awam 55 tahun, kemudian ditambah setahun lagi menjadi 56 tahun dan terakhir dipanjangkan pula menjadi 58 tahun mulai 2007. Kini mahu dilanjutkan pula sehingga usia 60 tahun. Faktor mentaliti, kualiti kerja dan komitmen terhadap tugas dalam kalangan penjawat awam di Malaysia sebenarnya masih jauh daripada menyamai tahap pemikiran dan keupayaan yang dimiliki negara maju, walaupun CUEPACS cuba menafikannya. Bayangkan, kakitangan awam yang baru mencecah usia 45 tahun hingga 50 tahun sudah banyak yang menjadi ‘pelupa’, ‘merasa diri sudah amat tua’ dan ‘menjadi perlahan dalam serba-serbi’. Belum diambil kira golongan yang dihinggapi pelbagai penyakit dalam kalangan rakyat Malaysia seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi, lemah tulang, sakit jantung dan sebagainya tatkala usia semakin menghampiri 50 tahun.

Apakah tuntutan itu semata-mata bersandarkan kepada alasan untuk melapangkan sedikit sumber kewangan penjawat awam yang rata-rata banyak menanggung beban hutang seperti hutang rumah, kenderaan, pendidikan anak, insurans kesihatan dan kemalangan dengan memanjangkan lagi tempoh perkhidmatan mereka sekali gus memanjangkan juga tempoh bayaran balik hutang berkenaan.

Bagaimana dengan generasi muda yang baru hendak mencari penghidupan? Perlukah mereka menunggu sehingga ‘orang lama’ yang sudah lelah ini meninggal dunia baru peluang kerja akan terbuka untuk mereka.

Banyak perkara lain yang perlu difokuskan oleh CUEPACS, bukan tuntutan untuk melanjutkan usia bersara wajib sehingga 60 tahun. Jika ini dipenuhi, apakah beberapa tahun akan datang akan diminta untuk dilanjutkan sehingga 65 tahun pula?


WAN ZAFFIZZ WAN MUHAMMAD,
Taman Greenwood, Gombak.

28 Mei 2011

GERBANG NEGERI : KAKITANGAN KONTRAK ' PENINGKAN' JPA

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim
bhnews@bharian.com.my
2011/05/27



KERAJAAN adalah majikan besar di negara ini yang mengendalikan kira-kira 1.2 juta penjawat awam dalam pelbagai peringkat. Status perjawatan pula ada yang tetap, tetap dan berpencen, pekerja tidak tetap atau pekerja harian sementara (PHS) dan pekerja kontrak.

Kumpulan pekerja kontrak itu pula berada dalam pelbagai jawatan termasuk tukang kebun, juruteknik serta guru yang juga disebut Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) atau kata sesetengah orang guru sementara. Ada juga yang bertaraf pegawai. Mengikut CUEPACS, kini kira-kira 45,000 kakitangan awam kontrak di seluruh negara dalam pelbagai jabatan sama ada Persekutuan atau negeri.

Seramai 13,000 GSTT pula masih menunggu tawaran Kementerian Pelajaran untuk diambil bertugas atau diberi latihan sepenuh masa sebelum diserapkan sebagai guru tetap.

Menerusi perbualan dengan pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), penulis membuat kesimpulan isu penyerapan pekerja kontrak ke status tetap antara yang ‘memeningkan’ jabatan itu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman juga sejak dulu meminta kerajaan menyerapkan mereka ke jawatan tetap atau sekurang-kurangnya menyambung kontrak sehingga ke usia 58 tahun. Kita bersyukur jika semua pekerja kontrak diserapkan ke jawatan tetap seperti diminta CUEPACS. Namun, pembaharuan kontrak mengikut budi bicara kerajaan selain perlu memenuhi keperluan semasa.

Tuntutan pekerja kontrak diserapkan ke jawatan tetap nampaknya akan berterusan manakala di pihak kerajaan, JPA sentiasa dikekang dengan pelbagai had dalam tindakan terutama kos dan keperluan.
Omar dilaporkan berkata, ada sesetengah kakitangan awam kontrak yang sudah bertugas antara 10 hingga 20 tahun. Pada hemat penulis, penyambungan kontrak secara berterusan menyebabkan petugas menganggap jawatan itu adalah haknya dan kerajaan perlu meneruskannya.

Ketika banyak pihak mempersoalkan mengapa kerajaan melanjutkan kontrak sehingga begitu lama dan dijadikan rasional kepada tuntutan supaya kontrak terus disambung, ia tidak mengubah hakikat bahawa penyambungan kontrak adalah budi bicara kerajaan sebagai majikan.

Biasanya pengalaman kakitangan kontrak dijadikan asas supaya khidmatnya diserapkan sebagai pekerja tetap kerajaan, tetapi itu bukan isu pokok.

Majikan sama ada swasta atau kerajaan, berhak mewujudkan skim kerja kontrak untuk mengisi keperluan perjawatan jangka pendek kerana pelbagai sebab seperti kakitangan tetap bercuti panjang, kakitangan cuti sakit yang berpanjangan, mengikut suami atau isteri ke luar negara atau melakukan tugas bermusim.

Tetapi hakikatnya ialah pelantikan secara kontrak itu bukan bermakna satu jaminan kakitangan diserap sebagai tetap, ini perlu difahami sejak awal apabila seseorang menandatangani tawaran kerja kontrak. Justeru, jika kontra disambung, ia wajar dianggap ‘bonus’ tetapi jika tidak disambung mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Hak dan budi bicara perlu difahami dalam isu ini. Hak pekerja kontrak mematuhi kontrak serta menikmati segala bayaran yang diperuntukkan undang-undang, manakala aspek disambung atau tidak adalah budi bicara majikan. Penyambungan kontrak bukan hak pekerja.

CUEPACS berkata, kakitangan kontrak kerajaan memerlukan jaminan seperti kemudahan membuat pinjaman rumah serta persoalan ke mana kakitangan itu mendapat kerja baru jika ketika kontrak tidak disambung sudah berusia 40 tahun ke atas.

Bagaimanapun, sesi komunikasi dan perbincangan perlu diadakan secara bersemuka dengan kumpulan berkenaan untuk menjelaskan sebab jika sesuatu kontrak tidak diperbaharui. Perbincangan mungkin ‘panas’ tetapi itulah hakikat yang perlu dihadapi JPA dan kakitangan berkenaan.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Putrajaya

JABATAN PATUT BAYAR SAMAN TRAFIK'

Berita Harian
Oleh Noor Syahidatool Aqma Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my
2011/05/26




CUEPACS dakwa tidak adil pemandu kenderaan rasmi kerajaan tanggung kos

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta saman yang diperoleh mana-mana pemandu kenderaan rasmi kerajaan ditanggung jabatan berkenaan dan bukan kakitangan terbabit.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ini kerana tidak adil bagi pemandu terbabit menanggung bayaran untuk saman atau kemalangan yang berlaku ketika menjalankan tugas rasmi. Katanya, isu berkenaan perlu diberi perhatian kerana pihaknya menerima banyak aduan daripada pemandu yang tidak berpuas hati dengan perkara itu.

“Pemandu mengeluh kenapa mereka perlu menanggung saman sedangkan mereka ketika itu menjalankan tugas rasmi. Sepatutnya pihak jabatan yang harus bertanggungjawab.

“Pemandu disaman mungkin ketika memandu laju kerana mahu sampai cepat ke destinasi atas arahan pihak atasan. Oleh itu, segala perbelanjaan jika disaman atau berlaku kemalangan, perlu ditanggung pihak jabatan.

“Jika jabatan tidak mahu tanggung, pemandu kena pandu kenderaan mengikut peraturan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi dialog bersama kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Ibu Pejabat JPJ, Padang Jawa di sini, semalam.
Sesi dialog itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja Omar untuk bertemu dengan kakitangan setiap agensi kerajaan bagi menjelaskan isu semasa berkaitan penjawat awam.

Kira-kira 50 kakitangan JPJ Selangor menyertai sesi dialog anjuran Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) itu.

27 Mei 2011

KESATUAN AKUI KOS HIDUP TINGGI ANTARA PUNCA MASALAH KURANG GURU DI KL

Malaysia Insider
Oleh Zulaikha Zulkifli
27/5/2011



KUALA LUMPUR, 27 Mei — Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mengakui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah guru, antara lain disebabkan sesetengah guru memutuskan untuk meninggalkan ibu negara disebabkan kos hidup yang tinggi.

Bagaimanapun kata mereka, masalah itu yang disebabkan kos hidup tinggi bukan sahaja disaksikan di ibu negara, tetapi juga di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Memang ada guru-guru ini tidak berminat untuk mengajar di bandar kerana kos sara hidup yang tinggi kerana mereka perlu membayar sewa rumah dan sebagainya,” kata Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Mohamed Sabri Mohd Arshad kepada The Malaysian Insider.

Jelas beliau, masalah tersebut antara lain disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi di bandar.

Beliau berkata, walaupun guru turut menerima Elaun Kos Sara Diri (COLA), antara RM200 hingga RM300 sebulan bergantung pada kelayakan, ia masih tidak mampu untuk menampung kos hidup di bandar.

Katanya lagi, terdapat tiga bandar raya yang kritikal di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town yang mana ia kurang menjadi pilihan guru untuk mengajar.

“Perkara ini serius kerana bila ada cikgu yang tak berminat untuk mengajar di bandar, ia akan menyebabkan kekurangan guru dan ia memberi beban kepada guru lain kerana perlu menampung kelas yang tiada guru,” katanya.

Sabri juga berkata, faktor lain guru tidak mahu mengajar di kawasan bandar juga adalah kerana kurang berpengalaman.

“Guru-guru baru biasanya pendapatan mereka tak tinggi. Sebab itu tidak mahu mengajar di bandar. Selain itu, masalah disiplin di bandar juga tinggi dan disebabkan kurang pengalaman untuk menangani situasi itu, mereka lebih suka mengajar di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar elaun khas diberi kepada guru yang mengajar di bandar sepertimana diberi kepada guru di kawasan pendalaman.

Katanya, jika elaun boleh diberi kepada guru yang mengajar di kawasan pendalaman, elaun khas untuk guru di bandar juga perlu diberi.

“Guru-guru pendalaman akan dapat elaun khas kerana mereka mengajar di kampung-kampung pendalaman yang adakalanya tiada bekalan elektrik. Jadi mereka akan dapat elaun kerana tiada bekalan elektrik itu.

“Justeru, elaun seperti itu juga perlu diberi kepada guru-guru yang mengajar di kawasan kritikal,” katanya.

Beliau juga berpendapat, kerajaan harus mempunyai perancangan untuk membendung perkara itu.

“Sama ada dengan membuat rumah guru dalam kawasan sekolah untuk menarik minat guru-guru ini mengajar atau tambah elaun khas untuk guru di bandar,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Biro Pendidikan Parti Keadilan Rakyat Abas Awang mendakwa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhadapan dengan masalah kekurangan guru, seperti yang dialami Sabah tetapi di ibu negara ia disebabkan ramai keberatan mahu mengajar ekoran kos hidup yang tinggi.

“Statistik terbaru saya tidak peroleh lagi. Tetapi berdasarkan pengalaman saya dahulu menjadi pengarah pelajaran bahagian Wilayah Persekutuan dan timbalan pengarah bahagian sekolah Malaysia, sebuah sekolah akan ada lima hingga enam orang guru sementara di Kuala Lumpur,” katanya.

Kata beliau, pengurusan sekolah terpaksa mengambil guru-guru sementara berikutan kekurangan guru memandangkan tidak ada guru yang hendak berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Peng berkata, isu mengenai guru mohon untuk menukar tempat mengajar dari sekolah di Kuala Lumpur ke kawasan lain sememangnya wujud.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti berapa jumlah sebenar guru yang memohon untuk keluar dari Kuala Lumpur termasuk atas alasan kos hidup yang tinggi.

“Kekurangan guru di Kuala Lumpur memang ada tetapi banyak mana jumlahnya, saya perlu telefon Jabatan Pendidikan untuk memastikan.

“Saya juga ada mendengar kes guru memohon untuk tukar dari Kuala Lumpur ke kampung halaman selepas mereka mengajar dua, tiga tahun kerana mengikut suami atau isteri dan ada juga disebabkan kos sara hidup di Kuala Lumpur tinggi.

“Apa pun, saya tidak boleh beritahu jumlahnya yang sebenar kerana saya perlu semak semula,” katanya yang juga Setiausaha Agung Cuepacs.

24 Mei 2011

AmResearch: RON95 dijangka naik 20 sen bulan depan

May 24, 2011





KUALA LUMPUR, 24 Mei — Harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika, demikian menurut AmResearch. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan masih mengkaji untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut pasaran minyak dunia.

Kalau kekal dengan keadaan sekarang kemungkinan besar dari segi unjurannya, kata beliau, subsidi akan bertambah daripada RM10.3 bilion kepada RM17 bilion.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.

“Kesemua faktor menunjukkan ke arah kenaikan harga RON95,” kata firma itu sambil menambah, dengan mengambil kira kenaikan berterusan harga global bagi minyak mentah dan kemungkinan naik lagi pada masa depan, kerajaan kini tersepit antara mengamalkan urus tadbir fiskal seimbang dan keperluan menggambarkan ia mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Justeru, AmResearch berkata kerajaan boleh memberi rebat dan menyusun semula skim saraan sektor awam untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah, yang dihimpit dengan beban pemotongan subsidi.

Firma itu juga menambah, ia menjangkakan bahawa kadar inflasi akan naik mendadak ke arah empat peratus dalam waktu terdekat susulan pusingan pertama impak potongan subsidi ke atas makanan, pengangkutan dan tenaga.

“Secara purata, inflasi tahun ini mungkin melepasi kadar 3.5 peratus yang telah diramalkan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ia akan masih rendah berbanding 8.5 peratus, paling tinggi dalam 25 tahun, yang dialami pada Julai dan Ogos 2008.

Semalam, Ismail Sabri (gambar) berkata, kerajaan pusat akan mengumumkan perkembangan langkah rasionalisasi subsidi termasuk pelarasan harga petroleum minggu ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan kaedah paling sesuai untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan itu.

“Tunggulah (pengumuman) dalam masa seminggu ini... kita akan membuat keputusan sama ada ingin meneruskan subsidi petrol, diesel dan gas memandangkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan terus meningkat dari RM8 bilion kepada RM18 bilion,” katanya.

Dalam satu kenyataan petang semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan tarif elektrik dinaikkan bulan depan, tetapi mahu pentadbiran Najib mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.

Di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai kemungkinan pemotongan bakal dibuat oleh Putrajaya, beliau berkata, beliau sudah sekian lama menegaskan sekitar RM22 bilion subsidi gas yang diberi kepada IPP tidak memberi makna kepada rakyat, sebaliknya ia hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan kroni rapat dengan pemerintah.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet dalam mesyuarat mingguannya esok akan menyentuh soal itu.

Ketua Umum Pakatan Rakyat ini berkata, merujuk kepada kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh beberapa menteri berkaitan, kemungkinan tarif elektrik dijangka naik bulan depan.

Anwar berkata, isu kenaikan tarif elektrik negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah dipaksa ke atas TNB untuk dimeterai bersama dengan IPP terutamanya dengan pengeluar tenaga swasta generasi pertama.

23 Mei 2011

NUTP: 90-day maternity leave denied to teachers

The Star
23/5/2011


GEORGE TOWN: The National Union of Teaching Profession (NUTP) is upset that some of its members have been denied the 90-day paid maternity leave due to a lack of funds for replacement teachers.

Its secretary-general Lok Yim Pheng said she had received many complaints from teachers nationwide that they had been granted only 60 days’ paid leave.

“They were given 60 days and made to apply for the additional 30 days, and often, the application would be rejected by the school or (state education) department head.

“I checked with the school heads and was told that the problem was due to a lack of allocation to pay for replacement teachers.

“This is akin to denying the teachers their right,” she said, urging the Education Ministry to provide funds for replacement teachers.

Lok also claimed that other civil servants faced similar problems when applying for extended maternity leave.

“I was told that even nurses found it difficult to get their leave approved as there were various requirements imposed by department heads.

“For example, a new mother would have to be sick to get the extra days,” she told reporters after attending the state NUTP annual general meeting here yesterday.

On Oct 15 last year, Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak announced in the Budget 2011 speech that female civil servants would be allowed maternity leave of 90 days, up from the current 60 days, subject to consensus between the management and the employee.

On the integrated competency development programme (Prospek), which will come into effect from July 1, Lok said those who performed well should be rewarded.

“Civil servants who perform well in the new assessment system should be given incentives to further motivate them.

“After all, Prospek takes into account a person’s creativity, innovation, skills, knowledge and conduct. So, if he or she does well, it would indicate a level of excellence which should be given due recognition,” she said.

She said NUTP members were also worried about the rising cost of living and that they were hoping for a salary increment in view of the escalating costs.

BENARKAN RAKYAT MENILAI PRESTASI KERAJAAN

Harakah Daily
Diyana Kasim
23/5/2011


Kerajaan mengumumkan bahawa mulai 1 Julai depan, ujian PTK bagi penjawat awam akan digantikan dengan penilaian berkonsepkan 360 darjah. Dalam konsep ini, prestasi setiap penjawat awam bukan hanya akan dinilai oleh penyelia masing-masing, malah mereka juga akan diperhatikan dan dinilai secara berterusan oleh rakan sejawat dan kakitangan bawahan.

Penilaian ini kemudiannya akan dipertimbangkan oleh panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi dan penempatan baru.

Saya ingin mencadangkan supaya sistem penilaian ini diperluaskan supaya merangkumi penilaian rakyat. Dalam erti kata lain, selain dinilai oleh penyelia, rakan sejawat dan kakitangan bawahan, rakyat juga seharusnya diberikan peluang bagi menilai prestasi penjawat awam.

Memang diakui bahawa rakyat tidak dapat menilai prestasi setiap seorang penjawat awam di Malaysia secara individu. Namun demikian, sudah tentu rakyat mampu menilai prestasi sesebuah badan kerajaan dan juga pengurusan tertingginya. Pada masa yang sama, pada peringkat individu, sebarang maklumbalas positif ataupun negatif (jika ada) mengenai seseorang penjawat awam perlu diambil kira bagi menilai prestasi penjawat awam berkenaan. Dengan demikian, barulah semua penjawat awam di Malaysia lebih terdorong bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Selain itu, penilaian ini juga tidak harus terhad pada penjawat awam semata-mata, malah perlu juga digunakan bagi menilai prestasi para menteri. Prestasi setiap menteri perlu juga dinilai oleh kakitangan bawahan dan juga rakyat.

Pandangan rakyat dapat dikumpulkan sepanjang tahun, sama ada secara terbuka ataupun dengan menggunakan format tertentu, dan dengan memanfaatkan semua saluran, termasuk surat dan emel.

Maka setiap akhir tahun, prestasi setiap menteri dan badan kerajaan akan dinilai dengan mengambilkira penilaian dan maklumbalas oleh rakyat jelata. Akhir sekali, hasil penilaian prestasi setiap menteri dan badan kerajaan akan diperhalusi dan diumumkan kepada rakyat oleh Jabatan Audit Negara.

21 Mei 2011

A FITTING TRIBUTE

The Star
21/5/2011



SINCE her entry into the teaching profession in 1971, Hamedah Wok Awang’s belief has been to encourage teachers to love teaching and students to love learning.

“When people do something out of love, they will always do their best,” said the former principal from Pahang.

Hamedah who has a string of motivational books on teaching and learning to her name, shared that her own teachers inspired her career choice.

“In 1997, I was involved in an accident which left me paralysed and bed-ridden.

Proud winner: Juairiah with her awards

“I’ve erased all memory of the accident and what happened immediately after because I’d rather focus on what I am able to do now,” she shared.

Hamedah was one of the four recipients of the Tokoh Guru 2011 awards given out during the national Teachers Day celebration in Kuching, Sarawak last Monday.

Presented by Deputy Prime Minister and Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin, the awards are given by the ministry in recognition and appreciation of teachers who have imparted their knowledge and demonstrated their excellent teaching skills in the classroom; made great contributions to the profession; been actively involved in activities outside the classroom and in community service; and excellence in other fields.

They received RM10,000 each, a medal, plaque and certificate. Besides Hamedah, the other award recipients are Prof Datuk Dr Ab Rahim Selamat, Datuk N Siva Subramaniam and Datuk Rita T Jaafar @ Rita Bagong.

One for the album: Muhyiddin (fourth from left) with the recipients. From left: Prof Ab Rahim, Siva Subramaniam, Sarawak Chief Minister Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Education director-general Datuk Abd Ghafar Mahmud, Rita, Hamedah’s sister Dr Saodah Wok and Dr Matnor.

With 25 years of teaching experience, Siva Subramaniam is former National Union of the Teaching Profession (NUTP) secretary-general, Cuepacs president, and a former commissioner for the Malaysian Human Rights Commission.

Reflecting on his days with the NUTP, Siva Subramanaim said he was almost arrested under the Sedition Act at one point for bringing up the fact that Indian students were being discriminated against in some schools.

“But I felt that if I didn’t stand up for issues I believed in, there was no point in being part of the union,” he said.

Currently a consultant in the Cabinet Committee on the Indian Community in the Prime Minister’s Department, Siva Subramaniam thinks that his teaching experience prepared him for other roles.

“A good and professional teacher knows how to deal with people effectively – if you can do this in classroom, that skill is going to help you in other careers as well,” he shared.

Starting out as a teacher at Malacca’s Catholic High School in 1964, Prof Ab Rahim has since gone on to chart a diverse career in education.

He was formerly Institut Aminuddin Baki director and Universiti Industri Selangor’s Education Faculty dean, and has also been a consultant to the World Bank and the United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (Unesco).

Prof Ab Rahim says his decision to go into teaching was not one “of real choice”.

“At that time, I saw teaching as my only option.

“So in my case, the lack of choices was the best thing that happened to me; I was destined to be a teacher,” he said, adding that teaching is his blood as his father and seven siblings were also teachers.

“A teacher’s primary job satisfaction comes from watching his students do well in life,” he said.

Meanwhile, the National Education Leadership Award was presented to former education director-general Datuk Dr Nor Adam @ Matnor Daim.

In addition, the ministry also presented other awards for special education teacher, teacher with special needs and innovative teacher.

SMK Bandar Sunway senior assistant (special education) Juairiah Johari who received the special education award, continues to teach art and cooking to the 67 students with special needs, who range from low to high functioning at the school.

“It is important to see the potential of our students although they may not be good in academic studies.

“We work on a blueprint for our students so that they can become more independent,” she added.

Juairiah who has been a special education teacher for the last 27 years, received a certificate, plaque as well as RM1,000 from the ministry and RM250 from the Selangor education department.


By PRIYA KULASAGARAN and KAREN CHAPMAN

20 Mei 2011

TIADA LAGI UJIAN

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/05/20



pix_gal0
PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa

PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.
Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI

Bernama
19/5/2011


PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

"Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

"Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis.

Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

"Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara.

Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan.

Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'.

Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya.

"Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain.

"Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya.

Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan.

"Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya.

Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan.

"Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya.

Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong.

"Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya.

Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya.

-- BERNAMA

______________________________________________________________________

Gambar dari Media Cuepacs





17 Mei 2011

NUTP SYOR PERKENAL SKIM KHAS BELI BUKU

Berita Harian
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/05/16



KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenal skim khas untuk guru membeli buku bagi menggalakkan budaya ilmiah dalam kalangan warga pendidik seluruh negara.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata menerusi skim itu, guru dibenarkan membuat tuntutan buku di sekolah masing-masing bagi memudah dan mempercepat urusan bayaran semula. Beliau berkata, harga sesetengah buku rujukan terutama yang diimport agak tinggi dan skim buku guru berkenaan dapat meringankan beban mereka untuk mengikuti perkembangan ilmu. “NUTP mahu guru sentiasa mengemas kini pengetahuan dalam bidang masing-masing atau memperluas ilmu mereka dalam bidang lain.

“Skim ini juga membolehkan guru membeli buku fiksyen seperti novel dalam bahasa Melayu atau Inggeris berdasarkan minat mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adnan berkata, skim buku guru itu juga boleh meningkatkan pengetahuan guru selain merancakkan industri buku tempatan.

Beliau berkata, dengan lebih 400,000 guru di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran sekarang, jika mereka dibenarkan membuat tuntutan RM500 saja setahun, dana RM20 juta akan berlegar dalam industri buku negara ini.
“Dengan itu, proses jualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka atau penerbit lain lebih rancak sama ada di bandar atau luar bandar.

“Ini secara tidak langsung menggerakkan ekonomi luar bandar terutama di kedai kecil menerusi jualan bahan bacaan.

“Skim ini memberi keadaan menang-menang kepada guru dan juga kerajaan kerana kita dapat melahirkan guru yang sentiasa mengemaskinikan ilmu mereka” katanya yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai, Manjung, Perak.

PERIHAL ORANG MUDA: PROFESION GURU BUKAN 'MAIN-MAIN

Berita Harian
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/05/15



pix_gal0
Faktor gaji, beban kerja luntur minat

KUALA LUMPUR: Profesion perguruan yang pernah menjadi pilihan graduan atas faktor gaji dan waktu bekerja kini bukan lagi suatu tarikan kepada anak muda berikutan perubahan gaya hidup sosial mereka.

Berdasarkan maklum balas diterima daripada rakan laman sosial Facebook Berita Harian, rata-rata anak muda menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan kedua atas faktor gaji dan bebanan tugas. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata faktor subjek pembelajaran dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) yang lebih menumpukan kepada jurusan sains gunaan dan teknikal juga menjadi punca anak muda kurang berminat berminat menjadi guru. “Untuk menjadi seorang guru, mereka harus dididik dengan sains sosial tapi kebanyakan golongan muda kini menganggap sains sosial sebagai satu jurusan yang membosankan.

“Orientasi hendak menjadi guru perlu ada elemen sosial dan artistik yang tinggi. Tapi anak muda kini lebih berminat kepada perkara yang bersifat realistik seperti penerokaan dan penciptaan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Dr Mohd Fadzil berkata, elemen persekitaran juga menjadi faktor utama dalam proses memilih kerjaya di mana hubungan anak muda dengan kerjaya guru dilihat terlalu pasif dan reaktif.

“Golongan muda tidak jelas mengenai kerjaya yang bakal mereka hadapi kerana tidak diterapkan secara langsung atau tidak langsung sejak alam persekolahan.
“Jika kita lihat sebagai contoh, di sekolah guru akan beritahu murid kena rajin belajar baru boleh menjadi peguam, doktor atau jurutera. Mungkin hanya 10 peratus guru yang memberi galakan supaya anak muridnya menjadi guru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata profesion guru bukan satu kerjaya ‘main-main’ kerana kriteria paling penting ialah individu itu perlu mempunyai minat dan sikap kasih terhadap kanak-kanak.

“Kementerian akan memilih calon yang layak untuk menjadi seorang guru walaupun tidak dinafikan ramai memohon. Maka semakin banyak kerenah yang perlu dihadapi. Jika hendak tanam minat dan cinta ini tapi hati tidak ikhlas, susah juga.

“Kita perlu didik perlahan-lahan kerana tidak semestinya jika hari ini menjadi guru, hari ini perasaan cinta terhadap kerjaya itu timbul. Jika hanya kerana desakan kerjaya dan tidak boleh memupuk perasaan itu, baik usah menjadi guru,” katanya.

Untuk reaksi rakan Facebook selanjutnya, Layari www.facebook.com/bhonline

KAEDAH BARU KENAIKAN PANGKAT BANTU JATI DIRI GURU

Utusan Malaysia
17/5/2011



KUALA LUMPUR 16 Mei - Kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru hari ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri guru sebenar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, peluang peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan mereka bagaimanapun perlu dinilai melalui kriteria menyeluruh iaitu bukan sahaja bersandarkan pencapaian akademik.

Katanya, antara kriteria lain yang boleh diambil kira adalah kepimpinan membimbing murid dalam bidang kokurikulum, sukan termasuk akhlak dan disiplin murid.

"Kita harap pencapaian guru juga dinilai melalui pembabitan guru dengan masyarakat setempat, kita tidak mahu guru mengasingkan diri dengan masyarakat atau berada dalam dunia mereka sahaja.

"Sekiranya guru sanggup turun padang berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga murid jika ada masalah, kita mahu semangat seperti itu akan wujud dalam diri guru,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kaedah baru kenaikan pangkat yang diumumkan itu adalah mengikut kategori empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, hal-hal berkaitan integriti di kalangan guru perlu dititik beratkan dengan memberikan satu pengiktirafan jika tidak pernah terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan pangkat dan tangga gaji yang dicadangkan harus ditawarkan kepada mereka yang mempunyai semangat dan minat mendalam dalam profesion perguruan.

''Para guru harus bersikap profesional untuk meningkatkan standard mereka, sentiasa proaktif dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara,'' katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keperluan 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang tidak mengalami kenaikan pangkat.

''Mereka memegang jawatan selama 15 tahun dan tidak ada kenaikan pangkat apa-apa, sekurang- kurangnya dinaikkan ke DGA34 daripada DGA32 sekarang ini, iaitu hanya mengalami kenaikan gaji sebanyak RM90,'' katanya.

NOR DAIM TOKOH KEPIMPINAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2011

Utusan Malaysia
16/5//2011



KUCHING 16 Mei – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Nor Daim dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2011, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru 2011 sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40.

Penerima Tokoh Guru 2011 antaranya ialah bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Siva Subramaniam, 64, dan pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat, 66.

Turut menerima penghormatan yang sama ialah bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan, Hamedah Wok Awang, 63, dan bekas pengetua Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Datuk Rita T. Jaafar.

Mereka menerima pingat, piala, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran perayaan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Nor yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelajaran Sarawak ketika ditemui berkata, pengiktirafan tersebut mampu menjadi pendorong kepada seluruh warga pendidik untuk terus berbakti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini.

“Terima kasih kepada semua guru kerana mempunyai semangat untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Saya yakin pendidikan adalah mekanisme terpenting bagi kita bergerak ke depan menjadi sebuah negara yang maju,” katanya.

Subramaniam yang juga bekas Presiden Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula berkata, anugerah itu merupakan pencapaian yang paling istimewa sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ab. Rahim berkata, kejayaan yang dikecapinya tidak sedikit pun membuat beliau leka dan lupa asal-usulnya yang pernah berkhidmat sebagai seorang guru di dalam bilik darjah.

“Walaupun kini saya seorang pensyarah, saya lebih suka dipanggil cikgu kerana gelaran itu membawa makna tersendiri. Saya juga tetap berpegang kepada prinsip seorang guru akan tetap menjadi guru selama-lamanya,” katanya.

Rita pula berpendapat pengiktirafan yang diberikan merupakan sesuatu yang tidak pernah dimimpikannya selama ini kerana beliau berkhidmat atas dasar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya rasa diri begitu kerdil apabila menerima anugerah yang cukup besar ertinya kepada warga pendidik ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Hamedah pula diwakili adiknya memandangkan beliau tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

TIDAK PERLU UMUR BERSARA 60 TAHUN

Utusan Malaysia
16/5/2011



KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak perlulah melalut mahukan kakitangan awam dinaikkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Pelbagai masalah akan timbul jika ia dilaksanakan juga.

Pertama, lambakan siswazah sedang mengganggur berjumlah ratusan ribu itu akan lebih parah lagi kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kerja.

Kedua, prestasi pekerja lanjut umur itu tidak akan sama dengan prestasi mereka yang muda dan segar segalanya.

Ketiga, kenapa kerajaan harus membazirkan membayar gaji maksimum apabila ditambah dua tahun lagi, sedangkan kita boleh ambil tenaga pekerja yang muda dengan gaji minimum dan lebih aktif itu?

Keempat, apabila seseorang itu berusia 60 tahun, kebanyakan kakitangan ini tidak begitu cekap dalam penggunaan pengendalian komputer dan sistem canggih lain di pejabat.

CUEPACS sepatutnya berjuang bagi kenaikan gaji untuk ahli-ahlinya, terutama sekali yang berpendapatan rendah dan bekerja pula di bandar-bandar besar, bukannya perjuangkan masalah orang hendak pencen.

SYED ABDULLAH
Ampangan, Seremban.

SIKAP KEBERSAMAAN PEMIMPIN, PENJAWAT AWAM PENTING DALAM MENJAYAKAN PROGRAM KERAJAAN

Bernama
16/5/2011



KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Sikap kebersamaan antara pemimpin dengan penjawat awam merupakan faktor penting dalam menjayakan pelaksanaan program dan dasar kerajaan untuk rakyat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata biarpun pemimpin membuat perancangan, pelaksanaannya perlu dilakukan secara berpasukan dengan kakitangan di semua peringkat.

"Realitinya, kami (pemimpin) tidak mampu bekerja sendiri tanpa anda (penjawat awam).

"Kita bukan sahaja bekerja untuk sesebuah jabatan, tetapi untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri," katanya pada Majlis Makan Malam Jabatan Ketua Menteri Sabah di sini malam Isnin.

Musa berkata Jabatan Ketua Menteri itu merupakan nadi kepada agensi kerajaan yang lain dalam merealisasikan program pentadbiran dan pembangunan negeri.

Beliau turut melahirkan perasaan bangga terhadap pencapaian jabatan itu dalam melaksanakan perancangan dengan teratur dan cemerlang.

-- BERNAMA

16 Mei 2011

TRANFORMASI GURU KUASAI ICT SEJAJAR ASPIRASI NEGARA

Utusan Malaysia
16/5//2011




DEMI mendidik anak bangsa beberapa guru meredah Laut Sulawesi selama 20 minit dari jeti Kampung Tanjung Kapor ke Pulau Pababaq, Semporna, Sabah.g>Presiden NUTP, Adnan Hashim HARI ini amat istimewa buat warga pendidik. Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Sarawak diharap membawa berita gembira. Akan adakah insentif baru bagi meningkatkan profesionalisme perguruan. Bagaimana pula hala tuju dan masa depan kerjaya ini. Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim meluahkan pandangan dan harapan guru kepada wartawan Berita Harian, ROHANIZA IDRIS serta RASHIQAH ILMI ABD RAHIM.

APAKAH relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ dengan peranan pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru. Bagi mencapai usaha ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Justeru, sempena Hari Guru tahun ini, kami memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.

Transformasi ini perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan sekali gus semangat kerjasama mereka. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Namun, bagi menggalakkan guru meningkatkan kecemerlangan pelajar, kerajaan harus menunaikan janji terhadap pendidik. Tahun lalu, kerajaan mencadangkan pemberian ganjaran kepada guru berkelulusan PhD tetapi belum dilaksanakan. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Apabila transformasi berlaku, kerja guru bertambah kompleks. Apakah cabaran utama guru kini dalam melahirkan insan cemerlang?
Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Saya melihat cabaran utama guru untuk melahirkan generasi seimbang rohani dan jasmani adalah perkembangan teknologi maklumat yang tidak terkawal. Kebanyakan pelajar mampu memiliki komputer sendiri bahkan pemahaman mereka terhadap aplikasi internet kadangkala melebihi pemahaman orang dewasa. Malangnya, kebanyakan bahan negatif disebarkan dalam internet. Dalam menangani masalah ini, guru harus mendidik pelajar cara menapis bahan negatif.

Isu negatif senario politik negara di media turut memberi kesan buruk kepada minda pelajar, apatah lagi akhbar sering dijadikan rujukan. Pelajar membuat rumusan terhadap isu dipaparkan sehingga menjadi bahan bualan dan jenaka. Keadaan ini menyukarkan tugas pendidik kerana tidak mudah menyingkirkan elemen negatif yang diterapkan kepada mereka tambahan pula jika isu politik.

Bagaimana NUTP melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Pelajar kini sering melakukan kejutan kepada masyarakat. Masalah sosial pelajar semakin membimbangkan kerana mereka bukan saja membuli atau ponteng, bahkan merogol, membunuh, mencederakan orang dan terbabit dadah. Isu disiplin pelajar harus diberi perhatian serius. Namun, ia bukan tugas pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti rakan terdekat anak agar pergerakan mereka dikawal. Usaha ini menuntut tanggungjawab semua pihak supaya salah laku anak dapat diperbetulkan daripada awal.

Saya juga percaya pelaksanaan hukuman rotan membantu mendisiplinkan pelajar. Hal ini tidak patut menjadi isu besar selagi pelaksanaannya berlandaskan panduan seperti pemberian surat amaran terhadap salah laku anak kepada ibu bapa. Ini penting kerana saya tidak mahu ada guru dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya mereka ikhlas untuk mengajar.

Dalam mengatasi masalah sosial pelajar, saya berharap semua pihak dapat memikirkan penyelesaian terbaik dan bukan menggalakkan masalah ini. Misalnya, sekolah untuk pelajar wanita terlanjur bukanlah langkah terbaik kerana ia seperti menggalakkan perbuatan itu. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki yang melakukan kesalahan sama? Penyelesaian yang baik seharusnya adil kepada dua-dua pihak.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan menjejas tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendidik. Apakah langkah menanganinya.

Guru kini bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar, malah terpaksa menyediakan laporan tugas mereka. Kajian menunjukkan tugas dan tanggungjawab guru meningkat setiap tahun. Peningkatan ini kesan transformasi sistem pendidikan yang membabitkan penggubalan dasar dan sistem serta bertambahnya mata pelajaran. Antara pendekatan yang perlu dilaksanakan kementerian ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Bagaimana isu perpindahan dan penempatan guru.

NUTP pernah menyatakan pendirian kepada kementerian bahawa masalah ini boleh memberi tekanan mental dan menjejaskan kualiti kerja guru. Amalan yang ada tidak menguntungkan guru dan kerajaan kerana lazimnya guru yang dihantar ke sesebuah sekolah adalah lulusan universiti atau institut perguruan. Kesannya, mereka kurang berpengalaman sekali gus menjejaskan sistem dan keberkesanan pembelajaran. Apabila sudah mendapat pengalaman dalam tempoh masa agak lama, mereka dipindahkan. Keadaan ini memberi kesan buruk kepada pelajar kerana sekolah luar bandar seolah-olah menjadi tempat bereksperimen.

Justeru, guru muda atau yang sudah lama berkhidmat harus ditempatkan di negeri kelahiran demi mengekalkan kualiti kerja. Kos penghantaran dan penempatan guru juga dapat dikurangkan kerana elaun berpindah guru dari Semenanjung ke Sarawak atau Sabah boleh mencecah ribuan ringgit. Masalah gangguan emosi dan prestasi guru yang tinggal berjauhan dari keluarga juga dapat diatasi. Begitu juga masalah membabitkan komunikasi, budaya dan cara hidup.

CUEPACS CADANG SAMBUT HARI PENSYARAH SETIAP TAHUN

Utusan Malaysia
16/5/2011



MACHANG 15 Mei - Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan sambutan Hari Pensyarah pada masa akan datang selain sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, walaupun kedua- dua profesion itu bertujuan mendidik anak bangsa namun kelebihan sering berpihak kepada guru sedangkan dalam sesetengah perkara pensyarah sewajarnya mendapat perhatian lebih baik.

Sehubungan itu, katanya, telah tiba masanya kerajaan melakukan transformasi kepada golongan pensyarah agar mendapat perhatian seperti yang dinikmati oleh warga guru.

"Apabila berlaku transformasi kepada golongan pensyarah ia bukan memperkecilkan jasa guru malah sempena Hari Guru esok, CUEPACS mengucapkan terima kasih atas segala bakti yang dicurahkan, namun golongan pensyarah juga seperti guru yang selayaknya mendapat perhatian.

"Selama ini kita hanya menyambut Hari Guru, justeru mulai tahun hadapan kerajaan diminta mengadakan sambutan Hari Pensyarah atau dikenali sebagai Hari Akademik khusus untuk golongan profesional ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog dan Pembangunan Kakitangan Pentadbiran bersama Rektor dan pengurusan kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini hari ini.

Omar menambah, antara perubahan yang dicadangkan kepada golongan pensyarah termasuk mengkaji semula gred kenaikan serta insentif lain.

"Selalunya para guru menerima khabar gembira setiap kali sambutan dibuat dan kita minta kerajaan juga akan mengumumkan khabar yang sama kepada golongan pensyarah dan mungkin pilih hari yang sesuai untuk meraikan mereka.

"Nasib guru sebenarnya jauh lebih baik kerana mempunyai lima persatuan tetapi kebajikan pensyarah bergantung kepada inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) itu sendiri di bawah Kementerian Pengajian Tinggi," ujarnya.

Berdasarkan kepada pelbagai kajian dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang dibangunkan oleh golongan pensyarah selama ini katanya, adalah wajar golongan itu diberi penghargaan sebaik-baiknya.

15 Mei 2011

KERAJAAN PERLU KAJI PELBAGAI ASPEK SEBELUM GAJI MINIMUM - MAZNAH MAZLAN

Bernama
15/5/2011




KOTA KINABALU, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan perlu mengkaji pelbagai aspek terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kadar gaji minimum di negara ini, termasuk impak inflasi, pelaburan domestik, dan kesan kepada majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kajian dalam peringkat akhir itu sedang dijalankan bersama Bank Dunia, kumpulan-kumpulan profesional, dan kementerian yang berkaitan, antara lain untuk memastikan segala aspek diambil kira sebelum membuat keputusan.

"Kita juga kena ambil kira aliran dana kepada pekerja asing, kerana kita ada kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang berdaftar sekarang. Kalau naikkan ke RM800 atau RM900 sebulan (daripada kadar kemiskinan RM720) mungkin kita perlu bayar beberapa bilion ringgit tambahan.

"Kita juga akan tengok pengalaman dari negara-negara lain seperti Korea, Jepun dan sebagainya. Kita tak boleh beri jawapan kepada semua tuntutan sedemikian sehingga kajian ini selesai," katanya kepada pemberita di sini hari Sabtu.

Beliau diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah baru-baru ini supaya gaji minimum ditetapkan pada RM900 bagi negeri Sabah. Rang undang-undang mengenai gaji minimum negara sedang digubal dan dijangka dibentang di Parlimen pada Julai ini, di mana sebuah majlis konsultasi akan diwujudkan untuk membuat penyelarasan berhubung gaji minimum bagi sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripada mereka menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Maznah menjelaskan apabila majlis konsultasi melibatkan pakar-pakar itu diwujudkan, mereka bukan saja berbincang mengenai kadar gaji minimum tetapi akan menilainya dari semasa ke semasa.

"Sama ada kita akan ada satu gaji minimum untuk seluruh negara, ataupun berdasarkan zon, ataupun berdasarkan sektor, ini semua kita masih melihat dan mempertimbangkan," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Sabah yang diketuai oleh pengerusi cawangan negerinya, Salina Ali.

-- BERNAMA

14 Mei 2011

CUEPACS ADIL BELA KAKITANGAN

Berita Harian
2011/05/14



SAYA ingin merujuk kepada surat yang dikirimkan pada 12 Mei lalu mengenai rasa tidak puas hati pengadu terhadap Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang hanya membela kakitangan awam bergred 1 hingga 40.

Jika kita lihat CUEPACS memandang serius keadaan ekonomi yang meruncing untuk kakitangan Kumpulan Sokongan terutama Kumpulan Sokongan Dua. Rata-rata Kumpulan Sokongan Dua ini mempunyai pendapatan bersih bawah RM1,000. Tidak semua kakitangan dalam golongan ini mengalami kehidupan sempit, tetapi jika dibandingkan dengan Kumpulan Profesional, perbezaan pendapatan golongan bawahan ini hampir 10 kali ganda lebih rendah.

Kepada siapalah golongan ini hendak meluahkan dan meminta kenaikan elaun jika tidak kepada CUEPACS? Golongan bawahan ini tidak kecewa sekalipun golongan profesional mendapat pelbagai elaun yang begitu banyak jumlahnya sementara golongan bawahan tidak mampu menyara keluarga dengan pendapatan sekarang.

Golongan bawahan juga hanya menikmati kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi 15 tahun, manakala golongan profesional hanya perlu bertugas tiga tahun untuk menikmati kenaikan gred tinggi.


Jika soal kenaikan elaun rumah menjadi isu golongan ini, CUEPACS boleh menukar elaun perumahan kepada elaun lain untuk kumpulan sokongan. Diharap agar CUEPACS dapat memenuhi segala keluhan dan rintihan semua kumpulan.

ANGGOTA WARISAN, Sabak Bernam.

GURU SYOR GAJI, ELAUN KAKITANGAN AWAM DISELARAS

Berita Harian
2011/05/14




HARI Guru akan disambut dua hari lagi. Sebagai guru, saya terpanggil untuk meluahkan rasa hati berikutan beberapa isu yang hangat diperkatakan dewasa ini membabitkan kakitangan awam termasuk guru iaitu gaji dan elaun.

Berita baik yang ditunggu semua kakitangan awam berikutan tuntutan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi penyelarasan gaji dan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) serta Elaun Tetap Perumahan (ITP) sempena Hari Pekerja 1 Mei lalu ibarat menunggu bulan jatuh ke riba. Saya ingin mengutarakan beberapa cadangan kepada kerajaan, CUEPACS dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru. Pertama, COLA dan ITP diselaraskan kepada semua kakitangan awam tanpa mengira gred gaji.

Kedua, perbezaan gred gaji antara kakitangan awam hanya berdasarkan gaji pokok dan Elaun Tetap Khidmat Awam (ITKA). Pada situasi ini, gaji pokok kakitangan awam pengurusan dan profesional (gred 41 dan ke atas) mesti lebih tinggi daripada lepasan diploma (gred 40 ke bawah).

Ketiga, semua gred gaji dan elaun di setiap kementerian diselaraskan. Sebagai contoh, gred gaji kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Pelajaran bermula daripada gred 1 hingga 40 sedangkan gred gaji bagi kakitangan awam sokongan lepasan diploma Kementerian Kesihatan bermula daripada gred 1 hingga 42.

Begitu juga dengan Elaun Kritikal bagi Kementerian Pelajaran antara lima dan 10 peratus daripada gaji pokok sedangkan bagi kakitangan awam Kementerian Kesihatan mencecah 15 peratus.
Keempat, tempoh kenaikan pangkat kakitangan awam Kementerian Pelajaran amat panjang. Kenaikan daripada gred DG41 ke gred DG44 guru mengambil masa 10 tahun, sedangkan di kementerian lain antara tiga hingga tujuh tahun saja.

Ada yang menyatakan perkara ini berlaku kerana guru terlalu ramai berbanding kakitangan kementerian lain. Ada perbezaan gaji sangat ketara antara kami walaupun tempoh perkhidmatan sama.

Kami berasakan guru antara golongan paling teraniaya antara kementerian dengan 1,001 tugas, serta keputusan Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru yang belum diumumkan walaupun sudah hampir setahun berlalu.

Guru memang tepat diibaratkan seperti lilin yang menerangi kehidupan orang lain. Semoga Hari Guru 2011 ini membawa sinar ‘lilin’ yang bercahaya kepada semua kakitangan awam terutama guru. Selamat Hari Guru.

SINARAN LILIN,
Tanjung Malim, Perak.

SKIM PEKERJA SAMBILAN HARIAN DIPERKENAL

Berita Harian
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/05/13




PUTRAJAYA: Kerajaan kini menggunakan kaedah tunggal untuk mendapatkan pekerja bukan tetap, iaitu melalui Skim Pekerja Sambilan Harian yang hanya menetapkan kontrak maksimum tiga bulan menggantikan Skim Pekerja Sambilan dan Pekerja Khidmat Singkat (PKS).

Langkah yang berkuat kuasa mulai 9 Mac lalu itu bagi memudahkan pengurusan, termasuk pertindihan tugas dan perbezaan kadar upah antara pekerja sambilan dan PKS. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata mengikut skim terbaru itu, tempoh perkhidmatan pekerja harian itu tidak panjang dan tugasnya berbentuk ‘ad hoc’ atau mengikut tempoh sesuatu projek dan pengambilannya lebih mudah serta menjimatkan. “Tempoh perkhidmatan mereka tidak melebihi tiga bulan dan boleh dilanjutkan tiga bulan lagi jika ada keperluan oleh ketua jabatan. Waktu bekerja ialah sembilan jam sehari,” katanya menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2011.

Pekeliling berkenaan dikeluarkan untuk menjelaskan dasar dan prosedur pengambilan pekerja sambilan harian bagi menggantikan pengambilan pekerja sambilan dan PKS yang diperkenalkan sejak 1970-an.

Pada masa ini, pelaksanaan tugas yang bersifat sementara dalam tempoh singkat dilakukan melalui pengambilan pekerja sambilan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1978 – Perubahan Kadar Bayaran Gaji Sehari Bagi Pekerja-Pekerja Sambilan serta beberapa peraturan lain yang dikeluarkan selepas itu.

Selain itu, sebagai alternatif kepada pekerja sambilan, kerajaan juga memperkenalkan PKS bagi melaksanakan tugas tertentu dengan dibayar upah ikut jam atau ikut kerja mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 1999 – Skim Bayaran Upah Ikut Jam atau Kerja.
Berikutan pengenalan skim Pekerja Sambilan Harian itu, semua pekeliling berkaitan pekerja sambilan dan PKS dibatalkan.

Walaupun pekerja sambilan harian itu layak dicarumkan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun mereka tidak layak dibayar kerja lebih masa, upah cuti mingguan dan cuti am, manakala tiada gaji bagi hari yang tidak hadir bekerja.

Bagaimanapun, mereka yang hanya boleh diambil dari kalangan rakyat tempatan, layak menerima elaun perjalanan, bayaran sewa hotel atau penempatan, elaun harian kerana bertugas di luar pejabat antara lapan hingga 24 jam dan elaun makan ketika bertugas di luar melebihi 24 jam.

“Pengambilan pekerja sambilan harian bukan jaminan untuk mereka diserap sebagai pegawai lantikan tetap, sebaliknya mereka yang memenuhi syarat hendaklah memohon melalui proses pengambilan biasa,” katanya dalam pekeliling itu.

Bagaimanapun, pekerja sambilan dan PKS yang sedang bertugas masih boleh meneruskan perkhidmatan sehingga tamat kontrak masing-masing.

Beliau berkata, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan berkenaan turut membabitkan semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan pihak berkuasa tempatan.

CUEPACS sebelum ini mendakwa pada masa ini ada kira-kira 45,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada yang sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta JPA mengkaji semula kaedah pengambilan pekerja bukan tetap melalui skim PSH kerana ia didakwa tidak menyelesaikan masalah pekerja kontrak kerajaan pada masa ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya berpendirian kontrak seseorang pekerja bukan tetap dilaksanakan bagi tempoh antara setahun hingga lima tahun, mengikut kesesuaian jawatan, supaya memberi jaminan kepada mereka apabila berkhidmat secara kontrak dengan kerajaan.