SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

30 September 2011

CUEPACS NAFI UMUR BERSARA 60 TAHUN TUTUP PELUANG PEKERJA MUDA

Berita Harian
2011/09/30



KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan pihak yang menentang cadangan had umur persaraan kakitangan awam dan swasta dilanjutkan kepada 60 tahun adalah golongan tidak faham terhadap keperluan dan kepentingan masa depan.

CUEPACS memperjuangkan supaya had umur persaraan dilanjutkan bagi membolehkan kakitangan dalam perkhidmatan berdepan pelbagai kenaikan kos sara hidup, termasuk perubatan, perumahan dan barangan keperluan harian. Sehubungan itu, Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya tidak berganjak dengan cadangannya supaya umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun. Katanya, adalah wajar umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun kerana selain negara maju dan negara serantau juga sudah menaikkan umur persaraan 60 tahun hingga 65 tahun.

“Jadi, harapan CUEPACS supaya kerajaan meneliti sewajarnya perkara ini dan ia bukan untuk kepentingan kakitangan awam sekarang, tetapi untuk generasi akan datang.

“CUEPACS memohon sejak 2007 lagi supaya had umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meluluskan kepada 58 tahun.

“Soal kononnya ia menyekat peluang kenaikan pangkat tidak timbul kerana perkara itu hanya dibimbangi mereka yang semata-mata fokus untuk bekerja di sektor awam saja.
“Ketika ini ada 200,000 kekosongan jawatan belum diisi di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan manakala kakitangan awam bersara pada umur 58 tahun pula tak sampai pun 20,000 orang setahun.

“Jadi, golongan muda dan mereka yang masih belajar di universiti tak perlu bimbang, yang penting siapkan diri dengan pelbagai ilmu kemahiran pasti mudah mendapat kerja,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian penutup taklimat kepada ahli CUEPACS Zon Timur berkenaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Isu Kebangkrapan di Malaysia dan Khidmat Bantuan Guaman di sini, semalam.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Azlan Zainal berkata pihaknya menyokong perlanjutan umur persaraan kakitangan swasta daripada 55 tahun sekarang kepada 60 tahun.

Bagaimanapun ia dibantah pelbagai pihak terutama golongan muda dari sektor swasta dan awam yang menyifatkan usaha itu sebagai mengarut, menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkat kadar pengangguran, masalah sosial dan jenayah menyifatkan KWSP, badan yang diamanah untuk menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum tidak mempunyai wang dan agenda tersendiri.

Omar berkata, CUEPACS sedia memberi penerangan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan belia mengenai isu perlanjutan umur persaraan kakitangan awam.

NAIKKAN CARUMAN

Utusan Malaysia
Oleh MAHIRAH ZAKARIA
dan MOHD.FAHMI ZAKI
pengarang@utusan.com.my
29/9/2011



KUALA LUMPUR 27 Sept. - Majikan digesa menaikkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 13 peratus kepada 15 peratus untuk meringankan beban pekerja selepas tamat perkhidmatan kelak.

Presiden Kongres Kesatuan Syarikat Milik Kerajaan (GLC), Shafie BP Mamal berkata, menaikkan kadar caruman boleh dianggap sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pekerja yang banyak membantu memajukan syarikat.

“Syarikat perlu bekerjasama dengan KWSP untuk mengatur rancangan yang tersusun bagi menyebarkan pengetahuan dan kesedaran kepada pekerja tentang kepentingan menyimpan untuk usia persaraan.

“Isu ini perlu diangkat sebagai agenda dan dibahaskan oleh golongan cendekiawan serta pakar ekonomi bagi mengelakkan timbul masalah di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas isu KWSP yang mendedahkan seramai 152,000 pencarum yang akan bersara wajib tahun ini memiliki simpanan persaraan kurang daripada RM50,000 dan jumlah tersebut di bawah paras caruman minimum yang disasarkan kerajaan iaitu RM120,000.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, caruman KWSP perlu dinaikkan bagi menjamin masa depan pesara.

“Saya begitu simpati dengan nasib mereka kerana faktor umur menyebabkan pesara tidak mampu lagi bekerja untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan kepada golongan itu bagi meringankan beban mereka dalam mengharungi kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.

27 September 2011

CUEPACS YAKIN 80 PERATUS TUNTUTAN DIPERTIMBANGKAN DALAM BAJET 2012

Bernama
27/9/2011



GEORGE TOWN, 27 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin 80 peratus daripada empat tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan mendapat pertimbangan dalam pembentangan bajet 2012 pada 7 Okt ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas dan mengharapkan berita baik bakal diumumkan bagi menjaga kepentingan penjawat awam di negara ini.

"Ini adalah keputusan kongres berdasarkan kepada permintaan dari penjawat awam, saya harap ia dapat dipertimbangkan malah Skim Saraan Malaysia (SSM), dapat digubal semula untuk menjadi lebih baik dari segi penambahan gred, struktur gaji dan peningkatan peluang kerjaya bagi mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama CUEPACS Pulau Pinang di sini, Selasa.

Tuntutan tersebut adalah semakan semula SSM, menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Omar berkata Cuepacs juga yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri dan kemampuan kerajaan dapat memenuhi tuntutan itu yang sememangnya diharap-harapkan oleh lebih 1.2 juta penjawat awam.

"Kesemua tuntutan itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan dan tidak mustahil untuk ditunaikan kerana ada tuntutan yang tidak membabitkan kewangan," katanya.

Berkenaan tuntutan pemberian bonus dua bulan, katanya jika kerajaan berbuat demikan, ia akan mencipta sejarah baru dalam memenuhi permintaan penjawat awam.

"Diharap (bonus) dapat dipertimbangkan, kalau tidak dapat bonus dua bulan, sekurang-kurangnya (kerajaan) dapat memberi bonus sebulan atau sebulan setengah pun sudah dikira mencukupi," katanya.



-- BERNAMA

26 September 2011

KERAJAAN BELUM CADANG WUJUD JAWATAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Bernama
26/9/2011



KANGAR, 25 Sept (Bernama) -- Kerajaan belum bercadang mewujudkan jawatan baru dalam perkhidmatan awam sebaliknya mengekalkan perkhidmatan kakitangan sedia ada, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata seluruh negara akan menggunakan perkhidmatan kakitangan yang sedia ada.

Berucap pada majlis jamuan makan malam dan ramah mesra bersama ketua-ketua jabatan di kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri di sini malam tadi, katanya, Perlis sebuah negeri yang kecil tidak terlalu sukar untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kalau ingat kita (negeri) kecil tak perlu banyak (jawatan). Guna jawatan yang sedia ada," kata beliau.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid berkata, di Perlis terdapat 17,226 penjawat awam termasuk 1,224 penjawat awam di 15 jabatan negeri manakala selebihnya di badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan.

Katanya, penjawat awam kerajaan negeri adalah kecil berbanding jumlah penduduk Perlis sebanyak 250,000 orang menjadikan nisbah penjawat awam Perlis terlalu kecil iaitu seorang penjawat awam berkhidmat kepada kira-kira 164 (1:64) penduduk berbanding nisbah peringkat nasional 1:20.

"Ini menunjukkan beban kerja penjawat awam di Perlis amat tinggi berbanding beban kerja seorang penjawat awam di Persekutuan," kata Azizan.

Mohd Sidek yang juga Yang Dipertua Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) berada di Perlis kerana menyertai program MAKSAK turun padang.

Turut hadir ialah isterinya, Puan Seri Wan Noorlina Wan Hussin selaku Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Semasa berada di Perlis rombongan tersebut meninjau kawasan sempadan dan beberapa projek pembangunan di negeri ini serta menyertai projek gotong-royong di Kampung Binjal Utan Aji dekat sini.

-- BERNAMA

24 September 2011

SCHEME TO HELP CIVIL SERVANTS FACING

The Star
By ZUHRIN AZAM AHMAD
zuhrinazam@thestar.com.my
24/9/2011


PUTRAJAYA: Cuepacs and the National Cooperative Organisation of Malaysia (Angkasa) are working on a scheme to help government employees facing bankruptcy.

Cuepacs president Datuk Omar Osman said that through the scheme, Angkasa, via its Syariah Financing Cooperative Scheme (Kopsya), would take over the debts of civil servants under strict terms.

He said the scheme would initially be made available to those who were on the verge of being declared bankrupt due to credit card debt.

“Those unable to pay personal loans may also be considered. Our intention is to save them from being declared bankrupt,” he said yesterday.

Omar said a memorandum of understanding on the scheme between Angkasa and Cuepacs would be signed next month.

“We are still fine-tuning the terms because while we want to help government employees, we must also ensure they won’t take us for a ride,” he said.

Omar added that government employees should not view the scheme as a way to live beyond their means.

“They should not apply for unreasonably large loans or defer repayment and ask the cooperatives to settle everything for them,” he said, adding that as of December last year, about 3,000 government employees had been declared bankrupt.

Meanwhile, Domestic Trade, Cooperatives and Consumerism Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob said the scheme was necessary due to the alarming number of Malaysians declared bankrupt.

He said the revelation by The Star that an average of 41 people were declared bankrupt every day, mostly due to credit card debt, should be food for thought.

“There is only so much we can do by conducting awareness campaigns on spending wisely and living within one’s means.

“I am sure consumers have heard of and watched TV dramas about people with huge debts, so please learn something from their misery,” he said after launching the MyAngkasa: 1Koperasi, 1Jaringan, 1Komuniti mobile telecommunication services.

PENSYARAH KONTRAK

Berita Harian
Berita Harian
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/09/22



PENSYARAH kontrak banyak berbakti kepada graduan pascasiswazah. -Gambar Hiasan.
PENSYARAH kontrak banyak berbakti kepada graduan pascasiswazah. -Gambar Hiasan.


Autonomi khusus bagi tenaga akademik berstatus kontrak

KEJAYAAN melahirkan ramai graduan pascasiswazah peringkat PhD sudah cukup untuk membuktikan peranan besar pensyarah kontrak untuk melahirkan golongan cerdik pandai negara, namun peliknya cendekiawan ini hanya berjawatan hakiki Gred DH45 sepanjang tempoh perkhidmatan yang seolah-olah jasa dicurahkan tidak dihargai negara. RAMAI pensyarah kontrak yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya berjawatan hakiki Gred DH45, sedangkan mereka mempunyai peranan sama penting dengan pensyarah tetap untuk melahirkan Graduan Pascasiswazah terutama peringkat PhD. Ada antara pensyarah terbabit yang berjaya menyelia sehingga 39 graduan PhD dalam tempoh 11 tahun, namun mereka tidak menerima sebarang kenaikan pangkat sehingga tamat kontrak perkhidmatan.

Malah graduan yang dalam seliaan mereka yang memilih menjadi pensyarah di universiti awam akan ditawarkan Gred DH51, iaitu jauh lebih tinggi berbanding bekas penyelia mereka.

Seorang pensyarah kontrak di sebuah universiti di Lembah Klang, yang enggan namanya disiarkan berkata beliau sudah berkhidmat di dua universiti awam sejak 1999 dan dalam tempoh itu menjadi penyelia pelajar PhD dan sarjana dalam bidang pendidikan.

Katanya, sepanjang tempoh 11 tahun, beliau hanya ditawarkan Gred DH45, iaitu hampir sama dengan gred ketika menjadi pegawai pendidikan di Kementerian Pelajaran.
Beliau berkata, faktor usia iaitu menjadi pensyarah selepas bersara wajib dijadikan alasan oleh pihak universiti untuk mengekalkan gred beliau termasuk tidak berpeluang memegang jawatan Prof atau Prof Madya biarpun sudah menulis banyak buku dan jurnal ilmiah.

“Sejajar transformasi dan inovasi kerajaan dalam pelbagai bidang terutama pendidikan dan ekonomi adalah wajar trasnsformasi berkenaan tidak menganaktirikan pensyarah kontrak yang turut berperanan memartabatkan pengajian tinggi negara.

“Usia tidak seharusnya menjadi kekangan untuk membela nasib kami kerana tugas seorang pensyarah tidak sama dengan penjawat awam lain dari aspek melahirkan cerdik pandai negara,” katanya kepada Varsiti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tuntutan supaya usia persaraan dilanjutkan bagi membela nasib pensyarah kontrak bukan perkara baru, malah ia sudah ditimbulkan tenaga akademik dan golongan profesional sejak sekian lama.

Pada Ogos 2010 misalnya, Canselor Universiti Malaya (UM), Sultan Azlan Shah meminta kerajaan memberi kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti dengan tidak menyamakannya seperti penjawat awam lain.

Sebaliknya, baginda bertitah, autonomi khusus perlu diberikan kepada tenaga akademik terbabit terutama dalam aspek skim perkhidmatan dan peruntukan kewangan.

Baginda yang juga Sultan Perak bertitah, bagi dunia akademik, semakin lanjut usia sarjana, mereka semakin matang dan memiliki tahap pengetahuan mendalam dalam bidang yang dikuasai.

“Adalah satu kerugian besar kepada institusi dan negara apabila seorang sarjana yang mencapai status kematangan terpaksa meninggalkan tugas di universiti kerana terikat dengan skim perkhidmatan yang mewajibkan mereka bersara.

“Melahirkan seorang sarjana yang hebat memerlukan masa yang lama dan untuk itu, sarjana yang hebat perlulah dimanfaatkan oleh institusi untuk tempoh yang optimum,” katanya ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-49 di Dewan Tuanku Canselor universiti itu pada 3 Ogos 2010.

Sultan Azlan Shah bertitah, skim perkhidmatan tenaga akademik dan peruntukan kewangan universiti perlu dirangka selaras dengan pengharapan yang diletakkan kepada mereka untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan serta peranan sebagai duta ilmu di peringkat antarabangsa.

Seorang lagi pensyarah kontrak di sebuah universiti awam di Utara Semenanjung yang juga enggan namanya disiarkan mahu Kementerian Pengajian Tinggi mempertimbangkan cadangan Sultan Azlan Shah untuk memberi kelonggaran usia persaraan tenaga akademik universiti awam.

Katanya, kelonggaran usia itu hendaklah meliputi tenaga akademik yang menjadi pensyarah selepas mencapai usia persaraan dalam perkhidmatan awam yang kemudian menjadi pensyarah universiti.

Ini kerana katanya, tenaga akademik terbabit mempunyai peranan yang sangat penting untuk melahirkan graduan PhD yang kemudian menabur bakti mendidik generasi muda 1Malaysia untuk menjadikan negara kita sebuah negara maju bertepatan Wawasan 2020.

“Bukan material yang kami cari, cuma mahu pengiktirafan kepada pensyarah kontrak yang selama ini berjuang melahirkan graduan pascasiswazah peringkat PhD dan sarjana tanpa jemu biarpun pada usia warga emas.

“Biarpun berusia, kami masih bertenaga dan bersemangat waja melahirkan cendekiawan muda negara termasuk membantu memartabatkan maruah IPTA negara ke arah universiti bertaraf dunia,” katanya

KAKITANGAN AWAM DIRAMAL NAIK GAJI LAGI

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
2011/09/24



Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.

22 September 2011

BAJET 2012: NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM

Malaysia Insider
Oleh Jahabar Sadiq
Editor
September 22, 2011



KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.

Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.

Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.

Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.

Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.

Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.

“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hodup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.

Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

PERSATUAN PEKERJA TUJUH BADAN BERKANUN MOHON KERAJAAN BANTU SELESAIKAN ISU MANFAAT

Bernama
22/9/2011




KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Persatuan pekerja tujuh badan berkanun Rabu memohon kepada kerajaan agar membantu mereka berhubung isu pemberian manfaat yang pada masa ini tidak selaras dengan penjawat awam lain.

Mereka membabitkan tenaga kerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Hal Ehwal Tentera, Lembaga Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Bank Simpanan Nasional, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Sokongan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Kejasa) Ash'ari Komeng yang mewakili mereka, berkata antara manfaat berkenaan ialah elaun perumahan dan sagu hati persaraan.

Buat masa ini tenaga kerja di tujuh institusi ini tidak menerima elaun perumahan mahupun sagu hati perkhidmatan yang diberi apabila bersara, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau dan wakil organisasi terbabit sebelum itu mengadakan perbincangan berhubung tuntutan itu dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam.

Ash'ari berkata perkara tersebut harus diteliti segera berikutan kenaikan kos sara hidup sekarang.

"Bergantung pada caruman KWSP sahaja tidak memadai dan tidak menjamin kehidupan penjawat awam selepas bersara kerana mereka yang berkhidmat dengan tujuh agensi tersebut tidak mendapat kemudahan pencen," katanya.

-- BERNAMA

17 September 2011

KOPSYA BANTU PENJAWAT AWAM

Utusan Malaysia
Oleh OOI CHOON JOO
pengarang@utusan.com.my
17/9/2011



PETALING JAYA 15 Sept. - Skim Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) dilihat mampu membantu penjawat awam membebaskan diri daripada belenggu hutang bank, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, peranan Kopsya adalah membantu penjawat awam yang tidak mampu membayar balik pinjaman bank.

"Kopsya akan mengambil alih pembayaran itu dengan bersyarat bagi mengelakkan mereka diisytiharkan muflis.

"Hanya penjawat awam yang merupakan ahli koperasi layak diberi bantuan menerusi skim Kopsya tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kerjasama Angkasa dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang memperkenalkan skim Kopsya bagi membantu penjawat awam membuat pinjaman dengan kadar faedah rendah dan membebaskan diri daripada belenggu hutang bank.

Kata Ismail Sabri, Angkasa memperuntukkan kira-kira RM5 juta hingga RM10 juta bagi tujuan pinjaman berkenaan yang bermula dalam masa terdekat.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada empat Orang Asli dari Perkampungan Orang Asli Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang yang menunaikan ibadah haji di Mekah

16 September 2011

KERAJAAN SOKONG PENUH SKIM KOPSYA BAGI BANTU KAKITANGAN AWAM YANG BERHUTANG KEPADA BANK

Bernama
16/9/2011


PETALING JAYA, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan menyokong penuh penubuhan Skim Koperasi Syariah (Kopsya) bagi membantu kakitangan awam membebaskan diri daripada hutang bank seterusnya diisytiharkan muflis.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak kementerian menyokong sistem itu ditubuhkan bagi membantu pegawai dan kakitangan kerajaan membuat pinjaman, seterusnya melangsaikan hutang mereka kepada bank.

"Jika kita membiarkan mereka ini (kakitangan kerajaan) terus dibelenggu hutang, maka mereka boleh diisytiharkan muflis dan implikasi dari perkara ini amat besar.

"Menjadi tanggungjawab kepada koperasi untuk membantu ahli yang berdaftar untuk membayar hutang mereka balik kepada bank, dan peminjam akan membayar pinjaman tersebut melalui sistem Kopsya ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidil Fitri di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya.

Beliau berkata kakitangan kerajaan akan membayar semula kepada koperasi dalam jangka masa yang ditetapkan melalui potongan gaji.

"Lagi kita biar, lagi bunga akan melambung tinggi, jadi kita perlu selesaikan dengan segera," katanya.

Ismail Sabri berkata buat masa ini, ia masih di peringkat awal kerana skim itu akan mula beroperasi dua bulan lagi dan dengan bantuan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) serta kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), perkara ini dijangka mudah.

Beliau berkata peruntukan akan diumumkan selepas mendapat data lengkap daripada Cuepacs, dan peruntukan awal dianggarkan kira-kira RM10 juta, bergantung kepada jumlah peminjam.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada empat bakal jemaah haji Orang Asli Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang iaitu sebanyak RM1,500 bagi tiap seorang.



-- BERNAMA

15 September 2011

ANGKASA PERKENAL SKIM KOPSYA BANTU PENJAWAT AWAM BUAT PINJAMAN MUDAH

Bernama
15/9/2011



PETALING JAYA, 14 Sept (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), dengan kerjasama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), menubuhkan skim Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) bagi membantu kakitangan awam membebaskan diri daripada hutang bank.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata Kopsya bertujuan membantu penjawat awam membuat pinjaman, selain mengelakkan mereka daripada dikenakan kadar faedah yang tinggi.

Beliau berkata Kopsya, yang diuruskan Angkasa, dilihat mampu membantu penjawat awam membuat pinjaman melalui kaedah potongan gaji serta mereka yang tidak dapat melangsaikan hutang kepada bank daripada diisytiharkan muflis.

"Kita tak nak lihat 1.5 juta penjawat awam meminjam dari saluran yang tidak bertanggungjawab kerana ia akan mendatangkan banyak masalah di kemudian hari... Saya harap jabatan-jabatan kerajaan yang belum menubuhkan akan menubuhkan koperasi bagi membantu penjawat awam yang berdaftar mendapatkan pinjaman yang terbaik dan mudah.

"Dengan terjalinnya kerjasama bersama Angkasa ini, kita akan gerakkan ke seluruh Malaysia bagi menggalakkan penjawat awam mendaftar kepada koperasi yang berada di bawah Angkasa," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya Rabu.

Omar juga berkata skim Kopsya yang menggunakan kaedah pemotongan terus gaji akan menyelamatkan penjawat awam daripada tindakan saman serta menggalakkan mereka hanya meminjam mengikut kemampuan gaji.

Sementara itu, Presiden Angkasa Profesor Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata skim itu, yang tidak mengenakan cukai perkhidmatan, dijangka berupaya menarik penjawat awam membuat pinjaman pada kadar yang mereka mampu.

"Skim ini sudah diwujudkan, tetapi ia akan mula beroperasi sepenuhnya kira-kira dua bulan dari sekarang," katanya.



-- BERNAMA

14 September 2011

KENAIKAN PANGKAT RENDAH POLIS MENGIKUT PALING LAMA BERKHIDMAT

Bernama
14/9/2011



KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kenaikan pangkat mengikut kaedah 'time-based' bagi anggota polis berpangkat Lans Koperal ke Koperal selepas lima tahun berkhidmat, dilaksana mengikut keutamaan anggota yang paling lama.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata bagi fasa pertama sebelum ini, mereka yang terbabit adalah anggota yang telah berkhidmat lebih 30 tahun, termasuk yang telah bersara wajib atau meninggal dunia.

"Selepas ini mereka yang berkhidmat lebih 20 tahun pula akan dinaikkan pangkat, diikuti mereka yang 15 tahun ke atas dan seterusnya kurang daripada 10 tahun," katanya kepada Bernama, di sini Selasa.

Fasa pertama yang dilaksana 15 Julai lepas menyaksikan 1,294 lans koperal dinaikkan pangkat, dan ini akan disusuli baki 14,716 orang lagi.

Menerusi kaedah 'time-based' ini, anggota berpangkat rendah berkenaan dinaikkan pangkat tanpa perlu melalui proses temu duga, dengan syarat mereka telah memenuhi syarat perkhidmatan.

Ramli berkata berdasarkan kriteria itu, hanya 9,609 anggota berpangkat Lans Koperal yang berkhidmat melebihi lima tahun tidak dinaikkan pangkat kerana tidak lulus ujian undang-undang rendah.

Beliau juga menegaskan tempoh lima tahun yang dimaksudkan bermula daripada tarikh anggota itu menjawat pangkat Lans Koperal, bukan tempoh berada dalam perkhidmatan.

Kaedah kenaikan pangkat 'time-based' itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan ke-203 tahun pasukan tersebut, yang antaranya bertujuan menghargai sumbangan mereka.

Ramli berkata sebelum ini, anggota polis yang memenuhi syarat harus menjalani temu duga oleh sebuah panel tiga anggota yang terdiri daripada Asisten Komisioner Polis (ACP), Superintenden Polis (Supt) dan Deputi Superintenden Polis (DSP) sebelum dinaikkan pangkat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Shafie Bakri menyambut baik langkah tersebut yang disifatkannya dapat menaikkan semangat mereka untuk bekerja dengan lebih gigih.

Beliau turut mencadangkan supaya kaedah itu diperkenalkan kepada yang berpangkat tinggi seperti Cif Inspektor untuk kenaikan pangkat Asisten Superintenden Polis (ASP).

Selain itu, Shafie meminta penghargaan dan pengiktirafan diberikan kepada bekas-bekas polis yang telah berkhidmat semasa zaman penjajahan komunis terutamanya melalui pemberian elaun bulanan atau sumbangan ihsan.

"Kita sudah mencadangkan kepada Perdana Menteri dan harap dapat dipertimbangkan untuk membantu mereka (bekas polis) yang daif atau balu mereka atau anak-anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman meminta kerajaan meneliti semula pemberian gred kepada pasukan keselamatan tersebut agar selaras dengan gred penjawat awam lain.

"Sebagai contoh Ketua Polis Daerah sepatutnya sudah layak mendapat gred 44 atau 48 namun masih ada yang gred 41," katanya.

Seorang anggota polis yang bakal dinaikkan pangkat kepada Koperal, Muhamad Norli Amir Hamzah yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, berkata pengumuman itu amat menggembirakannya setelah 13 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia.

"Di kalangan kami sudah lama menanti kenaikan pangkat ini dan kami bersyukur jasa dan khidmat kami dihargai," katanya.



-- BERNAMA

12 September 2011

LANJUTAN UMUR BERSARA: JPA PERLU KAJI TERLEBIH DAHULU

Bernama
12/9/2011




PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu membuat kajian terlebih dahulu berhubung cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata ini kerana JPA harus mengambil kira kesannya terhadap tenaga kerja baru, terutama pelajar tajaannya yang akan menamatkan pengajian.

"JPA banyak membuat tajaan kepada penuntut yang cemerlang daripada semasa ke semasa dan pada masa yang sama kita juga mengusahakan semua pelajar terbabit memperolehi pekerjaan, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta," katanya kepada Bernama, di sini.

Abu Bakar diminta mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang antara lain berpandangan 'orang lama' boleh menyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian bersandarkan pengalaman mereka.

Mengulas lanjut, Abu Bakar yang secara peribadinya bersetuju dengan cadangan itu, berkata di negara maju umur persaraan penjawat awam adalah antara 60 dan 65 tahun.

"Kita bersara pada umur 58 tahun adalah lebih kurang sama macam Bangladesh dan negara yang penjawat awamnya bersara pada umur 58 semakin kurang.

"Jika berdasarkan kepada standard dan tahap kesihatan kita, patut bersara pada umur 60 tahun. Ini yang dikatakan negara membangun dengan maju," katanya.

Beliau juga berpandangan cadangan tersebut wajar dipertimbang memandangkan Malaysia bakal menjadi negara maju dalam tempoh sembilan tahun lagi menerusi Wawasan 2020.

"Di negara maju umur bersara adalah 65," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika cadangan itu dilaksana penjawat awam akan diberi pilihan sama ada untuk bersara pada umur 58 atau 60 tahun.

"Sesiapa yang nak kerja sehingga umur 60 tahun, mereka boleh terima opsyen tersebut, dan kalau nak bersara pada umur 58 pun boleh, tidak ada paksaan," katanya.

-- BERNAMA

ANGGOTA JPJ RETAK TULANG PINGGUL KINI STABIL

Utusan Malaysia
12/9/2011




RAKAN setugas bertanyakan mengenai kecederaan dialami Asnawi Mohd. Hassan (kiri) di Hospital Melaka, semalam.


MELAKA 11 Sept. - Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Asnawi Mohd. Hassan, yang cedera ketika melakukan penerjunan payung terjun di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini semalam, dilaporkan dalam keadaan stabil di Hospital Melaka di sini.

Asnawi, 40, yang ditemui pemberita di hospital itu hari ini berkata, dia bagaimanapun sukar berjalan kerana tulang pinggul kanannya retak selain luka kecil di kepala kerana terhantuk pada longkang.

Dia yang berpengalaman melakukan 320 kali penerjunan berkata, insiden itu sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk terlibat dalam sukan ekstrem tersebut.

"Saya tidak serik, ini bukan pengalaman pertama (kemalangan). Saya anggap perkara biasa dalam sukan payung terjun," katanya yang enggan mendedahkan bentuk pengalamannya itu.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Saleh Majid meluangkan masa melawat Asnawi.

Dalam kejadian itu, Asnawi melalui detik cemas apabila bendera yang dibawanya bagi persembahan payung terjun tersangkut pada dahan sebatang pokok.

Insiden berlaku sewaktu dia melakukan penerjunan ketiga pada majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguat Kuasa JPJ.

Dia cuba membuat pendaratan di padang berkenaan yang menjadi tempat majlis berlangsung dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Asnawi yang juga bekas anggota tentera di Kem Sungai Udang di sini, sebelum berhenti pada 2004 dan menyertai JPJ pada 2007 berkata, dia begitu bersemangat untuk melakukan penerjunan itu pada ketinggian 1,219 meter dari pesawat Cessna 172.

"Ketika itu, cuaca seperti biasa dan baru lepas hujan lebat. Saya tambah bersemangat melihat dua penerjun selamat dan hampir mendarat di padang kawad.

"Namun entah kenapa, ketika hampir mendarat, tiba-tiba bendera (diikat pada kaki) tersangkut pada sebatang pokok dan saya tergantung sebelum terjatuh pada ketinggian 4.6 meter," katanya.

Tambahnya, dia jatuh terduduk pada tebing simen sebelum tercampak sejauh kira-kira 2.3 meter serta terhumban ke dalam longkang yang penuh dengan air.

PENJAWAT AWAM PERSEKUTUAN SABAH DIMINTA LEBIH DINAMIK DAN PROAKTIF

Bernama
12/9/2011




KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Muhammad Hatta Ab Aziz mahu penjawat awam persekutuan di negeri ini lebih dinamik dan proaktif dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan halatuju, wawasan dan sasaran yang jelas.

"Jika ini tidak ada kita hanya dianggap sibuk bekerja tapi tiada hasil yang dicapai...oleh itu, kita mestilah menjadi penjawat awam yang dinamik.

"Dalam kebanyakan organisasi, orang dinamik yang 'menjadikan sesuatu itu berjaya' hanya sekitar 10-15 peratus manakala yang lain adalah mereka yang melihat dan menunggu apa yang berlaku," katanya dalam perutusannya sempena perhimpunan bulanan Jabatan dan Badan Berkanun Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Hatta berkata penjawat awam perlu berubah daripada segi minda dan sikap supaya keluar daripada golongan itu dan menjadi golongan dinamik.

Beliau juga menyeru mereka menggunakan kemudahan teknologi maklumat (ICT) kerana ia dapat membantu menjadikan mereka lebih berpengetahuan.

Muhammad Hatta turut menekankan kepentingan nilai-nilai yang baik termasuk integriti, layanan yang baik kepada pelanggan, inovatif dan kreatif, kerjasama di semua peringkat termasuk antara jabatan dan agensi persekutuan serta menerima aduan dengan minda terbuka.

-- BERNAMA

ANGGOTA PANGKAT RENDAH GEMBIRA KENAIKAN PANGKAT

Utusan Malaysia
12/9/2011






Syamsuriani Hamzah (tiga dari kiri) bersama Adli Md. Isa, (kiri) dan Jackson Numpang (dua dari kiri) membaca laporan Mingguan Malaysia mengenai kenaikan pangkat 30,000 lans koperal sambil diperhatikan oleh Mohd. Azlan Lokman di Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pengumuman kenaikan pangkat lebih 30,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat lans koperal kepada koperal secara berperingkat mulai hari ini, diterima baik rata-rata penjawat awam itu.

Lans Koperal Adli Md. Isa, 51, menganggap kenaikan pangkat itu sebagai satu kepercayaan dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh semua golongan tersebut dengan amanah.

"Semangat untuk bekerja semakin bertambah apabila diberikan tanggungjawab dan saya rasa lebih dihargai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Lans Koperal Jackson Numpang, 28, pula, dia menyifatkan langkah itu secara tidak langsung boleh menarik minat orang ramai menyertai pasukan polis.

"Kenaikan pangkat itu akan turut meningkatkan pendapatan dan dapat menarik minat golongan muda untuk bersama menyertai pasukan polis," katanya.

Lans Koperal Syamsuriani Hamzah, 32, berharap kenaikan pangkat tersebut dapat membakar semangat golongan itu untuk berkhidmat lebih cemerlang dan menjalankan tugas dengan integriti yang tinggi.

Lans Koperal Mohd Azlan Lokman, 20-an, berkata, kenaikan pangkat itu sebagai langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat khususnya warga PDRM.

"Kenaikan pangkat bermakna kenaikan gaji, jadi ia sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan anggota dan secara tidak langsung mengatasi taraf hidup yang semakin meningkat," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan kenaikan pangkat 30,000 anggota berpangkat lans koperal kepada koperal setelah mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

09 September 2011

PROSPEK: PENJAWAT AWAM DAPAT LEBIH PELUANG NAIK PANGKAT - JPA

Bernama
9/9/2011

Oleh Normalazwa Jamaludin




PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.

Katanya PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi.

"Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, yang berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa.

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Abu Bakar berkata sistem penilaian baru itu akan menilai tahap kompetensi mereka dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

Katanya antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan.

Beliau berkata kursus dan latihan itu merupakan pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap.

"Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi.

"Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan.

"Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya.

Abu Bakar berkata untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas.

"Jadi, bagi mereka yang telah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya.

Abu Bakar berkata untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif.

"Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya.

Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota Cuepacs juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian.

Katanya JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang.

-- BERNAMA

06 September 2011

JPA TURUN PADANG SIASAT KES BALU TIDAK TERIMA PENCEN

Bernama
6/9/2011



KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan turun padang bagi menyiasat dakwaan seorang balu anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong bahawa beliau tidak pernah menerima pencen semenjak kematian suaminya pada tahun 1962.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA Datuk Yeow Chin Keong berkata beliau sendiri akan menemui balu tersebut, Sharifah Aminah Syed Ali, 83, di kediamannya di Alor Setar bagi mendapatkan lebih lanjut tentang perkara berkenaan.

"Saya akan berada di Alor Star pada jam 3 petang ini dan akan berjumpa sendiri dengan balu tersebut di rumahnya bagi mendapatkan kedudukan sebenar berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Yeow berkata kemungkinan wujud salah faham berkenaan undang-undang pencen yang diberikan kepada balu tersebut berhubung pindaan undang-undang pencen yang dilakukan pada tahun 70-an sehingga 2002.

"Sebelum tahun 70-an sekiranya berlaku kematian ke atas penjawat awam ketika dalam perkhidmatan sememangnya tiada pencen yang diberikan kepada balu.

"Namun pada tahun 80-an, kerajaan sudah mula bagi pencen terbitan kepada balu-balu terlibat, namun sekiranya mereka berkahwin lain secara automatik mereka tidak akan mendapat pencen tersebut," katanya.

Yew berkata pada tahun 2002 kerajaan dengan murah hati telah memberikan pencen tersebut kepada semua balu penjawat awam tidak kira sama ada mereka berkahwin lain atau tidak.

"Ada kemungkinan balu tersebut tidak tahu mengenai undang-undang pencen seperti bila masa beliau layak terima dan bila masa tidak layak," katanya.

Semalam Bernama menyiarkan laporan mengenai seorang warga emas Sharifah Aminah, balu kepada seorang anggota polis Syed Omar Syed Yasin yang mendakwa tidak pernah menerima pencen suaminya sejak kematian suaminya itu kira-kira 50 tahun lepas.

Aminah yang kini semakin uzur dan mengalamai masalah kesihatan berharap supaya dipertimbangkan permohonan untuk mendapatkan imbuhan tersebut kerana sejak kematian suaminya itu dia hanya pernah menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 sahaja.