SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 Ogos 2012

CUEPACS MOHON 438 PEMBANTU MAKMAL IPTA DINAIKAN PENOLONG PEGAWAI SAINS

Bernama
30/8/2012



ALOR GAJAH, 29 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menaikkan pangkat 438 pembantu makmal gred C17 di enam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada jawatan Penolong Pegawai Sains gred C27.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kesemua mereka telah mengikuti kursus peralihan Pembantu Makmal ke Penolong Pegawai Sains, namun hingga kini belum dinaikkan pangkat.

"Kita mohon agar mereka yang belum dinaikkan pangkat ini dilantik secara 'one-off' sebelum 10 Nov depan," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat khas Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia, di sini Rabu.

Katanya perkara itu wajar kerana pembantu makmal terbabit menjalankan kerja termasuk di luar waktu pejabat dan menggunakan peralatan berteknologi tinggi bagi membantu pensyarah dan penyelidik, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Omar berkata sebelum ini 750 pembantu makmal telah dinaikkan pangkat secara berperingkat oleh kerajaan.



-- BERNAMA

29 Ogos 2012

CUEPACS YAKIN KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DISENTUH DALAM BAJET 2013

Bernama
29/8/2012



KUCHING, 28 Ogos (Bernama) -- Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman yakin isu kebajikan penjawat awam akan disentuh dalam pembentangan Bajet 2013, yang dijangka pada 28 Sept ini, selaras dengan usaha menambah baik kualiti perkhidmatan melalui penyampaian berkesan.

Omar, yang juga anggota Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), berkata CUEPACS juga mahu status pekerja kontrak turut mendapat perhatian kerajaan.

"Kebajikan sangat penting dalam mana-mana sektor, sama ada dalam kerajaan atau swasta dan kita mengharapkan satu pembentangan yang baik supaya tidak ada lagi penjawat awam yang bermasalah atau tidak sihat yang akan menyusahkan kawalan," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog di antara ketua jabatan dan badan berkanun persekutuan Sarawak dengan SKMTPA, yang diketuai pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi di sini.

Dengan adanya pelbagai insentif yang diberi kerajaan, seperti bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) serta ekonomi yang sudah baik, beliau berkata isu yang dibangkitkan selama ini, termasuk kenaikan gaji selain penyelarasan bayaran insentif wilayah dan elaun perumahan, perlu mendapat perhatian kerajaan di dalam belanjawan 2013 nanti.

Bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pentadbiran efisien, elaun bantuan sara hidup (COLA) juga perlu diberi kepada penjawat awam di Sarawak, yang berbeza dengan bayaran insentif wilayah, katanya.

-- BERNAMA

24 Ogos 2012

SATU PENGHINAAN - CUEPACS


Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Tindakan memberhentikan ramai kakitangan awam Melayu di Pulau Pinang mungkin ada kaitan dengan hasrat pembangkang untuk mengurangkan 30 peratus jumlah golongan tersebut di negara ini.Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman yang kesal dengan perkembangan terbaru tersebut menasihatkan kakitangan awam agar bijak membuat pilihan pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan nasib mereka terbela.

"Jika benar dakwaan kerajaan DAP Pulau Pinang telah membuang ramai pekerja (kakitangan awam) Melayu dalam pentadbirannya, maka hasrat pembangkang mengurangkan 30 peratus kakitangan awam mungkin menjadi kenyataan."Tindakan itu langsung tidak boleh diterima dan ia merupakan satu penghinaan kepada kakitangan awam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dakwaan ramai kakitangan Melayu diberhentikan kerja oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ditimbulkan seorang wanita yang merupakan pekerja di sebuah jabatan kerajaan di negeri itu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi dialog di majlis Rumah Terbuka Bersama Perantau anjuran Pas kelmarin.Wanita yang enggan dikenali itu juga mempersoalkan kerjasama Pas dan DAP dalam konteks menjaga hak orang Melayu di jabatan kerajaan di bawah pentadbiran parti yang diketuai Lim Guan Eng. 

Sebelum ini, Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan kakitangan awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien jika parti itu memerintah.Abdul Hadi ketika menjawab soalan itu bagaimanapun dilihat seolah-olah menyokong tindakan diambil oleh rakan sekutunya apabila menyatakan tindakan tersebut adalah perkara biasa kepada setiap parti yang memerintah.

Syor kaji semula rumah asas

Berita Harian
23/8/2012



Kuala Lumpur: Pelbagai pihak mewakili kepentingan pengguna dan pekerja merayu kerajaan mengkaji semula konsep pembinaan rumah asas supaya ia tidak memberikan implikasi kewangan tambahan kepada pembeli.

Sambil memuji usaha kerajaan itu membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri, FOMCA dan CUEPACS berpendapat masih ada sebilangan besar pembeli tidak mampu menanggung kos mengubahsuai dalam rumah asas yang dicadangkan itu.

Pandangan pelbagai pihak

Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah, berkata pihaknya amat berharap kerajaan mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum melaksanakan projek itu.

“Kita berpendapat adalah wajar sekurang-kurangnya rumah asas yang dicadangkan kerajaan itu dilengkapi tiga bilik kerana semua orang sedar pada masa ini harga rumah melambung tinggi sehingga ramai tidak mampu untuk membelinya,” katanya kepada BH, semalam.

22 Ogos 2012

TAWARAN SEKTOR AWAM LAMBAT PUNCA PELAJAR INDIA PILIH SEKTOR SWASTA - SIVA SUBRAMANIAM

Bernama
22/8/2012



KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Proses permohonan yang rumit dan tempoh menunggu tawaran sektor awam terlalu lama menyebabkan pelajar cemerlang masyarakat India memilih untuk bekerja di sektor swasta.

Penyelaras Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri, Datuk N. Siva Subramaniam berkata perkara itu turut menyebabkan kurangnya penyertaan masyarakat India dalam kumpulan profesional sektor awam.

"Kebanyakan masyarakat India yang menyertai sektor awam memegang jawatan peringkat rendah seperti juruteknik dan pembantu tadbir.

"Pelajar cemerlang ini takkan nak tunggu lama untuk bekerja, sektor swasta dalam masa sama berlumba-lumba dapatkan mereka," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama dan Bernama TV di Wisma Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata apabila pelajar cemerlang itu bekerja di sektor swasta dengan gaji tinggi, sukar bagi mereka beralih kepada sektor awam apabila mendapat tawaran kerana gaji yang lebih rendah.

Siva Subramaniam berkata secara purata hanya 2.5 peratus daripada penjawat awam di setiap kementerian terdiri daripada masyarakat India, namun itu bakal berubah dengan pelbagai langkah yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan.

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini begitu prihatin dan akan menawarkan sebanyak 1,000 jawatan sektor awam kepada masyarakat India.

"Kita ada ramai calon daripada masyarakat India, tetapi ada juga masalah seperti penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris yang lemah menjadi halangan untuk masuk sektor awam," katanya.

Beliau berkata tawaran jawatan kepada masyarakat India dalam sektor awam bergantung kepada faktor seperti kelayakan akademik, lulus temu duga dan jati diri bagi memastikan mereka berkhidmat cemerlang untuk kerajaan, bukan hanya mengisi kuota semata-mata.

Pihaknya juga sedang mengkaji tentang faktor kenaikan pangkat dalam sektor awam terutamanya dalam perkhidmatan perguruan bagi masyarakat India.

"Kita terima memorandum daripada guru-guru kaum India yang mengatakan peluang mereka untuk naik pangkat ke jawatan pengetua serta penolong kanan amat tipis, kami akan membuat kajian untuk mengatasi masalah ini," katanya.

-- BERNAMA

21 Ogos 2012

EKONOMI MALAYSIA BERKEMBANG 5.4 PERATUS PADA SUKU KEDUA

Bernama
21/12/2012


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 4.3 peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bercakap kepada pemberita, Zeti berkata pada suku itu permintaan domestik melonjak 13.8 peratus berbanding 9.7 peratus berbanding suku pertama.

Beliau juga mengumumkan mengenai semakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 4.9 peratus bagi suku pertama daripada 4.7 peratus. Zeti berkata permintaan domestik yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pesat dalam perbelanjaan sektor swasta dan awam, manakala eksport bersih menyederhana ekoran eksport lemah dan import yang tinggi.

Mengenai bekalan, beliau berkata sektor ekonomi utama terus berkembang, diketuai sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pembinaan.

"Ini disokong oleh aktiviti dipacu domestik dalam sektor perkhidmatan iaitu komunikasi, hartanah dan perkhidmatan perniagaan dan subsektor insurans kewangan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, negara bakal mencatat pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini.

"Pada masa ini kami mengekalkan (unjuran ini). Pada belanjawan akan datang, mungkin ada pelarasan dalam unjuran bagi tahun ini.

"Kami yakin, berdasarkan prestasi separuh pertama tahun ini, KDNK dijangka meningkat lebih tinggi," katanya dan menambah, pelaburan swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.

Zeti berkata aktiviti pelaburan yang meningkat boleh dilihat berdasarkan peningkatan 19.8 peratus pada separuh pertama tahun ini dan peningkatan 24.6 peratus pada suku kedua.

"Inilah yang kami mahu berlaku bagi mengekalkan pertumbuhan, dan kami melihat pelaburan kembali dengan kukuh, malah pasaran sekuriti hutang swasta menunjukkan beberapa terbitan baharu bagi mengumpul dana dalam sekuriti hutang swasta untuk pelaburan dalam projek-projek baharu.

"Semua angka ini menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pelaburan, terutama oleh sektor swasta dan projek lain yang dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Zeti berkata peningkatan ranking Malaysia dari segi daya saing dan kos menjalankan perniagaan, secara tidak langsung membantu iklim pelaburan negara.

Beliau berkata beberapa projek kejuruteraan awam besar juga mencatat pertumbuhan kukuh dan akan membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuk projek saluran paip Sabah-sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion, katanya.

"Kita juga mencatat pengunaan kapasiti yang lebih tinggi yang kini mencecah paras 80 peratus. Kebiasaannya apabila keadaan ini berlaku dalam pelbagai industri, ini mencetuskan aktiviti pelaburan baharu," katanya.

Mengenai prestasi suku kedua, Zeti berkata modal tetap kasar merekodkan pertumbuhan kukuh 26.1 peratus berbanding 16.1 peratus pada suku yang lepas dengan perbelanjaan sektor swasta dan awam mencatat peningkatan.

Beliau berkata penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus (suku pertama 12: 7.4 peratus), disokong oleh situasi pasaran buruh yang padu, pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan sentimen pengguna yang meningkat.

"Selain itu inisiatif kerajaan seperti bantuan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka Felda selain menaikkan gaji dan pencen penjawat awam, turut membantu meningkatkan perbelanjaan," katanya.

Penggunaan awam meningkat 9.4 peratus daripada 7.3 peratus suku lepas, diketuai perbelanjaan yang tinggi untuk emolumen dan bekalan serta perkhidmatan, katanya.

Menurut Zeti kadar inflasi menyederhana kepada 1.7 peratus pada suku kedua berbanding 2.3 peratus pada suku lepas.

Beliau berkata inflasi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana manakala harga daging dan sayur-sayuran turun.

Bagi sektor luaran, lebihan akaun semasa berkurangan pada suku kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan 4.4 peratus pendapatan negara kasar, katanya.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan lebihan barangan yang rendah, terutama hasil pengembangan import kasar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar menyederhana," katanya.

Zeti berkata akaun kewangan mencatatkan pemulihan dengan kemasukan RM5.4 bilion pada suku itu, dengan kemasukan tunai dalam pelaburan lain dan pelaburan langsung asing meningkat yang mengimbangi aliran keluar besih dana portfolio bukan penduduk.

"Dengan lebihan dalam akauin semasa dan kewangan, imbangan pembayaran pulih untuk mencatat lebihan RM12.7 bilion pada suku kedua, berbanding RM7.2 bilion pada suku lepas," katanya.

Kadar dasar semalaman tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku berkenaan, katanya.

Beliau berkata ringgit sebaliknya susut 3.8 peratus berbanding dolar US pada suku kedua, selain mata wang serantau utama yang lain.

"Ketidaktentuan krisis hutang negara Eropah dan impaknya ke atas prospek pertumbuhan ekonomi serantau dan global menyebabkan pelabur mengurangkan pegangan dalama aset-aset pasaran baru muncul," katanya.

-- BERNAMA

16 Ogos 2012

KAKITANGAN AWAM CURI TULANG

Berita Harian
16/8/2012


Putrajaya: Ramai kakitangan awam dikesan ponteng kerja dengan membeli-belah ketika waktu bekerja pada bulan Ramadan sekarang.
Selain kompleks beli-belah dan pasar raya, mereka mengunjungi bazar Ramadan berhampiran pejabat, dipercayai untuk persiapan Aidilfitri dan membeli juadah berbuka puasa.

JPA meminta ketua jabatan membuat pemantauan berterusan pergerakan pegawai dengan memastikan mereka mendapat kebenaran terlebih dulu sebelum meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja untuk sebarang urusan peribadi.
Perbuatan itu dikesan menerusi pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas sering menerima aduan orang ramai mengenai sikap kakitangan awam tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di tempat awam.

Perlu patuh waktu bertugas Dalam surat Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) JPA, Datuk Farida Mohd Ali kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan menyatakan walaupun jumlah pegawai awam yang berbuat demikian makin berkurangan, ketua jabatan perlu mengingatkan pegawai supaya mematuhi waktu bertugas.

Surat itu menyatakan kegagalan mematuhi waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974 dan Peraturan 24, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Baru-baru ini, JPA melakukan pemantauan terhadap pematuhan waktu bekerja penjawat awam di sekitar premis perniagaan, pasar raya dan pusat beli-belah yang berhampiran pejabat kerajaan dan mendapati masih ada segelintir penjawat awam tidak mematuhi perkara ini,” katanya.
Surat bertarikh 30 Julai dengan tajuk perkara Penguatkuasaan Peraturan Berkaitan Pematuhan Waktu Bekerja Penjawat Awam, disiarkan dalam laman web rasmi JPA semalam, ditandatangani oleh Farida.

Sehubungan itu, JPA meminta ketua jabatan membuat pemantauan berterusan pergerakan pegawai dengan memastikan mereka mendapat kebenaran terlebih dulu sebelum meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja untuk sebarang urusan peribadi.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, setiap pegawai atau anggota penjawat awam perlu mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan untuk pulang lebih awal daripada masa ditetapkan.

“CUEPACS difahamkan sepanjang Ramadan ini, segelintir jabatan membenarkan penjawat awam pulang pada jam 4.30 petang bagi membolehkan mereka membuat persiapan berbuka puasa,” katanya.

13 Ogos 2012

NUBE MINTA BANK BERI BONUS RAYA

Bernama
12/8/2012


KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dengan kekuatan 40,000 anggota hari ini meminta semua bank mengikut jejak langkah kerajaan dan mempertimbang bonus Hari Raya kepada semua kakitangan bukan eksekutifnya.Kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, malah pesara juga menerima RM500.

Setiausaha Agung Nube J.Solomon berkata bank di Malaysia mencatat keuntungan tahun ke tahun dan sudah pasti dapat memberikan bonus itu.Walaupun bonus bukan sebahagian daripada perjanjian secara kolektif tetapi ia tidak menghalang bank, atas nama tanggungjawab sosial korporatnya, untuk mengurangkan beban kakitangannya yang berpendapatan rendah, katanya kepada Bernama.

Solomon berkata Nube menulis surat kepada semua ketua pegawai eksekutif bagi mempertimbang bonus itu di mana kuantumnya diserah kepada bank untuk membuat keputusan.Katanya Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama di mana "kita hidup bersama secara aman dan dicemburui negara-negara lain."

"Tanpa mengira agama atau kaum, kita semua menyambut Hari Raya," katanya.

-- BERNAMA

12 Ogos 2012

STATEGI LAUTAN BIRU AKAN DITERUSKAN: KSN

Bernama
12/8/2012


TAWAU, 11 Ogos (Bernama) -- Konsep 'Strategi Lautan Biru' iaitu pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif dalam melaksanakan dasar kerajaan akan diteruskan kerana ia terbukti membawa impak positif kepada rakyat dan negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Ali Hamsa.

Beliau berkata strategi berkenaan juga perlu diteruskan kerana pendekatan itu jelas mampu menggalakan pelaksana dasar kerajaan termasuk penjawat awam untuk berfikir secara baharu atau berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan sebarang masalah.

"Sebagai contoh, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelbagai hal dalam usaha (mengurangkan kadar jenayah). Pada masa ini sudah terdapat lima program melibatkan kerjasama antara ATM dan PDRM.

"ATM juga bekerja sama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam membantu kerajaan membina rumah dan infrastruktur asas seperti jambatan untuk masyarakat miskin di luar bandar,"" katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penjawat awam di sini.

Menurut Ali program terbaru di bawah Strategi Lautan Biru ialah 1Malaysia Youths For You (1M4U) yang bertujuan menyemarakkan semangat kesukarelaan di kalangan kira-kira 10 juta belia di negara ini agar mereka dilibatkan secara langsung dalam arus perdana pembangunan negara.

-- BERNAMA

HAMPIR SEMUA JABATAN PERSEKUTUAN UTAMA DI SABAH DIKETUAI ANAK TEMPATAN, KATA KSN

Bernama
12/7/2012


KOTA KINABALU, 11 Ogos (Bernama) -- Hampir semua jabatan dan agensi Persekutuan utama di Sabah kini diketuai oleh penjawat awam di kalangan anak tempatan di negeri ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Beliau berkata ini termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pelajaran.

Katanya kerajaan Persekutuan sentiasa memberi peluang kepada anak tempatan untuk mengetuai jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini seperti yang diharapkan oleh rakyat Sabah. "Banyak lagi jabatan dan agensi Persekutuan lain di Sabah yang diterajui oleh anak tempatan, jadi isu ini tidak timbul (soal anak tempatan dipinggirkan)," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Ratu Elizabeth 1, dekat sini malam tadi.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan berterusan pembangkang di Sabah yang menuntut supaya lebih banyak penjawat awam tempatan dari Sabah dilantik sebagai ketua jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini selaras dengan konsep 'Borneonisation' yang dipersetujui semasa pembentukan gagasan Malaysia.Mengenai kerja pembinaan bangunan baru Hospital Ratu Elizabeth 1, Ali berkata beliau berpuas hati dengan tahap pencapaian projek itu dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual.

Katanya kerajaan Persekutuan melalui kementerian yang berkenaan sentiasa menyalurkan peruntukan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kemudahan di hospital berkenaan demi kebaikan bersama. Terdahulu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa dengan penjawat awam di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Persekutuan di Likas dekat sini, Ali berkata antara prinsip pentadbiran yang beliau tekankan ialah merakyatkan perkhidmatan awam.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu penting bagi meningkat imej perkhidmatan awam di mata rakyat.Ali meminta penjawat awam supaya membudayakan amalan turut padang, senyum dan mesra rakyat.Beliau turut berharap agar semua ketua jabatan dapat melihat soal kebajikan petugas terutama dalam hal kenaikan pangkat bagi mereka yang sudah lama berkhidmat dalam sesuatu jabatan atau agensi Persekutuan.

"Kita bukan sahaja tengok perkara di luar tetapi juga kita kenalah tengok-tengok di belakang kita terutama soal kebajikan kakitangan kita. Kalaulah semua ketua jabatan melakukan ini, tentu sekali kakitangan akan berasa senang hati dan mungkin tidak perlu lagi bagi Cuepacs membangkitkan hal ini," katanya.

-- BERNAMA

10 Ogos 2012

PENGANGGUR DIDENDA RM3,000 HALANG TUGAS PENJAWAT AWAM

Bernama
10/7/2012


NIBONG TEBAL, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang penganggur didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis, kerana menghalang tugas penjawat awam pada 5 Ogos lepas.

Majistret Mohamed Aznin Mohamed Ariff menjatuhi hukuman itu terhadap M. Moganadass, 19, yang mengaku salah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia dituduh membaling topi keledar ke arah cermin hadapan kereta peronda polis dengan niat menghalang tugas seorang anggota polis, Murat Muhamad Yusof yang sedang melakukan rondaan.

Kesalahan itu dilakukan 5 Ogos lepas pada pukul 1.15 pagi di Jalan Jawi Jaya 7, Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi, Nibong Tebal.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

09 Ogos 2012

SYOR PENJAWAT AWAM GUNA KAD DISKAUN

Berita Harian
9/8/2012


Kuala Lumpur: CUEPACS mencadangkan supaya kira-kira 450,000 penjawat awam yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan turut diberi peluang menikmati kad diskaun 1Malaysia Privilege Card.

Langkah itu bagi membolehkan kumpulan berkenaan termasuk kakitangan Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Imigresen turut menikmati potongan harga sehingga 25 peratus ketika membeli-belah di lebih 20 syarikat

MUHYIDDIN BERBUKA BERSAMA KIRA-KIRA 100 NGO

Bernama
9/8/2012



PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu menghadiri majlis berbuka puasa bersama kira-kira 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kediaman rasminya, Sri Satria, di sini.

Antara NGO yang hadir ialah Majlis Belia Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Majlis Perundingan Melayu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti-universiti, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), dan Gabungan NGO Malaysia.

Selepas berbuka, Muhyiddin menunaikan solat Maghrib bersama para hadirin sebelum kembali ke khemah khas yang didirikan di perkarangan Sri Satria untuk meneruskan majlis.

Timbalan Perdana Menteri kemudian menyampaikan sumbangan bantuan kepada kira-kira 55 anak yatim dari Kampung Laksamana dan Kampung Sungai Cincin, Gombak.

-- BERNAMA

08 Ogos 2012

BERITA TAKZIAH

Media Cuepacs
8/8/2012

إنا لله و إنا إليه راجعون

الفاتحة..............


Dukacita dimaklumkan bahawa Encik Mohd bin Ali  Presiden Kesatuan Kakitangan Am FAMA merangkap Ahli Jawatankuasa Kewangan Cuepacs dan Ahli Kongres Cuepacs telah kembali  ke rahmatullah pada 7 Ogos 2012 bersamaan 18 Ramadhan 1433H. Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan Kajang.

05 Ogos 2012

KELUARAN PENUH CARUMAN KESP PADA USIA 55 TAHUN TEPAT - MTUC

Bernama
5/8/2012

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan kerajaan mengekalkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta pada 55 tahun adalah tepat.

Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu jalan terbaik walaupun kerajaan telah melanjutkan had umur persaraan minimum pekerja swasta kepada 60 tahun.

"Pencarum ketika ini boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan selepas pencarum bersara iaitu 55 tahun.

"Keputusan ini juga amat kami alu-alukan kerana MTUC sejak awal lagi memberi pilihan kepada pencarum sama ada mahu mengeluarkan wang caruman pada usia 55 atau 60 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Khalid berkata MTUC juga menjalankan kaji selidik dalam kalangan pekerja swasta tentang pemilihan untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 atau 60 tahun.

Katanya hasil kaji selidik mendapati 80 peratus pekerja swasta memilih untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 tahun manakala selebihnya pada usia 60 tahun.

Langkah kerajaan itu turut disambut baik Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Omar berkata ini jelas membuktikan kerajaan juga mengambil berat tentang pekerja swasta kerana semua tenaga kerja di negara ini merupakan penjana ekonomi negara.

"Saya harap pencarum sektor swasta merasa lega dengan keputusan ini kerana saya difahamkan sebelum ini ada kebimbangan di kalangan para pencarum setelah ada ura-ura mengatakan had umur pengeluaran penuh KWSP dinaikkan kepada 60 tahun selari dengan batas umur persaraan minimum swasta," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan belum bercadang mengubah peraturan pengeluaran wang caruman KWSP pada masa ini, sekalipun usia persaraan untuk pekerja sektor swasta dilanjutkan daripada 55 kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari depan.

-- BERNAMA

03 Ogos 2012

CUEPACS CADANG IMBUHAN TETAP PERUMAHAN DISELARAS

Utusan Malaysia
3/8/2012 


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus. Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata cadangan berkenaan antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam. "Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah. "Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian. Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan. "Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Jan 2012," katanya. Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam. Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya.

KAJI SEMULA ELAUN, INSENTIF

PUTRAJAYA 2 Ogos - Kerajaan diminta mengkaji semula beberapa jenis elaun dan insentif yang dibayar kepada anggota sektor awam memandangkan bayaran elaun sekarang masih di takuk lama.Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada 24 cadangan dan 23 syor yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam.
Katanya, cadangan kajian semula itu berikutan kos perbelanjaan seharian telah meningkat dan untuk memberikan transformasi kepada sektor perkhidmatan awam.
“Antaranya kita meminta kerajaan mengkaji semula elaun keraian, elaun tetap perumahan dan elaun khidmat awam serta memberi penekanan terhadap isu perumahan memandangkan lonjakan harga rumah berbanding gaji diterima.

CUEPACS CADANGAN IMBUHAN PERUMAHAN DISELARAS, FAEDAH PINJAMAN RUMAH 1 PERATUS

Bernama
2/8/2012

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.
 -- BERNAMA

01 Ogos 2012

KESALAHAN TRAFIK: DIDIK PEMANDU ATASI MASALAH KES TERTUNGGAK

Berita Harian
1/8/2012


 Putrajaya: Kerajaan disaran melaksanakan sistem saman dan bayar serta-merta terhadap pesalah lalu lintas bagi mendidik pemilik kenderaan mematuhi peraturan jalan raya.
Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan meletakkan kenderaan di lokasi tidak sepatutnya.

Selain itu, kerajaan diminta memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengunci tayar dan menyita kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.

Atasi tunggakan saman Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA), Tun Zaki Azmi, berkata cadangan itu dikemukakan oleh CUEPACS bagi mengatasi masalah berjuta-juta saman trafik yang belum dijelaskan oleh pengguna dan pemilik kenderaan.

Katanya, cadangan itu membolehkan kerajaan berlaku adil terhadap pesalah trafik yang membayar saman apabila melakukan kesalahan, walaupun secara ansuran.

“Cadangan ini disokong wakil pelbagai agensi penguat kuasa pengangkutan serta PBT yang menghadiri mesyuarat khas SKMTPA. Terserah kepada Peguam Negara untuk mengkaji aspek perundangan bagi membolehkan ia dilaksana dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada," katanyaselepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.
Mengulas lanjut, Azmi berkata peraturan itu diguna pakai di beberapa negara, termasuk di Singapura, United Kingdom dan Australia. Ditanya sama ada ia akan membebankan pengguna, Zaki berkata walaupun ada undang-undang, pemilik kenderaan tidak perlu panik dan marah jika mereka mematuhi peraturan jalan raya.

“Kalau salah dia didenda atau dihukum. Namun, setakat ini berjuta saman bukan saja tidak dibayar, malah diketepikan begitu sahaja seperti tidak menghormati undang-undang. Ini tidak adil kepada mereka yang patuh bayar saman dan mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka,” katanya.

CUEPACS HARAP BAYARAN KHAS RM500 DIPANJANGKAN KEPADA PESARA KWSP

Bernama
1/8/2012


PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berharap agar Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan turut dipanjangkan kepada pesara yang memilih untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata pada masa ini bayaran berkenaan hanya diberi kepada pesara kerajaan yang memilih opsyen pencen, dan kira-kira 300,000 pesara yang memilih opsyen KWSP ini tidak pernah menerima apa-apa imbuhan daripada kerajaan selepas tamat perkhidmatan.

"Ramai yang menelefon saya meminta saya membuat rayuan kepada kerajaan agar mereka juga dapat menerima bayaran ini.

"Jadi kalau boleh sekali ini kita minta jasa baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk turut memberikan mereka bayaran khas ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa.

Omar berkata kerajaan turut diminta mempertimbangkan untuk memberi bayaran berkenaan kepada tentera yang berkhidmat 18 tahun ke bawah yang tidak mempunyai pencen, agar mereka tidak merasa tersisih.