SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PENJAWAT AWAM TIANG SERI NEGARA

30 November 2012

SKM SASAR 45 BUAH KOPERASI BURUNG WALIT MENJELANG 2020

Bernama
29/11/2012



BUTTERWORTH, 29 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan penglibatan 45 buah koperasi dengan perolehan sehingga RM8.95 juta menjelang tahun 2020 bagi aktiviti penternakan dan perusahaan burung walit.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Tan Lian Hoe berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana industri tersebut semakin berkembang berikutan permintaan yang tinggi dari luar negara.


"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah merangka pelan induk pembangunan industri sarang burung walit bagi menambah bilangan pengusaha yang mampan. "Jadi saya percaya jumlah koperasi burung walit juga akan bertambah menjelang tahun 2020 dan ia pasti memberi manfaat besar kepada semua pihak," katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Pendaftaran Koperasi Penternak Burung Walit Malaysia Berhad, di sini hari ini.


Yang turut hadir Pengerusi Lembangan Koperasi Penternak Burung Walit Malaysia Berhad Datuk Ng Siew Lai.


Ng dalam ucapannya berkata koperasi itu ditubuhkan pada 20 Nov lepas dengan keanggotaan seramai 240 pengusaha dan penternak burung walit di seluruh Malaysia.


"Penubuhan koperasi itu merupakan platform kepada Persatuan Penternak Burung Walit Malaysia untuk terus berusaha meningkatkan pengeluaran dan tahap kualiti produk sarang burung walit selaras dengan permintaan pasaran antarabangsa," katanya.


Katanya koperasi juga merancang untuk menubuhkan pusat latihan memproses sarang burung walit supaya dapat melatih lebih ramai pekerja yang mahir dalam industri memproses produk berkenaan.


"Ia juga secara tidak langsung mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan kerana pada masa ini anggaran jumlah hasil keluaran sarang burung walit ialah 50 metrik tan sebulan dan melibatkan pekerja memproses seramai 30,000 orang," katanya.


Sementara itu, Tan semasa merasmikan Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna pada majlis berasingan berkata penjenamaan semula kad pengguna telah mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).


Katanya sokongan itu jelas menunjukkan masyarakat telah mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengamalkan hak pengguna.


"Saya difahamkan CUEPACS akan memberi sokongan jitu terhadap skuad pengguna dan kerjasama yang ditawarkan itu, saya percaya dapat membantu aktiviti skuad pengguna di kalangan ahli persatuannya seramai 4 juta orang di seluruh Malaysia," katanya.


Beliau berkata menerusi penjenamaan skuad pengguna yang merupakan 'mata dan telingga' kerajaan, anggotanya akan mendapat keistimewaan antaranya kad diskaun di 142 rakan dagang.


-- BERNAMA

29 November 2012

WANITA LETAK TIGA PERMOHONAN

Utusan Malaysia
29/11/2012

Shahrizat Abdul Jalil bersama barisan Exco Pergerakan Wanita UMNO mengangkat tangan semasa Perhimpunan Pergerakan Wanita UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Pergerakan Wanita UMNO memohon tiga perkara untuk pertimbangan kerajaan termasuk memastikan suami isteri yang bekerja berjauhan, dapat ditugaskan berdekatan antara satu sama lain.Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya mahu permohonan suami isteri yang mahu ditugaskan berdekatan dapat dilayan dalam tempoh masa paling lama setahun dari tarikh permohonan."Langkah ini penting untuk kita memberi perhatian kepada pengukuhan institusi keluarga dan saya yakin prestasi dan produktiviti kerja mereka pastinya dapat ditingkatkan lagi sekiranya masalah ini dapat diselesaikan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata, Wanita UMNO juga menyokong permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kakitangan awam yang telah mencapai tahap gaji maksimum diberikan kenaikan gaji tahunan kerana secara praktisnya setakat ini pegawai awam yang telah mencecah mata gaji maksimum tidak menikmati kenaikan gaji itu.
"Kita sedar kakitangan awam itu tidak dinaikkan pangkat kerana terhadnya bilangan pangkat yang ada. Justeru, Wanita UMNO merasakan amatlah wajar mereka diberikan kenaikan gaji tahunan, seiring dengan kenaikan kos hidup dan sumbangan mereka kepada negara," katanya.

Shahrizat turut meminta pemberian dividen dan bonus Lembaga Tabung Haji dinaikkan sekurang-kurang sama seperti yang dinikmati oleh pemegang Amanah Saham Bumiputera (ASB).Dalam ucapan yang bertema Anjakan untuk Melonjakkan Kemenangan itu, beliau turut mendedahkan tentang tiga hasrat yang ingin dicapainya semasa memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini iaitu menghentikan diskriminasi sama ada tersirat mahupun tersurat terhadap wanita.

"Kedua, menentukan semua perundangan, polisi dan peraturan berkaitan dengan wanita, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, isu kebajikan dan kemasyarakatan diberi keutamaan bagi membantu dan melindungi kumpulan sasar ini daripada sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi, malah saya mahu lihat pembangunan dan kejayaan mereka dan ketiga, mengarusperdanakan kesemua isu ini dalam perancangan kerajaan dan melaksanakannya dalam kehidupan seharian," katanya.Dalam pada itu, Shahrizat bersyukur kerana kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar permintaan dan keluh kesah golongan wanita di negara ini termasuk meningkatkan bilangan wanita sebagai pembuat dasar sekurang-kurangnya 30 peratus sejak 2004.

"Sejak dasar ini diumumkan, penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam telah meningkat kepada 31.7 peratus pada 2011 berbanding hanya 18.8 peratus pada 2004. Tambah memberangsangkan ialah hasil perjuangan kita, kini terdapat enam wanita dalam kalangan 24 orang Ketua Setiausaha Kementerian dan merupakan sejarah pencapaian terbaik wanita," katanya.

Begitu juga pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, telah menyebabkan ramai wanita bukan hanya bertugas di rumah tetapi juga mempunyai kerjaya yang hebat iaitu meningkat daripada 37 peratus pada 1970 kepada 44.7 peratus pada 1995 dan 47.9 peratus pada 2010.
"Mereka juga tidak lagi tertumpu pada pekerjaan yang separa mahir dan tidak mahir. Hari ini semakin ramai wanita telah menjadi profesional dan menceburi bidang yang dahulunya didominasi oleh golongan lelaki dan kini, 46.2 peratus daripada doktor adalah wanita, akauntan (49.6), doktor gigi (63.2) dan peguam (49.2),'' ujarnya.

26 November 2012

CUEPACS SAMBUT BAIK SARANAN KSN MAHU JPA FLEKSIBEL

Bernama
26/11/2012


KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata cadangan Datuk Seri Dr Ali Hamsa itu merupakan satu daripada transformasi yang dilakukan kerajaan dalam memantapkan lagi penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

"Tidak perlu lagi penambahan jawatan baru apabila wujudnya kerja tambahan, sebaliknya JPA perlu letakkan pegawai yang sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula tanpa perlu melantik pegawai baru," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang Isnin.

Beliau berkata jabatan atau jawatan yang berkemahiran tinggi seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagaimanapun memerlukan pelantikan baru serta penambahan anggota dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"Jawatan yang berkemahiran tinggi seperti doktor, jururawat, guru, polis dan sebagainya perlu ada lantikan baru, jawatan mereka tidak boleh dimansuh atau dibekukan kerana jawatan-jawatan ini penting," katanya.



-- BERNAMA

24 November 2012

KSN MAHU JPA FLEKSIBEL DALAM PENEMPATAN SEMULA KAKITANGAN AWAM

Bernama
21/11/2012


PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata kini terdapat 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara dan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan tambahan dalam perkhidmatan awam bagi melaksanakan dasar baharu.


"Apabila ada kerja tambahan, jabatan dan agensi akan meminta tambahan penjawat awam dan jawatan. Apa yang boleh lakukan ialah meningkatkan produktiviti secara kreatif dan inovatif agar tidak perlu menambah jumlah jawatan dan bilangan penjawat awam.


"Dengan 1.4 juta penjawat awam adalah mencukupi dan kita hanya perlu untuk menempatkan semula mereka. Sehubungan itu, saya telah meminta JPA supaya lebih fleksibel dari segi penempatan semula.


"Walaupun terdapat skim berlainan, kita perlu melihat macam mana kita boleh 'break silo' (mentaliti yang melihat kepentingan terhad kepada jabatan, agensi dan kementerian mereka sahaja). Mungkin keperluan yang lebih banyak dalam sesuatu bidang dan kurang dalam bidang lain, maka kita boleh melakukan pertukaran dan sebagainya," katanya pada Majlis Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Kementerian Pelajaran Malaysia di sini pada Rabu.


-- BERNAMA

KSN: TIADA KOMPROMI BAGI PENJAWAT AWAM BOCOR RAHSIA KERAJAAN

Bernama
22/11/2012

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

Beliau berkata kegiatan seperti memalsukan dokumen, membocorkan maklumat serta menyebarkan maklumat sulit dan sensitif kepada pihak lain akan mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.


"Perbuatan membocorkan rahsia kerajaan tidak boleh dikompromi sama sekali. Justeru itu, saya ingin mengingatkan semua Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan supaya lebih tegas dalam memberi teguran atau amaran dan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang pelanggaran keselamatan termasuklah ketidakpatuhan, kecuaian, kelalaian penjawat awam sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan di agensi masing-masing," katanya.


Tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), katanya pada Konvensyen Keselamatan Perlindungan peringkat kebangsaan bertemakan "Mentransformasikan Keselamatan Perlindungan Seiring Transfromasi Perkhidmatan Awam" di Kementerian Kewangan di sini, Khamis.


Pada majlis itu, Ali menyampaikan sijil pengiktirafan Pengurusan Keselamatan Perlindungan 2012 kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Parlimen Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Pentadbiran Am Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Lembaga Kemajuan Negeri Pulau Pinang, dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


-- BERNAMA

22 November 2012

KPKT SEDIA KAJI CADANGAN SKIM KHAS PENGUATKUASA PBT,JPJ - CHOR

Bernama
22/11/2012



KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia mengkaji cadangan mewujudkan skim khas untuk anggota dan pegawai penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri berkenaan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata kementerian boleh mengesyorkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jika terdapat keperluan yang wajar.

"Kita bukan penentu dalam perkara ini, tetapi JPA. Namun, tak salah kalau kementerian kaji dulu. Kalau didapati wajar, kita akan mencadangkan kepada JPA," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, Khamis.

Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam agar skim perkhidmatan khas diwujudkan untuk anggota dan penguasa PBT serta JPJ bagi membolehkan mereka menikmati faedah dan kemudahan seperti yang diperoleh penguasa daripada agensi lain.



-- BERNAMA

21 November 2012

CUEPACS SASAR 70 PERATUS PENJAWAT AWAM SERTAI SP1M MENJELANG FEB 2013

Bernama
21/11/2012


ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mensasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus penjawat awam memiliki kad Skuad Pengguna 1Malaysia (SP1M) menjelang Februari depan.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata sehingga kini kira-kira 2,000 penjawat awam telah menjadi ahli SP1M selepas ia dilancarkan di Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

"Kita sasarkan sehingga Februari ini semua 1.4 juta penjawat awam mempunyai kad ini dan jika tidak sampai, mungkin sekurang-kurangnya 70 peratus penjawat awam mempunyai kad skuad pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada ahli Cuepacs di sini pada Rabu.

Beliau berkata selepas ini peniaga tidak boleh mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati kerana mereka yang mempunyai kad pengguna tersebut adalah mata dan telinga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Bila seluruh penjawat awam memboikot sesuatu barang disebabkan tidak puas hati dengan harga barang atau perkhidmatan yang ditawarkan, mungkin peniaga itu akan mengalami kerugian. Dengan cara ini saja kita boleh ajar peniaga yang ingkar.

-- BERNAMA

CUEPACS SETUJU KENAIAKAN PANGKAT SECARA TIME-BASED DIPERLUAS KE SELURUH SEKTOR AWAM

Bernama
21/11/2012


ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan kerajaan supaya kenaikan pangkat secara 'timed-based', yang kini dinikmati sektor pendidikan dan kesihatan, diperluas kepada perkhidmatan awam lain.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata langkah ini sememangnya dinantikan penjawat awam lain.

"Kalau semua kementerian menggunakan kaedah time-based, itu satu perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam, sebab di situ nanti mereka akan dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

"Time-based ini tak sama dengan kenaikan KUP (Khas Untuk Penyandang). Time-based mesti ada satu mekanisma supaya yang naik berdasarkan kaedah time-based hanya yang betul-betul layak sahaja. Kalau dia naik jawatan tapi tak tau nak buat kerja apa pun, baik tak payah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada anggota Cuepacs di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkaitan cadangan kerajaan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA

19 November 2012

CUEPACS minta adakan taklimat khas

Berita Harian
19/11/2012


Kuala Terengganu: CUEPACS akan membuat pendirian muktamad hari ini berhubung kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ia selepas perjumpaan dengan Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Malaysia di Hulu Kintar, Perak.
Sehubungan itu, CUEPACS yang turut dianggotai kira-kira 10,000 pemandu yang berkhidmat dalam sektor awam tidak mahu pendapatan kumpulan sokongan itu terjejas hanya untuk membayar saman AES.


CUEPACS menegaskan pihaknya bukan mahu membantah AES, tetapi sebelum dipasang dan dilaksanakan adalah lebih baik pihak terbabit memberi taklimat khas kepada pemandu terutama yang berkhidmat dengan jabatan dan sektor awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata apa membimbangkan CUEPACS ialah pemandu kenderaan sektor awam terutama apabila membawa pegawai atasan.

Katanya, jika ketua pengarah atau ketua jabatan mahu pergi mesyuarat, sudah pasti mereka mahu cepat dan akhirnya akan terperangkap dengan AES kerana memandu melebihi had laju.

Siapa kena bayar saman? Kalau sehari pemandu ini kena dua saman, RM600 dia kena bayar dan bukannya jabatan bayar... ini yang kita tidak mahu berlaku.
Kita juga difahamkan ada lokasi yang hendak dipasang AES tidak sesuai yang disifatkan perangkap dan ini yang membimbangkan, katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas ke-50 Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) Peringkat Kebangsaan di sini, semalam. Hadir sama Presiden KKGLMSM, Datuk Jemale Paiman

14 November 2012

CUEPACS BIDAS DEREK JOHN

Utusan Ma;aysia
oleh MD. AZRIN ROSLY
KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membidas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek John Fernandez yang mengeluarkan kenyataan kurang sopan berkaitan calon-calon bagi mengisi jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya.Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ia seperti memperkecilkan pegawai kerajaan yang dicalonkan untuk memegang sesuatu jawatan.

"Mana-mana pegawai yang disenaraikan dan dicalonkan oleh kerajaan sudah tentu mempunyai kredibiliti dan kemahiran tertentu menyebabkan dia dipilih."Jika dia tidak layak dan tidak mampu membuat kerja, sudah tentu tidak dilantik oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Beliau mengulas kenyataan Derek seperti dipetik daripada laporan akhbar The Malay Mail hari ini mengenai senarai pengganti Datuk Bandar MBPJ oleh Kerajaan Pusat iaitu: "Let's see who the candidates are. If they are going to nominate some monkeys, we will reject."

Dalam laporan tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa menjelaskan bahawa pertukaran Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman adalah kenaikan pangkat yang akan mengetuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).Menurut Ali, beberapa calon pengganti juga telah dikenal pasti untuk menggantikan Mohamad Roslan yang akan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) pada 1 Disember ini.

CUEPACS MAHU SEMUA JENIS ELAUN, INSENTIF PENJAWAT AWAM DIKAJI SEMULA

Bernama
14/11/2012


KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu semua jenis elaun dan insentif penjawat awam di seluruh negara termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata perkara itu perlu memandangkan harga rumah dan kos sara hidup rakyat di negara ini semakin meningkat.

"Di mana-mana negeri, elaun tidak boleh dibeza-bezakan seperti dahulu sebab sekarang ini harga rumah dan kos sara hidup terlalu tinggi.

"Sebab itu Cuepacs menyuarakan supaya semua jenis elaun, insentif dan imbuhan tetap perumahan perlu dikaji semula bersama dengan kajian suruhanjaya transformasi perkhidmatan awam," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, di sini Rabu.

Omar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pelbagai pihak agar elaun perumahan penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di semenanjung atau sebaliknya diseragamkan.



-- BERNAMA

CUEPACS TUNTUT DEREK FERNANDEZ MOHON MAAF IBARATKAN PENJAWAT AWAM "MONYET"

Bernama
14/11/2012


KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Derek Fernandez memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang mengibaratkan penjawat awam sebagai 'monyet' ketika mengulas isu pertukaran Datuk Bandar MBPJ.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata Cuepacs kesal dan memandang serius kenyataan itu dan mahu ahli MBPJ itu membetulkan kenyataan itu dalam masa terdekat kerana telah menghina dan menjejaskan imej perkhidmatan awam keseluruhannya.


"Kalau betul apa yang disebut oleh saudara (Derek Fernandez)..kita mahu beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penjawat awam dan dia juga kena buat pembetulan ayat itu.


"Kalau dia tidak minta maaf maka Cuepacs akan memanggil satu mesyuarat tergempar dan kita akan buat piket di hadapan bangunan di mana beliau bertugas...kita kesal kerana belum pernah berlaku seorang ahli majlis menyebut penjawat awam sebagai "monyet'," katanya pada sidang media di Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Kepayan, dekat sini hari ini.


Omar mengulas kenyataan ahli majlis MBPJ itu berhubung pemilihan calon Datuk Bandar MBPJ oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menggantikan penyandang Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang dinaikkan pangkat ke jawatan baharu.


Fernandez dipetik sebagai berkata dalam akhbar Malay Mail, "let's see who the candidates are. If they are going to nominate some monkeys, we will reject" (mari tengok dulu siapa calonnya. Jika mereka nak calonkan 'monyet', kami akan tolak").


Omar berkata ini adalah kenyataan "biadab" kerana beliau "tidak sepatutnya mengelar siapa sahaja pegawai yang datang sebagai "monkey" kerana ia adalah di bawah bidang kuasa pihak JPA untuk menghantar pengganti yang sesuai.


"Bukan maknanya dia datang tak sesuai dan ditolak atau bila diganti dikatakan 'monkey'...ini satu perkara yang tidak boleh terima," katanya sambil berharap perkara seumpama itu tidak berulang.


-- BERNAMA

13 November 2012

INSENTIF KHAS LULUSAN IJAZAH, DIPLOMA TIDAK NAIK PANGKAT

Utusan Malaysia
13/12/2012


KOTA KINABALU 12 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200 kepada pemegang diploma.

Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan jawatan mereka."Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik tertakluk kepada jawatan kosong."Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan pengalaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.Menurut Omar, pemberian insentif itu akan dapat memberikan keadilan kepada penjawat awam selain menaikkan semangat mereka untuk bekerja bersungguh-sungguh.Sementara itu, beliau berharap kerajaan menetapkan kuota ke atas pengambilan jawatan kosong sektor awam bagi memberi keadilan kepada semua penjawat awam.

"CUEPACS mencadangkan 50 peratus kuota diberikan kepada penjawat awam sedang berkhidmat manakala 50 peratus lagi kepada pemohon baharu," katanya.Omar berkata, bagi memastikan kebajikan kira-kira 45,000 pekerja kontrak, kerajaan diminta menyerap kesemua pekerja kontrak yang berkhidmat sekurang-kurang lima tahun ke jawatan tetap.Katanya, sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kontrak pekerja berkenaan perlu disambung selain pengambilan pekerja kontrak baharu tidak diteruskan lagi."Saya kesal kerana ada agensi yang menamatkan pekerja mereka dan melantik pekerja baharu sebab mereka dapat membayar gaji yang murah kepada pekerja baharu," ujarnya.

CUEPACS PANDANG SERIUS TINDAKAN KERAJAAN BERHENTIKAN PEKERJA KONTRAK

Bernama
14/12/2012


KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius tindakan agensi kerajaan yang memberhentikan pekerja kontrak terutama yang telah berkhidmat selama 10 tahun.

Sambil menyifatkannya sebagai zalim, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang juga pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (GAKUM), berkata pihaknya kesal bahagian sumber manusia dalam setiap agensi berkenaan tidak mengambil berat perkara itu.


"Ini adalah perkara zalim. Mereka yang sudah berkhidmat 10 tahun memanglah gaji sudah mahal, maka majikannya mencari alasan mengatakan prestasi mereka tidak baik dan seterusnya tidak menyambung kontrak pekerja itu.


"Tetapi dalam masa dua bulan kakitangan kontrak baharu sudah dilantik," katanya pada sidang media sempena mesyuarat GAKUM di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas dekat sini Isnin.


Omar berkata Cuepacs memutuskan bahawa kesemua 45,000 kakitangan berstatus kontrak di semua sektor kerajaan hendaklah diserapkan ke jawatan tetap.


-- BERNAMA

12 November 2012

1MOCC EARAT HUBUNGAN PENJAWAT AWAM DENGAN SELURUH RAKYAT - KSN

Bernama
12/12/2012


PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Inisiatif Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Isnsin akan mengeratkan lagi hubungan antara 1.4 juta penjawat awam dengan seluruh rakyat di negara ini, sekaligus mencipta ekosistem yang harmoni.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata golongan penjawat awam perlu memastikan perkhidmatan yang ditawarkan itu mampu beroperasi seperti mana yang dihasratkan oleh pihak-pihak berkepentingan.

"Kita perlu memastikan agar tugas membina, mengumpul dan menyalurkan maklumat dan perkhidmatan yang akan diberikan kepada rakyat bukanlah terletak kepada pegawai khidmat pelanggan yang bertugas semata-mata.

"Malah setiap penjawat awam sama ada daripada kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional mahupun kumpulan sokongan bertanggungjawab bagi memastikan imej dan kewibawaan perkhidmatan awam negara sentiasa dipelihara dan dimartabatkan dalam hati dan sanubari rakyat Malaysia," katanya pada majlis perasmian itu.

Melalui 1MOCC, rakyat boleh menggunakan talian tunggal 03-8000 8000 untuk menyalurkan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan mengenai pelbagai agensi dalam perkhidmatan awam, yang beroperasi 24 jam sehari 365 hari setahun.

-- BERNAMA

08 November 2012

CUEPACS MINTA PAMPASAN DIBERI KEPADA ANGGOTA AGENSI PENGUATKUASA BERISIKO TINGGI

Bernama
8/11/2012



KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pampasan setimpal diberi kepada anggota agensi penguatkuasa yang berdepan risiko kecelakaan tinggi ketika bertugas.

Ia antara tujuh daripada 26 dasar yang dibangkitkan kongres itu pada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hujung bulan ini, kata presidennya, Datuk Omar Osman pada sidang akhbar Khamis.

Beliau berkata skim ex-gratia sedia ada tidak mesra penjawat awam, terutama agensi penguatkuasaan yang terpaksa bertarung nyawa dalam menjalankan tugas demi negara.

"Skim itu hanya memberi pampasan seandainya anggota terlibat mengalami kecederaan yang serius seperti putus tangan atau sebagainya. Untuk itu, mereka perlu diberi pampasan sewajarnya selain ganjaran insurans berkelompok memandangkan kerja yang dilakukan mereka berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata Cuepacs juga akan meminta kerajaan mengkaji semula skim gaji enam agensi penguatkuasa berisiko tinggi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara serta agensi penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) agar selaras dengan gred gaji penjawat awam lain.



-- BERNAMA

07 November 2012

GURU IJAZAH SECARA SEPARUH MASA, PJJ, BOLEH NAIK GRED DG41 TANPA TEMUDUGA

Bernama
7/12/2012


SEREMBAN, 7 Nov (Bernama) -- Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu menghadiri temuduga, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rabu.

Timbalan Perdana Menteri berkata guru berkenaan boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temuduga.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan calon guru yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian juga akan dilantik terus tanpa proses temuduga sebagai guru pelatih mulai tahun depan.

Bulan lepas beliau mengumumkan bahawa calon guru yang bakal dipilih ialah 30 peratus dalam kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam bidang perguruan.

Beliau berkata seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum 1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Okt.

Mereka akan ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bermula hari ini hingga 6 Dis, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2012 anjuran SPP di sini.

Beliau berkata bagi calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu mengemukakan permohonan kepada SPP bermula 1 Nov secara online, melalui portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA).

Bulan lepas Muhyiddin mengumumkan bahawa seramai 10,715 orang graduan IPGM dan IPTA yang telah dan bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan sekiranya berjaya dalam temuduga, akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Siswazah(PPS) Gred DG41.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha melaksanakan pakej kerjaya guru baharu dalam beberapa fasa bagi meningkatkan kualiti keguruan yang merangkumi usaha meningkatkan standard kemasukan, meningkatkan peluang pembangunan profesional berterusan mengikut keperluan individu.

"Ini membolehkan guru maju dalam kerjaya berdasarkan prestasi dan kompetensi, serta mewujudkan budaya kecemerlangan profesionalisme berasaskan teladan rakan setugas," katanya.

Bagi mengukuh laluan kerjaya guru, Timbalan Perdana Menteri menyarankan SPP supaya mengambil langkah pragmatik untuk mengekalkan bakat terbaik dan antara langkah itu ialah guru mengajar mengikut opsyen bagi meningkatkan motivasi dan prestasi serta peluang kenaikan pangkat.

Sebaliknya bagi memastikan profesion keguruan adalah terdiri dari kalangan yang terbaik, dasar pemisah hendaklah dilaksanakan secara berkesan sejajar dengan transformasi keguruan sebagai profesion pilihan, katanya.

Muhyiddin berharap hasil persidangan ini dapat dipertimbang sebagai input ke dalam laporan pembangunan pendidikan 2012-2025 yang sedang dikemaskini.

"Saya juga ingin mencadangkan bahawa hasil persidangan ini dapat diperinci untuk dijadikan pelan tindakan yang bersepadu melalui pelaksanaan satu makmal khusus dianggotai anggota dari Kementerian Pelajaran, SPP, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PEMANDU, MoF dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

"Saya berharap agar persidangan ini akan menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti idea-idea yang kreatif dan inovatif selaras dengan dasar transformasi negara bagi meningkatkan kualiti sistem pelajaran negara.

"Pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam perkhidmatan pelajaran yang berterusan, terutama dalam aspek peningkatan kemahiran dan latihan adalah penting kerana ia kunci utama kepada kecekapan perkhidmatan pelajaran," katanya.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tiga hari itu.



-- BERNAMA

KENAPA PERLU TAKUT DENGAN AES

Utusan Malaysia
7/11/2012

TELAH banyak yang diperkatakan berkenaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Pelbagai pihak meluahkan rasa tidak senang dengan pendirian Kementerian Pengangkutan yang mahu meneruskan pengunaan sistem tersebut.
Ahli Parlimen, persatuan pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna juga bersuara. Malah dalam Bisik-Bisik Awang Selamat juga membicarakan perkara sama. Hairannya kenapa penguatkuasaan AES ini harus ditentang dan dipolitikkan?
Pengunaan AES tidak harus dipertikaikan dan bagi saya ia harus diteruskan. Syabas kepada Menteri Pengangkutan kerana berkeras untuk meneruskan penggunaannya.
Kenapa harus takut kepada AES kalau kita memandu secara berhemah dan lupakah kita betapa pentingnya semua pihak menjaga keselamatan di jalan raya?
Bila angka kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat, semua pihak menuding jari kepada pihak berkuasa kerana tidak menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
Ironinya pihak sama juga yang menentang apabila sesuatu sistem penguatkuasaan demi menjaga keselamatan nyawa pengguna jalan raya diperkenalkan.
AES tidak perlu dipolitikkan. Ia hanya mempunyai satu matlamat dan tujuan iaitu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan membawa pemandu yang angkuh dan tidak tahu undang-undang ke muka pengadilan.
Mungkin mereka yang menentang ini ialah pelaku kesalahan jalan raya tegar. Kalau tidak mengapakah mereka bersungguh-sungguh menentang atau mencari jalan agar penggunaan AES ini ditangguhkan dengan alasan kebanyakan pemandu harus diberi masa untuk menyesuaikan diri.
Apakah ini bermaksud semua pemandu di negara ini buta undang-undang atau lulus lesen pemanduan mereka secara under table? Apakah pemandu-pemandu kita tidak diajar apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di jalan raya?Sebenarnya apa kena mengena penguatkuasaan AES dengan ahli politik? Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman pun bersuara agar penguatkuasaan ditangguhkan bagi membolehkan kakitangan awam menyesuaikan diri dengan sistem ini.Hakikatnya orang-orang sama juga melenting dan marah apabila setiap kali angka korban akibat kemalangan meningkat.

Saya juga pemandu dan jika saya bersalah, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri kerana memandu tidak mengikut peraturan dan melanggar undang-undang jalan raya. Ini adalah hakikatnya.Semua pemandu tidak harus menyalahkan pihak berkuasa jika mereka melakukan kesalahan baik di jalan raya atau dari apa segi sekalipun. Yang salah tetap salah dan harus berani menanggung akibatnya.Saya merayu kepada semua ahli politik, NGO dan persatuan-persatuan, jangan menentang sesuatu yang baik hanya kerana kita sebahagian daripada pelaku kesalahan yang ingin dibanteraskan.

Mungkin dengan penggunaan AES ini, nyawa tuan-tuan atau keluarga tuan-tuan dapat diselamatkan daripada menjadi sebahagian daripada angka korban jalan raya di negara ini. Berani kerana benar, takut kerana salah.

06 November 2012

Bomba tidak langgar SOP

Chee Heung (kiri); Wan Mohd Nor  (dua dari kanan) dan Azmi (kanan) melihat  kecederaan  dialami anggota bomba, Mohd Zaki Daud dalam  kebakaran kilang tayar, kelmarin. Berita Harian
6/11/2012
 
 
 
 
Chee Heung (kiri); Wan Mohd Nor (dua dari kanan) dan Azmi (kanan) melihat kecederaan dialami anggota bomba, Mohd Zaki Daud dalam kebakaran kilang tayar, kelmarin.
Kota Bharu: Tiada sebarang pelanggaran standard prosedur operasi (SOP) dalam kebakaran yang mencederakan 10 anggota bomba, termasuk lima parah ketika memadamkan kebakaran di Pengkalan Chepa, di sini, pagi kelmarin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata tugas dilaksanakan anggota terbabit adalah mengikut arahan pegawai dan dilakukan secara profesional.
“Walaupun punca kemalangan itu masih dalam siasatan, dari segi SOP, pegawai dan anggota terbabit berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang. Jika tiada pengalaman, sudah tentu keadaan lebih teruk.



Iktiraf jasa bomba


“Dengan jasa mereka yang sanggup menggadai nyawa, rakyat seharusnya memberi pengiktirafan kepada anggota terbabit,” katanya ketika melawat anggota bomba yang cedera di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Arpah Abdul Razak; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim; Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman.

Chee Heung mengulas mengenai lima anggota bomba termasuk seorang wanita cedera parah apabila tangki minyak pelincir meletup ketika mereka memadamkan api di sebuah kilang tayar di Pengkalan Chepa, pagi kelmarin.
Lima yang cedera parah itu disebabkan berlaku letusan api menjulang setinggi 30 meter dari tangki ketika operasi bomba hampir tamat hingga menyebabkan mereka cedera disambar api.


Syor insurans khas disegerakan


Chee Heung berkata, daripada lima orang itu, tiga serius namun stabil, dengan seorang dirawat di HUSM, manakala dua lagi di HRPZ II akibat melecur pada anggota badan.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS mahu kerajaan menyegerakan kemudahan insuran khas kepada anggota beruniform yang bertugas dalam keadaan berisiko tinggi.

KAJIAN KENAIKAN AGJI PENJAWAT AWAM HAD MAKSIMUM BERGANTUNG PERAKUAN SURUHANJAYA KHAS - KSN

Bernama
6/11/2012


LANGKAWI, 6 Nov (Bernama) -- Kajian terhadap kenaikan gaji penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum akan hanya dijalankan sekiranya Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam selesai Disember ini, tetapi tidak membuat sebarang cadangan mengenainya.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata Suruhanjaya Khas itu telah pun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan hasilnya akan dibentang Disember ini.
"Kita lihat apa idea baru Suruhanjaya itu. Jika tiada pembaharuan, kita akan mulakan kajian (kenaikan gaji) mulai Disember ini juga," katanya kepada Bernama semasa ditanya mengenai perkembangan terhadap kajian gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga maksimum.

Beliau baru-baru ini mengumumkan kajian itu tertumpu kepada penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum, daripada dua hingga lima peratus dan akan diberi kepada mereka yang memperoleh markah penilaian dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 80 peratus.


Ali ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan kali ke-29 di sini semalam.


-- BERNAMA

05 November 2012

KSN CABAR PENJAWAT AWAM BERI IDEA TINGKAT KECEKAPAN JABATAN

Bernama
5/11/2012


LANGKAWI, 5 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa mencabar penjawat-penjawat awam agar berani memberi pandangan atau idea bagi mempertingkat kecekapan operasi peringkat jabatan dan sekaligus mengurangkan pergantungan pada kajian konsultan.

Katanya, sejak akhir-akhir ini banyak jabatan kerajaan mendapatkan khidmat konsultan swasta untuk membuat kajian bagi meningkatkan kecekapan dan kelicinan operasi mereka.


"Kita ada KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif) yang seharusnya digunakan bagi menghasilkan projek inovasi selain dijadikan platform untuk mengenalpasti projek yang boleh melonjak mutu perkhidmatan awam ke tahap lebih baik.


"Idea-idea mereka bukan sekadar dibentangkan dalam pertandingan malah wajar ada usahasama antara jabatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan untuk dimanfaatkan demi kepentingan bersama," kata Ali dalam ucapan merasmikan konvensyen KIK peringkat kebangsaan ke-29 di sini.


Menurutnya kerjasama antara agensi-agensi kerajaan sebagai contoh mengatasi kelembapan proses kelulusan lesen sektor pembinaan yang mengambil masa sehingga 140 hari dipendekkan sehingga 20 hari.


-- BERNAMA

04 November 2012

KERAJAAN TAMBAH BAIK PBS

Utusan Malaysia
Muhyiddin Yassin menerima Resolusi Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada Presiden NUTP, Hashim Adnan (tiga dari kiri) pada Perhimpunan Khas Guru anjuran NUTP di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan daripada guru-guru.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik."Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti kelewatan dan data komputer.
"Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Khas NUTP, di sini hari ini.Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga pengajar.
Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025."Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk dilaksanakan kita akan lakukan."Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil perbincangan dengan NUTP," katanya.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang maju. 

"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025."Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.

02 November 2012

280,000 PENJAWAT AWAM DAPAT NAIK GAJI MAKSIMUM

Bernama
2/11/2012


IPOH 1 Nov. - Semakan kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus bagi sektor awam bermula tahun depan hanya melibatkan kira-kira 280,000 orang atau 20 peratus daripada 1.4 juta kakitangan kerajaan yang telah mencapai tangga gaji maksimum tahun ini.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, perkara itu memandangkan kumpulan berkenaan yang sepatutnya menerima lonjakan gaji dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kembali menerima tangga gaji maksimum selepas pelarasan gaji sebanyak 13 peratus ekoran pembatalan sistem itu.

Keadaan itu tambah beliau, menyebabkan gaji mereka menjadi statik sekiranya tiada kenaikan pada 2013 sedangkan penjawat awam lain akan menerima kenaikan tahunan seperti biasa sepanjang tempoh interim Sistem Saraan Malaysia (SSM) sehingga skim baharu yang menyeluruh dirangka kelak."Perkara ini dinyatakan sendiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa yang menjelaskan kenaikan itu bukan melibatkan sektor awam secara keseluruhannya.

"Namun, kita menyambut baik usaha kerajaan ini kerana prestasi kerja golongan berkenaan akan terjejas sekiranya mereka tidak menerima kenaikan gaji pada tahun depan," katanya.Beliau ditemui pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Air Perak (LAP) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, di sini hari ini.Beliau mengulas kenyataan Ali semalam bahawa kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.Kajian itu dibuat bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
Omar berkata, CUEPACS juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung isu itu pada minggu depan.

"Tidak semua penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sehingga lima peratus. Kita perlu bincang siapa yang akan dapat maksimum lima peratus dan siapa akan dapat dua peratus," katanya.Mengulas berhubung kumpulan berkenaan, beliau berkata, mereka terdiri daripada semua peringkat daripada Gred 1 hingga Gred 54 dan ada antara mereka mempunyai tempoh perkhidmatan selama 10 dan 20 tahun lagi.

"Ada yang berkhidmat 10, 15 dan 20 tahun tetapi tidak naik gaji kerana sudah maksimum. Kalau sekarang mereka dapat kenaikan 13 peratus tetapi pada tahun depan sudah maksimum kembali," ujarnya.

01 November 2012

Gaji naik tahun depan

Berita Harian
2012/11/01 - 06:42:26 AM
Oleh Nurhasyima Hasim



 KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Sri Dr Ali Hamsa (kiri) menyampaikan trofi bagi kategori Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh (kanan) yang mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, pada majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam - Foto BERNAMA 
KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Sri Dr Ali Hamsa (kiri) menyampaikan trofi bagi kategori Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh (kanan) yang mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, pada majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam - Foto BERNAMA


 1.4 juta kakitangan awam dijangka terima kenaikan sehingga 5 peratus

Ayer Keroh: Kira-kira 1.4 juta kakitangan perkhidmatan awam dijangka menerima kenaikan gaji tahunan sehingga lima peratus mulai tahun depan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata skim gaji kakitangan awam yang masih dalam kajian itu bakal merentasi semua peringkat.

Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara

Katanya, laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam yang akan menamatkan penilaian pada 31 Disember ini akan turut diambil kira.

Nilai semula

“Proses penilaian semula skim gaji itu sudah bermula, namun penelitian secara mendalam hanya akan dilakukan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2011 dan Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara Bersama Penjawat Awam negeri ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.
Pada majlis itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka memenangi Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT), manakala Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah merangkul Anugerah Inovasi Pentadbiran Daerah dan Tanah (AIPDT).

Kejayaan itu sekali gus melayakkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM300,000, trofi dan sijil penghargaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Datuk Mohamad Zabidi Zainal dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

CUEPACS sambut baik

Mengulas lanjut, Ali berkata, antara fokus utama dalam kajian itu adalah melihat semula skim kenaikan gaji tahunan bagi kakitangan yang sudah mencapai tahap gaji terakhir mengikut kategori masing-masing.

“Kita akan melihat semula perkara itu termasuk mungkin menetapkan tempoh lebih panjang supaya gaji kakitangan akan terus naik.

“Jika mereka mencapai tempoh untuk kenaikan pangkat, ia akan lompat kepada gred lain dan kenaikkannya juga akan diteruskan lagi,” katanya.

Ali berkata, kerajaan berharap akan dapat mewujudkan formula skim gaji menang-menang bagi setiap kakitangan khususnya penjawat pelaksana yang meliputi 80 peratus daripada keseluruhan sektor itu.

“Kita perlu berhati-hati melihat skim perkhidmatan awam ini supaya tiada siapa yang tertinggal. Kita mahu formula menang-menang untuk semua kerana memahami kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, ketika dihubungi berkata, pengumuman itu sudah pasti melegakan hati penjawat awam di negara ini.

“Kami menyambut baik cadangan KSN itu, tetapi masih berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan CUEPACS sebelum ini, khususnya berkaitan tangga gaji golongan itu mengikut tempoh kerja mereka,” katanya.

KERAJAAN KAJI SEMULA SKIM GAJI PENJAWAT AWAM MULAI TAHUN DEPAN

Bernama
31/10/2012
MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.


"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Rabu.


Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.


Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.


"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.


-- BERNAMA