SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Mei 2013

10,000 PETUGAS DBKL BAKAL MILIKI RUMAH MAMPU MILIK

Bernama
27/5/2013


KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kira-kira 10,000 petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal memiliki kediaman sendiri melalui projek perumahan mampu milik, bertujuan meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata inisiatif ini sebagai menghargai petugasnya yang berkhidmat cemerlang sehingga meletakkan DBKL di tahap yang membanggakan.

"Sebuah kawasan perumahan berharga kira-kira RM150,000 seunit dengan keluasan 1,000 hingga 2,000 kaki persegi telah pun didirikan di Cheras.

"Keutamaan akan diberikan kepada kakitangan yang masih belum mempunyai rumah sendiri, tidak terlibat dengan mana-mana pinjaman perumahan serta tidak pernah dikenakan tindakan disiplin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan hari pekerja peringkat DBKL di sini Isnin.

Majlis bertemakan 'Prihatin dan Khidmat Murni Tunggak Bakti Kami' itu diadakan bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada petugas DBKL yang komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kota.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Ahmad Phesal berkata sebuah lagi projek perumahan akan dibangunkan di Sungai Besi yang turut dibuka permohonannya kepada orang awam bagi memberi peluang sama rata kepada golongan kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, Omar mahu pihak berkuasa tempatan lain agar mencontohi usaha DBKL yang mengutamakan kebajikan petugasnya melalui pengenalan inisiatif tersebut.



-- BERNAMA

25 Mei 2013

TUNTUAN SELARAS GAJI, GRED HAMPIR SIAP

Berita Harian
25/5/2013

Syor CUEPACS babitkan tujuh badan beruniform awam

Kuala Berang: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kini pada peringkat akhir merangka kertas kerja untuk memuktamadkan cadangan pelarasan skim gaji dan gred baru bagi kakitangan tujuh badan beruniform sektor awam.

Sebaik siap, ia akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Tuntutan itu merangkumi penyelarasan gred dan gaji kakitangan lebih 100,000 penjawat awam tujuh badan beruniform berikutan bidang tugas yang semakin mencabar dan berisiko tinggi” Omar Osman, Presiden CUEPACS

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata tuntutan itu merangkumi penyelarasan gred dan gaji kakitangan lebih 100,000 penjawat awam tujuh badan beruniform berikutan bidang tugas yang semakin mencabar dan berisiko tinggi.

Beliau berkata, penyelarasan itu membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Penjara, Jabatan Imi-gresen dan pihak berkuasa tempatan.

Tuntutan berbeza

Katanya, setiap kesatuan badan beruniform sudah menghantar memorandum dan kertas kerja tuntutan masing-masing sebelum diselaraskan CUEPACS dan diserahkan kepada kerajaan untuk pertimbangan.
“Kita dapati kertas kerja diserahkan kepada CUEPACS oleh kesatuan setiap badan beruniform mengandungi tuntutan berbeza.

“Jadi, kita perlu selaraskan selepas perjumpaan dengan KSN, Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebulan lalu.

“Pelarasan gred dan skim gaji baru ini perlu berikutan bidang tugas anggota dan kakitangan badan beruniform ini jauh lebih mencabar dan berisiko berbanding dulu.

“Sebagai contoh, dalam kes membabitkan kakitangan KDRM, JPJ dan Imigresen ada yang hingga menyebabkan kecederaan, disimbah asid, patah gigi, manakala JBPM pula perlu memadam kebakaran di bangunan tinggi dan berisiko,” katanya selepas bengkel khas anggota beruniform sektor awam di Akademi BOMBA Wakaf Tapai di sini, semalam.

Omar berkata, pihaknya mahu melihat keseragaman semua badan beruniform, termasuk penetapan pangkat kerana setakat ini tiada kesamarataan berikutan terikat dengan akta badan beruniform berkenaan.

Sementara itu, Omar turut mengingatkan penjawat awam tidak menghadiri mana-mana demonstrasi termasuk bantahan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dianjurkan pihak tertentu.

24 Mei 2013

KPDNKK, CUEPACS PERLU DIDIK MASYARKAT CELIK KEPENGGUNAAN

Bernama
24/5/2013

KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) harus berperanan mendidik masyarakat Malaysia, khususnya di Sabah agar celik isu kepenggunaan.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan berkata langkah itu bagi mengelak masyarakat daripada terpengaruh dengan sebarang naik turun harga ekoran pasaran bebas dunia.

"Kenaikan harga ini akan memberi kesan terhadap barangan keperluan dan perkhidmatan kepada pengguna. Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha membantu masyarakat untuk mengurangkan kos perbelanjaan harian.

"Kenaikan harga seperti bahan api di pasaran dunia telah menyebabkan kerajaan menstruktur semula harga runcit minyak di Malaysia," katanya pada penutupan seminar kepenggunaan sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 peringkat negeri Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Abu Bakar berkata kerajaan melalui pejabat KPDNKK telah melaksana pelbagai insentif untuk rakyat seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M), Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) dan Kad Diskaun Skuad Pengguna (SP).

Kerajaan juga katanya telah membuat penyeragaman harga barangan kawalan untuk masyarakat luar bandar dengan melantik pembekal untuk menghantar terus barangan kawalan tersebut.

23 Mei 2013

CUEPACS MAHU KERAJAAN KAJI SISTEM GRED PASUKAN UNIFORM

Utusan Malaysia
23/5/2013



MARANG 23 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengkaji semula skim gred dan kenaikan pangkat tujuh pasukan beruniform, bersesuaian dengan risiko yang dihadapi mereka sekarang.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata anggota pasukan terbabit bukan sahaja berdepan risiko kecederaan ketika menjalankan tugas tetapi juga kehilangan nyawa.

"Skim gred jawatan ini juga perlu dinaikkan kerana anggota beruniform yang telah menjalani latihan kemahiran khas, contohnya anggota bomba selama enam bulan, tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang tidak melalui latihan intensif khas."Kerajaan juga diharap dapat menyelaraskan skim gred dan kenaikan pangkat untuk semua tujuh agensi badan berkenaan supaya seragam, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan belia menyertai kerjaya profesional itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Omar yang ditemui selepas perasmian penutupan Bengkel Khas Anggota Beruniform Sektor Awam, berkata Cuepacs akan mengemukakan cadangan mengenai perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara, selepas menyelaras semua syor yang diterimanya daripada agensi terbabit.

Agensi dan jabatan terbabit ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Pengangkutan Jalan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Pihak Berkuasa Tempatan dan Penguasa Penjara.

Jika dilaksana, skim itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 warga kerja.Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan ada penjawat awam menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan pihak pembangkang sejak akhir-akhir ini, Omar menjawab: "Berani buat berani tanggung." - BERNAMA

22 Mei 2013

CUEPACS GESA BOIKOT AIRASIA

Kiri Omar Osman, Saharuddin 
 
KUALA LUMPUR 21 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot perkhidmatan penerbangan AirAsia ataupun menjadikan syarikat penerbangan itu sebagai pilihan terakhir untuk ke mana-mana destinasi.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah ini susulan daripada aduan dan rungutan orang ramai terhadap perkhidmatan AirAsia yang jelas tidak memuaskan.

"Saya minta setiap ketua jabatan di dalam sektor awam turut menjadikan syarikat penerbangan lain seperti Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan Firefly sebagai pilihan utama mereka untuk sebarang urusan rasmi kakitangan mereka sama ada di dalam mahupun ke luar negara."Kuasa pengguna daripada 1.4 juta kakitangan awam mampu memberi kesan kepada AirAsia, jadi saya minta semua kakitangan awam membuktikannya terutama pada musim cuti sekolah nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kecaman beberapa persatuan pengguna terhadap mutu perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia yang mengecewakan serta sikap sambil lewa khususnya dalam memberi penjelasan dan pertolongan kepada penumpang yang berdepan masalah.

Presiden Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak), Saadon Aris turut bersetuju supaya kakitangan kerajaan menjadikan AirAsia sebagai pilihan terakhir untuk sebarang urusan penerbangan rasmi mahupun peribadi mereka."Sememangnya terdapat banyak aduan berhubung perkhidmatan dan layanan daripada AirAsia yang tidak memuaskan, jadi saya minta kakitangan awam negara ini menilai semula pilihan mereka sekiranya perlu menggunakan perkhidmatan penerbangan.

"Kini pengguna mempunyai beberapa pilihan lain termasuk kemunculan syarikat penerbangan tempatan terbaharu, Malindo Air. Malah sebagai kakitangan awam, mereka juga boleh mengutamakan perkhidmatan MAS dan Firefly yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC)," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya memberitahu, pihaknya juga sering mendapat rungutan daripada pengguna berhubung perkhidmatan AirAsia yang diragui dan mengelirukan."Dalam hal ini saya menggesa orang ramai supaya menggunakan sepenuhnya kuasa pengguna. Mereka berhak untuk memilih perkhidmatan yang terbaik malah di negara ini beberapa syarikat turut menawarkan perkhidmatan penerbangan yang jelas lebih baik berbanding AirAsia.

KAJI SKIM, GRED GAJI ANGGOTA PENJARA

Sinar Harian
Wartawan Sinar Harian 22 Mei 2013 
 
 
Kaji skim, gred gaji anggota penjara Omar pada sidang media di Penjara Seremban, semalam.
 
 
SEREMBAN - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan mengkaji semula skim dan gred gaji penjawat awam yang berkhidmat di penjara di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, skim penjawat awam yang berkhidmat di penjara jauh ketinggalan ke belakang dan tidak relevan kini.

“Skim gaji dan gred pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun diselaraskan.

“Namun, kakitangan dan pegawai penjara masih terbelenggu dengan skim gaji 15 tahun lalu dan ianya tidak relevan dengan tanggungjawab dan peranan mereka yang amat besar,” katanya pada sidang media selepas melawat Penjara Seremban, semalam.

Menurutnya, antara tuntutan Cuepacs kepada kerajaan ialah menaikkan insentif khas, elaun guru kemahiran, elaun kerja lebih masa dan mengkaji gred, pangkat, dan gaji kakitangan dan pegawai termasuk pengarah yang dilihat amat rendah dan tidak munasabah.

“Kita mahu bayaran insentif khas sebanyak RM100 seorang setiap bulan dinaikkan kepada RM300. Bayaran RM100 sebelum ini amat sedikit berbanding tugas mereka yang amat berisiko bagi memastikan keselamatan banduan.

“Elaun guru kemahiran sebanyak RM60 juga tidak wajar dan kita mencadangkan ianya dinaikkan kepada RM200 sebulan kerana tenaga pengajar di penjara mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang,” katanya.

Omar berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula pekeliling Bab G 14-16 yang tidak membenarkan kakitangan dan pegawai penjara menuntut bayaran kerja lebih masa.

Katanya, semua anggota yang berkhidmat di penjara wajar untuk mendapatkan bayaran kerja lebih masa.

“Bukan sahaja pekeliling bayaran kerja lebih masa perlu dikaji semula malah skim gred gaji dan jawatan anggota termasuk pengarah juga perlu turut dikaji.

“Gred pengarah penjara ialah KX48 dan ianya amat rendah berbanding dengan pasukan keselamatan yang lain sedangkan tugas mereka amat penting bagi memastikan keselamatan anggota dan banduan.

“Gred tersebut tidak setimpal dengan bebanan tugas mereka dan saya minta gred skim mereka disemak secara drastik,” katanya.

Menurut Omar, kesemua tuntutan tersebut perlu dilaksanakan tahun ini juga sekali gus akan menggembirakan lebih 13,000 kakitangan penjara di seluruh negara.

21 Mei 2013

GRED GAJI BAKAL DISELARAS

Sinar Harian
JANATUL FIRDAUS YAACOB 21 Mei 2013
Gred gaji bakal diselaras Khusrin menyampaikan plak penghargaan kepada warga kerja cemerlang MBSA.

SHAH ALAM – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjanjikan penyelarasan gred gaji selepas penstrukturan semula pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi berkata, jaminan isu-isu dibangkitkan akan diambil tindakan terutamanya melibatkan isu perjawatan kontrak dan PBT.

“JPA menjanjikan penstrukturan semula tiga PBT di Selangor sebelum menyelesaikan masalah penyelarasan gred jawatan daripada kontrak kepada perjawatan tetap.

“Penyelarasan gred jawatan akan dilaksanakan setelah penstrukturan dalam majlis perbandaran dilakukan,” katanya.

Menurut Khusrin, JPA telah mengakui dan mengiktiraf majlis perbandaran di Selangor kerana ia tidak boleh dibandingkan dengan majlis perbandaran di negeri lain.

“Kerana ini bergantung pada jumlah penduduk, pendapatan dan permasalahan berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA).

Seramai 101 warga kerja MBSA dari pelbagai peringkat jawatan dan bahagian telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang, tiga orang warga kerja menerima Anugerah Khas Datuk Bandar dan lima orang menerima Anugerah Khidmat Setia iaitu berkhidmat melebihi 25 tahun.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Atan berkata, komitmen dan kesungguhan yang diberikan warga kerja MBSA dalam meningkatkan sistem penyampaian amat membanggakan.

“Tahun lalu, MBSA menerima sebanyak 18 pengiktirafan antaranya, Anugerah Khas pada Pertandingan Cabaran Meningkat Prestasi PBT Melalui Projek Inovasi Bertajuk

“Memproses Permohonan Kelulusan Pelan Cadangan Banglo Baru (Individu) daripada 60 hari kepada sehari” pada Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (JPPBT).

“Selain itu, tempat kedua (Kategori Kumpulan Kecil – Lesen 1 Jam ), Anugerah Inovasi Sektor Awam Selangor Sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi Selangor,” katanya.

20 Mei 2013

NIKMATI FAEDAH BARU: CUEPACS

Utusan Malaysia

Oleh Mohd Roji Kawi




Sibu: Kakitangan awam dijangka menikmati beberapa faedah baru yang lebih baik selepas permohonan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendapat perhatian serius Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden II CUEPACS, Zainal Ismail, berkata antara keperluan utama yang mereka minta ialah kenaikan kadar elaun perumahan, elaun sara hidup serta kajian
semula kemudahan pembelian rumah. 
 
Beliau berkata, difahamkan Perdana Menteri sudah meneliti permohonan CUEPACS itu dan dijangka membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.


Elaun perumahan

Kita sudah lama memperjuangkan elaun perumahan yang kini berjumlah RM180. Jumlah elaun perumahan yang kita terima sekarang terlalu kecil dan mahu ia diselaraskan menjadi RM450.

Perdana Menteri sudah mempertimbangkan secara serius permohonan kita itu kerana beliau juga mengutamakan isu kebajikan kakitangan awam, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Pekerja 2013 anjuran Kesatuan Pekerja, Lembaga Air Sibu (SWB), malam kelmarin.
Turut hadir, Pengurus Besar SWB, Daniel Wong Park Ing dan Presiden Kesatuan Pekerja SWB, Mohd Zainoren Arshad.

TIMB. PRESIDEN II Zainal berkata, CUEPACS juga mahu elaun sara hidup atau COLA diselaraskan.

CUEPACS TUNTUT PENJELASAN

Berita Harian
17/5/2013



Putrajaya: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai penggabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi menjadi satu kementerian.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya berharap dapat menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut menerajui Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi yang baru diwujudkan itu. 

Kebajikan kakitangan
 
Isu ini dibangkitkan Gabungan Majlis Presiden Dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (GAKUM) kerana kurang jelas dan bimbang penggabungan itu menjejaskan kebajikan pekerja sokongan.
Penggabungan dua kementerian ini turut membabitkan kebajikan pekerja di dua kementerian.
Ketika ini skim perjawatan masih di bawah selian kementerian berlainan dan kita tidak mahu kebajikan pekerja terjejas kerana tidak jelas dengan penggabungan ini, katanya, di sini, semalam.

SAF JEMAAH MENTERI MANTAP DAN MEYAKINKAN - NGO

Bernama
15/5/2013


KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Saf jemaah menteri yang mantap dan meyakinkan, demikian pendapat badan pejuang pekerja dan pesara terhadap barisan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata gandingan muka lama dan muka baharu, pertukaran portfolio dan penjenamaan semula nama beberapa kementerian merupakan satu langkah sistematik yang mampu menonjolkan lagi peranan kementerian masing-masing.

"Pembentukan kabinet kali ini dilihat mantap, gandingan individu yang berpengalaman dan berpengetahuan tinggi.

"Ianya satu kabinet yang meyakinkan dan pasti akan bergerak lebih agresif dan proaktif untuk menyentuh segenap lapisan masyarakat, baik penjawat awam mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini," katanya kepada Bernama.

Beliau turut memuji langkah kerajaan menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu portfolio diterajui pemimpin kedua tertinggi negara iaitu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan lebih terperinci dan efisien untuk sistem pendidikan negara.

Omar juga berkata penjenamaan semula nama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga dilihat gabungan sesuai dalam memainkan peranan secara lebih meluas di bawah bidang sistem maklumat yang menjadi keperluan utama negara kini.

"Ia (kementerian) itu juga dapat menjadi rujukan khusus pada penjawat awam di bawah bidang kerja komunikasi dan teknologi maklumat," katanya, sambil berharap kesemua menteri yang dilantik dalam kementerian yang dibentuk hari ini memainkan agenda menyeluruh kepada rakyat dan tidak terhad kepada kementerian masing-masing sahaja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berkata kabinet baharu menampilkan ramai golongan teknokrat yang berpengalaman untuk kelancaran pentadbiran negara.

"Kabinet kali ini juga menampilkan gabungan muka baharu dari golongan muda yang amat bersesuaian dengan senario semasa dan boleh memainkan peranan positif terutama dalam meyakinkan dan memahami golongan berkenaan," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata golongan muka baharu yang dilantik akan membawa jiwa baharu kepada perjalanan sistem pentadbiran Malaysia.

"Golongan muka baharu ini biasanya dia punya pandangan terbuka jadi dapatlah mengaplikasikan cara baharu untuk mengatasi kekurangan terdahulu," katanya.

Wan Mahmood turut melahirkan harapan agar Menteri Kesihatan baharu, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Pembangunan, Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim memberi tumpuan dan tidak meminggirkan golongan pesara yang kebanyakannya adalah golongan veteran yang berusia.

"Selain itu kita harap semua menteri yang baharu dilantik ini akan membawa kemajuan bukan sahaja kemajuan kebendaan tetapi juga kemajuan spiritual untuk membawa Malaysia ke arah masa depan lebih makmur dan maju," katanya.

-- BERNAMA

15 Mei 2013

CUEPACS MINTA KEMENTERIAN ICT DIWUJUDKAN

Utusan Malaysia
15/5/2013

KLUANG 14 Mei - Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi perlu dibentuk dalam Kabinet baharu bagi memastikan bidang itu diletak di bawah perhatian dan dasar khusus.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, langkah itu juga bagi memastikan bidang tersebut dapat diselaras di bawah badan induk sekali gus menjadikannya teratur dan sistematik.
"Ketika ini, kita tidak mempunyai kementerian atau jabatan khas untuk menempatkan segala perkara berkaitan ICT. Dalam masa sama, kita mempunyai lebih 15,000 pegawai sistem maklumat di seluruh negara yang perlu diberi perhatian secara khusus," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah (Pendidikan) Semenanjung Malaysia Cawangan Kluang 2013 Ke-18 di Pejabat Pelajaran Daerah, di sini hari ini.

05 Mei 2013

CUEPACS TOLAK DAKWAAN KETUA PEMBANGKANG

Utusan Malaysia
5/5/2013


KUALA LUMPUR 4 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak keras dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya para penjawat awam sering dibelenggu oleh campur tangan politik kerajaan, isu kemajuan kerjaya dan masalah kebajikan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, tuduhan Anwar itu adalah dakyah politik pembangkang semata-mata kerana para penjawat awam kini menikmati pelbagai kemudahan dan penambahbaikan dalam kerjaya masing- masing.
Oleh itu, katanya, para penjawat awam serta pesara kerajaan diseru supaya menolak dakwaan Anwar yang disebar melalui sepucuk surat terbuka Ketua Pembangkang itu kepada segelintir penjawat awam yang diedar mulai semalam.
Menurut beliau, kesemua dakwaan Anwar merupakan satu pembohongan semata-mata kerana sejak pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan era Datuk Seri Najib Tun Razak kini, sektor perkhidmatan awam telah melalui 22 penambahbaikan.
"Sebanyak 22 penambahbaikan terutama dari segi perkembangan kerjaya, skim perumahan kerajaan, skim gaji dan pelbagai lagi melalui penambahbaikan di bawah Najib serta kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Jadi segala dakwaan Anwar itu adalah tidak benar dan CUEPACS menyanggah sama sekali kenyataan tidak berasas itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas sepucuk surat daripada Anwar bertarikh 3 Mei yang meminta sokongan para penjawat awam dengan cara membuat tuduhan terhadap BN dan memburukkan kerajaan.
Difahamkan, surat tersebut diedar kepada para penjawat awam di bawah skim DG44 serta warga Universiti Malaya di ibu kota.
Omar menambah, dakwaan mengatakan kerajaan BN melakukan campur tangan politik dalam kehidupan para penjawat awam adalah tidak berasas kerana kerajaan membenarkan mereka terlibat dalam mana-mana parti dengan syarat tidak melakukannya ketika waktu bekerja.
"Urusan CUEPACS dengan kerajaan juga semakin mudah kerana dalam setahun, saya berpeluang mengadakan tiga atau empat kali pertemuan dengan Perdana Menteri.
"Ini berbeza dengan satu ketika dahulu apabila Presiden CUEPACS hanya boleh bertemu Perdana Menteri sekali setahun dan itu pun hanya pada Hari Pekerja, 1 Mei. Kini banyak permasalahan penjawat awam boleh disampaikan terus kepada Perdana Menteri," katanya.

GAJI MATI TINGGAL SEJARAH MENERUSI SISTEM SARAAN TRANSFORMATIF - KSN

Bernama
5/5/2013



 MUAR, 2 Mei (Bernama) -- Gaji maksimum atau gaji mati dalam kalangan penjawat awam disifatkan tinggal sebagai sejarah selepas kerajaan memperkenal Sistem Saraan Transformatif baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kini tiada lagi gaji maksimum untuk penjawat awam selepas kerajaan memperkenal pergerakan gaji khas tiga peratus setiap tahun.

"Kalau gaji sudah sampai mata akhir, setiap tahun akan dapat kenaikan tiga peratus sampai pencen. Dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, gaji penjawat awam juga akan meningkat mengikut kadar pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia Daerah Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota di Muar, Khamis.

Beliau berkata ini merupakan penambahbaikan kerana sebelum ini penjawat awam yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum hanya boleh menikmati pertambahan gaji apabila dinaikkan pangkat.

"Sedangkan dalam sistem piramid, tidak banyak jawatan untuk kenaikan pangkat," katanya.

Berita baik itu merupakan antara inisiatif Sistem Saraan Transformatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 11 Mac lepas, yang juga menghadiahkan penjawat awam satu kenaikan gaji tahunan pada 1 Julai ini.

Mengenai Sarana Guru Muda 1Malaysia, Ali berkata guru berusia 23 hingga 40 tahun dilihat sebagai ejen penggerak dan pemacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Katanya, seramai 204,254 guru atau 49.5 peratus daripada jumlah keseluruhan guru di Malaysia boleh mengemukakan idea, kreativiti, inovasi, bakat dan penampilan dalam bidang masing-masing bagi menjayakan PPPM.

Sarana merupakan inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan masyarakat, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

--BERNAMA

02 Mei 2013

KENAIKAN ELAUN PENJAWAT AWAM MASIH DIBINCANGKAN - KSN

Bernama
2/5/2013



NILAI, 1 Mei (Bernama) - Semua tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), untuk menambah baik elaun yang diterima penjawat awam masih pada peringkat perbincangan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
Katanya, perbincangan dari semasa ke semasa itu melibatkan Cuepacs dan agensi lain berkaitan.

"Perbincangan itu termasuklah Elaun Sara Hidup (COLA) dan lain-lain yang diminta Cuepacs. Isu bagi penjawat awam yang tinggal di kuarters (yang meminta dibayar penuh elaun COLA) dan mereka yang duduk rumah sendiri pula akan ada tuntutan lain.

"Malah, kenaikan imbuhan (elaun) tetap perumahan juga dibincangkan bagaimana pun semuanya berdasarkan kepada kewangan semasa kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan, di sini Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Ali mengulas mengenai tuntutan Cuepacs baru-baru ini, berhubung beberapa cadangan kenaikan elaun penjawat awam, antaranya Imbuhan Tetap Perumahan, Cola, tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.

Beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa telah melakukan penambahbaikan dan penyelarasan gaji penjawat awam dengan terbaharu, pergerakan khas gaji sebanyak tiga peratus bagi yang mencapai tahap gaji maksimum.

Selain itu katanya, kerajaan telah melakukan keserataan pangkat pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang sekali gus akan melonjakkan transformasi perkhidmatan awam.

Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata, Cuepacs akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tiada lagi penjawat awam berstatus kontrak menjelang tahun 2015.

Katanya, semua penjawat awam yang berstatus kontrak perlu diserap ke jawatan tetap atau dilantik ke jawatan lain demi meningkatkan imej perkhidmatan awam negara ini.

-- BERNAMA

01 Mei 2013

PERTUKARAN KERAJAAN TIDAK JAMIN KESINAMBUNGAN PERKHIDMATAN AWAM CEMERLANG

Bernama
1/5/2013
Oleh Zairulliati Mali & Abdul Aziz Harun


PUTRAJAYA, 1 Mei (Bernama) -- Majoriti kalangan penjawat awam di sini berpendapat pertukaran kerajaan sedia ada belum tentu dapat menjamin kesinambungan dalam kecemerlangan perkhidmatan awam.

Ini kerana dalam aspek menjaga kebajikan para pegawai awam, tiada pihak lain yang dilihat dapat menandingi rekod cemerlang kerajaan sedia ada.

"Kebanyakan penjawat awam selesa dengan kerajaan sedia ada kerana mereka mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas, selain sentiasa ikhlas menjaga kebajikan kakitangan," kata Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi, 32.

Beliau yang menyertai sektor perkhidmatan awam sejak enam tahun lepas berkata, berbeza dengan kerajaan sedia ada, pakatan pembangkang dilihat tidak mempunyai visi yang jauh dan banyak idea-idea yang ditampilkan mereka berupa rancangan jangka pendek semata-mata.

Sebagai pengundi di kawasan Parlimen Putrajaya, beliau melihat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang cuba mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga kali ini sebagai wadah bagi kira-kira 90 peratus penduduk di sini yang merupakan penjawat awam bagi menzahirkan hasrat mereka.

Beliau tidak menyembunyikan rasa curiga dan bimbang terhadap rancangan pakatan pembangkang, yang sebelum ini pernah membuat kenyataan akan mengurangkan jumlah penjawat awam yang pada masa ini mencecah 1.4 juta orang.

Bagi Abd Rashid Ahmad, 59, pula pertukaran kerajaan akan membawa kepada dasar-dasar baharu yang pastinya akan menyukarkan penjawat awam untuk menyesuaikannya dalam persekitaran baharu.

Beliau yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun berkata selain masa depan yang tidak menentu, cara dan halatuju perkhidmatan mungkin akan bercelaru, sekaligus mencetuskan banyak masalah kepada rakyat.

"Mungkin di kalangan anak muda, ada yang terbuka untuk bereksperimen, tapi bagi yang berpengalaman lama seperti kami ini, kami lebih cenderung kepada kerajaan sedia ada," katanya.

Seorang lagi penjawat awam yang ditemui Wan Maria Wan Muda, 35, berkata beliau mahukan suasana aman dan harmoni yang dikecapi dalam negara ketika ini berterusan bagi memudahkan penjawat awam melaksanakan tugas dengan baik.

"Yang penting ialah kerajaan perlu mengambil berat tentang hal rakyat terutama yang susah, dan ia mampu membangunkan negara, memacu negara ke mercu kegemilangan," katanya.

Bagi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pula pilihan mereka sudah semestinya kerajaan sedia ada kerana setiap tuntutan yang dikemukakan untuk kebajikan pekerja, kebanyakannya dipenuhi kerajaan.

Awal tahun lepas, Presidennya Datuk Omar Osman mewakili kira-kira 1.4 juta penjawat awam mengucap syukur dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ekoran ia kurang diterima kakitangan awam, walaupun ia sudah sudah digunapakai beberapa bulan lamanya.

Pada masa yang sama Najib turut mengumumkan pelarasan gaji kakitangan awam antara tujuh dan 13 peratus.

"Mana nak cari kerajaan yang prihatin macam ini," kata Omar ketika ditemui baru-baru ini.

-- BERNAMA

KESATUAN SEKERJA HARAP KERAJAAN AKAN TERUS WUJUDKAN PELBAGAI INISIATIF


Bernama
1/5/2013

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini berharap kerajaan akan terus mewujud dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin masa depan warga pekerja di Malaysia.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata beliau berharap inisiatif seperti semakan gred pekerja dan tangga gaji penjawat awam akan terus dilaksanakan tahun ini bagi menampung kos kehidupan yang kian meningkat.

Sempena Hari Pekerja Rabu, beliau berharap penjawat awam dan swasta akan terus berusaha meningkatkan produktiviti, sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan pekerja.

"Cuepacs juga menyeru penjawat awam supaya teruskan usaha untuk meningkatkan produktiviti seiring dengan hasrat kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan seharian kita.

"Kami juga menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan usaha-usaha yang diperkenalkan oleh beliau," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara empat tahun lepas, Najib telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk golongan pekerja termasuk mewujudkan gaji minima serta melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula mahu kerajaan menambah usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk pekerja yang berpendapatan rendah.

"Kami juga meminta kerajaan supaya mengadakan pengambilan dan pengurusan pekerja asing melalui cara kerajaan ke kerajaan," kata Presidennya Mohd Khalid Haji Atan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata warga guru di Malaysia seharusnya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana memberi kenaikan gaji serta bonus.

Beliau berkata NUTP berharap kerajaan akan mempertimbang untuk menyerap penuh penjawat awam kontrak yang telah bertugas melebihi tiga tahun.

-- BERNAMA