BANDAR SERI BEGAWAN Bajet 2014 bakal memberi penumpuan kepada usaha pengukuhan ekonomi domestik bagi memastikan negara berdaya tahan dalam menghadapi keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkembangan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) sedang dipantau rapi bagi mempersiapkan negara menghadapi sebarang kemungkinan.
"Bajet 2014 akan memberi penumpuan kepada usaha mewujudkan sebuah asas ekonomi berdaya tahan, dengan kadar pertumbuhan yang munasabah.


"Ini bagi memastikan negara sentiasa bersedia berdepan apa juga keadaan berikutan keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan," katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-23, di sini sebentar tadi.

Beliau juga berharap langkah segera dilaksanakan Amerika Syarikat (AS) dalam memulihkan ekonomi mereka, sekali gus mengelak berlaku krisis kewangan yang boleh menjejaskan ekonomi global.

Ditanya mengenai permohonan dua bulan bonus untuk penjawat awam oleh CUEPACS, Najib berkata perkara itu sedang dipertimbangkan, namun bergantung kepada prestasi kewangan semasa kerajaan.

"Tunggulah selepas Bajet (2014) nanti... biarlah saya teliti akaun kerajaan dulu. Tumpuan kita sekarang mahu memperkukuhkan ekonomi domestik," katanya.