SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Februari 2014

CUEPACS MAHU SPNB SIAPKAN PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI DI SABAH

Bernama
26/2/2014


SANDAKAN, 26 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) menyiapkan beberapa projek perumahan terbengkalai yang dilaksanakan syarikat itu di negeri ini.

Presidennya Azih Muda berkata ia berikutan kebanyakan pembeli rumah projek SPNB terdiri daripada kalangan penjawat awam dan telah membayar ansuran biarpun belum menduduki rumah yang dibeli itu.

Katanya pada masa sama, kerajaan juga perlu memberi perhatian kegagalan SPNB menyiapkan projek perumahan mereka hingga membebankan pembeli termasuk kalangan penjawat awam.

"Projek perumahan dilaksanakan oleh SPNB harus disiapkan mengikut jadual dan kualiti dijanjikan.

"Saya tidak mahu penjawat awam terbeban dan mengalami kebimbangan ekoran projek perumahan mereka beli di bawah SPNB tidak disiapkan mengikut masa dan kualiti sebagaimana telah dijanjikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peningkatan Produktiviti Perkhidmatan Awam Melalui Kesatuan Sekerja di sini Rabu.

Katanya masalah dihadapi penjawat awam itu boleh menyebabkan mereka tertekan dan menjejaskan komitmen di tempat kerja.

Dalam perkembangan lain, Azih mahu kerajaan mengkaji semula bilangan petugas yang bekerja di hospital kerajaan di negara ini.

Katanya pada masa ini sekarang bilangan petugas di hospital kerajaan tidak dapat menampung jumlah kehadiran pesakit sekali gus menyebabkan petugas hospital terpaksa bekerja lebih masa dan menghadapi beban tugas.

-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM PERLU JADI PE,ACU PERUBAHAN - KP PERKHIDMATAN AWAM

Bernama
27/2/2014




 SUNGAI PETANI, 27 Feb (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini perlu memainkan peranan sebagai pemacu perubahan atau 'change agent' dalam usaha menjayakan agenda transformasi negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata sektor perkhidmatan awam Malaysia tidak terkecuali daripada arus transformasi malah 1.4 juta penjawat awam yang ada merupakan nadi penggerak dan tiang seri pembinaan negara bangsa.

Beliau berkata mereka akan membawa obor transformasi bagi meneraju dan merealitikan iltizam itu.

"Dalam konteks Merakyatkan Perkhidmatan Awam, penjawat awam perlu menjadi 'thinkers', 'planners' dan 'implementers' menerusi enam prinsip utama iaitu keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama awam-swasta-NGO (badan bukan kerajaan).

"Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ini hendaklah sentiasa didakap erat dan dipugar sepanjang masa menerusi tindakan kita dalam pelaksanaan tugasan seharian," ucapnya dalam Perasmian Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Leadership Development Park (iLead-Park), di Intan Kampus Wilayah Utara, di sini Khamis.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berharap iLead-Park dapat dimanfaatkan secara bersama oleh semua pihak dalam menjadikan Intan sebagai pusat kecemerlangan.

"Peranan iLead-Park perlu diperluas bagi melahirkan penjawat awam yang berilmu, berkemahiran, berhemah tinggi, beradab, berbudaya dan responsif, bukan sahaja dalam kalangan agensi tertentu bahkan mesti diperluas kepada agensi lain secara kreatif dan inovatif.

"Selaras dengan aspirasi memacu transformasi melalui pembelajaran, saya yakin pembinaan iLead-Park ini merupakan satu pendekatan baharu dalam mengenal pasti dan membangunkan kompetensi kepimpinan pasukan dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap," katanya.

Beliau berkata ia seterusnya melahirkan generasi baharu perkhidmatan awam yang bukan sahaja bertindak sebagai ketua yang hebat bahkan berupaya menjadi pemimpin kepada pasukan transformatif.

-- BERNAMA

21 Februari 2014

CUEPACS BANTAH PENSWASTAAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Bernama
19/2/2014


 

IPOH, 19 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah cadangan penswastaan pengurusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak dan berpendapat akta yang berkaitan tidak perlu wujudkan.
Presidennya Azih Muda berkata ia bagi mengelak kira-kira 2,000 penjawat awam yang berkhidmat di bawah PBT mengalami masalah yang sama seperti di Kedah dan Perlis ekoran penswastaan itu.

"Penjawat awam amat diperlukan dalam perkhidmatan PBT. Sekiranya mereka beralih kepada swasta, bukan sahaja pekerjaan mereka terancam malah nasib yang sama akan dirasai seperti rakan-rakan kita yang telah berpindah ke syarikat konsesi. Saya fikir sebulan atau dua bulan mereka akan dibuang kerja.

"Seperti di Selangor, pekerja-pekerja dalam perkhidmatan PBT telah dipindahkan kepada Alam Flora yang mana pengurusannya telah diambil alih oleh kerajaan Selangor, pekerja ini tidak boleh kembali kepada PBT," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bersama penjawat awam dari 15 PBT di Perak hari ini.

Beliau berkata Cuepacs menyokong pendirian Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang masih belum menandatangani persetujuan untuk menerima konsesi yang akan mengambil alih pengurusan tersebut.

Azih berkata sekiranya penswastaan berlaku, penjawat awam seharusnya tidak diberhentikan perkhidmatan mereka sebaliknya dipindahkan ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Sepatutnya kita perlu bantu rakyat negara ini untuk mendapatkan pekerjaan. Kita lihat hari ini pekerja di syarikat-syarikat konsesi adalah warga asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar," katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin PBT mampu mengurus sisa-sisa pepejal sebaik mungkin tanpa dirujuk kepada penswastaan.

"Jika ada peruntukan, kerajaan perlu salurkan kepada PBT kerana mereka boleh buat lebih baik daripada syarikat konsesi," katanya.

Beliau berkata Cuepacs akan memaklumkan bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

"Saya yakin perdana menteri amat prihatin dan peka terhadap kesusahan pekerja dan dapat mempertimbangkan perkara itu dan kita juga berharap menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan tidak memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya penswastaan ini berlaku," katanya.

-- BERNAMA

MOSTI SETUJU TANGGUH KORPORATKAN TIGA AGENSI

Utusan Malaysia
19/2/2014


KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersetuju menangguhkan sementara pengkorporatan tiga agensinya pada 1 Mac ini sehingga tempoh yang belum ditetapkan.Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pihaknya mempertimbangkan permintaan itu dan memahami rayuan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).Bagaimanapun, menurutya, langkah pengkorporatan tiga agensi terbabit akan tetap dilaksanakan memandangkan ia telah diputuskan oleh Kabinet.
"Kementerian mengadakan pertemuan dengan CUEPACS semalam untuk membincangkan mengenai perkara itu dan perjumpaan tersebut berlangsung dalam keadaan baik."Kami tahu kebanyakan daripada kakitangan terlibat ada yang baharu bekerja dan mereka lebih gemar untuk berada di bawah kerajaan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa IECEx 2014, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Fadilah Baharin; Pengerusi Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia, Tan Sri Mustafa Mansur dan Pengerusi Jawatankuasa Elektroteknikal Kebangsaan Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan. Isnin lalu, Presiden CUEPACS, Azih Muda menggesa kementerian itu agar menangguhkan sementara pengkorporatan Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm); Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI) serta Institut Genom Malaysia (MGI) yang akan digabung menjadi Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).
Tambah Abu Bakar, biarpun akan dikorporatkan, kebajikan kakitangan yang memilih untuk menyertai skim korporat akan tetap dipelihara selain menawarkan opsyen untuk bersara awal.Sementara itu, Mosti menyasarkan untuk mengkomersialkan sekurang-kurangnya 60 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada tahun ini."Menjelang 2020, sejumlah 360 projek R&D dijangka dapat dikomersialkan, antaranya ialah produk elektrik, makanan dan ubat-ubatan yang akan dijual di pasar raya, farmasi dan rak-rak kedai sebagai pilihan kepada orang ramai.
"Malaysia berdepan cabaran untuk memasarkan produk R&D yang kebanyakannya masih disimpan biarpun banyak memenangi anugerah di peringkat antarabangsa"Oleh itu, strategi untuk melonjakkan Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 ialah mengkomersialkan hasil R&D seperti produk teknologi dan memasarkannya ke seberang laut," katanya.

18 Februari 2014

CUEPACS GESA TANGGUH PENGKORPORATAN TIGA AGENSI

Utusan Malaysia
17/2/2014




KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi digesa menangguhkan sementara waktu pengkorporatan tiga institusinya pada 1 Mac ini sehingga ekonomi kembali stabil demi kebajikan kakitangan.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, sekiranya langkah itu diteruskan, langkah tersebut bercanggah dengan komitmen kerajaan mahu menjaga kebajikan penjawat awam di negara ini.
"Kita terima banyak aduan daripada kakitangan di tiga agensi itu yang mahu terus berkhidmat sebagai penjawat awam," katanya kepada pemberita di Wisma CUEPACS di sini hari ini. Tiga institusi terbabit ialah Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm), Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI) serta Institut Genom Malaysia (MGI).Menurut Azih, lebih malang lagi kira-kira 70 pekerja di tiga institut terlibat bukan sahaja tidak diajak berunding sebaliknya diberi kata dua iaitu menyertai skim korporat atau bersara awal.

"Paling dikesali, CUEPACS selaku 'payung' bagi penjawat awam di Malaysia juga tidak dimaklumkan mengenai isu ini dan hanya mengetahuinya menerusi aduan kakitangan terbabit," jelas beliau. Katanya, satu pertemuan dengan pihak kementerian untuk membincangkan perkara tersebut akan diadakan esok selain bersemuka dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam masa terdekat

CUEPACS MAHU MOSTI TANGGUH PENGKORPORATAN TIGA INSTITUT MILIKNYA

Bernama
17.2.2014



KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Cuepacs hari ini meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menangguhkan pengkorporatan tiga institusinya yang dijadual Mac depan demi kebajikan kakitangan berkenaan terutama ketika keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Tiga institusi terbabit ialah Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm); Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI) serta Institut Genom Malaysia (MGI) yang akan digabung menjadi Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).

Presiden Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam, Azih Muda berkata jika kementerian berkenaan meneruskan hasrat pengkorporatan itu, ia amat bercanggah dengan komitmen kerajaan yang mahu menjaga kebajikan penjawat awam di negara ini.

"Kita terima banyak aduan daripada kakitangan di tiga agensi itu yang mahu terus berkhidmat sebagai penjawat awam.

"....Malah disebabkan pengkorporatan itu pembekuan pertukaran jawatan telah dilakukan sejak 2012," katanya dalam sidang media di Wisma Cuepacs di sini.

Menurut Azih lebih malang lagi kira-kira 70 pekerja di tiga insitut terlibat bukan sahaja tidak diajak berunding, sebaliknya diberi kata dua iaitu menyertai skim korporat atau dibersarakan dari perkhidmatan awam.

"Paling dikesali Cuepacs selaku payung bagi penjawat awam di Malaysia juga tidak dimaklumkan mengenai isu tersebut dan hanya mengetahuinya menerusi aduan kakitangan terbabit," katanya.

Azih berkata satu mesyuarat dengan pihak Mosti akan diadakan esok, manakala pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya akan menghidupkan semula secepat mungkin Program Penghospitalan dan Pembedahan dikenali sebagai Cuepacs Care yang dihentikan sejak 2009 dalam usaha memastikan penjawat awam yang layak mendapat kemudahan kesihatan terbaik.

Kementerian Kewangan telah bersetuju menyediakan bantuan sebanyak RM9.2 juta kepada Cuepacs untuk menghidupkan semula program itu, katanya.

Azih berkata sejak diperkenal pada 1999, program yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat insurans Sun Life Malaysia Takaful Berhad itu kini mempunyai kira-kira 300,000 ahli.

"Setakat ini kira-kira 40,000 orang telah dapat rawatan di hospital swasta menggunakan Cuepacs Care," katanya.

-- BERNAMA

BADAN KAKITANGAN AWAM DAN SWASTA SAMBUT BAIK DIVIDEN TERTINGGI KWSP

Bernama
17/2/2014





KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Beberapa badan kakitangan awam dan swasta menyambut baik pengisytiharan kadar dividen oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.35 peratus untuk tahun berakhir 31 Dis 2013, tertinggi sejak 10 tahun lalu.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda berkata peningkatan prestasi KWSP ini merupakan hasil positif daripada program transformasi kerajaan.

Beliau berkata persekitaran pekerjaan yang semakin baik juga menyebabkan adanya pertambahan pelaburan yang boleh menyuntik modal kepada KWSP untuk melabur dalam portfolio yang memberi keuntungan kepada kumpulan itu.

"Kami yakin sekiranya KWSP dapat menguruskan pelaburan dengan penuh berhemah dan berintegriti, maka kita jangka pulangan akan lebih bertambah," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Azih berkata dengan kemakmuran yang dicapai di negara ini dan dengan tambahan peluang pekerjaan, maka lebih banyak pekerja baharu akan mencarum dan KWSP akan meneroka sektor pelaburan yang memberi pulangan lebih baik.

Semalam, Pengerusi Lembaga KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata ini merupakan bayaran dividen paling tinggi sebanyak RM31.20 bilion kepada para pencarum, meningkat 13.66 peratus daripada RM27.45 bilion pada 2012.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berkata golongan pekerja berharap agar prestasi KWSP dapat dikekalkan pada tahun-tahun yang akan datang supaya pulangan yang seimbang dapat diberikan kepada semua pencarum.

"Pengisytiharan ini merupakan berita baik untuk pekerja, kami berdoa agar KWSP mengekalkan momentum dan prestasinya serta pelaburan yang dibuat menguntungkan," katanya.



-- BERNAMA

17 Februari 2014

MY HOME: KERAJAAN PERLU PANTAU KUALITI BAHAN BINAAN

Bernama
14/2/2014



KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu memantau kualiti bahan binaan yang digunakan syarikat pemaju perumahan terpilih dalam menyediakan rumah di bawah program MyHome.
Naib Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata pemantauan itu penting bagi memastikan rumah yang dibina menepati standard dan selamat diduduki.

Beliau yang menyambut baik pelaksanaan program itu berkata setiap pemaju perumahan juga perlu jujur dan tidak melakukan penyelewengan dengan menyediakan rumah tidak seperti harga jualan.

"Sekiranya pemaju perumahan menjual sebuah rumah dengan harga RM70,000 atas sebab kerajaan negeri menetapkan harga rumah RM40,000, maka kualiti bahan binaan termasuk rekaan rumah tersebut mestilah berharga RM70,000 kerana kerajaan memberikan subsidi RM30,000 bagi menyiapkan seunit rumah yang telah dibeli.

"Apa yang dikhuatiri ialah akan ada pemaju perumahan mengambil kesempatan atas subsidi kerajaan itu apatah lagi kos bahan binaan semakin meningkat, yang secara tidak langsung menyumbang kepada spekulasi harga," katanya kepada Bernama.

Program MyHome, yang akan dilancarkan pada April depan, memberi peluang kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000 memiliki rumah menerusi pemberian subsidi maksimum sehingga RM30,000.

Subsidi tersebut akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos serendah mengikut definisi ditetapkan kerajaan negeri.

Siti Rahayu berkata syarikat pemaju perumahan perlu memberi komitmen penuh bagi memastikan objektif program ini tercapai, selain dapat membantu golongan sasar memiliki rumah idaman mereka.

Di samping itu, beliau turut menyarankan kerajaan agar tidak mengambil masa lama untuk membayar pemaju bagi memastikan mereka dapat menyediakan sijil layak menduduki (CF) dengan segera.

Dalam masa sama, Siti Rahayu berkata pendidikan kewangan kepada golongan sasar juga amat penting memandangkan mereka dalam kalangan berpendapatan kurang RM3,000.

"Jika golongan sasar ini menghadapi kesulitan kewangan seperti tidak mampu membayar rumah, maka skim menerusi program MyHome akan dilihat seperti membebankan golongan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Prof Madya Ahmad Hariza Hashim berkata kerajaan perlu menetapkan standard rekaan rumah yang akan dibina menerusi program MyHome.

"Ia termasuklah keluasan rumah, jumlah bilik, reka bentuk dan lokasi rumah tersebut...sekiranya kerajaan dapat memantau perkara ini, ia diharapkan dapat memberi 'hasil' yang menguntungkan pembeli," katanya.

Beliau berkata melalui program ini juga tekanan terhadap permintaan rumah kos rendah berkemungkinan dapat dikurangkan dan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah terutama di kawasan bandar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda pula menyarankan kerajaan pusat mengambil langkah bagi mengurangkan beban pinjaman perumahan terhadap rakyat, termasuk penjawat awam di negara ini.

"Cuepacs ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah berkuat kuasa 1 Mac ini, langkah ini perlu dicontohi kerajaan pusat atau kerajaan negeri yang lain," katanya.

-- BERNAMA

15 Februari 2014

PENJAWAT AWAM DIMINTA TERUS BERSAMA CUEPACS SOKONG KERAJAAN

Utusan Malaysia
15/2/2014

Wakil Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam bergambar bersama selepas menghadiri taklimat perkhidmatan awam di UMSKAL, Labuan, Sabah, semalam. 
LABUAN 14 Feb. - Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sentiasa berusaha menjaga kebajikan penjawat awam di seluruh negara termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak. Timbalan Setiausaha Agung 1, Adnan Mat berkata, kerajaan sekarang yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak sering mendengar denyut nadi penjawat awam menerusi CUEPACS.

"Justeru, kita mahu penjawat awam terus bersama CUEPACS menyokong dasar-dasar kerajaan sedia ada bagi memastikan kebajikan mereka terus dijaga oleh pucuk pimpinan negara," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat perkhidmatan awam di Bilik Seminar, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di sini hari ini.

Taklimat tersebut disampaikan Adnan dan Timbalan Setiausaha Agung II, Abdul Rahman Mohd. Nordin.Program anjuran Kesatuan Kakitangan Am UMS (Kekaumas) itu turut dihadiri Presidennya, Amat Jutrah Musnih; timbalannya, Abd. Jalil Sapli dan Setiausaha Kekaumas UMSKAL, Ahmad Zainudin Awang Besar.Adnan berharap taklimat itu mampu memberikan penerangan dan penjelasan kepada penjawat awam di Labuan tentang 81 skim baharu yang dibentangkan oleh Najib pada pembentangan bajet yang lalu.Katanya, penjawat awam dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa yang berkaitan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Amat Jutrah berkata, beliau menaruh keyakinan barisan kepimpinan CUEPACS yang baharu dan berharap dapat terus membela nasib 1.4 juta penjawat awam di negara ini. "Penjawat awam termasuk di UMS mengucapkan terima kasih kepada bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman yang banyak berjasa kepada kami. Kami berharap kepimpinan baharu CUEPACS akan memastikan kebajikan penjawat awam terus terbela," ujarnya.

CUEPACS SAMBUT BAIK SKIM PINJAMAN PERUMAHAN TANPA FAEDAH JOHOR

Bernama
14/2/2014


 KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Skim pinjaman perumahan tanpa faedah bagi anggota perkhidmatan awam Johor, berkuat kuasa 1 Mac ini, merupakan langkah yang amat bijak oleh kerajaan negeri.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda berkata pengumuman tersebut bersesuaian dengan isu peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat.

"Ia (pengumuman tersebut) satu langkah bijak (oleh kerajaan negeri) yang harus dicontohi oleh setiap kerajaan negeri yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'berani', Azih berkata inisiatif tersebut turut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam soal kebajikan rakyat.

"Cuepacs menyambut baik usaha ini dalam membantu generasi muda dan penjawat awam berpendapatan kurang dari RM3,000 hingga RM4,000, yang tidak mampu dan masih belum membeli rumah," katanya

Azih turut berharap kerajaan memperuntukkan tanah dan kawasan baharu kepada pemaju perumahan bagi membina lebih banyak rumah mampu milik.

"Cuepacs mengesyorkan rumah bernilai antara RM80,000 dan RM150,000 dibina bagi membolehkan lebih ramai golongan penjawat awam memiliki rumah sendiri," katanya.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis mengumumkan pelaksanaan Skim Pinjaman Tanpa Faedah Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor, kepada 1,500 penjawat awam negeri itu,di Kota Iskandar.

Sebelum ini, kadar faedah ditetapkan pada empat peratus.

"Ini akan memberikan rakyat pilihan, dan jika dilaksanakan secara berkesan akan membantu mengurangkan beban rakyat secara relatif," kata menteri besar itu.



-- BERNAMA

MY HOME: KERAJAAN PERLU PANTAU KUALITI BAHAN BINAAN

Bernama
14/2/2014|


KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu memantau kualiti bahan binaan yang digunakan syarikat pemaju perumahan terpilih dalam menyediakan rumah di bawah program MyHome.
Naib Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata pemantauan itu penting bagi memastikan rumah yang dibina menepati standard dan selamat diduduki.

Beliau yang menyambut baik pelaksanaan program itu berkata setiap pemaju perumahan juga perlu jujur dan tidak melakukan penyelewengan dengan menyediakan rumah tidak seperti harga jualan.

"Sekiranya pemaju perumahan menjual sebuah rumah dengan harga RM70,000 atas sebab kerajaan negeri menetapkan harga rumah RM40,000, maka kualiti bahan binaan termasuk rekaan rumah tersebut mestilah berharga RM70,000 kerana kerajaan memberikan subsidi RM30,000 bagi menyiapkan seunit rumah yang telah dibeli.

"Apa yang dikhuatiri ialah akan ada pemaju perumahan mengambil kesempatan atas subsidi kerajaan itu apatah lagi kos bahan binaan semakin meningkat, yang secara tidak langsung menyumbang kepada spekulasi harga," katanya kepada Bernama.

Program MyHome, yang akan dilancarkan pada April depan, memberi peluang kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000 memiliki rumah menerusi pemberian subsidi maksimum sehingga RM30,000.

Subsidi tersebut akan diberikan kepada pemohon yang layak untuk membeli pada harga rumah kos serendah mengikut definisi ditetapkan kerajaan negeri.

Siti Rahayu berkata syarikat pemaju perumahan perlu memberi komitmen penuh bagi memastikan objektif program ini tercapai, selain dapat membantu golongan sasar memiliki rumah idaman mereka.

Di samping itu, beliau turut menyarankan kerajaan agar tidak mengambil masa lama untuk membayar pemaju bagi memastikan mereka dapat menyediakan sijil layak menduduki (CF) dengan segera.

Dalam masa sama, Siti Rahayu berkata pendidikan kewangan kepada golongan sasar juga amat penting memandangkan mereka dalam kalangan berpendapatan kurang RM3,000.

"Jika golongan sasar ini menghadapi kesulitan kewangan seperti tidak mampu membayar rumah, maka skim menerusi program MyHome akan dilihat seperti membebankan golongan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Prof Madya Ahmad Hariza Hashim berkata kerajaan perlu menetapkan standard rekaan rumah yang akan dibina menerusi program MyHome.

"Ia termasuklah keluasan rumah, jumlah bilik, reka bentuk dan lokasi rumah tersebut...sekiranya kerajaan dapat memantau perkara ini, ia diharapkan dapat memberi 'hasil' yang menguntungkan pembeli," katanya.

Beliau berkata melalui program ini juga tekanan terhadap permintaan rumah kos rendah berkemungkinan dapat dikurangkan dan lebih ramai golongan berpendapatan rendah memiliki rumah terutama di kawasan bandar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda pula menyarankan kerajaan pusat mengambil langkah bagi mengurangkan beban pinjaman perumahan terhadap rakyat, termasuk penjawat awam di negara ini.

"Cuepacs ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang melaksanakan Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah berkuat kuasa 1 Mac ini, langkah ini perlu dicontohi kerajaan pusat atau kerajaan negeri yang lain," katanya.

-- BERNAMA

13 Februari 2014

CUEPACS MINTA COLA DINAIKAN SELEPAS KALI TERAKHIR DISEMAK 2001

Utusan Malaysia
13/2/2014





MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bersama Azih Muda (dua dari kanan) dan Mohd. Shaman Jaes (dua dari kiri) selepas mengadakan pertemuan di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, semalam.

NUSAJAYA 12 Feb. - Kerajaan diminta segera menaikkan elaun termasuk menyelaras Elaun Sara Hidup (Cola) bagi membantu penjawat awam menangani peningkatan kos sara hidup.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, bayaran elaun penjawat awam masih ditakuk lama selepas kali terakhir disemak pada 2001.
"Kita tidak mahu lagi perkara tersebut (elaun) dikaji lagi sebaliknya mahu ia dinaikkan kerana sudah 12 tahun penjawat awam menanti kenaikan elaun tersebut."Jumlah elaun seperti rumah, khidmat awam dan Cola yang diterima kini tidak lagi sesuai kerana kos sara hidup kini juga sudah meningkat," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.Yang turut hadir, Timbalan Presiden II CUEPACS merangkap Pengerusi CUEPACS negeri, Mohd. Shaman Jaes.
Azih berkata, pihaknya juga meminta jumlah Cola tersebut diselaraskan kepada RM300 dan turut diberikan kepada penjawat awam yang menetap di kuarters kerajaan.Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan bersama Khaled, beliau berkata, beberapa perkara telah dibincangkan termasuk penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan pusat penjagaan bagi anak-anak penjawat awam di negeri ini.
"Beliau (Khaled) memberi jaminan bahawa kerajaan negeri kini dalam usaha membina lebih banyak rumah yang harganya mampu dibeli oleh rakyat termasuklah penjawat awam."Bukan itu sahaja, beliau turut bersetuju dengan cadangan pembinaan hospital baharu di negeri ini bagi mengatasi kesesakan pesakit sekali gus memberikan keselesaan kepada masyarakat," katanya.

11 Februari 2014

SEBUTHARGA/TENDER BAGI BEKALAN BARANG-BARANG PERKHIDMATAN - KERJA-KERJA BEKALAN : MEMBEKAL DAN MENGHANTAR BAJU T [T’SHIRT] UNTUK SAMBUTAN HARI PEKERJA CUEPACS 2014



KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM
PERKHIDMATAN AWAM [CUEPACS]
(Pendaftaran No 195)

SEBUTHARGA/TENDER BAGI BEKALAN BARANG-BARANG PERKHIDMATAN             

KERJA-KERJA BEKALAN : MEMBEKAL DAN MENGHANTAR BAJU T [T’SHIRT] UNTUK SAMBUTAN HARI PEKERJA CUEPACS 2014

NO SEBUTHARGA : BIL 1/2014                                      Tarikh : 11 Februari 2014


KEPADA :

……………………………………………………

……………………………………………………

……………………………………………………


Pelawaan Sebutharga dikeluarkan oleh:
CUEPACS
Tingkat 1, Wisma CUEPACS
Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu
55100 Kuala Lumpur.


1.       Syarat-syarat penyerahan / penyempurnaan dikehendaki : DIMASUKKAN DALAM SAMPUL SURAT YANG DISILKAN DAN DICATITKAN NOMBOR SEBUTHARGA / TENDER DIKIRI HADAPAN SAMPUL.

2.       Tarikh dikehendaki diserahkan / disempurnakan : 25 Februari 2014, tidak lewat dari jam 12.00 tengahari. Sebutharga mestilah dimasukkan kedalam satu sampul berlakari dan bertanda, Sebutharga No 1/2014

3.       Semua perbekalan barangan ini hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat CUEPACS Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu Kuala Lumpur.

4.       Jawatankuasa setuju terima sebutharga/tender tidak terikat dengan mana-mana tawaran harga terendah atau sebarang bentuk yang difikirkan memuaskan hati penender.

5.       Sebutharga  hendaklah sah selama  30 HARI selepas itu.

6.       Sila beri sebutharga bagi bekalan barang-barang / perkhidmatan yang di senaraikan di bawah dengan tertakluk kepada had-had dan syarat-syarat yang ditetapkan.


BIL
PERKARA
HARGA SEUNIT
KUANTITI
JUMLAH HARGA

01





Membekal dan mencetak logo CUEPACS di t’shirt berkolar jenis Laycos  warna oren, cetak logo embroid (Pelbagai Saiz)
      5XL : 15 helai
      4XL : 15 helai
      3XL : 500 helai
      2XL : 620 helai
      XL   : 650 helai
      L     : 1500 helai
      M    : 300 helai
Catitan: Semua penender adalah dikehendaki  untuk memberi contoh corak reka bentuk  T shirt warna oren-warna tambahan bagi membentuk corak menarik dibenarkan (tidak di kembalikan)


3,600







Jumlah




Tawaran sebutharga dengan perkataan : Ringgit Malaysia….…………...............

……………………………………………………………………………………………………………...

Tempoh bekalan boleh dihantar : ……………………………………………………………..

[ Diskaun – diskaun perniagaan, tunai, bayaran cepat dan diskaun-diskaun lain dan apa-apa bayaran tambahan ( misalnya cukai dan belanja membungkus ) hendaklah ditunjukkan].

Saya /Kami dengan ini menawar untuk membekalkan barang-barang perkhidmatan di atas dengan syarat-syarat yang ditunjukkan di atas. 

Nama penuh pengurus                 :……………………………………….

Tandatangan dan cop penender             :……………………………………….

Alamat                   :………………………………………..

…………………………………………
…………………………………………
Tarikh :………………………………..

05 Februari 2014

MENU TENGAH HARI RM5 DI PUTRAJAYA

Utusan Malaysia
5/2/2014




Aseh Che Mat (dua dari kanan) bersama Omar Osman (kanan) dan Hattan (dua dari kiri) serta kakitangan Perbadanan Putrajaya menunjukkan menu makanan tengah hari serendah RM5 di Restoran Rakyat 1Malaysia, Seri Empangan, Presint 5, Putrajaya, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF 
 
 
PUTRAJAYA 4 Feb. - Warga Putrajaya kini boleh menikmati menu makan tengah hari pada harga RM5 termasuk minuman di Restoran Rakyat 1Malaysia yang mula beroperasi di Seri Empangan di sini hari ini. Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, hidangan menu terdiri daripada dua jenis lauk itu bagi membantu mengurangkan beban penjawat awam yang berkhidmat di sekitar Putrajaya.
Menurutnya, inisiatif mewujudkan restoran itu timbul selepas beliau berbincang dengan pemilik Restoran Putrajaya Ikan Bakar supaya menyediakan hidangan menu 1Malaysia pada waktu tengah hari. "Kapasiti pelanggan bergantung kepada permintaan, namun, pada hari ini pihak restoran menyediakan jumlah makanan untuk sebanyak 2,500 orang."Selain harga berpatutan yang ditawarkan, PPj akan sentiasa memastikan kualiti makanan bermutu tinggi setanding restoran lain agar para pelanggan berpuas hati dengan menu dihidangkan," katanya ketika ditemui dalam majlis pengenalan makan tengah hari di Restoran Rakyat 1Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Muhamad Haitamin Ishak, bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dan penyanyi, Datuk Hattan.Restoran Rakyat 1Malaysia terletak di lokasi yang sama di Restoran Putrajaya Ikan Bakar itu menawarkan menu istimewa tersebut setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.Aseh berkata, PPj turut menyediakan khidmat bas Nadi Putrajaya setiap 15 minit bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang untuk kemudahan orang ramai ke restoran tersebut.Beliau berkata, pihaknya berhasrat memperluaskan menu 1Malaysia khusus untuk sarapan pada masa akan datang selepas melihat sambutan pelaksanaannya untuk menu makan tengah hari.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan permohonan untuk membuka premis perniagaan sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Putrajaya dan PPj bersedia memberi sebarang bantuan untuk tujuan tersebut."Kewujudan kedai rakyat seperti ini akan memberi pelbagai faedah kepada rakyat dengan penawaran harga berpatutan sekali gus meringankan perbelanjaan mereka," katanya.

04 Februari 2014

CUEPACS GESA PENJAWAT AWAM TIDAK TERPENGARUH PERSEPSI NEGATIF

Bernama
3/2/2014




MELAKA, 3 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa penjawat awam supaya tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif dilemparkan terhadap kerajaan khususnya dalam soal kebajikan mereka.

Presidennya Azih Muda berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan penjawat awam melalui tuntutan-tuntutan yang dibuat Cuepacs sebelum ini.

"Cuepacs melihat dan mengetengahkan soal gaji, elaun dan sebagainya dari masa ke semasa dan kita meminta mereka (penjawat awam) bersabar.

"Kita (kerajaan dan Cuepacs) sudah melakukan yang terbaik malah kita bukan mengkaji untuk tidak melaksanakan (tuntutan) tetapi ada perkara yang perlu kita lihat secara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di Seri Negeri di sini, Isnin.

Sebagai contoh, katanya Cuepacs dan kerajaan sedang berbincang mengenai usaha menaik taraf proses rawatan hemodialisis yang dijalani penjawat awam di institusi kesihatan awam seluruh negara.

Beliau berkata ia berikutan kebanyakan institusi tersebut dilihat mengalami kesesakan dan Cuepacs telah mengusulkan senarai hospital yang perlu dinaik taraf kepada kerajaan.

03 Februari 2014

PENGORBANAN PENJAWAT AWAM

Utusan Malaysia|
2/2/2014


APABILA kerajaan mengumumkan perbelanjaan berhemat dengan memperkenalkan 11 langkah pada awal tahun ini, ia dibuat untuk mengurangkan perbelanjaan awam dengan tujuan utamanya membantu meminimumkan defisit kewangan negara dan membetulkan persepsi.
Langkah yang melibatkan secara langsung semua kakitangan awam ialah penurunan kos utiliti elektrik sebanyak lima peratus, pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara serta mengurangkan penyediaan makan minum semasa mesyuarat dan majlis rasmi kerajaan.
Terdapat juga langkah yang menjejaskan sesetengah pegawai kanan di peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ekoran pengurangan imbuhan tetap keraian antara lima hingga 10 peratus, dan juga pengurangan kemudahan bayaran tol yang boleh dituntut daripada RM50 hingga RM100 sebulan.
Kelayakan kelas tempat duduk penerbangan untuk perjalanan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam juga dipinda. Semua pegawai JUSA C dan ke bawah kini mengambil penerbangan kelas ekonomi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengunjurkan melalui langkah-langkah tersebut kerajaan boleh menjimatkan kira-kira RM400 juta setahun pada tahun 2014.
Jika diperincikan penjimatan itu, secara purata dalam sehari kakitangan dan pegawai kerajaan akan mengurangkan RM1.1 juta perbelanjaan, dan jika dibahagikan dengan 1.4 juta bilangan pekerja sektor awam yang berkhidmat di seluruh negara, secara purata setiap seorang menjimatkan kira-kira 78 sen sehari.
Ada pelbagai sudut pandangan boleh diberikan mengenai langkah perbelanjaan berhemat itu.
Bagaimanapun, yang paling jelas ialah ia simbol pengorbanan para pegawai perkhidmatan awam di Malaysia pada saat-saat getir ketika kerajaan sedang berusaha mengurangkan defisit negara melalui rasionalisasi subsidi demi kebajikan rakyat dalam jangka masa panjang.
Pegawai dan kakitangan awam merupakan tulang belakang kepada kerajaan dan menjadi teras negara ini.
Banyak pihak dalam sektor awam mahu pengorbanan para pegawai awam tidak dilupakan oleh kerajaan dan dalam kes sesetengah langkah penjimatan, misalnya kelayakan tempat duduk penerbangan kelas ekonomi untuk perjalanan domestik pegawai JUSA C, mereka berharap idea itu hanyalah inisiatif sementara.
Apabila kerajaan kembali mempunyai kemampuan kewangan kelak, kelayakan untuk mereka yang menjadi sebahagian daripada terma-terma perkhidmatan sewajarnya dikembalikan.
Jumlah pekerja sektor awam di Malaysia seramai 1.4 juta orang sering dikritik sebagai terlalu besar untuk menyediakan perkhidmatan kepada 29 juta rakyat Malaysia. Itu adalah antara tuduhan tidak berasas yang dicetuskan oleh pembangkang yang bertujuan untuk meremeh-remehkan sumbangan pekerja sektor awam kepada negara.
Dalam perdebatan itu, isunya adalah bagaimana kita memberi definisi kepada sektor awam dan perbezaannya dengan definisi perkhidmatan awam di negara-negara lain.
Di United Kingdom, laporan Pejabat Perangkaan Nasional pada September 2013 menunjukkan di seluruh England, Wales, Scotland dan Ireland Utara, jumlah orang yang bekerja dalam sektor awam adalah sekitar 19.4 peratus daripada keseluruhan 29 juta pekerja di negara itu.
Dengan kadar peratusan itu, jumlah keseluruhan pekerja sektor awam di United Kingdom adalah seramai 5.7 juta orang dengan 1.6 juta bekerja dengan perkhidmatan kesihatan, 1.5 juta dalam bidang pendidikan dan 1.1 juta dalam pentadbiran am dan majlis-majlis tempatan.
Secara keseluruhannya terdapat 5.7 juta pekerja sektor awam di United Kingdom yang berkhidmat untuk 63 juta penduduk negara tersebut yang sistem pemerintahannya mempunyai pertalian dengan Malaysia. Di United Kingdom, terdapat seorang kakitangan sektor awam bagi 11 orang rakyat (1:11).
Dengan jumlah kakitangan awam hanya 1.4 juta, di Malaysia, nisbah pekerja sektor awam kepada penduduk ialah seorang kakitangan awam berkhidmat untuk 20 orang rakyat (1:20).
Di Greece, sebuah negara Eropah yang dilanda kemelut ekonomi, bankrap dan terpaksa diselamatkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan pakej bernilai AS$328 bilion (RM1,098 bilion), ia asalnya mempunyai seramai 913,000 pekerja sektor awam yang menyediakan perkhidmatan untuk 11 juta penduduk iaitu nisbah 1 kakitangan awam untuk 12 orang rakyat (1:12).
Pada Disember tahun lalu, jumlah kakitangan awam di Greece dapat dikurangkan kepada 681,000 orang iaitu pengurangan sebanyak 25 peratus (232,000 orang) yang dibuat serentak dengan pemotongan gaji untuk melunaskan komitmen Greece kepada IMF. Namun, nisbah pekerja sektor awam kepada penduduk negara itu masih sekitar 1:16.
Sekiranya dibandingkan dengan Malaysia yang mempunyai nisbah kakitangan awam dan penduduk 1:20, kakitangan awam di Malaysia sebenarnya lebih efisien dan mempunyai pelanggan yang jauh lebih ramai daripada rakan-rakan sejawatan mereka di United Kingdom, dan tidak sebanding langsung dengan Greece yang telah bankrap.
Memandangkan nisbah itu besar, tidak hairanlah kini ada pegawai awam di Malaysia terpaksa bekerja sehingga 10 jam sehari, yang diburukkan pula oleh perkembangan teknologi maklumat yang menuntut mereka memantau aduan rakyat melalui Facebook, Twitter, blog dan pelbagai lagi medium media baharu.
Bagaimanapun, kerana politik Malaysia akarnya telah diserabuti unsur-unsur perkauman, ada ahli politik pembangkang berketurunan Cina membuat dakwaan bahawa saiz perkhidmatan awam Malaysia terlalu besar dan perlu dikurangkan.
Berhati-hatilah apabila mendengar kritikan seumpama itu kerana ada waktunya kecaman dibuat dengan tujuan untuk melemahkan pentadbiran kerajaan. Apabila pentadbiran gagal ekoran kakitangan tidak cukup, ia boleh membangkitkan kemarahan rakyat dan menumbangkan kerajaan.
Kita wajar bertanya, mengapakah negara seperti United Kindom memerlukan saiz sektor awam yang terlalu besar sehingga 5.7 juta orang? Tentulah ada alasan-alasan ekonomi.
Dalam mana-mana sistem ekonomi, melainkan jika anda menjadi rakyat sebuah pulau kecil, kerajaan mempunyai peranan yang penting dalam memastikan guna tenaga mencapai tahap maksimum dan optimum, dan jika kerajaan berkemampuan untuk membayar gaji, tidak ada salahnya untuk mencontohi corak guna tenaga negara kapitalis seperti United Kingdom.
Banyak orang tidak sedar bahawa di Malaysia kakitangan dan pegawai kerajaan di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja sahaja mengutip cukai untuk negara sebanyak RM32 bilion setahun, dan perolehan itu kemudiannya digunakan untuk menguruskan dan membangunkan negara ini.
Kutipan itu dibuat oleh 13,000 kakitangan dan pegawai awam yang berkhidmat dengan Jabatan Kastam. Apakah yang akan berlaku jika kakitangan jabatan itu dikurangkan?
Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat kerana para pegawai awamnya, bersama para pemimpin politik, sejak dari mula negara ini merdeka sehingga sekarang telah mewujudkan sebuah sistem pentadbiran yang kompetitif, mentadbir negara dengan perancangan tersusun, mengaktifkan pelan pembangunan lima tahun, kajian separuh penggal pembangunan dan sentiasa menampilkan pelbagai gagasan lain.
Dalam proses bernegara, kita telah berada pada landasan yang kukuh. Dasar-dasar yang prorakyat diperkenalkan oleh pemimpin politik dan pelaksanaannya dilakukan dengan baik oleh kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam dalam tempoh enam dekad lalu. Gandingan mantap, sifat bahu-membahu dan saling memahami antara pemimpin politik dan para pegawai awam mesti kita teruskan kerana hubungan itu merupakan jantung kemakmuran Malaysia.
Perasaan terluka dan keliru ekoran langkah kawalan perbelanjaan yang diperkenalkan mulai 1 Januari lalu perlu diubati segera, dan ia sepatutnya menjadi ikhtiar sementara yang wajib difahami oleh pemimpin politik dan kakitangan perkhidmatan awam.
Janganlah kita membiarkan diri kita terperangkap dalam tohmahan kononnya wujud banyak sangat perkara negatif dan berleluasanya salah laku pegawai awam. Di tanah air kita, pada umumnya gejala itu adalah terkawal.
Malah, di Singapura yang diagung-agungkan oleh para pemimpin pembangkang Cina Malaysia, pada tahun lalu beberapa pegawai awam Cina Singapura terlibat dalam skandal seks dan penyelewengan pentadbiran sebagai imbuhan kepada peranan mereka dalam pemberian kontrak.
Kes-kes di Singapura itu menunjukkan di mana-mana negara sekalipun tiada gading yang tidak retak

A