SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Mac 2014

KERAJAAN JIMAT RM12.8, JUTA MENERUSI LANGKAH PENSTRUKTURAN SEMULA JPA

Bernama
31/3/2014


KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM12.8 juta kos emolumen dapat dijimatkan menerusi langkah penstrukturan semula penjawat awam di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pendekatan itu melibatkan kira-kira 500 anggota JPA sejak Mac tahun lalu.

"Langkah ini hanya melibatkan penempatan semula 507 kakitangan JPA ke agensi-agensi kerajaan yang lain dan tiada pekerja yang ditamatkan perkhidmatan.

"(Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak meminta saya melakukan transformasi semasa saya melaporkan diri di JPA pada 15 Mac lalu dan kini langkah itu sudah dilaksanakan di JPA dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) 2014, di ibu negara, Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.

Menyentuh mengenai inovasi, Mohamad Zabidi berkata setiap agensi perlu memberi fokus kepada dua faktor utama bagi menggalakkan inovasi iaitu penghasilan produk berkualiti tinggi dan proses yang lebih singkat.

"Proses inovasi kena cepat, contohnya kalau dulu ada 10 peringkat membuat keputusan, barangkali sekarang mungkin perlu ada dua atau tiga peringkat sahaja", katanya.

Pada majlis itu, MARA melancarkan Polisi Tiada Hadiah yang melarang serta-merta pemberian dan penerimaan hadiah bagi 18,000 kakitangannya di seluruh negara dengan pihak luar yang berkaitan dengan tugas rasmi.

--BERNAMA

27 Mac 2014

DBKL SEDIAKAN KEMUDAHAN PENGANGKUTAN

Sinar Harian
25/3/2014



DBKL sediakan kemudahan pengangkutan 
Ahmad Phesal (dua, kiri) dan Azih (kanan) bersama van yang menjadi salah satu pengangkutan kakitangan DBKL.
 
 
 
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi agensi kerajaan pertama menyediakan kemudahan pengangkutan kepada kakitangannya untuk ke tempat kerja, menerusi perjalanan dari beberapa stesen sistem transit ringan (LRT)  yang ditetapkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebanyak dua bas dan empat van disediakan untuk perjalanan pergi dan balik berdasarkan jadual perjalanan yang ditetapkan, dan beroperasi sejak 20 Mac lalu.

Menurutnya, inisiatif itu secara tidak langsung bantu mengurangkan kos pengangkutan kepada sebahagian kakitangannya sekali gus mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup di bandar.

“Penjimatan kira-kira RM100 boleh dibuat jika mengambil kira kos minyak kenderaan dan juga tambang pengangkutan awam.

“Sebelum dilaksanakan, bancian telah dibuat terhadap 10 peratus daripada 10,300 kakitangan DBKL dan rata-rata bersetuju cadangan kemudahan ini, dan mengemukakan beberapa lokasi  menunggu.

“Bagaimanapun, hasil kaji selidik, kita telah tetapkan empat lokasi iaitu Star LRT Bandar Tun Razak, Star LRT Sentul, Putra LRT Wangsa Maju, dan Komuter Batu Caves,” katanya selepas melancarkan Pengangkutan Khas Ke Tempat Kerja (PKKTL) DBKL Shuttle.

Ahmad Phesal berkata, kakitangan yang mahu menaiki kemudahan itu perlu menunjukkan kad e-akses kepada pemandu sebagai bukti.

“Ini  projek perintis,  jika menggalakkan, kita akan teliti untuk tambah kemudahan. Jika tiada sambutan daripada kakitangan DBKL, kita akan buka kepada mana-mana kakitangan kerajaan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda, menyifatkan inisiatif DBKL perlu dicontohi agensi lain demi impak positif hasil kerja.

“Dengan usaha ini diharapkan ia mampu menyumbang produktiviti yang lebih baik, termasuk perkhidmatan kepada orang awam,” katanya.

MISI CUEPACS 2014 BERAT

Sinar Harian
14/1/2014




AZIH MUDA 
AZIH MUDA
 
 
 
KONGRESS Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), antara badan popular yang lantang membela hak penjawat awam di negara ini. Penggal 2013-2016, badan ini dinaungi Presiden baharu, AZIH MUDA menggantikan Datuk Omar Osman bagi meneruskan misi memperjuangkan nasib kira-kira 1.4 juta penjawat awam. Walaupun baharu menggalas peranan itu, tanggungjawab berat menanti beliau lebih-lebih lagi tahun ini, berlaku rentetan kenaikan harga barangan yang memberi kesan kenaikan kos sara hidup.
 
Menyedari cabaran dan beban yang semakin berat bakal digalas, Azih menggariskan hala tuju Cuepacs dan beberapa tuntutan kepada Kerajaan dalam membantu penjawat awam menangani kos sara hidup. Ikuti wawancara Wartawan Sinar Harian, Noor Azura Sahril dan Jurugambar, Zulfadhli Zaki bersama beliau, di pejabatnya.
SINAR HARIAN: Tahniah atas pelantikan sebagai Presiden baharu Cuepacs. Seterusnya, apakah langkah dan hala tuju Cuepacs selepas ini?
AZIH: Umum mengetahui Cuepacs adalah kongres kesatuan sekerja yang bergabung dengan kesatuan sekerja, sama ada di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Segala suara yang berbangkit daripada ahli gabungan ini yang secara keseluruhannya  penjawat awam akan disampaikan kepada Cuepacs, dan Cuepacs merupakan  adalah payung kepada mereka.

Dalam tempoh penggal lalu, hubungan Cuepacs dengan ahli begitu  rapat dan sentiasa  turun padang, ke peringkat akar umbi. Begitu juga dengan penggal ini, saya akan teruskan kesinambungan ini untuk turun padang mendengar dan menyampaikan kepada kerajaan.

Apa yang Cuepacs perlu perkemas adalah hala tuju baharu yang disasarkan bermula 2014, adalah bagaimana soal kebajikan penjawat awam mendapat pembelaan sewajarnya.

SINAR HARIAN: Justeru, apakah fokus Cuepacs dalam membantu golongan ini?
AZIH: Hari ini, kita lihat Malaysia bergerak setanding dengan negara maju. Penjawat awam, yang sebahagian besarnya kumpulan pelaksana ini bekerja keras, berkhidmat dengan majikan mereka iaitu kerajaan.

Apalagi mereka ini adalah tulang belakang kepada kerajaan, ada antara yang berkhidmat sehingga 40 tahun tentunya jasa mereka dihargai  kerajaan, kerana merekalah yang membina negara bangsa. Oleh itu, Cuepacs memahami keluh kesah pekerja, supaya kerajaan mendengar apa yang dilahirkan oleh pekerja.

Bagi memastikan kebajikan ini, Cuepacs juga menitikberatkan soal anak-anak dan keluarga mereka dalam soal  pendidikan, pekerjaan dan utamanya adalah melahirkan modal insan yang mampu menjadi aset negara pada masa akan datang.

Kalau penjawat awam sebilangan besar peratusnya adalah golongan pelaksana, tidak mampu memberi didikan kepada anak mereka setaraf dengan negara maju,  kita bimbang dia tidak akan mampu melahirkan modal insan kepada negara.

Itulah harapan Cuepacs, bukan sahaja kepada penjawat awam, malah negara.

SINAR HARIAN: Tahun 2014, dikatakan tahun kenaikan kos sara hidup.  Penjawat awam juga turut tidak terkecuali menerima tempias kenaikan ini. Apakah inisiatif Cuepacs dalam meringankan beban penjawat awam?
AZIH: Dari segi semasa, kemelut kenaikan kos harga barang adalah fenomena yang berlaku di luar jangkaan kita. Bukan sahaja penjawat awam,  tetapi rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar yang disebut sebagai rakyat biasa juga terkesan dengan kenaikan harga barang.

Jika gagal dikawal, penjawat awam jadi miskin seperti dahulu. Terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kos perbelanjaan.

Kita lihat secara kasar pun, apabila harga minyak, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kadar tol dan pelbagai kenaikan lagi akan mempengaruhi harga barang-barang pengguna dalam pasaran, termasuk bahan mentah.

Kita juga hairan, mengapa syarikat GLC turut  memilih masa ini untuk kenaikan,  TNB umpamanya. Tetapi perlu kita ingat kenaikan tarif ini kepada industri, produk daripada industri ini mahal dan akan dijual dengan harga yang lebih mahal akhirnya pengguna kena bayar kos yang lebih.

Pasaran menentukan harga. Kita bimbang dengan GST pada 1 April 2015, akan dilaksanakan. Sudahlah harga barang naik, ditambah cukai 6 peratus itu. Di mana sumbernya?

Berdasarkan analisis Cuepacs, kos sara hidup yang meningkat antara lapan dan 10 peratus sekarang memberi tekanan kepada penjawat awam khususnya yang tinggal di kawasan bandar besar, memandangkan kenaikan gaji sektor awam hanya sekitar dua hingga 2.5 peratus.

Kumpulan pelaksana 2, yang gaji asasnya RM800 ditambah elaun,  berpendapatan RM1,100 sebulan pastinya tidak mampu menampung kos sara hidup terutamanya di bandar besar.

Pendapatan itu hanya mampu menampung perbelanjaan dua minggu. Akhirnya mereka (penjawat awam) terpaksa mencari kerja lebih masa.

SINAR HARIAN: Apakah cadangan Cuepacs dalam meringankan beban  penjawat awam?
AZIH: Cuepacs dalam menjaga kebajikan mahu kerajaan menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sepatutnya RM1,200 paling minima dan kita jangka dalam tempoh akan datang, ia akan disemak semula.

Pada 2011, Cuepacs mencadangkan kepada kerajaan supaya memperkenalkan gaji minimum RM900 untuk membantu kelompok kumpulan pelaksana seperti pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu yang menerima gaji asas bawah RM700 sebulan.

Kami juga menyarankan kerajaan menyelaraskan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi seluruh negara tanpa mengira kawasan luar bandar atau bandar. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan kenaikan Cola sedia ada dari RM300 kepada RM450.

Bercakap dengan kenaikan kos, harga di luar bandar adalah lebih mahal berbanding di bandar  kerana logistik. Dengan kenaikan harga minyak dan kadar tol ini meningkatkan lagi  kos logistik.

Selain itu, Cuepacs juga mencadangkan kepada kerajaan, meningkatkan elaun perumahan penjawat awam sedia ada. Dengan kenaikan harga rumah sekarang ini, jumlah sedia ada tidak  mencukupi. Kebajikan perumahan, penting dalam kehidupan keselesaan keluarga. Kita sedia maklum, kenaikan harga rumah sekarang berlaku luar biasa.

Persoalannya, adakah mampu penjawat awam membeli rumah RM150,000 ke atas. Justeru, Cuepacs mencadangkan tidak menswastakan pinjaman perumahan kerajaan.

Cuepacs tidak bersetuju bahagian pinjaman  ia diserahkan kepada bank, yang akhirnya akan memberi bebanan kepada peminjam.

Kerajaan perlu bina rumah lebih rendah daripada rumah Prima, menyegerakan membina rumah di bawah RM90,000 ke bawah termasuk mempertimbangkan kuota 30 peratus dibina oleh  Jabatan Perumahan Negara dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

SINAR HARIAN: Adakah Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan meringankan beban rakyat menangani kenaikan kos sara hidup?
AZIH:  Saya tidak fikir ia menyelesaikan semua masalah, tetapi mungkin hanya satu dua. Kerajaan beri BR1M sebagai usaha membantu rakyat yang memerlukan.

Subsidi tidak dinikmati oleh golongan sasaran. Oleh itu langkah kerajaan mengurangkan subsidi dan memberikan BR1M benar-benar membantu rakyat. Malah, ada penjawat awam juga mendapat  BR1M.

SINAR:  Bagaimana  pula respons Cuepacs terhadap 11 langkah penjimatan oleh Kerajaan. Adakah itu boleh dianggap usaha  Kerajaan itu memadai, sewaktu rakyat juga diminta berjimat?
AZIH:  Pendekatan penjimatan  yang dilaksanakan kerajaan itu  bertepatan dan wajar diterima semua pihak. Cuepacs menyokong penuh usaha drastik kerajaan dalam memastikan pengurusan kewangannya diurus secara lebih berkhemah dan tidak dibazirkan dengan perbelanjaan tidak relevan.

Mengoptimumkan penggunaan pejabat dan premis kerajaan, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), pengurangan lima peratus kos utiliti elektrik serta mengetatkan pelantikan juru perunding untuk projek fizikal kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan. Dalam pada itu, kerajaan perlu  mengurangkan agihan pengurusan projek pembangunan kepada banyak kontraktor, selain memastikan projek yang dilaksanakan tidak terbengkalai atau lewat siap.

SINAR HARIAN: Sebagai badan yang membela hak-hak  penjawat awam, bagaimana respons Kerajaan terhadap tuntutan Cuepacs?
AZIH: Perdana Menteri sentiasa memberi komitmen dan iltizam, kerajaan akan membantu rakyat berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam hal kebajikan mereka.

Cuepacs amat mengalu-alukan, malah Cuepacs juga melihat soal kebajikan ini bukan hal retorik.Kita harapkan satu perbincangan dengan kerajaan dalam mencari jalan. Peranan kedua belah pihak memastikan situasi menang-menang agar segala tuntutan dapat dilaksanakan.

21 Mac 2014

CUEPACS, FOMCA SAMBUT BAIK BR1M NAIK RM300

Sinar Harian
20/3/2014



  • BR1M 3.0 BR1M 3.0
KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyokong penuh usaha kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup dan cadangan meningkatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan sebanyak RM300.

Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata inisiatif itu sememangnya jelas memperlihatkan usaha murni kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.
  
"Kami alu-alukan apa jua kebaikan yang kerajaan buat demi kesejahteraan rakyat dan saya merasakan kenaikan bantuan BR1M itu adalah penting.
 
"Pemberian BR1M oleh kerajaan bukan sahaja mem­beri faedah kepada rakyat berpendapatan rendah malah peniaga juga akan menikmati keuntungan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
  
Justeru, katanya, konsep BR1M sememangnya bertujuan untuk membantu rakyat dan membawa kebaikan walaupun mungkin sebilangan berpendapat bantuan yang diberikan tidak seberapa.
  
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda menyambut baik kenaikan BR1M tahun depan dalam membantu golongan memerlukan mengurangkan beban kos sara hidup khususnya penjawat awam.
  
"Kami merasa bangga kalau kerajaan memutuskan tahun depan BR1M ditambah sebanyak RM300 kerana ini adalah sumbangan bersasar yang kerajaan sampaikan kepada kumpulan berpendapatan rendah termasuk juga separuhnya adalah penjawat awam," katanya.

Bagaimanapun Azih tetap berpendapat kerajaan harus meneliti kembali kadar gaji minimum penjawat awam untuk dinaikkan kepada RM1,200 bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
  
Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa setiap penerima BR1M bakal mendapat tambahan RM300 seorang sebagai menampung kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 1.8 peratus, berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
  
BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
  
Pada tahun ini, BR1M 3.0 telah dilaksanakan dan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450 dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerima bantuan sebanyak RM650, sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan menerima bantuan RM300.
  
Program BR1M 3.0 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.2 bilion daripada kerajaan, telah memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang. - Bernama

19 Mac 2014

PEJAWAT AWAM DIINGATKAN TIDAK SEBAR MAKLUMAT TIDAK TEPAT MENGENAI MH370

Bernama
19/3/2014


KLUANG, 18 Mac (Bernama) -- Penjawat awam di negara ini diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat berkaitan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata arahan sudah dikeluarkan pihaknya terhadap kira-kira 1.4 penjawat awam supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang penyebaran atau spekulasi berhubung penerbangan MH370 berkenaan.

"Banyak pihak terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga sudah berkali-kali mengingatkan hal ini. Jadi, saya mahu penjawat awam menjadi benteng pertahanan negara dengan tidak menjadi 'api dalam sekam' atau 'gunting dalam lipatan'," katanya.

Mohamad Zabidi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Transformasi Kepimpinan Muda di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan, di sini Selasa.

Beliau berkata sebagai pemimpin masa hadapan, penjawat awam terutama golongan muda mesti berpegang teguh terhadap kesetiaan kepada negara lebih-lebih ketika pelbagai dugaan menimpa negara, seperti kemarau dan jerebu.

Mengenai wacana terbabit, beliau berkata program pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan pihak swasta, komuniti setempat serta badan bukan kerajaan itu dapat 'merakyatkan perkhidmatan awam'.

Beliau berkata program itu yang sudah diadakan di INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur akan diteruskan di kampus INTAN Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah; kampus INTAN Wilayah Timur di Kemaman, Terengganu, kampus INTAN Kota Kinabalu, Sabah serta kampus INTAN Kota Samarahan, Sarawak.

"Menerusi program wacana ini, kita bawa ikon belia yang berjaya dalam bidang masing-masing bagi berkongsi kisah dan kejayaan mereka. Kita juga mahu menarik golongan muda khususnya generasi X dan Y bersama-sama membicarakan tentang dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang," katanya.

-- BERNAMA

12 Mac 2014

MERAKYATKAN PERKHIDMATAN SPA

Utusan Malaysia
10/3/02014





MAHMOOD ADAM

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih sete­ngah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakita­ngan kerajaan.Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika diban­dingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ­NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-­baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.
Boleh ceritakan latar belakang SPA?
MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib.
Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?
Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat.Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.
Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan.
Apakah contoh transformasi yang dibuat?
Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun. Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga. SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja.
Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik. Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini. Kita turut menghapuskan dasar ‘One Step Lower’ bagi membolehkan calon berkela­yakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.
Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?
Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan. Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara.
Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF). Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan.

Apakah transformasi paling besar?

Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian. Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan ti­dak berlaku sebarang penipuan. Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi peni­laian lain.
Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.
Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?
Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.
Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain. Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan.
Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?
Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta. Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.
Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan.
Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?
Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wa­kil media terbabit. SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.
Pegawai SPA juga pergi memberi pene­rangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia.
Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?
Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain. Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan.Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.
Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi. Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.
Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain.Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.

05 Mac 2014

KAJI SEMULA TERMA KORPORAT 3 INSTITUT MOSTI

Utusan Malaysia
3/3/2014



KUALA LUMPUR 3 Mac - Kerajaan digesa untuk mengkaji semula terma-terma di bawah pengkorporatan tiga institusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan segera bagi memastikan kebajikan kakitangan awam yang terlibat terbela.Tiga institut terbabit ialah Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm); Institut Agro-Bioteknologikal Malaysia (ABI) serta Institut Genom Malaysia (MGI) yang akan digabung menjadi Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, perkara itu amat penting memandangkan beberapa syarat dan faedah yang ditawarkan di bawah pengkorporatan tiga agensi itu dilihat tidak setimpal berdasarkan kepakaran yang dimiliki oleh kakitangan yang telah lama berkhidmat. "Antara faedah yang terjejas menerusi skim korporat yang ditawarkan ialah gaji, skim persaraan, kelayakan gratuiti dan perubatan yang tidak sama sebelum dikorporatkan.

"Perkara ini menyebabkan penjawat awam berasa tertekan. Oleh itu, kami berharap agar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian serius berikutan hal ini melibatkan kebajikan kakitangan awam," katanya dalam sidang akhbar berkenaan pengkorporatan tiga agensi di bawah MOSTI di sini hari ini.Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bersetuju menangguhkan sementara pengkorporatan tiga agensinya pada 1 Mac ini sehingga tempoh yang belum ditetapkan ekoran rayuan yang dikemukakan CUEPACS.

Bagaimanapun, menurutnya, langkah pengkorporatan tiga agensi terbabit akan tetap dilaksanakan kerana telah diputuskan oleh Kabinet.Jelas Azih Muda, kenaikan gaji yang ditawarkan menerusi skim korporat itu jauh lebih rendah."Sepatutnya gaji yang ditawarkan tidak kurang 17.5 peratus daripada gaji semasa namun kami dapati penjawat awam bakal menerima hanya RM300 yang tidak memenuhi syarat dinikmati oleh kakitangan awam biasanya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan segelintir pegawai tinggi di tiga institusi terbabit yang mengarahkan kira-kira 71 pekerja institusi berkenaan untuk menandatangani skim korporat secara paksa pada 27 Februari lalu."Difahamkan kebanyakan pekerja terbabit terpaksa akur dengan tekanan yang diberikan oleh pihak pengurusan yang tidak mengajak berunding sebaliknya memberi pilihan sama ada untuk menyertai skim tersebut atau diberhentikan perkhidmatan serta tidak dibayar gaji," katanya.

CUEPACS CADANGAN NAIK GAJI MINIMUM 30%

Utusan Malaysia
2/3/2014


KOTA BHARU 2 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya gaji minimum penjawat awam dinaikkan sebanyak 30 peratus.Presidennya, Azih Muda berkata, cadangan ini seiring dengan kenaikan harga barang yang memberi tekanan hidup kepada kakitangan awam berjawatan rendah.Beliau berkata, kenaikan tersebut adalah wajar memandangkan gaji minimum sekarang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.
"Kenaikan harga barang memberikan tekanan kepada rakyat terutama penjawat awam berpendapatan rendah. "Justeru, kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 daripada RM900 sebulan membantu penjawat awam untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Penerangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Dato' Ahmad Padzli, Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahaya Mamat. Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS Kelantan, Aminuddin Awang. Menurut Azih, kenaikan gaji minimum itu perlu dilakukan segera kerana mereka adalah tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan. "Kebajikan mereka harus dibela. Jadi, saya berharap kerajaan akan membantu dan memberi keutamaan dalam isu kenaikan gaji ini," katanya.Sementara itu beliau berkata, CUEPACS turut mencadangkan supaya kerajaan menambah jumlah katil di hospital awam bagi menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.

"Hospital kerajaan terpaksa menampung lebih 10 peratus rakyat Malaysia tidak termasuk pekerja asing serta pesakit luar. "Keadaan tersebut menyebabkan jumlah katil di hospital tidak mampu menampung bilangan pesakit terutama kakitangan awam," katanya.

KERJAAN DIMINTA KAJI SEMULA SKIM PEKERJA DI INSTITUT MILIK MOSTI

Bernama
3/3/2014


PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengkaji semula skim pekerja di tiga institusi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Presiden Ceupacs Azih Muda berkata institut terbabit ialah Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPharm), Institut Agro-Bioteknologikal Malaysia (ABI) dan Institut Genom Malaysia (MGI) yang bakal digabung di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).

"Antara skim pekerja yang dilihat tidak memberi keadilan kepada para pekerja di tiga institusi ini ialah skim gaji, skim pesaraan, kelayakan gratuiti dan skim perubatan yang tidak sama sebelum dikorporatkan," katanya dalam sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia malam ini.

Pada 17 Feb lepas, Azih meminta Mosti menangguh pelaksanaan pengkorporatan tiga institusi miliknya sehingga 1 Mac dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam permasalahan itu demi menjaga kebajikan kakitangan namun langkah berkenaan tetap diteruskan.

Justeru, Ceupacs meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengambil perhatian terhadap permasalahan itu kerana membabitkan kebajikan kakitangan di institusi berkenaan untuk jangka panjang.

Azih berkata Cuepacs kesal dengan tindakan pihak pengurusan tertinggi di institusi terbabit yang dilihat seperti memaksa kira-kira 71 pekerjanya untuk menandatangani skim korporat pada hujung Februari lepas.

"Selepas menerima tekanan daripada pengurusan tertinggi, sama ada menerima tawaran atau diberhentikan kerja dan tidak dibayar gaji, pekerja tiada pilihan selain menandatangani skim berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

02 Mac 2014

CUEPACS CADANG GAJI MINIMUM PENJAWAT AWAM DINAIKAN

Utusan Malaysia
2/3/2014




KOTA BHARU 2 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya gaji minimum penjawat awam dinaikkan sebanyak 30 peratus.Presidennya, Azih Muda berkata, cadangan ini seiring dengan kenaikan harga barang yang memberi tekanan hidup kepada kakitangan awam berjawatan rendah.
"Justeru, kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 daripada RM900 sebulan boleh membantu penjawat awam untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE