SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

26 November 2014

CUEPACS KESAL UGUTAN BUNUH TERHADAP ANGGOTA JPJ

Bernama
25/11/2014


SERDANG, 25 Nov (Bernama) -- Cuepacs meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap dua individu yang mengeluarkan perkataan kesat dan ugutan bunuh melalui laman sesawang terhadap anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata dua individu terbabit membuat ugutan itu selepas tidak berpuas hati terhadap kenyataan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, baru-baru ini.

Beliau berkata apa yang dimaksudkan oleh Ismail ialah sekiranya tiada langkah penguatkuasaan diambil terhadap pengguna jalan raya, maka unjuran kes kematian pada tahun 2020 akan mencecah kepada 10,716 kematian.

"Ketua Pengarah JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa statistik pada 2020 menjangkakan angka kematian akibat kemalangan jalan raya adalah 10,716 orang.

"Itu cuma statistik, orang ramai sepatut menerimanya sebagai satu perangkaan sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Organisasi Yayasan Pekerja Malaysia (Yapem), di sini hari ini.

Azih berkata JPJ cuba menguatkuasakan undang-undang sedia ada namun telah menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada dua individu itu sehingga sanggup mengeluarkan perkataan kesat dan ugutan bunuh kepada anggota JPJ.

"Perbuatan mengugut hingga mengancam keluarga dan anak-anak anggota JPJ merupakan perilaku yang berada di luar norma batasan manusia yang waras," katanya.

Sehubungan itu, dua laporan polis dibuat oleh lapan anggota Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri berkata penyebaran ugutan bunuh dan kata-kata kesat dikesan di laman sesawang sejak tiga hari lepas.

-- BERNAMA

25 November 2014

SETIAP PENJAWAT AWAM PERLU FAHAM DENGAN JELAS TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM - KP JPA

Bernama
24/11/2014



KANGAR, 24 Nov -- Setiap penjawat awam perlu memahami dengan jelas transformasi sektor awam supaya matlamat yang ditetapkan tercapai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Zabidi Zainal.

Beliau berkata transformasi juga untuk meningkatkan integriti, keberkesanan dan kelicinan sistem penyampaian, dinamik dan berjiwa rakyat serta menambah nilai perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata, "Isu-isu membabitkan agensi-agensi tertentu ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga' telah merosakkan seluruh perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, katanya, isu tanah runtuh dan pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands telah menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam di kalangan rakyat timbul.

"Persepsi negatif ini perlu diubah dengan memenuhi kepercayaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai tiang seri kerajaan yang memerintah," katanya.

Mohamad Zabidi berucap merasmikan program 'Semarakkan Transformasi dan Jelajah #myGST4U' peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Isnin.

Setiausaha kerajaan Perlis, Romli Dai serta wakil CUEPACS dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri turut hadir.

Sebanyak 20 booth mempamerkan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Jabatan-jabatan kerajaan hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Kena buat koordinasi, tidak boleh bertindak sendiri, malah pemikiran juga kena berubah. Inilah transformasi sebagai satu pasukan.

"Apabila pendekatan ini dilaksanakan, masalah tidak cukup anggota tidak akan berlaku. Kita juga mesti responsif dan memberi yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Menurutnya program tersebut bagi membolehkan JPA dan agensi-agensi lain menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan mengenai CBP serta menjawab keraguan atau pertanyaan mengenainya.

Mohamad Zabidi berkata program itu yang telah dibuat di Perak, Kedah dan Sabah menunjukkan kefahaman penjawat awam semakin meningkat berdasarkan maklum balas positif hasil sesi soal jawab, forum dan pameran yang diadakan.

"Sekiranya penjawat awam boleh bertindak sebagai jurucakap dengan menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, akan berlaku kesan berganda yang memberi impak besar mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan CBP," katanya.

Beliau menambah Perlis adalah negeri pertama melaksanakan Lab Transformasi dengan kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan memberi pendedahan mengenai transformasi perkhidmatan awam kepada semua penjawat awam.

Katanya, program sama akan diadakan di Johor Baharu pada 2 Dis depan.

-- BERNAMA

24 November 2014

PEMUDA UMNO KL KEMUKA USUL ISU PERUMAHAN GOLONGAN MUDA

Bernama
23/11/2014




KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Isu perumahan yang membelenggu golongan belia masa kini menjadi usul utama yang akan dibahaskan Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada perhimpunan agung sayap Umno itu, Selasa ini.

Ketuanya Mohd Razlan Muhammad Rafli berkata kerajaan perlu mengambil tindakan drastik bagi mengurangkan pembangunan perumahan mewah yang akhirnya hanya mampu dimiliki golongan berpendapatan tinggi, menyebabkan masalah perkauman terus wujud.

"(Kerajaan) kena fikirkan tentang kemampuan orang Melayu, bagaimana sesuatu pembangunan kawasan perumahan itu mampu dimiliki oleh semua kaum agar wujud masyarakat majmuk... ini penting," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Perhimpunan Agung tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan berlangsung pada Rabu ini.

Masalah harga rumah yang melambung tinggi terutamanya di kawasan bandar di negara ini menjadi isu utama kalangan rakyat, khususnya generasi muda yang ingin memiliki rumah sendiri.

Menurut Laporan Indeks Harga Rumah Global Knight Frank, Jun lepas, Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam kalangan negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi pada suku pertama tahun ini daripada 54 negara yang terlibat dalam kajian itu.

Laporan itu menyebut harga rumah di Malaysia meningkat lapan peratus berbanding tempoh sama pada 2013.

Mohd Razlan berkata kerajaan perlu berpandangan lebih jauh agar masyarakat berbilang bangsa di negara ini dapat terus mengamalkan konsep perpaduan yang terjalin sejak sekian lama.

"Jika sesuatu kawasan perumahan itu hanya dikuasai oleh majoriti satu kaum sahaja, apa akan berlaku 10 tahun selepas itu?. Kerajaan kena tengok apa sebenarnya keadaan sosial sesuatu tempat (sebelum melaksanakan pembangunan).

"Tapi kalau aspirasi kerajaan masih nak tentukan setiap bangsa itu bercampur dengan bangsa lain, kerajaan kena pantaulah... kerajaan kena ambil langkah untuk turunkan harga rumah," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda dalam satu laporan akhbar hari ini dipetik sebagai berkata bahawa penjawat awam berisiko menjadi gelandangan sekiranya kerajaan tidak mengawal harga rumah yang kini melambung tinggi.

Pada akhir September lepas, Cuepacs mendapati hampir 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Bagi membantu golongan belia memiliki rumah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2015 Oktober lepas mengumumkan pewujudan Skim Perumahaan Belia.

Sklim itu menawarkan pemilikan rumah pertama, bernilai tidak melebihi RM500,000 kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum, 35 tahun.

-- BERNAMA

23 November 2014

SPRM BERHAK AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEGAWAI TERLIBAT RASUAH DI CAMERON HIGHLANDS - KSN

Bernama
18/11/2014



Tan Sri Dr Ali Hamsa



KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu arahan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau yakin SPRM sebagai badan bebas akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit mengikut peruntukan undang-undang.

"SPRM adalah badan bebas, jadi mereka akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Kami (kerajaan) tidak perlu memberi apa-apa arahan (kepada SPRM)," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat arahan pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada 48 pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di ibu pejabat Jabatan Perhilitan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilaporkan sebagai berkata, badan itu sedang menyiasat dua pegawai tinggi kerajaan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi itu hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.

Sebelum itu, Ali dalam ucapannya menyeru jabatan-jabatan terlibat dalam aktiviti penguatkuasaan perhutanan supaya melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara proaktif melalui kolaborasi dengan JPSM bagi memastikan tugas itu dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh.

"Saya percaya dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan, pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi khususnya yang melibatkan bidang penguatkuasaan.

"Saya difahamkan JPSM sedang dalam tindakan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi aspek penguatkuasaan hutan bagi memastikan sumber alam semula jadi negara ini dalam keadaan terjaga dan diuruskan dengan baik," katanya.

-- BERNAMA

KENIAKAN GAJI TIDAK KURANG 10 PERATUS WAJAR DIBERI PERTIMBANGAN

Bernama
22/11/2014
Oleh Nurulhuda Che Das


Datuk Azih Muda


KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi para pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa, khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima.

"Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara hidup.

"Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan Isnin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak tahun 1960.

Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lepas, paras produktiviti pekerja sentiasa me-lebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga pe-ningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus sahaja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang---peme-gang kepentingan sesebuah entiti tersebut, kata Charon.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam yang senada dengan Azih berkata kenaikan gaji lebih daripada 10 peratus boleh membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.

Kenaikan itu juga katanya akan merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan pula berbeza pendapat apabila mengatakan peningkatan sebenar produktiviti tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja.

Sebagai contoh, beliau berkata, menurut laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), purata kenaikan produktiviti pekerja adalah kira-kira 2.5 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini.

"Tetapi kalau kita lihat kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja terutamanya sektor swasta ialah sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

"Ini sudah tentu melebihi kadar peningkatan produktiviti berkenaan dan kadar itu juga harus dibandingkan dengan kadar sebenar produktiviti yang kita ada pada masa ini, yang mana tahapnya adalah kira-kira tujuh kali lebih rendah daripada di Amerika Syarikat dan Jepun.

"Jadi kalau kita ingin mengatakan bahawa peningkatan gaji itu tidak tinggi kalau dibandingkan dengan nilai produktiviti, itu adalah sesuatu yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai satu lagi laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyebut harga rumah yang boleh dibeli berdasarkan gaji median tahunan rakyat Malaysia masih lagi mahal daripada yang sepatutnya, Shamsuddin berkata kerajaan bertanggungjawab untuk mengawal harga berkenaan supaya harga rumah mampu untuk dimiliki.

Gopal Kishnam pula berpendapat kerajaan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan harga rumah ditentukan oleh pasaran semasa.

-- BERNAMA

22 November 2014

KERAJAAN DIMINTA PERTIMBANG TINGKATKAN KADAR CARUMAN KWSP

Bernama
21/11/2014





KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi golongan pekerja berikutan peningkatan kos sara hidup kini, kata Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Beliau berkata peningkatan caruman itu bagi memastikan pekerja yang akan bersara mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyara kehidupan berikutan peningkatan kos sara hidup.

"Kalau kita lihat, jumlah caruman (terkumpul) bagi yang berpendapatan rendah pada umur 55 tahun tidak sampai RM50,000. Kalau hendak hidup 10 tahun lagi, cukupkah RM50,000 ini?

"Kerajaan harus mempertimbangkan supaya kadar caruman majikan dinaikkan daripada 13 peratus kepada sekurang-kurangnya 15 peratus dan bagi pekerja pula harus dinaikkan daripada 11 peratus kepada 12 atau 13 peratus," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat akhir mengenai 'Konvensyen Perpaduan Nasional' di sini Jumaat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan sedang mengkaji mekanisme bagi memastikan pencarum KWSP mempunyai simpanan mencukupi untuk menyara hidup mereka selepas bersara.

Pada masa yang sama, Azih juga menegaskan bahawa Cuepacs tidak bersetuju dengan cadangan KWSP untuk melanjutkan umur bagi pengeluaran keseluruhan simpanan persaraan kepada 60 tahun.

"Beri opsyen kepada pencarum untuk menentukan bila dia nak keluar (simpanan KWSP)... Jangan esok kalau dia mati, langsung tak dapat," katanya.

Sementara itu, Azih yang juga Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Perpaduan Nasional berkata sebanyak 320 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengesahkan kehadiran untuk konvensyen itu pada Ahad di Pusat Islam di sini.

"Konvensyen ini akan mengupas semua perkara daripada perlembagaan sampai kepada kontrak sosial yang merangkumi soal ekonomi, politik dan pendidikan yang menjurus kepada kepentingan perpaduan di negara kita," katanya.

Beliau berkata sebanyak 25 peserta telah menawarkan diri untuk membahaskan penyediaan memorandum perpaduan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika perhimpunan agung Umno minggu depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan merasmikan konvensyen itu.

-- BERNAMA

18 November 2014

CUEPACS: KERAJAAN PERLU SERIUS NAIKKAN ELAUN RISIKO PENGUAT KUASA

Bernama
17/11/2014


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengulangi permintaannya supaya kerajaan secara serius menimbangkan kenaikan elaun risiko bagi anggota penguat kuasa.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini kerana anggota penguat kuasa menghadapi tekanan hidup berikutan pendapatan yang rendah selain kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ada dalam kalangan agensi penguatkuasaan cuma dibayar RM200 untuk elaun risiko. Malah ada agensi yang tidak membayar langsung walhal mereka berdepan pelbagai ugutan, termasuk bunuh, ketika menjalankan tugas penguatkuasaan hingga menjejaskan keselamatan diri sendiri dan keluarga.

"Justeru itu, kita sekali lagi memohon kerajaan dan pihak berwajib ambil perhatian dengan menaikkan bayaran itu kepada RM500 hingga RM800 sebulan. Secara tidak langsung ia akan meringankan beban kewangan anggota terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Cuepacs sebelum ini dilaporkan telah meminta kerajaan menimbangkan kenaikan elaun risiko bagi tujuh badan penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek pula dilaporkan sebagai berkata kementerian akan mengusulkan kepada Kabinet untuk menaikkan elaun penguat kuasa kementerian daripada RM200 sekarang.

Azih berkata selain menghargai pengorbanan anggota-anggota penguatkuasaan, kenaikan elaun risiko itu juga akan membantu meningkatkan semangat menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Penambahbaikan ini juga sekali gus mampu mengelakkan perbuatan rasuah sesuatu aktiviti atau operasi penguatkuasaan dijalankan.

"Sesetengah anggota penguat kuasa pada mulanya cuma berjinak-jinak mengambil rasuah ... mula-mula hanya mencuba dan mengambil sedikit, lama-lama menjadi amalan buruk dan tabiat kerana kos sara hidup, kurangnya pendidikan agama, dan kelemahan integriti yang telah dihidu pihak berkepentingan yang pantas mengambil kesempatan," katanya.

-- BERNAMA

CADANGAN UMUR 60 TAHUN KELUAR

Bernama
17/11/2014
Oleh Siti Baaqiah Mamat


KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa menerima cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan umur bagi pengeluaran keseluruhan simpanan persaraan kepada 60 tahun, kerana ia dilihat tidak memberi peluang kepada mereka yang memilih untuk bersara awal.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, had usia pengeluaran wang simpanan itu seharusnya berpadanan dengan usia persaraan seseorang memandangkan tidak semua pekerja bersara pada usia 60 tahun.

"Pada masa kini, terdapat pesara yang memilih untuk bersara pada usia 58 tahun. Bagaimana dengan mereka? Adakah mereka juga perlu menunggu sehingga dua tahun untuk mengeluarkan wang simpanan?

"Had pengeluaran simpanan itu haruslah berpadanan dengan usia persaraan untuk memberi peluang mereka menggunakan wang tersebut bagi tujuan seperti membeli rumah atau mengerjakan haji," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan KWSP bercadang untuk melanjutkan sehingga umur 60 tahun bagi membolehkan pencarumnya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan, bukan lagi pada usia 55 tahun seperti sekarang ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pengurusan Strategi) KWSP Tunku Alizakri Alias berkata cadangan itu sejajar dengan pelaksanaan umur persaraan 60 tahun.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamed Aslam Haneef juga bersetuju bahawa cadangan itu perlu diperhalusi, kerana perbezaan lima tahun jangka masa pengeluaran tidak dilihat membawa perbezaan yang ketara kepada jumlah tabungan pencarum.

Beliau berkata langkah itu mungkin bertujuan mahu memastikan wang simpanan 'bertahan lama', namun ia tidak semestinya berjaya jika dibelanjakan tanpa berhemah oleh pencarum.

"Difahamkan ramai pencarum KWSP mempunyai simpanan persaraan di bawah RM50,000 dan berkemungkinan menghabiskan caruman mereka antara tahun pertama hingga tahun kelima persaraan," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Aslam berkata antara langkah yang boleh diambil untuk 'membantu' pencarum, khususnya mereka yang berpendapatan rendah adalah dengan 'intervensi pihak berkenaan' meningkatkan pendapatan yang diterima golongan ini.

"Mereka yang berpendapatan rendah hanya boleh menyumbang dalam jumlah sedikit dalam KWSP sehingga usia persaraan. Jika pendapatan mereka bertambah, baharulah simpanan KWSP juga meningkat," katanya.

Mohamed Aslam juga menasihatkan masyarakat untuk tidak hanya bergantung kepada simpanan KWSP, sebaliknya menyediakan simpanan peribadi atau menggunakan saluran pelaburan dalam pasaran untuk meningkatkan simpanan persaraan.

"Pada usia 55 tahun, jika seseorang menerima wang KWSP melebihi RM100,000 sekali pun secara kasar, mereka tidak boleh hidup selesa berbekalkan wang sebanyak itu kerana jumlah simpanan tersebut tidak mencukupi untuk membiayai keperluan kewangan ahli sepanjang tempoh persaraan mereka.

"Cara terbaik ialah seseorang perlu ada simpanan lain dan mesti menyimpan wang dan melabur sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bersih bulanannya," katanya.

Sehingga September lepas, sebanyak 68 peratus ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai kurang RM50,000 simpanan dan hanya 33 peratus memenuhi simpanan asas iaitu minimun RM196,800 untuk memberikan pendapatan bulanan RM820 bagi tempoh 20 tahun.

-- BERNAMA

16 November 2014

JANGAN TUNGGU RAKYAT MINTA BANTUAN, KATA KSN KEPADA PENJAWAT AWAM

Bernama
15/11/2014



SUNGAI BESAR, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan dan agensi kerajaan perlu mencari dan memberi perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat dan bukan hanya menunggu rakyat meminta bantuan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyak program turun padang bersama masyarakat agar perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasaran dengan lebih cepat.

"Penjawat awam tidak mengira jawatan atau pangkat perlu sanggup meluangkan masa dan mengorbankan keselesaan bekerja di pejabat untuk pergi berjumpa orang ramai di kampung dan bandar kecil untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.

"Seperti contoh kita jangan terlalu berharap orang yang memerlukan bantuan akan sendiri pergi ke mana-mana jabatan kebajikan, kita sebagai petugas perlu turun padang mencari maklumat individu yang memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Sri Bernam di sini Sabtu.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Ismail Ahmad.

Dalam program itu, 533 warga emas di sekitar kawasan itu memperoleh lesen motosikal masing-masing.

-- BERNAMA

09 November 2014

LEBIH 200 PENJAWAT AWAM SERTAI 'EKSPLORASI TRANSFORMASI 2014'



Bernama
8/11/2014



PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Lebih 200 penjawat awam dengan 65 kereta menyertai program kembara mencari harta karun "Eksplorasi Transformasi 2014' bermula dari perkarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melepaskan acara itu yang disertai wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Menurut kenyataan JPA yang diedarkan pada majlis itu para peserta akan menguji kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing dalam kembara atau 'treasure hunt' berkenaan bertemakan patriotisme dan bahasa kebangsaan.

"Semangat dan persaingan sihat seumpama ini yang kita perlukan dalam kalangan penjawat awam untuk melaksanakan transformasi berterusan," menurut kenyataan itu.

Aktiviti anjuran Bahagian Transformasi Sektor Awam JPA dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Intan Bukit Kiara dan Kelab JPA itu bertujuan menyebarluaskan agenda transformasi negara.

Selain itu ia berhasrat mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penjawat awam bagi menyokong program transformasi perkhidmatan awam. Mohamad Zabidi akan menyampaikan hadiah di Kompleks di Intan, Bukit Kiara.

-- BERNAMA

06 November 2014

PENJAWAT AWAM JADI JURUCAKAP PELAKSANAAN CBP KEPADA RAKYAT

Bernama
5/11/2014

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah 1.52 juta orang perlu memainkan peranan sebagai jurucakap kerajaan khususnya untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha itu membolehkan penjawat awam memperluaskan peranan untuk menerangkan dasar itu kepada keluarga, masyarakat dan komuniti serta rakyat di semua peringkat.

"Apa yang penting adalah penjawat awam merupakan penggerak utama untuk melaksanakan dasar kerajaan dengan memberi pemahaman mendalam tentang CBP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah myGST4U di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, Rabui.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi percaya pemahaman di kalangan penjawat awam khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berada di tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setakat ini, pemahaman tentang CBP dilihat lebih baik dan menyerlah berbanding sebelum penerangan ini berpandukan kepada soalan yang diutarakan, mereka faham tentang CBP dan kenapa CBP diperkenalkan berbanding cukai sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sabah merupakan negeri kedua bagi program turun padang JPA dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"Sesungguhnya, pelaksanaan CBP tidak akan berjaya tanpa sokongan dan peranan yang perlu dimainkan oleh semua penjawat awam kerana mereka bertanggungjawab untuk membantu kerajaan memperbetulkan persepsi salah mengenai CBP di kalangan penjawat awam sendiri dan menyebar luas kebaikan cukai itu," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam masih mengamalkan nilai integriti yang tinggi meskipun terdapat segelintir anggota penguatkuasa yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Program itu disertai lebih 1,500 penjawat awam negeri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan berkanun negeri.

-- BERNAMA

02 November 2014

MEKANISME KERAJAAN SAMPAIKAN MAKLUMAT CBP BUKAN PEMBAZIRAN - KP JPA

Bernama
30/10/2014


 
KUALA KANGSAR, 30 Okt (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha kerajaan merangka mekanisme pemberitahuan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) menerusi seminar, kursus dan dialog kepada rakyat khususnya penjawat awam, bukanlah pembaziran.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan memperbetul persepsi salah mengenai CBP dalam kalangan penjawat awam, menyebar luas fakta sebenar mengenai kebaikan pelaksanaan CBP, mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dan berhemat dalam aspek perbelanjaan.

"Saya sebagai ketua pengarah, turun berjumpa dengan penjawat awam untuk menerangkan tentang CBP supaya mereka faham. Bila mereka faham, mereka juga akan bercerita dengan keluarga dan rakan-rakan tentang peranan CBP yang diperkenalkan ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jelajah myGST4U di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan pihak yang menganggap usaha kerajaan menyebarkan maklumat mengenai CBP menerusi program, seminar dan kursus adalah membazir.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi berkata usaha kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab itu.

Mengenai program hari ini, beliau berkata Perak merupakan negeri pertama bagi program JPA itu tahun ini dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"JPA telah diberi mandat untuk turun padang dan menyebarkan maklumat yang betul dan sahih kepada penjawat awam di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA

01 November 2014

DRAF PINDAAN AKTA KESATUAN SEKERJA DITELITI SEMULA

Bernama
30/10/2014



KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti semula draf pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 sebelum dibentang di Parlimen bagi memastikan ia relevan dengan situasi semasa, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata meskipun draf awal pindaan akta itu telah siap namun ia perlu mengambil kira cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan yang dijangka dibentang tidak lama lagi, serta beberapa isu yang dibangkitkan dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Kementerian akan meneliti semula draf bagi memastikan ia selaras dengan pindaan akta itu dan kehendak TPPA serta relevan dengan situasi semasa.

"Cadangan pindaan yang siap kelak akan dipapar dalam laman web untuk mendapatkan maklum balas, sebelum dibentang ke pihak kesatuan serta majikan, dan seterusnya dibawa ke Parlimen," katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) tentang langkah-langkah kerajaan menambah baik Akta Kesatuan Sekerja.

Ismail berkata sebelum pindaan dibuat, kementerian mengadakan beberapa siri perbincangan untuk menyemak dan meneliti peruntukan-peruntukan dalam akta terbabit yang perlu dikaji semula.

-- BERNAMA