Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, hal ini kerana, GST sebanyak enam peratus itu akan disalurkan kepada kerajaan dan tiada kena mengena dengan Telco.
Sehubungan itu beliau mempersoalkan, sekiranya kerajaan sendiri bersetuju menghapuskan GST pada kad prabayar, kenapa Telco masih berdegil dengan tidak mematuhi arahan tersebut sedangkan kesannya bukan kepada syarikat berkenaan.
“Oleh sebab itu, usaha murni kerajaan tersebut harus mendapat pujian daripada semua lapisan masyarakat kerana terbukti rakyat masih diberi keutamaan apatah lagi kepada golongan yang berpendapatan rendah.
“Walau bagaimanapun, diharapkan harga asal kad tambah nilai prabayar benar-benar dapat dikembalikan dan bukannya hanya sekadar perbincangan atau ‘cakap kosong’,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dikenakan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan syarikat Telco yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya jika mereka masih berdegil.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tempoh yang diberikan kepada Telco untuk menyelesaikan perkara tersebut sudah cukup lama dan tidak harus ditangguhkan.
Beliau berpendapat, pihak kastam harus meneliti dan mendedahkan setiap kutipan GST itu selama enam bulan pelaksanaannya kerana dikhuatiri terdapat penyelewengan dengan tidak disalurkan kepada kerajaan seperti yang sepatutnya.
“Mereka perlu memberitahu berapa kad tambah nilai prabayar yang terjual dan jumlah GST yang dikutip. Kita bimbang keuntungan yang mencapai lebih jutaan ringgit itu tidak sepenuhnya diberikan kepada kerajaan.
“Saya menyokong 100 peratus tindakan kerajaan mengembalikan harga asal. Perkara ini tidak boleh buat main-main kerana duit rakyat adalah hak rakyat,” katanya.