Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, rombakan Kabinet itu wajar dilakukan dengan menampilkan barisan pemimpin yang lebih bermuafakat dalam satu pasukan bagi membantu Perdana Menteri meneruskan dasar-dasar kerajaan.

“Sepatutnya macam itulah (rom­bakan) yang perlu berlaku. Semua pihak kena terimalah kalau nak kerajaan yang diyakini. Kalau tiada muafakat (dalam Kabinet) susah nak kerja. Ia bukan nak sisihkan sesiapa tetapi kerana nak mantapkan lagi kerajaan.“CUEPACS menyokong rombakan Kabinet itu, malah kami juga menyokong apa juga dasar dan tindakan kerajaan. Kalau kerajaan tak stabil bagaimana kakitangan kerajaan macam kami akan duduk diam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam majlis rumah terbuka Aidil Fitri anjuran CUEPACS di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Cheras di sini.Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.Azih menegaskan, beliau yakin Kabinet baharu itu akan lebih mantap dan dapat bekerjasama dengan Najib, sekali gus memberi aspirasi kepada seluruh kakitangan awam dalam membangunkan negara.

“Kami yakin Kabinet baharu itu akan dapat bekerjasama lebih erat dalam satu wadah serta matlamat bagi berkhidmat kepada rakyat. CUEPACS yang mewakili kakita­ngan awam bolehlah dianggap sebagai ‘tiang seri’ kerajaan dalam misi itu,” ujarnya. Katanya, barisan Kabinet yang mantap juga perlu bagi memastikan politik negara terus stabil di samping memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di sini.

Justeru, beliau menyifatkan rombakan Kabinet itu sebagai suatu pendekatan yang perlu dibuat bagi mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan. “Pendekatan ini (rombakan) kena ada dalam kerajaan yang demokratik. Sebab itulah ada tindakan yang drastik. Ini kerana, kerajaan yang politiknya stabil akan menarik pelabur asing menanam modal di negara kita.

“Tindakan Najib itu bukan untuk menidakkan sesiapa tetapi ia bagi mempertahankan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat,” katanya.