Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
membantah tindakan kerajaan membekukan pengambilan penjawat awam dengan
tidak membenarkan pewujudan jawatan baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.
Presiden
Cuepacs Datuk Azih Muda berkata keputusan kerajaan yang diambil oleh
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Pekeliling Perbendaharaan bertajuk
"Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan"
membawa implikasi sosial dan ekonomi yang negatif kepada negara.
"Cuepacs
tidak bersetuju tindakan MOF dan akan berjumpa dengan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perkara ini dikaji semula," katanya
kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perkhidmatan Awam anjuran
Cuepacs Sarawak oleh Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di Miri
hari ini.
Azih berkata Cuepacs kecewa tindakan MOF yang membuat
keputusan itu tanpa sebarang perbincangan dilakukan memandangkan impak
negatif arahan tersebut lebih kepada kebajikan kakitangan bawahan dan
bukan kakitangan atasan.
Beliau
berkata impak sosial yang bakal dialami oleh negara ialah masalah
pengangguran bakal meningkat terutama individu lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan lepasan sijil lain.
Azih berkata dari sudut
ekonomi tindakan itu akan melambatkan lagi proses pemulihan ekonomi
berikutan kekurangan kritikal kakitangan awam untuk melaksanakan sesuatu
tugasan mengikut jadual terutama jika ia melibatkan kawasan pedalaman
di Sabah dan Sarawak.
"Cuepacs meminta pegawai MOF yang bertugas
di Putrajaya turun padang melihat sendiri keadaan di kawasan-kawasan
tertentu di seluruh negara sebelum mengeluarkan garis panduan
berkenaan," katanya.
Beliau berkata ada sesetengah kawasan,
terutama sekali di luar bandar dan pedalaman, memerlukan petugas yang
ramai kerana keluasan dan kedudukan geografi kawasan tempat berkhidmat
seperti Sarawak dan Sabah.
"Saya bagi contoh kalau pejabat hanya
ada seorang pembantu tadbir iaitu seorang wanita yang sarat mengandung,
selepas melahirkan anak cuti tiga bulan, siapa yang menggantikannya
dalam tempoh tiga bulan kalau tiada jawatan yang sama dengannya,sebab
itu dalam keadaan tertentu jawatan baharu tidak boleh dibekukan kerana
faktor tersebut," katanya.
Pekeliling Perbendaharaan setebal 11
muka surat itu, menggariskan 14 garis panduan, antaranya pewujudan
jawatan baharu tidak dibenarkan kecuali melalui kaedah tukar ganti dan
pindah butiran serta tiada implikasi kewangan tambahan.
Pekeliling
itu juga mengarahkan pewujudan jawatan baharu bagi jawatan kritikal
yang terlibat secara langsung dalam bidang pendidikan, kesihatan,
keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara, dilaksanakan
dengan kawalan ketat.
Bagi konsep pindah butiran, ia mesti diberi
keutamaan bagi projek-projek baharu yang telah siap seperti sekolah,
hospital/ klinik, balai polis dan sebagainya untuk memastikan agihan
penempatan pegawai dibuat berdasarkan fungsi/ kepakaran dan permintaan
pelanggan
Pekeliling itu mengarahkan jawatan kosong yang tidak diisikan melebihi dua tahun, dimansuhkan.
"Kami
juga tidak setuju mengenai perkara Elaun Lebih Masa yang semakin
diperketatkan prosedur dalam pekeliling ini, akan menyukarkan kelicinan
perjalanan tugasan berikutan kerenah birokrasi," katanya.
Azih berkata Cuepacs baru mendapat tahu mengenai pekeliling itu semalam setelah ia dimuat naik dalam laman web MOF.
- Bernama