SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Mac 2016

KESATUAN MAJIKAN PERLU BANTU DAPATKAN PEKERJA ASING SEDIA ADA - MUSTAPA

Bernama
13/3/.2016


KOTA BAHARU, 13 Mac (Bernama) -- Kesatuan majikan diharap dapat membantu majikan yang ingin menggaji pekerja asing sedia ada yang tiada dokumen sah berikutan keputusan Kabinet menghentikan pengambilan baharu pekerja asing ke negara ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan kerajaan itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak terjejasnya sektor industri dan sektor lain yang memerlukan tenaga kerja.

"Mana-mana syarikat yang memerlukan pekerja asing perlu mendapatkannya daripada pekerja asing tanpa izin sedia ada yang akan 'diputihkan', harus ada komunikasi antara majikan dan pihak berkaitan supaya dalam tempoh peralihan ini apabila ada isu berbangkit tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kajian Pertengahan Penggal Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Sesi 2014-2017 di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden NUTP Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memutuskan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet Jumaat lepas itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah dan mana-mana majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang telah tamat tempoh visa pekerjaan.

Mustapa juga berkata majikan juga perlu memberi keutamaan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Azih menyarankan kesatuan majikan membantu menyediakan pekerjaan kepada rakyat dengan tawaran gaji yang baik serta faedah lain.

Beliau juga mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah anggota Jabatan Imigresen yang kini seramai 13,000 orang bagi mengawal sempadan negara dengan lebih berkesan.

"Kalau kita mahukan sempadan yang luas ini tidak bolos, operasi sentiasa berkesan, bilangan anggota Imigresen perlu ditambah.

"Kita tidak boleh bergantung kepada agensi penguatkuasa yang lain di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) seperti Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) kerana Imigresen sendiri yang mempunyai kuasa ke atas perkara tersebut," katanya.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

Malaysia memang bagus kerana membiarkan warga asing tiada dokumen sah (kosong) untuk tinggal dalam negara ini.

Berbeza jika warga Malaysia pergi luar negara wajib ada dokumen sah,jika tiada dokumen sah akan di tahan pihak berkuasa luar negara.Inilah sewajarnya dilakukan Malaysia untuk menahan warga asing yang tiada dokumen sah.Ambik tindakan terhadap warga asing tanpa dokumen sah dengan mengenakan denda atau kompaun kerana ia merupakan HASIL untuk negara.

Selama mana warga asing tidak memohon permit,selagi itulah sewajibnya Malaysia mengenakan denda atau kompaun sebagai hasil untuk negara.BUKAN membiarkan sahaja pendatang asing tanpa izin dalam negara ini.

Boleh dijadikan hasil untuk negara sekiranya Malaysia mengenakan denda ini kepada PATI.

Bukan menghantar balik ke negara asal PATI,cara ini tak sewajarnya berlaku kerana melibatkan wang negara Malaysia iaitu wang rakyat Malaysia.Kenapa Malaysia perlu tanggung kos penghantaran.Sedangkan pendatang asing datang secara haram ke malaysia.

Harap pihak berwajib yang berkelulusan tinggi memikirkan perkara ini sewajar wajarnya demi implikasi kewangan Malaysia.

Kenakan denda dan kompaun yang tinggi untuk hasil Malaysia.

Malaysia yang berkuasa BUKAN pendatang asing tanpa izin.

Kenapa takut untuk kenakan denda dan kompaun pada mereka.

Aktifkan peronda polis,imegresen serta pihak berkuasa lain untuk menjejaki serta mengenakan denda yang tinggi kepada mereka sebagai HASIL untuk malaysia.