SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

30 April 2016

SAMBUTAN HARI PEKERJA 2016 ANJURAN CUEPACS DI MITI KUALA LUMPUR


KUMPULAN GRED RENDAH PERLU DIPERKASA DENGAN KEMAHIRAN TAMBAHAN - CUEPACS


Bernama
30/4/201


Datuk Azih Muda

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Kerajaan digesa memperkasakan kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam dengan menyediakan kemahiran tambahan kepada golongan itu supaya gred gaji mereka dapat ditingkatkan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata gaji minimum yang diterima kumpulan itu masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita ambil contoh kos sara hidup yang semakin mencabar dan keperluan rumah dengan gaji serendah RM1,200, ia pasti belum mencukupi.

"Jadi kumpulan terendah yang memasuki perkhidmatan awam melalui kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus bergerak dengan kemahiran teknikal yang diiktiraf supaya gred gaji mereka naik lebih tinggi," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Perdana Perkhidmatan Awam Sempena Hari Pekerja 2016 anjuran kesatuan itu di sini, Sabtu.

Seminar yang dirasmikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib itu turut dihadiri Setiausaha Agung Cuepacs, Lok Yim Pheng.

Hari Pekerja 2016 disambut esok.

Azih berkata terdapat kira-kira 300,000 penjawat awam dalam kumpulan gred terendah di seluruh negara, antaranya yang terdiri daripada pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu.

Pada Mac lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam termasuk gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan berkuat kuasa 1 Julai ini.

-- BERNAMA

28 April 2016

TINGKATKAN JUMLAH PENAWARAN RUMAH MAMPU MILIK TERLEBIH DAHULU, KATA PAKAR EKONOMI

Bernama
28/4/2016


Oleh Erda Khursyiah Basir



KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kerajaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu penawaran rumah mampu milik bagi mengatasi masalah pemilikan rumah di kalangan golongan berpendapatan sederhana di negara ini, kata seorang pakar ekonomi.

Pensyarah Kanan Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia Muhammad Ridhuan Bos Abdullah menyifatkan inisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri menerusi Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) sebagai satu langkah baik tetapi ia kurang berkesan jika pembeli rumah pertama tidak dapat mencari unit rumah mampu milik yang hendak dibeli.

"Tidak dinafikan skim tersebut memberi manfaat untuk rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Namun, bantuan dan sumbangan bukanlah isu utama sebaliknya jumlah penawaran rumah mampu milik yang sesuai dengan kemampuan golongan itu. Adakah ia benar-benar wujud dan mencukupi untuk mereka?

"Justeru, kerajaan perlu terlebih dahulu mengatasi masalah kurangnya penawaran rumah mampu milik sedangkan permintaannya adalah tinggi. Selesaikan isu pokok terlebih dahulu kemudian baru ditambah baik dengan mekanisme atau strategi lain," katanya kepada Bernama.

WUJUD JURANG

Menerusi Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi pelaksanaan MyDeposit bertujuan membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM3,000 dan RM10,000.

Mula dilaksanakan pada 6 April lepas, skim itu menyediakan sumbangan sebanyak 10 peratus atau maksimum RM30,000 (yang mana lebih rendah), kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka memiliki kediaman berharga di bawah RM500,000.

Berdasarkan Laporan Bank Negara 2015, Malaysia mengalami kekurangan penawaran rumah mampu milik berbanding kemampuan pendapatan isi rumah.

"Ini bermaksud wujud jurang di antara stok (jumlah) perumahan mampu milik dengan kemampuan pembeli dan untuk itu, nisbah harga rumah berbanding purata pendapatan isi rumah perlu diberi perhatian," kata Muhammad Ridhuan Bos.

Beliau berkata statistik BNM pada 2014 menunjukkan nisbah harga rumah kepada pendapatan tahunan isi rumah ialah 4.4, yang secara agregat, rumah di Malaysia dianggap tidak mampu milik.

(Menurut metodologi "Median Multiple" yang dibangunkan oleh Demographia International dan disarankan oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menilai pasaran perumahan bandar, sebuah rumah dianggap mampu milik sekiranya isi rumah boleh membiayai pemilikan itu dengan jumlah kurang daripada tiga kali pendapatan isi rumah tahunan (nisbah harga rumah kepada pendapatan 3.0 atau kurang).

Mengenai peningkatan pendapatan isi rumah pula, Muhammad Ridhuan Bos yang juga Felo Penyelidik Pusat Penyelidikan Koridor Utara (NCRC) dan fasilitator Program Transformasi Ekonomi, Koridor Utara, berkata ia lebih rendah berbanding peningkatan harga rumah.

Mengambil contoh antara tahun 2009 hingga 2014, peningkatan pendapatan purata isi rumah adalah 7.3 peratus berbanding peningkatan purata harga rumah iaitu 7.9 peratus.

"Ini boleh memberi impak makroekonomi secara langsung kepada corak perbelanjaan isi rumah terutama keupayaan untuk membayar dan juga perbelanjaan untuk barangan keperluan harian serta perkhidmatan," katanya.

KEPAKARAN DAN TEKNOLOGI

Menyatakan bahawa pelaksanaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) termasuklah anak-anak syarikat kerajaan negeri perlu memberi keutamaan dan menambah penawaran rumah mampu milik, beliau berharap inisiatif berkenaan dilaksanakan mengikut standard dan prosedur yang betul bagi membantu rakyat.

"Semua pihak perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan. Anak syarikat kerajaan negeri contohnya paling mudah mengakses maklumat bakal pembeli termasuklah corak pembelian dan 'trend'. Secara teorinya, mereka boleh mendapat kos pembinaan yang lebih rendah kerana ia melibatkan tanah milik kerajaan negeri.

"Di samping itu, kepakaran dan teknologi tertentu seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui penggunaan sistem bangunan perindustrian (IBS) perlu diberi penekanan. Jika negara maju seperti Korea Selatan, Singapura, United Kingdom menggunakan sistem ini, maka kita juga perlu mempertimbangkan penggunaannya secara meluas," katanya.

KAWALAN HARGA

Menjawab persoalan bagaimana kerajaan boleh mengawal dan mengambil tindakan tegas kepada pemaju yang mengambil kesempatan menaikkan harga rumah di samping mengelakkan spekulasi harga rumah berlaku, beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan undang-undang ketat berkaitan kawalan harga rumah seperti yang dilaksanakan oleh Singapura dan Korea Selatan.

"Kedua-dua negara ini mempunyai sejarah tersendiri sebelum wujud regulasi dan perundangan yang lebih ketat seperti hari ini. Korea Selatan pada tahun 1980-an turut mengalami situasi sama seperti Malaysia ketika ini apabila pemaju perumahan berkuasa menentukan harga rumah.

"Begitu juga negara maju seperti Jerman. Namun demikian, kerajaan mereka menggubal dasar yang lebih menyebelahi penduduk untuk mendapat akses kepada rumah mampu milik. Singapura pula misalnya, kerajaan amat mengutamakan pemilikan rumah dan menjadikannya sebagai agenda utama dalam pembangunan negara," katanya.

Turut mengaitkan masalah perumahan dengan Dasar Penswastaan (yang diperkenalkan pada 1983), Muhammad Ridhuan Bos berkata dasar berkenaan telah menyumbang kepada penglibatan secara aktif pemaju swasta yang kemudiannya menjadikan jumlah unit atau bilangan rumah yang dibina oleh mereka mengatasi pembinaan sektor awam dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Kita mengalu-alukan usaha mereka. Namun demikian sejak 2005, trend yang ditunjukkan pemaju swasta lebih banyak membina rumah kos tinggi dan semakin kurang membina rumah mampu milik dan kos rendah.

Katanya senario permintaan bagi rumah mampu milik yang mengatasi penawaran adalah kurang baik untuk golongan M40 dan B40.

"Teori klasik firma (asas teori firma) menjelaskan motif pemaju adalah memaksimumkan keuntungan dan disebabkan itu dalam situasi ini, kita memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengimbangi antara permintaan dan penawaran," katanya.

-- BERNAMA

27 April 2016

DISIPLIN, TANGGUNGJAWAB, INTERGRITI PERLU JADI JATI DIRI PENJAWAT AWAM - KSN

Bernama
26/4/2016


PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Gabungan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawapan serta menjaga kerahsiaan mesti menjadi jati diri setiap penjawat awam untuk menjalankan tugas dengan jujur dan telus, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama.

"Kecemerlangan bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja tetapi juga perkhidmatan yang bersih dan berintegriti," katanya dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2015 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal yang mewakili beliau pada majlis itu.

Ali turut mengingatkan pegawai awam untuk menumpukan usaha dan tenaga ke arah penyampaian perkhidmatan yang efektif, efisien, berkualiti, telus, mendahului dan mementingkan rakyat dan pelanggan.

"Warga kerja yang mengamalkan budaya kerja yang cemerlang menjadi aset penting ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang produktif dan berkualiti," katanya.

Ali dalam pada itu berkata JPM sebagai sebuah jabatan penanda aras dalam sistem penyampaian perkhidmatan sokongan dan tadbir urus terbaik sektor awam di negara ini mesti menjadi penggerak dalam arus pemodenan dan transformasi negara.

Sejumlah 1,881 warga kerja cemerlang daripada 70 jabatan, agensi dan bahagian di bawah JPM menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis yang diadakan pada dua sesi hari ini.

Daripada jumlah itu, enam penerima merupakan warga orang kurang upaya (OKU).

Warga kurang upaya dengan ketinggian hanya satu meter, Nik Zalbiha Nik Mat, 50, yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan menjadi penerima Anugerah Khas JPM 2015.

Beliau yang menyertai perkhidmatan awam pada 1992 sebelum ini pernah menerima tiga APC.

Ditanya mengenai budaya kerja beliau, ibu kepada tiga anak itu berkata, kerja secara berpasukan sentiasa menjadi amalannya sejak mula menyertai perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

26 April 2016

PENJAWAT AWAM PERLU BERPEGANG PADA AKU JANJI - ASYRAF WAJDI

Bernama
26/4/2016


PUTRAJAYA, 26 April (Bernama) -- Penjawat awam perlu berpegang kepada 'Aku Janji' perkhidmatan awam dengan menjalankan tugas secara dedikasi, amanah dan berintegriti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata 'Aku Janji' yang dilafazkan oleh penjawat awam mempunyai kesan dari segi agama di mana setiap individu akan dipertanggungjawab dan dihitung setiap perbuatan yang dilakukan.

"Aspek integriti dan amanah adalah paling penting kerana ia akan beri kesan kepada soal keberkatan rezeki," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 kepada warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Menurutnya aspek integriti dan amanah adalah penting bagi penjawat awam pada masa ini ekoran pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan kepada kakitangan awam.

Tuduhan yang dilemparkan memberi gambaran seolah-olah penjawat awam kini kurang cemerlang dan integriti terutamanya apabila dokumen tertentu dikeluarkan dalam media sosial.

-- BERNAMA

21 April 2016

DEWAN NEGARA: PENGGUNAAN APLIKASI GRUP WHATSAPP, BOLEH JEJAS PSIKOLOGI PENJAWAT AWAM - SENATOR

Bernama
21/4/2016


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pengunaan aplikasi media sosial seperti Grup WhatsApp sebagai saluran komunikasi di jabatan kerajaan dikhuatiri menjejaskan psikologi penjawat awam, demikian menurut seorang Senator.

Senator Datuk Mariany Mohammad Yit berkata terdapat rungutan oleh kelompok penjawat awam yang mendakwa penggunaan aplikasi sosial itu turut menjejaskan kualiti masa bersama keluarga dan waktu rehat mereka.

Katanya terdapat kes ketua jabatan yang mewajibkan penggunaan WhatsApp sebagai saluran komunikasi kepada semua pekerja.

"Pada masa kini, penggunaan aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dalam kalangan pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai sektor awam amat popular.

"Terdapat juga jabatan kerajaan yang menjadikan aplikasi grup WhatsApp sebagai saluran komunikasi," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, tidak dinafikan penggunaan aplikasi media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan.

"(Cuma) kita mohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjelaskan adakah aplikasi WhatsApp telah diwartakan sebagai saluran rasmi komunikasi antara penjawat awam," katanya.

Beliau berkata JPA juga diminta menjelaskan sama ada pekeliling perkhidmatan awam telah dikeluarkan berhubung penggunaan aplikasi berkenaan bagi memantau standard piawaian dan tatacara serta kredibiliti penggunaannya demi menjamin keselamatan operasi dan keselamatan dokumen yang mungkin menjadi sebahagian daripada dokumen rahsia rasmi kerajaan.

-- BERNAMA

19 April 2016

PEMBANTU TADBIR DIPENJARA 58 TAHUN KERANA PALSUKAN DOKUMEN CAGARAN LEBIH RM900,000

Bernama19/4/2016




KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pembantu Tadbir Jabatan Akauntan Negara dijatuhi hukuman penjara berjumlah 58 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas 29 pertuduhan memalsukan dokumen cagaran berharga berjumlah RM918,811.25.

Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan itu terhadap Rosinah Haron, 56, yang merupakan seorang ibu tunggal, dan memerintahkannya menjalani hukuman dua tahun itu serentak bermula hari ini.

Beliau juga memerintahkan keluarga tertuduh membayar kos pendakwaan sebanyak RM6,000, dan sekiranya gagal berbuat demikian, dia akan dipenjarakan enam bulan.

Hakim itu turut menasihatkan Rosinah supaya insaf dengan perbuatannya, mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan tidak mengulangi perbuatan itu pada masa depan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Rosinah didakwa memalsukan suatu dokumen yang merupakan cagaran berharga iaitu baucer bayaran berjumlah RM918,811.25 antara 27 Ogos 2008 hingga 21 Dis 2010.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Akauntan Negara, Tingkat 42, Menara Maybank di sini mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditugaskan untuk membuat baucer bayaran kepada pemohon untuk bayaran balik wang tidak dituntut (WTD).

Pada 3 Mac 2011, bahagian pengurusan amanah dan sekuriti Jabatan Akauntan Negara telah menerima permohonan tuntutan WTD daripada Rahmah Mustafar dan penyedia baucer yang memasuk maklumat kad pengenalan pemohon mendapati ia wujud dalam sistem bayaran tetapi atas nama yang berbeza daripada nama pemohon.

Semakan seterusnya juga menunjukkan satu baucer bayaran bertarikh 16 Julai 2009 atas nama Zabidah Ali berjumlah RM40,000 diwujudkan oleh penyedia baucer bernombor 600214105784 milik tertuduh.

Lanjutan daripada beberapa semakan yang dilakukan oleh Timbalan Pengarah di Seksyen Pengurusan Amanah, Jabatan Akauntan Negara mendapati 29 baucer bayaran WTD telah dibuat dan dipalsukan tertuduh dengan kesemua 29 permohonan itu menggunakan nama orang lain tetapi bayarannya dimasukkan ke akaun tertuduh dan anggota keluarganya.

Semasa memalsukan kesemua baucer bayaran itu, tertuduh juga menggunakan nama-nama individu dan syarikat-syarikat sebagai pemohon, bagaimanapun siasatan mendapati syarikat-syarikat terbabit tidak membuat permohonan bayaran balik WTD.

Terdahulu, Rosinah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman ringan memandangkan dia penanggung tunggal keluarganya dan perlu menjaga kedua ibu bapa yang uzur.

Ibu seorang anak perempuan itu berkata dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya malah, sepanjang 30 tahun berkhidmat di Jabatan Akuantan Negara, dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan agar dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

"Ini merupakan kesalahan serius dan berat lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah...hukuman yang diberikan perlu mengambil kira faktor kepentingan awam dan bukan kepentingan peribadi tertuduh," katanya.

Menurutnya kesalahan yang dilakukan tertuduh juga boleh menjejaskan kredibiliti jabatan serta membawa kerugian kepada kerajaan.



-- BERNAMA

15 April 2016

PENJAWAT AWAM DIBERI PILIHAN TERIMA ATAU TOLAK SKIM PERKHIDMATAN AWAM DITAMBAH BAIK

Bernama
14/4/2015



PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Penjawat awam diberi pilihan untuk menerima atau menolak tawaran terhadap 252 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik berkuat kuasa 1 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau yang mengulas rasionalisasi skim perkhidmatan awam itu berkata penambahbaikan itu akan memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minima sebanyak RM1,200 dalam sektor awam.

"Namun saya tidak nampak sebarang sebab untuk mereka menolaknya," kata beliau kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan reka cipta logo 'My High Speed Rail' (MyHSR) di sini hari ini.

Penambahbaikan itu akan memperlihatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim yang bermula dari gred 11 hingga 40 akan membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan, katanya.

"Ini satu berita terbaik untuk penjawat awam dan berharap mereka akan meningkatkan produktiviti dan daya usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Katanya walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya untuk memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016, sebelum ini.

Mengenai permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan supaya selaras dengan keperluan hidup penjawat awam, Ali menyifatkan ia permintaan yang menarik.

"Namun, kita juga mengharapkan Cuepacs turut sama memberi idea bagaimana untuk meningkatkan hasil negara di samping menggalakkan penjawat awam meningkatkan produktiviti mereka...itu yang sangat penting," katanya.

-- BERNAMA

14 April 2016

RASIONALISASI SKIM PERKHIDMATAN BAGI PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN DI BAWAH SISTEM SARAAN MALAYSIA

Media Cuepacs
14/1/2016

Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

12 April 2016

JPA EDAR PEKELILING TAMBAH BAIK 252 SKIM PERKHIDMATAN AWAM 14 APRIL INI

Bernama
11/4/2016



GEORGE TOWN, 11 April (Bernama) -- Pekeliling mengenai penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia akan diedarkan pada 14 April ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu adalah bersifat menyeluruh yang diharap akan disambut baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam.

"Pekeliling mengenai penambahbaikan skim ini akan didedahkan kepada orang ramai dan dimuat naik ke laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pada 14 April ini," katanya semasa menyampaikan syarahan Transformasi Perkhidmatan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan skim itu merupakan usaha baik kerajaan dalam meningkatkan mutu sektor awam yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Katanya, selepas pekeliling itu diumumkan, sesi penerangan mengenai penambahbaikan skim berkenaan akan dilakukan oleh pihak JPA.

Beliau berkata, dalam Malaysia menuju ke arah status menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, penjawat awam berhadapan dengan gelombang cabaran dan realiti baharu.

Mohamad Zabidi berkata peranan perkhidmatan awam dan sumbangan penjawat awam merupakan satu daripada penentu kejayaan agenda besar negara.

"Walaupun tuntutan global dan persekitaran pada masa dahulu dan kini mungkin telah berbeza, namun begitu, akar tanggungjawab perkhidmatan awam tetap tidak berganjak iaitu sebagai pemelihara kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata kerajaan kini bukan sekadar mentadbir untuk rakyat, tetapi juga mentadbir bersama-sama rakyat, membina rangkaian, memudah cara perkhidmatan dan memfokus kepada keberhasilan yang besar serta pantas.

"Era kerajaan mengetahui segalanya sudah berlalu, memasuki era yang meraikan pertembungan idea ini, memerlukan penjawat awam bergerak dalam trajektori yang tidak pernah dilalui oleh mereka sebelumnya," katanya.



-- BERNAMA

PENDERITAAN PESARA MENDAPAT PEMBELAAN KERAJAAN

Bernama
10/4/2016




BUTTERWORTH, 10 April (Bernama) -- Penderitaan seorang pesara yang mengalami masalah kesihatan terus mendapat pembelaan apabila beliau menerima sumbangan dan bantuan daripada pelbagai pihak menerusi Program Ziarah 1Pesara.
Abdullah Salleh, 69, yang hanya bergantung kepada 30 tin susu seberat 400 gram sebulan sebagai makanan rutin harian, melahirkan kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan terhadap dirinya itu.

Abdullah mengalami kelumpuhan dan pendarahan di kepala akibat kemalangan 15 Sept tahun lepas.

Kesyukuran itu dizahirkan melalui isterinya Maznah Yayaha, 60, ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Permatang Pauh, Penaga dekat sini, semalam, selepas menerima sumbangan yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamed Zabidi Zainal.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus.

Abdullah menerima sumbangan tilam angin, katil khas, mesin penyedut, kerusi roda dan susu daripada Pejabat SUK Pulau Pinang.

Bercerita lanjut, Maznah berkata sejak kemalangan itu, suaminya tidak boleh mengambil makanan pepejal dan hanya meminum susu setiap tiga jam sekali.

"Pakcik kini cuba belajar menelan dan mengambil makanan pepejal, tetapi hanya boleh dua sudu," katanya sambil menambah bahawa suaminya itu telah berkhidmat di pejabat SUK selama 30 tahun.

Maznah turut berterima kasih kepada Mohamed Zabidi kerana sudi menziarah dan tidak melupai jasa suaminya yang pernah berkhidmat dengan kerajaan.

Sementara itu, Mohamed Zabidi berkata program kebajikan untuk pesara kerajaan itu bertujuan membantu mengurangkan beban dan keperitan hidup pesara yang mengalami masalah kesihatan berikutan kos perubatan tinggi.

"Ia antara usaha murni dan keprihatinan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengenang jasa pesara yang telah menabur bakti kepada negara semasa dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat masalah yang dihadapi pesara terutama berkaitan kesejahteraan mereka.

Selain Abdullah, dua lagi pesara turut menerima sumbangan ialah Abu Bakar Awang, 80, dari Kampung Lembah, yang menerima kerusi roda daripada JPA, dan Adnan Md Ali, 65, dari Jalan Bawah, Penaga yang menerima kerusi roda bermotor, juga daripada JPA.

-- BERNAMA

11 April 2016

41,880 PERMOHONAN BAGI 19,224 UNIT KEDIAMAN PPA1M

Bernama
11/4/2016


PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Sejumlah 41,880 permohonan diterima sehingga kini bagi 19,225 unit kediaman Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang ditawarkan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
"Terdapat permintaan yang tinggi terhadap unit-unit kediaman PPA1M," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual dan Beli PPA1M Putrajaya Fasa Satu di sini hari ini.

Idea PPA1M Putrajaya dicetuskan oleh Ali pada 2013 dalam memenuhi hasrat penjawat awam membeli rumah yang mampu dimiliki di Putrajaya.

Ali berkata Unit PPA1M dan Perbadanan Putrajaya diharap dapat terus mengorak langkah dalam usaha membangunkan PPA1M bagi memastikan ia siap dalam jangka masa yang disasarkan kerajaan.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat pembangunan PPA1M di Putrajaya siap mengikut jadual, dan beliau sendiri sering memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai status pembangunan PPA1M di Putrajaya dari semasa ke semasa.

Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan dikeluarkan sempena majlis hari ini, menyatakan sebanyak 7,872 pembeli PPA1M Putrajaya Fasa Satu menandatangani perjanjian jual dan beli secara berperingkat bermula pada majlis hari ini sehinggalah proses berkenaan selesai sepenuhnya, akhir bulan ini.

PPA1M Putrajaya Fasa Satu dijangka siap sepenuhnya pada 2017 dan kesemua 7,872 penjawat awam bakal mendiami rumah yang dibeli dengan harga kawalan kerajaan antara RM150,000 dan RM300,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi, kata kenyataan itu.

"Siri cabutan seterusnya bagi PPA1M dijangka diadakan pada Jun 2016 melibatkan pemohon yang belum berjaya sebelum ini," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

09 April 2016

PENUKARAN 50 PEGAWAI JAWATAN SENSITIF, RAYUAN TIDAK DIBENARKAN - JPA

Bernama
8/4/2016




Mohamad Zabidi melancarkan perkhidmatan 1Serve TransitLounge@JPA4U
PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Lima puluh pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian yang akan ditukarkan tidak lama lagi, tidak boleh mengemukakan rayuan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

"Kami ingin menegaskan bahawa tiada rayuan boleh dikemukakan para pegawai ke atas arahan pertukaran itu nanti," kata beliau.

Mohamad Zabidi berkata arahan penukaran 50 pegawai itu akan dikeluarkan dalam jangka masa satu minggu.

Katanya pelaksanaan penukaran para pegawai itu nanti adalah dalam kalangan mereka yang menjawat jawatan sensitif tanpa mengira gred.

"Permulaan akan melibatkan 50 pegawai, dan untuk seterusnya akan ada lagi kerana ini adalah proses berterusan dan mengikut penggiliran," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran 1Serve Transit Lounge@JPA4U di sini Jumaat.

Isnin lepas, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi masing-masing atau ke kementerian lain mulai bulan ini.

Ali berkata pegawai-pegawai yang dikenal pasti itu telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian kementerian khususnya kewangan, perolehan dan kontrak.

Menurut Mohamad Zabidi, JPA kini sedang menjalankan proses untuk memulakan penukaran tersebut bagi memastikan penukaran para pegawai terbabit sesuai untuk penjawatan mereka.

"Ia baru diumumkan Isnin lepas oleh KSN dan JPA memerlukan masa untuk memilih pegawai dan berunding mengenai perkara tersebut termasuk jawatan yang sesuai untuk mereka yang akan ditukar nanti.

Mengenai 1Serve Transit Lounge@JPA4U, katanya jabatan itu kini menyediakan ruang menunggu kepada pelanggan JPA yang ingin mendapatkan perkhidmatan shuttle buggy di Blok C10, Kompleks C, Putrajaya ke Kaunter 1Serve JPA4U yang terletak di Blok C2.

"Usaha ini merupakan inisiatif nilai tambah bagi memastikan kesemua pelanggan diberi keutamaan dan keselesaan dalam berurusan dengan JPA," katanya.

Mohamad Zabidi berkata untuk perkhidmatan kereta bugi, pelanggan disediakan enam ruang meletak kenderaan di 1Serve Transit Lounge@JPA4U berdasarkan siapa dahulu, didahulukan.

-- BERNAMA

JPA SELESAI PROSES PENAMBAHBAIKAN 252 SKIM PERKHIDMATAN SEDIA ADA

Bernama
9/4/2016


KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyempurnakan proses penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada di bawah langkah rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menjelaskan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan itu bukan merupakan semakan Sistem Saraan, sebaliknya ia adalah penambahbaikan 252 skim perkhidmatan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"JPA juga telah mengadakan 87 rundingan melibatkan sesi libat urus yang begitu menyeluruh bagi mencapai hasrat ini.

"Saya berharap seluruh warga perkhidmatan awam akan menyambut baik usaha kerajaan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan penjawat awam," kata beliau dalam catatan di laman Facebooknya pada Khamis lepas.

Mohamad Zabidi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kepimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam membantu menyempurnakan proses penambahbaikan itu.

-- BERNAMA

08 April 2016

JAMINAN KENAIKAN SATU TANGGA GAJI JULAI INI SUNTIK SEMANGAT PENJAWAT AWAM - CUEPACS

Bernama
8/4/2016


KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini akan memberi motivasi kepada 1.6 juta penjawat awam untuk meningkatkan sistem penyampaian, kata Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Lok Yim Pheng.
Beliau berkata ia juga dapat membantu penjawat awam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Cuepacs pada mulanya bimbang sama ada berlaku kenaikan gaji atau tidak. Dengan janji kerajaan meneruskan kenaikan satu tangga gaji, kami merasa lega dan berterima kasih.

"Kelegaan ini lebih-lebih lagi dirasai kumpulan gred rendah termasuk mereka yang mempunyai kelulusan PMR dan SPM," katanya.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali memberi jaminan kerajaan akan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji pada 1 Julai ini meskipun keadaan ekonomi sukar.

Katanya kerajaan juga berjanji meneruskan penambahbaikan kepada 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406,000 penjawat awam.

Yok berkata keputusan menaikkan satu tangga gaji itu juga adalah hasil kerjasama dan perbincangan antara Cuepacs dan kerajaan.

"Meskipun ada lagi tuntutan lain daripada Cuepacs seperti kadar elaun, ia perlu diputuskan secara berperingkat supaya tidak membebankan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

06 April 2016

SEBUTHARGA/TENDER BAGI BEKALAN BARANG-BARANG PERKHIDMATAN ; KERJA-KERJA BEKALAN : MEMBEKAL , MENGHANTAR DAN MEMASANG BILLBOARD DI WISMA CUEPACS





KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM
PERKHIDMATAN AWAM [CUEPACS]
(Pendaftaran No 195)

SEBUTHARGA/TENDER BAGI BEKALAN BARANG-BARANG PERKHIDMATAN             

KERJA-KERJA BEKALAN : MEMBEKAL , MENGHANTAR  DAN MEMASANG BILLBOARD DI WISMA CUEPACS

NO SEBUTHARGA : BIL 2/2016                                      Tarikh :6 APRIL 2016


KEPADA :

……………………………………………………

……………………………………………………

……………………………………………………


Pelawaan Sebutharga dikeluarkan oleh:
CUEPACS
Tingkat 1, Wisma CUEPACS
Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu
55100 Kuala Lumpur.

1.       Syarat-syarat penyerahan / penyempurnaan dikehendaki : DIMASUKKAN DALAM SAMPUL SURAT YANG DISILKAN DAN DICATITKAN NOMBOR SEBUTHARGA / TENDER DIKIRI HADAPAN SAMPUL.

2.       Tarikh dikehendaki diserahkan / disempurnakan : 26 APRIL 2016, tidak lewat dari jam 12.45 tengahari. Sebutharga mestilah dimasukkan kedalam satu sampul berlakari dan bertanda, Sebutharga No 2/2016

3.       Semua perbekalan barangan ini hendaklah dihantar terus ke Ibu Pejabat CUEPACS Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu Kuala Lumpur.

4.       Jawatankuasa setuju terima sebutharga/tender tidak terikat dengan mana-mana tawaran harga terendah atau sebarang bentuk yang difikirkan memuaskan hati penender.

5.       Sebutharga  hendaklah sah selama  30 HARI selepas itu.

6.       Satu lawatan tapak akan diadakan pada 18 April 2016  jam 10.00 pagi di
          Ibu Pejabat CUEPACS Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu Kuala Lumpur


7.       Sila beri sebutharga bagi bekalan barang-barang / perkhidmatan yang di
          senaraikan di bawah dengan tertakluk kepada had-had dan syarat-syarat yang
          ditetapkan.


KERJA-KERJA MEMBEKAL DAN MEMASANG BILLBOARD DI WISMA CUEPACS
SPESIFIKASI

BIL

PERKARA

HARGA SEUNIT

KUANTITI

JUMLAH
[ RM ]

A.


Signboard [ WISMA CUEPACS ] – Lampiran 1

1.      Membekal Dan Memasang Papan Tanda Bangunan

2.      Berukuran 3 kaki [tinggi] x 32 kaki [ lebar  ]

3.      Serta Logo Berukuran 3.5 kaki [tinggi] x 3.5 kaki [lebar]

4.      Bahan : 3D Stainless Box Up Lettering “WISMA CUEPACS”

5.      Bahan : Logo 3D Stainless Stell Box Up With Chemical Etching








1 UNIT


B.

Signboard - KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM [ CUEPACS ] – Lampiran 2

1.      Membekal Dan Memasang Papan Tanda Dan Berlogo CUEPACS

2.      Berukuran 4 kaki [ tinggi] x 30 kaki [lebar ] Light Box Signage

3.      Berlampu Kalimantan Di Dalam Signboard

4.      Berbingkai / Border Disekeliling 1” x 1” m/s Hollow Frame

5.      Bahan : 6 mm Thk Polycarbonate

6.      Bahan : 1200 DPI uv Print Clear Sticker

7.      Warna :
7.1  Signboard Berwarna Kuning Cair –   
Code Cat PANTONE YELLOW 01131C 
7.2  Tulisan Berwarna Merah Terang –  
Code Cat PANTONE RED 032C
7.3  Tulisan Berwarna Hitam –
Code cat C=0, M-0, Y=0, K=0

8.      No. Pandaftaran : No. 195












1 UNIT
  



Jumlah Keseluruhan (RM)




               
Tawaran sebutharga dengan perkataan : Ringgit Malaysia….…………...............

……………………………………………………………………………………………………………...

Tempoh bekalan boleh dihantar : ……………………………………………………………..

[ Diskaun – diskaun perniagaan, tunai, bayaran cepat dan diskaun-diskaun lain dan apa-apa bayaran tambahan ( misalnya cukai dan belanja membungkus ) hendaklah ditunjukkan].

Saya /Kami dengan ini menawar untuk membekalkan barang-barang perkhidmatan di atas dengan syarat-syarat yang ditunjukkan di atas. 

Nama penuh pengurus                 :……………………………………….


Tandatangan dan cop penender             :……………………………………….

Alamat                   :………………………………………..

Tarikh :………………………………..                                        ……………………………………….