SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Julai 2020

CUEPACS kemuka cadangan sistem saraan baharu penjawat awam

BeritaHarian
Oleh Abdul Rahemang Taiming
TAWAU: CUEPACS dalam peringkat akhir mengemukakan cadangan sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Presidennya, Adnan Mat, berkata ketika ini kerajaan masih mengekalkan SSM yang telah ditambah baik selepas melalui beberapa siri pemansuhan antaranya Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1992 dan Jawatankuasa Gaji Kabinet pada tahun 1976.
Antara cadangan yang dikemukakan menerusi sistem saraan baharu itu adalah berkaitan penetapan gaji minimum penjawat awam yang ketika ini masih berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Ketika ini gaji permulaan penjawat awam adalah sebanyak RM1,200 tidak termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA), elaun wilayah dan lain-lain namun masih berada di bawah PGK negara yang ditetapkan pada kadar RM2,208.
"Sehubungan itu, kongres baru-baru ini telah memutuskan supaya dibentuk satu sistem saraan baharu selain cadangan gaji minimum penjawat awam yang melangkaui PGK.
"Rundingan telahpun dibuat kepada kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah memberikan maklum balas termasuk penambah baikan dan cadangan yang akan dikemukakan semula," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan CUEPACS kepada petugas barisan hadapan COVID-19, peringkat daerah Tawau, Anjuran Sabah Medical Service Union (SMSU) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi CUEPACS Sabah, Adamin Mokh dan Presiden SMSU, Ajulahin Japin.
Dalam pada itu, Adnan turut mengulangi gesaan supaya kerajaan menunaikan janji dengan melaksanakan lima tuntutan yang dibuat pihaknya sebelum ini.
Antaranya ialah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018, pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun yang berkuat kuasa 1 Januari 2018.
Selain itu, pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56 serta penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun juga belum dilaksanakan.

Tiada ulasan: