SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Ogos 2020

Cuepacs minta kerajaan segera laksana lima tuntutan

Sinar Harian
29/8/2020

KUANTAN - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan agar segera menunaikan lima tuntutan yang belum dilaksanakan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini kerana penjawat awam telah membuktikan taat setia dan bekerjasama dengan tetap melaksanakan tugas dengan baik dan berdedikasi walaupun berlaku perubahan kerajaan.

"Lima perkara ini sudah dimuktamadkan setelah kajian terperinci dilakukan tetapi mengapa ia masih tidak dilaksanakan? Apabila pertukaran kerajaan berlaku, kakitangan kerajaan menjadi mangsa keadaan yang mana ada permintaan kita telah diabaikan.


"Sedangkan mereka telah menjalankan tugas dengan baik tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan sekali gus memastikan kerja pentadbiran pejabat kerajaan berjalan seperti biasa," katanya.

Adnan berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian (MoA) antara Widad University College (WUC) dengan USAINS Holding Sdn Bhd serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara WUC dengan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat Semenanjung Malaysia (Kesateria) di sini hari ini.

Lima tuntutan itu ialah kenaikan gaji berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan pemendekan kenaikan pangkat 'time based' kali kedua yang dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018, selain pengumuman gaji tambahan kepada guru gred DG56.

Ia juga melibatkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari boleh ditukar kepada wang tunai bagi yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun dan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana juga diperluas kepada penjawat awam Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, mengulas mengenai MoA dan MoU itu, Pengerusi Lembaga Pengarah WUC, Datuk Nasir Mat berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk meningkatkan tahap akademik termasuk ke peringkat diploma dan ijazah pertama.

"Buat masa ini, kita menyediakan diploma pengurusan dan selepas ini diploma pengurusan lestari akan diperkenalkan. Seramai 72 warga Kemas telah mendaftar dengan WUC dan mereka akan melalui proses pembelajaran secara dalam talian selain hadir beberapa kali ke kolej," katanya. - Bernama


© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tiada ulasan: