SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Januari 2019

Cuepacs harap kesan menyeluruh NACP

AstroWani
29/1/2019


PUTRAJAYA: Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) diharap memberi kesan menyeluruh terutama kakitangan awam yang terlibat secara langsung dalam urusan projek dan kewangan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, NACP perlu disokong pelan integriti baru selain lebih baik dari sebelum ini.

"Mungkin pelan baru ini akan dapat memberi kesedaran jelas di samping meningkatkan tadbir urus yang lebih baik, good governance untuk elakkan perkara seumpama ini.

"Kedua, mungkin perkara yang berlaku ini dari sikap tamak yang ada kepada sesetengah mereka yang ada kuasa untuk cepat mendapat habuan mereka. Ini berlaku kerana ada pemberi dan ada penerima, selagi dua pihak ini wujud, maka isu yang berkaitan rasuah ini memang akan berlaku.

"Sebab itu penambahbaikan dalam prosedur operasi standard (SOP) ini perlu ada, supaya ia menjadi imbang semula kepada apa kita lakukan dalam tindakan tertentu terutama melibatkan urusan projek, urusan kewangan dan sebagainya," katanya semasa dihubungi di sini, pada Selasa.
Di dalam ucapan aluan majlis pelancaran NACP, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah, khususnya mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Jelas Dr Ismail, berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan, didapati bahawa sebanyak 40 peratus daripada pesalah yang ditahan oleh SPRM dalam tempoh 2011 sehingga 2015 merupakan penjawat awam.

Sementara itu, kajian Persepsi Integriti Nasional (KPIN) mendedahkan bahawa penjawat awam juga kurang kefahaman mengenai rasuah, khususnya yang berkaitan dengan 10 kesalahan rasuah seperti yang terkandung dalam Akta SPRM 2009.