13 September 2007

CUEPACS MINTA PENGGUNA BOIKOT BELI AYAM

Petikan dari Utusan Malaysia
13/9/2007
KUALA LUMPUR 12 Sept. – Para pengguna diminta memboikot membeli ayam sebagai tanda protes terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan sewenang-wenangnya harga siling ayam menjelang musim perayaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, tindakan boikot itu perlu dilakukan kerana setiap kali menjelang musim perayaan, para peniaga akan menggunakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga barangan sehingga melebihi harga siling.
‘‘Mereka (peniaga) akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ekoran permintaan yang tinggi pada bulan puasa atau musim perayaan.
‘‘Pengguna boleh beli makanan alternatif bagi menggantikan ayam kerana terdapat makanan lain di pasaran antaranya daging lembu, ikan, sayur-sayuran dan telur,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Omar, CUEPACS akan mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pengguna dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membendung kenaikan harga barang yang tidak munasabah itu.
‘‘Kami akan bekerjasama memastikan harga barangan tidak melonjak.
‘‘Kita seharusnya memikirkan nasib pengguna kerana kenaikan harga barang sudah tentu membebankan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

3 ulasan: