15 Mei 2008

LANGKAH LANJUT UMUR BERSARA JIMATKAN WANG KERAJAAN

Petikan dari Akhbar Berita Harian
Minda Pengarang:

MULAI 1 Julai ini, had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun, manakala pencen akan dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2009. Sudah pasti ada yang suka dan tidak suka dengan pengumuman ini. Ada yang mendakwa tindakan itu akan menutup peluang tenaga muda untuk naik pangkat dan ada pula yang menganggap, ia akan meningkatkan lagi masalah pengangguran. Sudah pasti kerajaan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kadar jangka hayat di kalangan rakyat kita serta kos operasi kerajaan sebelum memenuhi tuntutan Cuepacs itu yang sudah dikemukakan sejak 10 tahun lalu. Sebelum ini, umur persaraan wajib ialah 55 tahun dan dilanjutkan kepada 56 tahun pada Mei 2001. Pada tahun pertama pelaksanaannya ketika itu, kerajaan dianggar dapat menjimatkan pencen berjumlah RM173 juta. Dengan melanjutkan usia persaraan wajib kepada dua tahun lagi, difahamkan kerajaan mampu menjimatkan RM5.3 bilion setahun untuk bayaran gratuiti dan pencen. Jumlah itu tidak termasuk berbilion ringgit lagi yang perlu disediakan setiap tahun bagi membiayai kos gaji kakitangan yang sudah bersara, tetapi diambil bekerja semula secara kontrak. Sebenarnya, kerajaan lebih untung apabila melanjutkan umur bersara wajib kerana boleh menggunakan kemahiran dan pengalaman kakitangan terbabit lebih lama berbanding terpaksa membayar hampir dua kali ganda iaitu, gaji baru dan pencen setiap bulan jika pesara diambil bekerja semula secara kontrak.
Jika diteliti secara rasional, dengan menaikkan usia persaraan akan mampu menjimatkan lebih banyak wang negara. Negara maju juga sudah membuktikan bahawa pelaksanaan umur persaraan sehingga lebih 60 tahun tidak menyebabkan berlakunya pengangguran, malah meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam. Masalah pengangguran di negara ini bukan berpunca kerana faktor umur persaraan, tetapi disebabkan sikap terlalu memilih pekerjaan dan lebih mengharapkan kerja 'makan gaji'. Pengalaman datang dengan umur dan perkara itu tidak boleh dinafikan. Malah, langkah melanjutkan usia persaraan juga tidak mungkin menyekat peluang golongan muda naik pangkat. Isu ini tidak timbul kerana 75 peratus rakyat Malaysia adalah belia dan warga tua tidak ramai. Dalam membuat keputusan, pasti kita perlu merujuk kepada mereka yang berpengalaman. Lagipun jika dilihat kepada kelompok masyarakat zaman sekarang, mereka masih kuat dan mampu bekerja walaupun umur sudah mencecah 65 tahun. Justeru, sewajarnya pengalaman kakitangan sebegini terus digunakan untuk kepentingan sektor awam.
Namun, pelaksanaan itu hanya boleh digunakan untuk kakitangan yang benar-benar mampu menyumbang dan tidak menimbulkan masalah dalam perkhidmatan. Malah, melanjutkan usia persaraan secara tidak langsung membantu kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana yang akan bersara. Mereka ini, terutama yang mempunyai tanggungan besar dan masih bersekolah akan berdepan masalah kewangan selepas menamatkan perkhidmatan, termasuk masalah kenaikan harga barang keperluan ketika ini. Apabila tiba masa bersara wajib pada usia 56 tahun, mereka perlu mencari kerja lain bagi sumber pendapatan berikutan pencen diterima tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga. Bagaimanapun, apa yang lebih penting mereka yang diberi peluang terus bekerja ini tidak sekadar menjadi penumpang, sebaliknya berkhidmat dengan lebih baik dan gigih

Tiada ulasan:

Catat Ulasan