19 Mei 2008

TINGKATKAN KEBERKESANAN SEKTOR AWAM: GHANI

Oleh Patricia Gari
Dari Akhbar Borneo Sarawak


Lanjut umur persaraan wajib membolehkan kakitangan berpengalaman mengajar kakitangan baru
KUCHING: Gabungan kakitangan berpengalaman dengan yang baru akan memantap dan meningkatkan lagi keberkesanan sistem penyampaian sektor awam di negara ini, kata Pengerusi Cuepacs Sarawak William Ghani Bina.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib kakitangan awam daripada 56 kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008, semalam.
“Secara profesionalnya, pada usia 55 dan 56 tahun seseorang itu berada di kemuncak profesionalismenya dan jika mereka diberi peluang berkhidmat untuk tiga tahun lagi, kumpulan ini mampu memimpin serta memberi tunjuk ajar kepada kakitangan baru.
“Gabungan darah muda dan lama juga akan membentuk sumber tenaga manusia yang berkualiti, baik dan berkesan.
“Ini secara tidak langsung akan membantu sektor swasta memainkan peranan berkesan sebagai jentera pembangunan negara,” ujarnya.
Kemantapan sistem penyampaian, katanya juga boleh dikongsi dengan pekerja baru.
Tidak dinafikan graduan yang baru bertugas berilmu tetapi mereka masih cetek pengalaman.
Menurut William, pada usia 55 hingga 58 tahun kakitangan awam mahupun swasta lebih matang dan mampu memfokus sepenuhnya kepada bidang tugas mereka kerana sudah memiliki kehidupan lebih stabil berbanding kakitangan yang baru bekerja.
“Saya percaya peringkat umur ini, kehidupan seseorang itu lebih stabil dan kukuh, anak-anak sudah besar dan ada yang sudah bekerja, dengan itu tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada tugas,” tambah beliau.
William, yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) berkata, keputusan itu adalah tindakan bijak kerajaan bagi meningkatkan lagi kemantapan sistem penyampaian kerana dalam kerajaan hanya ada 1.2 juta kakitangan sedangkan sektor swasta menghampiri 10 juta orang.
“Bagaimanapun, Kejayaan pihak swasta dan kemasukan pelabur asing di negara ini amat bergantung kepada kebolehan dan keberkesanan sistem pentadbiran sektor kerajaan yang diterajui kumpulan pekerja berpengalaman dan profesional,” ujarnya.
Beliau berkata tanpa sistem pentadbiran sektor awam dan swasta yang mantap, Malaysia hanya akan dilabel sebagai pembekal tenaga buruh murahan dan ini menjejaskan kedu-dukan negara di mata dunia.
“Saya percaya dengan memiliki tenaga buruh yang mahal tetapi terbukti berkualiti akan menarik lebih banyak pelabur asing melabur di negara ini kerana mereka yakin usaha mereka pasti membawa pulangan menguntungkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, graduan tidak perlu panik kerana nescaya kerajaan telah dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memerlukan tenaga mahir serta lepasan universiti.
“Graduan harus panik kerana sebelum membuat keputusan ini kerajaan telah mengkaji dengan mendalam kesannya dalam pelbagai aspek,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan