12 Mei 2008

UJIAN PTK TIDAK DIMANSUHKAN

Petikan Dari Akhbar Utusan Malaysia


PUTRAJAYA 10 Mei - Kerajaan tidak akan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebaliknya bersedia menambah baik kaedah pelaksanaannya dari semasa ke semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, antara penambahbaikan yang akan dibuat tahun ini ialah kaedah ujian bertulis bagi pegawai gred 1 hingga 16 tidak akan digunakan untuk PTK.
Katanya, Lembaga Penilaian Kompetensi Kementerian, Negeri dan Agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti.
''Bagi pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
''Sebenarnya sejak 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaan PTK ini. Antaranya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pemansuhan PTK adalah antara tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
PTK yang diperkenalkan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dikatakan tidak menguji tugas sebenar yang dijalankan oleh pegawai kerajaan.
Sukatan-sukatan peperiksaan PTK dikatakan terlalu umum dan tidak menguji kompetensi teknikal pegawai.
Dikatakan seseorang anggota yang lulus PTK tidak menjamin anggota itu mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik dalam menjalankan tugas jawatannya.
Pegawai yang lulus PTK mungkin kerana mereka menghafal subjek-subjek dalam sukatan peperiksaan sedangkan dari segi realitinya pegawai berkenaan tidak cemerlang dan tidak berkemahiran dalam menjalankan tugasnya.
Dikatakan PTK berbentuk peperiksaan hanya menguntungkan kakitangan muda yang baru dalam perkhidmatan awam. Kakitangan yang lama dan hampir bersara daripada perkhidmatan awam mendapati sukar untuk lulus.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota berkenaan dan membuatkan mereka kurang motivasi untuk meningkatkan kualiti kerja.
Justeru, ada pihak berpendapat kaedah penilaian yang paling sesuai dalam mengukur kompetensi anggota ialah melalui penilaian yang dibuat oleh pegawai atasan.

1 ulasan: