25 Jun 2008

JANGAN SALAH GUNA PERMIT PERNIAGAAN YANG DIBERIKAN KERAJAAN - KATA CUEPACS

Petikan dari Bernama
22/6/2008

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menyambut baik pengumuman kerajaan tentang pemberian permit perniagaan kecil kepada kakitangan awam, mahu mereka menghargai kemudahan tersebut dan tidak menyalahgunakannya.Presiden Cuepacs Omar Osman berkata kepada Bernama, pemberian peluang itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk kaki tangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.Terdapat kira-kira 650,000 kakitangan awam yang berada dalam kategori pendapatan bulanan RM2,500 ke bawah.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil kepada rakyat berpandapatan rendah yang ingin menambah pendapatan mereka.Ia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban ekonomi rakyat berikutan kenaikan harga minyak, kata perdana menteri.Perniagaan kecil itu merangkumi seperti penjaja pasar tani, pasar malam dan di kawasan perumahan.Omar juga mencadangkan agar kerajaan membuka pemohonan permit teksi kepada individu termasuk anggota sektor awam."Langkah ini amat baik kerana ia dapat membantu meringankan beban sara hidup yang semakin meningkat."Tetapi saya harap kakitangan awam akan memohon dan menggunakan permit ini untuk kepentingan sendiri, bukannya disewakan kepada orang lain," katanya.Beliau menasihati kaki tangan awam bahawa di samping menjalankan aktiviti sampingan untuk menjana pendapatan, produktiviti dan prestasi terhadap kerja rasmi mereka perlu dipertahankan."Ini satu peluang yang baik, tetapi mereka mesti juga tahu had masing-masing. Jangan sekali sehingga menjejaskan tugasan dan tanggungjawab pada tugas rasmi mereka," katanya.-- BERNAMA

1 ulasan: