07 Julai 2008

SYOR INSENTIF KERJA MALAM RM350

Petikan dari Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
7/7/2008

Cuepacs minta bayaran kepada 50,000 kakitanganKUALA LUMPUR: Cuepacs mengesyorkan insentif khas lewat malam antara RM200 sehingga RM350 sebulan diberi kepada kira-kira 50,000 kakitangan berpakaian seragam di seluruh negara, yang bertugas antara jam 12.30 pagi hingga 6.30 pagi. Presidennya, Omar Osman, berkata cadangan itu diputuskan pada mesyuarat kongres, Sabtu lalu dan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada mesyuarat, 29 Julai ini.
"Sudah sampai masanya kakitangan berpakaian seragam diberikan elaun khas itu sebagai insentif untuk tempoh tugas yang dijalankan selain dapat membantu meringankan beban kesan daripada penstrukturan subsidi minyak dan kenaikan harga barang sekarang. "Cuepacs berpendapat jumlah insentif itu adalah munasabah. Kita berharap kerajaan akan meneliti cadangan ini dan dapat mengumumkan keputusan ketika membentangkan bajet untuk tahun depan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Jika cadangan itu diluluskan kerajaan, antara kakitangan sektor awam yang akan menikmati insentif khas terbabit adalah penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan pembantu perubatan serta jururawat.
Omar berkata, insentif khas itu relevan kerana kakitangan terbabit tetap komited pada tugas mereka walaupun waktu selepas tengah malam seharusnya adalah masa berehat. "Kakitangan agensi berkaitan terpaksa melakukan tugas yang bukan saja berat, malah berisiko tinggi. Selain itu, kerja mereka tidak diberikan sebarang keistimewaan, termasuk kerja lebih masa, insurans, malah terpaksa berdepan tanggungjawab berbahaya. "Mereka sepatutnya diberikan elaun khas walaupun tidak sehebat atau setaraf seperti yang diterima kakitangan swasta yang bertugas dalam tempoh itu menerima pelbagai kemudahan," katanya. Katanya, kakitangan yang menghadapi tekanan dengan keadaan kerja tanpa sebarang insentif sudah pasti hidup tertekan terutama dalam keadaan kenaikan harga barang.
"Walaupun mereka dibayar gaji, usaha perlu dilakukan bagi memastikan nasib kakitangan ini lebih terbela," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan