12 Ogos 2008

KEPUTUSAN JPA JEJAS 'PERIUK NASI' PENIAGA

Petikan dari Berita Harian
12/8/2008


DALAM kesuraman ekonomi sekarang yang berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia, semua orang ingin berusaha meneruskan kehidupan, walau berdepan keadaan sukar. Maka dengan keprihatinan kerajaan membenarkan kakitangan berniaga sambilan diharap pendapatan mereka bertambah. Umum sudah tahu bekerja dengan kerajaan yang pada hemat saya tentu selesa dan terjamin kerana cukup bulan gaji akan masuk. Kalau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs hanya menjaga kepentingan kakitangan kerajaan dengan berusaha menambah pendapatan, gaji, elaun, dan sebagainya dalam bentuk ganjaran kewangan, bagaimana dengan produktiviti mereka dan bagaimana dengan integriti dan tugas hakiki mereka untuk berkhidmat kepada rakyat? Dalam keadaan ekonomi sekarang ramai khususnya berpendapatan rendah dan sederhana hidup agak mencabar. Kesulitan yang dihadapi kakitangan kerajaan tidak sama dengan pekerja swasta, peniaga kecil-kecilan, kontraktor dan sebagainya. Susah kakitangan kerajaan hanya disebabkan harga barang naik, tetapi gaji tetap ada dan mendapat kenaikan baru-baru ini.
Bagaimana pula dengan kakitangan swasta, pekerja kilang, peniaga kecil-kecilan, peniaga pasar malam, kontraktor kecil dan sebagainya yang kebanyakannya mendapat hasil terus daripada jualan atau kerja mereka. Kalau ekonomi suram begini, orang kurang membeli, kerajaan juga kurang membeli atau memberi kontrak, jadi bagaimana kontraktor dan peniaga mencari pendapatan. Pendapatan mereka ialah hasil pendapatan jualan atau kerja mereka. Bukanlah tujuan saya untuk menyekat rezeki sesiapa, tetapi janganlah melupakan kakitangan swasta, peniaga sendiri, kontraktor dan sebagainya yang bukan bekerja dengan kerajaan. Mereka juga tertekan dengan kenaikan harga barang. Orang yang tidak berkerja dengan kerajaan pun menyumbang untuk negara dan bukan semuanya berpendapatan tinggi.
Stigma yang menyatakan kakitangan swasta atau peniaga berpendapatan tinggi sudah jadi sejarah sekarang, malah kakitangan kerajaan mampu meraih gaji dan elaun lebih baik daripada sesetengah pekerja sektor swasta. Ini kenyataan, tambahan lagi, kemudahan lain yang tidak ada di sektor swasta seperti pinjaman perumahan, faedah kesihatan dan cuti tentu menjadikan pekerja sektor swasta lebih tertekan. Sekali lagi bukan nak menyekat rezeki sesiapa. Cuma, kalau JPA membuka peluang untuk kakitangan kerajaan berniaga sambilan, susahlah orang lain yang berniaga tetap. Sudahlah pasaran sedia sengit dan mencabar, datang pula kakitangan kerajaan yang berniaga. Peluang berniaga tidak banyak sangat. Kalau orang yang sudah ada gaji tetap, tentulah boleh main harga, dan akhirnya orang yang berniaga tetap terpaksa bersaing menurunkan harga yang akhirnya mengurangkan pendapatan mereka.
Kerajaan kena adil kepada semua lapisan masyarakat. Kakitangan kerajaan sudah terbela dengan baik. Hari ini kerajaan menggalakkan kakitangan berniaga dengan memberi pinjaman mudah sehingga RM50,000. Kami yang berniaga sekian lama tidak pernah dapat pinjaman semudah itu. Sudah jenuh naik turun bank mohon pembiayaan tetapi tidak dapat juga.

ANUAR MANJALARA,
Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan