02 September 2008

CUEPACS BOLEH MERAYU BERHUBUNG DUA LAGI TUNTUTAN - NAJIB

Petikan dari Utusan Malaysia
30/08/2008 2:05pm

PEKAN 30 Ogos — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri semalam adalah tertakluk kepada kemampuan kerajaan dan sudah pasti ia tidak dapat memenuhi tuntutan semua pihak, termasuklah tuntutan Cuepacs.
Timbalan Perdana Menteri berkata sekalipun kerajaan tidak memenuhi dua lagi permintaan Cuepacs berkaitan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dan penyelarasan elaun sara hidup (COLA) kepada kakitangan kerajaan, namun golongan itu juga sebenarnya turut mendapat faedah daripada peruntukan lain yang diumumkan.
“Tiap kali belanjawan negara kita tak boleh dapat semua yang kita tuntut, tahun sudah Cuepacs dapat kenaikan gaji yang begitu tinggi sekali, paling tinggi dalam sejarah, tapi tak ada bonus.
“Tahun ini kita bagi bonus satu bulan, kita tengok kepada kemampuan kerajaan, (bagi) kakitangan kerajaan, dia bukan sahaja kena lihat secara langsung, (tapi) secara tak langsung dia juga dapat faedah dari peruntukan lain yang dapat dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan bersempena menjelang bulan Ramadan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Cuepacs Omar Osman semalam yang kecewa apabila dua tuntutan Cuepacs itu tidak disenaraikan pada Bajet 2009.
“Tak boleh dapat semua yang kita hendak, ini tertakluk kepada kemampuan kerajaan sebab kerajaan kena memenuhi semua kehendak golongan,” kata Najib.
Bagaimanapun, Najib berkata Cuepacs boleh merayu berhubung perkara itu untuk dipertimbangkan semula.
“Kalau tak dapat kali ini, kita rayulah, mungkin akan datang kita boleh terima,” kata Najib.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Bajet 2009 di Parlimen dengan turut mengumumkan kakitangan kerajaan diberikan bonus sebulan gaji tahun ini.
— BERNAMA

1 ulasan:

  1. Bukan hanya ITP dan COLA sahaja tapi CEUPACS perlu lebih telus dan adil dalam membuat tuntutan. apakah kakitangan kerajaan yang menerima EPW and BIW dinafikan hak mereka? fikir-fikirkanlah wahai manusia sesungguhnya manusia itu sentiasa didlm kerugian. alang-alang mandi biar basah, alang-alang semua tak dapat...from: pasca-merdeka staff.

    BalasPadam