Petikan dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya lima negeri yang dikuasai pembangkang menjadikan 16 September sebagai cuti umum kerana ia akan menjejaskan produktiviti kerja di negara ini.
Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya tarikh tersebut diumumkan sebagai cuti umum, ia akan menyulitkan para pelanggan di negeri terbabit yang hendak berurusan dengan kerajaan Persekutuan.
''Cuti umum yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri dalam setahun sebenarnya sudah mencukupi dan ini belum lagi termasuk cuti hujung minggu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Omar berkata, cuti umum tidak boleh diisytiharkan sesuka hati tanpa membuat kajian dan memberi penjelasan kepada institusi-institusi yang terlibat seperti majikan dan kesatuan pekerja.
''Jika PKR benar-benar berhasrat untuk mengumumkan 16 September sebagai cuti umum, mereka seharusnya menggunakan saluran yang lebih adil iaitu membawa dan membentangkan usul berkenaan di Parlimen untuk dibahaskan," ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, tindakan mengumumkan 16 September sebagai cuti umum di lima negeri terlibat akan menjejaskan produktiviti dan daya saing pekerja Malaysia di peringkat antarabangsa.
''Selain itu, syarikat-syarikat di negeri terlibat mungkin akan berhadapan dengan masalah kos operasi yang menjadi tidak menentu sehingga menjejaskan keyakinan para pelabur tempatan dan luar negara untuk membuat pelaburan di sini," jelasnya.
Shamsuddin berkata, majikan swasta tidak semestinya perlu mematuhi perundangan kerajaan negeri berhubung cuti umum melainkan kedua-dua pihak mempunyai perjanjian bersama supaya suatu tarikh tertentu diiktiraf sebagai cuti umum.
''Trend pengumuman cuti umum harus dielakkan manakala pihak pembangkang pula jangan terlalu ghairah untuk mengumumkannya tanpa mengenal pasti rasional cuti umum yang diberi tersebut," katanya.
Menurutnya, cuti umum yang sedia ada dalam setahun adalah lebih daripada mencukupi kerana hari bekerja untuk para pekerja di negara ini hanya sekitar 150 hari setelah cuti umum, cuti tahunan, cuti rehat dan cuti sakit diambil kira.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan