18 November 2008

BOIKOT PTK JEJAS PELUANG NAIK PANGKAT

Berita Harian
18/11/2008


KUALA LUMPUR: Peluang kenaikan pangkat dan masa depan kakitangan sektor awam akan terjejas sekiranya Cuepacs yang mewakili hampir 1.2 juta kakitangan kerajaan meneruskan hasratnya untuk memboikot peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Berikutan itu, Cuepacs digesa memikirkan semula keputusan awalnya itu sebelum memboikot peperiksaan berkenaan sekiranya kerajaan tidak memansuhkannya, tahun depan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata walaupun Cuepacs berhak untuk memberi pandangan dan cadangan mengenai perkara membabitkan kepentingan ahlinya, kesatuan juga perlu menitikberatkan masa depan kakitangan sektor awam.
“Cuepacs tidak seharusnya mengancam mahu memboikot PTK sekiranya ia tidak dimansuhkan pada tahun depan... ini akan hanya menjejaskan masa depan ahlinya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), wakil kesatuan dan beberapa agensi kerajaan berkaitan pekerja di sini, semalam. Sabtu lalu, Cuepacs mengancam untuk memboikot PTK jika kerajaan tidak memansuhkannya mulai tahun depan kerana mendakwa peperiksaan itu banyak memberi tekanan kepada anggota sektor awam. Presidennya, Omar Osman memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan sistem itu atau tidak.
Dalam reaksinya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan tidak akan memansuhkan peperiksaan itu dan meminta Cuepacs berhenti mengugut kerajaan berhubung isu PTK. Subramaniam berkata, Cuepacs harus terus mengadakan perbincangan dengan JPA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhubung isu PTK dan bukannya menasihatkan ahlinya supaya jangan menduduki peperiksaan itu. “Teruskan perbincangan untuk mendapatkan jalan penyelesaian berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan