16 Mac 2009

MAKAN MINUM PADA WAKTU BEKERJA

Utusan Malaysia
16/3/2009



SAYA rasa terpanggil untuk meluahkan kepelikan dan kekesalan terhadap segelintir sikap kakitangan awam yang seolah-olah tidak menghiraukan arahan yang dikeluarkan kepada mereka berhubung waktu rehat dan minum.
Walaupun pekeliling perkhidmatan telah dikeluarkan tetapi seolah-olah seperti "mencurah air ke daun keladi". Buktinya, segelintir mereka ini sentiasa ada di kantin, kedai makan, warung, sedangkan pada waktu itu merupakan waktu mereka bekerja. Dengan bangganya mereka memakai tag nama dan pemakaian baju batik (pada hari Khamis) ketika minum.
Jika pada hari Jumaat pula, (berdasarkan pemerhatian saya di sebuah kompleks membeli belah terkenal di Putrajaya) jam sudah menunjukkan pukul 2.50 petang tetapi segelintir mereka masih lagi mundar mandir di sana.
Saya difahamkan waktu rehat pada hari Jumaat bermula pada jam 12.00 hingga 2.45 petang. Di manakah kualiti perkhidmatan yang diharapkan dapat disampaikan oleh mereka kepada orang ramai?
Tidak malukah mereka pada diri sendiri, pada staf lain dan pekerja swasta yang bertungkus lumus bekerja yang hanya dapat menikmati waktu minum sebelum waktu kerja bermula dan ketika waktu makan tengah hari sahaja. Adilkah?
Pada anggapan saya mungkin mereka berada dalam "zon selesa" kerana pada setiap hujung bulan mereka tetap mempunyai pendapatan. Pergi sahaja ke bank, sejumlah wang telah tersedia dalam akaun masing-masing.
Sedangkan kakitangan swasta mahupun pekerja kilang dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini berkira-kira dan berfikir adakah akan dibuang kerja.
Pada hemat saya pihak CUEPACS yang memayungi kakitangan kerajaan perlu mengambil kira faktor ini sebelum terlalu meminta kepada kerajaan untuk menaikkan elaun dan sebagainya kepada mereka.
Adilkah nilai yang sama diterima oleh mereka yang bersikap sedemikian dengan kakitangan kerajaan yang kuat bekerja untuk menyara keluarga dalam keadaan ekonomi sebegini? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

AKMAR HAYATI
Putrajaya

2 ulasan:

  1. Biar betul ... atau kata Upin & Ipin, "betul .. betul .. betul ...". Bukan apa, sayapun rasa terpanggil untuk mengulas tentang perkara makan minum waktu bekerja ni, especially di kalangan kakitangan awam. Mungkin itu tentang segelintir kakitangan awam sahaja .. atau dikalangan yang bekerja di pejabat. Bagaimana pula dengan kakitangan awam yang dipanggil guru?? Cuba siasat! Sebenarnya guru yang mengajar di sekolah disediakan kantin, bolehlah menumpang makan-minum di kantin. Tapi masih juga ada yang gunakan berbagai alasan untuk keluar minum di tempat lain. Masa mengajar guru bukannya sentiasa ada masa "free period", tapi dapat terlepas juga keluar dari kawasan sekolah. Kita bukan sekadar bercakap tentang guru biasa, sebenarnya guru jQAF adalah antara guru bersiswazah yang paling banyak menggunakan masa untuk keluar dan mencari peluang meninggalkan kawasan sekolah, bererti sekaligus meninggalkan murid-murid yang memerlukan perhatian mereka. Kita tidak sesekali mahu martabat atau profession perguruan gugur begitu sahaja. Apa komen anda??

    BalasPadam
  2. Berkaitan dengan makan di luar ini, saya berpandangan begini...tak kira la seseorang pegawai itu makan kat luar ke, kat dalam library ke, bawah pokok ke, atau kat mana2 sekalipun, kalau dia 'escape' masa mengajar dan masa bertugas, itu adalah satu kesalahan sama ada di dunia juga di akhirat. Sebabnya dia tidak melaksanakan amanah yang diberikan. Oleh itu, saya berpendapat, pihak ketua jabatan seperti guru besar ataupun pengetua harus memberi amaran dan mengambil tindakan HANYA kepada pegawai yang melakukan perkara tersebut. Tak perlu buat undang2 baru seperti tak boleh makan kat luar, tak boleh shopping dsb. Saya ulang sekali lagi, tak perlu susah2 nak buat undang2 atau peraturan baru, hanya taklimatkan kepada semua majikan agar mengambil tindakan kepada pegawai bawahan yang tidak melaksanakan amanah mereka.Maknanya tak perlulah kita nak bakar kelambu hanya disebabkan seekor atau beberapa ekor nyamuk nyamuk yang buat hal...syukran.

    BalasPadam