03 April 2009

90 PEKERJA DIPECAT MAHU DISERAP SEMULA

Sinar
3/4/2009

AIR KUNING – Seramai 90 pekerja kontrak bagi jawatan Pekerja Awam Gred R1 (54) dan Jaga Gred R1 (36) di Jabatan Pelajaran Negeri Perak telah diberhentikan serta merta berikutan kesan kegawatan ekonomi yang melanda dunia sekarang ini. Seorang pekerja, Murthia Ali Mohamad berkata, mereka yang diberhentikan telah bekerja di jabatan itu selama 14 hingga 15 tahun dan apa yang mengecewakan ialah tiada pampasan diberikan. Katanya, alasan pemberhentian mereka pula ialah tiada lagi keperluan untuk pengisian jawatan tersebut. "Kerja-kerja pembersihan dan perkhidmatan kawalan keselamatan telah pun diswastakan. "Pihak yang berkenaan memberitahu terdapat beberapa masalah teknikal untuk pelantikan semula pekerja belum dapat diatasi dan sebagai jalan penyelesaian, pekerja-pekerja kontrak ini diberhentikan," katanya. Murthia berkata, pemberhentian serta merta itu adalah tidak patut kerana rata-rata yang diberhentikan mempunyai tanggungan. “Sekarang kami tidak bekerja, kami ada tanggungan seperti anak yang masih bersekolah dan pinjaman pembelian rumah dari pihak bank. Bagaimana kami hendak bayar?” katanya. Menurutnya lagi, mereka telah menandatangani kontrak sehingga Disember 2010 dan apabila berlakunya perkara sedemikian, maka pihak yang berkenaan melanggar kontrak tersebut. "Hal ini bertentangan dengan kenyataan dari Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menegur sesetengah agensi kerajaan yang kurang mengambil berat berkaitan nasib pekerja kontrak yang telah lama berkhidmat dalam sektor awam," katanya. Murthia berharap supaya pekerja kontrak ini dapat diserap kembali ke sektor awam sebagai pekerja tetap kerana kebanyakan pekerja mempunyai pengalaman yang luas berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan mereka selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan