22 April 2009

BUKAN KALI PERTAMA RINTIHAN TERHADAP PTPTN

Utusan Malaysia
22/4/2009

KITA kerap kali dituntut agar menggunakan saluran yang betul dalam memberikan pandangan, membuat teguran, aduan, mahupun kritikan. Namun malangnya saluran berkenaan kerap kali pula tidak begitu berkesan. Bertindak hanya setelah ditegur melalui media telah menjadi sebahagian daripada budaya kerja masyarakat di negara kita, terutamanya di sektor- sektor kerajaan.
Yang terbaru adalah rintihan seorang pelajar yang bernama Naziatul Azlin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Setelah membaca kisah sedihnya berkaitan kerenah birokrasi dan sikap sambil lewa kakitangan PTPTN, saya berasa cukup terharu, geram dan marah. Ini bukanlah kali pertama rintihan terhadap PTPTN diluahkan.
Saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memperjuangkan kenaikan gaji dan pemberian bonus ahli-ahli mereka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan. Maka seharusnya imbuhan yang mereka terima itu diterjemahkan dalam bentuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka yang memerlukan.
Mungkin kisah Naziatul Azlin ini adalah kisah yang tepencil. Namun sekiranya pihak kerajaan serius untuk menjayakan konsep 'Rakyat Didahulukan', maka kisah yang terpencil ini wajar ditangani dengan bijak agar kerajaan dan pemimpin yang ada pada hari ini tidak akan terus menjadi bahan momokan rakyat yang kononnya mereka semuanya cakap tidak serupa bikin .
Kepada pihak CUEPACS, hayatilah konsep 'Prestasi Diutamakan' terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuntutan kepada pihak kerajaan.


SEDIH DAN GERAM,
Terengganu

1 ulasan:

  1. Betul tu, saya ada maslah yg sama

    Ini suatu perkongsian

    http://suaraserak.blogspot.com/2012/01/ptptn-bayaran-balik-dan-pelepasan.html

    Terima kasih

    BalasPadam