11 Mei 2009

KAJI KERJA SEPARA MASA HAMPIR SIAP

Berita Harian
2/5/2009



Kerajaan mahu atasi masalah kakitangan awam, swasta soal Socso, KWSPMELAKA: Kerajaan akan mengeluarkan Peraturan Kerja Separa Masa dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pekerja dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta di negara ini melakukan kerja separuh masa tanpa menghadapi sebarang masalah. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kementeriannya kini sedang merangka peraturan baru itu yang akan menjawab pelbagai masalah seperti Socso, kerja lebih masa, kemalangan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain memberi peluang kepada pekerja dua sektor itu untuk bekerja separuh masa tanpa membabitkan sebarang isu.

Katanya, dalam usaha membantu pekerja negara ini termasuk sektor awam khususnya yang berpendapatan rendah, serta menambah pendapatan mereka, kementeriannya kini pada peringkat akhir menggubal Peraturan Kerja Separa Masa mengikut Akta Kerja 1955 khusus untuk pekerja terbabit. "Akta ini sudah dipinda pada 1998 dengan memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2(4A) iaitu Menteri Sumber Manusia diberi kuasa membuat peraturan bagi pekerja separuh masa termasuk menetapkan terma dan syarat pekerjaan mereka. "Mungkin dalam tempoh beberapa bulan ini selepas mendapat kelulusan pejabat peguam negara, kita akan menggunakannya untuk membantu pihak yang sedang atau membuat kerja separuh masa dan saya harap ia dapat dilaksanakan sebelum Jun ini," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2009 anjuran Cuepacs di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dekat sini, semalam.
Pada majlis itu, Presiden dan Timbalan Setiausaha Agung Cuepacs, Omar Osman dan Loke Yim Pheng masing-masing menerima Anugerah Tokoh Terbilang dan Anugerah Gemilang Wanita Cuepacs, manakala Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat yang diwakili Setiausaha Agungnya, Mohd Sayuthi Haron menerima Anugerah Kesatuan Cemerlang Cuepacs. Subramaniam berkata, tujuan Peraturan Kerja Separa Masa itu digubal untuk membolehkan pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja atau separuh masa. "Ia dilakukan untuk memastikan penetapan peraturan berkaitan penggajian pekerja separuh masa, menentukan faedah minimum kepada pekerja separuh masa, mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan