05 Jun 2009

PENJAWAT AWAM TERBABIT RASUAH DITAMAT PERKHIDMATAN

Berita Harian
5/6/2009



KUALA LUMPUR: Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini diberi amaran tidak terbabit dengan amalan rasuah kerana jika terbukti bersalah tindakan ditamatkan perkhidmatan akan dilakukan bagi menjaga nama baik sektor itu. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata pihaknya juga mahu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perlakuan rasuah membabitkan penjawat awam segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. “Kalau tak ada orang beri, tak ada orang yang menerima (rasuah)... kedua, kalau tak lapor susah juga, kalau dari segi sayalah, kalau orang lapor, (maka) saya (akan) tahu (mengenai perlakuan rasuah), tapi jangan menganiaya orang.
“Kalau kita tahu memang sahih dia itu (terbabit) rasuah, maka kita perlu ambil tindakan setimpal dengan kesalahan dilakukannya. “Selain tindakan mahkamah, mereka juga tertakluk kepada peraturan semasa, kalau diperuntukkan mereka dibuang kerja, maka mereka akan dibuang kerja,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Jalinan Ilmu 2009 antara Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati Dua dan SK Cherok Paloh, Kuantan, Pahang di sini, semalam. Akhbar semalam melaporkan, kaji selidik mengenai rasuah di negara ini mendapati parti politik dan kakitangan awam dikenal pasti sebagai kumpulan paling teruk dicemari gejala itu.
Hasil kajian Barometer Rasuah Global (GCB) yang diumumkan Transparency International (TI) itu menunjukkan parti politik menduduki tangga teratas statistik rasuah dengan 42 peratus disusuli kakitangan awam (37 peratus), sektor swasta dan perniagaan (12 peratus), badan kehakiman (lima peratus), wakil rakyat (empat peratus) serta satu peratus pihak media. Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Sektor Awam (Cuepacs), Omar Osman ketika dihubungi bagi mengulas hasil kaji selidik GCB itu menganggap hasil kajian berkenaan sebagai tidak adil dan kurang tepat kerana selepas penambahbaikan sektor awam dilakukan ia secara tidak langsung menunjukkan perlakuan rasuah semakin berkurangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan