20 Jun 2009

WUJUDKAN KOMUNITI JAGAAN - MEF

Utusan Malaysia
20/6/2009



KUALA LUMPUR 19 Jun - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan mewujudkan komuniti jagaan kanak-kanak bagi mengurangkan pergantungan terhadap amah warga asing.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, pusat jagaan itu boleh diuruskan oleh rakyat tempatan termasuk menempatkan graduan menganggur.
''Selain dapat mengurangkan masalah pembantu rumah, kerajaan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pusat itu boleh menjadi alternatif untuk mengatasi masalah pengambilan amah warga asing termasuk cadangan agar mereka diberikan cuti sehari dalam seminggu.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, cadangan cuti sehari itu dikhuatiri boleh menimbulkan banyak masalah kepada majikan kerana pembantu rumah merupakan pekerjaan yang tidak formal dan menyukarkan majikan untuk menentukan hari yang benar-benar sesuai.
''Sekiranya cuti diberikan kepada pembantu rumah, mereka tentu akan keluar untuk bersiar-siar dan bertemu rakan-rakan bagi bertanya khabar.
''Pergerakan mereka ini tidak dapat dikawal oleh majikan secara sepenuhnya, jika terjadi sesuatu yang buruk tentu majikan akan dipertanggungjawabkan,'' katanya.
Beliau turut mempersoalkan hari yang bersesuaian untuk pembantu rumah tersebut bercuti iaitu sama ada waktu majikan bercuti atau bekerja.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman menyokong cadangan kerajaan tersebut kerana pembantu rumah sewajarnya mendapat cuti daripada majikan masing-masing.
''Setidak-tidaknya mereka dapat membuka minda melalui pergaulan dan tidak tertekan dengan hanya duduk di rumah.
''Namun majikan haruslah bijak menentukan hari cuti itu. Jika takut pembantu rumah lari atau melakukan perkara yang tidak diingini, tiada salahnya jika membawa mereka bersama untuk bercuti,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan