12 Julai 2009

KADAR BARU LESEN PENJAJA KECIL BERKUAT KUASA SERTA MERTA

Bernama
12/7/2009



KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengurangkan kadar lesen perniagaan sebanyak 50 peratus bagi penjaja kecil baru atau lesen yang diperbaharui berkuat kuasa serta merta, kata Menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.Beliau berkata berikutan pengurangan kadar itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, seramai 69,331 penjaja di seluruh Wilayah Persekutuan bakal menikmati habuan itu."Daripada jumlah ini, seramai 67,049 penjaja adalah di Kuala Lumpur, 1,180 di Labuan dan 1,102 di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.Sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri, Najib telah membuat 11 pengumuman "mesra rakyat" yang antara lain termasuk pengurangan 50 peratus kadar lesen penjaja kecil di Wilayah Persekutuan.Namun Raja Nong Chik berkata pengurangan 50 peratus itu hanya melibatkan lesen penjaja yang tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Gerai dan Penjaja (WPKL) 1989, Undang-Undang Kecil Pasar (WPKL) 1984 dan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (WPKL) 2002 bagi kawasan Kuala Lumpur.Di Putrajaya pula, katanya pengurangan hanya melibatkan lesen penjaja yang tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai (Perbadanan Putrajaya) 1999 manakala di Labuan melibatkan lesen di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1968 pindaan 1992.Beliau berkata kementeriannya tidak akan membayar sebarang rebat kepada pemegang lesen berkenaan kerana kadar penurunan itu hanya berkuat kuasa hari ini.Menurutnya, lesen sedia ada yang telah dibayar masih kekal dengan kadar lama sehinggalah ia tamat tempoh."Penurunan kadar ini hanya berkuat kuasa hari ini dan oleh itu ia hanya berkuat kuasa kepada pemohon lesen baru dan penjaja yang ingin memperbaharui lesen mereka sahaja," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana prihatin beliau terhadap perkara itu.Raja Nong Chik berkata bagi memastikan rakyat turut merasai manfaat daripada pengumuman tersebut dan atas dasar tanggung jawab sosial, beliau berharap peniaga kecil dapat mengurangkan harga jualan masing-masing kepada kadar yang amat munasabah.Hadiah Najib kepada rakyat turut melibatkan tawaran sebanyak kira-kira 44,000 unit projek perumahan rakyat (PPR) untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.Untuk itu, Raja Nong Chik berkata sebanyak 44,905 unit rumah PPR sedia untuk dijual kepada penghuni yang selama ini menyewa rumah terbabit, sekaligus membuka peluang kepada penyewa rumah PPR untuk memiliki kediaman sendiri."Sesungguhnya pengurangan kadar lesen peniaga kecil dan pemilikan rumah PPR ini juga adalah selaras dengan visi saya yang antaranya merangkumi isu penjaja kecil dan perumahan rakyat."Ia sekaligus menjadi pemangkin atau titik permulaan dalam usaha kementerian memerangi kemiskinan bandar serta membantu mengatasi masalah perumahan untuk warga kota," katanya.Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali AlHabshee berkata penurunan harga lesen peniaga kecil jelas menunjukkan kerajaan memberi semangat dan memahami kehidupan peniaga kecil di ibu kota yang perlu melangsaikan pelbagai jenis bayaran."Dengan itu, lesen perniagaan bagi peniaga kecil bukan lagi mahal. Penurunan ini memberi semangat untuk peniaga kecil terus berniaga," katanya.Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras turut berharap pihak penguat kuasa lebih prihatin kepada peniaga kecil untuk berniaga.Mengenai tawaran kerajaan untuk menjual 44,000 rumah PPR, Syed Ali berharap keutamaan dapat diberikan kepada warga kota yang sudah menetap lebih daripada 15 tahun tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut menyambut baik ganjaran tersebut berkata potongan 50 peratus bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil akan membuka peluang lebih besar dalam mereka mengukuhkan perniagaan di ibu kota ketika ekonomi semakin mencabar sekarang."Tindakan kerajaan ini adalah satu langkah yang baik dan peniaga kecil dan penjaja perlu menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan posisi jualan mereka yang sedia ada," kata Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'amor Osman.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman mahu penjaja dan peniaga kecil tidak menyalahgunakan kemudahan yang kerajaan berikan tersebut."Kerajaan diharap dapat memastikan mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja memperolehi lesen, agar tiada pihak dapat menyalahgunakan lesen niaga yang dikeluarkan," katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan