07 November 2009

IMBUHAN PESARA BERTERUSAN

Utusan Malaysia
Oleh ZULKIFLI JALIL dan NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my





"DARI janin hingga ke liang lahad". Begitulah gambaran yang diterima oleh penjawat awam yang menerima layanan baik daripada kerajaan kebelakangan ini.
Jaminan untuk keluarga, pekerjaan, kewangan dan kesihatan, kesemuanya ditanggung oleh kerajaan - satu keistimewaan yang barangkali tidak ditawarkan oleh mana-mana negara di dunia.
Undang-undang yang diperkenalkan oleh British semasa era penjajahan untuk menjaga kebajikan penjawat awam kini telah ditambah baik. Malah, realitinya jauh lebih baik berbanding dari negara kuasa besar itu sendiri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan baru-baru ini, Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen), Datuk Yeow Chin Kiong memberitahu, pesara kerajaan amat beruntung kerana kerajaan tidak pernah mengehadkan kos rawatan ke atas mereka bagi memastikan kesihatan bekas pekerjanya terus berkeadaan baik.
"Pada tahun ini untuk Persekutuan sahaja, perbelanjaan kesihatan untuk pesara mencecah RM130 juta. Itu tidak termasuk bil keluar masuk hospital dan ubat-ubatan yang perlu dibeli sendiri oleh pesakit sebelum membuat tuntutan bayaran dengan kita.
"Kita boleh bezakan dengan negara luar, kalau pesara minta tanggung rawatan barah, mereka akan 'angkat topi' atau kita sendiri kena beli insurans tetapi di Malaysia, situasinya amat berbeza, hingga ke liang lahad pun kita ditanggung," katanya.
Chin Kiong seterusnya memberitahu, nasib seorang balu, duda atau anak tidak akan terabai kerana tetap memperoleh bayaran pencen dan menikmati bayaran istimewa dari kerajaan.
Jika diamati kembali, setiap kali berlaku kenaikan gaji penjawat awam, pesara pasti turut merasai tempiasnya. Walaupun tidak lagi menyumbangkan tenaga kepada negara, jasa mereka tetap dikenang oleh kerajaan.
Bayaran khas RM500 misalnya kepada semua pesara kerajaan yang menerima pencen, akan dibuat pada 14 Disember ini. Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan bayaran tersebut layak diterima oleh para pesara pilihan, pesara atas sebab lain serta balu, duda dan anak.
Hakikatnya, menikmati bayaran pencen serendah RM720 iaitu di atas paras kemiskinan sudah memadai untuk pesara menampung keperluan hidup meskipun ia mungkin dalam keadaan yang cukup sederhana.
Chin Kiong menjelaskan, menerusi penambahbaikan dasar persaraan pencen sektor awam, umur persaraan wajib anggota sektor awam dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun.
Daripada 1.27 juta keseluruhan penjawat awam, sebanyak 65 peratus memilih bersara pada usia 58 tahun, 31 peratus bersara semasa 56 tahun dan tiga peratus sahaja kekal bersara pada usia 55 tahun.
Barangkali orang muda berasa gelisah apabila umur persaraan dinaikkan namun tanggapan itu sebenarnya tidak tepat kerana peningkatan jawatan juga bertambah dan menerusinya, kerajaan dapat menjimatkan RM700 juta setahun ekoran dasar peningkatan umur bersara wajib.
Penambahbaikan untuk penjawat awam seterusnya ialah berkaitan pemansuhan syarat pemastautinan di Malaysia bagi pemberian Pencen Terbitan melebihi 12 setengah tahun dan penyelarasan pencen berkuat kuasa mulai 1.1.2008. Daripada keseluruhan 1,181 kes, sebanyak 1,060 kes telah diselesaikan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM11 juta.
"Mulai 1 Januari 2008, ke mana-mana pun anda pesara Malaysia pergi, mereka akan mendapat faedah ini, hatta kalau mereka menukar kewarganegaraan pun tidak mengapa kerana hakikatnya individu berkenaan sudah menyumbang khidmat kepada negara, habuan akan mengikutnya ke mana-mana," katanya.
Pengiraan pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun juga ditambah baik apabila seseorang pegawai yang mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira selama 365 bulan dengan gaji akhir RM2,000.
Jika sebelum ini mereka memperoleh pencen RM1,000 tetapi sekarang sudah ditambah baik menjadi RM1,200 sebulan iaitu pertambahan 20 peratus.
Chin Kiong menambah, kerajaan juga memansuhkan penyusutan Pencen Terbitan selepas 12 setengah tahun berkuatkuasa 1 Januari lalu. Dengan ini, balu atau duda yang ingin berkahwin semula akan tetap menikmati pencen pasangan mereka yang sudah meninggal dunia.
Kesan dasar baru juga membabitkan cara menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun dan pembayaran pencen 100 peratus seumur hidup.
Demikian juga bagi ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris, mereka akan dibayar pemberian sekali gus ataupun ex-gratia dan bukan Pencen Terbitan, sebanyak 296 kes diselesaikan melibatkan jumlah RM5.9 juta.
"Kerajaan juga mempunyai strategi untuk 'mengongkong' kakitangannya agar tidak melakukan perkara bodoh seperti terlibat dengan salah laku rasuah. Ini kerana dengan ganjaran cuti rehat, pencen, bonus, rawatan kesihatan serta kemudahan untuk keluarga, mereka semestinya akan menjaga segala kemudahan ini sehingga mereka bersara.
"Ini adalah dorongan untuk mereka agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, kalau mereka tidak habiskan cuti pun, kita tetap akan beri mereka ganjaran, saya rasa semua kakitangan awam tahu tentang benda ini," katanya.
Kerajaan juga, kata Chin Kiong, memberi peluang kepada kakitangan awam yang sebelum ini memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kembali memilih skim pencen pada tahun ini.
Walaupun pelbagai kemudahan tersaji di depan mata, ini semua bukanlah alasan untuk penjawat awam mendabik dada atau mengambil mudah tidak menyimpan wang simpanan.
Yang diutamakan adalah kejujuran, keikhlasan, amanah dan keringat penjawat awam semestinya setimpal dengan segala kemudahan yang telah diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan