24 Februari 2010

BUKAN ISU GENDER

Berita Harian
Oleh Misiah Taib, Saufi Hamzah dan Junita Rasid
bhnews@bharian.com.my
24/2/2010







KERATAN muka depan Berita Harian semalam.



PM sangkal kebimbangan Cuepacs terhadap penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam; Pengambilan ikut kelayakan, meritSIBU: Datuk Seri Najib Razak semalam menjelaskan penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya dilihat dari segi gender atau jantina kerana pengambilan pegawai kerajaan dibuat berdasarkan kelayakan. Perdana Menteri berkata, soal gender tidak penting, sebaliknya yang lebih penting ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam dalam melaksanakan serta memenuhi jangkaan kerajaan serta rakyat.
Kalau kita tengok dari segi kemasukan ke universiti, purata pelajar wanita adalah dalam lingkungan 65 peratus. Tentu sekali wanita lebih ramai memohon sebagai penjawat awam atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). "Ini kerana untuk memohon menjadi PTD, kita memerlukan sekurang-kurangnya ijazah pertama. Dengan ini tak hairanlah mereka akan menjadi bilangan terbesar dari segi kemasukan, walaupun keseluruhannya mungkin tidak. "Tapi dalam jangka waktu tidak lama lagi, jika trend ini berterusan, wanita akan menjadi kumpulan terbesar dalam perkhidmatan awam," katanya pada sidang media pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Sarawak, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, menyuarakan kebimbangannya kerana trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu didakwa mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara. Ahmad berkata, tiga perempat daripada jawatan baru dalam PTD diisi oleh wanita, sambil mendakwa ia bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita. Di PAGOH, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan dasar 30 peratus itu cuma panduan yang diamalkan kerajaan ketika ini. Sambil mengakui semakin ramai wanita memegang jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, beliau berkata:
"Kita harus berpandangan terbuka dan tidak anggap ia sebagai satu liabiliti. Ia mungkin satu aset dan jika ada kekurangan, kita kena cari jalan untuk menguruskannya," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi robotik bersama pelajar sekolah menengah kebangsaan dalam kawasan Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar. Muhyiddin berkata, di Kementerian Pelajaran yang diketuainya turut mengalami senario sama apabila lebih ramai wanita menyertai profesion terbabit berbanding lelaki kerana golongan hawa lebih berminat dan komited. Beliau berharap tiada pihak membuat tuduhan dan sangkaan tidak tepat mengenai perkara itu kerana wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. "Tak usah bimbang dengan senario itu, tetapi yang penting cara mengurus keadaan itu dengan sebaik mungkin. Ini sebenarnya adalah senario global," katanya
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan