26 Februari 2010

KETUA JABATAN, AGENSI WANITA KENA KIKIS SIKAP TAK PROFESIONAL

Berita Harian
26/2/2010







KEBIMBANGAN Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, dengan penguasaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam perlu dibincang dengan akal budi yang jernih. Skop hujah beliau bersandarkan senario wanita hampir tiga perempat mengisi jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik, bukan membabitkan perjawatan lain seperti kumpulan sokongan termasuk perguruan yang didominasi wanita.

Pemimpin dan pertubuhan wanita pula usah cepat melatah kerana hanya membenarkan tanggapan tipikal umum bahawa wanita mudah emosi. Ada suara tegas menyatakan isu ini cabaran kepada lelaki untuk berusaha lebih gigih dalam akademik bagi melayakkan diri dalam perkhidmatan awam.

Pada masa sama wanita yang mengisi jawatan itu perlu menganggap isu ini cabaran kepada mereka. Joseph Conrad berkata: "Menjadi wanita adalah tugas sukar terutama apabila perlu berhubungan dengan lelaki."



Mereka perlu menghilangkan rasa kurang yakin dalam berketrampilan dan berkomunikasi terutama apabila berdepan dengan pegawai lelaki yang mungkin lebih kanan, serius atau tegas.

Pegawai wanita mesti mengikis sikap tidak profesional ketika 'kitaran fitrah'. Usah emosi tidak bertempat dan berkerut ketika bertugas.

Paling ketara, mereka mesti memastikan komitmen terhadap keluarga bukan penghalang pengurusan jabatan, pejabat, bahagian atau unit yang diketuai hingga terlalu kerap mengambil cuti kecemasan dan pulang awal.

Mereka ialah kumpulan pengurusan dan profesional yang perlu banyak berkorban masa, bukan kakitangan sokongan yang pulang tepat pada masa pejabat tamat.

Itu sebabnya mereka sukar bertemu jodoh akibat kekangan masa. Adakah kita tidak melihat implikasi lebih berat terhadap pola demografi penduduk negara apabila berlaku pertambahan wanita berkerjaya tinggi tetapi belum berkahwin?

Isu ini perlu ditimbang tara secara adil. Kesaksamaan gender di Barat tidak patut dipraktikkan bulat-bulat sebaliknya diperbetul menjadi keadilan gender. Tidak adil jika kesaksamaan yang diperjuangkan mewujudkan ketidakseimbangan gender dalam jawatan kumpulan pengurusan dan profesional. Paling penting bukan semua perkara yang lelaki buat, mampu dilaksanakan wanita. Ini hakikat bukan diskriminasi gender. Usah lawan fitrah-Nya.

Dalam apa perkara pun, sifat berlebihan atau keterlaluan tidak baik bagi jangka panjang. Apapun, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang sepatutnya saling melengkapi

ARIF ATAN,
Tanah Merah, Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan