24 Februari 2010

PENGUASAAN WANITA TIDAK MEMBIMBANGKAN

Utusan Malaysia
23/2/2010

SIBU 23 Feb. - Penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam bukan sesuatu yang membimbangkan kerana yang lebih penting adalah memenuhi jangkaan kerajaan dalam memberi khidmat terbaik untuk rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kemasukan pelajar baru ke universiti juga menunjukkan jumlah wanita lebih ramai dan oleh itu tidak menghairankan jika mereka mendominasi perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dalam jangka waktu terdekat.
''Soal jantina tidak penting, yang penting sekali kemampuan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dan memenuhi jangkaan serta keperluan rakyat," katanya pada sidang akhbar di akhir lawatan dua hari ke Sarawak hari ini.
Sebelum itu, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina 2010 bersama masyarakat Tionghua Sibu di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Najib diminta mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu mengulas cadangan kerajaan Pusat untuk membantu memindahkan kubur 22 anggota tentera berasal dari Sarawak yang disemadikan di Semenanjung, Najib berkata, ia sedang menunggu persetujuan keluarga terlibat.
''Saya tidak tahu apa peraturannya, sama ada kita perlu mendapat arahan mahkamah dan keluarga yang berkenaan, bagaimanapun kita akan buat selepas ini," jelas Perdana Menteri.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan satu tapak manakala peraturan persemadian sedang dicari.
Ketika berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ugap Seribu di Nanga Tada, Kanowit, 80 kilometer dari sini, beliau berkata, kerajaan Pusat sedia membawa pulang jenazah mereka yang merupakan tentera Iban yang berani menentang komunis.

1 ulasan:

  1. Tak banyak dapat saya ulas. Mungkin kita kena tanya Khalid Ibrahim (MB Selangor) boleh tak dia bantu kita dalam mengimbangi limpahan wanita dalam sektor pekerjaan disamping membantu golongan kumpulan sokongan I yang mempunyai degree & Master dinaikkan pangkat dalam perkhidmatan kerajaan secara KPSL dengan mengambil kira kelulusan tersebut sebagai sebahagian KPSL. (sebab air pun MB Selangor mampu bagi free)

    Kalau dia kata boleh, maka tahun 2013, kita ramai-ramai la undi dia. Sebab dah lama suarakan perkara ini tapi macam menyalak bukit je...

    Umur pun dah semakin tua...pencen dah tak lama lagi, dah naik segan nak masuk exam SPA bersama dengan anak2 sendiri.

    Harap2 Menteri yang baca ni jangan marah. Saya hanya meluahkan apa yang lama tersirat di hati tua ini.

    BalasPadam