27 Mei 2010

PEMBEKUAN AMAH INDONESIA DITARIK BALIK LIMA MINGGU LAGI?

Utusan Malaysia
27/5/2010



PUTRAJAYA 27 Mei - Malaysia dan Indonesia akan memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung isu pembantu rumah dalam masa lima minggu lagi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pindaan MoU sedia ada dijangka mengubah pendirian republik itu berhubung pembekuan penghantaran pembantu rumah warganya ke negara ini.
Katanya, MoU tersebut akan memberi tumpuan kepada isu pemberian cuti sehari seminggu, kebenaran memegang pasport sendiri serta bayaran gaji yang dipersetujui melalui rundingan antara majikan dengan pekerja yang akan dimasukkan dalam kontrak.
''Pindaan kepada MoU sedia ada ini merangkumi beberapa perubahan baru dan kita jangkakan akan ditandatangani dalam masa lima atau enam minggu lagi.
''Kita berharap selepas perjanjian ini ditandatangani, pembekuan terhadap kemasukan pembantu rumah akan dibatalkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan di sini hari ini.
Pada 25 Jun tahun lalu, Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur menjangkakan penggantungan sementara penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini akan ditarik balik berikutan hasil rundingan tahunan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada 18 Mei lalu.
Menerusi rundingan itu, kedua-dua negara mencapai persetujuan dalam pemberian cuti sehari seminggu serta kebenaran pembantu rumah memegang pasport mereka sendiri.
Dalam pada itu, Subramaniam berkata, kerajaan juga sedang mewujudkan beberapa dasar baru mengenai pekerja asing di negara ini menerusi beberapa cadangan yang dibuat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin.
''Jawatankuasa menerima hakikat bahawa negara masih memerlukan pekerja asing tetapi kita perlu mencari cara dan langkah untuk mengehadkan kepada satu jumlah yang munasabah dan menguruskan mereka secara lebih baik," katanya.
Mengenai mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Subramaniam berkata, ahli jawatankuasa mesyuarat yang terdiri daripada wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersetuju meminda beberapa akta termasuk Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja supaya selari dengan kehendak semasa.
''Pindaan ini bertujuan memastikan negara setanding negara lain dalam mewujudkan peluang baru kepada rakyat di samping mewujudkan kerjaya berprestasi dan berpendapatan tinggi," katanya.
Mengenai isu keciciran pelajar cemerlang ke matrikulasi dan ketiadaan peluang mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Subramaniam berkata, kementerian akan berbincang dengan kementerian dan jabatan berkenaan untuk menyelesaikan isu terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan