23 September 2010

CUEPACS MOHON 2 BULAN BONUS UNTUK KAKITANGAN AWAM

Utusan Malaysia
22/9/2010




EREMBAN 22 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya berharap peruntukan itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2011 pada Oktober ini.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat pertimbangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa bulan lalu.

Tambahnya, dengan keadaan ekonomi yang lebih baik sekarang, jika tidak boleh diberikan bonus dua bulan gaji, CUEPACS berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya sebulan gaji.

"Penjawat awam tulang belakang kerajaan. Saya harap tiada pihak yang mempertikaikan tuntutan pemberian bonus kepada penjawat awam. Jika tidak CUEPACS memperjuangkannya, siapa lagi?

"Jadi kita berharap kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hari raya anjuran Persatuan Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Malaysia di sini hari ini.

Kata Omar, pemberian bonus itu mampu menyuntik semangat selain meringankan beban tanggungan 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

"Apatah lagi sehingga kini sudah dua tahun kakitangan awam tidak menerima bonus.

"Pemberian saguhati hari raya baru-baru ini pula bukan diterima semua penjawat awam seperti pegawai-pegawai atasan," katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Omar, pihaknya turut berharap kerajaan menyegerakan tuntutan Kemas agar semua 14,500 kakitangan kontraknya diserapkan ke jawatan tetap selewat-lewatnya tahun depan.

"Kalau diikutkan, berbanding kakitangan awam dari segi kemudahan, kakitangan Kemas sudah jauh ketinggalan dari segi jaminan masa depan termasuk pencen, jaminan perubatan dan sebagainya.

"Jadi kita berharap dalam pembentangan bajet Oktober ini, perkara ini juga dapat dimasukkan agar semua kakitangan Kemas ini diserapkan kepada jawatan tetap," katanya.

Tambah Omar, tuntutan tersebut sudah lama berlarutan namun sehingga kini status kakitangan Kemas ini belum diputuskan.

"CUEPACS juga sudah menyerahkan satu memorandum khas kepada Perdana Menteri beberapa bulan lepas berhubung perkara ini.

"Kita bukan mendesak tetapi berharap kerajaan menyegerakan sebab hari ini kakitangan Kemas berasa gusar dan tidak tenang kerana kebajikan mereka masih terabai," katanya.

1 ulasan:

  1. EN FARIZ,
    SALAH SATU SEBAB KAMU TIDAK DAPAT JAWATAN TETAP,IALAH HATI KAMU BUSUK,PENCAPAIAN AKADEMIK TINGGI, TETAPI ILMU TIDAK ADA.BAGAIMANA SAHABAT NAK DOAKAN KAMU BERJAYA,SEDANGKAN KAMU BERDOA UNTUK KEMUSNAHAN ORANG LAIN.BERTAUBATLAH DAN PERBETULKAN NIAT KAMU SEMULA,BERSIHKAN HATI KAMU.SEMOGA ALLAH MEMBERI HIDAYAH DAN RAHMATNYA KEPADA KAMU.

    BalasPadam