22 September 2010

EKONOMI MALAYSIA AKAN CATAT PERTUMBUHAN MELEBIH 6 PERATUS - NAJIB

Bernama
21/9/2010




KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyuarakan keyakinan bahawa negara akan berupaya mencatatkan pertumbuhan melebihi enam peratus tahun ini meskipun ekonomi menyederhana di negara-negara maju, kerana asas-asas ekonomi domestik kekal teguh.

Beliau berkata ekonomi-ekonomi maju terus menghadapi masalah pengangguran, sistem kewangan yang lemah dan tahap hutang isi rumah yang tinggi.

"Dan dengan sebab itu tempoh enam bulan kedua dijangka menyaksikan sedikit penyederhanaan dari segi kadar pertumbuhan tetapi berdasarkan tahunan, ia dijangka lebih baik daripada enam peratus.

"Penyederhanaan kecil pertumbuhan ini akan memberikan sedikit kesan ke atas ekonomi tempatan dalam enam bulan kedua tahun ini dan pada 2011," katanya pada satu sidang akhbar sebelum melancarkan logo baharu Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa di sini hari Selasa.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya dalam Bajet 2011 dan dalam bahagian kedua Model Baru Ekonomi untuk memacu ekonomi Malaysia.

Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, prospek ekonomi Malaysia akan dipengaruhi oleh permintaan luar negara meskipun ekonomi domestik tetap teguh.

"Disebabkan oleh sedikit penyederhanaan, ekonomi tempatan perlu memperkukuh permintaan dan penggunaan domestiknya, khususnya kegiatan sektor swasta dan tahap penggunaan persendirian, untuk mengekalkan pertumbuhan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata sektor kewangan Malaysia kukuh dan berdaya tahan dengan sistem yang menyeluruh dan amat pelbagai, terdiri daripada sistem perbankan yang kukuh, pasaran modal yang berkembang serta sistem kewangan Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan merupakan peneraju dunia.

Menyentuh tentang peralihan kepada pembayaran elektronik, beliau berkata kini kadar penerimaan pakai epembayaran lebih tinggi dan kerajaan akan terus menyokong inisiatif ini bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti ke arah meninggikan daya saing Malaysia.

Bank Negara sedang dalam proses merangka satu pelan tindakan baharu untuk meningkatkan pembangunan sektor kewangan dan ini akan menyokong transformasi ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Bercakap tentang cadangan mengenakan nisbah pinjaman berbanding nilai sebanyak 80 peratus bagi pembeli rumah, Najib berkata: "Kita sudah bincang dengan BNM. Tiada cadangan menurunkan had bagi pembeli kali pertama dan kali kedua. Jadi, mereka boleh meminjam hingga 90 peratus.

"Ini cuma bagi mereka yang mungkin menggunakannya bagi tujuan spekulasi, bererti bagi pembeli rumah kali ketiga dan keempat," jelas beliau.

Beliau menambah kata kemungkinan ada had dikenakan oleh BNM.

Mengenai Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus ICLIF, beliau berkata pusat tadbir urus yang ditubuhkan di ICLIF akan mengendalikan program Pendidikan Pengarah Institusi Kewangan (FIDE).

ICLIF dinamakan semula sebagai Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus ICLIF.

Jangkauan FIDE akan diperluas bagi melibatkan penyertaan pengarah institusi kewangan dari luar Malaysia, meliputi negara-negara Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika.

"Fakulti yang ditambah baik di ICLIF dan terdiri daripada pakar-pakar tersohor dari institusi-institusi terkemuka dunia termasuk Sekolah Perniagaan Harvard dan Sekolah perniagaan IMD di Switzerland itu akan memperkukuh lagi kemampuan FIDE untuk menyediakan program-program pendidikan bertaraf dunia bagi pengarah-pengarah institusi kewangan," kata beliau.

-- BERNAMA

3 ulasan:

  1. Masa nak umum sesuatu untuk PA..akan kata ekonomi Malaysia masih tak stabil..PA perlu bekerja kuat untuk menstabilkan ekonomi..Malaysia mengalami defisit..Jadi tak dapat memenuhi permintaan PA..Yang hairannya masa nak naikkan gaji & elaun polis tak pulak disebut benda2 macam2 ni.Bagi laju aje..Confius aku..

    BalasPadam
  2. Harap dengan ekonomi yang semakin baik dapat memberi kesenangan kepada rakyat.Taraf hidup rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan dengan meningkatkan pendapatan rakyat.Hapuskan kemiskinan tegar yang dialami rakyat.Golongan yang daif dan miskin perlu dihapuskan dengan memberi pekerjaan agar kehidupan mereka lebih selesa.kemajuan di luar bandar perlu dipertingkatkan.Wujudkan pelbagai kemudahan untuk dikecapi oleh penduduk luar bandar agar mereka tidak tersisih jauh dengan kemajuan yang ada dibandar.

    BalasPadam
  3. entah2 najib nak umum projek mega apa..sebab itu dia mulakan pembukaannya dengan kata ekonomi akan kembang 6%. LEPAS INI UMUM PROJEK MASYUK DUIT LE KOT..

    tapi kalau nak penaik gaji kakitangan awam asyik kata ekonomi menguncup la..bawah paras beku la dan sebagainya.

    guane gamok jadi gini wehhh...

    heeeeeeeeeeeeeeeee.....

    BalasPadam